" Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini "

Wednesday, July 18, 2007

NAJIB MESTI MELETAKKAN JAWATAN !


Pagi ini sukar saya menahan sebak . Antara dua , pertama terharu atas pengorbanan sahabat dan kedua sedih atas pemergian 6 krew Helikopter Nuri yang terhempas di Hutan tebal berdekatan dengan genting Sempah jumaat lalu .


Al Fadhil Ustaz Yusuf Embong


Saya baru sahaja tiba dari Kuala Terengganu kerana menghadhiri satu program di sana . Istemewanya perjalanan saya kali ini ditemani oleh Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang al Fadhil Ustaz Yusuf Embong . Kami sama - sama berlepas ke Kuala Terengganu dari Temerloh jam 4 petang kelmarin sejurus selesai mesyuarat Dewan Harian Perhubungan PAS Negeri .


Sepatutnya saya bersama dengan Tuan Hj. Hashim dari Balok , tetapi beliau terpaksa menarik diri lantaran terpaksa menemani anaknya yang kini dirawat di Hospital Temerloh kerana patah lengan dalam satu kemalangan yang dialami sewaktu beriadhah di sekolahnya.


Saya sangat terharu atas kesanggupan dan kesudian Ustaz Yusuf untuk menemani saya ke Kuala Terengganu sedang beliau juga terkenal dengan sibuk dan banyak tugas bersama perjuangan ini. Ternyata sukar untuk mencari teman atau sahabat seperti beliau yang telah saya anggap seperti abang saya sendiri .


Namun apa yang membuatkan saya menitis air mata di pagi hening ini ( 4.20 am ) , apabila beliau tiba - tiba menghentikan kenderaan saya di hadapan Masjid Balok dan memaklumkan bahawa beliau nak tidur di sini . ( masjid ) . Pada mulanya saya mengjangkakan beliau akan terus balik ke Batu 3 Kuantan dan saya telah bersedia untuk menghantarnya . Namun beliau berkeras untuk tidur di Masjid Balok atas alasan tidak mahu menyusahkan saya .


" Esok sahaja lah hantar ana sambil kita keluar makan pagi " kata Ustaz Yusuf . Memanglah secara kebetulannya , saya pun akan ke bandar esok untuk menghadhiri sessi peperiksaan Lisan Bahasa Inggeris ( SPM ) di Sekolah Menengah Teknik Seri Pelindung , tapi saya benar - benar tidak menjangkakan beliau nak tidur di Masjid Balok bersendirian dan tentu sahaja kesejukan pula.


Saya memang serba salah , saya nak ajak tidur di rumah saya dalam keadaan rumah saya yang sempit dan biasanya anak - anak bergelimpangan tidur di ruang tamu , tentu sahaja saya tidak tergamak .


Akhirnya saya hanya membekalkan bantal dan kain buat Ustaz Yusuf beriktikaf di masjid Balok sementara menunggu siang dalam beberapa jam sahaja lagi.


Takziah serta Al Fatihah kepada keluarga dan Mangsa Nuri


Dalam perjalanan pulang ke rumah dalam jarak 2 kilometer dari Masjid Balok , saya sempat membuka dan radio IKIM , dan kebetulannya seorang pemanggil yang menghubungi konti sedang membaca al Fatihah kepada mangsa Nuri terhempas .


Sebak saya bertambah dan diri mula diselubungi kesedihan . Rasa pilu sangat - sangat ! . Itu lah saat saya mengetahui berita mengenai jenazah mangsa Nuri yang hilang sejak 5 hari lalu ditemui walaupun ianya telah ditemui sejak tengahari kelmarin .


Saya keluar rumah untuk menghadhiri mesyuarat dan program sejak jam 6.30 pagi kelmarin. Saya langsung tidak berkesempatan untuk meninjau perkembangan yang berlaku .


Apa pun , dalam kesedihan ini saya mewakili Dewan Pemuda PAS Pusat dan Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang merakamkan ucapan takziah kepada semua ahli keluarga mereka yang terkorban dalam tragedi ini. Mereka adalah wira negara yang berani dan gigih berjuang malah berkorban untuk negara .Semoga ahli keluarga bersabar dan redho atas takdir ajal yang menimpa.


Cuma apa yang saya sangat kesal , kejadian malang ini adalah kali ke 15 yang melibatkan helikopter Nuri , spesis yang dibeli dari Amerika Syarikat sejak 1968 yang lalu .


Kenapa Kerajaan melalui Kementerian Pertahanan tidak membeli pesawat yang baru dan lebih baik serta selamat digunakan . kalau Kerajaan boleh membelanjakan ratusan juta ringgit untuk membeli pesawat yang hebat kegunaan pembesar negara , kenapa tidak difikirkan untuk tentera yang berbakti kepada negara ?


Dewan Pemuda PAS Pusat mendesak supaya Dato' Seri Najib mesti mengambil tanggungjawab ini dengan meletakkan jawatan ! dan kerajaan mestilah peka serta mengambil iktibar dari peristiwa yang menyayat hati ini . Cuba bayangkan , sanggupkah Perdana Menteri menjadikan Pesawat Nuri ini sebagai kenderaan rasmi beliau ? Tentunya tidak bukan ? kerana ia terlalu tinggi risiko . Tetapi kenapa tentera - tentera kita terpaksa menanggung risiko ini ?


Sungguh memalukan negara dan seluruh warga tentera , apabila mereka sering terhempas sebelum tiba di medan . Saya rasa seluruh dunia bagaikan sedang mentertawakan Malaysia yang bakal menyambut ulangtahun kemerdekaan negara ke 50 dengan Nurinya yang hampir sebaya usia kemerdekaan negara .

7 Comments:

Blogger Produk Halal Tanggungjawab Bersama said...

Assalamualaikum al-fadhil ustaz. Terharu juga ana membaca kisah anta ni. Memang sahabat begitulah (spt Al-Fadhil Ustaz Yusuf Embong) yang kita inginkan menyertai kita dlm perjuangan Islam ini. Kita juga memerlukan para pemimpin yang begitu ikhlas hati dan sentiasa menunjukkan setiakawan yang tidak berbelah bagi demi Allah dan agama Islam yang suci.

Namun, kadang-kadang, langit tak selalu cerah. Di depan sana kita tak tahu apakah cabaran yg mendatang. Kita harungi jua demi menegakkan tugu Islam yang kita cintai. Dalam perjuangan, pengorbanan para sahabat amat tidak ternilai harganya dan boleh membuatkan kita menitis airmata. Rasa mahu membalas sebaik mungkin jasa mereka, tetapi sebagai manusia biasa, mampukah kita membalasnya? harapan kita semoga Allah beri kesempatan untuk kita berkongsi kasih-sayang persahabatan bersama mereka dan semoga Allah merahmati dan hanya Allah jualah sebaik-baik pembalas. Al-Fadhil Ustaz Yusuf Embong adalah antara pejuang dan sahabat yang sangat memahami keadaan anta. Jadi itulah permintaan beliau. Ana pun tak tergamak kalau sahabat ana begitu berkorban, tetapi di antara terhimpit dan tersepit, serba salah menyelubungi jiwa. Pemberian anta spt bantal dan selimut, sudah melambangkan ikatan persahabatan yang kukuh dan ikhlas. Alhamdulillah dan insyaAllah, semoga dalam perjuangan ini, dalam parti kita ini, ramai individu yang begitu juga. Ikhlas kerana Allah.

Sebut pula tentang NURI. Telah lebih 10 kali kes Nuri terhempas, tapi Najib tidak sayangkan tentera kita sebenarnya. Tentera kita ni umpama lembu dicucuk hidung layaknya. Najib lebih sayangkan Nuri! Duit kerajaan (sebenarnya duit rakyat) tu mungkin nak digunakan untuk bercuti ke luar, negara oleh puak-puak mereka dan membazir tak tentu hala dari digunakan untuk pertahanan negara dan keselamatan rakyat jelata.

Akhir kata, teruskanlah perjuangan kita hingga ke titisan darah terakhir. Ana takkan bagi muka kepada BN/UMNO ini dan ana akan tentang habis-habisan. Ayuh sahabat..Allahuakbar!!!!

11:49 AM

 
Blogger Abu Numair Nawawi B. Subandi said...

PEMIMPIN ISLAM DAN NEGARA ISLAM

Sesebuah negara, walaupun bermasyarakat plural (majmuk) dan mempunyai kepelbagaian agama dan budaya, namun apabila majoriti rakyatnya beragama Islam, dipimpin oleh penguasa yang beragama Islam, keselamatan, kekuatan dan pertahanan masih dikuasai oleh pemimpin Islam, pemimpinnya masih mendirikan solat, laungan suara azan masih terus berkumandang dan penguasa masih menguasai urusan kaum Muslimin, maka ia dinamakan negara Islam. Petanda negara Islam yang dijelaskan oleh Imam Nawawi dan Imam Ahmad yang disebut di atas, dalilnya diambil dari beberapa buah hadis sahih, antaranya sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam:

سَيَكُوْنُ بَعْدِيْ اُمَرَاءُ ، فَتَعْرِفُوْنَ وَتُنْكِرُوْنَ ، فَمَنْ اَنْكَرَ فَقَدْ بَرِىءَ ، وَمَنْ كَرِهَ فَقَدْ سَلِمَ ، وَلَكِنْ مَنْ رَضِيَ وَتَابَعَ ، قَالُوْا : اَفَلاَ نُنَابِذُهُمْ بَالسَّيْفِ ؟ قَالَ : لاَ ! مَااَقَامُوْا فِيْكُمُ الصَّلاَةَ.

“Akan ada selepas peninggalanku nanti pemimpin yang kamu mengenalinya dan mengingkari kejahatannya, maka sesiapa yang mengingkari kejahatannya (bermakna) dia telah berlepas diri dan sesiapa yang membenci kejahatannya dia telah selamat, akan tetapi orang yang meredhai kejahatannya akan mengikuti kejahatannya. Apakah tidak kita perangi mereka dengan pedang (wahai Rasulullah!)? Baginda menjawab: Jangan! Selagi mereka masih mendirikan solat di kalangan kamu”. (Hadis Riwayat Muslim 6/23)

Dengan penjelasan hadis ini, menurut perspektif ulama Salaf as-Soleh dan Ahli Hadis, suatu negara dinamakan negara Islam apabila tanda besar iaitu azan dikumandangkan dan solat ditegakkan. (Al-Manhaj as-Salafi inda Nasruddin al-Albani. Hlm. 215. Amru Abdul Mun’im Salim) Tanda seterusnya ialah larangan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam memeranginya dengan pedang (haram menjatuhkannya).

Dalam konteks ini, Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam menyeru agar bersabar terhadap pemimpin dan penguasa selagi mereka bersolat, kerana ia adalah makna keIslaman yang pertama sekalipun tidak berhukum dengan hukum Islam, kerana petanda dan bukti utama seseorang itu pemimpin Islam adalah solatnya sebagaimana sabda baginda:

عَنْ اَبِى اُمَامَةَ الْبَاهِلِيْ ، عَنْ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: لَيَنْقُضَنَّ عُرَى اْلاِسْلاَمِ عُرْوَةً وَكُلَّمَا اِنْقَضَتْ عُرْوَةٌ تَشَبَّتَ النَّاسُ بِالَّتِىْ تَلِيْهَا وَاَوَّلُهُنَّ نَقْضَ الْحُكْمُ وَآخِرُهَا الصَّلاَةُ.

"Dari Abi Umamah al-Bahili, dari Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam baginda bersabda: Ikatan-ikatan Islam akan terlepas satu demi satu. Apabila lepas satu ikatan akan dikuti oleh ikatan berikutnya. Ikatan Islam yang pertama kali lepas adalah hukum dan yang terakhir adalah solat". (Hadis Riwayat Ahmad. 5/251)

Hadis ini membuktikan bahawa tidak boleh dihukum kafir setiap individu atau pemimpin jika masih mendirikan solat. Dan sesebuah negara dinamakan negara Islam jika masih terdengar suara azan, solat masih didirikan dan dikuatkan lagi jika majoriti rakyatnya beragama Islam kerana hadis di atas menjelaskan: “Dan (tanda) terakhir adalah solat”.

Al-Ismaili rahimahullah berkata:

“Kaum Salaf berpendirian, bahawa sesebuah negara dinamakan negara Islam selagi masih ada panggilan untuk solat (azan) dan didirikan solat dengan terang-terangan serta penduduknya (rakyatnya) sentiasa mendirikan solat dengan bebas (aman)”. (Lihat: Iktiqad Aimmatu Ahlu Hadis, hlm. 50)

Para pemimpin adalah penguasa yang mampu menggunakan kuasa mereka melaksanakan pemerintahan berasaskan prinsip siyasah as-syariyah. Para ulama pula adalah terminal ilmu yang mampu dan diberi mandat membentuk akidah dan pemikiran ummah ke arah pemahaman siyasah Islamiyah (siyasah as-syariyah yang lebih berdisiplin lagi profesional. Ulama telah diwajibkan oleh syara bekerjasama dengan pemimpin. Dipikulkan ke atas mereka tanggungjawab sosial mentarbiyah ummah agar mentaati pemimpin demi mengelakkan perpecahan serta menghapuskan fitnah di kalangan masyarakat. Maka sesebuah negara itu dinamakan negara Islam apabila ulama dan umara (pemimpin) bekerjasama membangun rohani dan jasmani, fizikal dan mental serta untuk pembangunan dunia dan akhirat.

Penamaan negara atau negeri Islam bukan hanya menerusi perundangan, hudud atau peraturan jenayah (kriminal). Malah meliputi bidang-bidang dan aspek yang luas. Khalifah Umar bin Khattab radiallahu ‘anhu berkata:

“Wahai rakyatku! Kamu mempunyai hak ke atas kami untuk menasihati pada perkara-perkara yang kami tidak ketahui, dan hendaklah kamu saling membantu (tolong-menolong dan bekerjasama) dalam kebaikan”. (Lihat: Az-Zuhud 2/602. Hannad)

Tiga perkara yang ditekankan oleh Khalifah Umar untuk membangun ummah dan daulah Islamiyah, iaitu:

1 - Merialisasikan hak individu terhadap pemerintah.
2 - Untuk saling menasihati pada perkara-perkara yang tidak diketahui.
3 - Saling membantu dalam kebaikan.

Perkara kedua yang disebut oleh Khalifah Umar dalam kata-katanya di atas: “Untuk saling menasihati pada perkara-perkara yang tidak diketahui”. Ini merupakan suatu konsep untuk mendekatkan pemimpin dengan rakyat secara bermuzakarah, bermusyawarah dan berlapang dada. Ia menjadi gagasan membuka minda dalam usaha merialisasikan sebuah negara Islam. Iaitu negara Islam yang membangun bersama rakyat untuk mencapai kemakmuran dan keharmonian.

