WARKAH TAZKIRAH BUAT TAN SRI.
Oleh Tuan Guru Hj Nik Abdul Aziz Nik Mat
MENEMUI Tan Sri Khalid Ibrahim dengan segala doa dan limpah kerahmatan dariNya. Tan Sri, Baru agak sebentar Tan Sri cuba untuk berjinak-jinak dengan dunia pembangkang dan Tan Sri sudah dapat merasai pahit gigitannya. Kami sudah puluhan tahun dijeruk dalam tempayan penderaan ini. Cukuplah Allah yang menjadi saksinya.
Usahkan kita nak bercakap soal pembelaan Islam dan umat Islam, membela nasib bangsa Melayu melalui demokrasi sekali pun, kita akan menyaksikan satu laluan berhalang yang teramat sukar.
Apa yang menyayatkan hati lagi ialah ia hampir sah sengaja dilakukan. Ini cukup dapat disaksikan dalam plihan raya kecil di Ijok baru semalam.
Dalam konteks demokrasi, rugi sangatkah jika Dewan Undangan Negeri Selangor memberi ruang kepada minoriti pembangkang? Hatta, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri pernah menegur tentang ‘tidak betulnya’ sesebuah sistem berkerajaan jika kerajaan yang di pilih(?) itu terlampau-lampau kuat.
Tanpa sebuah kerusi pun yang dibenarkan, maka siapa agaknya yang mampu menyemak parti yang membentuk kerajaan itu dari melakukan kesilapan? Beliau seorang tokoh bergelar Tan Sri dan bukan sebarang budak kampung yang biasa.
Dalam hal ini, mungkin sangat bermanafaat kita merenungi maksud ayat Allah SWT mengenai tiga orang Rasul yang dibunuh oleh kerajaan yang zalim kerana mengamalkan sikap enggan menerima nasihat.
Ini kebenaran sejarah dan tercatat sendiri di dalam al-Quran. Ia berbunyi,
“Utusan-utusan itu berkata: kemalangan itu adalah kerana kamu sendiri. Apakah sekadar jika kamu diberi peringatan (kamu bernasib malang)? Sebenarnya kamu adalah kaum yang melampaui batas.
“ (Surah Yasin Ayat 19).
YBhg. Tan Sri,
Pada saya, pilihan raya kecil Ijok sebenarnya semacam kesempatan. Kesempatan itu semacam diatur oleh Allah SWT untuk memberi peluang kepada pemimpin Umno dan seluruh warga pengundi Ijok untuk memperbaiki semula dasar angkuh Selangor yang menolak Islam dan sekali gus doktrin demokrasi berbunyi “pembangkang sifar”.
Tak bolehkah Ijok sekadar dibiarkan kerusinya untuk pembangkang. Maksud saya, bukan diberi percuma sebegitu tetapi dipertandingkan dengan cara yang sihat.
Ini, sampai membawa bala tentera polis dan FRU yang beribu-ribu. Mengugut pengundi di sana sini. Amalan gangsterisme. Ada tertangkapnya dua bas yang disyaki membawa pengundi hantu dari Perlis.
Curahan peruntukan raksasa yang melebihi RM36 juta. Ini demokrasi atau apa? Tak mungkin Umno tak faham betapa semua amalan ini adalah perbuatan kontra demokrasi yang terkutuk dan hina sehina-hina!
Jika saya dibenarkan menggunakan ‘pisau tumpul’ untuk memotong di ketika ini maka saya akan mengatakan yang pemimpin-pemimpin Umnolah yang selama ini bertanggungjawab mengeraskan hati rakyat Malaysia dari menerima kebenaran Allah.
Jika calon KeADILan kita menang sekali pun, apa sangatlah yang kurangnya Selangor itu. Sehabis kuat, Tan Sri Khalid kita akan hanya bertazkirah, menegur dan berpesan-pesanan darihal kebaikan.
