" Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini "

Monday, January 19, 2009

MENANG MENYEMARAK PERJUANGAN

Alhamdulillah kemudian Alhamdulillah . Sejuta syukur saya lafazkan kehadhrat Allah Jalla wa A'la . Sungguh besar nilai dan dalam makna kemenangan ini buat seluruh pencinta Islam . Biarpun kemenangan PAS yang mewakili PAKATAN dalam pilihanraya kecil P. 036 Kuala Terengganu baru - baru ini tidaklah merubah teraju pemerintahan negara .

Namun kemenangan tersebut membibit bunga - bunga perubahan yang semakin mekar dan matang . Tidak mudah untuk memenangi pilihanraya kecil yang menyaksikan seluruh jentera kerajaan digunakan sepenuhnya oleh UMNO dan BN untuk mempertahankan kemenangan mereka di Parlimen Kuala Terengganu .

Lebih 10 ribu polis dikerah membanjiri segenap ruang Kuala Terengganu , ratusan juta dicurah untuk membeli sokongan rakyat , habis segala menteri turun berkampung di Kuala Terengganu , media massa bergilir peranan rela dilacur untuk menyerang habis - habisan PAKATAN dan pelbagai makar atau penipuan cuba dilakukan berhadapan hanya dengan doa dan munajat rakyat mewakili pembangkang yang bersengkang mata dan bergalang jasad menebus maruah .

Aqal mungkin meneka bahawa kekalahan teruk akan dialami oleh pihak PAKATAN yang hanya berbekalkan semangat inginkan perubahan , bersenjatakan gigi dan lidah melaung pidato bertentangan dengan arus deras angin laut Bandaraya Pesisir Air berbanding BARISAN yang mempunyai segalanya .

Ertinya kemenangan ini adalah sebuah kemenangan yang bernilai tinggi dan bertaraf dunia mewakili inspirasi rakyat yang masih segar mendambakan perubahan total melibatkan pertukaran pemerintah dan pemulihan sistem pentadbiran .

Pilihanraya umum yang lalu membawa tsunami politik yang memusnahkan sebahagian besar keangkuhan UMNO dan BN malah meragut majoriti 2/3 kebanggaan mereka sejak sekian lama . Malah tsunami politik yang melanda telah membunuh banyak karektor dan karier politik pemimpin negara yang gah bertakhta sebelumnya.

Tapi tsunami tersebut hanya melanda di negeri - negeri pantai barat kecuali Kelantan yang mampu mempertahankan kejuaraan yang dimiliki sejak 18 tahun yang lalu . Terengganu dan Pahang nyata berputih mata untuk melihat kesan tsunami sebagaimana yang dialami oleh negeri - negeri pantai barat .

Ramai pula dikalangan penganalisis politik yang membuat telahan bahawa Terengganu dan Pahang akan selamanya begini . Tak mungkin tsunami politik akan sampai kecuali berlaku satu keajaiban . Telahan ini menimbulkan rasa sebal yang mendalam di jiwa aktivis PAKATAN amnya dan pejuang - pejuang Islam khasnya .

Alhamdulillah keputusan pilihanraya kecil Kuala Terengganu menafikan telahan yang dibuat atau keajaiban yang diharapkan kini berlaku mengiringi kerja keras para pejuang untuk mencetus gelombang kebangkitan rakyat. Jelas kemenangan pilihanraya kini mampu ditempa bila dan di mana ia berlangsung . Lebih mudah lagi , UMNO dan BN kini mudah ditumpaskan oleh siapa sahaja dan di mana jua gelanggang dibuka .

Inilah bibit perubahan besar yang membunga dan mekar insyaallah . Membuka ruang lebar buat dakwah dan perjuangan suci ini . Rakyat nyata sudah lembut hati untuk memberi masa secukupnya bagi menilai dan meneliti risalah perjuangan dan mesej perubahan yang dibawa dan digerakkan oleh PAS dan PAKATAN .

Setelah sekian lama risalah suci yang diperjuangkan ini tersangkar dalam tohmahan dan fitnah besar angkara UMNO dan BN.

Kemenangan PAS baru - baru ini adalah isyarat yang jelas bahawa rakyat masih di posisinya dan perjuangan masih dilandasannya malah semakin tepat dan dekat dengan destinasi .

Lebih pasti ialah kemenangan tersebut membina sebuah keyakinan bahawa matlamat perjuangan ini mampu dicapai asal sahaja semua pihak bekerja keras tanpa jemu dan bosan menggerakkan amal islami dan aktiviti dakwah lebih luas dan lebar .

Justeru itu saya pesan kepada diri saya dan semua sahabat seperjuangan agar kemenangan ini jangan membuatkan kita leka dan lalai . Teruja dengan kemenangan dan akhirnya melengahkan kerja - kerja perjuangan yang pastinya masih banyak belum selesai .

Jadikanlah kemenangan baru baru ni sebagai penyemarak perjuangan kita .

4 Comments:

Blogger ataspagar opinions said...

Jika dilihat dalam konteks pilihanraya kecil, UMNO(BN) kalah adalah berdasarkan beberapa faktor kecil seperti faktor strategi dan faktor calon. Di dalam pilihanraya ini tiada isu nasional yang timbul kecuali isu yang telah pun dimainkan di dalam pilihanraya kecil Permatang Pauh tahun lepas. Faktor calon paling mempengaruhi pengundi di mana calon BN Wan Farid dikata tidak mesra rakyat. Salah percaturan strategi memilih calon ini mungkin boleh diulas oleh Pengarah pilihanraya Kecil Kuala Terengganu (BN) apabila post mortem nanti.

Baca seterusnya di ataspagar.com

1:10 PM

 
Anonymous Anonymous said...

tiada perubahan mentaliti bagi pengundi-pengundi terengganu dan khususnya pahang. mereka disogokkan dengan kain batik. maruah bernilai sehelai kain batik. insyaalah aku takkan meletakkan maruah kaum keluargaku serendah itu.

tokpengulu
markas pas jety kuala tembeling

6:09 PM

 
Blogger Abu Amirul said...

salam ustaz,
sesungguhnya kemenangan hebat ini mengakibatkan perjalanan kita masih jauh namun ianya seiringan dengan semangat yang semakin tinggi sebaliknya perjalanan mereka semakin berliku dan hampir ke penghujungnya.
Allahhuakbar!

12:29 AM

 
Blogger Nasrudin bin Hassan at Tantawi said...

Perjuangan sememang nya tiada nokhtah . Kemenangan bukan bermakna perjuangan berada di penghujung sebaliknya kemenangan bermaksud perjuangan sebenar baru bermula .

Mencari kemenangan jauh lebih senang daripada mengisi dan mempertahankan kemenangan .

Asas yang penting berdepan dengan kemenangan ini ialah :

1. Tasbih dan Istighfar
2. Iltizam dan Istiqamah
3. Tawadhu' dan Juhud [ bersungguh - sungguh ]
4. Sabar dan Tabah
5. Ikhtiar [ azam ]dan Tawakkal


Asas yang paling penting berhadapan

7:21 AM

 

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home