MENCARI DAMAI UMMAT INI .
Manhaj Pemikiranku .
Apabila saya menegur dan mengkritik bukan saja saya mesti bersedia untuk menerima respon balas ( dalam bentuk penghujjahan positif atau negative ) dari pihak yang dikritik , tetapi juga saya mestilah jujur dan benar dalam teguran dan kritikan yang dilontarkan. Malah saya jua mesti terikat dengan etika mengkritik sekalipun berhadapan dengan kemungkinan hujjah balas yang tidak beretika dan berdisiplin.
Ianya tidaklah bermakna hanya saya yang benar . Berkemungkinan besar saya salah dan silap dalam mengemukakan pandangan dan setiap kali saya berbeza pendapat dengan pihak lain , apa yang saya harapkan agar Allah menunjuk jalan-Nya yang benar .
Inilah prinsip yang akan terus saya "genggam" bersama sedikit nikmat ilmu anugerah ilahi .
Tidak senang sebenarnya untuk mengkritik , justeru kritikan adalah melahirkan rasa tidak setuju terhadap pihak lain yang berkemungkinan boleh mengguris perasaannya dan mungkin juga boleh mengendurkan tali persahabatan yang telah lama terjalin.
Namun begitu , selamanya saya tidak boleh berdiam diri terhadap suatu yang saya tidak bersetuju dengannya . Terutama dalam perkara yang melibatkan penyelewengan fakta , kekeliruan maklumat , tuduhan tanpa bukti , fitnah tanpa asas dan keangkuhan yang berpanjangan .
Lantaran itu , sebagaimana saya mesti tabah , terbuka dan berhati – hati dalam menatah kalimah bernada kritikan , saya juga sangat mengharapkan pihak lain ( yang dikritik ) tidak cepat melatah , berjiwa besar , jujur dalam menilai dan apa yang paling penting ialah , tidak menganggap kritikan itu sebagai satu peluru yang membunuh nilai persahabatan dan juga nilai keintelektualan atau kesarjanaan.
Saya percaya jika yang dikritik itu bertaraf sarjana , sebagaimana ia tidak mudah tewas hujjah begitulah seharusnya ia tidak mudah terpengaruh dengan elemen – elemen yang mengheretnya ke medan pergaduhan atau perbalahan yang menimbulkan rasa benci di hati dan kecewa di jiwa .
Sebaliknya ia mestilah sangat menghormati kritikan dan pandangan pihak lain biarpun ia menganggap kritikan itu hanyalah hujah picisan atau pandangan yang dangkal ( sebab kita boleh tidak menerimanya ) , justeru menghormati pandangan dan kritikan pihak lain adalah suatu sikap terpuji dan selayaknya itulah penampilan seorang sarjana.
الذين يستمعون القول فيتبعون أحسنة
أولئك الذين هدا هم الله و أولئك هم أولوا الألباب
أولئك الذين هدا هم الله و أولئك هم أولوا الألباب
18. Yang berusaha mendengar perkataan-perkataan Yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan Yang sebaik-baiknya (pada segi hukum ugama); mereka itulah orang-orang Yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang Yang berakal sempurna.
Surah az Zumar . Ayat : 18
Sikap tidak menghormati hujjah dan kritikan pihak lain hanya mempamerkan keangkuhan dan keegoan diri yang mungkin "teruja" dengan pencapaian ilmunya atau anugerah kesarjanaannya.
Soalnya , apakah hujjah dari pihak kita sahaja menepati ciri – ciri ilmiyyah sedang hujjah dari pihak lain dinilai picisan biarpun sarat dengan hujjah dan dalil ?
Saya suka membawa pendekatan para sarjana agong dalam sejarah peradaban Islam . Ternyata mereka sangat tinggi disiplin dalam menangani khilaf dalam apa jua isu , terutama dalam isu – isu yang tidak menjejaskan aqidah .
Ilmu dan tawadhu' ( merendah diri ) menjadi asas disiplin tersebut disamping mereka mengetengahkan adab – adab ikhtilaf yang cukup wibawa dan berkualiti .
Lihat sahaja bagaimana imam – imam mazhab mengendalikan khilaf dikalangan mereka . Biarpun mereka menafikan sekeras – kerasnya hujjah pihak lain , tidak sedikit pun mencalarkan penghormatannya terhadap orang yang mereka kritik apatah lagi meremehkan hujjah pihak lain.
