" Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini "

Saturday, July 14, 2007

Selamat Berjuang Sahabat Ku

Alhamdulillah sekitar jam 6.30 pm tadi , Dewan Pemuda PAS Pusat dengan seluruh anggota exconya dan turut dihadhiri oleh ketua DPP negeri - negeri telah selesai sessi "brainstorming" dan bengkel plan tindakan strategik bagi sessi kepimpinan 2007 - 2009 ini.

Saya terlebih dahulu ingin mengucapkan syabas kepada kepada semua sahabat kepimpinan pemuda yang menunjukkan kesungguhan dan keikhlasan yang tinggi guna melunaskan tanggungjawab dan amanah perjuangan suci ini biarpun sering berhadapan dengan kritikan , tohmahan dan sebagainya.

Segala kelemahan dan kekurangan sebagai sebuah Jamaah yang sering difitnah dan dinafikan haknya untuk bebas memperjuangkan Islam , diharungi penuh tabah dan cekal bersama harapan seluruh pemuda Islam yang mahu melihat sayap penting perjuangan ini dipacu dengan penuh taqwa , tangkas dan bijak.

Kini Dewan Pemuda PAS Pusat setelah melewati 2 purnama pasca muktamar telah selesai merentasi tahap pertama sessi ini dengan kerahan idea dan daya fikir yang kreatif dan positif membentuk action plan bagi setiap lajnah dan jabatan ke arah melunas amanah yang digalas.

Selepas ini , Dewan Pemuda PAS Pusat akan melangkah ke tahap kedua untuk merealisasikan segala plan bertindak yang digariskan secara strategik hari ini .

Dengan nama Allah Tuhan Yang Maha Pemurah lagi Maha penyayang , plan bertindak tersebut mula diangkat ke sidang sekteriat Dewan Pemuda PAS Pusat untuk diselaras - selia dan dipantau perlaksanaannya secara sistematik agar ianya tidak hanya tinggal di atas helaian kertas sebaliknya ia benar - benar dilaksana dan digerakkan secara cergas dan ikhlas .

Tahap kedua ini saya lihat lebih mencabar dan menduga kesungguhan dan keikhlasan pejuang - pejuang muda harapan ummah ini. Insyaallah , saya percaya berasaskan track record Dewan Pemuda PAS sebelum ini segala plan tindakan tersebut akan dapat dilaksanakan dengan jaya dan bergaya di samping program - program semasa dan aktiviti - aktiviti ad hoc yang tentunya lebih banyak mencelah malah menjadikan jadual perjuangan Dewan Pemuda PAS Pusat padat dan mampat.

Meneliti sessi perbahasan dalam merangka plan tindakan bagi setiap lajnah dan jabatan dalam Dewan Pemuda hari ini menjadikan saya sangat insaf betapa perjuangan ini menuntut pengorbanan tinggi dari setiap individu pemuda guna menterjemahkan amal Islami yang diwajibkan ke atas pundak kita dalam kehidupan ini.

Ingin saya tegaskan juga di sini , selain daripada ianya merupakan tanggungjawab yang wajib dilaksanakan oleh setiap individu pemimpin , ia juga menjadi tanggungjawab yang mesti dipikul bersama oleh seluruh anggota pemuda di pelbagai peringkat.


Kasihanlah kepada pemimpin kita yang saya lihat terlalu banyak pengorbanan mereka . Mengerah keringat , memerah daya dan menghabiskan sebahagian besar masanya untuk perjuangan . Masa mereka dipentas perjuangan yang serba mencabar dan menggugat ini ternyata lebih banyak berbanding mereka di samping anak dan isteri .

Lebih mengundang simpati saya , hadhir dan tampilnya mereka memimpin gerakkerja amal Islami ini berdepan dengan risiko yang mengancam keselamatan diri mereka. Hari - hari mereka dibayangi ancaman , ugutan , fitnah dan tohmahan disebalik ketenangan wajah mereka memimpin .

Sangat malang saya lihat , masih ramai yang suka mengkritik mereka , menidakkan usaha mereka dan mempersoal hasil keringat mereka sedang yang mengkritik itu lapang masa bersama anak isteri , rehat tenaga dihadapan televisyen dan banyak berbual berbanding merancang dan merencah idea.

Bukanlah maksud saya mereka tidak boleh ditegur dan dikritik tetapi berlaku adillah kita terhadap mereka.

Doakan mereka agar mereka tabah dan cekal serta mampu melaksanakan tanggungjawab perjuangan suci ini dan marilah kita ucapkan selamat berjuang buat mereka , semoga mereka berjaya . Amiin Ya Rabbal A'lamin .

8 Comments:

Anonymous Anonymous said...

