PELENGKAP SYARAT KEMENANGAN.
Ucaptama
Ketua Dewan Pemuda PAS Pahang
Sempena Muktamar kali ke – 25
Ketua Dewan Pemuda PAS Pahang
Sempena Muktamar kali ke – 25
17 dan 18 Rabiul Akhir 1428 bersamaan 5 dan 6 Mei 2007
Dewan Besar Sekolah Menengah Agama ar – Rasyidin Temerloh ( SMART )
Dewan Besar Sekolah Menengah Agama ar – Rasyidin Temerloh ( SMART )
بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
إِنَّ الْحَمْدَ للهِ نَحْمَدُهُ وَ نَسْتَعِيْنُهُ وَ نَسْتَغْفِرُهُ وَ نَتُوْبُ إِلَيْهِ وَ نَعُوْذُ بِاللهِ مِنْ شُرُوْرِ أَنْفُسِنَا وَ مِنْ سَيِّئاَتِ أَعْمَالِناَ مَنْ يَهْدِهِ اللهُ فَلاَ مُضِلَّ لَهُ وَ مَنْ يُضْلِلْ فَلاَ هَادِيَ لَهُ أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ وَ أَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَ رَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَ سَلِّمْ وَ باَرِكْ عَلى نَبِيِّناَ وَ حَبِيْبِناَ مُحَمَّدٍ وَ عَلى الِهِ وَ صَحْبِهِ . أَمَّا بَعْدُ
Segala puji bagi Allah swt. yang membekalkan taufiq dan hidayah kepada kita semua untuk melangsungkan amanah perjuangan suci ini dengan gigih dan tabah , mendepani cabaran serta menggalas beban .
Syukur jua ke hadhrat Ilahi di atas inayah Nya , pada malam ini kita dapat berhimpun dalam majlis Perasmian Muktamar Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang kali ke 25. Semoga Allah memberkati pertemuan ini dan mengurniakan kekuatan kepada kita bagi menunaikan tanggungjawab dan amanah besar perjuangan ini .
Saya mewakili seluruh saf kepimpinan Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang merakamkan setinggi – tinggi tahniah kepada Yang Berbahagia Dr. Hatta Ramli , Bendahari PAS Pusat di atas kesudian beliau merasmikan Muktamar Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang kali ke – 25 ini.
Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang turut mengalu – alukan kehadhiran En. Musannif Abdul Rahman sebagai wakil peribadi Al Fadhil Tuan Guru Dato’ Tuan Ibrahim bin Tuan Man selaku Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang , En. Abd Majid Hassan wakil BPPNP , Ustaz Azman Syafawi wakil DPP Pusat , Ustazah Azizah Khatib Mat , Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat merangkap Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Pahang , badan bukan kerajaan dan tidak saya lupakan kepada mantan – mantan Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang serta sahabat perwakilan dan pemerhati sekelian.
Harapan saya , kehadhiran kita semua pada malam ini menambah erat nilai intima’ ( penglibatan ) dan semangat jihad demi agenda besar , menyelamatkan ummah dari belenggu jahiliyyah modern hari ini.
Sidang Muktamar sekelian .
Kemenangan adalah suatu yang dicita , agar kita dapat mendaulatkan syariat Ilahi di atas tanahair ini. Namun kemenangan tersebut tidak mungkin dicapai dengan hanya menaruh harapan dan cita , tanpa melunaskan syarat kemenangan .
Sementelah pula mendepani pelbagai konspirasi licik dan strategi berhelah pihak musuh dengan maksud hendak menggagalkan usaha kita membina baldatun Toiyyibatun wa Rabbun Ghafur.
Allah swt. telah mendedahkan bagaimana tahap konsistennya perancangan musuh untuk menghancurkan Islam dan ummatnya. Firman Allah swt :
Dan mereka senantiasa memerangi kamu sehinggalah mereka berjaya memalingkan kamu dari agama kamu jika mereka mampu berbuat demikian.
Surah al Baqarah : 217
Firman Allah swt :
Nescaya kamu akan dapati , manusia yang paling tinggi permusuhan mereka terhadap orang – orang beriman ialah Yahudi dan orang – orang Musyrikin .
