" Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini "

Thursday, September 18, 2008

BADAR AL KUBRA
Pertembungan antara
Iman dan Kufur

Ramadhan adalah merupakan Madrasah Jihad yang telah menyaksikan satu peristiwa besar dalam lipatan sejarah kegemilangan Islam , iaitu al – Ghazwatul Badr al – Kubra .

Peristiwa yang berlaku pada tanggal 17 Ramadhan Tahun kedua Hijrah .( 13 March 624 Masehi ) ini adalah peristiwa yang menjadi mercu tanda kehebatan kalimah Tauhid di mata dunia.

Pertembungan antara tentera Muhammad saw. seramai 313 hingga 317 orang dengan tentera yang dipimpin oleh Abu Jahal ibnu Hisyam seramai 1300 orang
[1] , menyaksikan pertarungan sengit dan mendebarkan.

Suatu pertarungan yang mendesak sehingga Baginda Rasul saw. menadah dan mengangkat tangan sehingga jatuh selindang di bahunya, baginda merintih dalam satu munajat yang masyhur:
[2]

اللَّهُمَّ أَنْجِزْنِيْ مَا وَعَدْتَنِيْ . اللَّهُمَّ آتِ مَا وَعَدْتَنِيْ . اللّهُمَّ إِنْ تَهْلِك هَذِهِ الْعِصَابَة لاَ تُعْبَد في الأرض

Ya Allah Ya Tuhanku , tunaikanlah apa yang telah engkau janjikan kepada ku. Ya Allah Ya Tuhanku , kurniakanlah apa yang telah engkau janjikan kepada ku . Ya Allah Ya Tuhanku , Jika binasa battalion ini , nescaya tiada siapa lagi yang menyembahMu di dunia ini .

Perang Badar yang berlaku pada tahun kedua hijrah ini adalah merupakan satu cabaran besar dan tamparan hebat buat Islam yang dipimpin oleh baginda saw. sementara Negara Islam Madinah baru berusia 2 tahun penubuhannya.

Wajah Pejuang yang membawa pulang Kemenangan.

Rasulullah saw. mengambil langkah bermesyuarat terlebih dahulu dengan para sahabat rhm. dalam menentu sikap terhadap isu getir yang sedang dihadapi ummat Islam pada waktu itu.

Apakah para sahabat baginda saw. bersedia untuk berperang dalam keadaan mereka masih di peringkat awal membangunkan Negara Islam yang pertama itu ? atau merancang untuk mengelak dari peperangan ?

Ianya menjadi persoalan yang mesti dirungkai pada waktu itu dalam menentu sikap disaat getir . Nabi saw. memanggil para sahabatnya dari pihak Muhajirin dan Ansar untuk bermesyuarat.

Tanpa lengah , al Miqdad bin al Aswad dari pihak Muhajirin tangkas tampil mengeluarkan kenyataan :

يَا رَسُولَ اللهِ اِمْضِ لِماَ أَرَاكَ اللهُ فَنَحْنُ مَعَكَ , وَ اللهِ لاَ نَقُوْلُ لَكَ كَماَ قَالَتْ بَنُوْا إِسْرَائِيْلَ لِمُوْسَى : اِذْهَبْ أَنْتَ وَ رَبُّكَ فَقَاتِلاَ إِناَّ ههُناَ قَاعِدُوْنَ , وَلكِنِ اِذْهَبْ أَنْتَ وَ رَبُّكَ فَقَاتِلاَ إِنَّا مَعَكُمَا مُقَاتِلُوْنَ , فَوَالَّذِي بَعَثَكَ بِالْحَقِّ لَوْ سِرْتَ بِنَا إِلى بَرْكِ الْغِمَادِ لَجَالَدْنَا مَعَك، مِنْ دُوْنِهِ حَتَّى تَبْلُغَهُ .

