" Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini "

Wednesday, November 26, 2008

PENDAKWAH PENYELAMAT UMMAH .

لله الحمد رب السماوات و الأرض رب العالمين رب الذي يقول :] قل هذه سبيلي أدعو إلى الله على بصيرة أنا و من اتبعني و سبحان الله و ما أنا من المشركين [[1] و الصلاة و السلام على محمد المبعوث هدى و رحمة للعالمين و على آله و صحبه و من سار على دربه و تمسك بسنته إلى يوم الدين .
Muqaddimah .

Ad Dae’I Ilallah adalah sebuah institusi penting buat ummah . Berfungsi untuk memberi pedoman dan menunjuk jalan ke arah mardhatillah . Menyambung risalah an nubuwwah dalam memimpin , membimbing dan menyelamatkan ummah dari kegelapan jahiliyyah kuno atau moden .

· Sementelah dilihat dewasa kini , ummah sedang berhadapan dengan ancaman berbisa dari musuh – musuhnya yang memangsakan aqidah , fikrah dan syakhsiyyah tanpa simpati . Lebih malang apabila sebahagian besar dari mereka terperangkap dalam kejahilan yang tebal dan kelalaian yang melampau .

· Dunia dan ummah memerlukan dae’i ( pendakwah ) yang ikhlas dan gigih meredah segala rintangan , malah membelah segala halangan demi menyelamatkan mereka agar tidak musnah dan binasa lantaran pengaruh nafsu yang menguasai dan kejahilan yang melingkari .

· Kehadhiran dae’i bukan sebagai badan sukarela atau kebajikan yang melaksanakan tugas secara volunteer tetapi ia adalah suatu yang bersifat ijbaari ( wajib laksana ) justeru ia adalah perintah Allah swt ke atas setiap individu muslim .

Firman Allah swt :

أدع إلى سبيل ربك بالحكمة و الموعظة الحسنة و جادلهم بالتي هي أحسن إن ربك هو أعلم بمن ضل عن سبيله و هو أعلم بالمهتدين

Serulah ( dakwahlah ) kepada jalan tuhanmu dengan hikmah dan peringatan yang baik dan berdebatlah dengan baik ( mencari kebenaran ). Sesungguhnya tuhanmu , Dialah yang Maha Mengetahui siapa yang menyeleweng ( sesat ) dari jalanNya dan Dialah yang Maha Mengetahui siapa mendapat petunjuk .

Surah an Nahl . Ayat : 125

ولتكن منكم أمة يدعون إلى الخير و يأمرون بالمعروف و ينهون عن المنكر و أولئك هم المفلحون

Hendaklah ada dikalangan kamu satu ummah yang menyeru manusia ke arah kebaikan , menguatkuasakan syariat dan mencegah kemungkaran da mereka adalah golongan yang beroleh kejayaan .

Surah a’ali Imran . Ayat : 104

Manzilah Pendakwah dalam Islam.

1 . Tiada Kerjaya yang Lebih Baik daripadanya . Firman Allah swt :

و من أحسن قولا ممن دعا إلى الله و عمل صالحا و قال إنني من المسلمين

Dan siapa lagi yang terlebih baik perkataannya berbanding orang yang mengajak ( manusia ) kembali kepada Allah dan beramal dengan amalan yang soleh dan berkata sesungguhnya aku sebahagian dari kalangan orang – orang menyerah diri ( Islam )

Surah Fussilat . Ayat 33

2 . Ia adalah Tugas Nabi saw. Firman Allah swt :

يا أيها النبي إنا أرسلناك شهيدا و مبشرا و نذيرا و داعيا إلى الله بإذنه و سراجا منيرا

Wahai Nabi , sesungguhnya kami utuskan engkau sebagai orang yang menjadi saksi, yang memberi khabar gembira dan khabar ancam dan mengajak manusia kembali kepada Allah dengan izinnya dan menjadi pelita yang menerangi ( kegelapan )

Surah al Ahzab . Ayat : 45 – 46

Fadhilat Berdakwah .

