JAMAAH ITU KEPERLUAN,
UMMAH ITU TUJUAN
”SAYA kena sertai semua kumpulan. Kalau ikut satu sahaja, nanti jadi Jamaah Centric!”, kata seorang siswa.
”Lebih baik aku bebas. Tak terikat dengan mana-mana kumpulan. Mana-mana ada kelas pengajian, aku akan pergi. Ini baru Ummah Centric”, komen seorang pelajar pula.
Kebelakangan ini, isu Jamaah Centric Vs. Ummah Centric hangat diperbincangkan oleh masyarakat kita. Hal ini lebih ketara dilihat berlaku di kalangan masyarakat pelajar yang lebih dekat kepada sumber gagasan idea ini iaitu al-Fadhil al-Ustaz Maszlee bin Malik, seorang pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa.
Pelbagai bentuk maklum balas yang timbul, sama ada dalam bentuk perkataan dan tulisan, mahu pun tindak tanduk yang mencetuskan satu senario di kampus hari ini. Di peringkat awal, saya mengambil lontaran idea ini sebagai sesuatu yang wajar diberikan persetujuan, sekurang-kurangnya pada isi-isi utama yang diketengahkan melalui artikel di Majalah I.
Pada saya, idea awal di bawah kerangka pemikiran Ummah Centric mempunyai tujuan yang harmoni iaitu ke arah keterbukaan pemikiran semua individu yang terlibat di dalam gerakan Islam untuk meraikan perbezaan pandangan sesama mereka, menuju kepada kepentingan makro iaitu maslahah Ummah sejagat.
Saya boleh bersetuju di peringkat ini. Akan tetapi, selepas menonton VCD ceramah Ustaz Maszlee bin Malik di rumah Kapten Hafiz Firdaus, saya menjadi keliru dan penerimaan saya terhadap idea tersebut terganggu. Saya menontonnya buat kali yang kedua, dan keserabutan fikiran saya akibatnya, makin ketara.
Saya terpaksa mengambil masa yang panjang untuk menyusun cabang-cabang fikiran saya dan akhirnya, menulislah yang boleh menjadi cara terbaik untuk saya strukturkan kefahaman saya terhadap gagasan Ummah Centric yang dikemukakan oleh al-Fadhil ustaz.
Tambahan pula, Ustaz Maszlee bin Malik adalah rakan sepengajian saya. Kami saling mengenali semenjak 1993 dan saya menghormatinya sebagai seorang rakan yang ilmuan. Maka saya berusaha sedaya upaya untuk mengenengahkan analisa ini dengan tatasusila peribahasa Melayu kita, ”seperti menarik rambut di dalam tepung; rambut tak putus, tepung tak tumpah”. Mudah-mudahan apa yang saya tulis ini benar-benar dapat dibaca dengan bahasa dakwah dan diskusi ilmiah tanpa ada sebarang persepsi peribadi serta prejudis yang menyalahi kebenaran.
MERAIKAN PERBEZAAN
Keterbukaan kumpulan-kumpulan Islam untuk bertolak ansur terhadap perbezaan sesama mereka, adalah suatu tuntutan yang memang tidak dapat dinafikan. Ia menjadi kunci kepada sejauh mana mereka boleh memberi kesan yang berbekas di tengah masyarakat, dan sejauh mana masyarakat boleh memberikan kepercayaan untuk suara Islam memimpin arus perdana.
Saya percaya, keupayaan untuk bekerjasama di antara kumpulan-kumpulan Islam ini sudah pun terlaksana di peringkat pemimpin, malah menjadi pendekatan ’rasmi’ bagi hubungan diplomatik antara kumpulan. Walau bagaimana pun, impian pemimpin untuk mewujudkan keharmonian antara kumpulan Islam di peringkat akar umbi, tidak semudah melakarkannya di atas kertas. Pergeseran berlaku dari semasa ke semasa, walaupun masing-masing sedar yang fenomena malang itu menjadi bahan ketawa golongan Islam liberal yang sinis. Malah kadang-kadang kumpulan Islam ini menerima padah sehingga menjadi seperti Pak Kadok yang menang bersorak, tetapi kampungnya tergadai.
