" Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini "

Wednesday, July 23, 2008

Muzakarah PAS - UMNO
Kembali kepada Prinsip Amal Islami - 2

Petang tadi sedikit kekecohan timbul ekoran salah faham terhadap sms kenyataan akhbar Yb. Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat yang diedar oleh Harakah kepada pelanggannya yang dikatakan bercanggah dengan keputusan mesyuarat Dewan Pemuda PAS Pusat .

Saya sendiri telah menghubungi Yb. Salahudin Ayyub dan mendapatkan penjelasan mengenai betul duduknya perkara tersebut dan alhamdulillah berlaku sedikit salah teknikal dimana sms itu adalah hanya sebahagian kecil dari kenyataan Yb. Salahudin Ayub sedang kenyataan penuh adalah menepati keputusan mesyuarat Khas Dewan Pemuda PAS Pusat semalam .

Kenyataan penuh beliau boleh diikuti dan dibaca melalui Harakah Daily dan saya mengharapkan segala kekeliruan dapat dirujuk terus kepada Dewan Pemuda Pusat PAS .

Kenyataan tersebut seperti berikut :

Muzakarah: Dewan Pemuda PAS
Pusat perjelas pendirian

Nyza Ayob & Nuha Rahim Foto Nasir Sudin
Wed Jul 23, 08 4:07:18 pm MYT

KUALA LUMPUR, 23 Julai (Hrkh) - Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub menegaskan menjadi dasar umum dan pendekatan Dewan Pemuda PAS Pusat untuk mengadakan apa jua bentuk perbincangan, dialog mahupun muzakarah dengan mana-mana pihak sebagai membuktikan PAS adalah parti yang sangat terbuka dan bersedia untuk berkongsi pengalaman dan pendekatan demi kepentingan negara, rakyat dan khususnya perjuangan Islam dalam negara ini.

Menurut Salahuddin dalam sidang media yang diadakan di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut hari ini, ketetapan dan ketegasan tersebut dibuat setelah mengadakan perbincangan selama tiga jam setengah dalam mesyuarat khas jawatankuasa kerja Dewan Pemuda Pas Pusat malam tadi.

Turut serta dalam sidang media tersebut ialah Setiausaha Pemuda PAS Pusat, Sabki Yusuf; Exco Pemuda PAS Pusat, Khairul Faizi Ahmad Kamil dan Kamaruzzaman Mohamad.

Jelas Salahuddin, di samping sikap keterbukaan itu, Dewan Pemuda PAS menentang sebarang usaha sekiranya muzakarah yang hendak diadakan menjurus dan memfokuskan kepada agenda kerjasama politik ataupun perkongsian kuasa di antara PAS dan Umno.

Tambahnya, melalui mesyuarat tersebut, Dewan Pemuda PAS juga membuat ketetapan komited kepada Pakatan Rakyat yang sedang terjalin.

Salahuddin menegaskan, Pakatan Rakyat merupakan satu-satunya wadah untuk menjadi alternatif kepada Barisan Nasional.

Katanya, Dewan Pemuda PAS juga akan menentang sebarang usaha yang dilakukan oleh mana-mana pihak untuk memecah belah serta menimbulkan fitnah dan hasutan terhadap Pakatan Rakyat.

Sehubungan itu katanya, sekiranya berlaku muzakarah antara PAS dan Umno, ia tidak akan berakhir dengan PAS meninggalkan Pakatan Rakyat serta menyertai atau berkongsi kuasa dengan Barisan Nasional.

"Oleh itu rakyat seharusnya faham bahawa muzakarah yang digembar gemburkan jika menjurus kepada perbincangan perkongsian kuasa serta agenda untuk meninggalkan Pakatan Rakyat, menjurus kepada kerjasama politik ia merupakan perkara yang tidak benar sama sekali.

"Rakyat seharusnya yakin dengan kepimpinan PAS serta perjuangan PAS hari ini. Kita sebenarnya sedang menerima mandat rakyat selepas Pilihan raya lalu dan telah membentuk kerajaan Pakatan Rakyat di lima buah negeri. Ini merupakan amanah dan tangggung jawab yang kita tunaikan dengan penuh kesedaran. Kita mempunyai prinsip dan pegangan yang cukup kuat tanpa ada pemikiran lain untuk lari atau mengkhianati daripada Pakatan Rakyat ,"tegasnya.

Dalam pada itu, Salahuddin menegaskan sekiranya terdapat sebarang permasalahan dalam Pakatan Rakyat, perkara tersebut akan diselesaikan dengan baik. - mks._

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home