" Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini "

Wednesday, February 28, 2007

Satu renungan yang baik dari ustaz One-G buat semua sahabat.

KECELARUAN MUQALLID
YANG MAHU JADI MUJTAHID

Seharian suntuk aku membaca buku karangan Dr Said Ramadhan Al-Buti yang bertajuk “Alla Mazhabiyyah Akhtar Bidaah tuhaddid As-Syariah Al-islamiyyah”.

Dalam seharian suntuk itu jugalah, aku dapat menyempurnakan pembacaan dari buku tersebut. Alhamdulillah, maha suci Allah, betapa tingginya ilmu seorang ulama dari syiria ini dalam mengemukakan hujjah dalam menyatakan kepentingan memahami ilmu usul fiqh bagi mengemukakan sesuatu ulasan agama.

Membaca semua kandungan isi buku tersebut, tergambar diri ini terlalu kerdil di dalam dunia keilmuan islam, masakan pula diri ini merasa lebih alim dari ulama-ulama mazhab.

Dr Said Ramadhan ada menjelaskan didalam buku tersebut tentang satu munazarah ilmiyyah yang berlaku antara beliau dengan seorang ulama yang di kenali ramai; bernama As-Syaikh Nasisruddin Albani, yang telah berjumpa dengan beliau di rumah beliau sendiri bagi mengemukakan bantahan ilmiyyah terhadap tulisan beliau berkenaan dengan kepentingan bermazhab.

Tetapi yang amat mengecewakan lagi, setelah kecundang dalam munazarah ilmiyyah yang berlaku selama 3 jam bersama Dr Said Ramadhan , As-Syaikh Albani telah mengambil sikap yang “tidak berakhlak” dengan mengarang sebuah kitab yang bertajuk “Taassub Mazhab” bersama dua orang ulama yang sealiran dengan beliau, iaitu As-Syaikh Mahmood Mahdi Al-Istambuli dan As-Syaikh Khairuddin Al-Walini dengan mengadakan beberapa jenayah ilmiyyah terhadap As-Syaikh Dr Said Ramadhan Al-Buti.[1]

Yang amat mengejutkan lagi, di dalam buku “alla Mazhabiyyah” itu juga, Dr Said Ramadhan Albuti telah menukilkan kata-kata As-Syakh Albani didalam catatan dari kitab “Mukhatasar Sahih Muslim, karangan Imam Al-Munzir RA.

Didalam catatan tersebut, As-Syaikh Albani Ra menyatakan;

هذا صريح فى أن عيسى عليه السلام يحكم بشرعنا و يقضى بالكتاب و السنة , لا بغيرها من الإنجيل أو الفقه الحنفى و نحوه

Maksudnya;“ini adalah jelas bahawa nabi Isa AS akan berhukum dengan syariat kita, iaitu Al-Quran dan As-Sunnah, tidak dengan yang lainnya, samada dari kitab injil atau fiqh mazhab Hanafi dan seumpama dengannya[2]

Dengan kata-kata As-Syaikh Albani sebegini, seakan-akan As-Syaik Albani telah mempelekeh keilmuan Imam Abu Hanifah dengan menyamakan antara Injil dan Fiqh Hanafi yang dianggap seperti tidak termasuk dari kandungan Al-Quran dan As-Sunnah.

IJTIHAD ADALAH KEPERLUAN, TAQLID ADALAH KEISTIMEWAAN

Dunia kini sudah ditimpa zaman kekurangan ulama yang berkelayakan didalam berijtihad. Walaubagaimanapun, berijtihad merupakan sesuatu keperluan didalam menjalani kehidupan beragama di dunia ini.

Berijtihad itu adalah sesuatu kemestian, ini kerana antara sebab berlakunya ijtihad adalah “kehidupan dunia ini sentiasa berubah masa demi masa dan keadaan sesuatu tempat tidak menyamai dengan keadaan sesuatu tempat yang lain”.

Dr Wahbah Az-Zuhaili pernah menyatakan didalam kitab “Usul Fiqh Al-Islami” bahawa berijtihad adalah sesuatu kefarduan secara kifayah. Tidak harus berlaku kekosongan ijtihad pada setiap zaman[3].

Dr Yusuf Al-Qaradhawi menyatakan didalam karangannya “Fatawa Ma’asarah” bahawa berlakunya ijtihad itu adalah kerana sebab-sebab seperti berikut;

1. Pada perkara yang tiada nas.

2. Perkara yang ada nas, tetapi mempunyai beberapa tafsiran.

3. Mempunyai “muaridh” atau pertentangan yang sama denganya atau lebih kuat darinya.[4]

Maka dengan demikian, melihat kepada sebab yang pertama, memahamkan kepada kita betapa ijtihad itu merupakan sesuatu keperluan didalam kehidupan kini.Adapun taqlid, ianya merupakan satu keistimewaan yang Allah berikan kepada manusia.

Ianya diasaskan kepada firman Allah;

فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِنْ كُنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

Maksudnya;“maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui”

(surah An-Nahl : 43)

Bertaqlid bermaksud, mengambil perkataan orang lain tanpa mengetahui dalilnya[5].

Seseorang yang tidak mempunyai kelayakan berijtihad, dilarang bagi dirinya berijtihad, ini kerana, mana mungkin seseorang yang tidak mempunyai kelayakan dalam bidang pembedahan itu melakukan pembedahan terhadap pesakit.

Sekalipun pembedahan yang dilakukan itu ditakdirkan tidak memberi mudharat kepada pesakit, tetapi tindakan membedah tersebut tetap dikira sebagai tindakan yang berbahaya kepada pesakit.Maka begitujugalah yang berlaku kepada seorang yang tidak berkeahlian untuk berijtihad, yang telah melakukan ijtihad.

SYARAT-SYARAT MUJTAHID

Seorang yang ingin berijtihad, diwajibkan kepadanya memenuhi syarat-syarat bagi melayakan dirinya untuk berijtihad.Berijtihad tidak memadai dengan mempelajari Al-Quran dan As-Sunnah semata-mata.

Juga, tidak memadai dengan mendakwa diri seorang muhaddis dan sebagainya. Tetapi syarat-syarat yang perlu di tunaikan adalah sangat rumit. Dr Wahbah Az-Zuhaili telah menyenaraikan syarat-syarat yang perlu di penuhi bagi melayakkan seseorang itu menjadi mujtahid adalah seperti berikut[6];

a. mengetahui makna-makna ayat Al-Quran, samada dari sudut bahasanya dan syaraknya.

b. Mengetahui hadis-hadis hukum.

c. Mengetahui nasikh dan mansukh didalam Al-Quran dan Hadis Nabi SAW.

d. Mengetahui semua perkara yang telah diijmakkan oleh Ulama.

e. Mengetahui kaedah-kaedah qias dengan betul.

f. Mengetahui bahasa Arab dari semua sudut, iaitu dari nahu, sorof, balaghah, majaz, hakiki dan sebagainya.

g. Mengetahui kaedah-kaedah didalam ilmu usul fiqh.h. Memahami maqasid As-Syariah didalam mengistinbatkan hukum.

MUQALLID YANG MAHU JADI MUJTAHID

Memahami secara syarat-syarat ijtihad yang tersebut di atas, memahami bahawa menjadi seorang mujtahid bukanlah sesuatu yang senang, tetapi ianya memerlukan ketinggian ilmu yang melayakkannya berijtihad.

Walaupun begitu, sesetengah manusia di zaman ini sudah berasa diri mereka berkebolehan didalam berijtihad, sedangkan kebolehan mereka hanya mampu menguasai sesuatu ilmu sahaja.

Ekoran dari itu, mereka menimbulkan satu “fahaman baru” bahawa, tidak wajib, bahkan haram kepada manusia kini bermazhabkan kepada mazhab-mazhab yang tidak ma’sum, seperti bermazhab As-Syafii, Hanafi, Maliki, Hanbali dan sebagainya, tetapi di wajibkan semua manusia bermazhabkan yang ma’sum, iaitu mazhab Rasulullah SAW.

Kenyataan sebegini merupakan satu dakwaan yang pelik, ini kerana, jika mereka mahu mengajak manusia kepada bermazhabkan Rasulullah SAW, bermakna mereka mahu mengiktiraf bahawa semua manusia itu adalah mujtahid, sedangkan perkara ini menyalahi firman Allah;

فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِنْ كُنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

Maksudnya;“maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui”

(surah An-Nahl : 43)

Didalam ayat ini, Allah SWT menyuruh manusia itu bertanya kepada orang yang berkepakaran sekiranya mereka tidak mengetahui, maka dengan demikian, menandakan disana ada orang yang tidak berkepakaran yang digelar juga sebagai orang awam yang wajib kepada dirinya bertaqlid.