Kumpulan Islam tumbang di kampus-kampus, dan berleluasalah maksiat dan hedonisma sebagai budaya kampus hari ini. Tiada lagi amar makruf dan nahi munkar, hasil kesalahan sendiri yang mempertaruhkan kampung, semata-mata mahu memenangkan ayam laga masing-masing.
Saya kira, mungkin inilah latar belakang kepada timbulnya idea Ummah Centric oleh al-Fadhil al-Ustaz Maszlee bin Malik. Beliau yang bertugas sebagai pensyarah universiti dan setiap harinya adalah bersama masyarakat kampus, tentu mahu melihat kepada penyelesaian fenomena yang merugikan ini. Saya suka untuk bersama dengan beliau di dalam niat yang murni itu.
Namun, tembakan peluru yang tidak menepati sasaran, akan hanya menghasilkan satu antara dua. Sama ada kita bazirkan peluru, atau paling malang, ada pihak lain yang tidak bersalah terbunuh akibat peluru sesat itu tadi.
Ketika kita mahu merawat TAASUB ahli kumpulan kepada idea kumpulannya, yang tersinggung bukanlah SIKAP dan PEMIKIRAN TAASUB tersebut, tetapi konsep berkumpulan dan berJAMAAH itu yang menjadi mangsa peluru sesat berkenaan. Lantas timbul idea Jamaah vs. Ummah. Apakah kepentingan Jamaah secara default bertentangan dengan kepentingan Ummah? Apakah yang boleh wujud hanyalah Ummah, manakala Jamaah pula menjadi batu penghalang kepada gagasan Ummah? Mengapa mesti Jamaah VERSUS Ummah?
Mengapa tidak Jamaah DAN Ummah? Inilah yang cuba saya fikirkan, bahawa apakah ada kontra di antara kedua-duanya, lantas perlu memilih satu antara dua, atau saya perlu lari dari dua pilihan itu, dan sebaliknya berfikir di luar kotak?
Pertamanya, saya perlu memasang pasak, bahawa berjemaah itu bukan sahaja tuntutan Syariat, malah ia sebenarnya adalah Sunnatullah. Allah SWT telah menetapkan fitrah manusia yang berhajatkan kepada hidup berkumpulan. Sendirian itu sunyi, lantas Adam memerlukan kepada Hawwa. Sekumpulan itu sukar, lantas manusia berkumpul-kumpulan dan saling bertukar hasil untuk memenuhi keperluan hidup masing-masing.
Kumpulan nelayan perlukan kepada kumpulan petani. Kedua-dua kumpulan itu perlu pula kepada kumpulan penternak, lantas hasil keperluan itu, timbulnya kumpulan peniaga yang konsep asalnya adalah untuk saling membantu mengisi keperluan sesama kita. Itu adalah fitrah manusia yang perlukan Jamaah untuk mengisi keperluan hidupnya. Islam sebagai agama fitrah, menjadikan konsep berjemaah itu sebagai kerangka teras ajarannya.
Peranan manusia sebagai Khalifah adalah untuk mengimarahkan ’hablun minannaas’. Kita saling berkhidmat di antara satu sama lain, kerana kita khalifah kepada Allah yang mahukan kita bersyukur kepada-Nya dengan melakukan kebaikan sesama manusia. Manakala kita sebagai hamba Allah, Islam mengajar kita menegakkan ibadah dan syiar agama-Nya secara berjamaah. Kita dituntut solat berjamaah, dan hidup bermasyarakat.