Surah al Maaidah : 82
BERTEKAD MENCAPAI KEMENANGAN
Saya masih ingat , bagaimana nada tegas al Marhum Ustaz Fadzil Noor sewaktu menyampaikan ucapan dasar Muktamar Tahunan PAS kali ke 44 pada tahun 1998
[1] yang lalu , menggambarkan bahawa kemenangan Islam adalah suatu yang sangat mendesak untuk menyelamatkan ummah yang hanyut dalam arus material , hedonisme dan ideology yang asing dari wahyu Ilahi.
Membentangkan kekejaman Zionis antarabangsa hinggalah menyenaraikan kebobrokan kerajaan UMNO ( BN ) yang mengkhianati amanah dan mandat rakyat yang diperolehi melalui pilihanraya umum , al marhum menegaskan agar PAS serta seluruh jentera dan aktivisnya bertekad mencapai kemenangan .
MENYANGGAH SERANGAN MENJANA KEMENANGAN
Masih dengan nada yang penuh bertenaga , menyemarakkan semangat ahli agar terus bangkit mendepani segala tahaddiyyat ( serangan ) yang merintang di pertengahan laluan perjuangan ini , al marhum sekali lagi menggesa ulama’ menerajui kepimpinan gerakan ini untuk menyahut segala cabaran dan mendesak pemuda mengemudi sayap gerakan ini untuk membeli segala ancaman .
Menyanggah serangan dan menjana kemenangan
[2] menjadi tema kepada gesaan dan desakan tersebut .
Sidang Muktamar sekelian .
Ternyata khurafat yang menyatakan UMNO dan BN tidak boleh dikalahkan , kini luntur dari pemikiran masyarakat khasnya ummat Islam. Sebaliknya kini , ummat yang mengalami sendiri akibat langsung kegagalan kerajaan UMNO dan BN melaksanakan syariat Ilahi dan system pemerintahan yang adil dan saksama senantiasa mengharapkan kita menang .
Kerajaan BA di Kelantan yang kini telah pun memasuki usia 17 tahun pemerintahan , menjadi contoh kepada masyarakat umum bahawa inilah model sebuah kerajaan yang bersih dari sebarang skandal dan rasuah apabila tiada seorang pun , samaada Menteri Besarnya , begitu juga para exconya yang telah bertukar ganti didakwa oleh BPR berbanding Menteri Besar UMNO dan Ketua Menterinya.
Kita telah berjaya membuktikan sebuah kerajaan yang bukan sahaja bersih tetapi juga berorientasikan kebajikan yang sangat cakna rakyat , apabila Kerajaan Kelantan mengemukakan skim bantuan Armalah dan anak – anak yatim , bait dhuafa’ dengan peruntukan RM 2.6 juta , takaful kifalah dengan peruntukan RM 3 juta untuk seluruh warga emas , Darul Digital untuk peluang pekerjaan kepada remaja dengan peruntukan RM 1.5 juta dan pelbagai aktiviti kebajikan rakyat yang lain
[3] dengan peruntukkan yang sejajar berasaskan tahap keupayaan negeri yang sering dikepong dan ditindas oleh kerajaan pusat.
Masyarakat tertindas di bawah kerajaan UMNO dan BN yang korup dan hanyut dalam budaya hedonisme ini , sangat tahu menilai potensi dan prestasi kerajaan BA di Kelantan dan mereka mengharapkan kita menang termasuklah di negeri Pahang ini.
HARAPKAN PAGAR , PAGAR TIDAK BOLEH DI HARAP
Apalah yang boleh kita harapkan dari sebuah pemerintahan yang meletakkan Islam palsu ( hadhari ) sebagai konsep dan prinsip pentadbiran mereka .
Baru – baru ini , negera dikejutkan hasil kajian seorang Pakar Psikologi Kanak – kanak dan Remaja , Dr. Khaidzir Ismail dari UKM melalui satu "Kajian Profil Remaja Perempuan Risiko Tinggi terhadap remaja perempuan berisiko tinggi atau bermasalah".
Kajian mendapati kesemua 887 pelajar perempuan yang dikategorikan sebagai "berisiko tinggi" yang menuntut di sekolah menengah di sebuah negeri kecuali seorang, mengaku pernah melakukan hubungan seks. [4]
Contoh kedua yang boleh saya kemukakan disini , seorang guru kelas bagi Tingkatan satu di Sek. Men . Felda Selancar memberitahu bahawa pelajar kelasnya yang berjumlah 36 orang pelajar , hanya 3 orang daripadanya yang tidak pernah menonton video lucah.