Dr Said Ramadhan Al-Buti ada menceritakan logic disebalik kewajipan bertaqlid kepada mujtahid semasa berdebat dengan As-Syaikh Albani RA. Antara isi dialog tersebut adalah seperti berikut[7];

Dr Said Ramadhan Al-Buti (DSRB) : seorang lelaki yang baru memeluk Islam; mahu menunaikan solat tetapi kebingungan bagi menentukan arah kiblat. Lalu dia membaca firman Allah;

قُلْ لِلَّهِ الْمَشْرِقُ وَالْمَغْرِبُ

Maksudnya;“katakahlah, Kepunyaan Allah timur dan Barat”

(surah Al-Baqarah : 142)

Lelaki tersebut beranggapan bahawa setiap orang yang hendak menunaikan solat boleh mengadap ke arah mana sahaja, sepertimana di nyatakan dalam Al-Quran.Kemudian dia mendengar bahawa keempat-empat mazhab telah sepakat bahawa ia harus mengadap Kaabah, dan dia juga mengetahui dalil dalam masalah tersebut, tetapi dia belum melihat sahaja.

Apabila dia hendak menunaikan solat, apakah cukup dia menunaikan solat mengikut panggilan hatinya berdasarkan kepada ayat yang dibacanya atau bertaqlid dengan Imam-imam Mazhab?

As-Syaikh Albani (SA) : memadai dengan mengikut panggilan hatinya.

(DRSB) : meskipun dia solat kearah yang tidak mengadap ke Kaabah sekalipun ? Apakah solatnya di anggap sah?

(SA) : Ya, kerana ia di wajibkan mengikut panggilan hatinya.

(DRSB) : Andaikata panggilan hati lelaki tersebut mengatakan bahawa tidak mengapa melakukan zina, minum arak, mencuri dan sebagainya. Apakah Allah akan memberi syafaat kepadanya disebabkan panggilan hatinya?

(SA) : Senyap sebentar. Kemudia berkata : sebenarnya contoh-contoh yang awak tujukan kepada saya adalah khayalan belaka dan tidak ada bukti.

(DRSB) : bukan khayalan atau dugaan semata-mata, bahkan sering berlaku, bahkan yang lebih pelik lagi. Bagaimana tidak ! seorang pemuda yang tidak memahami apa-apa tentang Islam, Al-Kitab dan As-Sunnah, kemudian membaca sepotong ayat Al-Quran yang ia fahami menurut andaiannya, kemudian berpendapat bahawa dia boleh solat ke arah mana sahaja yang dia mahu, sedangkan ulama-ulama mujtahid telah sepakat menyatakan bahawa di wajibkan solat mengadap ke arab Kiblat (Kaabah).

Dalam keadaan ini, awak menyatakan solatnya adalah sah, semata-mata beralasan dengan panggilan hatinya. Pendirian awak ini sebenarnya bercanggah dengan prinsip awak bahawa manusia itu terbahagi kepada tiga kelompok, iaitu Mujtahid, Muqallid dan Muttabi’.Setelah

(DRSB) menyatakan demikian, As-Syakh Albani RA menyatakan;

(SA) : sepatutnya lelaki tersebut harus meneliti dan membahaskan. Apakah dia tidak membaca hadis atau ayat yang lain?

(DRSB) : ia tidak mencukupi bahan (syarat) untuk membahas sebagaimana keadaan awak ketika membahaskan masalah talak. Ia tidak sempat membaca ayat-ayat lain yang berhubungan dengan masalah kiblat selain ayat di atas. Dalam hal ini, apakah ia tetap harus mengikuti bisikan hatinya dengan cara meninggalkan ijmak para ulama?

(SA) : memang dia harus berbuat demikian, kalau dia tidak mampu membahas dan menganailisa, baginya cukup berpegang pada hasil fikirannya sendiri dan tidak tidak salah.

(DRSB) : ucapan awak ini sangat berbahaya dan memelikan. Ucapan ini kami akan siarkan dalam tulisan ….

(SA) : silakan siar pendapat saya, saya sememangnya tidak takut.

(DRSB) : apakah awak tidak takut kepada Allah SWT. Sesungguhnya ucapan awak tadi menandakan awak telah membuang firman Allah;

فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِنْ كُنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

Maksudnya;“maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui”

(surah An-Nahl : 43)

Setelah itu, As-Syaikh Albani menyatakan;

(SA) : wahai saudara

(DRSB), sesungguhnya para imam bukanlah yang ma’sum. Adapun ayat yang dia pegang merupakan firman Allah yang terpelihara dari kesalahan. Bagaimana mungkin ia harus meninggalkan yang ma’sum dan berpegang pada orang yang tidak ma’sum?

(DSRB) : yang terpelihara dari kesalahan adalah makna hakiki yang dikehendaki oleh Allah dengan firman-Nya;

قُلْ لِلَّهِ الْمَشْرِقُ وَالْمَغْرِبُ

Maksudnya;“katakahlah, Kepunyaan Allah timur dan Barat”

(surah Al-Baqarah : 142)

Akan tetapi, faham lelaki tersebut adalah jauh sama sekali dari pendidikan Islam yang sememangnya tidak ma’sum. Maka dengan demikian, masalahnya adalah bandingan antara dua faham, iaitu faham atau pemikiran dari seorang yang jahil dan faham atau pemikiran dari seorang imam mujtahid, yang kedua-duanya tidak ma’sum.

Hanya beza kedua-duanya adalah, satunya jahil dan satu lagi mempunyai keilmuan.Lalu As-Syaikh Albani menjawab;

(SA) : sesungguhnya Allah tidak membebani dia melebihi kemampuan.

(DSRB) : Tolong jawab persoalan ini. Seorang yang mempunyai anak kecil yang sedang sakit demam panas. Menurut semua dokter di daerah tersebut bahawa anak kecilnya itu perlu di beri ubat khusus dan mereka melarang dari memberi ubat antibiotic.

Mereka pun telah memberitahu kepada bapa tersebut, tetapi tidak di edahkan olehnya.Lalu, bapa tersebut telah membaca satu tulisan yang menyatakan bahawa ubat antibiotic boleh mengubat sakit demam panas.

Tanpa mengendahkan nasihat para doctor, diberinya juga kepada anak kecilnya itu dengan ubat antibiotic, sehingga menyebabkan kanak-kanak itu mati.Dengan tindakan si bapa tadi, adakah bapa tadi dikira sebagai berdosa?

(SA) : diam sekejap, lalu berkata : saya kira, masalah ini bersalahan dengan masalah yang kita sedang bincangkan.

(DSRB) : sebenarnya masalah ini serupakan dengan masalah yang kita bincangkan. Cuba perhatikan! Bapa tersebut sudah mendengar kesepakatan para doctor, sebagaimana lelaki tadi telah mendengar kesepakatan mujtahid. Akan tetapi, si bapa tersebut berpegang pada satu tulisan dari buku kesihatan, sebagaimana lelaki tersebut melakukan amalan mengikut panggilan hatinya.

(SA) : saudara ! Al-Quran adalah cahaya. Cahaya Al-Quran tidak dapat disamakan dengan yang lain.

(DSRB) : apakah maksud pembaca Al-Quran itu memahami maksud Al-Quran seperti yang dikehendaki oleh Allah? kalau begitu, apakah beza antara ahli ilmu dan bukan ahl ilmu yang membaca Al-Quran?

Dua contoh di atas adalah sama. Awak perlu menjawab, apakah kedua-duanya harus menerima begitu sahaja panggilan hatinya atau harus mengikuti atau taqlid kepada ahl ilmu?

(SA) panggilan hati adalah yang paling pokok.

(DSRB) : si bapa tadi telah melakukan mengikut panggilan hatinya sehingga mengakibatkan anaknya mati. Apakah ada tanggungjawab bagi si bapa dari segi syariat atau hukum?

(SA) tidak ada apa-apa tuntutan daripadanya.

(DSRB) : dengan jawapan awak seperti ini, saya kira dialog dan diskusi ini kita cukupkan sampai disini sahaja. Sudah jelas antara dua jalan antara pendapat awak dan saya.