Tegurlah dgn baik dan jangan lupa berbaik sangka. Kekadang kita sahaja yg merasakan sipenegur byk masa dgn keluarga dan santai,pada hakikatnya tidak.Dibimbangi ianya hanya bisikan syaitan kpd telinga pemimpin dan ingat, Tiada sesiapa yg memaksa kita menjadi pemimpin!!! Jadi sudah terlalu byk ulasan yg senada begini dilaman blog sdr.

6:22 PM

 
Anonymous Anonymous said...

Perkataan "Tiada sesiapa yang memaksa kita menjadi pemimpin" saya rasa perkataan ini tak sepatut keluar....banyak nas2 Al-Quran dan Hadis yg menunjukan kewajipan kita menjadi pemimpin bahkan perintah dari Allah,maka menjadi kewajipan....dan ini merupakan perkara fardu kifayah yang boleh menyelamatkan org lain kena dosa jika salah seorang

1:11 AM

 
Anonymous Anonymous said...

Betul tu..saya setuju apa yng diulas ttg "Tiada sesiapa memaksa kita jadi pemimpin"...Abu Ali

1:15 AM

 
Anonymous Anonymous said...

Tulisan saya diatas berkaitan tiada siapa memaksa kita jadi pemimpin berkaitan dgn tulisan ustaz ditajuk atas. Ruang ini adalah utk memberi pandangan terhadap tulisan itu. Kalau setakat manusia ini memang dilahirkan sebagai kalifah dibumi ini hatta utk diri sendiri,insyallah telah difahami!

So semasa perlantikan dlm pas, adakah kita dilarang menarik diri dari pencalunan???

Saya mengulangi sekali lagi, kepada pemimpin yg sentiasa mengeluh dari keperitan, silalah`mengundur diri!!!
Sebenarnya aku pun dah bosan dgn pemimpin yg boleh berceramah bergegar pentas, tapi bahagian buat kerja dan sembahyang subuh berjamaah ...tak nampak muka.Begitu juga dgn bab cinta kpd dunia!...alahai. So far alhamdulilah,mereka mereka ini dah semakin terpinggir.

3:48 PM

 
Blogger Nasrudin bin Hassan at Tantawi said...

Assalaamualaikum ,

5:27 AM

 
Blogger Nasrudin bin Hassan at Tantawi said...

Saya rasa , melalui method penulisan komen yg pertama di atas , saya memahami dan saya mengetahui siapa yang menulis dengan begitu sinis dan tajam .

Apapun saya terima dulu kritikan tersebut dengan sangkaan yang positif . Terima kasih .

Cuma saya nak tegaskan , maksud agar kita berlaku adil dalam mengkritik pimpinan ialah supaya kita check and balance dalam mengkritik . Jgn kita ni , yang banyak rehat ( maksudnya org seperti saya ) nak mengkritik pimpinan berlebihan dan melampau sedang mereka habis masa hanya untuk berjuang seperti Tok Guru Hj hadi dan Tok Guru Nik Aziz , Salahudin Ayub dan lain - lain .Itu maksudnya tidak adil .

Kalau orang seperti saudara yang tentunya juga hebat berjuang dan berkorban lalu ingin menegur pimpinan atas kelemahan mereka , ya silakan . itu adil namanya , sebab saudara pun aktif dan berjuang .

Apa yang saya tuju ialah , nun diluar sana , saudara akui atau tidak , terlalu ramai yang berminat menjadi pengkritik tetapi enggan turun ke medan . itu sasaran saya , bukan saudara .

Sdr , antara adil dalam mengkritik juga ialah kita mesti tahu betul duduk sesuatu perkara yang kita nak kritik atau paling tidak kita berhemat agar kita tidak menzalimi sahabat seperjuangan kita .

Tentu sahaja yang terbaik ialah , kita hubungi direct orang yang kita nak kritik ( jika kita boleh menghubunginya ) untuk mengetahui kedudukan sebenar . Benar atau tidak tanggapan yang kita lemparkan !

Semoga saudara dirahmati dan diberkati oleh Allah .

Selamat berjuang !

5:41 AM

 
Anonymous Anonymous said...

Imam Syatibi rahimahullahualaihi di dalam kitab Muwafaqat ;

ومن لا يقدر عليها مطلوب بامر آخر وهو اقامة ذلك القادر واجباره على القيام بها

Maksudnya :"Barangsiapa yang tidak mampu melaksanakan (fardhu kifayah menjadi pemimpin),maka mereka(iaitu golongan yang tidak mampu) dituntut untuk mewujudkan dan melantik golongan yang mampu serta memaksa mereka supaya melaksanakannya(tugas fardhu kifayah)."

