" Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini "

Saturday, January 27, 2007

ULAMA’ “ RICE COOKER ”

Muqaddimah .

Selayaknya ulama’ adalah pemegang amanah untuk membasmi kejahilan yang melingkari ummah dan memimpin mereka melandasi hidup membetuli pedoman al - quran dan as – sunnah .

Terlalu banyak urusan masyarakat dan pegangan ummah yang perlu diislah sementara ulama’ merupakan agen pengislah yang dimaksudkan . Islah dan tajdid adalah agenda ulama’ kearah melahirkan ummatus soolehah dan daulatul faadhilah .

Namun malang terdapat ulama’ , bukan sahaja mereka tidak menghargai ilmu serta berdisiplin terhadap prinsip dan peranan ilmu yang mereka miliki , tetapi mereka tergamak mengkhianati amanah yang dipertanggungjawab ke atas mereka selaku orang yang berilmu .

Lebih jahat dan biadab tindakan mereka apabila tanpa segan silu , mereka menjual agama Allah swt. di pasaran terbuka untuk mendapat sedikit imbuhan dunia . Mereka tidak lagi menghitung implikasi tindakan mereka yang mungkin mendatangkan mudharat besar berupa penyelewengan dan kekeliruan ummah terhadap islam yang tulen.

Malah mereka kelihatan tidak memperduli ancaman ilahi terhadap perlakuan mereka yang menggunakan agama untuk mengejar bayang – bayang dunia fana, ini. Sedang Allah swt. telah berfirman :

41. Dan berimanlah kamu Dengan apa Yang Aku turunkan (Al-Quran) Yang mengesahkan benarnya Kitab Yang ada pada kamu, dan janganlah kamu menjadi orang-orang Yang mula-mula kafir (ingkar) akan dia; dan janganlah pula kamu menjadikan ayat-ayatKu (sebagai harga untuk) membeli kelebihan-kelebihan dunia Yang sedikit faedahnya; dan kepada Akulah sahaja hendaklah kamu bertaqwa. Dan janganlah kamu campur adukkan Yang benar itu Dengan Yang salah, dan kamu sembunyikan Yang benar itu pula padahal kamu semua mengetahuinya.

Surah al Baqarah : Ayat 41 – 42

Firman Allah swt . lagi :

79. Kecelakaan besar bagi orang-orang Yang menulis Kitab Taurat Dengan tangan mereka (lalu mengubah Kalam Allah Dengan rekaan-rekaan mereka), kemudian mereka berkata: "Ini ialah dari sisi Allah", supaya mereka Dengan perbuatan itu dapat membeli keuntungan dunia Yang sedikit. maka Kecelakaan besar bagi mereka disebabkan apa Yang ditulis oleh tangan mereka, dan Kecelakaan besar bagi mereka dari apa Yang mereka usahakan itu.

Surah al Baqarah : Ayat 79

Lagi ancaman daripada Allah swt :

174. Sesungguhnya orang-orang Yang menyembunyikan (meminda atau mengubah) apa-apa keterangan Kitab suci Yang telah diturunkan oleh Allah, dan membeli dengannya keuntungan dunia Yang sedikit faedahnya, mereka itu tidak mengisi Dalam perut mereka selain dari api neraka, dan Allah tidak akan berkata-kata kepada mereka pada hari kiamat, dan ia tidak membersihkan mereka (dari dosa), dan mereka pula akan beroleh azab seksa Yang tidak terperi sakitnya.

175. Mereka itulah orang-orang Yang membeli kesesatan Dengan meninggalkan petunjuk (ugama Allah), dan (membeli) azab seksa neraka Dengan meninggalkan keampunan Tuhan. maka sungguh ajaib kesanggupan mereka menanggung seksa api neraka itu.

