FIKRAH DI BAWAH RINTISAN HUJAN .
Sejak subuh tadi , hujan masih belum berhenti kecuali beberapa ketika tanpa merubah mendung yang menanda hujan akan berterusan sepanjang hari. Saat begini bukan sahaja cuaca menunjuk wajah muram tetapi juga suasana turut menjadi suram.
Segalanya basah dan sejuk . Waktu – waktu begini sememangnya semangat turut mengalami kemerosotan prestasinya. Jika dilayan perasaan , mahu saja saya melingkar di dalam selimut . Tambahan pula tiada aktiviti yang hendak dilakukan.
Beberapa aktiviti rutin terpaksa dibatalkan ekoran persiapan menghadapi pilihanraya kecil ( biarpun keputusan menyertai pilihanraya belum pasti dan ada kemungkinan PAS tidak menyertainya.) Namun sebagai langkah bersiap sedia , PAS Pahang dan DPPNPhg telah menyelesaikan beberapa tugasan awal ke arah menyertai pilihanraya.
Sejak 4 haribulan lalu , saya dan rakan – rakan PAS Pahang mahupun Pemuda telah menggerakkan jentera dan mengatur langkah yang wajar. Kecuali hari ini , kami rehat seketika dan berbetulan pula hujan turun tanpa henti bagai menunjuk tanda bahawa banjir sekali lagi akan melanda terutamanya negeri – negeri pantai timur.
Kita hanya mampu berdoa agar cuaca kembali pulih seperti sediakala , mudah – mudahan juga banjir tidak melanda sebagaimana yang diramal.
Mendungkah Masa Depan Ummah ? .
Dalam cuaca mendung dan hujan ini , saya banyak mengambil masa untuk merenung dan memerhati titisan - titisan air hujan yang turun membasahi bumi . Tanpa disedari , banyak pula idea menerjah di saat begitu , lalu saya mengambil keputusan untuk menulis guna dikongsi bersama apa yang bermain di benak ini.
Ya , perkara utama dan paling awal melintasi garis idea ini ialah nasib dan keadaan ummah dewasa kini. Apakah masa depan mereka turut mendung dan suram bagaikan cuaca hari ini ?
Saya antara berjuta ummah ini, pasti sahaja persoalan sebegini sangat merisaukan ? manakan tidak , setelah menyaksikan tanda aras akhlak mereka yang kian surut , tahap imej moral mereka yang kian pudar dan nilai ketulenan aqidah mereka yang kian luntur ternyata masa depan mereka tampak mendung dan suram.
Entah siapa yang patut disalahkan . Ada anggota kerajaan kata ibubapa bertanggungjawab . Ada Ibubapa kata guru bertanggungjawab . Ada Rakyat kata kerajaan bertanggungjawab. Ada ulama' kata orang agama bertanggungjawab . Sebetulnya siapakah yang benar – benar bertanggungjawab ?
Apabila jenayah mula merata , skandal gagal ditutup , rasuah menjadi rutin , penyelewengan berleluasa , maksiat dilaku tanpa malu , anak derhaka kepada orang tua , ibubapa tidak memperduli anak –anak , ulama' bisu menyaksi perkara mungkar, kerajaan membebani rakyat , rakyat tidak beretika dan seribu satu kepincangan masyarakat dan Negara terserlah , maka kita semua tak ubah seperti watak dalam lagu bangau oh bangau yang hanya tahu menyalahkan orang lain .
Sukar untuk menentukan siapa yang bertanggungjawab di atas malapetaka yang menimpa ini . namun apa yang saya sangat pasti ialah kita semua adalah pemegang amanah dan tanggungjawab tersebut.
Tanggungjawab Kita Semua .
Ibubapa bertanggungjawab mendidik anak – anak mereka . Guru bertanggungjawab memberi ilmu dan membimbing muridnya , Ulama' bertanggungjawab membina dan membentuk fikrah dan syakhsiyyah ummah , rakyat bertanggungjawab mentaati pemerintah yang beriman dan bertaqwa , kerajaan bertanggungjawab mengurus pemerintahannya berdasarkan wahyu Ilahi.