Dengan jawapan awak yang menghairankan itu, cukuplah kiranya untuk awak telah terkeluar dari kesepakatan kaum muslimin.Cuba awak renungkan, seorang muslim yang jahil hanya mengandaikan panggilan hatinya dalam memahami apa yang ia ketemui didalam Al-Quran.

Lalu dia mengerjakan solat mengadap kea rah selain kiblat dan menyalahi semua umat Islam, tetapi solatnya dianggap sah. Kemudian orang biasa dengan panggilan jiwanya, ia mengubat anaknya yang sakit mengikut kehendaknya, sehinggakan anaknya sendiri mati, lalu dengan perbuatannya itu, dia terselamat dari apa-apa tuntutan dari segi syarak.

KESIMPULAN

Dari debat ilmiyyah ini, kita dapat melihat bagaimana fanatic kepada pendapat sendiri yang ada pada diri As-Syaikh Albani yang sehinggakan dia sendiri telah mengambil sikap tidak mahu menerima “kebenaran hujjah” dari Dr Said Ramadhan Al-Buti, yang kadangkala menyebabkan timbul dakwaannya yang boleh memberi bahaya kepada kefahaman Islam yang sebenar.

Jika ada dikalangan kita mengambil sikap mengremeh-remehkan ulama-ulama mazhab, cadangan dari penulis, bacalah buku “alla Mazhabiyyah” karangan Dr Said Ramadhan Al-Buti.

Maka dengan demikian, buka hati, buka minta dan cermin-cerminlah diri kita,. siapakah kita jika mahu dibandingkan ilmu-ilmu kita dengan ilmu-ilmu ulama-ulama yang telah berjasa untuk memartabatkan agama islam ini.

SekianWallahu ‘Alam
One_G

Tuesday, February 20, 2007

Jika BN nak Tawan Kelantan .....
PAS nak Perintah Malaysia . ( Siri kedua )

Apa perbezaan kefahaman politik BN terhadap Islam dengan Komunis terhadap Islam pada pandangan Tok Guru ?

Komunis , terang – terang menolak Islam, sekular ini dia terima Islam tetapi secara olok – olok . Komunis kata Tuhan tak ada , tetapi orang sekular , dia mengaku Tuhan ada tetapi tidak berfungsi.

Seorang Pemimpin veteran UMNO mendakwa Tok Guru mempunyai keistemewaan luar biasa , tidak ada pada pemimpin politik lain , kerana dapat menangani pelbagai cabaran . Mungkin ada sesuatu rahsia ( amalan ) ?

Tak ada apa pun , biasa saja . Saya hanya selalu mengamalkan doa , siang malam , di mana – mana , saya selalu berzikir , ini saya amalkan daripada orang tua dulu lagi sampai sekarang.

Pada tahap ini , adakah Tok Guru merasakan perjuangan menegakkan kepimpinan negeri berlandaskan prinsip Islam sudah mencapai sasaran ?

Dalam perjuangan Islam , tugas kita tak pernah selesai , kerana politik ini berkembang setiap hari . Perjuangan saya belum selesai . Macamlah dengan perkembangan di bidang nyanyian. Saya cuba bawa perubahan membawa Mawi mengadakan persembahan dalam konsert terbuka.

Itu merupakan perubahan yang saya bawa dalam perjuangan saya untuk sesuaikan dengan Islam .

Itupun belum selesai kerana menyanyi ni banyak macam , seni suara , baca quran merupakan nyanyian , kerana melibatkan lunan suara. Begitu juga dengan menari. Menari adalah gerak geri tubuh badan manusia seperti lenggok kita ketika bertahlil ada gaya tersendiri. Bersilat juga tarian .

Setiap kali saya pakai selindang , ia adalah pakaian silat. Malah tok imam ( khatib ) sewaktu baca khutbah jumaat dia pegang tongkat untukl menunjukkan kekuasaan. Benda ini yang menjadi masaalah kepada UMNO. Dia tolak Islam tak kaji dulu.

Adakah Tok Guru puas hati dengan perlaksanaan dasar Islam Kerajaan Negeri setakat ini , termasuk mengisytihar Kota Bharu sebagai Bandaraya Islam ?

Sebenarnya bandaraya Islam ia juga berkembang selama – lamanya. Dari segi pelesenan , penggunaan jalan raya , jual beli , rasuahnya kita nak puas hati tak boleh .

Begitu juga dengan kesihatan . Tak pernah ada orang puas hati dengan kesihatan. Ada orang kaya tapi tak boleh nak makan , kerana pantang takut kencing manis , darah tinggi dan sebagainya. Benda tu berkembang hari – hari .

Bandaraya Islam ini berkembang hari – hari . Inilah uniknya politik. Dia tak sama seperti rukun sembahyang. Misalnya dalam rukun sembahyang ada yang boleh, ada yang tak boleh .

Ada dakwaan wujud ordel lama dan baru dalam kepimpinan negeri sekarang ?

Orde lama orde baru tak timbul. Yang pentingnya PAS bergerak atas dasar Membangun Bersama Islam . Orang muda ke , orang tua itu masaalah kedua. Mana boleh sebuah pertubuhan orang tua memimpin selama-lamanya . Siapa saja boleh jadi pemimpin Asalkan ia tetap bersama Islam .

Tentang perubahan umur , perkara biasa. Misalnya bila saya beri ( serahkan tugas ) kepada orang lain , bukan bermaksud beri kepada orang baru . Kalau nak kira kehendak diri , semua orang hendakkan selalu muda tak mahu jadi tua. Samalah macam pokok kelapa ketika ia berpucuk kelihatan menegak dan hijau tetapi lama kelamaan apabila sampai masanya, daunnya kering dan gugur ke bumi .

Ramai beranggapan kekuatan PAS Kelantan bergantung kepada kepimpinan Tok Guru . Apa akan jadi apabila Tok Guru bersara nanti ?

Ini cerita lama . Allah tak akan biarkan agama ini hidup tanpa orang tertentu. Masa Datuk Asri pun begitu juga, ramai orang tertanya – tanya apa akan jadi dengan PAS apabila Asri tak ada , tapi sekarang PAS masih wujud dan subur walaupun Asri tak ada, malah walaupun dia masuk UMNO .

Takkan semua pemimpin nak tongkat langit, itu dah jadi fitrah alam. Kalau saya tentukan , maknanya saya tak harap kepada orang bawah .

Saya duduk dikerusi MB ini pun untuk mdik orang dibawah saya . Bukan saja nak perintah negeri ini. Macam cikgulah . mana boleh saya nak pegang jawatan ini selama – lamanya. Mana ada manusia boleh tongkat langit. Ini dah jadi lumrah alam .

Setiap kali Tok Guru menerima rawatan di hospital, banyak spekulasi timbul kononnya Tok Guru akan melepaskan jawatan kerana sentiasa uzur, macam menunggu – nunggu supaya cepat berundur. Bagaimana Tok Guru tangani isu ini ?

Soal tunggu – tunggu saya lepaskan jawatan. Kalau dia ( UMNO ) dok tunggu saya macam tu sekali , PAS pun dok tunggu juga nak ambil Malaysia. Masa saya masuk wad dulu ada orang cina sampai nangis – nangis supaya saya sihat, dapat meneruskan karier saya dalam politik .

Berkaitan kepimpinan negara , adakah wajar PM berdiam diri , tidak memberi penjelasan terhadap isu berbangkit terutamanya berkaitan kepentingan ramai, seperti yang disuarakan bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad ?

Sebagaimana saya dah sebut sebelum ini , Dr mahathir adalah seorang pemimpin yang cerdik, banyak fikirannya boleh diterima. Fikirannya itu tak ada pada perdana menteri lain . Tapi saya hairan , kenapa apa yang disebut ( teguran ) oleh Dr Mahathir tidak dijawab oleh PM sendiri.

Kenapa tak jawab dan serah kepada pegawai – pegawai yang jawab . macam saya , akhir – akhir ini saya beri tugas menjawab apa saja persoalan wartawan kepada exco jawab untuk mendidik mereka dalam melayani wartawan berhubung pentadbiran kerajaan. Tapi kalau menyentuh dasar , saya jawab sendiri .

Apa pandangan Tok Guru terhadap teguran Datuk Mukhriz kepada PM berhubung ucapan dasarnya dalam Perhimpunan Agung UMNO baru – baru ini ?

Dalam mesyuarat memanglah kena ada tegur menegur . Tidak ada peraturan dalam Islam tak boleh soal dalam mesyuarat. Cuma satu saja yang tak boleh disoal, iaitu zat Allah. Kalau soal pun memang manusia tak boleh jawab .

