" Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini "

Thursday, February 05, 2009

SURAT TERBUKA
Buat Semua
ADUN dan MP PAKATAN

Salam perjuangan saya memula bicara dengan nama Allah swt. Tuhan Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana .

Buat semua Ahli Dewan Undangan Negeri [ ADUN ] dan Ahli Parlimen [ MP ] PAKATAN RAKYAT .

Tatkala kita bersama memeterai tekad dan keyakinan menyertai perjuangan suci bersama PAKATAN demi memartabatkan nilai kesaksamaan dan keadilan dalam sistem politik negara ini ,

jua membasmi segala kezaliman serta memansukhkan pelbagai penyelewengan dalam dasar pemerintahan negara , sebenarnya kita sedang berada di atas landasan suci yang menjanjikan kita masa depan yang makmur , sentosa dan harmoni .

Malah kita juga telah memberi segunung harapan kepada rakyat untuk mereka keluar membebaskan diri dari perangkap politik tindas dan pemerintahan zalim yang membelenggu mereka sejak sekian lama .

Biarpun tidak semua rakyat memahami dan memberi sokongan kepada perjuangan kita , namun kebersamaan rakyat mengiringi langkah tindak kita membentuk iklim baru dalam monsun politik tanahair . Malah rata - rata rakyat mula mengkaji dan meneliti dasar bahkan hala tuju perjuangan kita .

Alhamdulillah kita telah dikurniakan Allah 4 buah negeri untuk dipimpin atau ditadbir oleh PAKATAN selain Kelantan yang berjaya di pertahankan sejak 18 tahun yang lalu . Satu pencapaian hebat yang mampu digapai dalam waktu yang singkat .

Ya ... satu kurniaan yang menjadi ujian besar kepada kita semua . Apakah kita bersyukur lantas menunaikan tanggungjawab serta amanah sebagai pentadbir dan pemerintah yang baik lagi bertaqwa atau kita kufur lantas kita culas dalam melaksanakan tanggungjawab serta khianat terhadap amanah dan mandat rakyat .

Ujian ini besar dan berat . Hanya mampu ditatang dan digalas oleh mereka yang kuat spiritualnya . Hanya mampu dihadap dan didepani oleh mereka yang tabah serta besar pula jiwanya . Berani , sabar , cekal , bijak , hikmah , mantap dan tahan menghadapi rintangan merupakan antara kriteria yang mesti dimiliki semua kita .

Gopoh , tamak , lemah , takut , malas , culas , pecah amanah dan khianat pula adalah antara dosa atau mazmumah yang mesti dinyahkan dari menguasai diri dan minda kita .

Realiti yang perlu diteliti

Mazmumah adalah musuh seorang pejuang . Ia bagai satu virus yang cepat menyerang dan pantas merebak menguasai setiap sendi saraf lalu melumpuhkannya. Semangat perjuangan yang berkobar - kobar cepat serat dan pudar sejurus dijangkiti virus mazmumah ini .

Sebaliknya , jika kita mampu menyediakan vaksin yang boleh menuetralkan kesan jangkitan virus ini , kita pasti selamat dari menjadi mangsa .

Pastinya vaksin yang saya maksudkan itu ialah taqwa dan taqwa ini pula mampu menghasilkan tindak balas positif yang menjadikan pemilik atau pemakainya hebat dan kuat anti body .

Kita tentu sahaja masih ingat satu pengalaman yang pernah dilalui oleh Kerajaan Negeri Kelantan . Pengalaman memerintah negeri dengan kelebihan 2 kerusi dan kemudiannya satu kerusi dipertengahan musim ekoran kalah dalam pilihanraya kecil Pangkalan Pasir .

Lebih getir situasi dikala itu apabila terdapat satu kerusi yang hanya dimiliki melalui kemenangan tipis iaitu majoriti 2 undi . Kerusi tersebut ialah kerusi yang mewakili DUN Kemuning [ Yb. Zakaria Yaakub ] pada masa itu .

Pelbagai helah dan tindakan nekad UMNO Kelantan untuk mengguling Kerajaan pimpinan YAB Ayahanda Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat . Cara baik atau cara jahat , cara pujuk atau cara ugut telah digunakan oleh UMNO tanpa peduli sebarang implikasi jauh sekali mengambil kira dosa dan neraka .

