" Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini "

Monday, July 21, 2008

UMRAH TARBAWI
DEWAN MUSLIMAT PAS PUSAT .

6 hb. Julai . 2008


Lajnah Tarbiyyah Dewan Muslimat PAS Pusat kali ini berjaya menganjurkan Umrah Tarbawi dengan 40 orang peserta . Saya telah diamanahkan sebagai amir rombongan dan Ustazah Mariam Abd. Rasyid ( Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Selangor ) selaku Pengarah Teknikal Umrah Tarbawi .
Ustaz Fadhil Noor Al Yamani ( Exco DPP Negeri Pahang ) turut serta dalam rombongan ini sebagai Naib Amir . Alhamdulillah rombongan yang berangkat ke Tanah suci pada 6 hb July melalui BIMAN Airways antaranya turut disertai oleh Ustazah Nuridah binti Salleh ( Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat ) , Salbiah binti Wahab ( Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Pusat ) , Humaidah binti Daud ( Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Pahang ) , Ustaz Abd Rahim Awang Bakar ( Pengerusi Tetap PAS Pekan ) dan beberapa orang veteran serta aktivis PAS .
Penerbangan Delay

Perjalanan kami agak mencabar . Ujian terpaksa ditempoh sejak awal perjalanan oleh peserta Umrah Tarbawi kali ini. Jadual kami yang asalnya berangkat dari KLIA ke Dhaka ialah jam 4.00 pm yang kemudian delayed sebanyak 3 kali .
Pertama kali perubahan jadual tersebut dari jam 4.00 pm kepada jam 9.00 malam . Kedua , dari jam 9.00 malam kepada 6.30 pagi esoknya ( 7 hb Julai 08 ) dan Ketiga ialah dari jam 6.30 pagi kepada jam 8.30 am .

Peserta sebahagiannya terpaksa menunggu lama di airport KLIA . Alhamdulillah setelah beberapa kali rundingan dan desakan dari pihak pengurusan Destinasia Travel sd. Bhd. Kami diberikan penginapan oleh pihak BIMAN Airways di EMPRESS Hotel Sepang .

Apabila kami tiba di Dhaka , mengikut jadual asalnya kami hanya transit sekitar 3 jam sahaja tetapi sekali lagi flight BIMAN Airways mengalami perubahan jadual penerbangannya. Jangka kami berlepas dari Dhaka jam 3 petang waktu tempatan tetapi ditangguh ke jam 12 tengah malam. Namun syukur Alhamdulillah kami sekali lagi disediakan penginapan di Garden Residence Hostel .

Pengalaman di Dhaka cukup menarik menyaksikan bagaimana cara hidup dan budaya masyarakat Bangladesh . Bermula dengan kekalutan di Dhaka Airport hinggalah kehidupan di tengah – tengah Bandar mereka yang masih menggunakan basikal roda tiga sebagai kenderaan awam . Tentu sahaja mereka kurang terkesan dengan kenaikan harga minyak .

Beg Hilang

Kami tiba di Jeddah jam 4.30 am 8 julai 08 . Setelah selesai segala urusan imigresen dan solat subuh , kami mula keluar dari airport jam 6.30 am.

Nampaknya , Peserta Umrah Tarbawi kali ini benar – benar diuji oleh Allah swt. apabila sebuah beg kepunyaan seorang peserta ( Mohd Fadhil Hadi bin Mohd Ghazali ) hilang dan gagal dikesan . Namun memahami Umrah ini bagaikan Tamrin Panjang baginya , nyata beliau kelihatan tenang dengan tidak sedikit pun menunjuk rasa ralat di atas apa yang berlaku . ( Pun begitu pihak pengurusan telah membuat aduan dan claim kepada pihak BIMAN Airways .)

Kami berangkat ke Madinah dengan menaiki bas dan perjalanannya mengambil masa 6 jam. Tentu sekali peserta agak keletihan kerana telah melalui perjalanan yang bukan sahaja jauh tetapi lama dan memenatkan. Sungguhpun begitu , jelas terpancar rasa puas dan tidak sabar – sabar lagi untuk menziarahi maqam dan Masjid Rasulullah saw. Sepanjang perjalanan mereka tidur kepenatan.