Surah al Baqarah : Ayat 174 – 175

Firman Allah :

44. Sesungguhnya Kami telah menurunkan Kitab Taurat, Yang mengandungi petunjuk dan cahaya Yang menerangi; Dengan Kitab itu Nabi-nabi Yang menyerah diri (kepada Allah) menetapkan hukum bagi orang-orang Yahudi, dan (dengannya juga) ulama mereka dan pendita-penditanya (menjalankan hukum Allah), sebab mereka diamanahkan memelihara dan menjalankan hukum-hukum dari Kitab Allah (Taurat) itu, dan mereka pula adalah menjadi penjaga dan pengawasnya (dari sebarang perubahan). oleh itu janganlah kamu takut kepada manusia tetapi hendaklah kamu takut kepadaKu (dengan menjaga diri dari melakukan maksiat dan patuh akan perintahKu); dan janganlah kamu menjual (membelakangkan) ayat-ayatKu Dengan harga Yang sedikit (kerana mendapat rasuah, pangkat dan lain-lain keuntungan dunia); dan sesiapa Yang tidak menghukum Dengan apa Yang telah diturunkan oleh Allah (kerana mengingkarinya), maka mereka itulah orang-orang kafir.

Surah al Maaidah : Ayat 44

Terlalu banyak ancaman ilahi buat mereka yang “menjual” agama Allah dan menukarnya dengan harga dunia yang jelek ini berbanding kemuliaan dan keagongan agama yang diwahyukan ilahi.

PERANAN ULAMA’ MENEPATI ZAMAN INI

Keperibadian mulia dan tinggi nilai yang ada pada diri ulama’ meletakkan mereka sebagai teraju untuk memimpin zaman dan ummat ini , justeru zaman yang serba terdedah kepada anasir yang merosakkan aqidah , akhlak dan fikrah ummah memerlukan kepimpinan ulama’ dengan segala potensi dan kualiti yang mereka miliki .

Antara potensi dan kualiti yang saya maksudkan itu ialah ilmu dan taqwa sebagaimana yang disebut oleh Allah swt :

28. Dan demikian pula di antara manusia dan binatang-binatang Yang melata serta binatang-binatang ternak, ada Yang berlainan jenis dan warnanya? sebenarnya Yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang Yang berilmu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun.

Surah Al Faatir : Ayat 28

Firman Allah swt :

11. Wahai orang-orang Yang beriman! apabila diminta kepada kamu memberi lapang dari tempat duduk kamu (untuk orang lain) maka lapangkanlah seboleh-bolehnya supaya Allah melapangkan (segala halnya) untuk kamu. dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, Allah meninggikan darjat orang-orang Yang beriman di antara kamu, dan orang-orang Yang diberi ilmu pengetahuan ugama (dari kalangan kamu) - beberapa darjat. dan (ingatlah), Allah Maha mendalam pengetahuannya tentang apa Yang kamu lakukan.

Surah al Mujaadilah : Ayat 11

Kepimpinan Ulama’

Ulama’ sewajarnya menjuarai isu – isu yang dihadapi oleh ummah dan memimpin mereka menyelesaikan sebarang kekusutan dan kekeliruan ekoran dilanda oleh isu – isu yang saya maksudkan tadi.

Ulama’ jualah selayaknya mendepani segala cabaran yang merintang dihadapan ummah dan menghalang perjalanan mereka merentasi edaran zaman , lalu memimpin tindakan dan pemikiran mereka agar mereka konsistan di atas manhaj an – nabawi .

Ulama’ semestinya berada di saff hadapan , menunjuk jalan dan membimbing ummah dengan sinar ilmu dan cahaya taqwa agar ummah terpimpin dan bersedia mengambil jalan yang lurus menuju pintu syurga ilahi biarpun terlalu banyak halangan dan cabaran.

Ulama’ memimpin bukan dipimpin oleh mereka yang jahil lagi dholim . Justeru itu sangat tidak wajar , jika ulama’ mengambil sikap tidak akan mengemukakan pandangan melampaui pandangan pemerintah atau pemimpin yang tidak memahami Islam dan mendaulatkannya .

