TATKALA TINDAKAN PIMPINAN
MENJADI UJIAN KEPADA PENGIKUTNYA.
MENJADI UJIAN KEPADA PENGIKUTNYA.
Menjadi kaedah asas dalam gerakan Islam atau mana jua organisasi bahawa pengikut mestilah mentaati arahan pemimpinnya. As Sam’ u wa taah ( dengar dan taat ) terhadap arahan dan kehendak pemimpin dalam perkara yang tidak mengundang kepada maksiat @ mungkar adalah suatu tuntutan bagi amal Islami .
Sabda Rasulullah saw.
على المرء المسلم السمع و الطاعة فيما أحب و كره ما لم يؤمر بمعصية فإذا أمر بمعصية فلا سمع و لا طاعة .
Wajib dengar dan taat bagi setiap individu muslim dalam perkara yang ia suka mahupun tidak ( benci ) selama ana ia tidak diperintah melakukan maksiat , apabila ia diperintah melakukan maksiat maka tiada dengan dan tiada taat .
Riwayat Imam Muslim
Tidak semua tindakan dan arahan pimpinan disyaratkan terlebih dahulu mendapat kelulusan mesyuarat . Dalam perkara – perkara tertentu yang berkait dengan maslahah perjuangan dan memerlukan tindakan segera , seorang pemimpin boleh mengambil tindakan awal mendahului keputusan mesyuarat selama mana ia tidak bercanggah dengan prinsip Gerakan Islam atau Amal Islami ..
( Pun begitu , dalam banyak keadaan , syura adalah menjadi prinsip asas dalam membuat keputusan )
Kebenaran ini diberikan kepada pemimpin berasaskan ia adalah seorang pemimpin yang telah dilantik atau diberi baiah dan mandat untuk memimpin oleh ahli . Maka pastinya pemimpin yang dilantik atau dipilih malah telahpun disyurakan dikalangan ahli melalui proses yang telah dipersetujui oleh organisasi ( seperti muktamar ) adalah dikalangan individu pemimpin yang paling layak dan dipercayai .
Justeru itulah , prinsip amal Jamaei telah menegaskan bahawa pemimpin yang telah dilantik , biarpun ia hanya seorang hamba adalah wajib ditaati , dipercayai ( thiqah ) dan diberikan wala’ ( kesetiaan @ kejujuran ) kepadanya.
Sabda Rasulullah saw.
اسمعوا و أطيعوا و إن استعمل عليكم عبد حبشي كأن رأسه زبيبة .
Dengar dan taatlah olehmu sekalipun yang bertanggungjawab mengarah kamu hanya seorang hamba Habasyi sementara rambutnya pula kerinting .
Riwayat Imam Bukhari dari Anas Rha.
Ketaatan kepada pemimpin dalam gerakan Islam bukan bererti kongkongan yang hanya melahirkan ahli yang patuh membabi buta atau membuta tuli . Tetapi untuk mewujudkan sebuah gerakan yang lancar dan berkesan dalam tindakan . ( sebab itu pemimpin mesti dilantik atau dipilih dikalangan yang terbaik sebab pemimpin mesti dipatuhi dan ditaati .)
Sungguh malang bagi sebuah organisasi yang mempunyai pemimpin dan pemimpinnya dipilih oleh ahlinya sendiri tetapi kemudiannya pemimpin itu tidak dipatuhi , tidak dipercayai malah dicaci maki oleh pengikutnya sendiri .
Benarlah apa yang pernah disebut oleh Saiyidina Omar al Khattab :
لا اسلام إلا يجماعة و لا جماعة إلا بإمارة و لا إمارة إلا بطاعة .
Tiada Islam tanpa Jamaah , tiada Jamaah tanpa kepimpinan dan tiada kepimpinan tanpa ketaatan .
Namun tindakan pemimpin kadangkala menjadi ujian kepada pengikutnya. Terutama apabila arahan tersebut merupakan arahan yang sukar untuk dilaksanakan sedang ia adalah suatu yang penting untuk gerakan Islam . Demikian juga arahan yang lahir dari pemimpin tanpa terlebih dahulu melalui proses mesyuarat dikalangan anggota kepimpinannya.
