" Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini "

Friday, January 12, 2007

Perutusan Hijrah 1428
Lajnah Tarbiyyah dan Kepimpinan DPP Pusat.

TARBIYYAH DARI NUUR HIJRAH .

Peristiwa Hijrah ar Rasul saw adalah antara episod peristiwa yang cukup tinggi nilai tarbiyyah buat ummah sepanjang jalan untuk mereka membina peradaban dan keagongan ummah bersama Risalah as samawi .

Ianya tidak hanya dilihat dari kronologi peristiwa tetapi selayaknya turut dihayati dari aspek matlamat dan objektif hijrah itu sendiri . Bagaimana falsafah hijrah dan bagaimana pula Rasul mengendalikan hijrah dengan pelbagai nilai unggul menghiasinya.

NILAI HIJRAH AR - RASUL SAW.

Sebelum kita melihat peristiwa Hijratur Rasul saw yang sarat dengan pengiktibaran dan pedoman , amat wajar kita menyaksi sejenak bagaimana peringkat dan misi hijrah yang pernah dilalui oleh Baginda Rasul saw dan para sahabatnya rhm.

Kewajaran itu saya lihat melalui nilai hijrah yang berlaku sepanjang peradaban Islam pimpinan Rasul Agong saw. Ringkasnya , boleh saya senaraikan nilai hijrah kepada 5 nilai utama :

Hijrah adalah satu Perjuangan
Hijrah adalah satu Pengorbanan
Hijrah adalah satu Penyatuan
Hijrah adalah satu Kedaulatan
Hijrah adalah satu Kemenangan .

Insyaallah , kita akan meneliti satu persatu nilai hijrah tersebut . Namun sebelum itu sejarah peradaban dan perjuangan Nabi besar kita Muhammad saw dan para sahabatnya telah melalui sekurang – kurangnya 3 peringkat atau marhalah hijrah .

MARHALAH HIJRAH .

Marhalah 1 : Hijrah ke Habshah
Marhalah 2 : Hijrah ke Taif
Marhalah 3 : Hijrah ke Madinah al Munawwarah .

Marhalah Hijrah Pertama : Misi Mempertahankan Aqidah .

Hijrah ini berlangsung pada tahun ke Lima ( 5 ) an Nubuwwah di bulan Rejab . Setelah menyaksikan peningkatan kepungan dan tekanan yang memberi risiko kepada ketahanan aqidah para sahabat rhm. sedang rata – rata dikalangan mereka masih baru memeluk ajaran Islam , Nabi saw mengusulkan supaya mereka berhijrah ke Habshah.

لو خرجتم إلى أرض الحبشة فإن بها ملكا لا يظلم عنده أحد وهي أرض صدق حتى يجعل الله لكم فرجا مما أنتم فيه .

Jika kamu berhijrah ke bumi Habshah , nescaya disana terdapat seorang raja yang tidak akan didholimi siapa jua yang berada di sisinya. Ia adalah bumi yang aman sehingga Allah mengurniakan kelepasan bagi kamu.

Rujuk U’mdah al Qaari Syarah Sohih al Bukhari
Jilid 6 . Muka surat 268 .
باب ما ينهى من الكلام في الصلاة .

Misi hjirah yang pertama ini ialah untuk mempertahankan aqidah dan ianya hanya disertai oleh para sahabat rhm tanpa nabi saw.

Jaafar bin Abi Talib rha. yang menjadi juru cakap kepada rombongan hijrah seramai sekitar 80 hingga 89
[1] orang itu telah mengemukakan hujjah kenapa mereka sanggup meninggalkan tanahair mereka demi mempertahankan aqidah ( keyakinan dan pegangan ) mereka kepada Raja an Najasyi di hadapan wakil Kuffar Quraisy Abdullah bin Abi Rabia’h dan Amru bin al A’ash ( sebelum beliau memeluk islam ).