“ Wahai Rasulullah , teruskan apa yang telah ditunjukkan kepada mu oleh Allah nescaya kami bersama , demi Allah kami tidak akan berkata kepadamu sebagaimana berkata Bani Israel kepada Nabi Musa , pergilah kamu bersama tuhanmu , berperanglah kamu berdua , kami mahu tinggal di sini sahaja . Tetapi kami akan berkata : Pergilah kamu bersama tuhanmu , kami pasti akan berperang bersama kamu berdua , maka demi tuhan yang membangkitkan kamu dengan kebenaran.

Kalau engkau berjalan dengan kami ke Birk al Ghimad ( satu tempat yang jauh di Yaman ) nescaya kami pergi bersamamu sehingga sampai walau apa pun yang terjadi .”

Rasulullah saw. memuji sikap tegas yang diambil oleh al Miqdad dan mendoakannya , lantas Rasulullah bersabda :

أَشِيْرُونِي أَيْهاَ النَّاسُ

“ Berilah pendapat kamu wahai Manusia ”

Tiba – tiba tampil Saad bin Muadz Rha. wakil dari Ansar lalu berkata :

وَاللهِ لَكَأَنَّكَ تُرِيْدُنَا ياَ رَسُولَ اللهِ

“ Demi Allah , seperti kamu mahukan kenyataan dari kami pula ya Rasulullah!”

Rasulullah saw. menjawab “ Ya ! ”

Lalu Saad bin Muadz menegaskan :

فَقَدْ آمَنَّا بِكَ فَصَدَّقْناَكَ وَ شَهِدْناَ أَنَّ مَا جِئْتُ بِهِ هُوَ الْحَقُّ وَ أَعْطَيْناَكَ عَلى ذلِكَ عُهُوْدَناَ وَ مَوَاثِيْقَناَ عَلى السَّمْعِ وَ الطَّاعَةِ , فَامْضِ ياَ رَسُوْلَ اللهِ لِمَا أَرَدْتَ فَوَالَّذِيْ بَعَثَكَ بِالْحَقِّ لَوِاسْتَعْرَضْتَ بِنَا هذَا الْبَحْرَ فَخُضْتَهُ لَخُضْناَهُ مَعَكَ مَا تَخَلَّفَ مِنَّا رَجُلٌ وَاحِدٌ , وَ مَا نَكْرَهُ أَنْ تَلْقَى بِناَ عَدُوَّناَ غَدًا , إِناَّ لَصُبُرٌ فِي الْحَرْبِ صُدُقٌ فِي اللِّقاَءِ . وَ لَعَلَّ اللهَ يُرِيْكَ مِنَّا ماَ تَقَرُّبِهِ عَيْنُكَ فَسِرْ بِناَ عَلى بَرَكَةِ اللهِ
“ Demi sesungguhnya kami telah beriman kepadamu , percaya kepadamu , kami bersaksi bahawa apa yang kamu datangkan kepada kami itu adalah benar dan kami berikan atas dasar itu janji – janji dan ikatan kesetiaan . Kami sedia mendengar dan taat kepadamu . Maka teruskanlah wahai Rasulullah kepada apa sahaja yang engkau kehendaki.

Maka demi tuhan yang membangkitkan kamu dengan kebenaran , kalau sekiranya kamu bentangkan kepada kami laut yang luas lalu engkau mengharunginya nescaya kami akan mengharunginya bersamamu. Tiada seorang pun diantara kami yang akan berundur kebelakang dan tidaklah kami merasai benci apabila engkau bertemu musuh dan kami akan bersama kamu esok .