Situasi ini pernah berlaku dalam sejarah Islam sejak lama dulu dan dirakamkan untuk menjadi iktibar yang praktis oleh generasi berikutnya seperti kita pada hari ini . Antaranya ialah :
Kisah di Perjanjian Hudaibiyyah .
Ianya berlaku pada tahun ke 6 Hijrah pada bulan Zulqaedah . Sewaktu Nabi saw. Mengambil keputusan untuk mengerjakan Umrah ke Baitillahil Haram . Ringkasnya hasrat Nabi saw. Terhalang apabila orang – orang kafir Quraisy nekad tidak membenarkan Nabi saw. Memasuki Makkah pada tahun tersebut .
Dalam satu rundingan ( muzakarah ) antara Nabi saw. Dengan Suhail bin Amru ( perunding dari Kuffar Quraisy ) maka termeterilah satu perjanjian yang dikenali sebagai Perjanjian Hudaibiyyah . Perjanjian ini adalah kata sepakat antara Nabi saw. Dengan Suhail yang menghasilkan 4 kandungan perjanjian yang besar , iaitu :
Ø Mengadakan gencatan senjata ( berdamai ) selama 10 tahun antara Ummat Islam dengan Kuffar Quraisy.
Ø Tahun itu Nabi Muhammad saw. Tidak dibenarkan memasuki Makkah kecuali dibenarkan pada tahun depan dengan pakej Umrah 3 hari tanpa pedang yang terhunus.
Ø Andai ada pihak lain ( pihak ke 3 ) ingin mengadakan Pakatan dengan Ummat Islam atau Kuffar Quraisy maka ia dibenarkan .
Ø Orang Islam yang lari ke Makkah tidak boleh dikembalikan ke Madinah sementara yang lari dari Makkah ke Madinah mestilah dihantar kembali ke Makkah .
Umumnya , perjanjian ini berat sebelah dan kandungan perjanjian ini pula tidaklah diputuskan melalui mesyuarat walaupun pada amalan biasa termasuk mengatur strategi perang , Nabi sering mesyuarat terlebih dahulu bersama para sahabatnya.
Keadaan ini menimbulkan keresahan dikalangan sahabat . Tambahan pula , Nabi saw. Kelihatan banyak mengalah dan berlembut dengan orang Kafir Quraisy yang terkenal dengan semangat permusuhannya dengan Nabi saw.
Nabi saw. Mengalah apabila Kafir Quraisy tidak mahu Bismillahirrahmanirrahim ditulis pada kertas perjanjian sebaliknya ditukar kepada Bismikallahumma . Demikian juga Nabi saw. Beralah apabila nama baginda sepatutnya ditulis Muhammadurrasulullah di tukar kepada Muhammad bin Abdullah .
Sikap Nabi saw. Beralah dan berlembut dengan pihak Kuffar Quraisy menimbulkan rasa tidak puas hati dikalangan para sahabat baginda.
Apa yang pasti , sahabat Rhm. Bimbang ini satu perangkap dan tipu helah musuh . Mereka tidak mahu Islam dan Nabinya diperdaya dan ditipu . Apakah ini perangkap musuh dan baginda masuk perangkap musuh ? Sahabat menjadi resah dan gelisah kerana tidak dapat menerima tindakan Nabi saw.
Sememangnya tindakan Nabi saw. Dan keputusannya tidak dibincang terlebih dahulu dalam mesyuarat bersama para sahabat yang lain . Nabi bertindak bersendirian atas sifat Baginda adalah Nabi dan pemimpin kepada ummat Islam .
Saiyidina Omar rha. Telah bertanya kepada nabi saw. : Ya Rasulullah , Bukankah Kita ini orang Islam ? Rasul menjawab : Ya .
Omar bertanya lagi : Bukankah mereka itu Musyrik ( kafir ) ? Rasul saw. Menjawab : Ya .