Hal ini terjadi secara harmoni, kerana ia fitrah manusia. Fitrah manusia memang mahu hidup berkumpulan. Sama ada mereka mahu berkumpul kerana bersepakat di atas satu idea dan agenda, atau pun mereka berkumpul kerana bersepakat menolak satu idea dan agenda. Dari satu kumpulan, mereka lari ke satu ’perkumpulan’ yang lain. Seorang manusia memang sebahagian daripada kumpulannya. Bukan sahaja di dalam hal ehwal agama, keperluan manusia kepada kumpulan juga merentasi semua itu, malah bagi sesiapa sahaja yang ’kenal’ manusia, akan sampai kepada kesimpulan yang sama.
John C. Maxwell, seorang tokoh Leadership Training pernah menulis di dalam bukunya, EQUIPPING 101, bahawa, ”one is too small a number to achieve greatness”. Tidak ada kejayaan yang dicapai secara bersendirian hatta Lone Ranger juga sentiasa di sisinya ada Tonto! Jika di dalam soal kehidupan dan keperluannya, manusia hidup secara berjamaah, maka apatah lagi untuk urusan-urusan menegakkan agama Allah.
Suatu kesilapan, seandainya ada di kalangan kita yang beranggapan bahawa tanggungjawab mereka hanyalah menambah ilmu dan mengajak kepada kebaikan. Kita tidak hanya dituntut melaksanakan perkara-perkara yang baik, malah kita juga diperintahkan oleh Allah supaya menjauhi larangan-Nya. Amar makruf tidak mungkin dapat dipisahkan daripada nahi munkar.
Para Rasul dan kita semua diperintah bukan sahaja mengajak manusia kepada mengabdikan diri kepada Allah, bahkan kita juga bertanggungjawab memastikan diri dan manusia lain terhindar daripada Taghut, iaitu segala sesuatu yang berlawanan dengan Allah, Tuhan yang al-Haq. Apabila kita bertanggungjawab terhadap dakwah, kita perlu akur kepada tabiat jalan dakwah itu, sebagaimana Luqman memberikan tanggapan yang realistik kepada anaknya, ketika menjelaskan tentang kewajipan dakwah. Ia bukan senang sentiasa, malah sentiasa dicemburui dan ditentang oleh manusia lain.
Firman Allah SWT: "Wahai anak kesayanganku, dirikanlah Solat, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya.” Realiti dakwah memang begitu.
Oleh kerana dakwah mempunyai tabiat yang sedemikian rupa, maka ia sekali lagi memerlukan kepada manusia yang memelihara fitrah diri mereka, iaitu melakukannya secara berjamaah. Mereka perlu merancang, membuat keputusan, melaksanakannya dan teguh terhadap kesan dakwah itu, secara berjamaah. Dalam erti kata yang lain, keperluan dakwah kepada Jamaah bukan sahaja datang dari perintah Allah yang Maha Mengerti akan hakikat manusia yang diCiptakan-Nya, malah melakukan dakwah secara berjamaah adalah fitrah.
Jika sudah bosan membaca tentang faedah bekerja secara berjamaah dari buah fikiran sesama Muslim, mari kita renungkan kepada pandangan John C Maxwell yang cuba menjelaskan kepada ‘jamaah’nya di gereja, ahli korporat di pejabat, malah ahli bagi sebuah keluarga, mengapa kita mesti berjamaah:
1. Teams involve more people, thus affording more resources, ideas and energy than would an individual.
2. Teams maximize a leader’s potential and minimize her weaknesses. Strengths and weaknesses are more exposed in individuals.
3. Teams provide multiple perspective on how to meet a need and reach a goal, thus devising several alternatives for each situation.
4. Teams share the credit for victories and the blame for losses. This fosters genuine humility and authentic community.
5. Teams keep leaders accountable for the goal.
6. Teams can simply do more than an individual.
Tegasnya, di antara sudut kesempurnaan ciptaan Allah terhadap manusia, terletak kepada kepatuhannya memelihara fitrah, bahawa manusia hidup berjamaah.
