" Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini "

Saturday, June 17, 2006

Kertas Kerja ( 019 / siri ke tigabelas )
RUKUN BAIAH ASAS KEILTIZAMAN BERJAMAAH .
MENGASIHI ORANG - ORANG SOLEH

و محبة الصالحين و احترامهم و الثناء عليهم بما عرف من طيب أعمالهم قربة إلى الله تبارك وتعالى : والأولياء هم المذكورون فى قوله تعالى : الذين آمنوا و كانوا يتقون . والكرامة ثابتة لـهم بشـرائطهـا الـشـرعـية مع اعتقاد أنهم رضوان الله عليهم لا يـملكون لأنفسهم نفعا و لا ضـرا فى حياتهم أو بعد مماتهم فضلا عن يهبوا شـيئا من ذلك لغيرهم
“ Mengasihi orang - orang soleh , menghormati dan memuji mereka berasaskan amal bakti yang dilakukan oleh mereka adalah merupakan taqarrub kepada Allah . Para Auliya' ialah mereka yang disebut dalam firmannya :(yang bermaksud ) orang - orang yang beriman dan mereka bertaqwa . Keramat berlaku kepada mereka dengan syarat - syaratnya yang bertepatan dengan syariat . Serentak itu kita beri'tiqad bahawa mereka tidak berupaya memberi manafaat dan mudharat terhadap diri mereka semasa hayat mereka atau selepas matinya apatah lagi untuk mengurniakan sesuatu terhadap orang lain ”

ULASAN .

Mengasihi para solehin dan alim ulama' adalah antara tanda Iman bersemi di dada . Menyintai mereka bererti menyintai amal yang soleh dan ilmu yang manafaat . Sebaliknya sikap permusuhan dan kebencian yang dihadapkan kepada golongan solehin dan alim ulama' adalah petanda kecelakaan , justeru ia satu bukti bahawa mereka anti ilmu dan anti amal .

Dunia menyaksikan hari ini , dengan sikap kebanyakkan manusia yang cukup rimas dengan kehadhiran ulama' dan para solehin . Tohmahan dan pelbagai nista dilontarkan kononnya para solehin dan alim ulama' ini adalah golongan prejudis yang anti pembangunan dan kemajuan .Mereka turut rasa terbelenggu dengan nasihat dan pedoman para solehin dan alim ulama' . Dada mereka kian sempit sehingga ada yang tergamak secara sinis mengatakan " Kalau ada mereka ( solehin dan ulama' ) semuanya tidak boleh ! itu tak boleh , ini haram”!

Solehin dan ulama' menjadi mangsa kekejaman dan kerakusan mereka . Kita tidak hairan kiranya yang menangkap dan membunuh ulama' itu ialah orang - orang kafir , tetapi suatu yang amat memilukan rasa , apabila yang mendera , menyiksa dan membunuh ulama' itu ialah orang - orang Islam sendiri yang terdiri dari penguasa - penguasa bejad dan durjana .

Sedang sejarah membuktikan para solehin dan ulama' telah membentuk tamaddun dan peradaban manusia bermaruah yang gemilang berasaskan ubudiyyah kepada Allah swt . Mereka adalah golongan yang berhak dikasihi dan dicintai namun tidak bermakna suatu kecintaan yang melewati batas hinngga ke peringkat mentaqdis ( mendewa - dewakan ) mereka . Kecintaan yang membawa kepada pendewaan adalah dilarang tegas oleh syara' justeru mereka bukan orang yang boleh memberi manafaat dan mudharat .

Peringatan Allah kepada Nabi saw . wajar dijadikan panduan .

قل لا أملك نـفسـى نفعا و لا ضـرا إلا ما شـاء الله

“ Katakanlah : Aku tidak berkuasa menarik kemanafaatan bagi diriku dan tidak pula menolak kemudharatan kecuali yang dikehendaki Allah ”

( Al A'raf 188 )

Siapakah Auliya’ Allah .

Sering disebut sebagai wali ialah orang yang memiliki keramat atau suatu yang luar biasa berlaku padanya . Pandangan kelam ini di suluh oleh nur Al quran apabila Allah swt . menegaskan :

ألا إن أولياء الله لا خوف عليهم و لا يحزنون الذين آمنوا و كانوا يتـقون

" Ingatlah , sesungguhnya wali - wali Allah tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak pula mereka bersedih hati . Iaitu orang - orang yang beriman dan mereka selalu bertaqwa . "

( Yunus 62 - 63 )

Jelas kepada kita , pengertian auliya' yang sebenar . Mereka ialah :

1. Pejuang Islam yang gigih dan tidak gentar kepada ugutan dan ancaman musuh .

2. Mereka yang tidak berasa sempit dada dan hina dengan perjuangan menegakkan ugama Allah .

3. Mereka yang memiliki keyakinan yang tinggi terhadap Allah ( tanpa ragu ) dan mereka menyakini bahawa Islam pasti berjaya .

4. Mereka yang bertaqwa dengan hati tulus , menjaga batas syariat dan menegakkan syiar Ilahi .

Sementara karamah bukanlah hujjah dan syarat mutlak seseorang itu wali . Sebaliknya karamah itu suatu yang biasa dianugerahkan oleh Allah kepada auliya'nya .

Peringatan .

Kejadian yang mencarikkan adat ( luarbiasa ) tidak semestinya diertikan sebagai karamah kerana ia juga sebagai istidraj yang diberikan kepada mereka yang tidak menepati syarat - syarat wali Allah . Ahli sihir , pengamal ilmu bhatin dan seumpamanya sering disinonimkan dengan kejadian - kejadian yang mencarikkan adat ini .

Hanya ilmu dan kefahaman yang jelas dapat membantu kita dari terpesona dengan kejadian - kejadian yang mencarikkan adat sekaligus mengelak diri dari terpengaruh dan terperangkap dalam jerat syaitan .

( I'yadh menceritakan mengenai Al Faqih Abi Maisarah Al Maliki . Pada suatu malam Abu Maisarah bersembahyang dan berdoa dengan penuh khusyu' di mihrabnya , tiba - tiba mihrabnya terbelah dan keluar darinya cahaya yang amat mempesona kemudian berlembaga ceria bagaikan bulan lalu antara lain ia berkata kepada Abu Maisarah : Wajahku yang mengambang wahai Abu Maisarah maka akulah tuhanmu yang maha tinggi , lalu Abu Maisarah meludahi lembaga itu seraya berkata : pergilah semoga laknat Allah ke atas kamu . )
[1]_________________________________________________ [1] Nazarat fi Risalatit Ta'alim: m/s 163

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home