Oleh kerana inilah kita sering mendengar ungkapan yang berbunyi:

“Bahawa agama dan penguasa adalah seumpama dua sisi mata yang tidak boleh terpisah. Apabila diangkat salah satunya, maka akan terangkatlah yang lainnya, kerana agama itu bagaikan asas bangunan, sedangkan penguasa seperti penjaga asas tersebut. Sesuatu yang tidak ada asasnya akan hancur dan sesuatu yang tidak ada penjaganya akan lenyap dengan cepat”. (Lihat: Ruhul Ma’ani 1/174. Cetakan Al-Muniriyah. Lihat: Al-Bahrul Mihit. 2/269. Abi Hayyan)

Termasuk tanda-tanda negara Islam ialah apabila ulama diberi ruang berada di samping pemimpin Islam, kerana agama dan pemimpin (politik) tidak dapat dipisahkan. Berkata Abu Abdillah al-Qala’i as-Syafir rahimahullah:

“Keseimbangan urusan agama dan dunia adalah satu tujuan yang sangat diidam-idamkan. Hal ini tidak akan terlaksana kecuali dengan adanya penguasa (pemimpin). Kalau kami tidak memandang wajib adanya penguasa, pasti hal ini akan menyebabkan manusia berada di dalam perselisihan dan kerusuhan yang berpanjangan sehingga Hari Kiamat. Kalau manusia tidak mempunyai pemimpin yang kuat dan ditaati, pasti akan pudar kemuliaan Islam lalu lenyap tak berbekas. Jika umat tidak mempunyai penguasa yang berdaulat, pasti akan lenyap aktiviti-aktiviti ibadah dan terhentilah perdagangan impot-eksport”. (Lihat: Tahzib ar-Riysah. Hlm 95. Lihat: Majmu al-Fatawa 27/390. Ibn Taimiyah)

Termasuk tanda negara Islam ialah apabila pemimpin dan ulama sentiasa bekerjasama dan sentiasa saling hormat menghormati, kerana inilah asas kesejahteraan agama, keutuhan politik (siyasah), keselamatan, perpaduan dan keharmonian rakyat, inilah juga penyebab pemimpin dan ulama dihormati. Sahl bin Abdullah at-Tusturi rahimahullah berkata:

“Manusia sentiasa dalam kebaikan jika masih menghormati pemerintah dan ulama. Jika mereka menghormati dua komponen umat Islam ini, maka Allah akan memperbaiki urusan dunia dan akhirat mereka. Seandainya mereka meremehkan dua komponen ini, akan rosaklah kepentingan dunia dan akhirat mereka”. (Dikutip dari khutbah Syeikh Uthaimin. Lihat: Huquq Ra’ii war-Ra’iyyah)

Dianggap negara Islam jika pemerintah (umara) yang sedia ada masih bekerjasama dengan ulama kerana tindakan sedemikian bersesuaian dengan tugas dan kehendak para nabi, para rasul, para sahabat dan para ulama pewaris nabi. Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam telah menjelaskan peranan para ulama bersama umara (pemimpin) dalam mengurus sesebuah negara yang pada mulanya adalah tugas para nabi:

كَانَتْ بَنُوْ اِسْرَائِيْلَ تَسُوْسُهُمُ اْلاَنْبِيَاءُ ، كُلَّمَا هَلَكَ نَبِيٌّ وَاَنَّهُ لاَ نَبِيَّ بَعْدِيْ ، وَسَيَكُوْنُ خُلَفَاءَ فَيَكْثِرُوْنَ قَالُوْا : فَمَا تَاْمُرُنَا ؟ قَالَ: اَوْفُوْا بِبَيْعَةِ اْلاَوَّلِ فَاْلاَوَّلِ ، اَعْطُوْهُمْ حَقَّهُمْ ، فِاِنَّ اللهَ سَائِلُهُمْ عَمَّا اسْتَرْعَاهُمْ

"Adalah Bani Israil dipimpin oleh para Nabi mereka. Setiap kali seorang Nabi wafat digantikan oleh Nabi berikutnya. Dan sesungguhnya tidak ada nabi lagi sesudahku, tetapi akan ada para pemimpin (yang beragama Islam), mereka banyak (jumlahnya). Para sahabat bertanya: Apa yang engkau perintahkan kepada kami (apabila itu terjadi)? Nabi bersabda: Patuhilah pemilihan (pemimpin yang beragama Islam) yang pertama, berikanlah oleh kamu hak mereka kepada mereka, kerana Allah akan menanyakan kepada mereka apa yang menjadi tanggungjawab mereka". (H/R Bukhari 5/401. Muslim 3/1471. Ibn Majah 2/958. Ahmad 2/297)

Ibnu Jarir rahimahullah berkata:

“Perkataan yang paling utama dan benar di dalam hal ini (negara Islam) adalah perkataan yang mengatakan bahawa Ulil Amri adalah para pemimpin dan penguasa (beragama Islam). Hadis-hadis dari Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam dalam perintahnya untuk taat kepdaa para pemimpin dan penguasa (Islam) statusnya adalah sah belaka. Dalam ketaatan kepada mereka adalah kemaslahatan bagi kaum muslimin”. (Lihat: Tafsir at-Tabari, 5/150)

Kejahatan, penindasan atau kezaliman yang dilakukan oleh pemimpin tidak akan menghilangkan status negara yang dipimpinnya sebagai negara Islam jika ia masih bersolat, seperti dosa besar dari perzinahan yang dilakukan oleh seorang individu tidak akan menjadikan ia seorang kafir selagi dia solat, mengaku sebagai seorang muslim dan masih mengucap dua kalimah syahadah. Kerana Rasulullah telah bersabda:

“Aku diperintahkan untuk memerangi manusia sehingga mereka mengucapkan: Tiada Tuhan yang berhak diibadahi selain Allah. Apabila mereka telah mengucapkan yang demikian, maka darah dan harta mereka terlindung kecuali dengan haknya, sedangkan perhitungannya kembali kepada Allah”.

Di hadis yang lain baginda bersabda:

“Barangsiapa mengucapkan bahawa tiada Tuhan yang berhak diibadahi selain Allah, maka darahnya haram ditumpahkan”.

Kenyataan dari hadis-hadis di atas membuktikan bahawa tanda keIslaman seorang individu termasuk penguasa atau pemimpin tidak boleh diukur pada kezaliman, kejahatan atau pelanggarannya terhadap batasan hukum-ahkam syara, tetapi solat dan pengucapan kalimah syahadahnya. Maka mereka adalah ahli kiblah dan penguasa (pemimpin Islam) yang tidak boleh dikafirkan. Malah wajib ditaati dan dipelihara kehormatan serta maruahnya

Kenyataan ini telah dijelaskan juga oleh Amirul Mukminin Ali bin Abi Talib radiallahu ‘anhu:

“Tidak akan mampu memperbaiki keadaan manusia kecuali penguasa, sama ada penguasa yang baik atau yang jahat. Orang-orang bertanya kepadanya: Wahai Amirul Mukminin! Jika penguasa itu baik, ini wajar ditaati, tetapi bagaimana dengan penguasa yang jahat? Ali berkata: Sesungguhnya Allah menjaga keamanan suatu daerah melalui perantara penguasa walaupun ia jahat…….” (Diriwayatkan oleh al-Baihaqi dengan sanad yang sahih sampai kepada Ali bin Abi Talib. Lihat: asy-Syu’ab)

Menurut Muhammad Abu Zahrah:

“Darul Islam (negeri atau negara Islam), setiap negara yang diperintah dan dikuasai oleh Islam (umat Islam), iaitu kekuatan dan pertahanan negara berada di bawah kekuasaan umat Islam. Inilah bentuk negara yang wajib dipertahankan oleh setiap umat Islam”. (Abu Zahrah hlm. 377)

Dari Iyas bin Muawiyah, beliau telah berkata tentang pemimpin Islam dan sikap pemimpin Islam terhadap rakyat, begitu juga tentang sikap rakyat terhadap pemimpin mereka:

“Manusia sewajarnya memiliki tiga perkara, Pertama: Mereka sewajarnya mempunyai jalan raya untuk pengangkutan yang aman (selamat). Kedua: Mereka sewajarnya mempunyai pemimpin yang adil supaya dapat menegakkan pelaksanaan hukum. Ketiga: Mereka sewajarnya mempunyai pertahanan yang kuat untuk membenteng diri dari musuh. Apabila ketiga-tiga perkara ini telah ditegakkan oleh pemimpin (penguasa), maka rakyat (sewajarnya ada sikap tanggungjawab) memikul selain tiga perkara tersebut, kemudian menahan kesabaran atas sikap monopoli pemimpin (penguasa) dalam ekonomi dan sikap yang tidak terpuji”. (asy-Syu’ab. H/R al-Baihaqi)

Antara petanda sesebuah negara itu dinamakan negara Islam ialah pemimpinnya Islam dan majoriti rakyatnya juga beragama Islam. Antara ciri-ciri pemimpin Islam yang wajib ditaati ialah pengakuannya serta pengucapan dua kalimah syahadahnya. Dan tanda yang paling besar ialah solatnya dan laungan azan masih berkumandang di negara tersebut sebagaimana dinyatakan oleh hadis-hadis sahih. Oleh itu, apabila seorang muslim dipilih dan dilantik dengan kesepakatan ummah (majoriti rakyat) sebagai pemimpin maka ia adalah pemimpin bagi sebuah negara Islam, ia wajib ditaati. Berkata al-Imam al-Hasan bin Ali al-Barbahari rahimahullah tentang negara dan pemimpin Islam:

“Barangsiapa memegang jawatan kepimpinan atas kesepakatan dan keredhaan kaum Muslimin, maka dia adalah pemimpin Mukmin. Tidak halal bagi seorang pun hidup walaupun satu malam sementara dia tidak mempunyai seorang pemimpin yang baik atau yang jahat. Beginilah yang diserukan oleh Imam Ahmad”. (as-Sunnah. Al-Barbahari)

Syara telah mengharamkan menentang dan memberontak terhadap pemimpin negara Islam yang beragama Islam, atau orang kafir yang telah dilantik oleh pemerintah Islam yang mewakili pemerintah Islam. Islam mengajar sabar terhadap pemerintah dan pemimpin yang tidak disukainya walaupun ia melakukan kezaliman selagi beragama Islam, mengucap dan mendirikan solat, atau terhadap pemimpin bukan Islam yang di bawah naungan pemerintah Islam, maka mereka wajib dipatuhi. Dalam hal ini Syeikh al-Uthaimin berkata:

“Ketahuilah bahawa orang yang belot terhadap pemerintah yang sah, pada hakikatnya telah menjadi hamba musuh-musuh Islam. Pemberontakan atau semangat meluap-meluap bukanlah suatu pelajaran yang bijak, tetapi yang harus kita ambil menjadi pelajaran adalah hikmah (mengikuti sunnah). (Huquq Ra’i war-Ra’iyah. Kumpulan Khutbah al-Uthaimin)

WUJUDKAH PEMIMPIN, RAKYAT & NEGARA YANG MAKSUM?

Sememangnya di setiap negara Islam, tidak akan lahir lagi walau seorang nabi atau rasul untuk menyatukan, memimpin dan memerintah umat secara siyasah syariyah (berhukum dengan hukum syarii) secara utuh sebagaimana yang telah dilakukan oleh Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam, tetapi pengganti dan pewarisnya untuk melanjutkan seluruh tugas tersebut ialah para penguasa atau pemimpin Islam yang dipilih oleh rakyat secara sah yang ditunjangi oleh para ulama yang ikhlas.

Namun, setiap negara Islam akan teruji dengan adanya gerakan yang menggolongkan diri mereka kumpulan ulama, mereka menjamin kononnya kalau mereka memerintah, mereka akan melaksanakan undang-undang Islam atau hudud. Persepsi mereka hanya dengan melaksanakan hudud sahaja telah sempurna tuntutan sebuah negara Islam. Mereka lupa atau jahil bahawa hudud hanya sebahagian dari tuntutan hukum-ahkam Islam yang syumul, global dan luas.

Mereka menyangka pasti akan hapus segala kezaliman, maksiat dan jenayah, termasuklah perbuatan yang dianggap dosa-dosa besar seperti riba, rasuah, arak, pencurian, perzinahan (termasuk perkosaan, rogol atau sumbang mahram) dan sebagainya apabila undang-undang hudud dilaksanakan. Inilah penipuan kalau bukan angan-angan kaum Khawarij yang sombong dan takbur.

Sebenarnya di sebalik berbagai-bagai janji golongan Khawarij (yang ramai ulama suk berkumpul di dalamnya) kepada rakyat terdapat matlamat ingin menumbangkan pemerintah, mereka mencemburui negara Islam yang telah wujud yang tidak berjenama dan berfikiran sebagaimana yang mereka kehendaki. Mereka menuduh negara yang tidak berhukum dengan undang-undang Islam adalah kafir sama ada pemimpin atau rakyat yang menyokongnya. Mereka menyempitkan pensyaratan negara Islam terbatas pada hukum (hudud) semata.

Tidak akan wujud pemimpin dan kepimpinan yang maksum (terpelihara dari membuat dosa) atau rakyat yang maksum. Tetapi persepsi orang jahil membayangkan bahawa hanya dianggap sebagai negara Islam setelah benar-benar tidak berlaku jenayah dan maksiat seperti perzinahan, riba, pencurian, rasuah dan sebagainya, sama ada dilakukan oleh pemimpin atau rakyat jelata. Mereka menyebarkan propaganda bahawa itu semua akan hapus setelah dilaksanakan undang-undang Islam (hudud). Tidakkah mereka tahu bahawa sangkaan mereka itu tidak tepat, kerana di zaman Nabi Muhammad (Nabi yang maksum) walaupun hudud telah berkuat-kuasa namun perzinahan masih ada sehingga terlaksana hukum sebat, pencurian masih terjadi sehingga berlaku hukum potong tangan, minum arak masih berlaku sehingga dilaksanakan hukum rotan dan sebagainya.

Negara khayalan kaum Khawarij dan orang jahil merupakan sebuah negara malaikat, ia tidak akan wujud kerana manusia tidak akan berubah menjadi malaikat.

Kejahatan boleh berlaku di mana-mana dan pada bila-bila masa sahaja, maka para ulama sebagai pewaris nabi diwajibkan bekerjasama dengan para pemimpin atau penguasa untuk mentasfiyah dan mentarbiyah ummah Islamiyah supaya dapat memahami akidah, hukum-ahkam ibadah dan siyasah Islamiyah. Kerana dengan cara ini dapat membendung gejala fahaman dan iktikad songsang termasuklah dalam persoalan siyasah agar tidak bertentangan dengan kehendak syara.