Laporan KOSMO mengenai peningkatan gejala Mak Nyah di Terengganu , laporan Harian Metro mengenai fenomena Lesbian yang berpusat di Jalan Imbi Kuala Lumpur .
[5]
Malah terlalu banyak kes untuk dipaparkan bagi menunjuk tanda aras keruntuhan akhlak dan moral yang sangat parah dalam sebuah system hidup yang memper“tuhan”kan hiburan serta menolak perlaksanaan syariat .
Dr. Halim Shafie , Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia turut mengakui bahawa televisyen di dalam Negara kita lebih terkenal sebagai media hiburan berbanding pengetahuan. [6]
Menurut beliau , didapati kandungan hiburan disetiap stesyen Televisyen melebihi 50 % . Sebagai contoh RTM 1 ( 50 % ) , RTM 2 ( 70 % ) , TV3 ( 61 % ) , NTV 7 ( 68 % ) , 8 TV ( 89 % ) dan TV 9 ( 85 % ) .
Sementara ASTRO pula hampir 95 % menyajikan program berbentuk hiburan .
Beginilah landskap negara kita dewasa kini. Kian hari kian tenat dan parah. Kedegilan mereka yang enggan akur terhadap tuntutan syara’ dan keangkuhan mereka yang bangga dengan kemungkaran hanya mampu diajar dengan mengalahkan mereka dalam pilihanraya yang akan datang atau sekurang – kurangnya menghantar seramai mungkin wakil kita ke Dewan Negeri dan juga Dewan Rakyat .
KITA PERNAH MENANG .
BA pernah memenangi 8 kerusi DUN di negeri Pahang ini pada tahun 1999 , justeru ia satu bukti bahawa BA berada hampir dengan naluri masyarakat yang inginkan perubahan , khasnya di negeri kita ini .
Kita pemuda – pemuda PAS tidak selayaknya meminggirkan factor ini untuk terus berjuang memburu kemenangan , guna menyelamatkan mereka yang tertindas sekaligus membawa perubahan yang positif ke arah menggapai redho Ilahi.
Kekalahan kita dalam pilihanraya yang dipagari oleh system demokrasi pincang ala Malaysia , bukanlah bukti mutlak bahawa rakyat menolak kehadhiran kita , jua segala yang kita tawarkan kepada mereka.
Kita tidak menafikan , masih ramai rakyat menolak perjuangan kita hasil propaganda UMNO dan BN menggunakan seluruh instrument kerajaan dan media massa , serta tidak kurang juga ugutan dan sogokan ala mafia yang memaksa rakyat mengundi mereka dalam pilihanraya.
Segalanya menjadikan tugas dan tanggungjawab kita semakin berat dan penting . Ianya tidak memungkinkan kita lengah dan alpa sehingga kita terus menempa kegagalan demi kegagalan sedang kemenangan itu hanya berada dekat di hadapan kita .Firman Allah swt :
dan ada lagi limpah kurnia yang kamu sukai, Iaitu pertolongan dari Allah dan kemenangan yang hampir (Masa berlakunya). dan sampaikanlah berita Yang mengembirakan itu kepada orang-orang yang beriman.
Surah as – Saff : 13
KEMENANGAN DAN MASA DEPAN MILIK ISLAM .
Biarpun berat beban amanah , jauh jarak perjalanan dan sukar gerak melangkah , perjuangan suci ini telah dijanjikan kemenangan oleh Allah swt :
Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu ( Wahai umat Muhammad ) Bahawa ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah Yang memegang Kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana ia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: khalifah-khalifah yang berkuasa; dan ia akan menguatkan dan mengembangkan ugama mereka ( ugama Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). mereka terus beribadat kepadaKu Dengan tidak mempersekutukan sesuatu Yang lain denganKu. dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang Fasiq .
Surah an Nuur : 55
Lantaran itu , janganlah kita sempit dada , pendek aqal dan semput nafas bagi meneruskan perjuangan ini sehinggalah Allah mengurniakan kemenangan kepada kita atau kita mati binasa kerananya.
