" Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini "

Saturday, January 06, 2007

PILIHANRAYA KECIL N6 BATU TALAM:
BAGAIMANA SELAYAKNYA KITA TANGANI .

Hj. Nasrudin bin Hj. Hassan at Tantawi
Ketua DPPNPhg.

Terlalu banyak pandangan dan idea berkait dengan Pilihanraya Kecil N6 Batu Talam ini. Umumnya pandangan dan idea itu datang dari kesungguhan dan keikhlasan ahli PAS khasnya dan rakyat amnya agar pembangkang ( PAS ) tidak lagi menjadi mangsa buli dan dera oleh parti Pemerintah ( UMNO ) dalam pilihanraya.

Saya melihat Pilihanraya kecil kali ini sebagai unik dan Pahang dipilih untuk menjadi medan "ujikaji" bagaimana keunikan itu melahirkan suatu yang positif buat PAS khasnya dan perjuangan Islam amnya.

Allah swt bukan sahaja memilih Pahang sebagai medan yang saya maksudkan tadi , tetapi juga sekali lagi memilih Batu Talam untuk berlangsungnya Pilihanraya Kecil .

Walaupun statistik pilihanraya di N6 Batu Talam tidak pernah berpihak kepada PAS melalui sejarahnya , namun pelbagai aspek harus dilihat dan dinilai oleh kita , bagaimana "unik"nya Pilihanraya Kecil kali ini .

PAS Pahang telah mengisytiharkan kepada umum bagaimana kesanggupan dan kesediaannya menyertai pilihanraya kecil tersebut. Namun segalanya tertakluk kepada keputusan PAS Pusat yang belum membuat pengisytiharan rasmi berkait dengan penyertaan PAS dalam pilihanraya kecil ini .

MENANG KALAH PILIHANRAYA .

Penyertaan PAS dalam pilihanraya samaada bersaiz besar mahupun kecil tidak boleh dinilai melalui aspek politik semata -mata tanpa menafikan bahawa pilihanraya adalah agenda politik .

Justeru PAS adalah sebuah Gerakan Islam , di dalam atau di luar "iklim" pilihanraya ia tetap bergerak dengan se"genggam" prinsip perjuangan yang tidak mungkin berubah.

Berasaskan realiti tersebut , apapun saiz pilihanraya dan bagaimanapun keputusannya , rentak perjuangan tidak pernah kendur dan irama slogannya pula tidak pernah luntur.

Bukan PAS namanya , jika enggan menyertai pilihanraya kerana takut kalah . malah bukan PAS namanya , jika kekalahan dalam pilihanraya membawa kekesalan dan kekecewaan .

DEMOKRASI CEDERA PARAH

Menghadapi pilihanraya di musim demokrasi mengalami kecederaan yang amat parah adalah suatu yang telah dijangka awal bahawa kekalahan akan berpihak kepada kita. Pun begitu kita tetap menyertainya , lantaran penyertaan kita ( PAS ) dalam satu - satu pilihanraya tidak sekali - kali boleh dinilai melalui aspek politik semata - mata , sebagaimana kita tidak boleh menafikan keupayaan PAS dan rakyat ( pengundi ) membuat lonjakan diluar jangka.

PAS tentunya tidak sama seperti parti - parti politik yang lain , pun bukan menyamai badan - badan ngo yang lain , sebaliknya ia adalah sebuah Gerakan Islam yang mendokong tinggi cita - cita untuk mendaulatkan Islam di atas tanahair tercinta.

Pilihanraya dilihat sebagai salah satu ruang terbuka untuk membawa Islam ini menyelinap di tengah - tengah kekalutan dan kecelaruan peradaban ummat manusia hari ini .

Paling tidak ! Islam yang diperjuangkan oleh PAS agar ianya berdaulat , mempunyai masa biarpun seketika untuk berkumandang dan menyentuh hati sanubari ummah yang sejak sekian lama mereka dipisahkan dari agama yang sebenar oleh penjajah dan anak didiknya.

Dalam nada ungkapan lain , pilihanraya disertai bagi memenuhi segenap ruang yang terbuka untuk menyampaikan Islam kepada ummah .

Dibaca penyertaan PAS melalui sudut ini , maka ia adalah sebuah perjuangan suci yang selayaknya disokong dan didokong. Sementara kita bersetuju mengatakan ia adalah sebuah perjuangan , maka perjuangan memerlukan pengorbanan .