Cuaca Panas .

12.30 tengahari , kami tiba di tempat penginapan Hotel Syai’r ( bersebelahan Hotel Karam ) kira – kira 80 meter dengan pintu pagar Masjid an Nabawi asy Syarif . Alhamdulillah , Peserta Umrah Tarbawi berkesempatan untuk solat Zuhur berjamaah di Masjid an Nabawi .

Cuaca di Madinah ditika ini sangat panas bagi kita orang Malaysia tetapi Alhamdulillah , ianya sedikit pun tidak mematahkan semangat para peserta untuk berulang alik dari tempat penginapan ke Masjid an Nabawi pada setiap kali solat fardhu .

Hari ini ( 8 hb . Julai 08 ) , peserta dibenarkan bebas tanpa terikat dengan sebarang aktiviti . Sebahagian mereka mengambil kesempatan untuk beristerehat sambil beriktikaf di Masjid an Nabawi kerana tentu sahaja suhu di dalam masjid sejuk dan selesa .

Passport Hilang
Sebagaimana yang telah saya sebutkan tadi , Allah swt. jelas campur tangan untuk terus mentarbiyyah secara langsung para peserta Umrah Tarbawi . kali ini passport saya telah hilang dari simpanan masu’l yang ditugaskan.
Suasana cemas telah menyelubungi pihak pengurusan apatah lagi kerana terpaksa berhadapan dengan pihak Muassasah yang akan datang membuat pemeriksaan . Isteri saya usahlah diceritakan lagi. Gelisah juga dibuatnya. Tapi saya sedar , di sini saya ada Raudhah nabi saw satu tempat yang cukup mustajab doa dari hambaNya yang ihklas.

Saya tersenyum mengingatkan kisah munajat Saidina Ali Karramallahuwajhah yang tidak mempunyai makanan di rumahnya sedang petangnya Nabi saw. Akan datang berbuka puasa di rumahnya . Akhirnya munajat Saidina Ali dimaqbulkan Allah apabila Saidina Abu Bakar as Siddiq Rha yang mendengar rintihan Munajat Saidina Ali di Raudhah Nabi saw.

Saya bukanlah sehebat Saidina Ali tetapi berbekalkan keyakinan bahawa Allah swt pasti akan memaqbulkan munajat hambaNya , Alhamdulillah saya sendiri tidak berasa rungsing . Tambah pula Hilang di Madinah , bumi Nabi saw.

Waktu itu , terlintas di hati saya kalau pun di taqdirkan saya tidak boleh balik melainkan urusan report dan pengeluaran passport sementara selesai dan saya kena tinggal di Madinah Bumi Nabi saw. tentulah saya tidak bimbang . Saya pasti akan bimbang dan rungsing jika passport itu hilang di London atau di Mesir dan lainnya.

Ustazah Mariam bukan setakat berzikir ribuan kali dan munajat sekian lama di Raudhah malah turut bernazar jika passport saya kembali ditemui , beliau akan berpuasa .

Seperti yang saya tegaskan tadi , saya dengan ditemani adinda saya Ust . Fadhil Noor terus ke Raudhah Nabi saw. Kami bermunajat dan solat hajat di situ mengharap perhatian Ilahi agar kami ditabahkan hati untuk menghadapi apa jua musibah hidup khasnya tribulasi di sepanjang jalan perjuangan suci ini .

Doa turut dititipkan buat sahabat – sahabat seperjuangan di tanahair agar mereka jua thabat dalam meredah segala tahaddiyat dan mehnah perjuangan serta memperolehi kehidupan yang baik dan sejahtera .

6.30 am pada 9 hb Julai 08 ‘ saya segera dihubungi oleh Ustazah Mariam dan memberitahu bahawa passport saya telah ditemui tercicir di dalam bas yang kami naiki dari Jeddah ke Madinah . Alhamdulillah , begitu girang sekali Ustazah Mariam yang lebih mesra dengan panggilan Kak Yam bagi kami yang masih muda ini. Masu’l yang bertanggungjawab memegang passport peserta Umrah tarbawi Puan Salbiah turut menarik nafaz lega . Sujud Syukur Ustaz ! itulah jeritan girang Kak Yam sewaktu menyampaikan berita gembira ini kepada saya .