Lihatlah prinsip perjuangan nabi saw. Tatkala berhadapan dengan segala tekanan dan pujuk rayu musuh agar menghentikan gerakan dakwahnya kepada masyarakat . Sabda Rasulullah saw. :
وَ اللهِ لَوْ وَضَعُوْا الشَّمْسَ فِي يَمِيْنِيْ وَ الْقَمَرَ فِيْ يَسَارِيْ عَلى أَنْ أَتْرُكَ هَذَا اْلأَمْرَ مَا تَرَكْتُهُ حَتَّى يُظْهِرَهُ اللهُ أَوْ أَهْلِكَ دُوْنَهُ
Demi Allah , jika sekiranya mereka meletakkan matahari di tangan kanan ku dan bulan di tangan kiriku supaya aku meninggalkan urusan perjuangan ini , nescaya tidak akan aku tinggalkan sehinggalah Allah memberikan kemenangan atau aku binasa kerananya. [7]
Sabda Rasulullah saw :[8]
لَيَبْلُغَنَّ هَذَا اْلأَمْرُ مَا بَلَغَ اللَّيْلُ وَ النَّهَارُ وَ لاَ يَتْرُكُ اللهُ بَيْتَ مَدَرٍ وَ لاَ وَبَرٍ إِلاَّ أَدْخَلَهُ اللهُ هَذَا الدِّيْنَ بِعِزِّ عَزِيْزٍ أَوْ بِذُلِّ ذَلِيْلٍ عِزًّا يُعِزُّ اللهُ بِهِ اْلإِسْلاَمَ وَ ذُلاًّ يُذِلُّ اللهُ بِهِ اْلكُفْرَ .
Islam ini pasti akan sampai ke tempat yang sampainya siang dan malam , Allah tidak akan meninggalkan rumah yang di Bandar atau di desa melainkan Allah pasti akan memasukkan agama ini , yang mulia dengan kemuliaannya atau yang hina dengan kehinaannya , mereka yang mulia akan Allah muliakan dengan islam dan yang hina akan Allah hinakan dengan kekufurannya.
Riwayat Imam Ahmad dan al Haithami .
MELENGKAP SYARAT KEMENANGAN .
Sidang Muktamar sekelian .
Syarat kemenangan Islam ditunjangi oleh aqidah perjuangan yang mantap , keikhlasan berjuang yang tulus , istiqamah terhadap aktiviti amal Islami , dengar dan taat arahan pimpinan , berkorban dan tidak gentar ancaman musuh . [9]
Selain daripada itu , pemuda juga mestilah :
· Memahami Ghayah ( matlamat akhir perjuangan )
· Memahami Hadaf ( Objektif Perjuangan )
· Memahami Manhaj ( skima , disiplin dan arah tuju perjuangan )
· Memahami Bia’h ( reality cabaran dan perjuangan masa kini )
· Memahami Isti’dad ( persiapan dan keupayaan asas perjuangan )
Segalanya memerlukan tindakan pro aktif dari pemuda di semua peringkat , negeri , kawasan , Majlis Tindakan DUN dan Jawatan Kuasa Pemuda Cawangan .
Tentu sahaja kita masih ingat bagaimana nasihat mantan Ketua Pemuda PAS Pusat Tuan Hj. Mahfuz Omar sewaktu berpidato di hadapan 15 ribu jentera pemuda di Kota Bharu bahawa zaman revolusi minda telah berakhir , sebaliknya kini adalah zaman revolusi bertindak .
GENERASI PELAPIS KEPIMPINAN PEMUDA
Generasi pelapis kepimpinan pemuda yang berketrampilan menjadi agent pelengkap syarat kemenangan namun ketandusan generasi pelapis ini amat dirasai.
Pemimpin bukanlah satu anugerah dan magic yang akan lahir bila-bila masa diperlukan tetapi memerlukan kepada gerak usaha terancang dan bersepadu untuk melahirkannya.
Satu front bersama antara lajnah-lajnah yang berkaitan amat diperlukan bagi merealisasikan tujuan tersebut disamping komitmen bersungguh-sungguh oleh kepimpinan pemuda di semua peringkat kawasan dan cawangan
Gerakkerja melahirkan pelapis kepimpinan pula tidak boleh menempuh jalan singkat atau shortcut dan bermusim. Ia mestilah dilakukan secara strategi jangka panjang yang dirancang pula secara serius, konsisten dan berinstitusi.