Jadi Tok guru sokonglah teguran terbuka Mukhriz terhadap Pak Lah baru – baru ini ?

Ya , apa salahnya ? kaedah tegur menegur ni kaedah Islam , yang tak boleh tegur dan soal jawab ini adalah komusnis . kalau tak kena Mukhriz tegurlah, dimana tak kenanya .

Monday, February 19, 2007

Jika BN nak tawan Kelantan ……….
PAS Nak Perintah Malaysia.

Kali ini saya bawakan kepada pembaca semua satu dialog atau wawancara spontan antara Pengarang Wasilah saudara Nasir Hassan dan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kediaman rasminya JKR 10 Kota Bharu .

Rujuk Mingguan Wasilah 16 Muharram 1428
Keluaran sulung Muka surat 4 dan 5 .

Saya bawakan dialog ini untuk memaparkan bagaimana pemikiran Islam serta Islah dan tajdid yang telah dilakukan oleh Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat selaku Mursyidul Am PAS merangkap menteri Besar Negeri Kelantan .

Setelah menerajui Kerajaan Negeri Kelantan hampir 16 tahun , apakah perubahan atau kejayaan besar dicapai kepimpinan ulama yang memilih Membangun Bersama Islam sebagai dasarnya ?

Perubahan tentu ada perubahan , setidak – tidaknya satu perkara yang sungguh – sungguh saya merasa satu kejayaan ialah tak adanya cerita wakil rakyat PAS melompat. Itu perubahan besar bagi saya .

Zaman dulu , ketika PAS mula – mula timbul , wakil PAS sendiri melompat apatah lagi pengundi , hanya dengan diberi lesen beras . Diberi duit wakil rakyat melompat , senang saja. Maklum sajalah , kita orang Islam ni tak pernah perintah dan tak guna Islam ini untuk politik, kita hanya guna Islam untuk beribadat.

Untuk apa saja , tapi bila masaalah politik datang kepada kita selepas merdeka , maka benda tu ( politik Islam ini ) datang setelah dimasukkan dalam kepala kita , politik lain agama lain, kita tidak merasa penting menjaga negeri , menjaga harta benda dengan nama Allah , tak perlu .

Jadi sekarang ini , kita tarbiyyah , bila kita didik dan bila kita kaji perkembangan Islam sedunia , bukan saja tempat kita , maka kita khasnya wakil rakyat faham bahawa Islam ini mesti dipergunakan untuk dunia , alam kubur dan akhirat.

Itu perbezaan diantara pemikiran Islam dengan pemikiran sekular. Pemimpin sekular berfikir setakat dunia. Dia cari harta pun untuk dunia. Dia tak fikir untuk akhirat. Maka dia memerintah pun untuk keseronokan dunia.

Pemikiran Islam ini mencari keredhaan Allah. Sebab itu tidak ada wakil rakyat kita yang melompat. Sebab itu dalam pilihanraya Pengkalan Pasir baru – baru ini , Ketua UMNO Kelantan berjanji mana – mana Exco Kelantan , yang beralih tapak masuk UMNO , akan diberi jawatan sebagai Timbalan Menteri Besar.

Dan dua orang wakil rakyat kita ditawar duit terang – terang supaya berpaling tadah daripada parti. Ini satu kejayaan saya, satu kejayaan yang berlaku dalam masa hidup saya dan saya salah seorang yang berusaha ke arah itu .

Pengalaman pahit manis sepanjang tempoh berkenaan , boleh Tok Guru ceritakan sedikit , mungkin sebagai panduan atau ingatan kepada pemimpin pelapis !

Memanglah ada pengalaman manis dan pahit dalam hidup saya , terutama sejak mememgang teraju pemerintahan negeri ini. Baik saya sebut yang manis saja , saya tak suka sebut yang pahit , tu biar saya telan seorang , biarlah saya kemukakan di hadapan Allah di akhirat kelak.

Yang manisnya , dimana saya pergi , ramai orang datang. Saya sengaja tak bagi tahu di mana saya pergi , samaada ketika saya pergi sembahyang jumaat di mana – mana masjid, saya sengaja tak beritahu imam , tak mahu menyusahkan mereka .

Yang pahit tu saya akan buka balik di depan Allah diakhirat kelak. Orang yang mengkhianati Islam , Allah pun tahu , malaikat pun rekod semuanya itu.

Berhadapan pilihanraya umum akan datang , ramai beranggapan PAS akan tumbang memandangkan perbezaan kerusi 23 – 22 sekarang terlalu kecil, apa harapan Tok Guru ?

Bila disebut pilihanraya , sama ada akan datang atau telah lepas . PAS sepatutnya berdepan dengan UMNO , tidak berdepan dengan pegawai – pegawai kerajaan, bukan berdepan dengan jentera dan akhbar – akhbar arus perdana, walaupun PAS merasai pahit berdepan dengan orang ini , tetapi dengan sebab kerana Allah , walau bagaimana susah pun yang PAS tanggung , kita yakin dapat pahala banyak dan orang yang melawan kita itu mendapat dosa yang banyak.

Sebab itu PAS selalu bersungut , jika pilihanraya tak seimbang , tidak sebagaimana diajar oleh demokrasi ini , tanya rakyat , tapi disebabkan rakyat dijanjikan dengan duit , ini tak boleh dinafikan.

Masa saya dalam kerajaan campuran BN ( sekitar 1974 ), sampai duit tu tak habis belanja. Terlalu banyak, bukan buat apa tapi nak belanja pilihan raya. Sampai tak habis. Kalau nak kira memang tak senang untuk berhadapan dengan UMNO.

Sejak zaman nabi, kalau nabi sendiri tak pernah senang, apatah lagi kita , pejuang Islam selepasnya. Kalau kami berdepan dengan UMNO saya yakin , kita akan menang dan kita yakin kita dapat pahala apabila berjuang menentang UMNO.

Dalam interviu parti pembangkang , SPR nampak macam lepas diri . Macam dia tak ada kuasa. Itu tanggungjawabnya. Kalau tak sanggup lepaslah jawatan. Cari kerja lain. Bukan semua orang boleh mati kalau tak kerja.

Bagaimana tahap sokongan dan kepercayaan rakyat kepada PAS sebelum 1990 berbanding sekarang ?

Sokongan rakyat serupa saja, yang jadi masaalahnya SPR. Macam mana di Terengganu peratus keluar mengundi 80 peratus. PAS boleh kalah . Sambutan rakyat serupa saja. Rakyat sokong PAS serupa aje, tapi dikhianati oleh SPR.

Sebab apa kerajaan tak benarkan akhbar – akhbar kita nak keluar. UMNO awal – awal lagi tutup, kena dengar hak aku saja , ini yang menyebabkan pemikiran manusia tidak berkembang.

Pandangan Tok Guru berhubung dakwaan wujudnya rasuah dalam politik BN , termasuk dalam pilihanraya kecil DUN Pengkalan Pasir baru – baru ini sehingga kes itu terpaksa di bawa ke Mahkamah ?

Rasuah politik terang – terang . Atas guni baja ada cop dacing. Ditepi – tepi jalan ada papan tanda ini projek Kerajaan pusat. Bukannya rakyat tak tahu mana satu projek kerajaan pusat dan negeri. Ada projek kerajaan negeri ada projek kerajaan pusat. Kami nak buat sama , bukan kerja kita macam tu .

BN beria – ia benar menawan negeri ini. Mampukah mereka berbuat demikian dalam pilihanraya akan datang ?

Kami pun beria – ia nak tawan Malaysia. Kami beria – ia nak melepaskan rakyat dari belenggu kegelapan dan keluar daripada gelap kepada cahaya dan menolak kemungkaran menegakkan kebenaran.

Bersambung .......... ( ke siri kedua )

Wednesday, February 14, 2007

ROYALTI :
RAKYAT TERENGGANU DIKHIANATI

Sejurus PAS mengambil alih Negeri Terengganu melalui pilihanraya umum 1999 , UMNO tanpa simpati melalui kepimpinan Tun Dr. Mahathir pada waktu telah merampas 5 % hasil minyak yang menjadi royalty kepada Negeri Terengganu .

Tambah malang , royalty minyak tersebut sehingga kini tidak lagi dikembalikan kepada Kerajaan Negeri Terengganu untuk membangunkan rakyatnya biarpun kini UMNO yang memerintah Negeri Terengganu .