Perkataan nie "So semasa perlantikan dlm pas, adakah kita dilarang menarik diri dari pencalunan???"satu lagi tak faham konsep Syuro' kena banyak ngaji lagi nie dan adap2 menegur dgn ikhlas..juang tiada ilmu menggugatkan jemaah....Abu Ali

3:18 PM

 
Blogger Abu Numair Nawawi B. Subandi said...

TUGAS ULAMA DAN HUBUNGANNYA TERHADAP PEMERINTAH

Para ulama amat berpengaruh di kalangan rakyat, oleh itu tugas besar ulama yang wajib dipikul oleh mereka ialah menyedarkan ummah (rakyat) agar mentaati penguasa atau pemimpin Islam. Ulama wajib menolong pemerintah menyatukan ummah agar tidak membenci, memusuhi dan tidak keluar dari jamaah (pemerintah dan pemimpin Islam). Inilah antara amal bir (kebaikan) dan takwa yang dituntut oleh al-Quran agar di lakukan oleh para ulama. Allah Azza wa-Jalla berfirman:

“Bertolong-tolonglah kamu atas kebaikan dan takwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan atas perkara dosa dan permusuhan”. Al-Maidah, 5:2.

Berkata Ibnu Abi Hatim rahimahullah:

“Ayahku telah menceritakan kepadaku, Amr bin Ali as-Sairafi telah menceritakan bahawa Abdu Rabbuh bin Bariq al-Hanafi telah menceritakan bahawa Simak bin al-Walid al-Hanafi berjumpa Ibnu Abbas di Madinah, beliau berkata kepadanya: Bagaimana menghadapi sikap penguasa yang telah menzalimi kita, mencela kita dan merampas sadaqah kita, bukankah kita harus mencegah mereka? Ibnu Abbas menjawab: Jangan! Biarkanlah mereka wahai Hanafi! Lalu beliau menambah: Wahai Hanafi! Al-Jamaah, al-Jamaah (peliharalah persatuan di bawah pemimpin) sebab hancurnya umat dahulu kerana perpecahan, apakah kamu tidak mendengar firman Allah: Dan berpeganglah kamu semua kepada tali (agama) Allah dan janganlah kamu bercerai-berai”. (Tafsir Ibnu Hatim 2/455. Tahqiq Dr. Hikmat Basyir Sayuti. Lihat: Ad-Darrul Mansur 2/285-286. Cetakan Darul Fikr.)

“Dan janganlah kamu menyerupai orang-orang yang bercerai-berai dan berselisih sesudah datang keterangan yang jelas kepada mereka”. (Ali Imran, 3:105)

Kisah di atas ini adalah contoh tauladan kepada umat Islam, bahawa para ulama Salaf as-Soleh dahulu kala mendidik rakyat jelata agar memelihara hak-hak pemimpin. Dengan ini adalah wajib bekerjasama dan tolong-menolong antara para ulama dengan penguasa, terutama dalam usaha mengislah rakyat dengan konseptualisasi siyasah as-Syariyah mengikut manhaj Salafiyah, kerana kaum Salaf as-Soleh selain membid’ahkan perpecahan, mereka mewajibkan bekerjasama dengan pemimpin negara Islam, berjamaah dengan mereka dan menyemai rasa persaudaraan di bawah bumbung pemimpin negara berdasarkan firman Allah:

“Sesungguhnya orang-orang mukmin adalah bersaudara” (Al-Hujurat,49:10)

Sabda Rasullullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam:

“Tiga perkara yang menyelamatkan hati seseorang Muslim dari kedengkian: Ikhlas dalam beramal kerana Allah, menasihati penguasa dan komitmen dengan jamaah kaum Muslimin”. (Hadis Riwayat Ahmad dalam Musnad 4/80-82)

Kapasiti pemikiran rakyat perlu diisi dan diyakinkan oleh pemerintah dengan kerjasama ulama dengan pengisian siyasah (politik) yang sejajar dengan kehendak agama, agar generasi yang bakal pewaris pemerintahan dapat disalurkan ke destinasi dan dimensi pemahaman siyasah as-syariyah menurut al-Quran dan as-Sunnah yang autentik. Kerana keberkesanan dan keagungan siyasah Islamiyah yang telah ditunaikan oleh para Salaf as-Soleh terutama pada zaman generasi awal, kedua dan ketiga selepas kewafatan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam menjadi bukti untuk meyakinkan rakyat.

Siyasah Islamiyah dengan kerjasama umara (penguasa/pemerintah) dan hukama (para ulama) dapat menyatukan hati rakyat untuk mentaati pemimpin kerana itu adalah perintah Allah kepada orang-orang beriman sebagaimana dijelaskan melalui firmanNya:

“Taatilah Allah, taatilah Rasul dan pemimpin (pemerintah) antara kamu”. An-Nisaa, 4:59.