Berbekalkan kelebihan 1 kerusi , Kerajaan Kelantan terus bertahan hingga tamat musim sebelum menang kembali dengan penguasaan majoriti 2/3 kerusi Dewan Undangan Negeri Kelantan .

Keupayaan dan kemampuan mereka bertahan berhadapan dengan segala ugutan , bujukan , tawaran dan godaan membuktikan mereka memiliki Taqwa yang sukar dilunturkan oleh virus mazmumah .

Saya masih ingat bagaimana ADUN Kemuning yang menjadi wakil rakyat dengan kelebihan 2 undi tidak cair dihadapan setengah juta ringgit yang ditunjukkan secara cash money dihadapannya malah setengah juta ringgit itu akan menjadi miliknya andai ia sanggup menjual diri dan menggadai maruah kepada UMNO dan BN Kelantan bagi membolehkan UMNO menggulingkan Kerajaan negeri Kelantan .

Tawaran setengah juta di tolak ?

Apakah Cikgu Ya tidak tahu menilai betapa harga setengah juta ringgit ? Ya ... seperti kata sahabat karib saya Yb. Ustaz Baihaqi Atiqullah [ ADUN Pasir Tumboh ] , bukan sahaja Yb. Cikgu Ya tidak terpengaruh dengan tawaran lumayan itu , tetapi juga seluruh wakil rakyat Kerajaan [ sekarang PAKATAN ] tidak betah untuk digoda sehingga UMNO kehilangan aqal dalam mencongak strategi dan keciciran budi dalam mengolah bakti .

Sekalung tahniah buat semua wakil rakyat PAKATAN di negeri Kelantan yang tahu harga dan nilai diri bukan boleh ditanda dengan mata wang dunia .

Sikap dan sifat beginilah yang mesti wujud dalam setiap jiwa ADUN dan MP PAKATAN . Apa yang berlaku di Perak adalah suatu yang cukup dikesali . Meranapkan harapan rakyat melalui satu pengkhianatan dan sandiwara politik murahan yang memualkan .

Bayangkanlah , betapa sukar pula kita mahu membina keyakinan dalam jiwa rakyat agar menyerahkan mandat pengurusan dan pentadbiran negeri atau negara kepada PAKATAN apabila dilihat ADUN dan MP dari PAKATAN tidak lekat unjak atau kuat cacangnya .

Ingatlah , kita menyertai perjuangan ini bukan untuk bermain politik bagi memperlihatkan kelicikan strategi dan kehebatan pengaruh , tetapi satu penyertaan yang menyandang matlamat suci . Matlamat melahirkan sebuah negara yang aman , makmur dan harmoni . Melahirkan Negara yang bebas rasuah , bebas mungkar , bebas jenayah , bebas penyelewengan dan salah guna kuasa .

Matlamat yang memerlukan pengorbanan dari kita semua bukan pengkhianatan yang kelak dikutuk malah dilaknat oleh seluruh generasi . Jangan sampai muka diludah anak sendiri atau kubur dikencing oleh waris sendiri . Semuanya bermula dari episode sebuah pengkhianatan .

Iklim politik negara amnya dan Perak khasnya hari ini diburukkan oleh pengkhianat yang tidak bermaruah . Harga diri boleh dilelong ke sana sini . Hari ini di pasar borong Selayang dan lusanya kelihatan bergayut pula di pusat lelongan pasar borong Gombak .

Cukup jijik dan meloyakan . Cukup tidak bermaruah dan tiada aras nilai pada diri . Segalanya kerana harta dan pangkat . Kerana hubbud dunya wa karaahiyatul maut .

10 Comments:

Blogger Bisa Biasa-Biasa said...

Tetapi ustaz, ingatlah kita lah yang sedahulu-dahulunya bermain politik jalan belakang dengan mewar-warkan 16 september.

Apa perlu kita tangisi kejatuhan kerajaan perak..bahkan kita jualah yang memulakan dahulu permainan stategi politik budak tadika ini..

Moga ini muhasabah buat pemimpin angkuh yang gila kuasa mencabar demokrasi mengikut jalan belakang.

bahkan ustaz juga pernah bersetuju dengan hal ini..Sila rujuk semula post2 ustaz yang dahulu..

Allahu Akbar!!

Hebat sungguh ketentuan Allah mengingatkan kita pada jalan sebenarnya..