أَيُّهَا الْمَلِكُ كنا قَوْماً أَهْلَ جَاهِلِيَّةٍ نَعْبُدُ الأَصْنَامَ وَنَأْكُلُ الْمَيْتَةَ وَنَأْتِى الْفَوَاحِشَ وَنَقْطَعُ الأَرْحَامَ ونسيء الْجِوَارَ يَأْكُلُ الْقَوِىُّ مِنَّا الضَّعِيفَ فَكُنَّا على ذلك حتى بَعَثَ الله إِلَيْنَا رَسُولاً مِنَّا نَعْرِفُ نَسَبَهُ وَصِدْقَهُ وَأَمَانَتَهُ وَعَفَافَهُ فَدَعَانَا إلى اللَّهِ لِنُوَحِّدَهُ وَنَعْبُدَهُ وَنَخْلَعَ ما كنا نَحْنُ نعبد وَآبَاؤُنَا من دُونِهِ مِنَ الْحِجَارَةِ وَالأَوْثَانِ وَأَمَرَنَا بِصِدْقِ الحديث وَأَدَاءِ الأَمَانَةِ وَصِلَةِ الرَّحِمِ وَحُسْنِ الْجِوَارِ وَالْكَفِّ عَنِ الْمَحاَرِمِ وَالدِّمَاءِ وَنَهَانَا عَنِ الْفَوَاحِشِ وَقَوْلِ الزُّورِ وَأَكْلِ مَالِ الْيَتِيمِ وَقَذْفِ الْمُحْصَنَةِ وَأَمَرَنَا أَنْ نَعْبُدَ اللَّهَ وَحْدَهُ وَلاَ نُشْرِكَ بِهِ شَيْئاً وَأَمَرَنَا بِالصَّلاَةِ وَالزَّكَاةِ وَالصِّيَامِ قال فَعَدَّدَ عليه أُمُورَ الإِسْلاَمِ فَصَدَّقْنَاهُ وَآمَنَّا بِهِ وَاتَّبَعْنَاهُ على ما جاء بِهِ فَعَبَدْنَا اللَّهَ وَحْدَهُ فلم نُشْرِكْ بِهِ شَيْئاً وَحَرَّمْنَا ما حُرِّمَ عَلَيْنَا وَأَحْلَلْنَا ما أُحِلَّ لنا فَعَدَا عَلَيْنَا قَوْمُنَا فَعَذَّبُونَا وَفَتَنُونَا عن دِينِنَا لِيَرُدُّونَا إلى عِبَادَةِ الأَوْثَانِ من عِبَادَةِ اللَّهِ وان نَسْتَحِلَّ ما كنا نَسْتَحِلُّ مِنَ الْخَبَائِثِ فلما قَهَرُونَا وَشَقُّوا عَلَيْنَا وَحَالُوا بَيْنَنَا وَبَيْنَ دِينِنَا خَرَجْنَا إلى بَلَدِكَ وَاخْتَرْنَاكَ على من سِوَاكَ وَرَغِبْنَا في جِوَارِكَ وَرَجَوْنَا أَنْ لاَ نُظْلَمَ عِنْدَكَ أَيُّهَا الْمَلِكُ

Wahai Raja , kami dahulunya orang – orang Jahiliyyah. Kami menyembah berhala , memakan bangkai , melakukan kekejian ( zina ) , memutuskan keluarga , jahat terhadap jiran dan orang kuat menindas orang yang lemah .

Kami terus dalam keadaan begitu , sehingga Allah membangkitkan kepada kami seorang Rasul dari kalangan kami . Kami kenal titisan keluarganya , sifat benarnya , amanahnya dan bersihnya dari melakukan dosa .

Lalu ia mengajak kami kepada Allah , supaya mengEsakan-Nya dan menyembah-Nya , meninggalkan apa yang telah disembah oleh kami dan nenek moyang kami selama ini , kepada patung – patung dan berhala – berhala .

Ia menyuruh kami bercakap benar , menunaikan amanah , meghubungkan keluarga , berbaik dengan jiran , meninggalkan yang haram dan meninggalkan pertumpahan darah. Ia melarang kami dari kekejian ( zina ) , bercakap bohong , memakan harta anak yatim dan menuduh perempuan yang bersih dengan tuduhan zina .

Ia menyuruh kami menyembah Allah Yang Maha Esa dengan tidak menyekutukannya dengan suatu yang lain . Ia menyuruh kami mendirikan sembahyang , memberi zakat dan berpuasa .

Lalu Saiyidina Jaafar menyebut beberapa perkara yang diperintahkan oleh Islam . Kami mempercayai dan beriman kepadanya . kami mengikut segala ajaran yang dibawanya dari Allah Yang Maha Esa yang tiada sekutu bagi-Nya dengan segala sesuatu yang lain .