Apabila terdapat satu organ dari ummah ini mengabaikan tanggungjawab mereka , maka nyatalah kerosakan dan kemusnahan buat peradaban mereka dan ini hanya menjanjikan masa depan yang terus dirundung malang .
Justeru itu , yang benar – benar bertanggungjawab di atas segalanya ialah mereka yang mengabaikan tanggungjawab dan amanah yang telah ditaklifkan ke atas mereka.
Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya Yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk Yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).
Ar – Ruum : ayat : 41
Masih adakah esok buat Ummah ?
PAS sebagai sebuah Gerakan Islam bersama dengan badan – badan Islam yang lain termasuklah orang perorangan yang menunjuk cinta dan kasihnya terhadap Islam , biarpun sering ditohmah dan ditekan dari segenap arah sewajarnya terus berjuang bagi menyelamatkan ummah.
Sememangnya inilah yang telah dilakukan selama ini. Terutama PAS yang tidak pernah jemu mendepani cabaran dan rintangan demi melihat Islam berdaulat dan tegak di atas tanahair tercinta .
Sungguhpun ramai yang masih ragu dan kabur mengenai bentuk dan corak daulah Islamiyyah yang mahu dibina oleh PAS , ianya tidak bermakna kita tidak mempunyai draf pembentukan daulah tersebut dan pula hilang keyakinan terhadap prinsip perjuangan .
Kita sangat memahami , musuh Islam tak pernah jemu bagi memberi gambaran serong dan salah terhadap perjuangan ini. Pelbagai halangan dirintang guna memisahkan rakyat dari perjuangan ini sehingga sering pula timbul salah erti terhadap perjuangan Islam yang didokong oleh PAS dan kita sukar pula untuk menyampaikan penjelasan kita kepada rakyat.
Lebih malang , apabila wujud individu atau kumpulan yang sepatutnya mereka memahami perjuangan ini tetapi merelakan diri untuk menjadi mata pisau musuh guna menghiris dan menikam perjuangan islam.
Apa pun , Islam mesti diperjuangkan dan ummah mesti diselamatkan daripada terus hanyut dan tenggelam dalam arus kapitalisme dan sekularisme kemudian mendirikan Baldatun Toiyyibatun Wa Rabbun Ghafur.( Negara yang baik sementara Allah melindungi dengan KeampunanNya.)
Inilah hasrat sebenar PAS dan saya percaya juga menjadi hasrat sebenar badan – badan Islam yang lain . Justeru itu , teruskan langkah dengan misi suci ini . Saya yakin pasti ada esok buat ummah Muhammadiah ini. Pelajarilah apa yang telah difirmankan Allah swt kepada nabinya saw.
94. Oleh itu, sampaikanlah secara berterus-terang apa Yang diperintahkan kepadamu (Wahai Muhammad), dan janganlah Engkau hiraukan bantahan dan tentangan kaum kafir musyrik itu.
95. Sesungguhnya Kami tetap memelihara dan mengawalmu dari kejahatan orang-orang Yang mengejek-ejek dan mempersendakanmu, -
96. (Iaitu) mereka Yang mengadakan Tuhan Yang lain bersama-sama Allah, maka mereka akan mengetahui kelak (akibatnya).
97. Dan Demi Sesungguhnya Kami Mengetahui, Bahawa Engkau bersusah hati Dengan sebab apa Yang mereka katakan.
98. Oleh itu, bertasbihlah Engkau Dengan memuji Tuhanmu, serta Jadilah dari orang-orang Yang sujud.
99. Dan Sembahlah Tuhanmu, sehingga datang kepadamu (perkara Yang tetap) yakin.
Surah Al Hijr. Ayat 94 - 99
0 Comments:
Post a Comment
Subscribe to Post Comments [Atom]
<< Home