Firman Allah swt :
Dan hendaklah takut kepada Allah orang-orang yang seandainya meninggalkan dibelakang mereka anak-anak yang lemah, yang mereka khawatir terhadap (kesejahteraan) mereka. oleh sebab itu hendaklah mereka bertakwa kepada Allah dan hendaklah mereka mengucapkan perkataan yang benar.
Surah An-Nisaa’ : 9
PEMBINAAN SYAKHSIYYAH PEMUDA ISLAM
PAS Sebagai sebuah Gerakan Islam yang menggunakan pendekatan politik pilihanraya, peribadi atau susuk anggotanya adalah model hidup yang menggambarkan manifesto perjuangan parti.
Ucapan dan penerangan yang bersemangat tidak memberi sebarang makna sekiranya ia disampaikan oleh mereka yang dilihat seperti “ bercakap tidak serupa bikin”.
Sebab itu seluruh pemuda khasnya kepimpinannya mestilah berusaha dari masa ke semasa mempertingkatkan kualiti diri dari segala aspek secara konsisten , terutamanya aspek lahiriah yang boleh dinilai oleh madu’u ( sasaran dakwah.)
Program pentarbiahan mestilah diperkemaskan dan berkualiti, bukan sekadar menjadi program akademik, wacana ilmiah atau perkhemahan. Tetapi, ia mestilah satu proses yang memerlukan pemantauan berkesan dan berterusan .
DAKWAH DAN PENERANGAN
Kita sedia maklum , bahawa kita berada di dalam sebuah negara yang mengongkong dan menguasai segala media dan sumber maklumat. ruang untuk kita menyalurkan penerangan dan dakwah adalah amat terhad.
Halangan ini memerlukan kepada kita untuk berfikir secara kreatif bagi mempelbagaikan medium dakwah dan penerangan, tidak hanya bergantung kepada ceramah umum semata-mata.
Mestilah ada perancangan dan usaha mengadakan networking ulama’ muda dan pendakwah muda yang tidak hanya membanjiri masjid dan surau tetapi jua semua ruang dan peluang bagi menyampaikan mesej jamaah .
ICT mestilah digerakkan seoptimum mungkin bagi penyebaran isu-isu semasa dan manifesto parti. Penerbitan buku-buku ringkas dan risalah hendaklah diperhebatkan. Unit penerbitan pemuda mestilah diwujudkan bagi memainkan peranan tersebut .
GERAKAN BELIA DAN REMAJA
Sidang Muktamar sekelian .
Golongan belia dan remaja mestilah dianggap sebagai golongan yang kritikal di dalam strategi pemuda. Langkah menubuhkan kelab-kelab remaja, NGO untuk belia dan sebagainya mestilah direalisasikan disamping pusat komuniti muda yang telah dilancarkan.
Sebagai contoh , kelab generasi kedua peneroka Felda , kelab ekspidisi dan rekreasi adalah antara NGO yang boleh dibentuk oleh pemuda .
Tidak salah andai kita mengambil contoh dari modus operandi Nisa’ di dalam mencapai tujuan tersebut.
Perkhemahan pelajar, pertandingan sukan, konsert hiburan alternative dan segala usaha untuk menarik minat remaja dan belia mestilah diperbanyakkan.
Memanfaat dan menonjolkan Unit Amal sebagai badan yang berorientasikan kebajikan dan pakaian seragam adalah antara usaha yang boleh diguna untuk menarik remaja dan belia.
EKONOMI
Sidang Muktamar sekelian .
Wang bukanlah segala-galanya, tetapi banyak perkara memerlukan wang. Justeru itu , konsep Jihad Maal mestilah dihayati oleh anggota pemuda.
Pemuda memerlukan Baitul Maal’ sendiri untuk memastikan kesinambunagan aktiviti dan program. Tabung bagi menghimpunkan segala infak dari sumber zakat, sumber wang faedah dan sebagainya mestilah diwujudkan.
Ahli-ahli pemuda dari kalangan usahawan dan ahli perniagaan mestilah disatu-tenagakan bagi merancang projek ekonomi pemuda yang memerlukan sokongan semua warga pemuda.
Dana Jihad, melalui potongan gaji anggota pemuda yang bekerja tetap boleh difikirkan untuk direalisasikan.
PERSIAPAN PILIHANRAYA
Sidang Muktamar Sekelian .
