Kenyataan Media .
BAJU KALIS PELURU :
ALASAN LAPUK YANG TIADA PENYELESAIAN.
Malaysia digemparkan dengan kematian dua orang anggota polis yang meninggal dunia akibat ditembak pengedar dadah apabila kegiatan mereka dihidu oleh pihak berkuasa. Peristiwa hitam itu berlaku pada pukul 7.30 pagi 26 Oktober 2007 di sebuah rumah di kampong Seda Aman Sungai Buloh.
Tindakan berani ala mafia yang dilakukan oleh ‘pengganas’ itu dilakukan apabila menyedari hukuman gantung akan dikenakan ke atas mereka sebaik sahaja pihak polis cawangan narkotik itu berjaya mengumpul bukti di rumah mereka.
Dewan Pemuda PAS Pusat ( DPPP ) merasa kesal apabila alasan lapuk diberikan oleh pihak kerajaan apabila isu baju kalis peluru diajukan. Ketua Polis Negara sendiri dalam komentarnya menyatakan peruntukan untuk baju kalis peluru jauh daripada mencukupi untuk PDRM menjalankan tugas rutin mereka.
Menjawab soalan pemberita, Musa menjelaskan, serbuan itu dijalankan oleh satu pasukan khas yang selalunya boleh melibatkan pelbagai unit dalam pasukan polis.
Ditanya kenapa anggota terbabit tidak memakai baju kalis peluru, beliau berkata, polis menghadapi masalah kekurangan baju kalis peluru ketika ini.
Tambah Musa, pada masa ini hanya anggota serta pegawai yang menjalankan tugas berbahaya sahaja dibekalkan baju itu.
Menurutnya, polis tidak mampu menyediakan baju kalis peluru bagi setiap pegawai dan anggota yang bertugas pada ketika ini kerana ia memerlukan belanja besar.
Musa berkata, polis bagaimanapun akan memohon kepada kerajaan untuk menambah jumlah baju kalis peluru bagi kegunaan pasukan itu terutama yang bertugas di bahagian rondaan.
“Kita akan memohon kepada kerajaan supaya pasukan polis dapat dibekalkan baju kalis peluru terutama untuk anggota yang menjalankan tugas-tugas berbahaya,” katanya.
Mengapakah perkataan AKAN masih dikeluarkan apabila sesuatu insiden telah berlaku. Isu seperti ini juga berlaku dalam kes helikopter Nuri yang mengorbankan beberapa tentera udara Malaysia . Seolah-olah kelihatan nyawa perajurit dan anggota keselamatan Negara menjadi ukuran bagi suatu perubahan dalam strategi dan teknologi keselamatan.
Bagaimanakah kerajaan mengawal aliran kewangannya dan meletakkan belanjawan KENA pada tempatnya kalau tidak pada agenda keselamatan.
DPPP juga kesal kerana salah laku anggota keselamatan di Batu Buruk sehingga kecederaan dua orang awam akibat penggunaan peluru hidup berlaku. Salah letak tugas anggota keselamatan, penyelewengan wang untuk penataran (upgrade) teknologi keselamatan dan rasuah adalah antara sebab malapetaka dan bencana berlaku hari demi hari dalam negara yang diakui ramai sebagai aman ini.
Isu kekurangan baju kalis peluru pernah dibangkitkan pada 2004 berikutan kejadian seorang koperal polis, Manja Manaf, 42, mati ditembak perompak di sebuah rumah di Taman Maharani, Jalan Haji Taib, Muar, Johor.
Sementara itu, ditemui selepas majlis perasmian Mesyuarat Exco Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) di ibu negara, Musa yang diminta mengulas komen Perdana Menteri bahawa kejadian itu boleh dielakkan jika polis mengambil strategi yang lebih berkesan berkata:
“Itu komen Perdana Menteri, biarkanlah... Saya tak mahu masuk campur dalam hal-hal politik,” katanya.
Apakah peranan Pak Lah? Beliau hanya memberi komentar secara responsif, segala tindakan penguatkuasa atau anggota keselamatan negara hanya bergantung kepada ‘kemarahan’ dan ‘emosi’ pemimpin tertinggi.
Justeru penyelesaian kes berprofil tinggi seperti Altantuya hanya dihakimi sekadarnya bergantung kepada keseriusan eksekutif. Kes rogol-bunuh adik Nurul Huda di Gelang Patah, kes adik Nurin Jazlin dan kes dua anggota polis terbunuh ini pun hanya dilakukan dan akan diselesaikan segera apabila mendapat arahan tegas daripada pemimpin.
DPPP menggesa kerajaan meletakkan anggota keselamatan adil pada tempatnya, bukan sekadar menjadi alat politik terutama dalam menguatkuasakan akta ISA dan mengawal ceramah parti pembangkang.
Kerajaan juga harus mengutamakan bajet negara untuk penataran teknologi keselamatan negara kerana ianya adalah selari dengan tuntutan agama Islam.
DPPP menganggap retorik Islam Hadhari hanya suatu yang sia-sia jika usaha kecil seperti baju kalis peluru ini tidak diselesaikan sewajarnya.
Hj. Nasrudin Hassan At Tantawi
Timbalan Ketua Pemuda DPPP
0 Comments:
Post a Comment
Subscribe to Post Comments [Atom]
<< Home