UMMAH CENTRIC VS. JAMAAH CENTRIC:
PELURU YANG TERLEPAS SASAR
Ketika idea ini dikemukakan oleh al-Fadhil al-Ustaz Maszlee Malik di melalui artikelnya di Majalah I, saya lihat hala tujunya menjurus kepada sasaran yang betul. Apa yang banyak ditegaskan melalui artikel itu adalah soal membetulkan pemikiran agar tidak terbelenggu oleh kepentingan Jamaah.
Sebaliknya semua orang mesti sedar bahawa dirinya dan jamaahnya adalah sebahagian daripada Ummah. Maka keperluan dan kehendak Ummahlah yang sepatutnya diberikan keutamaan. Dengan itu kita akan berhenti bergeseran sesama Jamaah, atas roh Ummah yang menjadi pegangan.
Akan tetapi, apabila idea tersebut dicanaikan melalui ceramah yang disampaikannya di kediaman al-Fadhil al-Akh Hafiz Firdaus, saya berubah pandangan. Saya cuba meletakkan diri saya di tempat pelajar yang mendengar ceramah tersebut, dan saya menjadi keliru. Subjek yang menjadi sasaran dan kritik bukan lagi pada permasalahan SIKAP TAASUB setiap kumpulan terhadap kumpulan lain, tetapi kepada konsep berjamaah itu sendiri.
Mungkin al-Fadhil Maszlee tidak bermaksud demikian, tetapi kesan ceramahnya menyebabkan pelajar sinis dan memandang rendah kepada semua kumpulan Islam yang wujud di kampus malah di tengah masyarakat. Ketawa sinis penceramah dan peserta terhadap beberapa senario Jamaah, ternyata mengheret perkumpulan Islam untuk berasa amat tersinggung, seolah-olah Jamaah dan kumpulan Islam, adalah pelakon drama komedi yang lawaknya lucu tetapi menyusahkan orang ramai.
Saya kira, isteri dan anak-anak kepada tahanan ISA, keluarga pendakwah yang terbunuh di Memali malah al-Syahid Sayyid Qutb yang hilang nyawa di tali gantung, terpaksa menempuh segala kesusahan hidup itu akan amat terguris hati mereka kerana impression yang terhasil dari ceramah tersebut ialah, pengorbanan selama ini, hanyalah bagi menjayakan drama lucu Jamaah Centric mereka!
Saya teringat kepada kisah seorang artis Hollywood yang terpilih untuk menjadi pengacara sebuah program anugerah. Lawak jenakanya sangat menghiburkan dan dia telah berjaya menghidupkan program tersebut sehingga beroleh pelbagai komen positif media dan rakan.
Tetapi apabila beliau bertanyakan pandangan ayahnya, beliau menjawab, “YOU HURT TOO MANY PEOPLE!”. Ya, lawak yang sinis selalunya menghiris.
Apabila manusia yang fitrah perlu kepada Jamaah untuk merealisasikan keperluan dan tujuan hidupnya, maka mereka perlu kepada disiplin dan adab berjamaah. Soal komitmen (intima’), disiplin bekerja, dan kerahsiaan organisasi (sirr), adalah hasil pelajaran ahli gerakan Islam daripada dakwah pertama oleh Rasulullah SAW. Ia bukan idea-idea budak kampus.
Namun, kelakuan-kelakuan mikro oleh pelajar di kampus, menjadi bahan sanggahan konsep Amal Jama’ie yang makro. Kerana mahu menyindir anak kecil di padang, ibu di rumah turut terkena. Perbalahan antara perkumpulan Islam bukanlah berpunca daripada konsep Amal Jama’ie.
Ia adalah masalah SIKAP dan CARA BERFIKIR. Sepatutnya Ummah Centric dan Jamaah Centric memfokuskan pembetulan mereka kepada persoalan SIKAP itu tadi. SIKAP yang ada pada semua kumpulan Islam, dan bukannya menyalahkan Jamaah.