Kami mengharamkan apa yang diharamkan kepada kami dan kami menghalalkan apa yang dihalalkan kepada kami lalu menyebabkan kaum kami menentang kami . Mereka menyiksa kami dan melakukan kekejaman yang menguji kami agar kami murtad dari agama kami supaya kembali menyembah berhala dengan meninggalkan Allah , menghalalkan kembali apa – apa sahaja keburukan yang dihalalkan dahulu .

Apabila mereka memaksa kami , menzalimi kami dan menindas kami dan menghalang kami dari menganut agama kami , maka kami keluar meninggalkan negeri menuju ke negeri tuanku .

Kami memilih tuanku tanpa memilih orang lain . Kami inginkan perlindungan tuanku dan kami berharap bahawa kami tidaklah dianiaya di sisimu wahai Raja ! .

Musnad Imam Ahmad bin Hanbal
Jilid 1. Muka surat 202.
Di bawah tajuk : حديث جعفر بن أبي طالب و هو حديث الهجرة

Marhalah Hijrah Kedua : Misi Menyebarkan Islam

Hijrah ini berlaku pada bulan Syawal tahun kesepuluh ( 10 ) selepas an Nubuwwah . Uniknya hijrah di marhalah kedua , dengan membawa misi berat sebagai percubaan awal Nabi saw membawa Islam menembusi benteng negeri Makkah adalah merupakan hijrah solo yang dilakukan oleh nabi saw. Hanya di temani anak angkatnya Zaid bin Harithah Rha.

Jarak 50 batu ( antara Makkah ke Taif ) hanya diredah oleh Nabi saw dengan berjalan kaki demi melihat Islam berkembang dan tersebar setelah Nabi sangat terkilan dengan sikap penduduk Makkah yang menolak dakwah baginda.

Dalam perjalanan misi dakwah itu , Nabi saw tanpa jemu untuk menyampaikan Islam kepada siapa sahaja yang ditemui di sepanjang jalan . Namun malang tiada siapa yang menerima risalah baginda saw.

Apabila tiba di Taif , Rasul saw menemui pemimpin ( al mala’ ) Bani Thaqif 3 bersaudara iaitu Abd Yalil , Mas’ud dan Habib bin Amru bin Amir al Thaqafi . Baginda menyeru mereka agar menerima Islam tetapi sekali lagi baginda menerima tamparan hebat apabila masing masing mereka menjawab dengan biadab dan celupar .

Saudara pertama berkata : (sambil mengoyak kelambu kaabah ) ` Aku tidak percaya walaupun kamu diutus oleh Allah .’

Saudara kedua berkata : ` Tidak ada orang lain daripada kamu kah yang layak Allah pilih menjadi Rasul ’

Saudara ketiga berkata : Demi Allah , aku tidak mahu bercakap dengannya. Kiranya kamu sungguh – sungguh seorang Rasul , maka sangat bahaya aku menjawab cakapmu dan kalau kamu berbohong terhadap Allah maka tidak perlu aku bercakap denganmu.

Nabi saw. hanya sempat berada sepuluh hari di bumi Taif . Nabi saw. menyampaikan Islam kepada pemimpin dan pembesar Taif namun seringkali pula Nabi saw. menerima jawapan :` Keluarlah kamu dari negeri kami ’ . Bahkan mereka mengupah orang – orang bodoh dikalangan mereka untuk memaki hamun Nabi saw dan melontarkan batu ke arahnya sehingga tumit baginda berlumuran darah .

Dalam perjalanan pulang , Baginda saw. singgah di sebuah kebun anggur milik Utbah dan Syaibah bin Rabi’ah yang jaraknya sekitar 3 batu dari Taif. Itulah tempat yang menjadi saksi bagaimana nabi saw. penuh hiba memanjatkan munajatnya kehadhrat Ilahi :

اللهم إليك أشكو ضعف قوتي وقلة حيلتي وهواني على الناس يا أرحم الراحمين إلى من تكلني إلى عدو يتجهمني أم إلى قريب ملكته أمري إن لم تكن ساخطا علي فلا أبالي غير أن عافيتك أوسع لي أعوذ بنور وجهك الكريم الذي أضاءت له السموات وأشرقت له الظلمات وصلح عليه أمر الدنيا والآخرة أن تحل علي غضبك أو تنزل علي سخطك ولك العتبى حتى ترضى ولا حول ولا قوة إلا بك