Omar meneruskan pertanyaannya : Bukankah kita berada di pihak yang benar ? Rasul saw. Menjawab : Ya . Lalu Omar berkata : justeru itu kenapa kita membiarkan agama kita dihina sebegitu rupa ? Nabi saw. Menjawab :
أنا عبد الله و رسوله لن أخالف أمره و لن يضيعني
Aku adalah hamba Allah dan utusanNya . Sekali – kali aku tidak menyanggahi perintahNya dan Allah pasti tidak men sia-siakan aku .
Nyata Saidina Omar masih belum reda rasa tidak puas hatinya lantas mengajukan satu lagi persoalan : Ya Rasulullah , bukankah Tuan telah membuat pengumuman untuk masuk Makkah bagi menunaikan umrah ?:
Nabi saw. menegaskan Apakah aku berjanji bahawa umrah itu mesti ditunaikan pada tahun ini ?
Pertanyaan yang dipulangkan kembali oleh Rasulullah saw. Sebagai jawapan kepada soalan Omar Rha tadi Berjaya meredakan rasa resah Omar dan para sahabat yang lain , pun begitu tidaklah sepenuhnya.
Sangat sukar untuk dibayangkan keadaan pada waktu itu , bagaimana gawat dan tegangnya keadaan tersebut .
Satu lagi keadaan cemas dan sukar ialah apabila Nabi saw. Mengarahkan :
قوموا فانحروا و احلقوا و خلوا
Bangunlah , sembelih , bercukur ( tahallul ) dan bukalah pakaian ihrammu
Semua sahabat diam tidak bertindak . Sehingga Nabi mengulangnya sebanyak 3 kali , Jamaah Sahabat masih belum bertindak . Satu suasana yang jelas membayangkan betapa sahabat tidak bersetuju dengan perjanjian Hudaibiyah yang nyata berat sebelah . Mereka juga terkilan kerana tidak dapat memasuki Makkah mengerjakan umrah .
Akhirnya Nabi saw. Masuk khemah Ummi Salamah lalu berkata :
هلك المسلمون ........ أمرتهم فلم يمتثلوا
Binasalah muslimun , Aku perintahkan mereka malang mereka tidak menunaikannya .
Keadaan memang sukar , antara dua keadaan . Dimana Nabi saw. Telah membuat keputusan dan pastinya keputusan itu yang terbaik buat ummatnya tetapi keadaan kedua , jelas para sahabatnya tidak memahami tindakan nabi saw.
Ummu Salamah berkata : Ya Rasulullah , janganlah engkau salahkan mereka . Sesungguhnya mereka ditimpa Suatu yang amat berat bagi mereka sebagaimana engkau sendiri dapat merasakan betapa berat menerima perjanjian ini .
Ummi Salamah mencadangkan agar Nabi saw.keluar ke tengah sahabat dan tidak perlu bercakap dengan sesiapa lalu terus sembelih dan bercukur . Perbuatan Nabi saw. Ini sebagaimana disebut oleh Bapak Muhamad Nasir dalam bukunya Feqhud Dakwah :
“ Ianya perbuatan seolah – olah berkata : Apa yang telah aku sampaikan kepadamu adalah hal – hal yang wajib dilakukan oleh orang yang beriman kerana taat kepada perintah Allah swt supaya menerima perdamaian .”
Demikianlah tindakan Nabi saw. Sebagai seorang pemimpin juga menghadapi satu pengalaman bagaimana tindakannya tidak diterima oleh pengikutnya pada peringkat awal sehingga Allah menurunkan ayat :
إنا فتحنا لك فتحا مبينا .
Sesungguhnya kami telah mengurniakan kemenangan bagimu suatu kemenangan yang hebat.
Surah al fath : 1
Ternyata tindakan nabi saw. Yang menerima perdamaian melalui perjanjian tersebut membawa kemenangan dan kejayaan yang besar dan ulama’ menyebut bahawa ini adalah permulaan kepada pembukaan kota Makkah al Mukarramah yang akhirnya meletakkan Islam di puncak keagongannya.
