" Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini "

Tuesday, October 21, 2008

TAHAALUF SIYASI
KE ARAH MENDAULATKAN
SYARIAT ISLAM
Dari Cahaya Sunnah Rasulullah saw.

Siri Kelima :

Tahaaluf Siyasi di Peingkat Pembentukkan Negara .

Bai'ah al Aqabah Pertama

Nabi saw bertemu 6 orang pemuda dari Yathrib ( Madinah ) Semua mereka berasal dari Bani Khazraj. Mereka ialah As’ad bin Zurarah , Auf bin al Harith , Raafi’ bin Malik bin ‘Ajlan , Qutbah bin Amir bin Hadidah , Uqbah bin Amir bin Naabi dan Jabir bin Abdulullah bin Ri’ab.

Ibnu Ishaq menyebut bahawa Nabi saw. menyeru mereka agar menyembah Allah , memeluk agama Islam dan membacakan mereka ayat – ayat suci al Quran , akhirnya mereka menerima dakwah Nabi saw. [1]

Mereka juga sanggup menyahut seruan Nabi saw. untuk mempertahankan Islam bahkan sanggup melindungi Nabinya saw. sehingga Nabi saw. bebas menyampaikan Islam kepada masyarakat . Mereka turut berjanji untuk kembali ke Makkah pada musim berikutnya untuk bertemu Rasulullah saw. dan mendengar risalah yang dibawa . [2]

Setahun Baginda saw. menanti pertemuan yang telah dijanjikan bersama orang - orang Khazraj sebelumnya dan akhirnya ia dapat dilangsungkan di Aqabah dengan dihadhiri oleh 12 orang Ansar pada musim haji . Ia adalah pertemuan Aqabah pertama .[3]

Ubadah bin Shomit Rha. berkata : “ Aku termasuk di antara yang menghadhiri Bai’ah Aqabah pertama . Kami seramai 12 orang lelaki . Kemudian kami memberi Baiah kepada Rasulullah saw. yang dinamakan Bai’ah an Nisa’ untuk tidak menyekutukan Allah swt. , tidak mencuri , tidak berzina , tidak membunuh anak – anak , tidak melakukan dosa yang kami lakukan dan tidak menderhaka melakukan kebaikan.”

Rasululllah saw. berkata : “ Apabila kamu memenuhi janji tersebut maka kamu akan dibalas dengan syurga. Tetapi jika kamu tidak menepatinya maka urusan kamu semua diserahkan kepada Allah swt sesuai dengan kehendakNya samaada disiksa atau diampun . ”

Beberapa Perkara Penting Dalam Bai’ah Aqabah Pertama .

Pertama :

Strategi Siyasah Islam fokus kepada pembinaan dalaman dan hanya memberikan tumpuan kepada penduduk Yathrib . 6 orang Khazraj telah memainkan peranan besar menyebarkan risalah dakwah Islam kepada penduduk Yathrib ( Madinah ) sebagaimana disebut oleh Ibnu Ishaq :

Ketika sampai kepada Kabilah mereka di Madinah , mereka menjelaskan tentang Rasulullah saw dan mengajak kaum mereka memeluk agama Islam sehingga akhirnya ia tersebar ke seluruh Madinah tanpa terkecuali sebuah rumah pun melainkan sampai cerita tentang Nabi Muhammad saw.”

Justeru itu , orientasi gerakan Rasulullah saw fokus kepada pembinaan dalaman di Madinah dan menyebarkan fikrah baginda saw. kepada para pengikutnya.

Kedua :

Baia’ah Aqabah Pertama turut dihadhiri oleh 2 orang dari suku Aus . Ianya suatu perkembangan yang cukup positif bagi kepentingan dan masa depan Islam . 6 orang dari suku Khazraj telah berjaya menyelesaikan pertelingkahan dalaman mereka dengan Aus dengan membawa 7 orang baru dan 2 dari kalangan Aus .

Mereka telah menunaikan perjanjian mereka untuk mengenepikan pergaduhan antara suku dikalangan mereka dan berusaha mengajak yang lain memeluk Islam .

Ketiga :

Perkembangan positif yang hasil dari baiah Aqabah Pertama antaranya ialah peritusan Musa’b bin ‘Umair ke Madinah sebagai wakil peribadi nabi saw untuk memantau perkembangan semasa dan mendidik kaum muslimin mengenai agama yang serba baru bagi mereka .

Ulama’ melihat ini sebagai anjakan pemikiran dan politik Islam yang menjurus ke arah proses pembinaan dan pembentukan kaum Ansar yang telah meyakini aqidah suci ini .