Kezaliman ini kembali meletakkan Terengganu sebagai negeri kedua termiskin selepas Sabah .

Laporan Ketua Audit Negara : ( terbaru )
[1]

Royalti yang dirampas dari Terengganu sepanjang tempoh pemerintahan PAS ialah : RM 3,959,670,000 . ( Hampir RM 4 ribu juta ) .

Royalti yang menjadi hak rakyat Terengganu telah difaraidkan kepada Kementerian – kementerian seperti :

Kementerian Pendidikan
Kementerian Pembangunan
Kementerian Pertanian
Kementerian Perdagangan antarabangsa
Kementerian Pelancungan
Kementerian Kerjaraya
Kementerian Penerangan
Kementerian Belia dan sukan
Kementerian Tenaga , air dan komunikasi
Kementerian Sumber Tenaga Manusia

Jumlah : RM 2,300 juta .

Kementerian Perumahan dan Kajian Tempatan
Kementerian Kesihatan
Jabatan Perdanan Menteri
Negeri Terengganu
Negeri Kelantan ( Jabatan Pembangunan Pusat / JPP )
Negeri Kedah
Negeri Perlis
Negeri Pahang
Negeri Sembilan

Jumlah : RM 1,631 juta .

Kemiskinan di Terengganu .

Awal January 2007 yang lalu , Negeri Terengganu gempar dengan pendedahan Harian Metro , bagaimana penderitaan dan kemiskinan 3 beradik yang terpaksa menumpang di bawah rumah neneknya bersama ibu mereka yang uzur di kampung Parit Kuala Terengganu.

3 beradik yang dihimpit kemiskinan di tengah – tengah bandar Kuala Terengganu ini terpaksa berhenti sekolah setelah gagal menjelaskan yuran yang hanya bernilai RM 300.

Lebih malang , laporan Ketua Audit Negara turut mendedahkan bagaimana Menteri Besar negeri Terengganu Idris Jusuh telah mengembalikan semula wang peruntukkan berjumlah RM 10 juta kepada Kerajaan pusat . Peruntukan tersebut adalah dana yang diperuntukan kepada pesakit – pesakit kronik .

Alasan yang dikemukakan oleh negeri Terengganu ( mengikut Laporan Ketua Audit Negera ) ialah tidak ada permohonan daripada mereka yang memerlukan .

Demikian juga Bantuan untuk Petani dan Penternak yang berjumlah RM 5 juta turut dipulangkan kepada kerajaan pusat atas alasan ianya tidak diperlukan oleh kerajaan negeri Terengganu.

Rakyat Terengganu Kempunan Royalti .

Laporan Ketua Audit Negara turut mendedahkan bagaimana wang royalti itu dibelanjakan .

Antaranya wang tersebut digunakan untuk membeli 4 buah mesin buat songket yang bernilai RM 360 ribu dan 4 buah mesin tersebut kini tidak digunakan sebaliknya hanya dijadikan pameran sahaja.

Wang Royalti yang diagihkan ke Negeri Kedah adalah digunakan untuk repair pejabat Menteri Besar negeri Kedah seperti mengganti karpet dan seumpamanya dan turut digunakan untuk menaikkan papan – papan tanda serta membeli topi dan pin sempena lawatan Perdana Menteri ke negeri Kedah . Malah digunakan juga untuk membeli peralatan televisyen stesen NTV 7 .

Negeri Sembilan pula telah menggunakan wang royalti ini sebanyak RM 4.5 juta untuk membaiki rumah kediaman Menteri Besarnya .

Lebih melucukan menurut laporan Ketua Audit Negera , wang Royalti ini turut difaraidkan kepada Puteri UMNO Kedah sebanyak RM 110 ribu .

Saya tidak tahulah apa kena mengena Puteri UMNO Kedah dengan wang rakyat negeri Terengganu . Demikianlah sebahagian episod drama yang menyayatkan perasaan rakyat Negeri Terengganu yang menyaksikan wang milik mereka diagih dan difaraidkan sedemikian rupa sementara mereka dihimpit kemiskinan yang meletakkan mereka sebagai rakyat kedua termiskin selepas Sabah .

Inilah pencabulan amanah dan kezaliman yang dilakukan oleh Kerajaan UMNO dan BN terhadap rakyat negeri Terengganu .

Bukankah Allah swt telah berfirman :

إن الله يأمركم أن تؤدوا الأمانات إلى أهلها و إذا حكمتم بين الناس أن تحكموا بالعدل . إن الله نعما يعظكم به إن الله كان سميعا بصيرا

Sesungguhnya Allah memerintahkan kamu supaya menunaikan amanah kepada yang berhak menerimanya dan apabila kamu berhukum ( menetapkan keputusan ) dikalangan manusia hendaklah kamu berhukum ( menetapkan keputusan ) dengan adil . Sungguh , Allah sebaik – baik yang memberi pengajaran kepada kamu . Sungguh Allah adalah Tuhan yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat .

Surah an Nisa' : Ayat 58 - 59

[1] Rujuk Laporan Ketua Audit Negara yang terbaru

Friday, February 09, 2007

Masjid : Markaazul Ummah

Sebagai “ Rumah Allah ” , masjid merupakan institusi terpenting dalam pembinaan ummah yang bertamaddun. Malah penubuhan Negara Islam oleh Baginda saw. di Madinah al Munawwarah menyaksikan bagaimana masjid dinobat sebagai mercu peradaban dan kedaulatan yang dibina.

Pembinaan masjid di Quba’ , Wadi Ranuna’
[1] dan di Yathrib ( Madinatun Nabi ) menjadi batu asas pembinaan tamaddun Islam unggul berpaksikan kedaulatan syariat dan ummah yang bermartabat.

Ianya ( masjid ) tidak dibina semata – mata untuk mendirikan solat , tetapi juga sebagai nokhtah mula keagungan ummat. Dari situlah nabi saw. menggerakkan jentera kerajaan dan mengatur strategi membangunkan ummah .

Masjid : Iktibar dari Seerah an Nabawiyyah

Syeikh Dr. Musthafa as Sibae’i menyebut di dalam kitabnya as Seeratun Nabawiyyah : Durus wa I’bar :

“ Memang tidak dapat disangkal lagi , bahawa masjid membawa risalah kemasyarakatan dan kerohanian yang agung nilainya terhadap kehidupan ummat Islam . Masjid lah yang menyatukan saf – saf ummat Islam , menyucikan jiwa mereka , menghidupkan hati dan aqal mereka , menyelesaikan masaalah yang dihadapi oleh mereka dan akhirnya menampilkan kekuatan jua hubungan erat mereka .

Sesungguhnya telah terbukti bahawa sejarah masjid di dalam Islam , menjadi markaz bagi tentera Islam berangkat ke medan untuk menakluki muka bumi dengan hidayah Allah swt .

Dari masjid jua terpancarnya sinaran cahaya dan hidayah buat ummat Islam dan lainnya malah masjidlah juga berkembangnya peradaban Islam . Bukan kah Abu Bakar , Umar , Uthman , A’li , Khalid , Saad , Abu U’baidah dan tokoh – tokoh seumpama mereka yang terdiri daripada pemimpin – pemimpin agung dalam sejarah Islami merupakan anak -anak murid di Madrasah al Muhammadiyyah yang berpusat di Masjid an Nabawi .

Antara keistemewaan yang lain , masjid pada setiap minggu berkumandang kalimah al haq menerusi seruan khatib yang menentang kemungkaran , memperjuangkan syariat , menyeru kearah kebaikan , menginsafkan mereka yang lalai , menyeru kearah kesatuan, membasmi kezaliman dan memerangi perbuatan yang melampaui batas .

Sesungguhnya kita telah menyaksikan bagaimana dulunya masjid – masjid menjadi markaz – markaz yang menyemarakkan gerakan anak watan menentang penjajah Perancis . Berpangkalan di masjidlah , tokoh – tokoh jihad menetang penjajah dan menentang zionisme .

Apabila kita menyaksikan kepincangan masjid hari ini dari fungsi dan peranannya yang hebat , maka tiada lain melainkan kesalahan sebahagian khatib yang terdiri daripada khatib yang hanya bertugas memburu elaun atau jahil lagi leka .

Alangkah beruntungnya , jika dalam keadaan seperti ini , lahir segolongan pendakwah yang tegas membawa kebenaran , bangkitnya ulama yang memperjuangkan syariat Allah . Mereka ikhlas kerana Allah dan Rasulnya saw. , mereka menasihati pemimpin dan ummat Islam seluruhnya .