Amat tidak praktis jika terjadi di negara yang dipimpin oleh penguasa (pemimpin Islam) wujud ulama yang berwenang menyeru rakyat menentang penguasa dan pemimpin lantaran dosa-dosa yang dilakukan oleh pemimpin dan rakyat, kerana penentangan terhadap pemerintah amat bertentangan dengan sunnah.

Ulama dan umara perlu berdedikasi membentuk akidah sebagai asas pembangunan rohani, pembetulan ibadah, jiwa dan sikap rakyat terhadap pemimpin atau penguasa, terutamanya generasi muda yang terpelajar agar mereka tidak tersilap menganut fahaman siyasah songsang yang telah menimpa kebanyakan generasi muda pada masa ini. Melalui pendidikan akidah, ibadah dan disiplin ilmu disemua bidang, pastinya mereka mampu menghadapi apapun cabaran masa depan yang akan dihadapi oleh pemimpin dan negara. Ibnu Qutaibah meriwayatkan dari Ka’ab al-Akhbar, dia berkata:

“Islam, penguasa (pemimpin) dan rakyat laksana khemah, tiang dan tali khemah dan kayu pancang khemah (tonggak khemah). Islam diibaratkan khemah, pemimpin diumpamakan sebagai tiangnya, sedangkan rakyat seperti tali dan tonggak khemah, sebahagiannya tidak akan berdaya tegak kecuali dengan sokongan yang lainnya”. (Uyun al-Akhbar. Dengan sanad dari Ka’ab al-Akbar)

Membiarkan arah siyasah ummah Islamiyah tanpa bimbingan, tidak berwawasan yang dinamik, terbiar tanpa ada hala-tuju dan panduan manhaj (metodologi), pasti akan mengakibatkan konsekuensi pola hidup bersiyasah umat yang amat bertentangan dengan al-Quran dan as-Sunnah. Mereka yang terus terbiar tanpa konsepsi yang jelas akan kecundang, mudah menyimpang dan mudah menyemai permusuhan, perbalahan dan perpecahan sesama rakyat. Adanya keadaan seperti ini akan membuka peluang kepada musuh-musuh Islam memusnahkan nikmat kemakmuran duniawi, keamanan, keharmonian, kemaslahatan umum dan akidah mereka. Oleh itu, penguasa dan ulama sewajarnya bertindak sebagaimana yang dinasihatkan oleh Imam al-Qarafi rahimahullah:

“Ada kaedah yang mengatakan bahawa memelihara kemaslahatan umum adalah wajib, hal ini tidak akan terwujud kecuali adanya penghormatan rakyat kepada penguasanya. Bilamana terjadi penentangan serta penghinaan terhadap mereka, maka akan terhalanglah pintu kemaslahatan umat”. (Az-Zakhirah 13/234. Cetakan Darul al-Islami)

Brother Nawawi,
http://an-nawawi.blogspot.com

5:29 PM

 
Blogger Abu Numair Nawawi B. Subandi said...

KETAATAN KE ATAS PEMERINTAH

Ada individu-individu dan golongan yang tidak puas hati malah tidak menyetujui pendefinisian (negara Islam) di atas walaupun dikemukakan dengan hujah-hujah dan dalil-dalil syarii. Mereka mempertikaikannya kerana adanya perlantikan wazir (para menteri), gabenor atau wakil gabenor yang bukan Islam, sedangkan (menurut mereka) tidak boleh mengangkat pemimpin yang bukan Islam di negara yang dianggap negara Islam. Perkara ini telah dijelaskan oleh para ulama muktabar, antara mereka ialah:

Berkata al-Kadi Abi Ya’la Muhammad bin al-Husin al-Farra’ al-Hambali rahimahullah:

“Sesungguhnya dibolehkan melantik wazir (menteri) dari kalangan ahli Zimmah (orang kafir). (Lihat: Al-Ahkamus Sultaniyah. Hlm. 32. Ditahqik oleh Muhammad Hamid al-Fata (dari kalangan ulama besar al-Azhar as-Syarif, merangkap Pengetua Jamaah Ansaru as-Sunnah al-Muhammadiyah Mesir). Cetakan Daru al-fikr. Cetakan ketiga. 1974)

Rasa tidak puas hati akan menghilangkan keyakinan terhadap pemerintah Islam, sedangkan mentaati pemerintah hendaklah dengan keikhlasan, bukan kerana ada tujuan atau ada niat sesuatu yang lain. Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda:

“Dari Abu Hurairah radiallahu ‘anhu berkata: Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda: Tiga golongan yang tidak diajak berbicara oleh Allah pada Hari Kiamat dan tidak dilihatnya serta tidak diakuinya, bahkan bagi mereka siksa yang sangat pedih iaitu:

Pertama: Seseorang yang mempunyai air melimpah di tengah padang pasir dan tidak mahu memberi minum kepada seorang ibnu sabil yang kehausan.

Kedua: Seseorang menjual jualannya kepada orang lain setelah waktu Asar, kemudian bersumpah dengan nama Allah dan mengatakan bahawa dia pasti akan mengambilnya dengan harga sekian. Lalu dia (pembeli) percaya sahaja, padahal kenyataannya tidaklah demikian.

Ketiga: seseorang membuat janji setia kepada pemimpin kerana tujuan duniawi semata, bila diberi sesuatu dia menepati janji setianya, tetapi jika tidak diberi, maka dia pun ingkar (mengkhianati) pada janji setianya (kerana tidak puas hati)”. (/R Bukhari 13/201 dan Muslim 1/103)

Dalam setiap pemerintahan, termasuk pemerintahan Islam pasti ada pengkhianat dan musuh, sama ada musuh dari dalam atau dari luar. Adapun musuh dari dalam adalah musuh dalam selimut, iaitu mereka yang didalangi oleh golongan Khawarij dan Mu’tazilah. Dua golongan ini terutama Khawarij terkenal dengan sikap mereka yang sentiasa mencari ruang untuk memenuhi kepentingan golongannya walaupun boleh menghancurkan agama, negara dan ummah demi mencapai tujuan keji mereka iaitu menjatuhkan pemerintah dan pemimpin Islam.

Menentang musuh-musuh Islam adalah wajib, cara yang efisien ialah melalui rakyat yang mencintai pemimpin mereka. Namun, rakyat tidak mungkin taat, menghormati, mencintai, bekerjasama dan melindungi pemimpin Islam kecuali ditarbiyah oleh para ulama melalui manhaj yang sempurna, iaitu menasihati rakyat dengan al-Quran, al-Hadis, athar sahabat, fatwa-fatwa para Salaf as-Soleh serta melalui nasihat para ulama muktabar yang banyak terdapat di dalam kitab-kitab turath.

Umat Islam sentiasa diwajibkan bersatu dan sentiasa komitmen dan komited mematuhi kepimpinan seorang pemimpin (penguasa) Islam. Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda:

“Barangsiapa melepaskan ketaatan dari pemimpin, dia akan berjumpa dengan Allah pada hari kiamat tanpa punya hujjah (alasan)”. (Hadis Riwayat Muslim. Kitabul Imarah, syarah Nawawi 12/240)

Tiap-Tiap orang yang berkhidmat akan diberi bendera pada hari kiamat, lalu dikatakan padanya bahawa inilah pengkhianatan si Fulan (terhadap pemimpin)”. (H/R Muslim dan Turmizi)

Berkata al-Hafiz Ibnu Hajar rahimahullah:

“Dalam hadis ini ada kewajipan untuk taat kepada penguasa atau pemimpin yang telah diangkat, dan dilarang memberontak kepadanya walaupun dia zalim serta sewenang-wenangnya dalam melaksanakan ketetapan hukum, kerana kefasikan pemimpin bukan sesuatu yang membolehkan untuk memberontak kepadanya”. (Fathul Bari jld. 13 hlm. 68)

Syeikhul Islam Ibn Taimiyah rahimahullah berkata:

“Taat kepada Allah dan RasulNya wajib bagi setiap Muslim, taat kepada penguasa merupakan penguat ketaatan kepada Allah. Barangsiapa yang taat kepada Allah dan Rasulnya dengan menjalankan ketaatan kepada penguasanya, pahalanya dijamin oleh Allah. Tetapi kalau taat kepada penguasa dalam hal-hal yang menguntungkan sahaja, bila diberi hal yang memenuhi kepentingannya ia taat dan sebaliknnya jika tidak diberi dia tidak akan taat, orang yang seperti itu pada hari akhirat tidak punya bahagian (pahala)”. (Majmu’ al-Fatawa. 35/16-17. Ibnu Taimiyah)

Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam mengajar umatnya agar sentiasa memuliakan penguasa, pemerintah atau pemimpin. Baginda bersabda:

“Barangsiapa yang memuliakan penguasa (kerana) Allah (di atas bumi), maka Allah akan memuliakannya pada Hari Kiamat”. (Hadis Riwayat Ibnu Abi Asim dalam as-Sunnah. Hlm. 275)

Imam Abul Wafa Ibnu Aqil al-Hambali pernah dikutuk (dicela) kerana mencium tangan penguasa (pemimpin) ketika bersalaman. Kemudian beliau menjelaskan mengapa beliau berbuat demikian:

“Bagaimana pendapatmu bila aku bersalaman dengan ayahku kemudian aku mencium tangannya, apakah yang demikian itu salah ataukah menjatuhkan kedudukannya? Mereka menjawab tidak salah! Beliau berkata lagi: Seseorang ayah telah mendidik anaknya secara khusus sedangkan penguasa telah mendidik rakyat secara umum, maka dia lebih berhak untuk dihormati”. (Badi’ul Fawaid. Ibnu Qaiyim)

Pendirian dan sikap Ahli Sunnah wal-Jamaah terutama yang berpegang dengan manhaj Salaf-as-Soleh menyatakan wajibnya taat kepada pemimpin, penguasa dan mereka yang menguruskan urusan kaum Muslimin. Haram mengkhianati mereka terutamanya dalam urusan zakat, jihad, memerangai kesesatan dan kekufuran. Wajib bersolat di belakang mereka dan di belakang orang-orang yang menjadi wakilnya di masjid-masjid yang telah disediakan oleh penguasa Islam. Amat keji perbuatan mereka yang menjadi pengacau, seperti menghasut rakyat untuk mengkhianati pemerintah dalam hal-hal yang telah disebutkan di atas.

Berikut yang seterusnya adalah di-salin dari terjemahan Kitab Riyadhus Solihin, susunan Imam Nawawi:

Wajibnya Mentaati Pada Penguasa Pemerintahan Dalam Perkara-perkara Bukan Kemaksiatan Dan Haramnya Mentaati Mereka Dalam Urusan Kemaksiatan

Allah Ta'ala berfirman:

"Hai sekalian orang yang beriman, taatlah engkau semua kepada Allah dan taat pulalah kepada Rasulullah, juga kepada orang-orang yang memegang pemerintahan dari kalanganmu sendiri." (an-Nisa': 59)

661. Dari Ibnu Umar radhiallahu 'anhuma dari Nabi s.a.w., sabdanya:

"Wajib atas seseorang Muslim untuk mendengar dengan patuh serta mentaati, baik
dalam hal yang ia senangi dan yang ia benci, melainkan jikalau ia diperintah untuk sesuatu kemaksiatan. Maka apabila ia diperintah - oleh penguasa pemerintahan - dengan sesuatu kemaksiatan, tidak bolehlah ia mendengarkan perintahnya itu dan tidak boleh pula mentaatinya." (Muttafaq 'alaih)

662. Dari Ibnu Umar r.a. pula, katanya:

"Kita semua itu apabila berbai'at kepada Rasulullah s.a.w. untuk mendengar dengan patuh dan mentaati - apa-apa yang diperintahkan olehnya, beliau s.a.w. selalu bersabda: "Dalam apa yang engkau semua kuasa melaksanakannya - yakni dengan sekuat tenaga yang ada padamu semua." (Muttafaq 'alaih)

663. Dari Ibnu Umar r.a. pula, katanya: "Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:

Barangsiapa yang melepaskan tangan ketaatan - yakni keluar dari ketaatan terhadap penguasa pemerintah, maka orang itu akan menemui Allah pada hari kiamat, sedang ia tidak mempunyai hujah - alasan lagi untuk membela diri dari kesalahannya itu. Adapun yang meninggal dunia sedang di lehernya tidak ada pembai'atan - untuk mentaati pada pemerintahan yang benar, maka matilah ia dalam keadaan mati jahiliyah." (Riwayat Muslim)

Dalam riwayat Imam Muslim yang lain disebutkan: "Dan barangsiapa yang mati dan ia menjadi orang yang memecah belah persatuan ummat - kaum Muslimin, maka sesungguhnya ia mati dalam keadaan mati jahiliyah."