Berkata Abdus Salam bin Bajras bin Hashir Ali Abdul Karim:

“Antara perintah Allah dalam ayat ini ialah mengenai hal kewajipan kita taat kepada penguasa, dan Allah Subhanahu wa-Ta’ala mensetarakan ketaatan kepada pemimpin dengan ketaatan kepada Allah Subhanahu wa-Ta’ala. Ini semuanya menunjukkan betapa penting posisi pemimpin dan amat agung keadaannya”. (Mu’amalatul Hukkam Fi Dhauil Kitab was-Sunnah. Hlm.50)

Al-‘Izz bin Abdussalam rahimahullah juga menegaskan:

“Sepakat kaum Muslimin bahawa taat kepada kekuasaan pemimpin termasuk ketaatan kepada Allah”. (Qawa’idul Ahkam fi Masalihul Anam. 1/104)

Sehingga mentaati pemerintah dalam urusan puasa di bulan Ramadan dan berhari raya adalah wajib mengikut kesepakatan para Salaf as-Soleh. Imam Ahmad rahimahullah berkata:

“Berkorban (berhari raya korban/hari raya haji), berbuka (berpuasa dan berhari raya Idil Fitri) terserah kepada pemimpin. Jika pemimpin berbuka, maka rakyat wajib berbuka. Jika pemimpin berkorban, maka rakyat wajib mengikutinya. Dalam hal solat juga wajib mengikut pemimpin”. (as-Sunnah, hlm. 4. Hadis Riwayat Abu Bakar al-Khallal)

Ibn Taimiyah rahimahullah berkata:

“Sikap (taat kepada pemimpin) termasuk kewajipan terhadap agama yang agung”. (Majmu’ al-Fatawa 28/390)

Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda:

“Dengarlah dan taatilah penguasa diwaktu susah dan senang, diwaktu lapang dan sempit, walaupun mereka mementingkan diri sendiri dan memakan hartamu serta memukul punggungmu, kecuali apabila memerintahkan untuk berbuat maksiat”. (Hadis Riwayat Ibn Hibban dalam Sahihnya. 10/426. Sanadnya hasan)

Dan dalam sebuah hadis riwayat Abu Daud, dari jalan Nashr bin Ashim, dari Subi’ bin Khalid, dari Huzaifah al-Yaman radiallahu ‘anhu:

“Setelah Allah mempunyai khalifah di muka bumi dan dia memukul punggungmu serta mengambil harta bendamu, maka kamu (diperintah agar ) tetap taat”.

MENASIHATI PARA PEMIMPIN DAN PEMERINTAH

Telah sepakat para ulama Salaf as-Soleh bahawa menasihati kesilapan penguasa dan pemimpin adalah perintah dari Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam. Namun tidak dilakukan di khalayak umum atau di depan publik, tetapi dilakukan secara peribadi. Menegur pemimpin di hadapan ramai adalah sikap tidak sopan yang menyalahi sunnah, malah merupakan kejahatan hawa nafsu kerana Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda:

“Barangsiapa yang ingin menasihati pemimpin dalam suatu perkara, maka janganlah disebarkan (dicanang) secara terang-terangan, akan tetapi peganglah tangannya dan ajaklah dia berbincang dengan diam-diam. Jika dia menerima, maka itu diharapkan, jika tidak maka sesungguhnya dia telah menunaikan kewajipannya”. (Majma 5/229. Hadis Riwayat Imam Ahmad. Lihat: As-Sunnah 2/522 dari jalur Muhammad bin Ismail bin Abbas)

Ibnu Nahhas rahimahullah berkata:

“Saat yang amat tepat untuk menasihati pemimpin adalah disaat sepi dari pihak ketiga. Ini lebih baik daripada bersuara secara terbuka di hadapan media massa, bahkan menyuarakan dan menasihati pemimpin lebih mulia secara rahsia tanpa ada liputan pihak yang ketiga.” (Tanbihul Ghafilin ‘An A’ma lul -Jahilin wa-Tahzirus Salikin Min Af’alil Halikin)

Syara tidak pernah menghalalkan sesiapapun dari kalangan umat Islam untuk mengumpat, membongkar keburukkan, mencari cacat-cela, sengaja menghina, mengkafirkan dan mereka-reka fitnah terhadap pemerintah, lebih-lebih lagi jika bertujuan untuk menjatuhkannya. Terdapat banyak hadis-hadis sahih yang mewajibkan umat Islam mematuhi dan mentaati pemerintah Islam demi menjaga dan memelihara kesatuan umat, keutuhan agama dan martabat Islam:

"Telah bersabda Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam: Sesungguhnya Allah rela atas kamu dalam tiga perkara: Hendaklah kamu menyembah Allah dan tidak menyekutukanNya dengan sesuatu, hendaklah kamu sekalian berpegang teguh dengan tali (agama) Allah dan janganlah berpecah-belah, dan hendaklah kamu sekalian saling menasihati dengan orang yang diangkat Allah untuk memegang urusanmu (pemimpin kamu)". (Musnad Imam Ahmad, 2/376)

Maksud "Pemimpin kamu" ialah "Para pemimpin yang beragama Islam". Dalam hal ini al-Allamah As-Syeikh Abdul Aziz bin Baz berkata:

“Bukanlah termasuk uslub (metode) salaf perbuatan mendedahkan aib pemimpin dan menyebutkannya di atas mimbar (atau pentas), kerana hal ini hanya menimbulkan kerusuhan dan hilangnya ketaatan rakyat terhadap pemimpin, juga menyebabkan banyak persepsi dan pandangan yang merbahaya yang tidak mendatangkan manfaat”.

Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam telah bersabda:

"Sesiapa yang ingin menasihati pemimpin, maka janganlah melakukannya dengan terang-terang (di khalayak ramai di hadapan umum) dan hendaklah dia mengambil tangannya (bersemuka empat mata sahaja). Jika pemimpin mahu mendengar maka itulah yang diinginkan dan jika tidak mahu maka dia telah menunaikan kewajipannya". (Hadis Riwayat Bukhari)

Di dalam Nasihatun Muhimmatun fi Salasi Qadaya ada termaktub:

“Apabila kemungkaran itu dilakukan oleh seorang pemimpin atau selainnya, hendaklah dia dinasihati dengan lemah lembut dan secara rahsia sehingga tidak diketahui oleh seorangpun, dengan harapan dia mahu menerimanya. Jika dia enggan, maka mintalah bantuan seorang untuk menasihatinya dengan bersembunyi-sembunyi agar dia menerima nasihatnya. Jika sekiranya dia menolak juga, maka kita boleh secara terang-terangan mengingkari sifat pemimpin seperti itu”. (Nasihatun Muhimmatun fi Salasi Qadaya. Hlm. 49)

Imam Asy-Syaukani rahimahullah berkata:

“Orang yang menyedari sebahagian permasalahan tentang kesalahan pemimpin, hendaklah menasihatinya, jangan menyebarkannya di hadapan orang ramai (publik). Namun hendaklah dia berbincang secara empat mata dalam menasihatinya, tidak merendahkan atau menjatuhkan maruah dan martabatnya, pent.) serta tidak melekehkannya sebagaimana terdapat dalam hadis”. (Sail al-Jarrar 4/556. Asy-Syaukani)

Ini bermakna, sesiapa yang berpakat untuk menjatuhkan pemerintah atau pemimpin Islam adalah menyalahi pegangan para Salaf as-Soleh. Begitu juga, mereka yang suka melontarkan kata-kata kotor, membuat tuduhan palsu, memfitnah dan mengkafirkan para pemimpin Islam adalah bertentangan dengan prinsip akidah Ahli Sunnah wal-Jamaah yang bermanhaj Salaf as-Soleh. Maka kepada mereka yang terlibat dengan pekerjaan mungkar ini, hendaklah bertaubat dan merubah niat kepada nasihat, kerana telah berkata Abu Usman az-Zahid:

“Nasihatilah para penguasa, perbanyakanlah doa untuk mereka agar mereka melakukan kebaikan dan kebenaran dalam beramal dan menjalankan hukum. Sesungguhnya jika mereka baik, maka akan baiklah rakyat. Hati-hatilah kamu! Jangan sampai kamu mendoakan keburukan atau melaknat mereka, kerana yang demikian hanya akan menambah kerosakan keadaan orang-orang Islam. Tetapi mintakanlah ampunan kepada Allah untuk penguasa (pemerintah dan pemimpin), semoga mereka meninggalkan perbuatan yang tidak baik, kemudian dihilangkanlah musibah dari kaum Muslimin”. (Al-Jamii Li Syu’abil Iman. 13/99. Al-Baihaqi. Cetakan Dar as-Salafiyah)

Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda:

"Sesungguhnya manusia itu apabila mereka melihat kezaliman dan mereka tidak mencegah dengan tangannya, maka dibimbangkan Allah akan menyiksa mereka keseluruhannya".

Berkata Ibn Abil 'Izzii rahimahullah:

"Sesungguhnya al-Quran dan as-Sunnah telah menunjukkan atas kewajipan menasihati pemerintah dan seterusnya taat kepada pemerintah selama dia tidak memerintahkan agar melakukan kemaksiatan".