Sesungguhnya kami adalah orang – orang yang sabar di medan perang , benar mengotakan apa yang kami kata sekiranya bertempur dengan musuh dan mudah – mudahan Allah membuktikan kepadamu dari kami , apa yang memuaskan hati kamu dengan melihat sendiri apa yang kami lakukan . Marilah kita teruskan perjalanan , mudah – mudahan Allah memberkati kita .” [3]

Mendengar penegasan dari wakil kaum Ansar , Nabi saw terus bangkit dan mengerahkan para sahabat untuk berangkat menuju medan dengan sabdanya :[4]

سِيْرُوْا وَ أَبْشِرُوْا فَإِنَّ اللهَ تَعاَلى قَدْ وَعَدَنِيْ إِحْدَى الطَّائِفَتَيْنِ وَ اللهِ لَكَأَنِّي اْلآن أَنْظُرُ إِلى مَصَارِعِ اْلقَوْمِ .

“ Berangkat dan bergembiralah kamu , sesungguhnya Allah swt. telah berjanji kepadaku salah satu dari dua pasukan ( pasukan pimpinan Abu Sufian atau Abu Jahal ) Demi Allah , seakan – akan aku nampak tempat binasa mereka .”

Saudara Muslimin dan Muslimat sekelian .


Lahirnya peribadi pejuang yang kasihkan agama , semangat mempertahankan agama dan cintakan syahid sebagaimana al Miqdad dan Saad ibn Muadz dalam saf perjuangan Islam (pimpinan Rasulullah saw.) inilah membentuk satu kekuatan gerakan yang tiada taranya . Tidak mungkin mampu dirempuh oleh musuh durjana apatah lagi untuk mengaku tewas sebelum bertarung .

Begitulah kita lihat seorang sahabat yang bernama U’mair ibn al-Hummam , sejurus mendengar pidato Rasulullah saw :[5]

وَ الَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ , لاَ يُقَاتِلُهُمُ الْيَوْمُ رَجُلٌ فَيَقْتُلُ صَابِراً مُحْتَسِبًا , مُقْبِلاً غَيْرَ مُدْبِرٍ إِلاَّ أَدْخَلَهُ اللهُ الْجَنَّةَ .

“ Demi ( Allah ) yang diri Muhammad di dalam genggamannya , Tidaklah seseorang yang berperang menentang mereka ( musyrikin ) hari ini lalu ia berperang ( berjuang ) penuh kesabaran dan penghayatan serta sedia menghadapi musuh tanpa gentar ( berundur ) melainkan Allah akan memasukkanya ke dalam syurga .”

Lalu U’mair mengatakan :


أَفَمَا بَيْنِيْ وَ بَيْنَ أَنْ أَدْخُلَ الْجَنَّةَ إِلاَّ أَنْ يَقْتُلَنِيْ هَؤُلاَء بَخٍّ , بَخٍّ

“ apa lagi yang berada antara aku dengan hasratku memasuki syurga jika tidak kerana mereka membunuhku.”

Kemudian U’mair terus mencampakkan beberapa biji tamar yang berada ditangannya ( yang siap untuk dimakan ) lantas mencapai pedangnya dan ia turun berperang sehingga ia mati syahid .

Wajah yang membawa pertolongan Ilahi dan kemenangan hakiki buat perjuangan Islam sebagaimana watak – watak di atas , membuatkan musuh mengalami kekalahan teruk dalam berhadapan dengan gerakan Islam ini .

Kemenangan seperti ini tidak hanya terhenti pada ghazwatul Badar , tetapi juga pasti akan berlaku di sepanjang zaman , seandainya kita dapat melahirkan watak – watak pejuang sebagaimana mereka .( golongan as – saabiquunal awwaluun )

Allah membantu HambaNya

Setelah baginda saw. bermunajat kepada Allah swt. memohon pertolongan bagi Islam dan ummatnya , maka Allah qabulkan munajat tersebut dengan firmannya :

“ (ingatlah) ketika kamu memohon pertolongan kepada Tuhan kamu, lalu ia perkenankan permohonan kamu (dengan firmanNya): "Sesungguhnya Aku akan membantu kamu Dengan seribu (bala tentera) dari malaikat Yang datang berturut-turut. Dan Allah tidak menjadikan (bantuan malaikat) itu melainkan sebagai berita gembira dan supaya hati kamu tenang tenteram dengannya. dan kemenangan itu pula hanyalah dari sisi Allah. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”