Jangan kerana marahkan nyamuk, habis kelambu dibakar. SIKAP dan CARA BERFIKIR yang saya sebutkan tadi, bukan sahaja mencetuskan pelbagai masalah di kalangan pendukung gerakan Islam, malah ia mencakupi seluruh aspek kehidupan kita termasuklah kepada persoalan berMAZHAB. Mungkin artikel PAKSI ISLAM: SYAKHSIAH ATAU HUJAH? yang pernah saya tulis, boleh menjelaskan secara panjang lebar tentang hal ini.
Jika SIKAP dan CARA BERFIKIR yang berpenyakit itu tidak diperbetulkan, ia hanya mengundang kepada bercambahnya masalah asal yang ingin dihapuskan. Misalnya, isu MAZHAB. Kita cuba merawat penyakit Taasub kepada Mazhab yang banyak menimbulkan masalah kepada Ummah. Tetapi yang kita perbetulkan adalah maklumat tentang mazhab, dan bukannya SIKAP. Lantas, daripada sekumpulan manusia yang obses dengan al-Imam al-Syafi’e, timbul pula sekumpulan manusia yang obses dengan al-Imam Ibn Taimiyah.
Daripada wujud hanya satu kumpulan manusia taasub, muncul pula dua kumpulan manusia taasub yang berlaga sesama sendiri. Mengapa hal ini boleh terjadi? Pada kiraan saya, masalah bukan terletak pada MAZHAB, sebaliknya pada SIKAP dan CARA BERFIKIR yang salah. Mereka yang meninggalkan mazhab, beralih kepada al-Imam Ibn Taimiyah dengan membawa gerabak SIKAP yang sama. Taasub lawan Taasub, Islam Liberal juga yang akhirnya tersenyum gembira!
Apabila al-Fadhil al-Ustaz Maszlee Malik mengolah ceramah Ummah Centricnya seperti yang saya tonton melalui VCD tersebut, ia menjatuhkan maruah semua kumpulan Islam yang ada. Akibatnya, masyarakat pelajar akan lari daripada semua kumpulan Islam tersebut, dan berkumpul mengelilingi Ustaz Maszlee.
Mereka lari dari semua Jamaah untuk berkumpul membentuk ‘Jamaah’ baru. Walaupun kumpulan bebas-jamaah ini tiada nama, namun watak dan cara berfikir mereka akan membuat pusingan yang sama iaitu taasub menolak Jamaah-jamaah lain, sehingga tanpa disedari membentuk satu kumpulan yang tidak berjamaah secara taasub. Maka daripada tiga, empat atau lima pergeseran, bertambah pula menjadi enam pergeseran. Mengapa semua itu terjadi? Puncanya terletak pada peluru yang hilang sasar.
Ummah itu rumah, Jamaah itu kelambu, sedangkan yang mengganggu ahli rumah tersebut adalah nyamuk. Maka nyamuklah yang sepatutnya dibanteras. Nyamuk yang mengganggu Ummah adalah SIKAP NEGATIF dan CARA BERFIKIR yang salah. Ada nyamuk jamaah yang menyalahgunakan nas untuk membuat justifikasi terhadap kebenaran jamaahnya.
Namun, bukan Jamaah yang salah, bukan nas yang lemah, tetapi nyamuk yang buat perangai.
Dr Izzat Khalil al-Azizi ketika memberikan nasihatnya kepada gerakan-gerakan Islam melalui buku Nasaa’ih wa Taujihaat al-Mufakkireen wa Ulama’ a-Islaam li al-Jamaa’aat wa al-Ahzaab al-Islaamiyyah terbitan al-Maktabah al-Islaamiyyah, Jordan, telah mengambil pendekatan yang realistik. Beliau menyeru kepada semua gerakan Islam agar berSIKAP terbuka (infitaah) terhadap sesama gerakan Islam dan tidak menyempitkan pemahaman Jamaah di dalam nas Hadith sebagai merujuk kepada Jamaah masing-masing.
