" Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini "

Wednesday, September 17, 2008

Tazkirah Ramadhan : 7
FATHUL MAKKAH
Kemenangan Agong Milik Islam

Sebagai pejuang Islam yang mendokong cita - cita besar untuk mendaulatkan syariat Allah diatas muka bumi ini , khasnya tanahair tercinta sewajarnya kita mendalami dan menghayati peristiwa Fathul Makkah semoga ia mampu menyuntik kekuatan dan kesedaran kepada kita .

Tambahan pula akhir - akhir ini kedengaran suara yang membisik agar kita tidak perlu lagi bercakap soal menegakkan negara Islam kerana bimbang perjuangan kita tidak diterima oleh orang - orang bukan Islam atas alasan golongan bukan Islam belum dan tidak memahami pasal negara Islam . Lebih jauh mereka berhujjah bahawa Nabi saw. pun tidak pernah menyebut mengenai negara Islam .

Saya melihat realiti ini dari sudut yang berbeza . Benar masih terdapat orang bukan Islam yang tidak dan belum memahami Islam apatah lagi mengenai negara Islam . Maka penyelesaian yang patut diambil bukan dengan kita tidak menyebutnya ( bimbang mereka tidak sokong ) tetapi dengan langkah memberi penjelasan kepada mereka mengenai negara Islam.

Kalau kita tidak mahu sebut mengenai negara Islam dan perjuangan untuk menegakkannya , maka sampai bila pula orang - orang bukan Islam akan memahami isu negara Islam ini ? Justeru itu , kita mesti banyak menyebutnya dan banyakkan medan perbincangan mengenainya malah kita mengajak non muslim hadhir dalam perbincangan yang berkait dengan isu negara Islam .

Jelaskan kepada mereka bukan sembunyikan dari mereka . Ada setengahnya berpendapat kita hanya bercakap soal kandungan negara Islam berbanding menyebut slogan negara Islam .

Suka saya tegaskan , hanya menyebut istilah negara Islam tetapi kosong dari penjelasan dan tindakan mengenai negara Islam yang sebenar juga satu kesilapan sebagaimana hanya bercakap soal kandungan ( subtance ) tanpa mahu menyebut mengenai negara Islam ( Daulah Islamiyyah ) juga satu tindakan yang tidak betul.

Maka yang betulnya ialah sebut " ini negara Islam dan ini kandungan negara Islam serta ini cara Nabi saw berjuang mendapatkan negara Islam" .

Mana boleh kita berniaga , kita jual produk yang hanya ditampal label tetapi kandungannya kosong atau kandungan tidak seperti apa yang dilabelkan . Demikian juga tidak wajar kita jual produk yang hanya terdiri dari bahannya sahaja tanpa label yang ditampal .

Saya belum jumpa orang jual kicap sahaja dengan botolnya kosong tanpa label . Kalau ada orang jual kicap macam tu , saya rasa kicapnya tidak akan laku . Sebab label itu menarik perhatian dan turut memberi penjelasan apakah yang terkandung didalamnya . Biasanya dilabel itulah tersenarai ingredientnya .

Berbalik kita kepada persoalan negara Islam , bagaimana ia diperjuangkan oleh Nabi saw. membentuk sebuah negara yang tunduk dan taat kepada Allah swt.

Benar Nabi saw. tidak menyebut perkataan Negara Islam sebagai Nabi juga tidak menyebut pasal Negara Kebajikan dan Makkah Baru dan sebagainya . Tetapi ulama' telah menyediakan satu dasar perbincangan yang luas dan lebar mengenai perjuangan Rasulullah saw. sehingga lahir topik atau kitab yang membahas khusus mengenai Feqhud Daulah.

Fathul Makkah.

Peristiwa Fathul Makkah telah membuka mata dunia khasnya kuasa besar dunia pada waktu itu terhadap keupayaan dan kekuatan yang dimiliki oleh Islam dan ummatnya di bawah kepimpinan Baginda Rasul saw.

Fathul Makkah atau Pembukaan Kota Makkah juga meletakkan Islam sebagai kuasa baru yang tidak lagi boleh dipandang ringan apatah lagi untuk di “buli” oleh musuh-musuhnya.

Namun Pembukaan Kota Makkah bukanlah isu persaingan kuasa atau merebut empayar pemerintahan di persada dunia tetapi bermatlamatkan Redho dan Rahmat Ilahi dalam misi menyelamatkan aqidah ummah dari belenggu fahaman Jahiliyyah.