Keempat :

Diplomasi Politik Islam pertama di Madinah berasaskan kepintaran politiknya meletakkan pemimpin Aus iaitu usaid bin Hudhair dan Saad bin Muadz akhirnya memeluk Islam . Bahkan hanya dalam tempoh setahun , tidak tinggal dikalangan Bani Abdul Asyhal ( kumpulan besar dari Aus ) , baik pemuda , wanita dan kanak – kanak melainkan semuanya telah memeluk Islam .

Fenomena tersebut semakin ketara dan ia menyediakan peluang ke arah mendirikan sebuah negara Islam di Madinah . Bertolak dari fenomena ini , menjadi satu tugas penting bagi kepimpinan pula menyusun kekuatan ini demi kepentingan gerakan .

Kelima :

Inilah yang dirancang oleh Rasulullah saw setelah mengerahkan seluruh keupayaan baginda untuk menjana kekuatan dan kejayaan Islam di Madinah . Usaha gigih ini ( peringkat akhir ) mengambil masa selama 2 tahun yang sarat dengan aktiviti dakwah dan gerakkerja dalaman seperti pembentukan saf yang kukuh dikalangan Ansar setelah mereka sebelumnya melalui tempoh peperangan saudara yang begitu panjang .

Keenam :

Gerakkerja tersebut dianggap selesai apabila sofwatul mukhtarah ( golongan teras ) telah merasakan bahawa negara baru perlu dibentuk dan didirikan segera . ianya dapat dilihat melalui kenyataan Jabir Rha. : “ sampai bila kita harus biarkan Nabi saw melakukan Tawaf dan melewati gunung ganang di Makkah dengan perasaan takut ?[4]

Jelas mereka telah siap siaga untuk bergerak lebih maju kehadapan dan menanti arahan juang menghadapi golongan Jahiliyyah .

Ketujuh :

Musa’b bin Umair kembali ke Makkah sebelum musim haji pada tahun ke 13 an Nubuwwah dan melaporkan bagaimana keadaan pemuda – pemuda Islam telah bersedia memikul amanah perperjuangan serta bagaimana Islam telah meresap ke segenap lapisan masyarakat Aus dan Khazraj dan kini mereka telah bersedia untuk memberi bai’ah baru yang lebih kuat dan meyakinkan dalam melindungi Rasulullah saw.

Kelapan :

Allah swt . memberikan keizinan [5] kepada kaum muslimin untuk berperang sebagai tindak balas terhadap kezaliman yang ditimpakan ke atas mereka oleh Musyrikin Quraisy . Hikmahnya agar kaum muslimin tidak terkepung dalam suasana ketakutan ditindas dan lemah dizalimi .

Justeru proses membentuk negara Islam tidak akan berjaya kecuali membangunkan sofwatul mukhtarahnya yang kuat terlebih dahulu . Ibnu Ishaq berkata :

Sebelum Baia’ah Aqabah yang pertama , Rasulullah saw belum diizinkan untuk berperang dan belum dihalalkan baginya darah kuffar ( yang menentang ). Baginda hanya diperintah agar berdoa kepada Allah , bersabar atas segala siksaan dan mengelak diri dari segala perbuatan orang yang bodoh sedang waktu itu Quraisy telah menyiksa orang – orang muhajirin yang mengikut baginda.”

Kesembilan :

Pertemuan tersebut benar telah mengubah perjalanan sejarah di Musim haji pada tahun ke 13 an Nubuwwah dimana lebih 70 orang Madinah datang mengerjakan haji . Setiba mereka di Makkah , beberapa siri pertemuan berlaku antara mereka dengan Nabi saw secara sulit .

Pertemuan tersebut akhirnya membawa kepada kedua – dua kumpulan itu berpakat untuk bertemu semula pada pertengahan hari Tasyrik di sutau tempat ( jurang antara dua gunung ) di Aqabah berdekatan Jamratul Aqabah Pertama di Mina dan diadakan secara sulit pada waktu malam .

[1] Sirah an Nabawiyyah . Ibnu Hisyam jil. 1 hlm 428 - 429
[2] Sirah An Nabawiyyah Abdulluah bin Muhammad bin Abdul Wahab. Hlm 125
[3] Sirah An Nabawiyah . Ibnu Hisyam jil. 1 hlm 431
[4] Sirah an nabawiyah: Muhamad bin Abdul Wahab
[5] Surah al Haj : 39 - 41

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home