Sabda Rasulullah saw :

مَنْ سَنَّ فِي اْلإِسْلاَمِ سُنَّةً حَسَنَةً فَلَهُ أَجْرُهَا وَ أَجْرُ مَنْ عَمِلَ بِهَا بَعْدَهُ مِنْ غَيْرِ أَنْ يَنْقُصَ مِنْ أُجُوْرِهِمْ شَيءٌ وَ مَنْ سَنَّ فِي اْلإِسْلاَمِ سُنَّةً سَيِّئَةً كَانَ عَلَيْهِ وِزْرُهَا وَ وِزْرُ مَنْ عَمِلَ بِهَا مِنْ بَعْدِهِ مِنْ غَيْرِ أَنْ يَنْقُصَ مِنْ أَوْزَارِهِمْ شَيءٌ

Barangsiapa yang “ menunjuk jalan ” didalam Islam dengan kebaikan maka baginya pahalanya ( sendiri ) dan pahala orang yang beramal dengan kebaikan itu selepasnya tanpa mengurangkan pahala mereka sedikitpun dan barang siapa yang “ menunjuk jalan ” didalam Islam dengan kejahatan , ia menanggung dosanya ( sendiri ) dan dosa orang yang beramal dengan kejahatan itu selepasnya tanpa mengurangkan dosa mereka sedikitpun .

Bagaimana kita Berdakwah .

· Biarpun kita menghadapi aneka halangan dan ancaman dari pelbagai pihak termasuk polis / FRU yang sering diguna oleh musuh untuk menghalang kemaraan dakwah Islam ke tengah masyarakat , dakwah untuk menyelamatkan ummah agar mereka kembali kepangkuan Islam serta berjuang mendaulatkannya tetap wajib diteruskan .

· Tugas dakwah wajib digalas oleh semua pihak . Bermula dari al Mursyidul Am hinggalah kepada ahli biasa dengan tahap keupayaan dan kemahiran masing – masing . Tanpa terbatas pada musim – musim tertentu sahaja tetapi mestilah istimrar dan istiqamah . sementara kita mesti mewujudkan sistem Jalur Lebar dakwah yang bersifat online , fulltime dan borderless .

Saya juga mempunyai 5 perhatian untuk diteliti oleh kita semua :

Perhatian 1 :

Penerangan atau dakwah kita jangan hanya berlegar dengan skima atau trend pengupasan isu semata - mata sebaliknya kita mahu dakwah atau penerangan yang berjaya membentuk thaqafah ( knowledge ) ahli dan wa'iyah ( kesedaran ) ummah , yang mesti tegak di atas 4 matlamat ( prinsip ) umum dakwah dan siasah kita :

1. Tamkiin Li Deenillah ( Memperteguh Perlaksanaan Agama Allah )
2. Iqaamatud Daulatil Islam . ( Mendirikan Kedaulatan Islam )
3. Ia'adatul Khilafah ( Mengembalikan Khilafah )
4. Tabliighul Islam Linnaasi Kaafah ( Menyampaikan Islam kpd Masyarakat seluruhnya )

Perhatian 2 :

Orientasi perjuangan kita mesti bebas sepenuhnya dari tanggapan atau prinsip songsang yang hanya membawa mesej penerangan atau dakwah kita berhenti di pintu bilik pembuangan undi di hari pilihanraya semata - mata atau dalam erti kata lain, penerangan / dakwah yang hanya untuk memancing undi .

Tasawwur kita mestilah diperbaiki khususnya penerangan / dakwah kita terhadap non muslim bukan bertujuan pancing undi tetapi ianya bersifat jangka panjang untuk mereka kenal dan terima perjuangan kita .

Apa yang kita mahu ialah penerangan atau dakwah yang berjaya meledakkan daya insaf dan sedar dikalangan masyarakat terhadap masuuliyah ( tanggungjawab ) mereka menjadi seorang hamba Allah / khalifah Allah dan akhirnya melayakkan mereka menjadi warga syurga Allah swt . Inilah prinsip penerangan atau dakwah nabi Muhammad saw. Inqaazunnas a'nin Naar ( menyelamatkan manusia dari api neraka .)

Perhatian 3 :

Jangan biarkan unjuran dan kitaran penerangan atau dakwah kita tidak melepasi garis sempadan daerah sendiri. Penerangan / dakwah yang hanya berfungsi dari pintu surau ke pintu masjid , dari pintu markaz ke pintu pusat tarbiyah .

Sedang sasaran ( madu'u ) penerangan / dakwah kita diwakili oleh pelbagai lapisan masyarakat , budaya dan agama malah juga pelbagai latar belakang politik , ekonomi dan sosial . Demikian juga pendekatan dakwah kita jangan hanya di atas platform majlis rasmi tetapi juga di majlis tidak rasmi.

Bertolak dari sini , suka saya tegaskan bahawa kita mesti menguasai modul Dakwah Fardiyyah iaitu dakwah / penerangan yang berasaskan personal contact dengan pendekatan :

a ) Politik Kasih Sayang
b. ) Politik Rapat Jurang
c. ) Politik Tambat Hati
dan menjadikan kita Duta Penyelamat dan Kasih Sayang .