Justeru itu , Baginda saw. yang memimpin 10 ribu tentera dan ummat Islam telah keluar dari Madinah menuju Kota Makkah pada hari Rabu tanggal 10 Ramadhan Tahun ke 8 Hijrah selepas waktu A’sar [1] dengan membawa slogan keamanan dan kesejahteraan bersama Islam .

Jauh sekali untuk melepaskan dendam ke atas penduduk Makkah, sungguhpun mereka pernah di seksa dan dihalau dari Makkah pada peringkat awal perjuangan mereka bersama Gerakan Islam yang di pimpin oleh Rasulullah saw.

Baginda saw. telah mengisytihar slogan keamanan dan kesejahteraan itu dengan sabdanya :[2] مَنْ دَخَلَ دَارَ أَبِيْ سُفِيَانَ فَهُوَ آمِنٌ , وَ مَنْ دَخَلَ اْلكَعْبَةَ فَهُوَ آمِنٌ , وَ مَنْ دَخَلَ الْمَسْجِدَ فَهُوَ آمِنٌ , وَ مَنْ دَخَلَ دَارَ حَكِيْمَ بْنِ حِزَام فَهُوَ آمِنٌ , وَمَنْ أَغْلَقَ عَلَيْهِ بَابَهُ فَهُوَ آمِنٌ .[3

“ Barangsiapa memasuki rumah Abi Sufian maka ia aman , barangsiapa memasuki al Kaabah maka ia aman , barangsiapa memasuki Masjidil haram maka ia aman , barangsiapa memasuki rumah Hakim ibn Hizam maka ia aman dan barangsiapa mengunci pintu rumahnya maka ia aman.”

Sahabat seperjuangan .

Islam Agama Keamanan.

Perhatikanlah , itu bukan slogan penjajahan dan bukan juga slogan peperangan yang penuh dengan semangat membalas dendam , tetapi itu adalah slogan keamanan dan kesejahteraan yang datang dari Rasul ‘Nabiyyul ummah’ untuk menyelamatkan mereka dari terperangkap dalam kegelapan Jahiliyyah kepada cahaya Hidayah .

Saksikan juga bagaimana tindakan Baginda Rasul saw. sejurus memasuki Masjidil Haram dan memusnahkan 360 berhala yang berada di sekeliling Kaabah , Baginda saw. mengisytiharkan di hadapan kaum Quraisy yang masih terpinga – pinga pada waktu dengan membaca Firman Allah swt. dari surah Yusuf :[4]

قال لا تثريب عليكم اليوم يغفر الله لكم وهو أرحم الراحمين

Yusuf berkata: "Kamu pada hari ini tidak akan ditempelak atau disalahkan (tentang perbuatan kamu Yang telah terlanjur itu), semoga Allah mengampunkan dosa kamu, dan Dia lah jua Yang Maha Mengasihani daripada Segala Yang Mengasihani.

( Surah Yusuf . Ayat 92 )

Lalu Baginda saw. berkata :

إِذْهَبُوْا وَ أَنْتُمُ الطُّلَقَاء

“ Pergilah kamu semua , kamu semua dibebaskan ”

Fathul Makkah bukan peristiwa Balas Dendam.

Sejurus nabi menerima anak kunci pintu Kaabah daripada Saiyidina Ali Karramallahu wajhah. , Saiyidina Ali memohon agar urusan mengendali kunci Kaabah dan juga melayan tetamu Masjidil Haram diberikan kepadanya sedang sebelumnya , urusan kunci Kaabah dipegang oleh Keluarga Bani Abdil Daar dan kunci itu berada di tangan Othman bin Talhah Rha. yang memeluk Islam bersama Khalid ibn Walid Rha. sebelum pembukaan Kota Makkah.

Kemudian turun wahyu Allah :

إن الله يأمركم أن تؤدوا الأمانات إلى أهلها و إذا حكمتم بين الناس أن تحكموا بالعدل
إن الله نعما يعظكم به إن الله كان سميعا بصيرا

Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan Segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum Dengan adil. Sesungguhnya Allah Dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran Yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.

( Surah an Nisaa’ . Ayat : 58 )

Sebaik sahaja menerima wahyu tersebut , Baginda saw. menyerahkan anak kunci Kaabah kepada Othman bin Talhah Rha. seraya berkata : “ Ambillah selama – lamanya , siapa pun tidak boleh merampasnya daripada kamu melainkan oleh orang yang zalim . Wahai Othman ! sesungguhnya Allah meminta supaya kamu memegang amanah memelihara rumahnya , maka makanlah daripada apa yang sampai kepada kamu daripada rumah ini dengan baik .”