Kita menjangka pilihanraya sangat hampir dan pastinya kita mesti bersedia dengan segala keupayaan dari sekarang.
Saya sangat optimis , keutuhan ukhuwwah dikalangan kita tanpa sebarang perang dingin dan semangat membara yang mencitakan kemenangan meletakkan kita dilandasan yang berpotensi .
Kita akan hadapi pilihanraya kali ini dengan langkah yang lebih kemas dan tersusun . Kita belajar dari pengalaman silam dan kekurangan semalam untuk mengatur strategi di hari ini demi sebuah perjalanan yang mantap di hari esok .
Setelah kita memberikan segala apa yang kita miliki untuk perjuangan ini , kita bertawakkal kepada Allah swt dalam menentukan hasil perjuangan kita.
Namun jangan sekali – kali kita lupa , bahawa hari ini kita menghadapi pilihanraya yang pincang dan tiada integriti . Suruhan Jaya Pilihanraya ( SPR ) kini menjadi komponen ke 14 Barisan Nasional .
Terlalu banyak peraturan dan perjalanan pilihanraya yang bercanggah dan melanggar prinsip demokrasi .
Menapak langkah ke gerbang pilihanraya , terlebih dahulu kita bukan sahaja menyokong , malah kita pemuda PAS negeri Pahang mestilah turut menggerakkan sebarang aktiviti menuntut demokrasi yang bersih dan adil.
Hari ini , saya mewakili saf kepimpinan Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang berjanji dan berikrar bahawa kami akan mengerahkan seluruh kekuatan pemuda bagi memperjuangkan pemulihan demokrasi malah kami telah bersedia menanti arahan untuk turun dalam himpunan 100 ribu ummah ke Putra Jaya seandainya pelbagai langkah masih buntu .
KERJASAMA PEMUDA BA DIPERTINGKAT
Sidang Muktamar Sekelian.
Menggerakkan gelombang dan memimpin kebangkitan ummah ke arah memenangi perjuangan suci ini , memerlukan kekuatan dari pelbagai sudut termasuklah pakatan erat dan bijak antara Pemuda BA .
Saya mengharapkan , agar kerjasama Pemuda BA di negeri Pahang ini kian mantap dengan kekerapan aktiviti bersama dipelbagai peringkat malah berupaya menyusun gerakkerja bersama, menangani pelbagai isu ummah yang memerlukan sentuhan dan pimpinan Pemuda BA .
Pelan bertindak strategic Pemuda BA bagi menghadapi pilihanraya umum ini mestilah disiapkan segera dan insyaallah Dewan Pemuda PAS Pahang akan memberikan komitmen yang tinggi dalam menjayakan pakatan ini.
JABATAN AMAL
Hari ini , saya juga ingin mengambil kesempatan untuk merakamkan sejuta tahniah kepada Jabatan Amal Negeri Pahang yang telah memberi komitmen membanggakan dan berjaya menggerakkan “tentera merah”nya dalam pelbagai aktiviti kebajikan, termasuklah membantu mangsa banjir di Johor dan terbaru ialah gotong royong perdana di Nadi Kota sempena hari pelancaran Pusat Komuniti Muda DPP Negeri Pahang.
Jabatan Amal mestilah terus berfungsi sebagai jejantas utama yang menghubungkan pemuda dengan masyarakat melalui kepelbagaian aktiviti kebajikan . Menangilah hati masyarakat sekaligus memadam segala fitnah dan tohmahan kononnya PAS adalah anti perpaduan dan agent perpecahan.
Jabatan Amal dengan pasukan seragamnya terus menjadi sandaran kita untuk mendekati pengundi muda dengan akitiviti kepemudaan yang lebih menarik dan efektif , bersesuaian dengan penampilan dan gaya hidup masyarakat hari ini.
Al A’malulillah menjadi prinsip penampilan dan pendekatan yang tidak meletakkan Unit Amal kita jemu dan putus asa mendepani karenah masyarakat hari ini , khasnya anak – anak muda.
Sebaliknya gah merah uniform kebanggaan AMAL , kekal membawa imej yakin dan berani dalam memikul tanggungjawab dan melepasi segala rintangan , membentengi jamaah kesayangan ini.
JABATAN PASTI
Sidang Muktamar Sekelian .