Imam Ahmad bin Hanbal pernah berkata terhadap imam As-Syafii;
كانَ أفْقَهُ النَّاسُ فِىْ كِتابِ اللهِ وَ سُنَّةِ رَسُوْلِهِ
“Beliau (Imam As-Syafii) adalah manusia yang paling faqih (paling faham) tentang Kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya ”
Lihat : Tarikh at-Tasyri’ al-Islami. hlmn 312.
(karangan As-Subki, As-Sais dan Al-Barbari, di ta’liq oleh Dr ‘Alauddin Za’tari)
(karangan As-Subki, As-Sais dan Al-Barbari, di ta’liq oleh Dr ‘Alauddin Za’tari)
Imam Ahmad bin Hanbal juga ada menyebut;
ما عرفتُ ناسِخَ اْلحَدِيْثِ مِنْ مَنْسُوْخِهِ حَتَّى جَالَسْتُ الشَّافِعِى
“Aku tidak mengetahui nasikh hadis daripada mansukhnya melainkan aku duduk bersama As-Syafii ”
Lihat : Tarikh at-Tasyri’ al-Islami. hlmn 312.
(karangan As-Subki, As-Sais dan Al-Barbari, di ta’liq oleh Dr ‘Alauddin Za’tari)
(karangan As-Subki, As-Sais dan Al-Barbari, di ta’liq oleh Dr ‘Alauddin Za’tari)
Mereka berkhilaf di atas pentas ilmu yang dihiasi dengan keikhlasan dan ketaqwaan bukan semangat menegakkan benang basah dan bersikap prejudis terhadap pihak lain .
Wajarnya disiplin mereka dalam menangani medan perbahasan dan penghujjahan ini diterima pakai dalam setiap pertikaian antara kita dewasa kini.
Saya akur , bahawa khilaf tidak mungkin boleh dihapuskan . Terlalu banyak punca dan sebab yang menghela ke arah khilaf . Perbedaan latar belakang menuntut ilmu sudah cukup meletakkan para ilmuan ini berkhilaf antara mereka . Tahap pencapaian ilmu , perbedaan manhaj dan method , jurang usia , perbedaan zuruf ( suasana ) , perbedaan kefahaman dan ( maslahah ) kepentingan turut menjadi penyumbang penting berlakunya khilaf .
Kita tidak perlu sempit dada dan sesak nafas dengan fenomena ini . Ianya sihat malah terlalu sihat andainya para ilmuan Islam ini dapat menanganinya dengan disiplin khilaf yang tinggi dan baik.
Mentajdid Gerakan Tajdid .
Kecelaruan social , kekacauan minda , kekeliruan maklumat dan kesamaran ilmu meletakkan ummah dalam resah mendepani cabaran zaman . Menyaksi pula pertikaian dan perdebatan para ilmuan mereka , bagaikan tidak membawa tuah . Ummah kekal dirundung malang .
Realiti ini membuktikan betapa ummah memerlukan gerakan tajdid dan islah kearah membuka ruang dan peluang kepada mereka membina kembali kegemilangan dan kecemerlangan sebagaimana yang penah dicapai oleh ummat terdahulu.
Ummat ini tidak hebat sekadar kita berbangga dengan sejarah dan pencapaian silam tanpa kita mencipta sejarah hebat untuk dibangga oleh generasi akan datang .
Menggerakkan usaha tajdid bukanlah membawa agama baru tetapi membawa ummah yang sekian lama jauh dari penghayatan agama agar kembali memertabatkan hidup berasaskan agama melalui sumbernya yang asal.
Usaha tajdid tidak juga memperkenalkan istilah – istilah baru tetapi memahamkan ummah terhadap istilah dan falsafah agama yang suci berteraskan manhaj an Nabawiyyah .
Usaha tajdid tidak diasaskan di atas manhaj yang suka berpolemik dalam isu – isu khilafiah dan meresahkan ummah sebaliknya menggerakkan usaha untuk menenangkan ummah seraya membimbing mereka dengan ilmu yang benar dan membuka lebih banyak ruang persepakatan.
Usaha tajdid jua mesti terbit dari dhomir yang tinggi kecintaannya terhadap syariat dan tulus keikhlasannya terhadap ummah.
Usaha tajdid memerlukan kepimpinan ummah yang berani dan mampu ( layak ) berijtihad berasaskan ilmu yang benar dan tasawwur amal Islami yang jelas.
Usaha tajdid meletakkan para mujaddidnya di atas perjuangan yang hak dan tegas mempertahankannya .
Usaha tajdid juga menampilkan mujaddid yang berani menentang perkara mungkar dan bathil sekalipun terpaksa mengorbankan segala kepentingan hidupnya.