Peristiwa ini meninggalkan kesan Iman yang mendalam kepada Othman bin Talhah Rha. kerana dia pernah berkasar dan menghalang Nabi saw. memasuki Kaabah sebelumnya. Dia menyangka urusan memegang kunci Kaabah ini tidak mungkin diserahkan kepadanya lagi.[5]

Inilah bukti nyata bahawa Islam adalah agama yang sangat murni dan ianya bukan ciptaan Muhammad saw. tetapi datang dari Allah Jalla wa A’la .

Fathul Makkah membawa Nusrah .

Antara detik peristiwa penting dalam Kegemilangan Fathul Makkah ialah Islamnya seorang tokoh yang begitu kuat menentang Islam sebelumnya. Tidak syak , tokoh itu ialah Abu Sufian ibn al Harb .

Berurutan dengan peristiwa besar ini , dilihat berduyun – duyun manusia menerima Islam dan beriman kepada Allah swt . Firman Allah swt .

Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa Engkau Wahai Muhammad berjaya Menguasai negeri Makkah), Dan Engkau melihat manusia masuk Dalam ugama Allah beramai-ramai, Maka Ucapkanlah tasbih Dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya, Sesungguhnya Dia amat menerima taubat.

( Surah an Nasr . Ayat 1 – 3 )

Apa yang lebih menarik , kemenangan yang menjadi ujian besar kepada ummat Islam ini di ajar oleh Allah agar menyambut dan meraikan kemenangan tersebut dengan Tasbih dan Istighfar .

( Justeru kemenangan itu adalah kurniaan dari Allah maka bertasbihlah memuji Allah . Namun kemenangan juga adalah ujian , semoga tidak teruja lalu leka dengan kemenangan maka beristighfarlah .)

Nilai Perjuangan Selepas Menang .

Kemenangan yang dicapai oleh Nabi saw dan ummatnya ke atas Kota Makkah telah meletakkan mereka aman dan selesa untuk melaksanakan kerja – kerja agama pada waktu itu berbanding sebelum Pembukaan Kota Makkah .

Justeru itu Allah swt. berfirman :

Dan mengapa kamu tidak membelanjakan harta benda kamu pada jalan Allah? - padahal Allah jualah Yang mewarisi langit dan bumi (serta Segala isinya). tidaklah sama di antara kamu, orang-orang Yang membelanjakan hartanya serta turut berperang sebelum kemenangan (Nabi Menguasai Makkah). mereka itu lebih besar darjatnya daripada orang-orang Yang membelanjakan hartanya serta turut berperang sesudah itu. dan tiap-tiap satu puak dari keduanya, Allah janjikan (balasan) Yang sebaik-baiknya. dan (ingatlah), Allah Maha mendalam pengetahuannya akan apa Yang kamu kerjakan.

( Surah al Hadiid . Ayat : 10 )

Iktibar dari Fathul Makkah .

Persoalannya , kenapa kita begitu sukar untuk berjuang dan berkorban demi agama Allah swt. sedang cabaran dan halangan yang kita hadapi tidaklah sehebat mereka yang berjuang dan berkorban sebelum daripada kita, khasnya sebelum Fathul Makkah?

Selayaknya kita mengambil seluruh ruang dan peluang mudah yang ada di hadapan kita untuk berbakti kepada agama dan menghampirkan diri kepada Allah swt.

Lebih penting kepada kita ialah meneruskan perjuangan Nabi saw. untuk mengembalikan semula kegemilangan Islam yang pernah dicapai .

Bukankah hari ini kita melihat bagaimana Islam dan ummatnya ditindas dan dipersenda . Musuh berani melakukan demikian lantaran ummat Islam kini tidak lagi mempunyai daya juang yang tinggi untuk memelihara dan menjulang agama mereka sendiri.

Lebih malang , terdapat mereka yang mengaku muslim tetapi menikam Islam dari belakang dan menjadi tali barut musuh yang melemahkan Islam dari dalam .

Sahabat seperjuangan .

Islam perlu menang demi maruah ummah ! namun untuk memenangkan Islam , kita wajib turun ke medan juang ! menyebarkan agama Allah , membasmi kejahilan dan kebathilan , memimpin dan membimbing ummah . Firman Allah swt :

يا يها الذين ءامنوا إن تنصروا الله ينصركم و يثبت أقدامكم

Wahai orang-orang Yang beriman, kalau kamu membela (ugama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu.