Adapun perkara yang melibatkan teknikal dan taktikal sewaktu mengurus sebuah penyertaan besar ( seperti menyertai pilihanraya guna memilih pemimpin ummah atau rakyat ) ini , tidak bermakna kita mengelak diri dari menghadapi segala kemungkinan dan halangan .

Perjuangan selamanya begitu sifat dan tabiatnya. Sejak dari garis mulanya di zaman Rasulullah saw. hinggalah kini di garis tengah , tidak sunyi dari halangan dan rintangan .

Firman Allah swt : Sengaja Kami menguji kamu sehingga maklum kepada kami , siapakah dikalangan kamu yang benar - benar berjuang dan sabar ( menghadapi segala cabaran ) dan Kami sedia maklum bagaimana kedudukan kamu.

Surah Muhammad. Ayat 31

Saya yakin , urutan perjuangan ini kelak tetap akan menghadapi halangan dan rintangan yang tidak sedikit meskipun berada di garis akhir ( hujung ) .

ERTI PENGORBANAN

Justeru itulah saya tegaskan tadi , bahawa pengorbanan menjadi syarat asasi tatkala menatang tanggungjawab perjuangan ini.

Menyertai pilihanraya boleh menjadi medan "ujikaji" atau tarbiyyah ke arah meletak tanda aras kepada tahap pengorbanan anggota / ahli PAS di semua peringkat. ( ahli biasa dan pemimpin )

Pengalaman saya dalam pilihanraya memperlihatkan bagaimana nilai erti sebuah pengorbanan diukur .

Pengorbanan Perasaan mengungguli segala bentuk dan jenis pengorbanan. Pengorbanan yang melibatkan rasa , sentimen , emosi dan sebagianya.

Perasaan senantiasa tertekan sepanjang musim pilihanraya.

Perasaan sayang nak tinggal anak isteri untuk turun bertugas ,
perasaan nak rehat dihujung minggu ,
perasaan tidak boleh diarah dan dikerah ,
perasaan ingin memiliki tetapi tidak dibenarkan @ tidak dapat ,
perasaan tidak mahu tetapi diamanahkan ,
Perasaan ingin mengarah tetapi diarah ,
perasaan mahukan tempat dan kedudukan selesa ,
perasaan malas buat kerja tetapi dipaksa ,
perasaan lemah semangat menyaksi karenah jentera ,
perasaan takut berdepan ancaman ,
perasaan ingin dilayan dan dihargai
perasaan ego kerana aku seorang pemimpin
perasaan hina kerana aku seorang pengikut
perasaan tak sabar nak menang
perasaan bimbang kalau kalah
perasaan marah bila kempen tidak menjadi
perasaan kecewa bila ceramah tiada sambutan

Ya ! sejuta perasaan yang mesti dikorbankan . Suatu amali atau praktikal yang tidak mungkin boleh dicipta sewaktu merangka agenda tarbiyyah di dalam usrah mahupun liqa fikri .

Begitulah pula pengorbanan harta , tiada siapa menjanjikan elaun kerja melainkan DPP kawasan terpaksa menyumbang , PAS Kawasan kena menyumbang , ahli biasa kena menyumbang . Bak kata Tok Guru Nik Aziz : Wang PAS tidak banyak dalam bank tetapi tersimpan dalam saku ahli - ahli PAS.

Inilah masanya kita mempraktikkan amalan menyumbang dan berkorban duit ringgit untuk menggerakkan jentera perjuangan .

Pengorbanan masa , untuk berkampung di Bt Talam sepanjang tempoh gerakkerja pilihanraya . Samaada secara penuh atau syif ( bergilir )

Pengorbanan tenaga , untuk bertugas dan berjaga malam dengan segala kawalan keselamatan dan sebagainya .

Pengorbanan idea , yang diperah untuk melahirkan pandangan bernas dan rangka kerja yang tepat , juga mencari jalan penyelesaian guna merungkai pelbagai masaalah dan isu yang timbul .

bahkan pengorbanan darah dan nyawa boleh berlaku sebagaimana apa yang berlaku dalam pilihanraya kecil Lubuk Merbau .

PENGALAMAN GERAKKERJA

Pilihanraya turut membekalkan pakej pengalaman berharga untuk gerakkerja organisasi dan politik , malah gerakkerja dakwah fardiyyah yang boleh dijadi kan bahan untuk menggerakkan cawangan dan kawasan masing - masing bila selesai musim pilihanraya kelak .