Bukan Nabi tidak tahu betapa jahatnya kuffar Quraisy , bukan Nabi lupa bagaimana pembunuhan bapa saudaranya Hamzah bin Abdul Mutalib , bukan nabi tidak dapat maklumat bagaimana tipudaya musuh yang senantiasa ingin memerangkap baginda , bukan nabi tidak pernah mengalami penderitaan dan kesengsaraan akibat kezaliman atau kekejaman kuffar Quraisy , malah nabi pernah dihina , dimaki , dituduh gila , tukang sihir dan sebagainya.
Tetapi dengan kuffar inilah nabi saw. Berlunak dan berdamai . Nabi bagaikan lupa segala penderitaan yang dialami . Nabi sedia menghulurkan salam perdamaian sekalipun Nabi mampu untuk menyerang dan berperang .
Manakan tidak , Nabi pernah menang dalam perang Badar , namun Berjaya mengekang penguasaan kuffar dalam perang uhud dan Berjaya mengaibkan musuh dalam perang khandak . Kenapa tidak nabi mengulangi kecemerlangannya ke atas musuh ?
Ya , cukup hebat perhitungan nabi saw. Ketika memilih untuk berdamai biarpun melalui satu perjanjian yang menyaksikan sedikit pergolakan atau krisis yang membawa keresahan berlaku dikalangan pengikutnya kerana gagal memahami hikmah tindakan baginda saw .
Ibnu Hisyam , seorang pakar sejarah telah menaqalkan dari gurunya Ibnu Ishaq dan jua dari az Zuhri :
“ Tidak berlaku dalam suatu kejayaan yang lebih besar daripada kejayaan Perjanjian Hudaibiyah , sekalipun jika disbanding dengan kejayaan perang Badar , perang Uhud , perang Khandaq dan lain – lain lagi …..
Sesungguhnya Manusia berperang selama ini ketika mereka bertembung . Apabila perdamaian telah Berjaya diusahakan oleh Rasulullah saw , api peperangan telah terpadam . Mereka hidup dalam aman damai saling bertemu dan berbincang ( muqabalah dan muzakarah ) antara satu sama lain . Islam makin diterima oleh penentangnya .
Kerana sememangnya Islam itu agama yang paling sesuai untuk mengatur kehidupan manusia . Dalam masa beberapa tahun selepas perjanjian damai , semakin ramai orang menganut atau menerima Islam berbanding semasa orang Islam dan orang kafir berperang ."
Sirah Ibnu Hisyam .
Demikianlah akhlak nabi saw. Dalam berperang dan berdamai . Kenapa tidak kita menghiaskan jamaah dan perjuangan kita dengan akhlak Rasul saw. ?
و إن جنحوا للسلم فاجنح لها و توكل على الله إنه هو السميع العليم
و إن يريدوا أن يخدعوك فإن حسبك الله هو الذي أيدك بنصره و بالمؤمنين .
Jika mereka cenderung untuk berdamai maka cenderunglah ke arahnya ( berdamai ) dan bertawakkal kepada Allah swt. ( atas apa jua kemungkinan yang bakal berlaku ) sesungguhnya Dia ( Allah ) Tuhan yang maha Mendengar lagi Maha Mengetahui .
Dan jika sekiranya mereka mahu menipu ( memperdaya ) engkau maka sesungguhnya memadailah Allah swt buat ( memelihara ) engkau . Dialah ( Allah ) yang memperkuatkan engkau dengan pertolonganNya dan orang – orang yang beriman .
Surah al Anfaal : 61 - 62
Talut dan tenteranya .
Sebahagian dari episode yang boleh diambil pengajaran ialah bagaimana seorang pemimpin bernama Talut yang juga berhadapan dengan pengikut yang tidak mentaati perintahnya .
Maka tatkala Thalut keluar membawa tentaranya, ia berkata: "Sesungguhnya Allah akan menguji kamu dengan suatu sungai. Maka siapa di antara kamu meminum airnya; bukanlah ia pengikutku. Dan barangsiapa tiada meminumnya, kecuali menceduk seceduk tangan, maka dia adalah pengikutku."