Ulama’ menasihati bukan dinasihati oleh mereka yang enggan melaksanakan perintah ilahi dan ingkar menunaikan tanggungjawab sebagai seorang muslim yang taat.

Ulama’ Kontemporary .

Penguasaan zaman bersama segala cabarannya mestilah dikuasai oleh para ulama’ . Mereka sayugianya bersedia dengan segala keupayaan ilmu untuk menyelesaikan fiqh al Mua’sorah dan pastinya ia melibatkan kepentingan ummah di zaman ini.

Kekuatan ilmu dan ketepatan qiraatuz zuruf serta penguasaan alat pencapai segala asas dan usul pengambilan hukum dari sumbernya yang tulen ( al quran dan sunnah ) mesti dimiliki oleh ulama’ dan ianya melayakkan mereka berijtihad menangani persoalan masa kini .

Berani memimpin perubahan kearah melahirkan ummah yang hebat dan benar . Membebaskan mereka dari perangkap kejumudan yang merugikan dan mendidik mereka agar meneladani sunnah an – nabawi dalam kehidupan .

Tegas bersama hujjah – hujjah syari’e dan menentang segala ideologi yang bercanggah dengan wahyu ilahi . Menyelamatkan aqidah dan memurnikan fikrah ummah serta memperbaiki syakhsiyyah mereka .

Kekeliruan dalam menangani peranan

Tidak benar tanggapan bahawa ummat ini hanya perlu diseru kearah kebaikan dengan tidak mengambil tindakan terhadap mungkar dan maksiat . Kononnya , apabila semua ummat ini baik maka secara automatik maksiat dan mungkar itu lupus .

Manhaj al quran dan sunnah rasulNya saw. jelas memandu kita bagaimana sikap yang perlu diambil dalam hal seperti . Dakwah kearah kebaikan , Al amru bil Ma’ruf ( penguatkuasaan syaria’h ) dan an Nahyu a’nil Mungkar adalah tiga institusi yang wajib digerakkan serentak .

Firman Allah swt :

104. Dan hendaklah ada di antara kamu satu golongan Yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menegakkan perkara yang ma’ruf ( syariat ) , serta melarang daripada Segala Yang salah (buruk dan keji). dan mereka Yang bersifat demikian ialah orang-orang Yang berjaya.

Surah Aali Imran : Ayat 104

Demikian juga tidak benar , mengambil sikap prejudis terhadap ulama’ terdahulu atau ulama’ yang lebih tua dan senior daripada kita . Biarpun pada nilai ukur berasaskan disiplin ilmu terdapat banyak kekurangan pada mereka , sangat tidak manis kita melemparkan pelbagai istilah seperti kolot , konservatif dan sebagainya .

Allah mengajar kita :

10. Dan orang-orang (Islam) Yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: "Wahai Tuhan kami! ampunkanlah dosa Kami dan dosa saudara-saudara Kami Yang mendahului Kami Dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan Dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang Yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau amat melimpah belas kasihan dan RahmatMu".

Surah al Hasyr . Ayat 10

Lebih tidak bermoral dan kurang adabnya apabila kita menyamakan ulama’ ini kononnya seperti paderi di gereja sebelum berlakunya revolusi Perancis . Terlalu jauh perbandingan itu dan ianya melukakan perasaan .

Hargailah sumbangan besar mereka yang menjadi benteng ummah dizamannya , menghadapi pencabulan aqidah dan penjajahan fikrah oleh pelbagai pihak musuh yang memaksa dengan pelbagai rupa wajah ghazwatul fikri .

Tiada siapa dapat menafikan , didikan tangan – tangan ulama’ ini sangat membekas dalam jiwa ummah di zaman mereka untuk lahir sebagai generasi yang mempunyai komitmen tinggi terhadap agama .

Perbezaan pendapat lantaran berbeza manhaj pengambilan ilmu dan methodologinya janganlah mendorong kita “ sampai hati ” melemparkan pelbagai istilah dan label buat mereka .

Ulama’ Pondok .