Firman Allah Azza wa-Jalla:

"Taatilah Allah, taatilah Rasul dan pemerintah di antara kamu". An-Nisa, 4:59.

Semua nas di atas menyeru umat Islam menasihati pemerintah atau pemimpin. Tidak dibenarkan menentang mereka, tetapi diperintah agar mendoakan mereka. Ibnu Nahhas berkata:

“Dalam masalah menegur penguasa (pemimpin), pendapat yang benar ialah melakukannya secara individu, bukan di hadapan publik. Bahkan amat baik jika tegurannya secara rahsia atau menasihatinya dengan cara sembunyi-sembunyi, tanpa ada pihak yang ketiga”. (Tanbih al-Gafilin an-A’malil Jahilin wa-Ta’zirus Salikin Min Af’alil Halikin. Hlm. 64)

Haram menubuhkan pemerintahan dalam sebuah negara Islam yang telah ada pemerintah dan ketua negara yang sah. Malah sesiapa yang menentang pemerintah yang sah yang telah dipilih oleh rakyat, kemudian memimpin rakyat untuk memprotes secara yang tidak sihat dan memfitnah penguasa (kerajaan) tanpa ada bukti, maka mereka dikategorikan sebagai Khawarij oleh para ulama Salaf, kerana perbuatan mereka bertentangan dengan nas-nas al-Quran, as-Sunnah, athar dan fatwa-fatwa para ulama muktabar yang mengharamkan perbuatan sedemikian.

Telah berkata Muhammad bin al-Hussin al-Ajuri rahimahumullah (sebagai peringatan kepada golongan Khawarij):

"Khawarij adalah golongan yang menentang kepimpinan orang Islam sebagaimana yang terjadi terhadap kepimpinan Ali radiallahu 'anhu. Cara mereka menentang dengan melaung-laungkan slogan: ( لاَحُكْمَ اِلاَّ للهِ ) bermaksud: "Tidak ada hukum kecuali dari Allah" (Slogan ini samalah dengan apa yang dilaungkan oleh parti-parti pembangkang di beberapa negara Islam. Mereka mengkafirkan sesiapa sahaja yang tidak bersama parti mereka, tidak berjuang bersama mereka dan tidak berhukum dengan hukum Allah.)

Berkata Ali radiallahu 'anhu untuk menentang dan membatalkan di’ayah yang dilaungkan oleh Khawarij iaitu (لاَحُكْمَ اِلاَّ للهِ), maka beliau berkata:

"Kalimah yang hak tetapi yang mereka inginkan dari laungannya ialah kebatilan (kehancuran pemerintah)".21

Fahaman Khawarij telah digerakkan semula oleh golongan fanatisime dengan nama dan istilah "Pejuang Tauhid Hakimiyah" iaitu mentauhidkan hukum, atau mengkafirkan secara mutlak sesiapa yang tidak berhukum dengan hukum Allah. Golongan ini telah bergerak di negara-negara Islam termasuk di Malaysia.

Mereka menghidupkan fahaman “Tauhid Hakimiyah” di setiap tempat yang dapat menerima fahaman ini. Kebiasaannya berselindung di sebalik parti politik. Ruang untuk mereka bergerak terbuka luas kerana kebanyakan negara-negara Islam yang mengamalkan dasar politik demokrasi mengizinkan sesiapapun dari rakyatnya menubuhkan parti politik yang baru.

Mungkin amat menakutkan apabila kita mengetahui bahawa Khawarij disebut dan digelar sebagai anjing neraka oleh Nabi Mhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam. Disuatu kejadian, diriwayatkan oleh Sa’id bin Jamhan, beliau berkata:

“Aku mendatangi Abdullah bin Aufa (seorang buta), lalu aku memberi salam kepadanya. Beliau bertanya, siapa kamu? Aku menjawab: Sa’id bin Jamhan. Beliau bertanya. Apa yang dilakukan oleh orang tuamu? Aku menjawab: Dibunuh oleh kaum Azariqah. Beliau berkata: Semoga Allah melaknat orang-orang Azariqah kerana Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda:

“Sesungguhnya mereka adalah anjing-anjing neraka”.