Kemudian mereka meminumnya kecuali beberapa orang di antara mereka. Maka tatkala Thalut dan orang-orang yang beriman bersama dia telah menyeberangi sungai itu, orang-orang yang telah minum berkata: "Tak ada kesanggupan kami pada hari ini untuk melawan Jalut dan tentaranya."
Orang-orang yang meyakini bahwa mereka akan menemui Allah, berkata: "Berapa banyak terjadi golongan yang sedikit dapat mengalahkan golongan yang banyak dengan izin Allah. Dan Allah beserta orang-orang yang sabar."
Surah al Baqarah : 249
Persoalannya , kenapa kita tidak boleh menjadi pengikut yang mentaati pemimpin sedang tidaklah ia menyuruh kita melakukan perkara mungkar ?
Kenapa kita tidak mempercayai ( thiqah ) pemimpin yang kita sendiri memberi mandat ( baiah ) kepadanya sehingga melemparkan pelbagai tanggapan dan tohmahan ?
Kalaupun kita berbeza pendapat dengan pemimpin kita , maka wajarkah kita mencemari wala’ ( kesetiaan ) kita kepadanya ?
Kenapa pula sampai tergamak kita mempersoal dan mempertikai pemimpin kita sehingga mengeluarkan perkataan yang kesat dan meninggi suara ke arahnya ?
Lupakah kita kepada disiplin , adab dan akhlak dalam menghadapi situasi tegang seperti ini sehingga emosi mengatasi rasional ?
Kita selalu mendambakan pemimpin yang baik dan mengharapkan mereka adalah pemimpin yang baik , persoalannya apakah kita ini pengikut yang baik ?
Pada saya , apa yang terbaik ialah kita bersabar dan tenang menghadapi situasi ini ( berhadapan dengan tindakan pemimpin ) dengan mencari jalan penyelesaian yang baik tanpa prasangka yang hanya memburukkan keadaan atau tindakan yang merempuh batas adab berjamaah .
Doa saya semoga kita senantiasa berjaya mengatasi ujian seperti ini dan bersama mengatasinya bukan melepaskan diri atau hanya mahu menyelamatkan diri dan berlepas tangan agar segalanya pemimpin harus menerima dan mengambil implikasi .
10 Comments:
salaam ustaz, di dalam keadaan nabi terus mendapat perintah dan wahyu Allah, tetapi kita tiada lagi wahyu daripada Allah. Maka kita perlu mengkaji sunnatullah dan pro dan kontra yang akan timbul hasil daripada tindakan yang bakal diambil. Adakah dengan terdedahnya rahsia pertemuan tersebut menunjukkan seolah-olahnya ia tidak diredhai Allah?
5:44 AM
Salam,
Betul komen di atas. Nabi saw direct mendapat arahan dari Allah Swt.
Pd hari ini, tiada lagi Nabi dan wahyu "direct" dari Allah Swt. Yg ada adalah wahyu yg ditinggalkan oleh Nabi kita....al Quran dan sunnah. Oleh itu para pemimpin hari ini haruslah mengemukakan hujjah dan dalil utk menjelaskan setiap keputusan dan tindakan yg diambil.
Dalam hal ini, dalillah yg perlu diletak didepan.....baru dibuat keputusan.
Bukan dibuat keputusan dulu...kemudian dicari dalil utk membenarkan tindakan atau keputusan yg TELAH dibuat.
PAS selalu menggunakan kaedah....memilih atas alasan maslahat....kalau tak dapat buat semua jangan buang semua dan lain-lain. Dalam hal ini.....dibandingkan DAP dan UMNO, setidaknya dalam konteks Perak, gabungan manakah yg lebih baik.
Sejauh manakah kecintaan DAP terhadap Islam dibanding dgn pengikut UMNO ?
Saya sebenarnya sangat setuju muzakarah antara PAS dan UMNO. Namun saya tidak setuju PAS dan UMNO berkongsi kuasa utk memerintah sebuah kerajaan yg sekuler...apalagi dgn DAP.