Sungguhpun kita mahu membina manhaj pemikiran kita justeru kita merasakan ianya betul berasaskan al quran dan hadis , binalah tanpa meruntuhkan kehormatan dan kewibawaan ulama’ – ulama’ silam dan mereka yang berada di atas manhaj yang sama .

Saya mengambil contoh ulama’ – ulama’ pondok atau pasentren . Mengapa mereka dilabelkan konservatif ? adakah kerana mereka mengekalkan sistem tradisi dalam method ilmu mereka ? adakah kerana kitab – kitab “kuning” yang menjadi rujukan mereka ?

Lihatlah dengan jujur dan saksama , bagaimana sumbangan besar mereka sebagai sebuah institusi dalam mendidik dan membina genarasi berilmu . Terutama dalam membekalkan kekuatan rohani dengan segala elemen mahmudah seperti zuhud , wara’ , tekun beribadah serta kekuatan ilmu – ilmu alat seperti nahu , sorof dan sebagainya .

Kalaupun mereka dilihat kurang dan lemah dalam capaian mereka terhadap ilmu – ilmu mua’sorah , bukankah langkah yang bijak ialah dikombinasikan antara dua manhaj dan sistem ilmu ini .

Saya masih ingat bagaimana ungkapan yang sering disebut oleh Abu Hasan A’li An Nadwi sewaktu berucap mendidik masyarakat melakukan dan menerima perubahan tanpa mencederakan warisan tradisi yang baik .

الجمع بين القديم الصالح و بالجديد النافع

“ Mengintegrasikan warisan tradisi yang soleh dengan penemuan baru yang bermanafaat ”

Kebijaksanaan sangat diperlukan dalam menyelaras dua aliran yang berbeza ini sedang keduanya sangat bermakna buat membentuk ummah yang kuat dan hebat .

Muzakarah dan dialog lebih harmoni dan bijak digunakan untuk meletakkan mereka dalam satu ruang mencari kesepakatan dan bertolak ansur dalam perkara yang boleh kita berlapang dada padanya .

Debat mungkin sesuai digunakan saat kita menyahut cabaran golongan islam liberal atau sekular yang cuba merendahkan Islam dan membulinya.

Apa yang sangat membimbangkan kita ialah lahirnya ulama’ yang degil dengan manhajnya dan merasakan ia sangat benar sementara pihak lain diselubungi kesalahan dan kesilapan .

Ulama’ dalam kelas ini , tidak risau melihat pertelegahan berlaku dikalangan ummah yang rata – rata masih cetek dan tidak mendalam penguasaan ilmu mereka . Apa yang penting mereka berjaya melontarkan idea dan pandangan mereka beserta hujjah mereka .

Alasan mereka , kami mengemuka pandangan berasas hujjah , pertelagahan atau pergolakkan dikalangan masyarakat bukan lagi menjadi tanggungjawab mereka .

Mereka sangat gemar mencetuskan persoalan – persoalan yang menimbulkan polemik berpanjangan dikalangan masyarakat sedang perkara itu telah menjadi perbahasan sejak berzaman oleh para ulama’ tanpa kesudahan .

Sedang disana masih terlalu banyak persoalan utama yang memerlukan sentuhan dan bimbingan ulama’ guna menyelamatkan ummah .

Contoh mudah saya bawakan disini , bagaimana kita boleh bertelagah dalam perkara baca qunut atau tidak , tunjuk jari ( semasa tahiyyat ) atau tidak , sedang di sana terlalu ramai mereka yang masih tidak menunaikan solat memerlukan bimbingan ulama’ .

Sekali lagi , saya tegaskan bahawa tidak menjadi salah dalam perbedaan pendapat dan hujjah tetapi selesaikannya dalam suasana yang tidak menimbulkan ketegangan dan polemik yang semakin sulit dikalangan masyarakat .

Sebagaimana tidak salah kita mahu membina manhaj pemikiran kita , namun binalah tanpa meruntuhkan manhaj mereka yang tidak sealiran dengan kita selama mana ia tidak bercanggah dengan al quran dan sunnah .