664. Dari Anas r.a., katanya: "Rasulullah s.a.w. bersabda: "Dengarlah olehmu semua dengan patuh dan taatlah pula, sekalipun yang digunakan - yakni yang diangkat sebagai pemegang pemerintahan - atasmu semua itu seorang hambasahaya keturunan Habsyi – orang berkulit hitam, yang di kepalanya itu seolah-olah ada bintik-bintik hitam kecil-kecil." (Riwayat Bukhari)

665. Dari Abu Hurairah r.a., katanya: "Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Wajiblah atasmu itu mendengar dengan patuh serta mentaati baik engkau dalam keadaan sukar ataupun lapang, juga baik engkau dalam keadaan rela menerima perintah itu ataupun dalam keadaan membencinya dan juga dalam hal yang mengalahkan kepentingan dirimu sendiri." (Riwayat Muslim)

666. Dari Abdullah bin Umar radhiallahu 'anhuma, katanya:

"Kita semua bersama Rasulullah s.a.w. dalam bepergian, kemudian kita turun berhenti di suatu tempat pemberhentian. Diantara kita ada yang memperbaiki pakaiannya, ada pula yang berlomba panah-memanah dan ada pula yang menyampingi ternak-ternaknya. Tiba-tiba di kala itu berserulah penyeru Rasulullah s.a.w. mengatakan: "Shalat jamaah akan segera dimulai." Kita semua lalu berkumpul ke tempat Rasulullah s.a.w., kemudian beliau bersabda: "Sesungguhnya saja tiada seorang Nabi pun yang sebelum saya itu, melainkan adalah haknya untuk memberikan petunjuk kepada ummatnya kepada apa-apa yang berupa kebaikan yang ia ketahui akan memberikan kemanfaatan kepada ummatnya itu, juga menakut-nakuti dari keburukan apa-apa yang ia ketahui akan membahayakan mereka. Sesungguhnya ummatmu semua ini keselamatannya diletakkan di bagian permulaannya dan kepada bagian penghabisannya akan mengenailah suatu bencana dan beberapa persoalan yang engkau semua mengingkarinya - tidak menyetujui karena berlawanan dengan syariat. Selain itu akan datang pula beberapa fitnah yang sebagiannya akan menyebabkan ringannya bagian yang lainnya. Ada pula fitnah yang akan datang, kemudian orang mu'min berkata: "Inilah yang menyebabkan kerusakanku," lalu fitnah itu lenyaplah akhirnya. Juga ada fitnah yang datang, kemudian orang mu'min berkata: "Ini, inilah yang terbesar - dari berbagai fitnah yang pernah ada." Maka barangsiapa yang senang jikalau dijauhkan dari neraka dan dimasukkan dalam syurga, hendaklah ia sewaktu didatangi oleh kematiannya itu, ia dalam keadaan beriman kepada Allah dan hari akhir, juga memperlakukan para manusia dengan sesuatu yang ia senang jika diperlakukan sedemikian itu oleh orang lain. Dan barangsiapa yang membai'at seseorang imam - pemuka, lalu ia telah memberikan tapak tangannya - dengan berjabatan tangan - dan memberikan pula buah hatinya - sebagai tanda keikhlasan, maka hendaklah ia mentaatinya apabila ia kuasa demikian - yakni sekuat tenaga yang ada pada dirinya. Selanjutnya jikalau ada orang lain yang hendak mencabut – merampas kekuasaan imam yang telah dibai'at tadi, maka pukullah leher orang lain itu-yakni perangilahyang membangkangtersebut. (Riwayat Muslim)

Sabdanya: yantadhilu artinya berlomba dengan permainan melemparkan panah atau berpanah-panahan. Aljasyaru dengan fathahnya jim dan syin mu'jamah dan dengan ra', yaitu binatang-binatang yang sedang digembalakan dan bermalam di tempatnya itu pula. Sabdanya: yuraqqiqu ba'dhuha ba'dhan artinya yang sebagian membuat ringan pada yang sebagian lagi, sebab besarnya apa yang datang sesudah yang pertama itu. Jadi yang kedua menyebabkan dianggap ringannya yang pertama. Ada yang mengatakan bahwa artinya ialah yang sebagian menggiring yakni menyebabkan timbulnya sebagian yang lain dengan memperbaguskan serta mengelokkannya, juga ada yang mengatakan bahwa artinya itu ialah menyerupai yang sebagian pada sebagian yang lainnya.

667. Dari Abu Hunaidah yaitu Wail bin Hujr r.a., katanya:

"Salamah bin Yazid al-Ju'fi bertanya kepada Rasulullah s.a.w., lalu ia berkata: "Ya Nabiullah, bagaimanakah pendapat Tuan, jikalau kita semua diperintah oleh beberapa orang penguasa, mereka selalu meminta hak mereka dan menghalang-halangi apa yang menjadi hak kita. Apakah yang Tuan perintahkan itu terjadi?" Beliau s.a.w. memalingkan diri dari pertanyaan itu - seolah-olah tidak mendengarnya. Kemudian Salamah bertanya sekali lagi, kemudian Rasulullah s.a.w. bersabda: "Dengarlah olehmu semua - apa yang diperintahkan - dan taatilah, sebab hanyasanya atas tanggungan mereka sendirilah apa-apa yang dibebankan pada mereka - yakni bahwa mereka berdosa jikalau mereka menghalang-halangi hak orang-orang yang di bawah kekuasaannya - dan atas tanggunganmu sendiri pulalah apa yang dibebankan padamu semua - yakni engkau semua juga berdosa jikalau tidak mentaati pimpinan orang yang sudah sah dibai'at." (Riwayat Muslim)

666. Dari Abdullah bin Mas'ud r.a., katanya: "Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Sesungguhnya saja akan datanglah sesudahku nanti suatu cara mementingkan diri
sendiri - dari golongan penguasa negara sehingga tidak memperdulikan hak kaum Muslimin yang diperintah - serta beberapa perkara-perkara yang engkau semua mengingkarinya – tidak menyetujui karena menyalahi ketentuan-ketentuan syariat." Para sahabat lalu berkata: "Ya Rasulullah, kalau sudah demikian, maka apakah yang Tuan perintahkan kepada yang orang menemui keadaan semacam itu dari kita - kaum Muslimin?" Beliau s.a.w. menjawab: "Engkau semua harus menunaikan hak orang yang harus menjadi tanggunganmu dan meminta kepada Allah hak yang harus engkau semua peroleh." (Muttafaq 'alaih)

669. Dari Abu Hurairah r.a., katanya; "Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Barangsiapa yang taat kepadaku, maka ia telah mentaati Allah dan barangsiapa yang bermaksiat kepadaku, maka ia telah bermaksiat pula kepada Allah dan barangsiapa yang mentaati amir - pemegang pemerintahan, maka ia benar-benar mentaati saya dan barangsiapa yang bermaksiat kepada amir, maka ia benar-benar bermaksiat kepada saya." (Muttafaq 'alaih)

670. Dari lbnu Abbas radhiallahu 'anhuma bahwasanya Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Barangsiapa yang membenci sesuatu tindakan dari amirnya - yang memegang pemerintahannya, maka hendaklah ia bersabar, sebab sesungguhnya saja barangsiapa yang keluar - yakni membangkang - dari seseorang sultan - penguasa negara - dalam jarak sejengkal, maka matilah ia dalam keadaan mati jahiliyah." (Muttafaq 'alaih)

671. Dari Abu Bakrah r.a., katanya: "Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Barangsiapa yang merendahkan seseorang sultan - penguasa negara, maka ia akan direndahkan oleh Allah." Diriwayatkan oleh Imam Termidzi dan ia mengatakan bahwa ini adalah Hadis hasan. Dalam bab ini masih ada lagi beberapa Hadis lain yang disebutkan dalam kitab shahih dan sebagian telah terdahulu uraiannya dalam beberapa bab di muka.

5:30 PM

 
Blogger Abu Numair Nawawi B. Subandi said...

KETAATAN KEPADA PEMERINTAH DAN PENGUASA - 2

Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam telah memberi peringatan bahawa keluar dari jamaah, kepimpinan atau pemerintah Islam, penentangan terhadapnya dan bergabung dengan Khawarij atau Mu’tazilah adalah perpecahan yang akan membawa ke neraka sebagaimana sabda baginda:

"Akan berpecah umatku kepada tujuh puluh tiga pecahan, semuanya ke neraka kecuali satu. Mereka (para sahabat) bertanya, siapa dia (yang tidak ke neraka) wahai Rasulullah? Baginda bersabda: Yang berjamaah". (Hizbuttahrir, hlm 9-10. Nasruddin al-Albani)

Allah mengharamkan orang-orang yang beriman berpecah dari pemerintahan Islam, kerana pemerintah dianggap sebagai pengikat jamaah Islamiyah. Allah berfirman:

“Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai- berai”. (Ali Imran 3:103)

Imam Al-Qurtubi rahimahullah telah menafsirkan dalam kitab tafsirnya tentang penafsiran “Tali Allah” dengan “Al-Quran” atau “Jamaah”. (Al-Jami’ Li Ahkamil Quran. 4/159. Daarul Qutub) Kemudian beliau menegaskan:

“Sesungguhnya perpecahan hanya akan membawa kehancuran, sedangkan jamaah akan menghantar kepada keselamatan. Semoga Allah merahmati Ibnu Mubarak yang telah menjelaskan: Sesungguhnya jamaah adalah Tali Allah, maka berpegang teguhlah dengannya”. (Al-Jami’ Li Ahkamil Quran. 4/159. Daarul Qutub)

Berkata Ibnu Abi Hatim rahimahullah:

“Ayahku menceritakan kepadaku, Amr bin Ali as-Shairafi telah menceritakan bahawa Abdul Rabbuh bin Bariq al-Hanafi telah menceritakan bahawa Simak bin Al-Walid al-Hanafi berjumpa Ibn Abbas di Madinah lalu berkata kepadanya:

Bagaimana cara menghadapi penguasa (pemerintah) yang telah menzalimi kita, mencela dan merampas sadakah kita, bukankah kita harus mencegah mereka? Ibnu Abbas menjawab: Jangan! Biarkanlah mereka wahai Hanafi! Lalu beliau menambah: Wahai Hanafi! Hendaklah bersama al-Jamaah (pemimpin Islam/penguasa), hendaklah kamu jaga persatuan (jamaah) sebab hancurnya umat dahulu kerana perpecahan (berlepas dari pemimpin atau penguasa), apakah kamu tidak mendengar firman Allah Subhanahu wa-Ta’ala: Dan berpeganglah kamu kepada tali (agama/jamaah) Allah dan janganlah kamu bercerai-berai”. (Tafsir Ibnu Abi Hatim 2/455. Tahqiq Dr. Hikmat Basyir Sayuti. (2). Lihat: Ad-Darul Mansur 2/285-286. Darul Fikr)

Imam at-Tabari rahimahullah menafsirkan:

“Sesungguhnya Allah tidak menyukai perpecahan. Dia telah menjelaskan kepadamu, memperingatkan dari berpecah dan melarang dengan tegas”. (Jami’ul Bayan ‘An Ta’wili Ayi al-Quran. 4/322)

Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah rahimahullah berkata:

“Tali Allah telah ditafsirkan dengan beberapa tafsiran, antaranya ialah kitab Allah, agama Allah, Islam, ikhlas, perintah Allah, janji Allah, taat kepadaNya serta taat kepada jamaah (pemerintah)”. (Minhajus Sunnah an-Nabawiyah 5/134 Jamiatul Imam Saudi Arabia)

Ayat al-Quran, hadis-hadis sahih, tafsiran ayat dan fatwa para ulama Salaf as-Soleh di atas ini menunjukkan bahawa perpecahan adalah perbuatan bid'ah, bid’ah pula jelas merupakan perbuatan yang sesat dan membawa pelakunya ke neraka sebagaimana sabda baginda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam:

"Berhati-hatilah kamu dengan hal yang baru (yang sengaja diada-adakan) dalam agama, sesungguhnya setiap yang diada-adakan itu bid'ah dan setiap yang bid'ah itu sesat dan setiap yang sesat itu ke neraka". (H/R Ahmad (1653). Turmizi (2600). Abu Daud (3991). As-Sunnan Ibn Majah (42). Dan hadis riwayat Muslim dalam Khutbatul Hajah)

Kehancuran sesuatu umat bermula angkara tidak mentaati pemimpin mereka. Ia juga menjadi penyebab kekufuran dan salah satu dari perbuatan bid'ah yang menakutkan kerana pada hakikatnya secara umum “Setiap bid’ah adalah sesat”. (Hadis dari Irbadh bin Sariyah diriwayatkan oleh Muslim dalam “Khutbatul Hajah” dan Turmizi) Dan “Bid'ah merupakan jambatan menuju kekafiran. Kerana bid’ah juga adalah kegemaran Iblis sebagaimana dijelaskan oleh Ibnu Ja'ad rahimahullah:

"Bid'ah itu lebih digemari (dicintai) oleh iblis daripada maksiat, kerana (pelaku) maksiat masih ada menaruh harapan untuk bertaubat dari maksiatnya. Adapun pelaku bid'ah pula tidak dapat diharapkan untuk bertaubat". (Athar ini diriwayatkan oleh Ibn Ja'ad dalam musnadnya No. 1885)

Menurut Imam As-Syatibi, pada umumnya setiap bid’ah amat buruk dan keji. Selanjutnya beliau berkata:

"Tidaklah diragukan lagi bahawa bid'ah itu terhitung dalam perbuatan maksiat". (الاعتصام Jld. 2. Hlm. 60. As-Syatibi)

Mereka yang berpecah (bercerai-berai), keluar dari pemerintah atau penguasa Islam adalah mengingkari perintah Allah dan RasulNya. Allah mengancam mereka dengan firmanNya:

"Maka awaslah orang-orang yang menyalahi perintahnya (Rasulullah) bahawa mereka akan ditimpakan fitnah atau ditimpa oleh siksa yang pedih". (an-Nur, 24:63)

Allah Subhanahu wa-Ta’ala berfirman:

“Hai orang-orang yang beriman! Taatilah Allah dan Taatilah Rasul(Nya), dan pemimpin antara kamu”. (an-Nisa’ 4:59)

Baginda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam diutus semata-mata untuk ditaati sebagaimana firman Allah:

"Dan tidak Kami utus seorang Rasul melainkan untuk ditaati dengan seizin Allah". (an-Nisa, 4:64)

Julukan mubtadik (مُبْتَدِعٌ) "Pelaku, Aktivis atau Pembuat Bid'ah” diberikan kepada sesiapa sahaja yang melakukan bid’ah. Antara bid'ah yang menjadi punca fitnah yang paling besar ialah perbuatan memecah-belahkan jamaah, iaitu dengan mengajak umat meninggalkan ketaatan kepada pemimpin Islam. Rasulullah telah memberi peringatan tentang hal ini dengan sabdanya:

"Barangsiapa yang melihat pada amirnya (pemimpinnya) suatu yang dibencinya hendaklah dia tetap bersabar atasnya. Sesungguhnya tidaklah seseorang itu keluar dari (mentaati) pemerintahnya walau sejengkal kemudian ia mati dalam keadaan tersebut, maka matinya itu mati dalam keadaan jahiliyah". (Hadis Riwayat Muslim. Lihat: Sunan Abi 'Asim. No. 1101. Hadis sahih)

"Telah bersabda Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam: Sesiapa yang meninggalkan ketaatan kepada (pemerintah Islam) dan meninggalkan jamaah (keluar dari mentaati pemerintah), kemudian ia mati, maka matinya adalah kematian jahiliyah". (مجموع الفتوى jld. 35. Ibn Taimiyah)

Ibnu Abi Syaibah meriwayatkan dari Suwaid bin Ghaflah, dia berkata:

Umar bin al-Khattab radiallahu ‘anhu berkata kepadaku: Hai Abu Umaiyah! Sesungguhnya saya tidak tahu apakah saya akan berjumpa lagi dengan anda selepas tahun ini. Bila kamu diperintah oleh seorang hamba Habsyi yang terpotong telinganya, maka dengar dan taatilah dia, walaupun dia memukulmu dan bersabarlah. Apabila dia mengharamkan sesuatu kepadamu dan hendak mengurangi agama kamu, maka bersabarlah lalu katakan!: Saya dengar dan saya taat dalam urusan darahku, bukan dalam urusan agamaku. Janganlah kamu berpisah dari jamaah”. (Al-Musannaf 12/544. Lihat: As-Sunnah hlm. 111. Lihat: Asy-Syariah hlm. 40 oleh Al-Ajuri. Dan lihat: Al-Amwal 1/76. Ibnu Zanjawiyah)

Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda:

"Bertakwalah kamu sekalian kepada Allah, dan telah diwajibkan kepada kamu mendengar dan taat walaupun (dipimpin) oleh seorang hamba Habsyi". (Hadis sahih riwayat Abu Daud)

"Dari Abi Zar radiallahu 'anhu: Sesungguhnya kekasihku (Rasulullah) berwasiat kepadaku agar aku mendengar dan mentaati (pemimpin), sekalipun ia seorang hamba sahya. (Di riwayat yang lain) sekalipun seorang hamba sahya dari Habsyah". (Mutaffaq 'alaihi)

“Sesungguhnya orang yang mendengar lalu taat (kepada pemimpin), dia tidak diminta memberi alasan (di akhirat). Sesungguhnya orang yang mendengar lalu menentang (pemimpinnya), dia tidak mempunyai alasan (di akhirat)”. (As-Sunnah hadis riwayat Abi Asim dan juga dari Adi bin Hatim. Lihat: Musnad Imam Ahmad 4/9. Majmu’uz Zawaid 5/271)

Ibnu Masoud radiallahu ‘anhu dalam khutbahnya menjelaskan:

“Wajib bagi kamu untuk sentiasa taat dan beristiqamah dengan jamaah, kerana itulah tali Allah yang kita diperintahkan untuk berpegang teguh dengannya”. (Muamalatul Hukkam fi-Dhauli al-Kitab was-Sunnah. Cetakan Kelima. 1996M-1417H. Abdus Salam bin Barjis bin Nasir Ali Abdul Karim. Saudi Arabia. Riyad)

Dari Adi Bin Hatim radiallahu ‘anhu: Kami bertanya: Wahai Rasulullah! Kami tidak menanyakan kepadamu tentang taat kepada pemimpin yang bertaqwa, tetapi tentang orang yang berbuat demikian dan demikian (kezaliman atau melakukan yang keji). Maka Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam menjawab: Bertaqwalah kamu kepada Allah dan dengar serta taatlah (kepada pemimpin)”. (Zilalul Jannah fi Takhrijus Sunnah 2/508. Al-Albani menyatakan hadis ini adalah hadis yang sahih. Lihat: As-Sunnah Ibnu Abi Asim)

Adapun dalil-dalil dari hadis tentang wajibnya taat kepada pemimpin selain dalil-dalil yang lalu ialah:

“Barangsiapa taat kepada penguasaku maka dia telah taat kepadaku. Barangsiapa yang bermaksiat kepada penguasaku, maka dia telah bermaksiat kepadaku”. (Muttafaq ‘Alaihi. Dari jalur Abu Hurairah. Lihat: Al-Muzakkir wat-Tazkir waz-Zikra. Hlm. 42-43. Ibnu Abu Asim)

Imam Bukhari telah mengkhususkan satu bab tentang hadis ini dalam pembahasan al-Ahkam dari kitab sahihnya, iaitu bab firman Allah yang bermaksuad: “Taatilah Allah dan Rasulnya serta Ulil Amri antara kamu”.

Berkata al-Hafiz Ibn Hajar rahimahullah:

“Di dalam hadis ini disebutkan tentang wajibnya mentaati para pemimpin, tetapi ia terbatas dalam hal-hal yang bukan maksiat”. Dan lafaz dari Muslim:

“Kecuali apabila kamu melihat bahawa pemimpin itu telah kafir secara terang-terangan dengan bukti (kenyataan dalil) dari Allah”. (Sahih Muslim 3/1470)

Taatilah seruan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam dalam sabda baginda:

“Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam menyeru kami (agar patuh dan taat), maka kami pun membaiatnya, dan baginda meminta dari kami adalah: Agar kami membaiatnya atas dasar mendengar dan taat dalam suka maupun duka, dalam keadaan susah ataupun senang dan dalam keadaan tidak kita sukai atau kita suka serta supaya kita tidak merampas kekuasaan dari ahlinya. Kemudian baginda bersabda: Kecuali kamu melihat kekafiran yang telah nyata oleh kamu dengan pembuktian dari Allah Ta’ala (dalil dari al-Quran yang membuktikan kekafirannya)”. (Syarah Muslim. Kitabul Imaran, bab Wujubu at-Taah al-Umara fi Ghairi Masiyah wa-Tahrimuha fi al-Masiyah. Oleh Imam Nawawi. H/R Muslim)

Para ulama Salaf as-Soleh mewajibkan taat kepada para pemimpin Islam dan bersatu di bawah kepimpinan mereka selagi mereka tidak menyatakan (mengiklankan) secara terang-terangan kekafirannya di khalayak ramai. Atau selagi tidak ada pembuktian melalui ukuran (penilaian) dari al-Quran atau as-Sunnah yang membuktikan ia telah benar-benar kafir. Dalam hal ini telah berkata Abu Abdillah Ahmad bin Muhammad Asy-Syihhy:

“Sesungguhnya akidah kami sebagai Salafiyin (Ahli Sunnah wal-Jamaah) terhadap hukama (para pemimpin Islam negara) kami, bahawa kita tidak boleh keluar dari ketaatan kepada mereka, walaupun pada mereka terdapat kezaliman, kepalsuan (pembohongan) kefasikan dan tidak berlaku adil. Kami wajib taat selagi mereka tidak mengumumkan secara terang-terangan di khalayak ramai bahawa mereka tidak menghendaki dan tidak menyukai syariat Allah Ta’ala, kami wajib taat selagi mereka tidak kafir terhadap Allah dengan kekafiran yang dapat dibuktikannya dengan jelas melalui petunjuk dari Allah Ta’ala dan dalil dari kitab dan sunnah. Maka jika seandainya mereka berbuat demikian, bolehlah untuk keluar dari ketaatan terhadap mereka denga syarat yang kedua, iaitu kita memiliki kemampuan dan kekuasaan untuk menggulingkan mereka, tanpa mengakibatkan kerosakan yang lebih parah dari yang pertama. Kalau tidak demikian, kami Ahli Sunnah wal-Jamaah bekerjasama dengan pemimpin Islam dengan doa dan nasihat kepada mereka dengan cara hikmah, penuh bijaksana dan nasihat yang baik, tidak dengan revolusi dan pemberontakan”. (Hiwar Hadi Ma’ Ikhwani. . Hlm. 30. Abi Abdullah Ahmad bin Muhammad bin Asy-Syihhy, Cetakan Pertama. 1415H-1995M)

Seterusnya beliau berkata:

“Dan kita taat kepada mereka dalam suka ataupun duka, kecuali dalam kemaksiatan, maka tidak ada ketaatan kepada mereka. Maka kami pun memberi peringatan kepada orang yang keluar dari ketaatan terhadap mereka dari kalangan kaum muslimin”. (Hiwar Hadi Ma’ Ikhwani. . Hlm. 30. Abi Abdullah Ahmad bin Muhammad bin Asy-Syihhy, Cetakan Pertama. 1415H-1995M)

Perpecahan dianggap bid’ah yang diharamkan oleh syara. Sehingga orang yang menyebabkan perpecahan diperintahkan agar dibunuh sebagaimana sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam:

“Sesungguhnya suatu ketika nanti akan terjadi Hanat dan Hanat**. Barangsiapa yang ingin memecah-belahkan barisan umat ini (kaum Muslimin) sedangkan dalam keadaan kukuh (satu jamaah). Maka bunuhlah siapapun dia”. (Hadis Riwayat Muslim 3/1478/1480)

** (Yang dimaksudkan “Hanat dan Hanat” di dalam hadis ini ialah: “Fitnah dan bid’ah”. Lihat: Syara Muslim oleh Nawawi 12/241)

Hanat mempunyai makna yang banyak, tetapi dimaksudkan di hadis ini ialah fitnah dan bid’ah. (Hadis Riwayat Muslim 3/1478/1480). Maksudnya ialah fitnah yang muncul silih berganti di muka bumi ini dan terjadinya kerosakan dan fitnah kerana merebut kuasa dan mengejar kedudukan. Menurut al-Qari, bahawa “Hanat” adalah kejahatan dan kerosakan yang muncul kemudian (setelah kewafatan Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam, pent.). Iaitu yang keluar dari sunnah dan jamaah.(Mirqatul Mafatih. 7/258-259) Dan amat jelas, sesiapa yang keluar dari sunnah dan jamaah mereka adalah benar-benar ahli bid’ah.

5:30 PM

 
Blogger Abu Numair Nawawi B. Subandi said...

PERSOALAN MELANTIK PEMIMPIN, BERHIZBI (PARTI), MEMBERONTAK, BERKOMPLOT, DAN BERKONSPIRASI

Hadis di atas (hadis-hadis yang lalu) telah mewajibkan umat patuh kepada pemimpin Islam. Syara tidak menghalalkan adanya dua parti dan dua pemimpin dalam sebuah negara Islam. Larangan ini terdapat dalam beberapa hadis yang sahih:

"Apabila dilantik dua orang khalifah** (pemimpin dalam sebuah negara Islam) maka bunuhlah orang yang terakhir antara kedua (perlantikan yang kedua)". (Hadis Riwayat Muslim 3/1480. Dan Ahmad 3/95)

** (Khalifah yang dimaksudkan oleh hadis-hadis seperti ini ialah pemimpin atau ketua negara)

"Sesiapa telah mengangkat (telah bersetuju melantik) seorang pemimpin kemudian memberikan padanya uluran tangannya dan buah hatinya (sebagai tanda persetujuan), maka hendaklah ia (orang yang mengangkatnya) mentaatinya sedaya mungkin. Maka jika datang orang lain yang menentangnya, hendaklah mereka membunuh yang terakhir (penentang), aku (Abdulrahman bin Abdul Rabbi'l Kabah) bertanya: Apakah kamu mendengar ini dari Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam? Ia (Abdullah bin Amr) menjawab: Aku mendengar (hadis ini) dengan kedua telingaku dan difahami oleh hatiku". (Hadis Riwayat Muslim 3/1472. Abu Daud 4/97. Dan Ibn Majah 2/1306)

"Telah bersabda Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam: Barangsiapa yang memilih seorang untuk menguruskan urusan kaum muslimin, lalu mengangkat orang tersebut (sebagai pemimpin) kemudiannya dia mengangkat (pula) orang lain yang lebih layak dan sesuai daripada orang yang telah diangkatnya, maka dia telah berkhianat kepada Allah dan RasulNya".

TIDAK AMANAH DAN KHIANAT

Menghalalkan membalas pengkhianatan pemerintah dengan berkhianat menjatuhkannya. Maka perbuatan seperti ini ditegah oleh Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam sebagaimana sabda baginda:

"Sempurnakan amanah kepada orang yang memberi amanah kepada kamu, dan janganlah berkhianat kepada orang yang mengkhianatimu". (Hadis Riwayat Abu Daud)

Hanya Allah Azza wa-Jalla penentu perkara-perkara yang berkaitan dengan ketaatan. Setiap rakyat diwajibkan mendengar dan taat kepada pemerintah. Rakyat tidak perlu menyibukkan dirinya mencampuri hal-hal pemerintahan yang bukan menjadi tanggungjawabnya jika boleh menimbulkan kekeruhan, perpecahan atau kebencian rakyat terhadap pemerintah. Pemerintah pula wajib memikul tanggungjawabnya sebagai amanah dari Allah. Pemerintah mendapat ganjaran di atas segala kebaikan dan amanah yang ditunaikan. Namun ia tidak akan terlepas dari balasan Allah jika ia melakukan kezaliman atau tidak melaksanakan amanahnya kepada rakyat. Sebagaimana keterangan dari hadis sahih di bawah ini:

"Dengarlah dan taatilah (pemimpin yang beragama Islam). Diwajibkan ke atas kamu bersikap terang-terang dan hati-hatilah kamu dari konspirasi (terhadap pemimpin)". (Hadis Riwayat Ibn Abi 'Asim. Disahihkan oleh al-Albani dalam ad-Dhilal.)

Syeikhul Islam Ibn Taimiyah rahimahullah berkata:

“Sesungguhnya Nabi Muhammad memerintahkan kita mentaati pemimpin yang ada dan telah diakui kekuasanan dan kedaulatannya untuk mengatur rakyat. Tidak menyuruh kita untuk mentaati pemimpin yang tidak jelas dan tidak diketahui keadaannya, juga tidak mempunyai kekuasaan dan kemampuan sedikitpun”. (Minhajus Sunnah an-Nabawiyah 1/115. Cetakan Rasyad Salim)

PERSOALAN HIZBI (BERPARTI)

Islam tidak menghalalkan orang-orang Islam berhizib-hizib (berparti-parti) dalam sebuah negara yang diperintah oleh pemimpin Islam. Kerana selain ia perbuatan golongan Khawarij dan Mu’tazilah, ia juga merupakan golongan fanatik kelompok yang telah dijelaskan oleh ayat:

“Tiap-tiap golongan (hizib/parti) merasa bangga dengan apa yang ada pada sisi mereka (masing-masisng)”.( al-Mu’minun, 23:5.)

Antara kraiteria pemimpin atau penguasa Islam yang digariskan oleh hadis-hadis sahih ialah ia masih bersolat (sebagaimana yang telah dijelaskan melalui nas-nas dan keterangan yang lalu), sama ada pemimpin itu baik atau jahat. Wujudnya beberapa parti di sebuah negara Islam sehingga menentang pemimpin yang telah dilantik secara sah, maka parti-parti (hizib-hizib) tersebut menjadi penyebab terjadinya perbalahan dan perpecahan. Perpecahan di kalangan umat Islam telah diharamkan oleh syara, kerana akan menambah-lahirkan lagi beberapa golongan dan Jamaah. Larangan ini terdapat di dalam al-Quran dan hadis-hadis sahih:

"Dan berpeganglah kamu semua kepada tali (agama) Allah dan janganlah kamu bercerai-berai (berpecah-belah)". (Ali Imran, 3:103)

Syara mengharamkan pemberontakan, pertumpahan darah, menentang, memfitnah, demonstrasi, reformasi dan revolusi yang bertujuan untuk menjatuhkan pemerintah (pemimpin) muslim, kerana perbuatan tersebut akan menjadikan umat berpuak-puak (berpecah), porak-peranda dan lemah. Semuanya itu akan berlaku kerana adanya berbagai-bagai hizib. Sedangkan umat Islam adalah umat yang diwajibkan agar bersatu, mempertahankan keutuhan pemerintah yang sah dan memelihara kesatuan ummah. Firman Allah:

"Sesungguhnya inilah umatmu, umat yang satu dan Akulah Tuhanmu, maka hendaklah kamu menyembahKu". Al-Anbia, 21:92.