( Surah al – Anfaal : Ayat 9 – 10 )

Firman Allah swt lagi :

“ (ingatlah) ketika Tuhanmu wahyukan kepada malaikat: "Sesungguhnya Aku menyertai kamu (memberi pertolongan), maka Tetapkanlah (hati) orang-orang Yang beriman. Aku akan mengisi hati orang-orang Yang kafir Dengan perasaan gerun; oleh itu, pancunglah leher mereka (musuh) dan potonglah tiap-tiap anggota mereka" (perintah) Yang demikian ialah kerana Sesungguhnya mereka menentang Allah dan RasulNya; dan sesiapa Yang menentang Allah dan RasulNya, maka Sesungguhnya Allah Maha berat azab seksaNya.”

Saudara Muslimin dan Muslimat sekelian .


Apa yang wajib kita belajar dari Ghazwatul Badar ini ialah :

Optimis bahawa pertembungan antara Iman dan Kufur pasti akan berlaku dan ia pastinya pula berpihak kepada Iman .

Jumlah ( kuantiti ) bukan menjadi perkiraan asas dalam menghadapi kekuatan musuh sebaliknya prestasi ( kualiti ) setiap individu muslim yang menjadi nilaian utama, apakah ia menepati kriteria muslim mujahid yang diredhai oleh Allah swt.

Kecintaan yang tinggi terhadap agama dan kerinduan yang mendalam untuk mati syahid menjadi prestasi utama untuk seorang muslim memiliki kekuatan luar biasa yang tidak mungkin dapat ditewaskan oleh musuh – musuh Islam . Mungkin jasad mereka boleh dibunuh namun Islam , agama yang mereka anut tidak sekali – kali dapat dibunuh .

Pergantungan yang tinggi kepada Allah swt. Justeru kemenangan adalah anugerah Ilahi sementara kita tidak berkeupayaan tanpa pertolongan daripadaNya .

Sabar dan Taqwa antara syarat kemenangan yang mesti dimiliki oleh setiap kita . Firman Allah swt :

Wahai orang-orang Yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi Segala kesukaran Dalam mengerjakan perkara-perkara Yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan).

( Surah Aali Imran : Ayat : 200 )

Thabat ( tetap pendirian ) dan banyak mengingati Allah oleh para pejuangnya juga merupakan elemen utama yang menarik sokongan dan pertolongan Ilahi dalam setiap pertarungan antara iman dan kufur . Firman Allah swt :

“ Wahai orang-orang Yang beriman! apabila kamu bertemu Dengan sesuatu pasukan (musuh) maka hendaklah kamu tetap teguh menghadapinya, dan sebutlah serta ingatilah Allah (dengan doa) banyak-banyak, supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan). ”

( Surah al Anfaal : Ayat : 45 )

Jauhi sebarang anasir yang boleh merenggangkan hubungan dan meretakkan ukhuwwah sesama kita kerana ia menjadi satu lubang besar yang membolehkan segala jenis musuh Allah mencerobohinya dan ianya menjadi virus yang akan merosakkan kekuatan kita dari dalam . Firman Allah swt :

“ Dan Taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi Segala kesukaran Dengan cekal hati); Sesungguhnya Allah beserta orang-orang Yang sabar. ”

Terbunuhnya Firaun Ummat ini .

Ibnu Ishaq menyebut dalam kitabnya Sirah an Nabawiyyah bahawa Muadz bin Amru bin Jamuh telah berjaya merempuh benteng yang dibuat dari lembing dan tombak untuk melindungi Abu Jahal sehingga Muadz berjaya menetak di tengah betis Abu Jahal.