Bas Pecah Tayar.

Setelah selesai solat zuhur , kami segera menziarahi maqam Rasulullah saw dan perkuburan Baqi’ sebelum kembali ke hotel untuk check out di mana jadual kami ke Makkah al Mukarramah pada jam 2.30 pm.

Peserta berangkat ke Mukarramah sekitar jam 3.00 pm menuju Bi’r A’li ( miqat makani ) bagi memulakan ihram dan niat umrah . Semangat menjadi tetamu Allah swt. Jelas sekali tersirna dari wajah mereka. Biarpun mereka yang pernah mengunjungi Tanah Suci ini apatah lagi bagi yang pertama kali menjejak kaki , rasa bangga dan bertuah pasti sahaja menyelubungi diri mereka.

Taqdir Ilahi mengatasi tadbir manusia , itulah satu reality yang terpaksa peserta Umrah Tarbawi kali ini akur dan menerimanya dengan penuh sabar dan redha terhadap apa jua ketetapan Ilahi ke atas mereka .

Bas yang kami naiki setelah menempuh perjalanan sejauh 200 km pecah tayar di tengah – tengah padang pasir . Menambah sulit apabila sukar mencari kedai membaiki tayar di tengah – tengah padang pasir nih. Setelah lama mencari dengan mengheret tayar pecah akhirnya kami berjumpa sebuah kedai kecil yang menyediakan khidmat membaiki tayar .

Setelah deal harga dengan pomen , kami terpaksa bersetuju walaupun beliau demand agak tinggi. Apa boleh buat , di tengah – tengah padang pasir nih mana nak cari kedai tayar . Namun malang , peralatan di kedai tersebut tidak memadai untuk membuka tayar bas yang salah satu skrunya telah berkarat teruk .

Hampir 5 jam kami tersadai di tengah padang pasir , hari telah larut malam . Sedang kami semua masih dalam ihram , kedengaran peserta muslimat berzikir dan sebahagiannya lena kerana keletihan.

Alhamdulillah , akhirnya pomen khas dari syarikat bas yang kami naiki dating sendiri untuk membaikinya setelah 4 jam lebih menunggu .

Setelah selesai menukar tayar baru , kami terus meluncur laju ke Makkah al Mukarramah dan tiba ke hotel di Kaki Bukit Ajyad hampir subuh .

UMRAH TARBAWI

Aktiviti di Makkah al Mukarramah tidak banyak yang perlu saya tulis kerana ianya banyak berkisar kepada kegiatan ibadah khusus seperti umrah , iktikaf , tawaf sunat , tazkirah , kuliah dan ziarah lokasi bersejarah di sekitar Makkah al Mukarramah .

Cukup menginsafkan apabila saya melihat peserta Umrah Tarbawi tanpa penat dan bosan gigih melaksanakan ibadah. Nyata peluang keemasan ini digunakan secukupnya.

Ustazah Nuridah Salleh kalau boleh saya nobatkan sebagai peserta Umrah Tarbawi yang terbaik wanita sementara Saudara Mohd Kamal Mohd Arish adalah peserta terbaik lelaki . ( Apa pun tiada sebarang anugerah dalam pakej Umrah Tarbawi kali ini . )

Saya nobatkan mereka kerana tahap keupayaan tinggi yang ditunjukkan dalam melaksanakan amal ibadah serta jelas tergambar betapa keikhlasan mereka dalam membentuk prestasi pengabdian diri mereka kepada Allah azza wa Jalla .

Namun begitu , seluruh peserta Umrah Tarbawi bagi siri yang pertama ini dianggap sebagai yang terbaik berbanding 10 kali pengalaman membawa rombongan atau pakej umrah dan ziarah ini , kata Ustazah Mariam Abd Rashid Pengarah Teknikal Umrah Tarbawi .

Kerjasama , ukhuwwah fillah , mematuhi arahan dan tidak menimbulkan masaalah kepada pihak pengurusan Umrah Tarbawi meletakkan mereka berhak mendapat pujian dari Pengarah Teknikal Umrah Tarbawi kali ini .