"Dan sesungguhnya inilah umatmu, umat yang satu dan Akulah Tuhanmu, maka hendaklah kamu bertakwa kepadaKu". (al-Mukmin, 23:52)

Untuk memelihara kesatuan dan perpaduan Islam, setiap mukmin wajib mentaati pemimpin Islam selagi pemimpin itu bersolat. Inilah sikap Ahli Sunnah wal-Jamaah terhadap pemerintahnya. Rasulullah bersabda:

"Dari Miqdad bin al-Aswad berkata: Telah bersabda Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam: Sesungguhnya kebahagiaan (adalah bagi) orang yang menjauhi fitnah dan (bagi) orang yang mendapat ujian kemudian ia bersabar. Ini amat mengkagumkan". (Hadis Riwayat Abu Daud. Menurut al-Albani (hadis sahih))

"Ketahuilah! Sesiapa yang diperintah oleh seorang pemimpin kemudian dia mendapati pemimpinnya bermaksiat kepada Allah, maka hendaklah dia membenci kemaksiatannya kepada Allah (yang dikerjakannya) tetapi tidak dihalalkan melepaskan tangan dari mentaatinya (tidak boleh membenci dan tidak boleh memberontak terhadapnya)". (Hadis Riwayat Muslim)

Telah berkata Ibn Hajar rahimahullah tentang ijmaknya ulama dalam masalah ketaatan kepada pemimpin:

“Para fuqaha sepakat tetang wajibnya taat setia kepada penguasa yang berkuasa dan berjihad di bawah panji-panjinya. Taat setia itu lebih baik daripada menentang (memberontak) kepada pemimpin kerana di dalam pemberontakan akan terjadi pertumpahan darah”. (Fathul Bari 13/7)

Untuk memelihara ketaatan dan keutuhan pemerintah, maka diharamkan melakukan perkara-perkara yang tersebut di dalam hadis di bawah ini:

"Janganlah kamu mencerca (maki hamun) para pemimpin kamu, janganlah kamu dengki (berkhianat) terhadap mereka dan janganlah membuat mereka marah, bertakwalah kamu kepada Allah dan bersabarlah (terhadap pemimpin), sesungguhnya perkara ini adalah dekat (hanya sementara)". (As-Sunnah (2/499). Ibn Abi 'Asim)

"Pemimpin (yang beragama Islam) adalah naungan Allah di muka bumi, sesiapa yang menghinanya maka Allah akan menghinakan dia (yang menghina pemimpin Islam) dan sesiapa yang memuliakannya, nescaya Allah akan memuliakan dia". (H/R Ahmad, Tirmizi, dan Ibn Hibban. Disahihkan oleh Al-Albani dalam Ad-Dhilal No. 1017 dan lihat: As-Sahihah, 2297)

PERIHAL MEMBANGKANG, MENENTANG & MEMBERONTAK

Umat Islam wajib mengenal musuh-musuh mereka, terutamanya golongan Khawarij agar dapat menjauhi dan melepaskan diri dari perangkap mereka, kerana Khawarij mudah berselindung melalui berbagai-bagai jenama jamaah atau menunggangi parti, mungkin diberi nama Parti Islam, Parti Iman, Parti Ikhwan Muslimin dan sebagainya.

Khawarij adalah golongan mubtadi’, buktinya ialah aktif menghasut rakyat menjatuhkan pemimpin Islam. Mereka tahu bahawa perpaduan terletak pada keteguhan pemerintah dan perasaan cinta rakyat kepadanya, oleh itu golongan Khawarij memfitnahkan pemimpin dan menyeru masyarakat menghancurkan pemerintahan agar perpaduan ummah hancur berkecai.

Khawarij suka mencari-cari kesalahan pemimpin, jika tidak ditemui, mereka mengada-adakan isu menyalahkan pemimpin serta orang-orang yang bersamanya. Cara mereka melakukan kerja-kerja haram ini ialah dengan memburuk-burukkan kerajaan Islam, menghina dan memalukan pemimpin serta rakyat yang menyokongnya.

Khawarij menggunakan berbagai-bagai cara dan perantara untuk mengajak rakyat membelot. Inilah perbuatan haram yang ditegah oleh ulama salaf. Al-Imam Abu Ja’far At-Tahawi rahimahullah berkata:

“Tidak boleh keluar (membelot) dari para pemimpin Islam serta penanggungjawaban urusan kita (penguasa Islam), sekalipun mereka itu aniaya. Kita tidak boleh mendoakan keburukan bagi pemimpin dan tidak boleh juga melepas tangan dari ketaatan kepada mereka. Kita menganggap taat kepada penguasa muslim adalah ketaatan juga kepada Allah yang memang diwajibkan atas kita, kecuali mereka memerintahkan kemaksiatan. Kita juga mendoakan mereka dengan kebaikan dan kesejahteraan”. (al-‘Aqidah Ath-Thahawiyah. Hlm. 73. Pengulas As-Syeikh Abdul Aziz bin Baaz. Edisi terjemahan. Cetakan pertama 2001. Jahabersa)

TANDA-TANDA ATAU CIRI-CIRI KHAWARIJ

Sifat Khawarij yang paling keji ialah mudah mengkafirkan sesiapa sahaja yang tidak bersama kelompoknya. Khawarij gemar mencabar secara egois, emosional dan menyerang pemerintah (kerajaan) Islam serta penyokongnya dengan ayat-ayat al-Quran, hadis-hadis lemah dan palsu serta memberi fatwa yang keliru untuk mengelabui fikiran masyarakat. Mereka pakar memutar-belit, mentakwil, merubah maksud atau menyelewengkan tafsiran al-Quran mengikut hawa nafsu mereka demi mencapai matlamat iaitu untuk memenuhi kepentingan golongan mereka. Mungkin mereka tidak mengetahui bahawa perbuatan mereka yang buruk dan keji itu telah dikhabarkan oleh Rasulullah:

"Adapun sesudah itu: Sesungguhnya kamu akan melihat sikap (ahli bid'ah) yang suka menyalahkan orang lain, maka bersabarlah sampai kamu berjumpa dengan aku". (Hadis sahih dalam As-Sunan Ibn Abi 'Asim. No. 1102)

Khawarij mudah menimbulkan kekecuhan, malah suka kepada pemberontakan. Ingatlah! Pemberontakan terhadap pemimpin Islam adalah ditegah oleh para Salaf as-Soleh. Abu al-Haris Ahmad bin Muhammad as-Saigh berkata:

“Aku melihat Abu Abdullah (Imam Ahmad bin Hambal) mengingkari memberontak kepada pemimpin. Beliau berkata: Aku tidak menyetujui pertumpahan darah (pemberontakan) dan tidak memerintahknnya”. (as-Sunnah, hlm. 89. H/R Abu Bakar al-Khallal dengan sanadnya yang sahih)

Muhammad Soleh Fauzan al-Fauzan hafizahullah berkata:

“Orang-orang Khawarij menghukum pelaku dosa besar sebagai kafir yang keluar dari Islam, dan apabila mati dalam keadaan tidak bertaubat, maka ia kekal dalam neraka”. (Zahiratu Tabdi’ wa-Tafsik wa-Takfir wa-Zawbituha. Bab 7)

Atas dasar inilah golongan Khawarij menghukum kafir pemerintah Islam yang tidak melaksanakan hukum hudud. Kerana menurut fahaman mereka: “Tidak berhukam dengan hukum Allah adalah dosa besar, berdosa besar kekal dalam neraka”. Oleh kerana yang demikian, dianggap kafir oleh golongan ini sesiapa saja yang berdosa besar. Dan Khawarij menghalalkan pemberontakan terhadap penguasa yang melakukan dosa besar.

BERKOMPLOT DAN BERKONSPIRASI

Pendirian Ahli Sunnah wal-Jamaah yang bermanhaj Salaf as-Soleh, mereka menyeru sekalian umat supaya saling mencintai saudaranya seagama, tidak dipertikai siapa dan apa kedudukannya. Mereka sentiasa mendoakan kesejahteraan, kemakmuran dan keselamatan saudara-saudaranya seagama, senegara dan para pemimpinnya. Menasihati para pemimpin jika didapati silap, kerana kebaikan pemimpin memberi manfaat kepada seluruh rakyat. Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda:

“Agama itu adalah nasihat, kami berkata: Bagi siapa wahai Rasulullah! Baginda bersabda: Untuk Allah, KitabNya, RasulNya, para pemimpin, kaum muslimin dan orang-orang awam”. (Hadis Riwayat Muslim, beliau menyendiri dalam lafaz hadis ini. Hadis dari Tamim ad-Dari)

Melalui hadis ini dapat difahami bahawa menasihati pemimpin itu amat dituntut, namun Ahli Bid'ah pula sebaliknya, mereka bersifat dan berciri penderhaka kepada negara. Berkomplot untuk menumbangkan kerajaan Islam. Mengikis rasa cinta dan persaudaraan seagama. Mengkafirkan saudara-saudaranya seagama dan kerajaannya jika mereka tidak mengikut ideologi alirannya. Dan berusaha dengan berbagai cara supaya rakyat membenci pemimpin Islam.

Ahli Bid’ah dari kalangan Khawarij mudah bertopengkan ibadah untuk mempengaruhi hati rakyat, bersolat hajat dan berdoa beramai-ramai agar ditimpakan kecelakaan, kehancuran, kemusnahan atau kejatuhan ke atas pemerintah Islam dengan beralasan bahawa pemerintah tidak berhukum dengan hukum Allah, kafir, zalim, fasik dan sebagainya.

Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam telah menceritakan tentang sikap manusia seperti ini, lalu mengancam mereka dengan ancaman yang menakutkan:

"Dari Abi Hurairah berkata: Bersabda Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam: Apabila seseorang berkata: Binasalah manusia, maka dialah yang akan binasa". (Hadis Riwayat Muslim)

Imam Al-Barbahari berkata:

"Jika kamu mendengar seseorang suka mendoakan kecelakaan terhadap penguasa (pemimpin), maka ketahuilah bahawa dia adalah pengikut hawa nafsu (pembuat/aktivis bid'ah)". (al-Ibanah. Jld. 2. Hlm. 116. No.136)

"Akan muncul selepas peninggalanku seorang pemimpin, maka muliakanlah dia, dan barangsiapa mencari-cari kehinaannya (kesalahannya dan keaibannya) bererti dia telah melubangi satu sendi dalam Islam dan tidak akan diterima taubatnya sampailah dia (mengembalikan keadaan sebagaimana sediakala)". (as-Sunnah (2/513). Dari Ibn Abi 'Asim. Sanad hadis ini sahih)

Berkata Imam As-Syaukani Rahimahullah:

"Sebaiknya bagi orang yang menyedari kesalahan pemerintah (penguasa yang beragama Islam) dalam beberapa permasalahan untuk menasihatinya dengan tidak menyebarkan maki hamun kepadanya di khalayak umum". (السيل الجرار Jld. 4. Hlm. 556)

Ibn Qayyim menjelaskan bagaimana sewajarnya sikap para ulama Ahli Sunnah wal-Jamaah dan orang-orang awam yang beriman terhadap para pemimpin yang masih beragama Islam:

Apabila mengikuti (mentaati) hadis Nabi (tentang negara atau pemerintah yang beragama Islam): Semestinya menasihati pemimpin-pemimpin kaum muslimin, hadis ini (yang memerintahkan agar mendekati dan menasihati pemimpin Islam) mengandungi maksud agar menghilangkan sifat iri hati dan dengki, kerana nasihat tidak mungkin bersatu dengan kedengkian, sebaliknya ia melawan rasa kedengkian. Oleh kerana itu sesiapa yang menegakkan nasihat kepada para pemimpin Islam dan rakyat biasa, bermakna dia telah terlepas dari sifat dengki". (مفتاح دار السعادة Jld. 1. Hlm. 72)

Seterusnya Ibn Qayyim rahimahullah berkata lagi:

“Hal ini jauh berbeza dengan keadaan orang yang suka menentang pemerintah dan menghabiskan masanya dengan memaki-hamun (mencela, mencerca dan memburuk-burukkan para pemimpin Islam, pent.). Mereka suka mengaibkan dan menghina, maka ini samalah dengan tindakan kaum-kaum Rafidah, Khawarij, Muktazilah dan golongan yang seumpama mereka, kerana hati mereka sudah dipenuhi rasa iri hati dan kedengkian". (مفتاح دار السعادة Jld. 1. Hlm. 72)

Menurut Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab:

"Sesungguhnya termasuk dalam kesepakatan ulama (kaum muslimin) agar mendengar kemudian taat kepada siapa sahaja yang memerintah kita walaupun dia adalah seorang hamba Habsyi (selagi ia beragama Islam. Pent)". (اصول الستة Muhammad bin Abdul Wahab)

Berkata Imam Tahawi rahimahullah:

"Kita tidak pernah diizinkan untuk memberontak kepada imam-imam dan pemimpin negara kita (pemimpin muslim), sekalipun mereka zalim. Kita tidak boleh mendoakan mereka (supaya jatuh), tidak boleh menarik ketaatan kepada mereka kerana ketaatan kita kepada mereka termasuk ketaatan kepada Allah, hal ini adalah wajib selagi kita tidak dipaksa mentaati yang maksiat dan kita sewajarnya mendoakan mereka dengan kebaikan dan ampunan (bukan sebaliknya, pent.)".

Nas-nas al-Quran, hadis-hadis sahih dan fatwa-fatwa para ulama Salaf as-Soleh yang tertera di atas, telah menjelaskan bahawa menentang, memfitnah, menghina dan berjuang untuk menjatuhkan pemerintahan Islam dan pemimpinnya, adalah perbuatan bid'ah dan haram.

Dalam sejarah, Al-Hajjaj bin Yusuf as-Saqafi terkenal dengan kezalimannya, bengis dan kejam dalam menumpahkan darah, menodai hal-hal yang diharamkan Allah, membunuh tokoh-tokoh utama umat Islam seperti Sa’id bin Zubir. Menghalalkan apa-apa yang haram. Mengepung Ibnu Zubir yang telah berlindung di Ka’abah dan kemudian membunuhnya walaupun Ibnu Zubir telah ditaati dan dibaiat oleh penduduk Mekkah, Madinah, Yaman dan sebahagian wilayah Iraq.

Al-Hajjaj adalah wakil Marwan, sekaligus wakil anaknya Abdul Malik. Tidak ada seorang khalifah pun yang menjanjikan Marwan (menjadi penguasa) dan tidak dibaiat oleh Ahlul Halli wal Aqdi. Ibnu Umar dan ramai lagi para sahabat hidup dan mengharungi zaman kekuasaan al-Hajjaj, namun mereka tidak mencabut ketaatan kepada al-Hajjaj, mereka tidak melarang sesiapa untuk taat kepadanya dalam perkara-perkara yang boleh mempertahankan agama dan hak-hak rakyat.