Tiba – tiba anak Abu Jahal ( Ikrimah ) menetak leher Muadz dan terkena tangannya hingga hampir putus. Muadz akhirnya mengheret tangan yang terkulai untuk meneruskan peperangan dan apabila terasa sakit , ia memijak tangannya dan menyentap sehingga putus .

Kemudian Muadz bin A’fra’ menyerang Abu jahal dan berjaya menetaknya sehingga hampir maut . Sejurus itu , datang pula Abdullah bin Mas’ud memancung leher Abu Jahal lalu dibawa kepala Abu Jahal kepada nabi saw . lantas rasulullah saw bersabda :

الله الذي لآ إله إلا هو , الله الذي لآ إله إلا هو , الله الذي لآ إله إلا هو . الله أكبر , الحمد لله الذي صَدَقَ وَعْدَهُ وَ نَصَرَ عَبْدَهُ وَ هَزَمَ اْلأَحْزَابَ وَحْدَهُ

Kemudian Rasulullah saw. menyambung kenyataannya :

هَذَا فِرْعَوْنَ هَذِهِ اْلأُمَّةِ .

“ Inilah Firaun kepada Ummat Ini ”

Saudara Muslimin dan Muslimat sekelian :

Siapa kata Firaun tidak boleh dikalahkan ? Bukankah ia telah kalah ditangan Nabi Musa as.

Siapa kata Abu Jahal tidak boleh dikalahkan ? Bukankah ia telah tewas ditangan Nabi Kita Muhammad saw.

Siapa kata Rom dan Parsi ( kuasa besar dunia ) tidak boleh dikalahkan ? Bukankah kuasa besar itu tersungkur mencium bumi ditangan Saiyidina Omar al Khattab Rha.

Siapa kata benteng Kostantinapel tidak boleh diruntuhkan ? Bukankah Sultan Muhammad al Fateh telah berjaya menawan dan meruntuhkannya .[6]

Siapa kata tentera Solib tidak boleh dikalahkan ? Bukankah ia telah ditewaskan oleh Sultan Salahuddin al Ayyubi .[7]

Siapa kata Beruang Merah Soviet Union tidak boleh dikalahkan ? Bukankah mereka telah dihalau keluar dan dikalahkan oleh Mujahidin Afghanistan .


Siapa kata Israel tidak boleh dikalahkan ? Bukankah ia telah ditewas dan diaibkan oleh tentera Hizbullah yang hanya seramai 1500 orang .


Siapa yang kata Musuh Allah tidak boleh dikalahkan ?

Sejarah Kegemilangan Islam telah mengemuka jawapan yang jelas bahawa kebhatilan pasti hancur .


“ Dan Katakanlah:" telah datang kebenaran (Islam), dan hilang lenyaplah perkara Yang salah (kufur dan syirik); Sesungguhnya Yang salah itu sememangnya satu perkara Yang tetap lenyap".”


( Surah al Israa’ : Ayat : 81 )


[1] Fiqhul Harakah fi Sirah an Nabawiyyah . Oleh Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang. Jilid 2 / muka surat 60 – 62 . Cetakan DPF.

[2] At Tabari . Jilid 2 / muka surat 447 . al Bidayah wa an – Nihayah . Jilid 3 / muka surat 272 .

[3] Kisah ini diringkaskan dari pelbagai rujukan , antaranya : Sierah Ibnu Hisyam Jil. 2 / muka surat 187 . at Tabari Jil. 2 / muka surat 434 .

[4] Al – Bidayah wan Nihayah . Jil. 3 / muka surat 262 - 263

[5] Rujuk kisahnya di dalam Kitab al Jihadu fil Islam : Karangan Dr. al - Imam Abdul Halim Mahmud , di bawah tajuk : دور الإيمان في المعركة . M/surat 47 . Terbitan Darul Ma’arif Qaherah .

[6] Penawanan Costantinople oleh Sultan Muhammad Al-Fatih pada th. 1453

[7] Pada tahun 1187 selepas 82 tahun terjajah oleh tentera Salib (1099-1187)

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home