Ulama’ Rice Cooker .

Lebih malang dan parah , apabila lahirnya pula ulama’ yang kelihatan hebat pada ilmunya namun lemah jiwanya. Bukan sahaja ia tidak mampu berkata hei si zalim ! kepada mereka yang berlaku zalim, malah ilmu dan segala pengiktirafan ( sijil ) kesarjanaannya dijadikan peluang dan anak tangga untuk mencapai perolehan lumayan sehingga tergamak ia mendiamkan diri terhadap penyelewengan , maksiat dan mungkar yang berlaku dihadapannya.

قال رسول الله e إذا رأيت أمتي تهاب فلا تقول للظالم
يا ظالم فقد تودع منهم

“ Apabila engkau melihat ummatku takut maka tidak berani berkata kepada orang yang berlaku zalim , wahai si zalim maka diucap selamat tinggal daripada mereka .”

Riwayat al Hakim di dalam al Mustadrak
Juzuk 4 . Muka surat 108
Cetakan darul Kutub al I’lmiyyah Beirut

Ulama’ seperti ini adalah ulama’ yang sanggup dan merelakan dirinya diperalat oleh musuh – musuh Islam untuk berhadapan pula dengan Gerakan Islam . Jiwanya lemah , dan halobanya terhadap kemewahan hidup mengatasi kebenaran dan agamanya.

Ulama’ ini disebut sebagai ulama’ us Suu’ atau ulama’ dunia .

ويل لأمتي من علماء السوء وهم الذين قصدهم من العلم التنعم بالدنيا والتوصل إلى الجاه والمنزلة

Celaka lah bagi ummatku yang terdiri dari kalangan ulama’ Suu’ sedang mereka adalah golongan yang menggunakan ilmu mereka untuk mendapatkan dunia dan mencapai kemegahan dan kedudukan .

Rujuk : Faidhul Qadiir
Jilid ke 6 . Muka surat 369

10 Comments:

Anonymous Anonymous said...

Seeloknya prselisihan pandangan antara orang yang berilmu ini diselesaikan bersama secara dalaman agar aku yang mendapat pendidikan sekular ini tidak memandang lekeh terhadap kau orang. Adakah kau orang tak berasa malu dengan kata kata aku ini. Buat perjumpaan sesama kau orang secara tertutup,bincang lumat dan ayuh kita bekerja spt yg telah kau orang sepakati. Insyallah saya yg ditakdirkan tidak berilmu setaraf kalian sedia membantu.

12:28 AM

 
Anonymous Anonymous said...

Saya berpandangan,saudara saudara ilmuan islam ini saling mengenali dan paling tidak dari tempat pengajian yg serumpun. Persoalannya adakah ini yg diajar disana, saling berbantahan.Tolong tunjukan contoh yg baik kerana misi yg kau orang bawa sangat mulia. Saya ulang, misi yg kau orang bawa sangat mulia....apakah kalian juga terperangkap dgn talbis iblis?...semoga tidak kerana saya masih mengharapkan tuan tuan sebagai penyuluh dalam saya melalui kehidupan ini. zamri

12:38 AM

 
Anonymous Anonymous said...

Tak tahu apa tujuan Ustaz menulis sebegini, seeloknya tulisan sebegini patut dihentikan kerana ia tidak membawa apa2 hasil.

Masing2 golongan agama ada tugasnya, seeloknya tumpukan kearah itu dari berbantah sesama sendiri.

sekian, mohon ampun dan maaf sekiranya ada tak berkenan dihati.
abuamirul

9:25 PM

 
Anonymous Anonymous said...

Assalamualaikum warahmatullah

Perkara yang dibincangkan ustaz, telah saya dan beberapa rakan seperjuangan bincangkan. Saya menyokong tulisan ustaz kerana hakikatnya golongan yang berpendidikan agama yang tinggi memiliki ilmu agama dengan nas-nas yang sangat tepat, tetapi jiwanya ketandusan dan gersang tanpa ruh.