Hal ini juga selaras dengan seruan Sheikh Solah Abd al-Fattah al-Khalidi yang mesra dengan pelajar Malaysia di Jordan, yang sebahagiannya adalah saya dan al-Fadhil Maszlee Malik sendiri. SIKAP yang sepatutnya diperbetulkan, dan bukannya konsep Jamaah. Ada nyamuk jamaah yang tidak memanipulasi nas, sebaliknya mencubit gigit rakan-rakan gerakan Islamnya yang lain, lebih dari gigitannya terhadap musuh sebenar.
Entiti diri sebagai sebuah NGO dan badan berdaftar sepatutnya menjadi pendekatan yang mengkayakan pengalaman sesama gerakan Islam, dan bukannya menjadi hujah untuk menyindir rakan yang ‘ditolak pendaftarannya’ kerana sering derita menanggung risiko dakwah. “Itulah engkau, buat lagi kerja macam tu, kan dah kena tindakan. Tengok aku, aku join NGO, dakwah dapat buat, risiko tak dapat. Baru selamat!”, ujar ahli NGO kepada sebuah kumpulan yang tiada nombor pendaftaran.
Semua ini adalah sikap-sikap yang sepatutnya menjadi sasaran pembetulan oleh gagasan ‘Ummah Centric vs. Jamaah Centric’. Kumpulan-kumpulan Islam di kampus sewajarnya mengajak sokongan melalui pembuktian upaya dirinya, berbanding sandaran terhadap kelemahan kumpulan lain. Sikap yang lebih pro aktif, sihat dan meletakkan mesej Islam sebagai keutamaan adalah jaminan kepada keharmonian kumpulan mikro manusia sebagai Jamaah, dan kumpulan makro manusia sebagai Ummah.
Lebih menghairankan saya ialah apabila Ummah Centric dituduh sebagai cetusan fahaman Wahhabiyyah, manakala Jamaah Centric dikaitkan dengan pengaruh kesufian. Aduh, apa kena mengenanya Muhammad bin Abdul Wahhab dan jalan sufi itu dengan KANSER SIKAP kita?
Saya masih ingat kepada satu siri talk show yang dikendalikan oleh Oprah Winfrey. Isu kali itu adalah tentang Racism. Menariknya ialah, ramai Black American meletakkan mind setting mereka bahawa jika mereka tidak mendapat pekerjaan atau mengalami kegagalan tertentu, maka puncanya adalah kerana mereka Black! Walhal mereka memang tidak layak untuk jawatan tersebut. Ada juga orang Islam di Eropah yang menganggap bahawa mereka dipinggirkan oleh masyarakat kerana Islamnya mereka.
Sedangkan mereka sendiri yang hidup berkelompok dan enggan berinteraksi dengan persekitaran. Nasib kita macam ini sebab kita bumiputera. Pada hal kita yang malas berusaha. Dia itu Ummah Centric, sebab dia Wahabi. Yang ini pula Jamaah Centric, sebab dia Sufi.
Saya hampir lumpuh kewarasan diri akibat karenah pemikiran yang seperti ini! Berjamaahlah, kecemerlangan itu kuncinya pada berjamaah. Simenkan satu Jamaah dengan satu jamaah yang lain dengan simen ukhuwwah dan pemikiran yang God-Centered. Hasil gabungan semua itulah nanti yang akan membentuk Ummah. Kuncinya adalah pada meletakkan ALLAH sebagai matlamat.
Tanpa God-Centered, sama ada kita akan menjadi self-centered, atau larut sebagai social-centered. Jamaah itu keperluan, Ummah itu tujuan. Mestikah ada pertembungan? "Tegakkanlah pendirian agama, dan janganlah kamu berpecah belah atau berselisihan pada dasarnya" [al-Quran 42: 13]
Artikel ini adalah hasil tulisan sahabat saya Al fadhil Ustaz Mohd Hasrizal Abd Jamil .
P/s : Satu bentuk tulisan dan pandangan yang sangat baik dan bijak . Wajar direnungi oleh semua pihak guna memartabatkan kebenaran dan perjuangan Islam yang suci.
0 Comments:
Post a Comment
Subscribe to Post Comments [Atom]
<< Home