11:08 PM

 
Blogger Martyr said...

tak pe lah abu, biarkan politik itu.
Allah dah tunjukkan tarbiyyahnya.

Sama-sama kena.

Tapi ana kat melbourne seriously tak pernah dengar pasal 16 sept. Ape citer?

4:30 AM

 
Anonymous Anonymous said...

Apa yang tak kena dengan 16 sept tu Pak Abu ?....apa yang jalan belakangnya ?....

pak Abu amati baik-baik....kalau pak Abu maksudkan strategi 'lompat parti' sebagai jalan belakang tu ana rasa ada bezanya lompat party yang kita war warkan dgn lompat parti yang BN usahakan itu ....

saya nampak kalau pun ada usaha kita menubuh kerajaan melalui lompatan katak atau kijang ni, kita tawarkan prinsip perjuangan kita yang telus serta adil tanpa sogokan kebendaan....tapi UMNO membeli lompatan Adun tersebut dengan duit berjuta-juta ....

saya cuma boleh terima kalau tradisi lompat party itu dibawa atas roh 'hijrah'..... tapi jika atas matlamat habuan dunia ianya adalah 'jijik'....

6:56 AM

 
Blogger Nasrudin bin Hassan at Tantawi said...

Assalamualaikum

Saya sejak awal tidak pernah bersetuju dengan agenda 16 sept . Saya setuju untuk menumbangkan kerajaan UMNO dan BN tetapi 16 sept itu sedari awal saya tidak bersetuju dengannya .

16 sept bukan isu melompat parti sahaja tetapi kerana banyak perkara lain yg berkait . Saya tidak mahu mengulasnya disini .

Pun begitu , suka saya sebutkan perbezaan isu antara apa yg berlaku .

pertama :

mereka kata ini akibat PAS sertai demokrasi . Lihat bagaimana demokrasi menikam atau memakan PAS sendiri akhirnya .

Mereka silap dalam penafsiran sedemikian . Apa yg berlaku di Perak bukan kerana demokrasi . Kalau ikut demokrasi , PAKATAN berkuasa di Perak .

Tetapi berlaku pencabulan demokrasi mengakibat kerajaan PAKATAN rakyat di Perak diguling secara tidak bermoral .( melalui proses membeli ADUN dan mengugut serta menculik ADUN )

Kedua :

Masaalah yg kita hadapi sekarang bukan pada perkataan lompat . tetapi dilihat kepada tujuan lompat dan bagaimana ia melompat .

Lompat [ baca hijrah ] tidak salah jika ianya berlaku dari kejahatan kepada kebaikan . seperti ahli kelab malam melompat [ hijrah ] menjadi ahli kelab masjid .

Saya percaya lompat seperti ini , diasaskan pula dengan sebuah kesedaran utk menjadi soleh dan bertaubat atas dosa lalu adalah diterima malah digalakkan oleh syara'

Adapun lompat dari ahli kelab masjid menjadi ahli kelab malam dan judi adalah suatu yang dicela oleh syara' .

so isu di sini bukan lompat tetapi kenapa dia lompat , bagaimana ia lompat dan ke mana ia melompat .

Kalau lompatnya kerana menggadai prinsip perjuangan dan tersilau dengan tawaran dunia dan melompat pula ke tempat yang bersarang segala mungkar dan maksiat maka lompatan itu adalah sangat keji lagi jijik . Tidak bermaruah .

sebaliknya lompatan yang dibuat secara bersih bertolak dari sebuah kesedaran dan keinsafan dan tempat tujunya pula bersih dan baik maka lompatan itu akan menjadi baik .

9:34 AM

 
Blogger MADiSYAK said...

Masyaallah!

Kita tuduh orang macam-macam. Sogok duitlah, culiklah, membeli Adunlah. Betulkah ini?

Agaknya semasa diberi duit tu kita ada kat belakang pintu sedang memerhati. Bodoh sangatkah Najib nak beri sampai 50 juta?

Perkara yang kita tidak nampak, yang kita tidak tahu bila dituduh juga, orang panggil 'fitnah'. Apa hukum memfitnah ni?

Bercakap benarlah. Siapa pun tak nampak siapa memberi sogokan. Cuma cakap-dengar sahaja dari orang-orang yang menabur fitnah. Kita pun ikut gila macam orang itu juga.

Ish!