Manhaj perjuanganku.
Sepanjang saya melibatkan diri dengan Parti Islam SeMalaysia PAS , bersama pengalaman gerakkerjanya mendepani segala cabaran dan isu ummah menjadikan saya sangat sayang terhadap perjuangan islam yang suci ini.
Walaupun PAS adalah sebuah parti politik , pada saya ia adalah sebuah gerakan Islam yang melaksanakan tanggungjawab kearah mendaulatkan syariah Ilahi di atas tanahair ini. Justeru itu , hingga saat ini saya tidak pernah merasakan saya orang politik .
Sebaliknya saya hanya seorang anggota sebuah gerakan Islam yang menjalankan tugas untuk mendaulatkan syariat Allah , memartabatkan ummah , berdakwah memahamkan masyarakat dan gerakkerja politik adalah sebahagian dari tugas yang wajib saya laksanakan.
Dasar perjuangan PAS sangat jelas , segalanya untuk islam . Saya antara yang diamanahkan untuk memimpin dan mentarbiyyah anggota parti , bukan saja bertanggungjawab ke atasnya tetapi sangat masak terhadap perjalanan parti ini.
Modul dan manhaj yang digunakan adalah untuk melahirkan anggota atau jundi yang ikhlas berjuang dan faham tanggungjawab serta amanah melaksanakan tugas sebagai pejuang islam atau ansarullah.
Saya sangat pasti akan ketulenan sumber dan keaslian maraji’ ( tempat dan bahan rujuk ) perjuangan yang saya dokong ini bahawa ia bersih dari segala penyimpangan aqidah dan penyelewengan fikrah yang membawanya keluar dari manhaj ahli sunnah wal jamaah.
Saya tidak dapat nafikan , dalam jumlah keanggotaan yang mencecah setengah juta ahli , tentu sahaja ada anggota parti yang “ kebal tarbiyyah ” dan “ tidak makan saman ” , namun mereka masih menjalani proses pengambilan skima tarbiyyah secara berperingkat. Biarpun tidak secara rasmi , tetapi ia akan banyak mempelajari selok belok perjuangan melalui keistiqamahannya bersama perjuangan ini.
PAS sangat tegas terhadap sebarang penyelewengan dan penyimpangan yang merosakkan prinsip perjuangan Islam dokongannya. Pemimpin atau ahli parti yang terlibat akan dikenakan tindakan melalui proses tata tertib dan disiplin parti .
Lantaran itu , bukti dan saksi sangat diperlukan dalam apa jua tuduhan dan prasangka bahawa PAS dan anggotanya menyeleweng dari perjuangan Islam dan manhaj ahli sunnah wal jamaah.
Sebagai contoh , tuduhan PAS atau anggotanya adalah khawarij , syiah , konsevertif dan seumpamanya mesti dilampirkan bukti dan saksi . Melemparkan tuduhan dan memasang prasangka tanpa asas bukti dan saksi adalah suatu yang sangat mengecewakan dan pasti mengguris perasaan saya.
Apalagi menuduh PAS akan menubuhkan negara Special Branch . Secara prinsipnya saya melihat tuduhan itu sangat tidak benar dan tidak pula mempunyai asas kecuali dilihat sebagai “ melepas geram ” terhadap PAS.
Persoalannya , apakah wajar rasa tidak senang umum terhadap individu dalam parti lalu menjustifikasikan parti .
Boleh menuduh , tetapi disiplinnya menuntut bukti dan saksi .
Nasihat buat rakan seperjuanganku .
Pun begitu , nasihat saya buat rakan – rakan seperjuangan jua mereka yang memimpin saya dalam parti ini agar konsistan dengan amal Islami bersama akhlak murni yang menjadi asas keperibadian seorang pejuang .
Kita pejuang bukan pemberontak . Kita pendakwah bukan penghukum . Responsif terhadap isu ummah tetapi tidak melatah terhadap provokasi pihak yang tidak bertanggungjawab.
Hulurkan tangan “ membimbing ” biarpun lidah tegas menentang dan menegur kedholiman . Yang hak dikata hak dan yang bathil dikata bathil.
Sampaikan salam perjuangan dan persahabatan kita buat madu’u serta bukalah pintu enggagement kita buat semua. Namun pintu harus ditutup buat pengkhianat yang mengkhianati perjuangan suci ini.
Tegurlah saya andai saya silap , bimbinglah saya andai saya tersasar dan bantulah saya andai saya benar .
Apa yang saya cari , ialah Damai buat Ummat Ini .