Mengembalikan masjid sebagai tempat kegiatan masyarakat , mendidik tokoh – tokoh dan melahirkan pejuang – pejuang , mengislahkan kefasadan , memerangi mungkar dan membentuk masyarakat berasaskan taqwa dan redha Allah swt.”

Rujuk : Seerah an Nabawiyyah : Durus wa I’bar
Oleh Dr. Musthafa Sibae’I . Muka surat 74 – 75
Cetakan ke 9 oleh al maktab al islami ( 1986 ) Dimasyq

Masjid Terbelenggu

Realiti hari ini bertambah parah apabila melihat nasib masjid dan pengurusannya yang kian terabai . Lebih malang apabila wujudnya fenomena terancang untuk membelenggu masjid agar ia tidak berfungsi sebagai markaazul ummah .

Siapa lagi yang lebih bejad daripada mereka yang menghalang rumah Allah ( masjid ) agar tidak diimarahkan dengan ilmu dan zikrullah . Lebih parah apabila mereka “ sampai hati ” meruntuhkan rumah Allah yang pastinya dibina di atas tanah waqaf milik Allah swt. Firman Allah swt :

و من أظام ممن منع مساجد الله أن يذكر فيها اسمه و سعى في خرابها أولئك من كان لهم أن يدخلوها إلا خآئفين لهم في الدنيا خزي و لهم في الأخرة عذاب عظيم

“ Siapa lagi yang terlebih zalim daripada orang yang menghalang masjid – masjid Allah bahawa disebut didalamnya namaNya dan berusaha merobohkannya ? Mereka tidak layak memasukinya kecuali dengan rasa takut ( kepada Allah ) . Bagi mereka kehinaan di dunia dan bagi mereka azab yang sangat dahsyat di akhirat .”

Surah al Baqarah . Ayat : 114

Terlalu banyak masjid dalam Negara kita hari ini hanya dijadikan tempat solat dan lebih melucukan bagaimana terdapat masjid yang hanya berfungsi sebagai tempat kunjungan pelancung selain daripada solat berjamaah yang sangat kecil kuantitinya berbanding saiz masjid tersebut.

Keghairahan mendirikan masjid yang tidak seimbang dengan keghairahan mengurus dan mengimarahkannya meletakkan situasi ini sebagaimana yang pernah dibimbangi oleh Rasulullah saw. dalam hadis baginda yang diriwayatkan dari Saidina Ali Karramallahuwajhah :

يُوشِكُ أنْ يأتيَ علَى النَّاسِ زَمانٌ لاَ يَبْقَى مِنَ اْلإسلامِ إلاَّ اسْمُهُ وَلاَ يَبْقَى مِنَ اْلقُرْآنِ إلاَّ رَسْمُهُ مَسَاجِدُهُمْ عَامِرَةٌ وَهِيَ خَرَابٌ مِنَ اْلهُدَى عُلَمَاؤهُمْ شَرُّ مَنْ تَحْتَ أَدِيْمِ السَّمَاءِ مِنْ عِنْدِهِمْ تَخْرُجُ اْلفِتْنَةُ وَفِيْهِمْ تَعُوْدُ

رواه البيهقي

Sudah hampir suatu masa di mana tidak tinggal lagi daripada Islam itu kecuali hanya namanya dan tidak tinggal daripada al Quran itu kecuali hanya tulisannya . Masjid – masjid mereka tersergam indah tetapi ia kosong daripada hidayah . Ulama’ mereka adalah sejahat – jahat makhluk yang ada di bawah naungan langit . Dari mereka berpunca fitnah dan kepada mereka fitnah itu kembali .

Rujuk Kanzuul U’mal
M/surat 80, Juzuk 11
Cetakan Darul Kutub al I’lmiyyah Beirut

Pengalaman saya dikepung oleh polis yang lengkap bersama anjing , menyerbu masuk ke kawasan laman Masjid Peramu Kuantan sementara waktu itu saya sedang menyampaikan ceramah Maulidur Rasul saw , cukup menggambarkan bagaimana masjid dibelenggu .

Perlantikan ahli jawatan kuasa masjid dikalangan mereka yang tidak pernah menjejak kaki ke masjid semata – mata tidak mahu masjid itu diimarahkan dengan majlis ilmu antara bukti bahawa pembelengguan masjid sangat ketara .

Menghantar SB
[2] untuk memantau aktiviti masjid atau surau bukan sahaja menakut – nakutkan masyarakat untuk menghidupkan aktiviti masjid dan surau tetapi juga bermaksud untuk memberi tekanan kepada penceramah dan guru agama yang mengajar agar tidak menyentuh soal penyelewengan dan mungkar yang berlaku dalam Negara.

Sedang kelab – kelab malam dan pusat – pusat hiburan yang menjadi tempat subur untuk bercambahnya maksiat dan jenayah tidak dilayan sedemikian rupa .

Pekeliling yang pernah dihantar kepada surau dan masjid di Lembang Klang agar tidak mengadakan tazkirah di bulan Ramadhan juga mempunyai maksud yang sama untuk mengekalkan pembelengguan tersebut.

Arahan agar khatib hanya dibenarkan membaca teks khutbah yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama meskipun khatib tersebut seorang yang diiktiraf ilmunya oleh universiti yang mu’taraf turut dilihat sebagai usaha menyempitkan fungsi surau dan masjid.

Sudahlah ruang dan peluang untuk bercakap Islam amat terhad , tiba – tiba masjid dan surau yang dianggap ruang yang paling kondusif untuk berbicara perkara agama turut dikekang , maka dimana lagi Islam ini boleh dijelaskan secara bebas dalam Negara ini ?

Pengurusan Masjid .

Selayaknya masjid diurus selia secara professional dan jujur bagi meletakkannya sebagai institusi penting dan suci dalam masyarakat .

Sangat malang apabila masjid bagaikan bangunan usang yang terbiar tanpa dipedulikan penyelenggaraannya sebagai sebuah tempat ibadah . Masing – masing melepaskan tanggungjawab kepada pihak yang lain dan akhirnya semua berlepas harap .

Sesetengahnya sangat berbangga dengan jumlah kutipan derma mingguan yang meningkat saban minggu dan dipaparkan di papan putih masjid berkenaan , sedang masjid tersebut sangat tidak terurus dengan sistem pengaliran air di kolam wudhu’ , kebersihan tandas yang sangat rendah dan menyedihkan , sistem pembesar suara yang uzur serta lemah dan pelbagai kelemahan yang ketara .

Kenapa tidak wang yang begitu banyak hasil sumbangan orang ramai dimanafaat sepenuhnya untuk meletakkan masjid dan surau sebagai sebuah institusi yang hebat dan menarik . Apa yang paling penting ialah masjid mesti menjadi tempat yang paling selesa dan tenang untuk ummat mengabdikan diri kepada Allah swt.

Imej tandas masjid sebagai tandas yang paling kotor sepatutnya tidak kedengaran lagi . Bukankah kebersihan adalah sebahagian daripada tanggungjawab utama setiap individu muslim ? Bukan sahaja bermaksud supaya masjid tidak dipandang rendah oleh masyarakat umum, tetapi juga untuk mencari redha Ilahi .

Peranan dan Fungsi Masjid .

Selayaknya masjid diimarahkan . Sebagaimana tiada nilai masjid yang tidak diurus , begitulah tiada erti dan gunanya masjid yang diperbesar dan diperbanyakkan tetapi sepi tanpa aktiviti .

Saya sangat bersetuju dengan gesaan S.S Dr. Asri Zainal Abidin agar masjid mestilah dilihat sebagai mesra remaja dan mesra ummah seluruhnya.

Masjid tidak sepatutnya menghadkan aktiviti kepada solat berjamaah semata – mata , demikian juga tazkirah dan kupasan ilmu yang hambar dan tidak membawa ahli jamaahnya wujud dalam cabaran zaman mereka yang sebenarnya.

Sebaliknya masjid mestilah aktif menganjurkan pelbagai aktiviti yang mendekatkan masjid kepada mereka yang cuba menjauhkan dirinya daripada masjid .

Malah aktiviti kemasyarakatan dan budaya mereka yang tidak bercanggah dengan Islam amatlah baik didekatkan kepada masjid . Biarpun asalnya aktiviti itu bukan berbentuk ibadah namun apabila ia bertolak dari masjid dan surau , kita mengharapkan ia menjadi satu bentuk ibadah yang diredhai oleh Allah swt .

