KEBANGKITAN 10 NOV.
Satu Surat Terbuka buat
Semua Pemimpin Utama
Parti Islam Semalaysia PAS .
Menjelang Himpunan 10 Nov.
Menjelang Himpunan 10 Nov.
Count down ke Dataran Merdeka dan seterusnya ke Istana Negara dengan satu perarakan dan himpunan raksasa bertemakan warna dan sirna kuning kian mendesak dan bahangnya kian membara.
Dewan Pemuda PAS sebagai sayap parti , seawalnya telah memberikan komitmen tinggi bagi menjayakan himpunan yang pastinya melakar sejarah baru Negara .
Himpunan 100 ribu rakyat , begitulah namanya atau disebut juga Himpunan 10 November bukan himpunan biasa sebagaimana rutinnya demontrasi yang dianjurkan oleh Dewan Pemuda PAS selama ini. Tetapi himpunan ini adalah Himpunan Rakyat , bagi mengembalikan hak rakyat kepada rakyat .
Kebangkitan rakyat sebenarnya jarang sekali berlaku dalam sesebuah Negara terutama Negara seperti Malaysia bahkan sukar sekali untuk membangkitkan mereka biarpun berhadapan dengan isu – isu yang menghimpit kehidupan mereka seperti kenaikan harga barang , harga tol , harga minyak , penyelewengan harta Negara , rasuah , jenayah dan sebagainya .
Kebangkitan rakyat sememangnya sangat tinggi nilai dan mahal harganya. Justeru kebangkitannya pasti membawa perubahan kepada landskap politik malah peradaban Negara .
Setelah Negara kita dirundung malang bertimpa , ekoran iklim politik Negara yang tidak menentu malah sering membawa bencana kepada rakyat ……
Setelah Negara kita dicengkam resah berdarah , ekoran jenayah kejam dan sadis mula dihitung statisticnya mengikut perkiraan minit dan jam dalam tempoh sehari …..
Setelah Negara kita dipalit maruah bercalar , ekoran rasuah yang berlaku dalam negara kini sedang memanjat tangga indek ke tahap tertinggi diperingkat antarabangsa …….
Setelah Negara kita dihimpit sedih bertindih , ekoran pencemaran akhlak dan keruntuhan nilai social dikalangan anggota masyarakat , terutamanya golongan muda – mudi yang terhoyong – haying dalam kebingitan muzik dan hiburan melampau …….
Negara kita memerlukan perubahan dan perubahan bermula dengan kebangkitan rakyat sementara kebangkitan itu pula mesti dipandu oleh pemimpin yang bertaqwa dan berwibawa .
( Sekadar menyebut beberapa peristiwa kebangkitan besar yang pernah berlaku dalam Negara kita ……. )
Peristiwa Baling menyaksikan satu kebangkitan rakyat marhain , menuntut dan memperjuangkan hak mereka yang dinafi . Kebangkitan itu berjaya merubah landskap politik tanahair pada waktu itu dan ia dipimpin oleh Anwar Ibrahim ( Datuk seri ) .
Kebangkitan Gerakan Islam era 80'an yang turut membawa arus perubahan dalam pucuk pimpinan PAS dengan tema Kepimpinan Ulama'nya serta kembalinya seorang pejuang dan pemimpin agung Tuan Guru Hj. Abdul Hadi yang memimpin gerakan meredah kesesatan dan kebathilan secular , akhirnya merubah pemikiran rakyat sehingga UMNO sendiri pada hari ini mulai segan dan malu untuk mengatakan politik suku agama suku .
Kemenangan PAS bersama Angkatan Perpaduan Ummah ( APU ) pada tahun 90' menawan negeri Kelantan daripada terus didominasi oleh UMNO dan Barisan Nasional juga memberi impak besar dalam perubahan pemikiran dan politik negara . Ianya menyerlahkan kepimpinan hebat Tuan guru Hj. Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Peristiwa Reformasi 98' sekali lagi merubah iklim dan cuaca politik Negara dengan menyaksikan gandingan mantap al Marhum Ustaz Fadhil Noor dan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kemudiannya dilangsungkan dengan jayanya oleh al Marhum Ustaz Fadhil Noor setelah Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjara .
Kebangkitan 10 Nov. ini ( pasca millennium ) dijangka sekali lagi merubah peta dan garis politik tanahair , menuntut pemulihan demokrasi dan keadilan dalam pengendalian dan pentadbirannya.
Apa yang menarik Kebangkitan 10 Nov. ini menyaksikan 3 pemimpin besar sedang berada di persada politik Negara dan gelombang kebangkitan rakyat . Pemimpin yang saya maksudkan ialah al Mursyidul Am Tuan Guru Datuk Hj. Nik Abdul Aziz Nik Mat , Ayahanda Dato' Seri Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang dan Dato' Seri Anwar Ibrahim .
Bayangkan Kebangkitan 10 Nov. yang bakal menghimpunkan 100 ribu rakyat dipimpin serentak secara bergandingan oleh 3 pemimpin besar itu , saya percaya sekali lagi Negara akan menyaksikan perubahan ketara berlaku .
Justeru itu , saya mewakili seluruh pemuda khasnya pemuda – pemuda PAS yang saya salah seorang dari pemimpin mereka merayu sungguh – sungguh agar 3 pemimpin besar ini akan memimpin gelombang kebangkitan rakyat dan berada di hadapan dalam himpunan di Dataran Merdeka dan Perarakan menuju Istana Negara .
Bahkan Saya mengharap seluruh pemimpin PAS yang terdiri dari pelbagai institusi parti bermula dengan Ahli Majlis Syura , AJK Kerja PAS Pusat , Exco Dewan Ulama' PAS Pusat , Exco Dewan Pemuda PAS Pusat , Exco Dewan Muslimat PAS Pusat , AJK Badan Perhubungan PAS Negeri-negeri , Exco Dewan – Dewan di Peringkat Negeri dapat berada di saf hadapan himpunan dan perarakan bersejarah ini.
Malah saya menggesa seluruh petugas dan aktivis parti yang bermula dengan staff pejabat yang bertugas di pejabat agung dan pejabat perhubungan negeri – negeri hinggalah kepada ahli biasa yang masih berada di setiap lorong dan jalan kerana giat menampal poster dan mengedar risalah agar turun membanjiri Dataran Merdeka pada 10 Nov.
Jangan pandang saya yang mengeluarkan gesaan ini , kerana nanti kalian akan berkata siapalah dia nih !
Ya ! siapalah saya ?
Tetapi pandanglah kepada kebangkitan rakyat dan gelombang perubahan yang sedang berlaku sekarang , segalanya memerlukan pimpinan yang terancang dan terarah malah apa yang paling penting mereka mahu pimpinan pemimpin yang hebat , bertaqwa dan berwibawa seperti 3 pemimpin besar yang sebutkan tadi .
Kalau dilihat kepada kompenan kebangkitan ini , nescaya jelas ia mewakili rakyat terbanyak dan kuasanya sangat besar sementara saya hanyalah salah seorang dari mereka.
Akhirnya , saya harapkan himpunan ini berjaya dengan dipimpinan oleh 3 pemimpin besar kita .
Turunnya Tuan Guru Hj. Nik Abdul Aziz kelak , ianya bagaikan asy Syahid Syeikh Ahmad Yasin meniup semangat perjuangan kepada kami , turunnya Tuan Guru Hj. Abdul Hadi pula , bagaikan Asy Syahid al Imam Hassan al Banna memimpin kebangkitan kami dan turunnya Dato' Seri Anwar Ibrahim bagaikan asy Syahid Abd Aziz Rantisi yang terus menyuntik ketabahan untuk kami melangsungkan perjuangan ini .
..... dan saya percaya 3 pemimpin yang sangat disayangi ummah ini pasti akan turun insyaallah , malah pemuda PAS sendiri telah bersedia dengan mengambil langkah – langkah wajar untuk turun ke perhimpunan tersebut bagaikan pemuda – pemuda Hamas yang kental semangat dan jiwanya .
Hamba yang dhoif
Hj. Nasrudin bin Hj. Hassan at Tantawi
0 Comments:
Post a Comment
Subscribe to Post Comments [Atom]
<< Home