Saya melihat di tempat bekerja, golongan ustaz dan ustazah sudah dianggap 'moden' kerana fikrah dan akhlak yang yang ditonjolkan tidak menggambar beliau seorang guru agama. Menyanyi -nyanyi dalam bilik guru, tanpa menghiraukan pelajar-pelajar yang masuk. Sehinggakan ada pelajar-pelajar yang datang menemui saya berkata, "kalau ustaz sekolah lain bagi ceramah saya nak dengar cikgu, tapi kalau ustaz dan ustazah sekolah kita bagi ceramah...saya minta maaf saya tak nak pergi" Saya hairan kenapa pelajar yang usianya masih mentah tega bercakap seprti itu. Rupa-rupanya mereka insan kerdil, tetapi memilki jiwa yang sangat besar. Ini bermakna, perlakuan dan perbuatan mereka yang berilmu pengetahuan agama yang lebih dari orang2 biasa seperti saya tidak seperti yang digambarkan dan diamalkan semasa zaman Rasulullah s.a.w Sebaliknya mereka yang berusaha mempertahankan sunnah dan kalamullah itu dianggap ortodoks dan konservatif.
Saya mahu bertanya...adakah al-Qur'an itu Ortodok? adakah al-Qyr'an itu konservatif? Bukankah al-Qur'an diturunkan sebagai panduan dan petunjuk? Bukankah Nabi JUnjungan Muhammad yang kita kasihi itu diutus Allah sebagai Qudwah Hasanah?

Saya pelik mengapa rata-rata masyarakat Islam sangat membenci usrah? sedangkan nabi s.a.w melakukan usrah ditahap awal dakwah baginda kepada Assobiquun al-Awwalun.

ISlam kembali menjadi dagang... orang Islam memencilkan Islam dalam kehidupan seharian. Saya mengambil contoh dalam rancangan TV baru2 ini. Seorang pereka hias baju pengantin ( lelaki ) mengatakan baju kurung ini dan tudung ini untuk something more to agama...dalam masjid if I not mistake.... yang ni pula ( sambil menunjukkan gaun )akan menjadikan pengantin wedding of the year kerana this dress look sexy. Fahaman sekularisme ini telah menjadi kiblat masyarakat kita. Tetapi yang sedihnya, bila ditegur mereka-mereka itu cepat melatah sambil marah-marah. Saya masih ingat ketika Rasulullah begitu marah melihat seorang lelaki memakai cincin emas. Baginda menuruh lelaki itu buang cincin itu dengan segera. Adakah tindakan itu dianggap sangat kejam, padahal lelaki itu sudah menlanggari hukum Allah.

Oleh itu, setiap teguran terimalah dengan hati yang terbuka dan selidikilah dulu sebelum marah-marah.

Saya harap golongan Ulama' malaysia memainkan peranan penting dalam menyebarkan faham Islam yang sebenarnya... yang sebenar-benarnya...yang sebenar-benarnya..kerana orang-orang sperti saya dan generasi muda sekarang sangat mengharapkan ilmu.

9:45 PM

 
Anonymous Anonymous said...

Buat apa nak marah, takde masalah berbeza pendapat itu biasa sajer dlm hal apa2 pun terutama hal agama. Saya tidak menolak artikel Ustaz cuma pemahaman masing2 berbeza. Apa yg saya faham tak sama dgn cik husna, dlm isu cik husna saya bersama.

Dalam artikel ust ni pun byk saya bersetuju cuma ada contoh yg saya rasa tak menepati keadaan semasa.

Mungkin Ust boleh ulas? kalau ada satu dua pendapat ust bukan bermakna saya menolak semua ilmu ustaz dan diri ustaz.

10:06 AM

 
Blogger Nasrudin bin Hassan at Tantawi said...

Assalamualaikum

buat semua sahabat , terlebih saya memohon maaf atas ketidak selesaan yang dirasai ekoran tazkirah atau artikel saya ini .