Cadangan S.S Dr. Asri agar tuisyen akademik diadakan di masjid atau surau agar tidak sahaja ustaz dan pak lebai menguasai ruang legar masjid tersebut tetapi juga guru akademik dan murid – muridnya berhak ber“mesra” dengan masjid adalah cadangan yang sepatutnya diambil perhatian .

Saya berkeyakinan , jika semua pihak mengambil ruang dan bahagian mem“peranan”kan masjid seperti kaum ibu dengan aktiviti mereka , pelajar dengan aktiviti mereka dan ajk masjid dengan aktiviti mereka , masjid akan dilihat makmur , meriah , ceria dan menarik .

Pengalaman saya di Damsyik dan Tanta dapat melihat dari dekat bagaimana di sana terdapat masjid yang dilengkapi dengan maktabah ( perpustakaan ) untuk masyarakat merujuk pelbagai sumber ilmu dan Klinik yang beroperasi di masjid sepanjang hari dengan hanya ditutup pada waktu solat.

Keadaan itu tidak lagi meletakkan masjid dan surau sepi bersendirian dan akhirnya menjadi sasaran mat gian dan kaki lepak beroperasi dan mencuri .

Malang ada masjid yang kehilangan besi keranda , tongkat khutbah dan set P.A system. Jawab mudah , kerana masjid tersebut sepi ditinggalkan oleh imam dan makmumnya.

Masjid sepatutnya tidak perlu berkunci dan berjaga , sudah cukup amalan iktikaf dan mengimarahkan masjid menjadikan masjid kawasan atau zon paling selamat dalam dunia .

Kalaupun keadaan memaksa demi memelihara barangan milik masjid daripada dicuri oleh penjenayah , maka saya syorkan agar sediakan kawasan berkunci untuk menyimpan barangan berharga milik masjid sementara ruang masjid terbuka untuk aktiviti umum mengabdikan diri kepada Allah swt.

Ataupun , sediakan ruangan khas yang tidak berkunci ( sebahagian dari masjid ) tersebut agar tidak menghalang aktiviti ummah untuk mendekatkan diri kepada Allah swt. terutama buat musafir lalu .

Pendekkata , sebagaimana pengurusan hotel ada kursus yang disediakan untuk meningkatkan prestasi pengurusan maka saya kira pengurusan masjid juga min baabil aula patut diadakan kursus untuk tujuan meningkatkan kesedaran dan keinsafan dikalangan ummah terhadap pengurusan masjid dan surau .

Masjid Chinese .

Akhir – akhir ini ramai pihak membincangkan isu Masjid Chinese . Pelbagai pandangan berupa pro dan kontra telah dipaparkan kepada umum samada melalui media massa mahupun dalam perbincangan tertentu .

Saya berpandangan bahawa isu penubuhan atau pembinaan Masjid Chinese adalah wajar . Selain daripada ianya telah disuarakan oleh S.S Dr. Asri Zainal Abidin , Kerajaan PAS di Kelantan juga telah menggiatkan aktiviti serupa kearah menarik minat sahabat – sahabat kita dari kaum Tionghua menghayati ajaran Islam .

Negara kita tidaklah asing dengan masjid mengikut etnik kerana negara telah memiliki Masjid Pakistan dan Masjid India . Alhamdulillah biarpun dinamakan sebagai Masjid Pakistan atau Masjid India ianya tidaklah beroperasi berasaskan etnik dan realiti itu sangat penting agar Islam tidak dipisahkan menurut etnik.

Saya tidak menafikan persoalan ini ada pro dan kontra , namun tidak mengapa satu keberanian untuk melakukannya disuara dan dikotakan. Namun langkah bijak elok diambil dengan mendengar terlebih dahulu pandangan sahabat – sahabat chinese muslim terhadap keperluan penubuhan masjid chinese tersebut.

Igauan “masuk Islam adalah masuk melayu” mungkin menjadi antara salah satu faktor kearah cadangan pembinaan masjid chinese ini.

Manakan tidak , selain daripada kecintaan kepada nusa dan bangsa mereka yang tidak mungkin mereka gadaikannya , apalah yang ada pada melayu untuk mereka tinggal bangsa mereka lalu masuk melayu ?

Jika dilihat kepada statistik yang dikeluarkan oleh pihak PDRM dan juga Jabatan Pembangunan Wanita jelas memperlihatkan kepada kita betapa pelbagai jenayah yang berlaku dalam negara kita kini dijuarai oleh melayu .

Justeru itu , melayu hanya hebat dengan Islam . Melayu terkenal di serata dunia bukan kerana bangsanya tetapi kerana agamanya ( Islam ) yang membentuk akhlak dan adab mulia.

Bangsa tetap bangsa dan mereka tidak mungkin jadi melayu . Mereka bebas mengamalkan budaya hidup bangsa mereka sedang mereka seorang yang komited dengan ajaran Islam .

Mudah – mudahan ia akan melebarkan lagi pintu masuk Islam ini kepada semua ummat tanpa mengira apa bangsa dan budaya mereka .

Sungguhpun begitu , saya sangat berharap agar perkembangannya dipantau agar ia tidak melarat kepada pemisahan dan jurang yang semakin jauh antara etnik yang menganut ajaran Islam tersebut .

Inilah peranan pengurusan masjid yang baik dan makmur . Masjid diimarahkan dengan kepelbagaian aktiviti dengan tahap penglibatan yang melampaui batas bangsa dan budaya.

[1] Tempat mula – mula Nabi saw. mendirikan solat jumaat di Madinah .
( di Tengah – tengah Wadi Ranuna’ )
Rujuk : Sirah an Nabawiyyah Li Ibni Hisyam .
M/s 315 Juz. Pertama. Cetakan Dar Ibn Rejab . Mansourah

[2] Antara contohnya sebagaimana yang berlaku kepada Surau al Muhajirin Bandar Muadzam Shah. Kelihatan SB sering memantau aktiviti di surau berkenaan dan saya sendiri selaku salah seorang tenaga pengajar di surau tersebut pernah diadu ke Pejabat Agama kononnya saya mengajar ajaran salah .

Tuesday, February 06, 2007

Islam Hadhari = Islam Palsu

Kebelakangan ini negara kita agak gempar dengan beberapa isu seperti wang palsu di Batu Talam dan juga doctor palsu yang beroperasi dengan membuka klinik yang tidak berdaftar .

Suatu yang palsu adalah jelas merupakan satu penipuan . Kepalsuan dicipta dengan pelbagai tujuan dan matlamat yang ingin dicapai melalui cara yang salah dan tidak benar. Ia juga adalah usaha memperbodohkan pihak lain dengan menampilkan kepalsuan dan menyembunyikan kebenaran.

Umumnya , suatu yang palsu dicipta seakan sama dengan yang tulen ( original ) . Sukar untuk membezakannya kecuali mereka yang pakar dalam bidangnya .

Hanya mereka yang memahami selok belok wang seperti kerani @ pegawai bank yang lebih memahami wang tulen dengan wang palsu . Demikian juga hanya mereka yang memahami selok belok ilmu kedoktoran yang boleh mengenal pasti perbezaan antara doktor tulen dan doktor palsu .

Masyarakat awam sering keliru dan menjadi mangsa penipuan . Doktor palsu disangka doktor tulen dan wang palsu disangka wang tulen . Begitulah dunia kita dewasa kini, terlalu banyak perkara palsu yang mengelirukan .

Demikianlah halnya dengan agama Islam . Di sana terdapat pihak yang memalsukan Islam dan disogok kepada umum kononnya itulah Islam yang sebenarnya.

Terlalu ramai ummat Islam yang terpedaya dengan Islam palsu ini sehingga mereka menyangka bahawa itulah Islam yang sebenar dan mereka tidak teragak – agak mempertahan dan memperjuangkannya.

Melalui sifir umum yang saya sebutkan tadi , hanya mereka yang memahami selok belok Islam dapat mengenal pasti perbezaan antara Islam palsu dengan Islam tulen . Sementara pencipta Islam palsu sememangnya mengetahui kepalsuan tersebut tetapi dibiarkan kepalsuan itu menipu ummah kerana mereka ingin mencapai sesuatu disebalik ummat yang terpedaya.

Kepalsuan Islam Hadhari .

Semenjak negara ini diterajui oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi , Islam Hadhari diperkenalkan . Islam Hadhari lantang diperjuangkan , menghampiri pilihanraya umum 2004 yang lalu.