Peserta Umrah Tarbawi di Uji lagi

Perjalanan pulang Umrah Tarbawi ke tanahair turut menyaksikan ujian Ilahi yang mengukur tahap kesabaran pesertanya hingga ke pintu rumah mereka .

Bas yang kami naiki dalam perjalanan ke Jeddah mengalami kerosakan brek yang membuatkan perjalanan kami tergendala lebih 2 jam dan terpaksa membatalkan lawatan ke Masjid Terapung kerana bimbang ketinggalan jadual penerbangan.

Di Jeddah , kami dimaklumkan pula bahawa penerbangan ke Dhaka delay lagi dan kami terpaksa berkampung di airport Jeddah sehingga jam 9.00 am .

Setiba kami di Dhaka , penerbangan ke Kuala Lumpur juga delay 2 jam setengah . Kami tiba di KLIA jam 7.45 am

PUAS

Puas ! ya saya cukup puas setelah lama saya tidak melalui Tamrin Panjang seperti ini. Bermula 6 hb Julai hinggalah berakhir 20 Julai penuh dengan aktiviti , iktibar , ibadah , tarbiyyah , ukhuwwah , ilmiyyah , khibrah dan banyak lagi . Saya puas ! sekurang – kurangnya terubat rindu saya kepada tamrin panjang yang telah lama tidak dilaksanakan di dalam parti .

Saya percaya , dengan pelbagai halangan dan ujian yang dihadapi tak sudah – sudah sedari awal hingga ke akhirnya , tentu sahaja ada yang mengeluh dan merungut malah ada yang mencadangkan supaya lain kali jangan naik lagi BIMAN Air ways .

Saya senyum dan saya tetap puas. Inilah tarbiyyah yang saya cari . Tarbiyyah yang langsung datang dari Ilahi dan ianya mendekatkan diri saya yang kerdil ini kepadaNya.

4 Comments:

Blogger matcomot said...

salam.........
cerita tentang umrah ustaz je?bila nak komen kes ulamak ulamak gagal medidik anak bangsa.bila nak komen kes ulamak anda nasaruddin mat isa menipu.dulu kata takda.skrg kata ada.ulamak di halalkan menipu ke?ustaz pun jgn la lari dr menjawab.cerita umrah org tak mau dngr la.........................

10:48 PM

 
Blogger Us.Hj. Nasrudin Hj. Hassan At Tantawi said...

W'salam

Sabar lah , saya baru balik umrah . 2 minggu di Tanah Suci mmg padat dgn jadual Umrah dan ibadah kepada Ilahi . ( Itu juga sebahagian dari episod perjuangan ) saya mmg tidak berkesempatan untuk mendapatkan berita dari Malaysia.

Insyaallah , Esok DPPP akan meeting . Pasti ada beberapa perkara yang diputuskan. Jangan gopoh dalam menilai dan bertindak .Malah juga jgn gopoh dalam membuat kesimpulan dan keputusan hanya dgn kita lihat , tahu , baca dan nilai dari luar tanpa kita duduk bersama , bincang dan mentelaahnya.

Insyaallah , perjuangan suci ini akan senantiasa dipelihara oleh Allah swt. Asal saja kita tidak gopoh dan keterlaluan , segalanya menjadi mudah dan tenang .

Tiada siapa yang nak lari ya akhi . Sebaliknya kami sejak dulu senantiasa mendepani apa jua isu dan masaalah ummah . Hadapi segalanya demi agama tercinta.

2:38 AM

 
Blogger matcomot said...

terima kasih....
bkn apa sedikit kecewa dgn apa yg terjadi skrg.

12:52 PM

 
Blogger arbainah said...

Assalamualaikum..saya dari BRP, sg buloh. ustad pernah datang ceramah di surau tempat saya dan saya ada jemput ustad datang rumah lepas ceramah dengan uztazah mariam. Memang penuh dengan ujian umrah ustad. Moga-moga dengan kesabaran ustad dan jemaah lain malalui ujian itu diberikan ganjaran yang berlipat ganda dari Allah swt. Amin.

9:47 PM

 

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

Links to this post:

Create a Link

<< Home