Bani Abbasiyah ketika menguasai dan memerintah kaum Muslimin. Mereka terkenal keras, kejam dan ketajaman pedangnya. Banyak membunuh manusia dari berbagai-bagai kalangan, terutama dari kalangan pemimpin dan tokoh Bani Umaiyah. Antara yang dibunuh adalah Ibnu Hubairah penguasa Iraq dan juga Khalifah Marwan.

As-Saffah penguasa Bani Abbasiyah membunuh lapan puluh orang dari Bani Umayah dalam sehari. Walaupun sudah demikian parahnya, para imam kaum Muslimin seperti al-Auzaii, Malik, Al-Laits bin Sa’ad, Atha’ bin Abi Rabah dan yang lainnya tetap bersikap taat dan mendengar. Kebenaran seperti ini hanya dapat difahami oleh sesiapa sahaja yang mempunyai ilmu yang mendalam.

Adalah haram hukumnya bagi sesiapa yang berniat mahu menjatuhkan penguasa, para pemimpin yang berkuasa, pemerintah dan mereka yang memerintah, kerana menjatuhkan penguasa sama dengan merampas kekuasaan yang ada di tangan mereka yang pasti akan mengakibatkan perpecahan, perbalahan, huru-hara, kacau-bilau dan boleh menyebabkan kemusnahan kepada agama, harta benda, negara dan umat Islam.

Di zaman para Imam muktabar seperti Imam Ahmad bin Hambal, Muhammad bin Ismail, Muhammad bin Idris (as-Syafie), Ahmad bin Nuh, Ishak bin Rahawih dan ramai lagi, mereka menghadapi suatu masa di mana para penguasanya banyak melakukan perbuatan zalim dan bid’ah yang sangat serious. Penguasa dimasa itu mengingkari sifat-sifat Allah. Para ulama dipaksa untuk menyokong kesesatan tersebut, tetapi para ulama tidak berganjak dengan perinsip-perinsip kebenaran. Para ulama diuji dengan berbagai-bagai siksaan. Ramai yang telah dibunuh, antara mereka ialah Ahmad bin Hashr. Walaupun keadaan ini sudah demikian sadisnya, namun tidak mendorong para ulama untuk keluar dari ketaatan dan tidak melakukan pemberontakan, tidak mencerca dan tidak memburuk-burukkan penguasa (pemimpin mereka). (Ad-Durar as-Sunniyah fil Ajwibah an-Najdiyah 7/177-178)

Kewajipan para ulama ialah mendidik rakyat, menyebarkan segala kebaikan pemerintah, mengenang budi dan jasa di atas kebaikan dan pembangunan yang telah diusahakan, bersyukur kepada Allah, berterima kasih, menjauhkan rakyat dari menyebarkan keburukan pemerintah, para pemimpin dan ketua negara mereka kerana mereka beragama Islam.

Memburuk-burukkan kerajaan, penguasa atau pemimpin adalah perbuatan bid'ah, bertentangan dengan etika, amalan, sikap dan manhaj Salaf as-Soleh. Memaki-hamun, kutuk-mengutuk, caci, sumpah-seranah, menabur fitnah, menyebar keburukan pemerintah dan menanam perasaan benci terhadap penguasa atau pemimpin Islam adalah perbuatan yang diharamkan oleh al-Quran, hadis-hadis sahih dan fatwa para ulama Salaf as-Soleh. Firman Allah:

"Sesungguhnya orang-orang yang ingin agar (berita) perbuatan yang keji itu tersiar di kalangan orang-orang yang beriman, bagi mereka azab yang pedih di dunia dan di akhirat. Dan Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui". (an-Nur, 24:19)

"Dan janganlah kamu maki (kutuk/maki-hamun) para pemimpin kamu, janganlah mengkhianati mereka dan janganlah menjadikan mereka marah. Bertakwalah kamu kepada Allah dan bersabarlah kerana urusan itu adalah dekat". (as-Sunnah. 2/499. Ibn Abi 'Asim)

Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda:

“Ada lima perkara barangsiapa melaksanakan salah satu darinya di bawah jaminan Allah Subhanahu wa-Ta’ala: Iaitu melawat orang yang sakit, berjihad di medan perang dan menemui penguasa (pemimpin) dengan niat untuk menghormati dan memuliakannya atau duduk di rumah (berdiam diri) sehingga orang aman darinya (sehingga aman manusia)”. (As-Sunnah 2/490-492. Ibnu Abi ‘Asim. Ahmad dalam Musnad 5/241. Zilalul Jannah fi Takhrij as-Sunnah 2/490-491. Al-Albani. Ibnu Zanjawiyah dalam Al-Amwal 1/87)

BERBANTAH-BANTAHAN ADALAH PERBUATAN HARAM DAN BID'AH

Imam Ibn Kathir rahimahullah mengklasifikasikan berbantah-bantahan sehingga berlaku perpecahan sebagai perbuatan bid'ah. Keterangan beliau terdapat dalam penafsirannya pada ayat:

يَوْمَ تَبْيَضُّ وُجُوْهٌ وَتَسْوَدُّ وُجُوْهٌ

"Pada hari yang di waktu itu ada muka yang putih berseri dan ada pula muka yang hitam muram".

Ayat ini ditafsirkan oleh al-Hafiz Ibnu Kathir rahimahullah bahawa:

"Muka yang hitam muram adalah muka orang yang melakukan bid'ah dan perpecahan". ( مختصر ابن كثيرJld. 1 hlm. 306-307)

Al-Quran mengharamkan berbantah-bantahan kerana ia menghilangkan kekuatan (menjadi lemah) di dunia dan akan menerima azab yang berat di akhirat kelak. Firman Allah Azza wa-Jalla:

“Janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang bercerai-berai dan berselisih sesudah datang keterangan yang jelas kepada mereka, mereka itulah orang-orang yang mendapat siksa yang berat". (Ali Imran, 3:105)

"Dan janganlah kamu sekalian berbantah-bantahan (berbalahan) yang akan menyebabkan kamu menjadi keciwa dan kehilangan kekuatan". (al-Anfal, 8:46)

"Sehingga apabila sampai saat(nya) kamu lemah kerana berselisih/berbalah/berbantah-bantahan dalam urusan (pemerintah), maka (akhirnya) kamu akan menderhaka (kepada pemerintah yang ada)". ( Ali Imran, 3:152)

"Janganlah kamu saling berbantah-bantahan (berbalah/berikhtilaf), sebab orang-orang sebelum kamu telah berbantah-bantahan lalu mereka binasa". (H/R Bukhari 5/70 (2410).)

Perpecahan, perbalahan dan saling berbencian adalah penyebab utama umat Islam lemah, hilang kekuatan dan terhina di dunia. Jika tidak bertaubat ia boleh menghantar pelakunya ke neraka. Hakikat inilah yang telah dijelaskan oleh Nabi sallallahu 'alaihi wa-sallam:

“Akan berpecah umat ini kepada tujuh puluh tiga golongan, semuanya ke neraka kecuali satu. Dalam lafaz lain: Tujuh puluh millah. Dalam riwayat mereka berkata: Wahai Rasulullah! Siapakah golongan yang berjaya? Baginda menjawab: Sesiapa yang seperti aku dan yang ada pada para sahabatku. Dalam satu riwayat baginda bersabda: Mereka ialah jamaah, tangan Allah bersama jamaah". (H/R Abu Daud (398). Turmizi (2564) al-Iman. Ibn Majah (3981) al-Fitan dan Ahmad (8046) Baqi Musnad al-Mukathirin. Menurut Ibn Taimiyah: Hadis ini adalah sahih dan masyhur pada sunan dan sanad-sanadnya)

Antara pengertian jamaah ialah:

"Umat Islam yang bersatu di bawah seorang pemimpin Islam". (الاعتصام Jld. 2. Hlm. 263. As-Syatibi)

Jamaah juga bermaksud:

"Mengumpulkan (menyatu-padukan) mereka yang berpecah-belah (bercerai-berai)". ((1) منهج اهل السنة والجماعة ومنهج الاشاعرة فى توحيد الله تعالى 1/21. Khalid bin Abdul Latif bin Muhammad Nor. (2). القاموس المحيط . مادة : (جمع) Hlm. 917. Al-Fairuz Abadi) Atau "Bersatu yang lawannya berpecah-belah" atau juga "Perkumpulan manusia yang bersatu untuk satu tujuan yang sama". (مجموع فتاوى Jld. 3. Hlm. 157)

NAS-NAS YANG MENGHARAMKAN PERPECAHAN

Islam mewajibkan berjamaah di bawah satu pemerintah, penguasa atau pemimpin Islam dan mengharamkan perpecahan. Tidak akan wujud dan kekal jamaah kecuali dengan wujud dan kekalnya pemimpin. Terdapat banyak nas al-Quran dan hadis-hadis sahih mengarahkan agar mentaati pemimpin, bersatu di bawah pemerintahannya dan ditegah menimbulkan perselisihan, huru-hara, penentangan dan pemberontakan terhadap pemimpin Islam. Antara nas mengharamkan perpecahan dan mewajibkan taat kepada pemimpin ialah:

“Hai orang-orang yang beriman! Taatilah Allah, taatilah Rasul dan pemimpin di antara kamu. Maka jika kamu berselisih pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah dan Rasul(Nya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Akhir”. (an-Nisa', 4:59)

Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam berkali-kali berwasiat tentang wajibnya taat kepada pemimpin:

"Bahkan hendaklah kamu mendengar dan taat, sekalipun mereka (pemimpin) memakan (merampas) hartamu dan memukul punggungmu". (العقيدة الطحاوية Hlm. 381)

Dalam kitab al-Akidah at-Thahawiyah telah disyarahkan maksud hadis di atas, iaitu:

"Mentaati para pemimpin adalah wajib walaupun mereka zalim atau fajir (kurang elok sikapnya/jahat). Kerana keluar dari ketaatan kepada pemimpin akan berakibat berlakunya kerosakan yang lebih parah (besar) dibanding dengan akibat yang ditimbulkan oleh kezaliman mereka, bahkan bersikap sabar dalam menghadapi kejahatan mereka akan menghapuskan dosa-dosa dan melipat-gandakan pahala". (العقيدة الطحاوية Hlm. 381)

"Tangan Allah di atas al-Jamaah". (H/R Ahmad, At-Tabrani dan Al-Hakim. Hadis sahih)

“Sesiapa menginginkan syurga maka hendaklah mengekalkan (dirinya bersatu dalam) berjamaah. Sesungguhnya syaitan itu bersama yang keseorangan dan dia dari orang yang berdua adalah lebih jauh". (Hadis Riwayat Ahmad dan Turmizi. Hadis sahih)

"Dari Jabir Bin Samurah radiallahu 'anhu berkata: Umar pernah berkhutbah di hadapan manusia. (Beliau berkata): Sesiapa di antara kamu menginginkan kenikmatan syurga, maka hendaklah ia sentiasa beriltizam dengan jamaah". (Musnad Ahmad, tahqiq oleh Syakir, 1/230-231)

"Tidak ada Islam kecuali dengan berjamaah (bersatu), tidak ada kesatuan kecuali dengan adanya seorang pemimpin dan tidak ada pemimpin kecuali dengan ketaatan". (H/R Ad-Darimi. (Mauquf). 1/79)

"Barangsiapa yang datang kepadamu, sementara urusanmu (hanya mentaati) seorang pemimpin, sedangkan orang itu ingin keluar dari jamaah dan memecah-belahkan jamaah maka bunuhlah dia". (Hadis Riwayat Muslim)

Nas-nas di atas menjelaskan bahawa Islam mewajibkan para penganutnya bersatu di bawah seorang pemimpin, mematuhinya selagi tidak menyuruh kepada maksiat dan mengharamkan perpecahan sama ada dengan menjatuhkan pemimpin, menubuhkan parti baru atau keluar dari kepimpinan pemerintah Islam yang telah sedia ada.

SIKAP PARA MUKMIN TERHADAP PEMERINTAH DAN PEMIMPIN ISLAM

Islam mengharamkan umatnya menghina, memaki-hamun, mencerca, memfitnah, memburuk-burukkan, mengumpat, mengadu-domba, menggunakan kalimah kesat, keji, mencarut dan kalimah kotor terhadap orang Islam terutama pemimpin mereka. Pengharaman ini diulang berkali-kali oleh Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam sebagaimana yang terdapat dalam hadis-hadis sahih yang begitu banyak.

Allah mengajar para nabiNya dan para hamba yang soleh agar sentiasa menggunakan kalimah yang baik dan lemah-lembut walaupun kepada Firaun yang terkenal sebagai taghut, keji, zalim dan kafir. Firman Allah:

"Pergilah kamu berdua menemui Firaun kerana ia adalah seorang Taghut. Berbahasalah kamu berdua kepadanya dengan bahasa yang lembah-lembut mudah-mudahan dia boleh ingat dan takut". (Taha, 20:44)

Allah tidak mengajarkan hambaNya yang beriman melakukan keganasan, membunuh atau menumbangkan pemerintah Islam. Nabi Musa dan Harun melayani Firaun dengan baik walaupun Firaun terkenal dengan kezalimannya. Mereka bertingkah sopan dan berbahasa yang lemah-lembut, pastinya kepada seorang pemimpin Islam dituntut agar menggunakan kalimah yang, manis, sopan dan baik.

Menurut penafsiran Imam al-Qurtubi rahimahullah tentang ayat di atas (Taha, 44):

"Dengan yang demikian, ia menunjukkan perlunya menggunakan kata-kata yang lemah-lembut kepada sesiapa yang berkuasa". (الجامع لأحكام القرآن - القرطبى Jld. 11. Hlm. 199)

Allah Subhanahu wa-Ta’ala memerintahkan kepada setiap orang Islam, sama ada menggunakan kalimah yang baik terhadap manusia atau lebih baik diam:

"Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka hendaklah dia berkata yang baik atau diam". (H/R Bukhari (10/445) Al-Fath. Muslim (1/68))

Nas di atas merupakan pendidikan bagi setiap orang beriman terutamanya para ulama. Kerana Allah menyeru agar sentiasa berbudi-bahasa, bersopan-santun, menggunakan perkataan baik, lembut dan manis kepada sekalian manusia, tidak kira pangkat, darjat, martabat dan kedudukannya. Firman Allah:

"Ucapkanlah kata-kata yang baik kepada manusia". Al-Baqarah, 2:83.