3 Comments:
Saya meluangkan masa untuk menonton perbincangan antara Datuk Johan Dan mufti Perlis. Satu perkara yg terdetik di hati, saya sangat bimbang ada agenda disebaliknya. Yaitu melaga lagakan para mufti sehingga intitusi mereka tidak dihormati masyarakat.Bagi saya mungkin lebih elok para mufti mengadakan conference call sesama mereka sebelum mereka ke udara. Mungkin ini lebih bijak. Kedua saya terkilan dengan undi sms yg bertanya tentang apa sewajarnya peranan orang agama didalam pemerintahan. Bagi saya setiap muslim sewajarnya akur bahawa manusia ini di amanahkan Allah sebagai pemimpin bagi alam ini. Jadi sebagai pemimpin tugasnya adalah mentadbir.Sesuai dgn gelaran hamba, manusia sewajarnya mentadbir alam ini mengikut kehendak Tuannya. (Allah) Jadi siapakah yg lebih tahu akan perintah Allah selain dari para agama dan Mufti?.Jadi sebagai seorang islam sewajarnya kita menjawab para agamawan yg selayaknya menjadi orang nombor satu dalam politik kerana politik membawa erti pengurusan umat dan alam.Jika kita memisahkan pengurusan ini dari islam, itu lah yg dipanggil sekular.Bagi mereka yg bukan islam, perkara ini tidak pelik berlaku kerana dlm agama mereka tiada petunjuk bagaimana umat dan alam seharusnya ditadbir.Bagi saya kefahaman ini sewajarya wajib ada dibenak setiap muslim. Tolong betulkan jika saya salah.
Oleh kerana kersarjanaan yg ditonjolkan,salah satu ciri kesarjanaan ialah bercakap dgn disetakan bukti. Oleh itu bukti diperlukan bagi yg tuduhan kpd parti yg dikuasai fahaman syiah.
Seeloknya semasa asyik menyebut kesarjanaan di kembarkan bersamanya takwa. Sarjana tanpa takwa juga akan merosakkan umat.
Walau bagaimana pun saya akur, kita bukan maksum.
zamri
4:13 PM
Ustaz, Islam adalah ajaran ruhiyyah sekaligus ajaran politik. Hal ini dapat dilihat baik pada aqidah mahupun syariat. Islam menuntut keimanan yg bulat dan sempurna kepada Allah swt, sekaligus berhukum kepada syariat Nya dalam setiap aspek kehidupan. Menafikan hukum, bererti kufur.
Oleh itu setiap pendakwah Islam, ianya adalah seorang yg memiliki ruhiyyah yang tinggi, sekaligus seorang ahli politik.
Hanya pendakwah islam dizaman sekuler atau dizaman kemunduran Islam sahaja yg tidak menjadi politikus.
SATU
Oleh itu, ustaz seharusnya sejak awal lagi, ketika memulakan langkah pertama untuk terjun ke medan dakwah, ustaz perlu menyedari ustaz adalah seorang politikus. Kerana intipati dakwah menyeru ketaatan yang total kepada Allah swt @ hidup berdasarkan syariat Islam.
DUA
Hizbut Tahrir adalah sebuah gerakan tajdid.
TIGA
Artikel ustaz tentang Hizbut Tahrir dulu tu banyak yang salah. Fakta-fakta yang dikemukakan banyak berbentuk prasangka. Mungkin pihak yang memberi maklumat kepada ustaz sendiri tak kenal Ht dan fikrah perjuangannya. Adalah lebih baik sekiranya tulisan tersebut merujuk terus kepada sumber yg asal @ terus dari HT.
KEEMPAT
Semoga Allah memberi kekuatan dan kesabaran kepada Ustaz serta semua para pendakwah yg ikhlas untuk terus menyatakan kebenaran Islam.
2:04 PM
Walaupun PAS adalah sebuah parti politik , pada saya ia adalah sebuah gerakan Islam yang melaksanakan tanggungjawab kearah mendaulatkan syariah Ilahi di atas tanahair ini. Justeru itu , hingga saat ini saya tidak pernah merasakan saya orang politik .
Sebaliknya saya hanya seorang anggota sebuah gerakan Islam yang menjalankan tugas untuk mendaulatkan syariat Allah , memartabatkan ummah , berdakwah memahamkan masyarakat DAN GERAKKERJA POLITIK ADALAH SEBAHAGIAN DARI TUGAS YANG WAJIB SAYA LAKSANAKAN
3:38 PM
Post a Comment
Subscribe to Post Comments [Atom]
<< Home