Institusi Pendidikan PASTI , sebagai salah satu mercu tanda kejayaan pemuda melengkapkan keperluan jamaah dan menunaikan tuntutan ummah.
Namun kita berhadapan dengan politik sempit UMNO dan BN yang sering memberi tekanan kepada PASTI malah mengugut masyarakat agar tidak memberi kerjasama kepada PASTI dengan tujuan melihat PASTI berkubur.
Saya percaya , Jabatan PASTI akan melipat ganda usaha membina kualiti PASTI , serentak itu membentuk keyakinan masyarakat terhadap sistem Pra Persekolahan ( PASTI ) tajaan kita.
Kerjasama pemuda PAS kawasan dalam menubuh dan membangunkan PASTI adalah suatu tanggungjawab yang tidak boleh diabaikan.
Dewan Pemuda PAS negeri Pahang bagaikan terhutang budi kepada Majlis Guru – Guru PASTI di atas komitmen dan pengorbanan mereka . Gigih mendidik anak bangsa yang bakal menjadi pelapis perjuangan suci ini meskipun tidak memperolehi imbuhan setimpal .
Apa yang boleh saya sebutkan di sini , kepada guru – guru PASTI “teruskan usaha anda dan jangan lupa agar turut memberi komitmen terhadap amal Islami anjuran parti khasnya penglibatan bersama Dewan Muslimat”
PENUTUP
Akhirnya saya sekali lagi mengharapkan semua perwakilan dan pemerhati sekelian bersiap siaga menghadapi apa jua amanah dan tanggungjawab perjuangan biarpun ia mempunyai risiko yang tidak sedikit.
Kita akan menghadapi risiko yang lebih besar dengan meninggalkan perjuangan , berbanding perjuangan kita menghadapi risiko untuk mendaulatkan Islam .
Dunia semakin berubah dan rakyat semakin bijak menilai kita . Oleh itu muktamar kita hari ini sangat diharapkan agar ia menjadi permulaan untuk melahirkan bakal saf kepimpinan yang mantap.
Ia akan berasaskan ilmu pengetahuan dan kemahiran dalam pelbagai bidang . Saya mahu pemuda PAS hebat dan jaguh di gelanggang sendiri dan juga di gelanggang orang lain .
Kini , kita mahu menjadi duta penyelamat dan kasih sayang kepada semua golongan khasnya pemuda .
Kita tidak lagi mahu duduk dalam kepompong yang bersifat bangkangan semata – mata tetapi mampu berinteraksi dan bekerjasama selain menawarkan pakej – pakej perkhidmatan dalam isu – isu yang mempunyai kepentingan Negara dan kepentingan bersama dengan pelbagai pihak.
Saya mahu , pemuda PAS Pahang sebagai satu pasukan yang boleh menterjemahkan dasar – dasar Islam dalam kehidupan masyarakat Islam . Ketinggian akhlak , keluhuran budi dan kehalusan bicara adalah suatu yang perlu ditonjolkan .
Hari ini kita benar – benar akan turun bergelanggang . Kita tidak lagi hanya mengungkap istilah jihad atau juang dalam budaya perbahasan intelek semata – mata tetapi dihayati dalam amal juang kita seharian.
Andaikata benar kita berjuang , Insyaallah kita akan beroleh kemenangan .
Sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa Yang menolong ugamanya (ugama Islam); Sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa .
Surah al Hajj : 40
NOTA HUJUNG .
BeritaUtama/20070428110206/Article/indexm_html
3 Comments:
Hutang pasti Pahang ada berpuluh puluh ribu??.......good work?
1:55 AM
Untuk islam menang kita perlu bersaksiah seperti mereka yg pernah memenangkan islam. Bersamalah menilik diri,Seperti yg telah disebut,telah berakhir revolusi minda,buat byk dan tak perlu bercakap banyak.
2:36 AM
Namun kita berhadapan dengan politik sempit UMNO dan BN yang sering memberi tekanan kepada PASTI malah mengugut masyarakat agar tidak memberi kerjasama kepada PASTI dengan tujuan melihat PASTI berkubur........
Harap tuan boleh menyertakan contoh diatas kenyataan tuan diatas yg berbunyi....malah mengugut masyarakat agar tidak memberi kerjasama kepada PASTI...!
10:36 PM
Post a Comment
Subscribe to Post Comments [Atom]
<< Home