Paling tidak , sekali lagi boleh menjadi bahan "ujikaji" kearah mencari pendekatan terbaik dan berkesan berasaskan pengalaman yang kita perolehi .

Pengalaman adalah suatu yang tiada dalam kitab mahupun buku - buku manual gerakkerja pilihanraya dan pengurusan organisasi . Sebaliknya ia adalah ilmu hidup yang mesti diperolehi melalui perlaksanaan gerakkerja yang dilakukan oleh kita sendiri .

Pahit getir pengalaman yang kita alami pula akan mendidik dan mengajar erti kematangan dan kedewasaan dalam berjuang . Menjadikan kita kelak lebih berhemah dalam tindakan dan bijak dalam perancangan juga mahir menangani strategi musuh .

Demikian antara silibus yang boleh kita perolehi dari sebuah penyertaan dalam pilihanraya . Tentu mereka yang tidak menyertainya akan terasa sangat rugi .

Jika inilah arah sudut yang kita lihat dan kita baca , kala itu apapun keputusan yang bakal kita perolehi dari penyertaan kita dalam sebuah pilihanraya tidak lagi menjadi hitungan utama .

Menang kita beristighfar dan kita tekad melaksanakan amanah ummah dengan sebaiknya berasaskan al Quran dan sunnah sesuai dengan prinsip perjuangan kita .

Kalah kita bersyukur dan kita tabah meneruskan perjuangan yang serba sukar dan jauh pula jalannya.

2 Comments:

Anonymous Anonymous said...

Saya sebagai bekas pemilih dun Batu Talam bersetuju dengan penyertaan PAS jika pilihanraya diadakan, diatas pandangan yg sama (keputusan syura PAS )dan juga demi membantu pemilih kawasan tersebut. Saya sebutkan membantu kerana lazimnya jika ada pertandingan maka bantuan akan disalurkan berlebihan berbanding kawasan tiada tandingan. Sewajarnya org UMNO juga berterimakasih dgn PAS.

Oleh kerana saya anak tempatan disana, suka juga saya menyarankan agar PAS tidak terlalu ghairah bertanding. Saya menyarankan agar kewangan yg ada di gunakan kepada yg lebih aula memandangkan umat disana perlu kepada dakwah ,tarbiah,penyebaran maklumat dll untuk langkah memenangi pilihanraya yg akan datang.

Tulisan saya diatas bermaksud ,kita sekadar menyertai pilihanraya dan berbelanja seminima yg mungkin. Lazimnya manusia sangat bermurah hati dimusim ini, justeru itu kita mengambil kesempatan mengumpul dana bagi tujuan yg saya sebutkan diatas.Kata akal saya (bukan kata Allah) setakat 2-3 pilihanraya lagi belum tentu kita menang kerana usaha dakwah,tarbiah,penyebaran maklumat dll kita disana masih kurang memberansangkan. (Saya tidak kata saudara saudara saya disana tidak berkerja, mungkin sebab utama shortage tenagakerja).

maaf jika ada tersalah andaian dan terkasar bahasa.Pagi ini saya terbaca teguran ustz Nasa bahwa kenyataan begitu akan melemahkan semangat perjuangan saudara mara saya disana.Dengan ini saya memohon berbanyak kemaafan,saya tidak berniat begitu,Saya berniat agar semangat membara itu dikekalkan dan sebahagian besar semangat itu difokaskan terhadap perjuangan mendekati dan mentarbiah umat.Tanpa tanzim yg kukuh kejayaan sukar dicapai.

**Petikan tulisan saya dari sebuah forum dgn sedikit edit.
mohon maaf sekali lagi.
.....zamri@putiq

9:04 AM

 
Anonymous Anonymous said...

Ini satu lagi tulisan saya diforum yg sama:

Bagi saya inilah salah satu tanda kepayahan PAS untuk menang kerana terlalu ramai dari kita termasuk saya hanya suka berteori,menulis dan bercakap dari buat kerja dipadang. Pengagihan tugas yg tidak sekata, serta terlalu ramai nak kerja mudah. Sedangkan Rasul turut mengali, memecah batu diperang Khandak...air minum pun tuang sendiri.

zamri@putiq

11:36 AM

 

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home