Nabi saw pernah ditawarkan kuasa oleh org kafir Quraisy...namun Nabi dgn tegas menolaknya. Nabi mahu...jika diberi kuasa..ianya mestilah total utk Islam....tanpa syarat. Itulah antara isi kandungan dalam Baiatul Aqabah II.
Perjuangan menyedarkan umat kepada Islam dan meminta mereka memberikan kuasa kpd Islam memang suatu yg sukar...namun kesukaran tersebut bukan alasan utk kita membenarkan setiap tindakan yg kita mahu.
Setiap tindakan mestilah berdasarkan syarak....bukan maslahat.
Insyaallah...masa depan adalah untuk Islam
7:33 AM
komen di atas
Majlis Syura Ulama telah bermesyuarat
untuk cari dalil
masa bila pulak bincang dengan umno nak kongsi kuasa, itu tawaran mereka pimpinan tak terima, sekarang pas berkongsi kuasa dalam PR
2:10 PM
komen 'Bukan dibuat keputusan dulu...kemudian dicari dalil utk membenarkan tindakan atau keputusan yg TELAH dibuat.'
artikel ust telah bentang dalil yang sedia ada, jadi tidak timbul buat keputusan dulu...kemudian dicari dalil
2:39 PM
tahniah artikel ustaz..inilah jadinya bila politik kedai kopi di bawa masuk ke dalam internet dan dianggap sebagai rujukan yang utama selepas quran..
Orang2 yang berkenaan sekarang berbanggala kononnya dia selamatkan jemaah.. dia saja sayangkan jemaah.. padahal tindakan dia lebih banyak cetuskan kerosakan dari kebaikan..
benarlah, si jahil yang berniat baik adalah merbahaya..
TApi memang sikap orang melayu.. tak pernah percaya pada pemimpin sendiri.. yakin pada pemimpin luar..
kalaulah Syed Hassan Nasrallah yang buat keputusan berbincang dengan UMNO, pasti dikatakan keputusan yang bijaksana.. tapi sayangnya, ustaz Nasha bukan dari Lubnan.. maka dimaki hamun lah sesuka hati..
Yang bestnya plak, setau saya tiap2pimpinan PAS masing2 ada Masters dan PhD.. si tukang karut hari2 mengaku dia tak habih mengaji.. tapi orang lebih percaya tukang karut dari pimpinan..
Bangsaku..
Saya bersama kawan2 dari Ireland menyatakan sokongan penuh kepada pimpinan PAS..sebarang keputusan yang dibuat kami yakini adalah berdasarkan tektik politik dan bukanlah kerana gila kuasa sperti yang tukang2 karut katakan..
Kami juga menyeru agar orang2 yang kurang ajar dan tidak ada adab dalam berjemaah agar kembali ke usrah masing2 atau keluar sahaja dari PAS.
9:36 PM
Salam,
Pd masa sahabat, ada seseorg memberi kata dua kepada khalifah....kalau mu belok...pedang nih akan meluruskannya.....
Lalu sang khalifah dgn rendah hati, walaupun terkenal seorg yg tegas..akur dgn kata dua tersebut.
Sesungguhnya dgn adanya amar makruf nahi mungkar inilah langit menjadi tegak wahai najmi ad dublini.
Kalau tak mahu dikritik...jangan jadi pemimpin politik. Kritikan adalah baik...kalau ada sandaran hujjah yg kuat berdasarkan nas, apa yg ditakutkan. Tapi jika kritikan itu benar, terimalah kritikan tersebut.
Dalam muzakarah / muqabalah dgn UMNO ni.....bagi saya sangatlah bagus. Beginilah seharusnya sikap sebagai org beriman. Kalau dgn sikafir kita boleh berbincang, kenapa tidak dgn sesama muslim. Seburuk-buruk UMNO, jauh lebih baik daripada DAP...itu jika iman kita jadikan ukuran. Tapi kalau kita jadikan demokrasi sebagai ukuran, tentulah DAP lebih baik drpd UMNO. Jadi terserah samada nak jadikan iman atau demokrasi sebagai ukuran.