Aku bertanya, apakah itu khusus pada orang-orang Azariqah atau untuk orang-orang Khawarij seluruhnya? Beliau menjawab: Orang-orang Khawarij seluruhnya. (Hadis Riwayat Imam Ahmad 4/382. Dan Ibnu Abu Asim 905, dari jalan al-Hasyraj bin Nabatah. Menurut Syekh Nasruddin al-Albani sanadnya Hasan)

Imam Ahmad rahimahullah menguatkan lagi riwayat hadis di atas, iaitu agar tidak mencela penguasa dan tidak meniru sifat-sifat Khawarij:

“Aku (Ibnu Jamhan) berkata: Sultan berlaku zalim kepada manusia dan menindas mereka. Dia berkata: Lalu dia (Abdullah bin Aufa) memeluk tanganku dan menariknya dengan kuat, kemudian berkata: Celaka kamu wahai Ibnu Jamhan! Kamu wajib mengikuti sawadul a’zam (beliau mengulangi dua kali), jika Sultan mahu mendengar darimu maka datanglah ke rumahnya dan beritahu yang kamu ketahui (menasihatinya), jika dia menerimanya maka itu baik, tetapi jika ia tidak menerimanya maka tinggalkanlah. Kamu tidak lebih tahu darinya”. (H/R Imam Ahmad 4/382. Dan Ibnu Abu Asim 905, dari jalan al-Hasyraj bin Nabatah. Menurut Syekh Nasruddin al-Albani sanadnya Hasan)

HARAM MEMBANGKANG

Islam mewajibkan umatnya bersatu dalam satu pemerintahan dan mengharamkan perpecahan. Tidak dihalalkan membangkang pemimpin sebuah negara yang dipimpin oleh orang Islam sebagaimana yang dilakukan oleh hizib Khawarij dan Mu’tazilah. Ibnul Abil Izz radiallahu anhu berkata:

“Diwajibkan taat kepada pemerintah walau mereka zalim dan melampaui batas, kerana sikap membangkang menimbulkan kerosakan yang berganda jika dibandingkan kezaliman pemerintah itu sendiri, bahkan di dalam kesabaran ada ganjaran yang boleh menghapuskan dosa serta menggandakan pahala”. (Muamalatul Hukkam fi-Dhauil Kitab wa-Sunnah. Hlm.155. Abdus Salam bin Bajris bin Nasir Ali Abdul Karim. Cetakan Kelima l996M-1417H)

Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam bersabda:

"Sesiapa yang datang kepada kamu sedangkan kamu bersatu di tangan seorang pemimpin, dan orang yang datang tersebut ingin menggugurkan ketaatan kamu dan ingin memecah-belahkan kamu, maka bunuhlah dia". (Hadis Riwayat Muslim. No. 1856)

Masyarakat Islam yang hidup dalam sebuah negara Islam, tidak ada dua pemimpin. Jesteru itu, tidak ada parti pembangkang, yang ada hanyalah orang-orang yang mulia iaitu para ulama yang sudi menasihati penguasa atau pemimpin. Contohnya, dizaman para khalifah Islam, tidak tercatit dalam sirah atau sejarah Islam adanya pembangkang, tetapi yang wujud diketika itu ialah golongan Khawarij yang suka melakukan huru-hara dan kerosakan dalam menentang pemerintah Islam.

Dizaman sekarang, dalam kontek sistem demokrasi, tentulah yang layak jadi parti pembangkang hanyalah dari kalangan orang-orang kafir, bukan orang-orang Islam, kerana orang Islam diharamkan melawan penguasa atau pemimpin Islam yang dipilih secara sah.

Orang beriman, berilmu dan bertakwa tidak mudah dipengaruhi oleh diayah yang bertentangan dengan al-Quran dan Sunnah walaupun dari mulut seorang yang mengaku sebagai ulama. Kerana ditakuti datangnya dari firqah Khawarij yang menyebabkan berlakunya bid’ah. Syara mengharamkan orang beriman dari menyerupai sikap dan akidah golongan Khawarij.

Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam telah menjelaskan sifat-sifat Khawarij, antara sifat-sifat dan sikap mereka: Ibadah dan solatnya kelihatan lebih hebat dari ibadah para sahabat. Namun mereka terkeluar dari millah Islamiyah kerana menghukum kafir (تَكْفِيْرٌ), menghukum sesat (تَضْلِيْل), menghukum fasik (تَفْسِيْك) serta mengutuk (طَعَن) para pemimpin Islam.

Khawarij menghalalkan darah dan harta kaum muslimin yang berada di luar kelompok mereka. Bagi mencapai objektif yang dirancang, mereka bekerjasama dengan sesiapa sahaja yang boleh menguntungkan golongannya. Seperti Syi'ah, Muktazilah dan kelompok-kelompok bid'ah yang lain. Sering menakut-nakutkan kaum muslimin akan masuk neraka jika menolak seruan, fahaman, kehendak atau tidak menyokong, bekerjasama dan masuk parti mereka. Khawarij pandai berpidato, lancar membaca ayat-ayat al-Quran, fasih membawakan hadis dan mudah memberi fatwa, tetapi menyelewengkan makna nas-nas al-Quran dan hadis. Tujuannya untuk mempengaruhi orang-orang jahil, memenuhi kepentingan golongan atau hawa nafsu mereka. Rasulullah telah mengkhabarkan hal ini:

"Mereka membaca al-Quran, tetapi tidak melebihi kerongkong mereka (tidak sampai ke hati mereka)". (H/R Bukhari. (3611). Muslim. (1066))

Rasulullah telah menjelaskan tanda-tanda Khawarij:

"Mereka suka membunuh (menghancurkan) Ahli Islam (terutama pemimpin yang tidak berhukum dengan hukum Allah dan pengikutnya. Pent.) tetapi mereka membiarkan ahli berhala (orang-orang yang benar-benar jelas kekafirannya)". (Hadis Riwayat Bukhari. (3644). Muslim (1064). Sahih al-Jamek. 2227)

"Mereka keluar dari agama sebagaimana keluarnya anak panah dari sasarannya". (Hadis Riwayat Ahmad (111/73). Bukhari (7432). Muslim (1064))

Menurut hadis, golongan Khawarij akan sentiasa muncul dan akan terus muncul dengan ramainya terutama diakhir zaman. Sikap dan kejahatan mereka hanya diperasani oleh orang-orang yang berilmu, kerana Khawarij sentiasa berselindung disebalik ibadah dan kata-kata indah yang menakjubkan. Kenyataan ini telah dijelaskan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam dengan sebdanya:

"Akan muncul diakhir zaman satu kaum yang muda belia umurnya tetapi singkat akalnya. Mereka meniru ucapan sebaik-baik manusia (Nabi Muhammad), namun imannya tidak melewati kerongkongannya, di mana sahaja kamu menemui mereka maka bunuhlah mereka, kerana sesungguhnya ada pahalanya di Hari Kiamat bagi orang yang membunuh mereka". (Hadis Riwayat Bukhari (6930). Muslim (1066))

Menurut Syeikhul Islam Ibn Taimiyah rahimahullah dalam menjelaskan tanda-tanda Khawarij:

"Tanda paling besar kesesatan Khawarij ialah keyakinan mereka berkenaan pemimpin yang dapat petunjuk (pemimpin yang beragama Islam tetapi dihukum kafir oleh mereka kerana tidak berhukum dengan hukum Allah. Pent.) dan keyakinan mereka terhadap kaum muslimin yang semuanya mereka hukum sesat (kerana tidak di dalam kelompok mereka. Pent.) ..... Mereka juga mengkategorikan apa yang mereka anggap kezaliman ke dalam kategori kafir". (Majmuk Fatawa. 28/497. Ibn Taimiyah)

Setiap muslim pasti mampu mengenali kriteria Khawarij. Kerana antara ciri-ciri mereka sudah dijelaskan oleh hadis-hadis sahih dan para ulama Salaf as-Soleh, seperti kuat beribadah, banyak membaca al-Quran, kelihatan wara’ dan mudah menggelar diri mereka sebagai tokoh dan ulama.

Khawarij bijak memerangkap (menipu dan memperdaya) masyarakat melalui ceramah politik yang dihiasi nas-nas al-Quran dan as-Sunnah. Bijak mempersonakan masyarakat dengan kekarismaan berpidato, gemar menyelewengkan tafsiran ayat-ayat al-Quran atau as-Sunnah sehingga pemikiran dan akidah masyarakat yang jahil terpesong, fanatek, taklid buta dan akhirnya menjadi Pak turut seperti lembu cucuk hidung.

Semoga Allah Subhanahu wa-Ta'ala sentiasa menyelamatkan kemurnian akidah orang-orang yang beriman dan para pemimpin mereka yang bermanhaj Salaf as-Soleh, dijauhkan dari penipuan dan putar-belit golongan Khawarij yang memperkenalkan diri mereka sebagai ulama, dan mudah-mudahan hidup kaum muslimin dan para pemimpinnya sentiasa diberkati dan dirahmati oleh Allah Subhanahu wa-Ta'ala. Amin ya Rabbal 'Aalamin!

Untuk memadamkan kemarakan api perselisihan yang berkaitan dengan persoalan agama, atau apa sahaja yang dipertikaikan dalam masalah ad-Din, tiada jalan penyelesaian yang paling tepat kecuali merujuk dan mengembalikan masalah tersebut kepada al-Quran, as-Sunnah, ijmak ulama serta fatwa para ulama Salaf as-Soleh, kerana ini sahaja cara yang amat selamat dan menepati kebenaran.

Metode inilah yang ditonjolkan oleh penulis dalam meredakan persoalan yang belum berkesudahan, iaitu untuk menentukan menurut piawaian syara: “Adakah Sesebuah Negara Itu Boleh Dinamakan Negara Islam Atau Bukan Negara Islam, Apa Hujjah Dan Definisinya?”.

6:58 PM

 

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home