Ya Allah Ya Tuhanku , Kepada mu aku mengadu lemahnya kekuatanku , sedikitnya helahku dan betapa hinanya aku dikalangan manusia . Ya Tuhan Yang paling Penyayang dikalangan yang Menyayangi ,

Engkaulah Tuhan kepada orang – orang yang lemah tertindas . Engkaulah Tuhan ku . Kepada siapakah Engkau serahkan diriku , Adakah kepada orang jauh yang memandangku dengan muka yang masam atau pun kepada musuh yang engkau berikan kepadanya milik untuk menguasai urusanku ?

Jika tidak ada kepada – Mu murka terhadapku , aku tidak peduli , tetapi kemaafan-Mu lebih luas kepada ku . Aku berlindung dengan wajah-Mu yang telah Engkau pancarkan ke arah segala kegelapan , menjadi baiklah di atasnya segala urusan dunia dan akhirat .

Aku berlindung daripada turunnya ke atas ku murka – Mu atau berlakunya ke atas ku murka Mu . Kepada Mu pengaduan yang sungguh – sungguh sehingga mencapai keredhaanMu . Tiada daya dan upaya melainkan dengan pertolonganMu .

Rujuk كنز العمال في سنن الأقوال و الأفعال :
Hadis No. 3613 . Jilid 2 Muka surat 77
Fasal ke 6 في جوامع الأدعية

Jiwa Besar seorang Pendakwah .

Memandang kepada penderitaan dan kesengsaraan yang di alami oleh baginda Nabi saw. dalam usaha menyampaikan dakwah ini , Allah telah menghantar malaikat Jibril as. Lalu mengadap nabi saw. dan berkata :

` Hai Muhammad , sesungguhnya Allah telah mendengar ucapan kaummu terhadap dirimu dan apa yang mereka jawab terhadapmu dan Allah telah mengutuskan malaikat yang menjaga bukit supaya engkau memerintahnya apa yang engkau mahu .

Lalu malaikat yang menjaga bukit berkata : Hai Muhammad , begitulah tujuan kedatanganku , Aku menunggu perintahmu , kalau kamu mahu , aku boleh timpakan ke atas mereka bukit – bukit besar yang mengelilingi Mekkah .

Rasulullah saw. menjawab :

بَلْ أَرْجُو أَنْ يُخْرِجَ الله من أَصْلابِهِمْ من يَعْبُدُ اللَّهَ وَحْدَهُ لا يُشْرِكُ بِهِ شيئا

` bahkan , aku berharap supaya Allah melahirkan dari sulbi mereka orang yang menyembah Allah Azza wa Jalla dan tidak menyekutui-Nya dengan suatu yang Lain . ‘

Rujuk : صحيح البخاري
Hadis no . 3059 . Jilid ke 3 Muka surat 1180
Terbitan : Darul Ibnu Kathir . Beirut
Tahqiq Dr. Musthafa Dib Bugha .

Saksikan juga bagaimana jawaban nabi saw kepada Zaid bin Harithah rha. apabila Zaid kelihatan ragu dan bimbang akan keselamatan Rasulullah saw ketika rasul membuat keputusan untuk kembali memasuki kota Makkah . Rasulullah saw berkata :

يا زيد إن الله جاعل لما ترى فَرَجًا ومَخْرَجًا وان الله ناصرٌ دينَهُ ومُظْهِرٌ نَبِيَّهُ

` Wahai Zaid , sesungguhnya Allah akan menjadikan apa yang kamu lihat pasti ada kelapangan dan jalan keluar dan Allah pasti menolong agama-Nya dan memenangkan Nabinya.

Lihat : الطبقات الكبرى
Juzuk 1 . Muka surat 212 .
Bab : ذكر سبب خروج رسول الله صلى الله عليه وسلم إلى الطائف


bersambung ke siri berikut ......

[1] Rujuk Fiqh Sirah An Nabawiyyah Karangan Dr. Muhammad Said Ramadhan al Buuti di bawah tajuk : أول هجرة في الإسلام

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home