Agenda kita sebagai org beriman adalah utk mengembalikan semula kehidupan Islam, di mana hukum-hakam Islam ditegakkan dan kaum muslimin kembali hidup dibawah naungan khilafah dan dipimpin oleh seorg khalifah. Inilah pendirian yg tiada tawar menawar. Jika DAP tak mahu....mereka boleh blah....bukan halau sdra sejamaah keluar parti.
Apapun tindakan kita...mestilah sentiasa berlandaskan syarak. Wallahualam.
10:47 PM
ust,
ana cukup berterima kasih kepada artikel ust berkenaan dengan adab jundi kepada qiyadi. namun elok juga kalau kita bincang adab pemimpin kepada ahli, misalnya tidak berdusta atau memberikan fakta yang tidak benar kepada ahli. ana rasa lebih adil.
ahli bawahan.
10:31 AM
"Kalau tak mahu dikritik...jangan jadi pemimpin politik. Kritikan adalah baik...kalau ada sandaran hujjah yg kuat berdasarkan nas, apa yg ditakutkan. Tapi jika kritikan itu benar, terimalah kritikan tersebut."
kritik sampai pecah Jemaah..sampai meletakkan keraguan pada pimpinan itu salah...
betul saidina Umar akur bila rakyatnya tegur dengan pedang..tapi adkah peristiwa itu membolehkan kita mengkritik sehingga hilang adab dan akhlak??
Saidina Umar akur dengan teguran dengan pedang..tapi adakah teguran itu mewujudkan suatu suasana perpecahan di dalam Jamaah islam??
Boleh mengkritik pimpinan tapi dengan akhlak dan adab sebagai ahli..dengan niat untuk mencari kebenaran..dengan niat untuk memperkukuhkan Jamaah..bukannya menuduh sehingga memecahkan Jamaah dari dalam...
5:01 PM
Salam...
Ana setuju dengan beberapa pandangan;
1) Nabi dulu terima wahyu, tapi sekarang perlu dikaji setiap pro-kontra sesuatu tindakan.
Komen:
TG Hadi rasanya dah terima keputusan syura terlebih dahulu sebelum pergi berjumpa dengan UMNO, betul tak?
Adakah masih dikira tidak difikirkan pro-kontra tindakannya itu?
Adapun bagi sesebuah jemaah, ada perkara yang perlu dirahsiakan daripada ahli sendiri.
2) Pemimpin boleh ditegur
Komen :
Sememangnya pemimpin boleh ditegur, tapi seperti yang saudara Rusly katakan, biarlah dengan adab & tatacata seorang yang beragama & berjemaah. Bukan hentam kromo.
3) Percaya pada pemimpin.
Komen:
Seperti yang Ust Nasa katakan, sudah semestinya pemimpin yang kita baiah itu adalah dari kalangan yang kita sendiri percayai & punyai kebolehan & kemampuan yang melayakkannya untuk berada pada kedudukan tersebut.
Mungkin ada perkara yang kita tidak nampak, tapi lebih jelas bagi pimpinan kita. Maka di situ tidak lain haruslah kita letakkan kepercayaan itu pada mereka.
7:21 PM
Salam,
Setuju bahawa kita perlu menjaga adab dan tatatertib dalam menegur. Lagi pula itu pun sebahagian dari hukum syarak. Org yg beriman adlh org yg terpuji akhlaqnya.
Bagi pemimpin pula, mereka perlu juga memahami bahawa pengikut yg dipimpinnya itu sangat plural. Ada bijak, ada bodoh, ada halus tutur bicaranya dan ada pula yg agak kasar cara ekspresinya. Kalau pemimpin tidak dapat memahami keadaan ini.....sukarlah dia memimpin masyarakat. Mungkin kisah bagaimana geramnya para sahabat melihat perilaku arab badawi kpd rasulullah menjadi contoh dalam hal ini.
Akhirkata...lihatlah kebenaran yg disampaikan....bukan sekadar siapa yg menyampaikan.
12:19 AM
Post a Comment
Subscribe to Post Comments [Atom]
<< Home