Menurut tafsiran Ibn Kathir, yang dimaksudkan:

"Ucapkanlah kata-kata yang baik kepada manusia" ialah: "Berkatalah kepada manusia dengan kata-kata yang sopan dan dengan lemah-lembut (bukan dengan kasar, maki-hamun, mencarut atau menghina. Pent.). Dan termasuklah dalam hal ini menyuruh melakukan kebaikan dan menegah dari kemungkaran". (Tafsir Ibn Kathir, Jld. 1. Hlm. 169)

Berkata Al-Hasan Al-Basri rahimahullah dalam menafsirkan ayat ini:

"Yang dimaksudkan "Perkataan yang baik" ialah menyuruh kepada yang baik dan menegah dari kejahatan, berlemah-lembut, pemaaf dan berjabat tangan". (Tafsir Ibn Kathir, Jld. 1. Hlm. 169) Beliau berkata lagi:

“Mereka menguasai kita dalam lima perkara: Solat Jumaat, jamaah (persatuan), hari raya, pertahanan dan undang-undang (hukum termasuk hukum hudud. Pent.), Demi Allah! Agama ini tidak akan lurus kecuali dengan eksistensi mereka, walhal mereka berbuat sewenang-wenangnya dan zalim. Demi Allah! Allah membuat kebaikan dengan perantara mereka lebih banyak daripada kerosakan yang mereka timbulkan. Taat kepada mereka adalah sesuatu yang terpuji dan memisahkan diri dari mereka adalah kekufuran”. (Adab al-Hasan al-Basri. Hlm. 121. Ibnu al-Jauzi. Jami al-Ulum wal-Hikam. Hlm. 2/117. Ibn Rejab. Cetakan ar-Risalah)

Abu Hatim rahimahullah berkata:

"Salah satu tanda ahli bid'ah (pengikut hawa nafsu) ialah apabila ia suka mencerca ulama Ahli Sunnah dan manhaj Salaf as-Soleh, sama ada di negeri ini atau di negeri yang lain, maka ketahuilah bahawa dia adalah benar-benar pengikut hawa nafsu".

Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam apabila ditanya siapakah orang yang mulia akhlak dan sikapnya? Baginda bersabda:

"(Orang Islam yang mulia ialah) barangsiapa yang menjadikan orang lain selamat dari lidah dan tangannya". (Hadis Riwayat Bukhari. (1/54) al-Fath dan Muslim (1/65))

Menurut Imam Ahmad Bin Hanbal rahimahullah, di dalam kitabnya, Ushulus Sunnah:

Prinsip ahlus sunnah (di dalam prinsip ke-28) - Mendengar dan taat kepada para imam (penguasa pemerintahan), khalifah, amirul mukminin, yang baik mahupun sebaliknya. Begitu juga (mendengar dan taat kepada) orang yang memegang tampuk pemerintahan (kekhalifahan yang telah disepakati dan diredhai oleh umat manusia). Demikian pula (mendengar dan taat kepada) orang yang dapat mengalahkan manusia dengan pedang hingga menjadi khalifah, penguasa, atau amirul mukminin.

Kekuasaan itu boleh terjadi melalui tiga kemungkinan:

Pertama:

Dengan ketetapan dan wasiat dari imam (penguasa) terdahulu. Demikian ini sebagaimana terjadi pada Abu Bakar ketika mewasiatkan supaya Umar menjadi khalifah.

Kedua:

Dengan pemilihan yang dilakukan oleh ahlul Halli wal aqdi. Mereka memilih khalifah dan imam, sebagaimana yang terjadi pada pengangkatan Ali bin Abi Thalib sebagai khalifah. Para sahabat Nabi s.a.w.bersepakat membai’at Ali sebagai khalifah. Begitu juga bersepakatnya para sahabat membai’at Mu’awiyah selepas Ali.

Ketiga:

Dengan kekuatan dan pemaksaan (kekerasan – tidak melalui jalan yang aman - penterjemah). Iaitu bila mana seseorang mengalahkan orang yang banyak atau kumpulan tentera yang lain, sehingga dengan kekerasan dan kekuatannya, ia menjadi penguasa. Pada cara yang ketiga ini, sesorang menang dan berkuasa dengan cara kekerasaan. Walaupun banyak syarat tidak dipenuhi, namun di dalamnya mengandungi hikmah, iaitu apabila seseorang menang dengan kekerasannya, menunjukkan bahawa ia mempunyai kekuatan. Jika ia diperangi lagi, tentu ia akan menimbulkan konflik dan fitnah yang berterusan. Bahkan mampu menimbulkan suasana saling berbunuhan dan perperangan yang lebih besar di kalangan umat muslimin. Dalam keadaan yang seperti ini, maka, maslahah dan keutamaannya adalah, agar pemimpin yang memperoleh kekuasaan dengan cara ketiga ini tetap harus didengari (ditaati). Inilah pegangan para ulama. Sebahagian ulama yang lain menyatakan, ia lebih kuat untuk berjihad, kerana jika ia memiliki tentera yang dapat menguasai kaum muslimin di suatu negeri dan memiliki kekuatan, bererti membuktikan bahawa ia merupakan orang terkuat untuk melakukan jihad dan perang. Yang mana, dengan kekuatannya itulah dia menjadi pemimpin.

al-Hafizd Ibnu Hajar berkata:

Para fuqaha bersepakat atas wajibnya taat kepada imam yang mutaghalib (berkuasa melalui peperangan mahupun kekerasan). (Fathul Bari (13/7), Maktabah Riyadh Haditsah).

5:31 PM

 
Blogger Abu Numair Nawawi B. Subandi said...

KEUTAMAAN PEMIMPIN DAN PENGUASA YANG ADIL

Dari Badruddin Ibnu Jamaah dari ath-Thurthusi berkenaan firman Allah yang berkait dengan pemimpin:

وَلَوْلاَ دَفْعُ اللهِ النَّاسَ بَعْضَهُمْ بِبَعْضٍ لَفَسَدَتِ اْلاَرْضُ

“Seandainya Allah tidak menolak keganasan sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain, pasti rosaklah bumi ini”.

Maka berkata Badruddin Ibnu Jamaah rahimahullah bahawa ayat ini bermaksud:

“Jika Allah tidak mengangkat seorang penguasa (pemimpin) di bumi ini untuk membela yang lemah dan memberikan keadilan kepada orang yang teraniaya, maka keadaan manusia menjadi huru-hara dan tidak berperaturan, serta norma-norma kehidupan pun menjadi porak-peranda dan tidak terkawal. Kemudian rosaklah bumi serta penghuninya, sehingga Allah mengangkat seorang penguasa bagi umat manusia. (Tahrirul Ahkam fi Tadbiri Ahlil Islam hlm.49) Allah berfirman:

“Akan tetapi, Allah mempunyai kurnia yang dicurahkan atas semesta alam”. (al-Baqarah 2:251)

Al-Alusi rahimahullah menafsirkan ayat di atas:

“Dalam ayat ini ada petunjuk yang sangat menonjol tentang keutamaan penguasa (pemimpin). Sesungguhnya semua urusan di alam ini tidak akan menjadi stabil dan mantap tanpa eksistensi penguasa/pemerintah/pemimpin”. (Tahrirul Ahkam fi Tadbiri Ahlil Islam hlm. 50)

Banyak lagi nas-nas al-Quran dan hadis menunjukkan wajibnya mentaati umara (pemimpin) beragama Islam. Yang dilarang hanyalah mentaati pemimpin yang menyuruh berlaku maksiat kepada Allah. Sebagaimana sabda Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam:

"Mendengar dan mentaati wajib atas seorang Muslim dalam hal yang ia sukai atau tidak, selama ia tidak diperintahkan (untuk melakukan) kemaksiatan. Apabila diperintahkan (melakukan) kemaksiatan maka tidak boleh mendengar dan tidak ada ketaatan". (H/R Bukhari 5/23. Muslim 3/1466. Ibn Majah 2/596 dan Tirmizi 4/209)

Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda:

“Tujuh golongan yang dinaungi oleh Allah pada hari yang tiada naungan kecuali naunganNya: Iaitu Imam yang adil…..”. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Al-Hafiz Ibn Hajar rahimahullah berkata:

“Yang dimaksudkan dengan “Imam Yang Adil” ialah pemimpin yang memegang kekuasaan tertinggi dan termasuk kategori ini semua orang Islam yang adil dalam menguruskan urusan kaum Muslimin”. (Fathul Bari 2/144-145) Rasulullah mengkhususkan pemimpin yang adil atau tujuh kelompok lainnya, kerana dia yang paling mulia dan paling tinggi martabatnya. Mereka semua masuk ke dalam naungan Allah kerana mempunyai kesan yang sangat luas”. (Fathul Bari 2/144-145, Lihat: Mirqatul Mafati Syarah Miskatul Masabih. 2/405. Lihat: Al-Qawa’id 1/104)

Sebahagian ulama Salaf berkata:

“Amalan penguasa (pemimpin) yang adil sebanding dengan amalan seluruh rakyatnya”. (Qutul Qulub. 2/254. Abu al-Makki)

Para ulama Ahlul Hadis, sepakat tidak membolehkan memberontak kepada pemimpin fasik, meskipun telah menyaksikan penyimpangan pemimpin dari konsep keadilan dan menggantikannya dengan diktatorisme dan penindasan. Malah ulama hadis mengharuskan kita memerangi para pemberontak sehingga orang-orang itu kembali taat kepada pemimpin mereka. ( عقيدة السلف اصحاب الحديثNo. 134. Syeikhhul Islam Abu Ismail as-Sabuni)

Al-’Izz bin Abdussalam rahimahullah berkata:

“Secara global orang yang adil dari kalangan penguasa, hakim, pemimpin dan pemegang keputusan adalah orang yang paling banyak ganjarannya dibandingkan dengan orang lain. Hal ini telah menjadi konsensus kaum Muslimin, kerana mereka telah menangani kebaikan yang sempurna dan telah menghalang berbagai kerosakan yang menyeluruh dalam berbagai sektor kehidupan. Bila penguasa memerintahkan kepada hal-hal yang dapat mendatangkan maslahah bagi orang ramai dan mengantisipasi terjadinya keroskan yang merata, maka dia akan mendapatkan curahan pahala dari tindakannya itu. Walaupun tindakannya hanya sekadar ucapan, dia akan tetap diberi pahala yang melimpah, kerana hal ini banyak implikasinya yang positif”. (Qawa’idul Ahkam fi Masalihul Anam. 1/104. Al-Izz bin Abdussalam)

Di dalam hadis riwayat Muslim, Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda:

“Berpegang teguhlah kamu sekalian dengan tali Allah dan janganlah bercerai-berai”. (Hadis Riwayat Muslim 3/1340)

Al-Hafiz Ibnu Abdil Barr rahimahullah berkata tentang hadis di atas ini:

“Di dalam hadis ini ada perintah untuk berpegang teguh dan komitmen dengan tali Allah dalam keadaan bersatu.(At-Tamhid. 21/271) Maksud tali Allah di hadis ini ada dua pendapat. Pertama: Adalah Kitabullah. Yang kedua: Ialah jamaah. Maka sebuah jamaah (kesatuan) tidak akan menjadi kenyataan jika tidak ada imamah/pemimpin (penguasa/pemerintah)”.

Oleh yang demikian al-Mubarakfuri rahimahullah menguatkan makana kedua “Jamaah” dalam hadis di atas dengan mengatakan:

“Wajib bagi kamu bersama jamaah (penguasa) yang telah teguh dan teratur di bawah kepimpinan seorang pemimpin, serta berjaga-jagalah dari memisahkan diri (dari jamaah)”. (Tuhfatul Ahwazi. Sarah Kitab Sunan Tirmizi 6/384)

Dalam sebuah sabda, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda:

“Dari Huzaifah bin al-Yaman radiallahu ‘anhu berkata: Orang-orang bertanya kepada Rasulullah tentang kebaikan, sedangkan saya bertanya kepda baginda tentang keburukan, kerana saya khuwatir terjerumus ke dalamnya. Saya bertanya kepada baginda: Wahai Rasulullah! Dahulu kita dalam keadaan jahiliyah dan kehinaan, kemudian datanglah kebaikan ini, apakah setelah kebaikan akan datang keburukan? Baginda menjawab: Ya! Saya bertanya lagi: Apakah setelah keburukan itu akan datang kebaikan lagi? Baginda menjawab lagi: Ya! Dan pada saat itu ada “Dakhan”. Saya bertanya apakah “Dakhan” itu? Baginda menjawab: “Dakhan” adalah suatu kaum yang mengikuti selain sunnahku, dan mengambil petunjuk selain dari petunjukku. Kamu akan mengetahui mereka, maka ingkarilah. Saya menambah: Apakah setelah kebaikan ini akan muncul lagi keburukan yang lain? Baginda menjawab: Ya! Akan ada para da’i yang mengajak ke gerbang neraka Jahanam. Barangsiapa yang memenuhi ajakannya, maka dia akan dilemparkan ke dalam neraka. Saya bertanya selanjutnya: terangkanlah sifat-sifat mereka? Baginda bersabda: Mereka adalah suatu kaum yang kulitnya sama dengan kulit kita dan berbahasa dengan bahasa kita. Saya bertanya: Wahai Rasulullah! Apakah saranan engkau bila saya mengalami yang demikian? Baginda menjawab: Kamu wajib komitmen dengan jamaah kaum muslimin berserta pemimpin mereka. Saya bertanya lagi: Andaikata tidak ada jamaah dan pemimpin di kalangan mereka, apa yang harus saya lakukan? Baginda memberi nasihat: Tinggalkanlah semua firqah (kelompok) yang ada, walaupun kamu harus menggigit akar pohon sehingga ajal menjemputmu dan kamu tetap dalam keadaan demikian”. (H/R Bukhari dan Muslim)

Dalam hadis di atas ini antara lain Rasulullah menekankan agar sentiasa komitmen dengan jamaah kaum Muslimin dan pemimpin mereka. Malah diwajibkan agar mendengar dan taat di luar kemaksiatan kepada pemimpin Muslim walaupun mereka zalim. Pembelotan dan pemberontakan terhadap mereka adalah bid’ah yang mungkar.

Berkata Ibnu Battal dalam mensyarahkan hadis ini:

“Dalam hadis ini ada suatu hujjah bagi sebahagian ahli fekeh yang berpendapat tentang wajibnya memberikan sepenuh ketaatan kepada pemimpin (Penguasa) kaum muslimin serta tidak dibolehkan memberontak kepada pemimpin yang zalim”. (Fathul Bari. 13/37)

Ibnu Jarir rahimahullah berkata:

“Jamaah yang dinyatakan dalam hadis ini adalah jamaahnya orang-orang yang taat kepada pemimpin yang telah disepakati (dipilih secara sah)”.

5:32 PM

 
Blogger pejuang kebenaran said...

Dia ini yang saya maksudkan ustaz rupa2nya dia dah bawa hujjah kat sini.Alahai dunia semakin kecil...

4:42 PM

 

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home