( Surah Muhammad . Ayat : 7 )

[1] Rujuk Fiqhus Sirah Karangan Syaikhuna Dr. Muhammad Sai’d Ramadhan al Buuti .
[2] Rujuk : Silsilah Ghazawat ar Rasuulil A’zham saw. di bawah Tajuk Fathu Makkah :
Karangan Dr. Syauqi Abu Khalil . Muka Surat 69 . Terbitan Darul Fikri Damsyik .

[3] Rujuk : Sohih Muslim . Terbitan Darul Ihya’ Turath al A’rabi Beirut . Jilid ke 3 /
Muka surat 1407 . Hadis ke 1780 dengan lafaz hadis :
من دخل دار أبي سفيان فهو آمن و من ألقى السلاح فهو آمن و من أغلق بابه فهو آمن .

[4] Rujuk : Fiqhul Harakah Fi Sirah an Nabawiyyah . Karangan Dato’ Seri Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang .
Jilid ke 3 / Muka surat 65 . Terbitan Harakah . ( Cetakan pertama 2006.)

[5] Rujuk Fiqhul Harakah Fi Sirah an Nabawiyyah . Muka surat 66 - 67

4 Comments:

Anonymous Anonymous said...

laa.. Kita dah jadi MB di kelantan, Kedah dan Perak. Sekarang ni buktikan kita lebih baik dari Pulau pinang dan Selangor secara praktikal...

Ana bimbang kita hanya bercakap soal negara Islam, tapi rakyat melihat, corak pentadbiran dan ketelusan, intergriti Pulau pinang lebih baik dari kita.

Wakil Rakyat PAS (ADUN dan MP) di seluruh negara mesti tunjuk contah lebih baik dari wakil rakyat DAP dan PKR.

Macam mana rakyat nak terima seruan negara Islam kita, rumah tangga wakil rakyat kita pun porak peranda... Sampai ke mahkamah...

Tegakkan negara Islam dalam diri wakil rakyat PAS dulu nescaya rakyat akan percaya dengan negara Islam yg kita laungkan.

Kalau wakil rakyat PAS dan negeri yg PAS jadi MB tak boleh tunjuk penampilan yg baik, hentikanlah cerita negara Islam pada non muslim, gelak dek org.

12:42 AM

 
Anonymous Anonymous said...

MuslimDontLie said;

MasyaAllah , that's a very good article you wrote there . You are absolutely right , we should talk more about islamic state and not to 'hide it ' because of 'fear' that non-muslim will not support PAS again . If that's the situation , then it's bad for PAS and they have to re-think their objectives again .
Keep on writing good stuff and your article " InsyaAllah 16th Sept .." , well , I couldn't agree more , WE MUST REMEBER ALLAH WHENEVER WE WANT TO SAY SOMETHING OR DO SOMETHING AND BY SAYING ...INSYAALLAH .. IS THE RIGHT THING TO DO .
'THE NOT-HAPPENING 16TH SEPT THING' shows to all of us not to be overconfident and say InsyaAllah next time , BECAUSE we can't even GUARANTEE our own life even tomorrow , next week or next seconds , some more of TAKING OVER THE GOVERNMENT ON CERTAIN DATE ... nauzubillahiminzalik , astaghfirullahhalazim ....

May Allah show all of us the straight path , amin ya rabbal alamin

MuslimDontLie

1:26 AM

 
Anonymous Anonymous said...

SAYA SUKA TULISAN USTAZ...USTAZ ULAMA' MUDA PAS YANG BERANI ....BERTAHUN SAYA BERSAMA PAS...SAYA INGIN SANGAT MENGETAHUI BENTUK NEGARA ISLAM YANG SEBENAR ....SAYA RASA PAS TIDAK MENGAMBIL LANGKAH MENJELASKAN KEPADA AHLI 'RUPA' NEGARA ISLAM....YANG BANYAK MEMBAHASKAN NEGARA ISLAM INI ADALAH HIZBUT TAHRIR...SAYA PULA TAK TERIMA 100% PEMIKIRAN HT....CUMA KEKADANG SEDIKIT RASA TERPENGARUH...TERIMA KASIH USTAZ...MEMPERBAHARUI SEMULA SEMANGAT SAYA DENGAN PAS....

12:54 PM

 
Anonymous w said...

Salam ustaz nasruddin, saya harap ustaz terpanggil dan tergolong di antara pimpinan yang merasa bertanggungjawab untuk menyampaikan isi dan kulit kepada "negara Islam" sepertimana yang di sarankan oleh sahabat yang perihatin di atas.

6:13 PM

 

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

Links to this post:

Create a Link

<< Home