Maksud saya hanya satu , tazkirah buat diri sendiri ( sebagai org yang ada sedikit ilmu ) agar tidak leka dan lalai dari tanggungjawab .

Kemudian saya bercadang utk berkongsi sama peringatan itu buat semua sahabat seperjuangan di luar sana agar mrk lebih kedepan dalam menangani cabaran semasa.

Baiklah , ana dedahkan "asbabul wurud" artikel ini .

beberapa hari lalu ( sblm artikel ini di tulis )

Saya muzakaran bersama Yb. Salehudin . Dlm muzakarah tersebut beliau sangat serius melahirkan rasa terkilan dgn sikap ulama' yang dilihat agak sepi dlm menangani isu isu ummah .

Ada yang hanya selesa semata - mata mengajar dan kuliah dan mengharapkan imbuhan dari pihak masjid atau penganjur .

Bukanlah mengajar itu salah , tetapi mrk tdk tampil dalam saat ummah memerlukan pandangan dan ijtihad mrk terutama dlm perkara yg membabitkan masa depan ummah .

Kemudian , kecenderungan para ulama' utk cenderung kpd khilaf sesama mrk dalam perkara yg ada atau memiliki hujjah yang pelbagai dan ianya benar , kenapa tdk tumpukan kpd perkara yg kita sepakat dan isunya sangat besar dan luas .

Saya kecewa dgn perkembangan ini ! kata beliau .

Beliau banyak merujuk kepada ustaz ustaz dan ulama' dalam PAS , ramai yg lesu terhadap isu ummah .

Kalau ceramah , tiada idea dan bahan fikir yg membina , kemudian menulis pun tak ramai apalagi yg mampu tampil ke depan utk menangani isu yg lebih global .

Bukanlah semua ... maksudnya beliau kesal pada sebahagiannya .

Mlm tu , semasa muzakarah dgn beliau , saya mengalirkan air mata menginsafi apa yg beliau sebut sbb saya pun org panggil ustaz juga.

maka saya memperingatkan lagi diri ini dalam "diary seorang mujahid" dan bermaksud juga utk dikongsi dgn semua.

Maka sekali saya mohon maaf lah jika ianya menyentuh perasaan sesiapa . Realitinya , saya sendiri terpukul dengan tazkirah tersebut .

Pun saya tidaklah menfokus kpd sesiapa sebalik secara umum dgn mengambil cth - cth yg merosakkan kredebiliti seorang ulama'

wallahualam bissowab .

1:45 PM

 
Anonymous Anonymous said...

assalamualaikum,

saya minta maaf kalau tulisan saya bernada marah. Tulisan ustaz sangat berisi dan saya juga tidak nampak mana-2 pihak yang dipersalahkan.

4:57 PM

 
Anonymous Anonymous said...

entah la... orang belajar agama pun berselisih sesama sendiri.... terfikir juga... adakah ulama' silam pun sebegini... mendengar komen2 di beberapa blog tertentu (bukan blog ini), rasanya amat-amat mengecewakan.

Percayalah... masyarakat awam jadi mangsa... antaranya adalah AKU.

12:16 PM

 
Anonymous Anonymous said...

Intisari artikel ini memang tepat dan bersesuaian dengan suasana ulama yang ada dalam negara dan jamaah kita pada masa kini.Pengalaman saya sepanjang berada dalam jamaah ini, memang ternyata sesetengah ulama lebih cenderung menyampaikan ilmu perjuangan Islam tanpa mempraktikkannya.Dengan kata lain, tidak terjun ke gelanggang perjuangan Islam. Semoga pemuda dan golongan professional dalam jamaah dapat membantu menyedarkan ulama sebegini.

4:56 PM

 
Anonymous Anonymous said...

pandangan yang cukup bernas dan praktikal untuk semua yang belajar agama.....agar beramanah dengan ilmu....jgn salahkan orang pulak bila dapat ilmu yang tak betul......cari lah ulamak yang betul-betul amanah dengan ilmunya.....

1:25 PM

 

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home