Selaku seorang yang berkepakaran di bidang ekonomi dan korporat, tentu sekali penguasaan ilmu Tan Sri adalah aset yang sangat besar untuk dikongsikan oleh Selangor dalam konteks mendengar pandangan kedua dari arah yang sedikit berlainan.
Ini tentu akan mencetus satu proses ‘check and balance’ yang sihat untuk membela nasib orang Melayu, orang Islam, non-Islam dan umat manusia pada amnya.
Cuba pemimpin Umno buat perbandingan sedikit dengan apa yang sedang berlaku di White House hari ini. Lapan calon Demokrat telah sebulat suara mengutuk Presiden Bush berhubung dasar beliau di Iraq.
Ini berikutan daripada kekalahan pihak Republikan di tangan Demokrat yang semakin menyisihkan Bush.
Bahkan, dalam perbahasan kempen pertama disiarkan menerusi televisyen sebelum pemilihan Presiden 4 November 2008, calon Demokrat membidas pentadbiran Bush kerana terus menghantar beribu-ribu askar AS dan membelanjakan berbilion-bilion dolar untuk kempen Perang Iraq yang menuju kegagalan.
Berita ini ada dalam semua akhbar pada 28 April 2007. Nah, kita boleh lihat bagaimana berbeda sekali amalan demokrasi di tempat orang berbanding dengan di tempat kita.
Di peringkat ini, saya tidak perlulah menghukum betapa kunonya kita sebab Tan Sri sendiri, seluruh penduduk Ijok dan rakyat Malaysia pada amnya telah sempat menyaksikan segala adegannya. Ia jelas sebuah demokrasi olok-olok di mana Islam diperolok-olokkan.
Jika mulialah apa yang dilakukan kerajaan Umno di Ijok itu, kenapa tidak dibenarkan mana-mana pasukan pemantau pelaksana demokrasi peringkat dunia untuk menjadi saksi.
Sebenarnya, kita telah tersalah memakaikan lencana dacing yang bersimbolkan keadilan dunia dan demokrasi ke dada pemimpin Umno. Rupanya, mereka cuma berwajah demokrasi tetapi berjiwa ‘komunis’.
Mereka boleh dikatakan hampir kering kontang dari segi nilai iman dan hari pembalasan di akhirat. Itulah Tan Sri; apa yang mungkin saya boleh simpulkan.
Pemimpin Umno perlu ingat bahawa segala yang dilakukan di Ijok itu ada divideokan oleh Allah SWT. Jangan ingat, pihak Special Branch (SB) dan polis rahsia Umno sahaja yang membuat rakaman.
Bahkan, mereka perlu di ingatkan dengan ayat Allah yang bermaksud,
“pada hari di ketika mereka dibangkitkan Allah semuanya, lalu diberitakan Nya, kepada mereka apa yang telah mereka kerjakan. Allah mengumpul (mencatat) amal perbuatan (dan aktiviti) itu, padahal mereka melupakannya. Dan Allah Maha Menyaksikan segala sesuatu.
(Surah Al-Mujadalah Ayat 6).
Tan Sri,
Saya sekadar berpesan kepada Tan Sri. Saya cuma mengambil kesempatan untuk bertazkirah melalui surat terbuka ini untuk dibaca oleh semua. Tahniah jua dari saya di atas keberanian dan ketabahan Tan Sri untuk mengharungi ujian yang getir ini.
Lagi pun, mengikut bacaan, undi di Ijok untuk PKR sudah bertambah sebanyak 471 undi. Syabas saya ucapkan. Sesungguhnya, kerja memikul kebenaran ini adalah satu tugas berat.
Hanya Nabi-Nabi, Rasul-Rasul dan para anbiya’ yang diikuti oleh pejuang-pejuang seperti kita termasuklah seperti Tan Sri yang mampu memikulnya, InsyaAllah. Pantang berundur. Kuatkan semangat. Seorang mukmin adalah seorang yang tidak pernah kenal erti kecewa dan putus asa.
Wallahua’lam.
0 Comments:
Post a Comment
Subscribe to Post Comments [Atom]
<< Home