Sementara itu persoalan titik bengek , perbedaan pendapat seperti isu muqaabalah usahlah dijadikan satu hambatan kepada perjuangan kita nan suci ini . Bukankah perjuangan kita sudah matang dan melewati usia emas !

Kata Asy Syeikh Rashid Redha ( dipopularkan oleh Imam al Banna ) :

نتعاون فيما اتفقنا عليه و نعزر بعضنا بعضا فيما اختلفنا فيه

Kita bertolong bantu dalam perkara yang kita sepakati dan kita bertolak ansur dalam perkara yang kita berbeza padanya .

Perhatian 4 :

Realiti penerangan / dakwah kita dewasa ini sedang melintasi zon kelabu iaitu zon demokrasi yang tidak demokratik . Satu zon yang menyaksikan sandiwara negara demokrasi yang sangat jelek dan memualkan kita . Sekalipun cuba dipulih kononnya oleh UMNO dan BN , nyata ia hanya satu lagak untuk mengelirukan rakyat agar terus memberi sokongan kepada mereka .

Lantaran itu , sistem penerangan / dakwah kita mesti peka dan sensitif dalam menghadapi suasana seperti ini . Lajnah Penerangan dan Jabatan Penerangan sewajarnya menjadi organ yang paling sibuk mengendali dan mendepani situasi sebegini .

Bertindak laksana Tariq bin Ziyad yang membakar kapal untuk tidak memungkin mereka berpatah pulang melainkan terus mara membawa panji Islam . Begitu juga Uqbah bin Nafiq yang bermunajat : " Ya Allah , kiranya aku tahu di seberang lautan ini masih ada daratan dan manusia nescaya aku renanginya untuk menjulang bendera Islam di sana " .

Jangan rasa kerdil dan hina untuk membawa risalah Islam ini ke tengah masyarakat biarpun 1001 nista dilemparkan kepada kita. Prinsip kita turun ke medan ialah :

عِشْ كَرِيْـمًا أَوْ مُتْ شَهِيْدًا

Hidup ( kalau nak hidup ) sebagai orang yang mulia dan Mati ( kalau nak mati ) sebagai orang yang syahid .

CABARAN YANG TERPAKSA DIDEPANI

Kita mesti menggaris strategi dan merencana gerakkerja yang efektif guna mendepani cabaran. Cabaran yang mesti kita depani antaranya ialah :

· Cabaran undemokrasi
· Cabaran kekeliruan agama yang dicipta
· Cabaran Kejahilan Ummah
· Cabaran Kelesuan Ulamak
· Cabaran Konspirasi Pemerintahan UMNO dan BN dengan agenda jahat mereka untuk menghalang perlaksanaan dan penghayatan Islam dikalangan rakyat.

Perhatian 5 :

Aktiviti penerangan / dakwah kita mesti dipastikan agar tidak bersifat stereo type dan terikat dengan aktiviti tradisi . Saya tidak menafikan keupayaan dan keberkesanan aktiviti tradisi dalam penerangan / dakwah kita seperti ceramah , kuliah dan sebagainya, tetapi wajar kita responsif dengan perkembangan semasa yang memerlukan kita lebih advance dari pihak musuh .

Inilah yang telah dipertegaskan oleh al Marhum Abu Hasan Ali An Nadwi :

الجمع بين القديم الصالح و بالجديد النافع

Integrasi antara warisan tradisi yang soleh dengan penemuan - penemuan baru yang bermanafaat.

Berasaskan kesedaran ini , kita mesti laksanakan beberapa misi penting .

Misi pertama :

Mengkaderkan petugas penerangan / dakwah yang mampu , bukan sahaja sebagai pemidato yang berkaliber tetapi juga mewarisi syakhsiyyah kepimpinan wibawa sehingga berkeupayaan menyahut keperluan penerangan / dakwah masa kini , seperti dialog dan debat intelektual berhadapan dengan semua pihak termasuklah golongan Islam Liberal atau golongan sekular .

Misi Kedua :

Mengaktifkan hubungan dan penerangan ( dakwah ) sehingga ia menjadi hotlink antara kita dengan pelbagai kaum dan agama . Manual pendekatan berkesan mestilah diketahui dan dilaksanakan .

[1] Surah Yusuf . Ayat : 108

1 Comments:

Blogger SEBAIK-BAIK CAHAYA said...

salam..
ustz,blh x bagi ana uslub dakwah pada keluarga?ustz boleh tgk blog ana..www.anwarateh.blogspot.com
nak kata ana tegas sangat pun x..nak kata lembut sangat pun x..blh ea ustz..syukran

11:16 AM

 

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home