9:57 PM

 
Anonymous Anonymous said...

madisyak o madisyak..
benda dh jelas nk buat xnampak lagi.
sabar la ust terhadap org2 yg tertutup pintu hati mereka nie..

moga2 Allah s.w.t memberi hidayah pada mereka..insyaAllah

10:16 PM

 
Anonymous Anonymous said...

Salam,

Ustaz.....inilah realiti demokrasi.

Demokrasi hanya redha jika sekuler berkuasa. Jika ada kelompok yg cenderung kpd selain demokrasi...demokrasi akan membunuhnya, walau dgn cara tak demokrasi....demi demokrasi.

Lihat di Algeria,
Lihat di Jordan,
Lihat di Turki,
Lihat di Palestin,
Lihat di Iraq
Lihat di Perak

Sampai bila kita mahu belajar betapa jahatnya demokrasi. Bagi sebuah negara demokrasi...apa yg berlaku di Perak tetap sah-sah saja.

Ya Allah...berilah petunjuk kepada umat ini akan buruk dan jahatnya sistem kufur khususnya demokrasi.

PAS perlu banyak memuhasabah diri...
perlu kenal siapa lawan dan siapa kawan,

Akhirkata, satu mutiara kata dari saya , org yg mengkritik kita tak bermakna ia musuh kita...tetapi kerana ia kasihkan kita.

RIRK
Rindu Islam Rindu Khilafah

10:21 PM

 
Blogger PEMUDA PAS KEMAHANG 1 said...

Pada hemat PPK1, beberapa perkara dibawah ni yang perlu diperhatikan:-

PERTAMA, Projek 16 september yang digagaskan Anwar Ibrahim ternyata satu percaturan politik yang tidak bertanggungjawab dan senjata makan tuan. Lihatlah hasilnya sekarang, Perak jatuh ketangan musuh.

KEDUA, PKR dan DAP perlu belajar sesuatu dari PAS terutama PAS Kelantan. Bukan hendak mendabik dada atau bangga diri, tetapi itulah realiti yang perlu dihayati. Pimpinan PAS lebih amanah dan istiqomah dengan amanah rakyat.

KETIGA, Untuk saudara Anwar Ibrahim rakyat terbanyak nak maklumkan kepada anda bahawa KAMI SUDAH MUAK DENGAN IDEA LOMPAT PARTI yang saudara cuba juarai. Tunggu sahaja mandat rakyat pada PRU 13 nanti. Sblm itu, semua harus kerja keras.

KEEMPAT, berhati-hati dalam memilih calon. Jangan main tangkap muat. Pilih calon yang berkualiti, jangan pilih calon yang tidak teguh iman.

4:27 AM

 
Anonymous Anonymous said...

Assalamualaikum,
sudah lah kita sesama melayu bergaduh..jom berdamai..umno ke pas ke pkr ke yang penting sebangsa seagama!Sekarang ni nampak sangat yang bangsa kita dipergunakan..sebagai contoh di perak baru baru ini..kenapa orang melayu pas aje yang memprotes di depan istana tu?mana pegi bangsa sepet?bukan kah DAP yang menang banyak lebih dari pkr dan pas kat perak tu?

10:28 AM

 
Anonymous Anonymous said...

begitulah iklim politik di malaysia buat masa ini. yang cela itu lah yang di atas manakala yang murni itu masih perlu berkerja keras. mungkin telah dinampakkan juga apabila yang murni itu mendapat kemenangan, ia bertukar menjadi yang cela. bukan sahaja ahli pkr yang tidak boleh dipercayai, ada juga saya lihat ramai ahli pas yang sememangnya tidak ikhlas dalam perjuangan mereka apabila sudah mencapai kemenangan. lihat saja di kedah bagaimana dun nya semua terlalu sibuk berpolitik untuk mempertahankan kedudukan mereka yang ada sekarang ini. ada yang menjadi angkuh, ada yang berbelanja mewah dengan membeli kereta mewah dan sebagainya dengan elaun yang diperuntukan. masih ramai konon nya ahli2 pas yang membuat penipuan dalam perniagaan, mempraktikkan cronyism dan banyak juga yang berlagak alim tapi sebenarnya sering menonton cerita lucah di internet, mengadakan hubungan sulit bermula dari chatting di internet dan berbagai bagi lagi. lihat2, tengok2 dan pantau2 la hendaknya.

2:33 AM

 

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home