Mereka mengemukakan 10 prinsip Islam Hadhari
[1] kepada masyarakat dan diberikan penjelasan rasmi melalui jabatan dan kementerian . Islam Hadhari menjadi slogan wajib bagi kerajaan UMNO & BN memerintah .

Namun malang , prinsip 10 diabaikan begitu sahaja dengan memperlihatkan kepada umum bukan sahaja ketidaksungguhan tetapi keengganan untuk melaksanakannya .

Usahkan rakyat yang masih terpinga – pinga mengenai konsep Islam Hadhari malah penciptanya tidak menunjukkan kemahuan dalam melaksanakannya sebagaimana yang termaktub.

Pada pengamatan saya , ianya tidak akan dilaksanakan sebagaimana yang tersurat . Justeru peluang dan ruang untuk mereka melaksanakannya terbentang luas dihadapan mereka tetapi mereka sengaja mengabaikannya .

Kuasa ditangan mereka dan mandat rakyat bersama mereka . Apalagi yang membuat UMNO & BN tidak melaksanakan Islam ? sedang Allah berfirman :

و أن احكم بينهم بما أنزل الله و لا تتبع أهواءهم

Dan hendaklah kamu berhukum dikalangan mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan jangan kamu mengikut hawa nafsu mereka.

Surah al Maaidah : 49

Bukan sahaja syariat dan perundangan Islam , tetapi perkara yang berkait dengan amal islami yang umum seperti amar makruf dan nahi mungkar ternyata tidak diendahkan .

Maksiat kian menjadi – jadi . Malah kerajaan dengan seluruh kementerian dan agensinya kian galak dengan mungkar yang dilihat semakin membarah dalam negara ini.

Lihat sahaja kepada Kementerian Penerangan dengan seluruh media milik mereka , samaada cetak mahupun elektronik . Hiburan yang melampaui batas norma dan etika syari’e , temubual yang tidak berakhlak dan bermoral , iklan yang menjolok mata , mencampur adukkan antara yang halal dan haram .

Kementerian Pelancungan , sebagai contoh mudah dalam mempromosi Tahun Melawat Malaysia memuatkan dalam panduan melancung iklan seks yang memualkan. Meskipun panduan itu ditarik balik , kita belum mendapat maklumat kerajaan telah “menghapuskan” tempat – tempat maksiat atau sindiket mungkar yang telah diiklankan itu. ( suatu yang mustahil untuk didakwa bahawa kerajaan tidak menyedari dan mengetahui wujudnya industri mungkar dan maksiat )

Ironisnya , kalau kerajaan Islam Hadhari boleh merobohkan surau sebagaimana berlaku di Bandar baru Bangi , Bukit Berembang , Bujal atas alasan yang hanya mereka sahaja mengetahuinya , kenapa tidak mereka berani untuk merobohkan tempat dan pusat maksiat yang tumbuh bagaikan cendawan dalam negera ini. ( Sedangkan pertumbuhan kelab dan pusat maksiat ini bercanggah dengan prinsip 10 Islam hadhari )

Kementerian Kesenian dan Kebudayaan pula saban tahun menganjurkan hari – hari penganugerahan seni dan muzik tanahair dengan gaya majlis saling tak tumpah dengan majlis penganugerahan award di barat .

Pakaian artis , aksi dan gelagat mereka mencemarkan syariat dan sunnah pula langsung tidak menepati prinsip 10 Islam Hadhari . Tidak ada batas etika dan panduan majlis yang dikeluarkan oleh kementerian agar ianya selari dengan syariat Islam .

Malah kementerian sering melepaskan artis – artis luar ( seperti Inul Daratista , Ratu dll) masuk beraksi dalam negara kita dengan membawa imej yang terlalu asing dengan budaya ketimuran yang diagungkan selama ini bahkan jauh tersasar dari adab dan akhlak Islam.

Islam apakah yang diperkenalkan oleh UMNO & BN ini kalau tidak Islam palsu ?

Ada pihak berhujjah , bahawa 10 prinsip itu benar cuma UMNO barangkali tidak berupaya untuk melaksanakannya . Hanya Pak Lah dilihat kononnya serius untuk melaksanakan Islam Hadhari sedang anak buahnya masih tidak memahaminya . Lalu lahirlah suara , ayuh kita bantu Pak Lah !!

Saudara ! jangan biarkan jenaka tidak bermoral ( lawak bodoh ) ini menguasai minda kita.

Tidak munsabah , setelah melalui tempoh sekian lama Islam Hadhari dijadikan slogan wajib bagi pemerintahan kerajaan UMNO dan BN , mereka masih tidak memahaminya. Lebih parah apabila penciptanya ( Pak Lah ) sendiri dilihat tidak mampu untuk menunjuk contoh ke arah melaksanakan Islam Hadhari dengan prinsipnya yang 10 .

Insiden kapal mewah , “sentuhan mesra” Michelle Yeoh di satu majlis makan malam sempena Monsun Cup di Terengganu , menyimpan menteri – menteri cabinet yang berhadapan dengan tuduhan rasuah dan banyak lagi dan banyak lagi dan banyak lagi...menjadi satu bukti jelas .

Islam Hadhari dengan 10 prinsipnya hanya merupakan perkataan baik yang membawa maksud buruk dalam objektif dan matlamatnya. Sebagaimana yang pernah diungkap oleh Saidina Ali Karramallahuwajhah :

كلمة حق يراد بها الباطل

Kalimah yang benar namun apa yang dikehendakinya ialah kebathilan.

Bermaksud untuk mengelirukan masyarakat agar mereka memperolehi undi simpati masyarakat muslim sedang mereka sebenarnya tidaklah mahu mendaulatkan Islam dan syariatnya.

Oleh kerana Islam menjadi produk yang laris dewasa kini , akhirnya UMNO yang dulunya terkenal dengan fahaman sekular , kini terpaksa menggunakan Islam sebagai slogan perjuangan mereka guna mengekalkan survival kuasa mereka .

[1] 1. Keimanan dan ketaqwaan kepada ALLAH.
2. Kerajaan Adil dan Beramanah.
3. Rakyat berjiwa merdeka.
4. Penguasaan ilmu pengetahuan.
5. Pembangunan ekonomi seimbang dan komprehensif.
6. Kehidupan berkualiti.
7. Pembelaan hak kumpulan minoriti dan wanita.
8. Keutuhan budaya dan moral.
9. Pemuliharaan alam semulajadi.
10. Kekuatan Pertahanan.

Friday, February 02, 2007

MANHAJ PERJUANGAN PAS :
BAGAIMANA IA MENDEPANI PEMERINTAH
.

Islam yang diperjuangkan oleh PAS ternyata mendapat tentangan sengit daripada UMNO & BN yang memerintah Negara ini.

Biarpun berulangkali al – Mursyidul Am PAS Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan : “ andainya UMNO melaksanakan Islam yang tulen ( bukan Islam Palsu ) PAS sanggup membubarkan partinya.” [1]

UMNO & BN terus berkeras dan berdegil . Bukan sahaja mereka tidak mengizinkan Islam berdaulat di atas tanahair ini bahkan mereka menggunakan kekerasan ( setelah tewas hujjah ) untuk mendepani PAS dan kebangkitan ummat Islam yang mahu melihat negara ini mendaulatkan Islam atau syariat Allah swt.

Penentangan ini tidaklah memeranjatkan PAS yang menyambung Risalah an nabawiyyah di zaman ini justeru ia pernah dihadapi oleh nabi saw malah turut dihadapi oleh pejuang – pejuang Islam di sepanjang zaman .

Inilah yang dilafazkan oleh orang – orang Quraisy tatkala nabi saw menyampaikan dakwahnya :

هذا الأمر الذي تدعونا إليه مما تكرهه الملوك

Apa yang engkau sampaikan kepada kami ini adalah suatu yang dibenci oleh pemerintah

Tarikh Madinah Dimasyq . Juzuk 17 . Mukasurat 299
Oleh Abi al Qasim A’li bin al Hasan
Ibnu Hibbatullah bin Abdullah asy Syafi’e ( w. 571 )

Firman Allah swt :

و اذ يمكر بك الذين كفروا ليثبتوك أو يقتلوك أو يخرجوك و يمكرون و يمكر الله والله خير الماكرين

Dan ingat bagaimana perancangan orang – orang kafir untuk memenjara , membunuh dan menghalau engkau ( keluar dari daerahmu ) , mereka merancang sedang Allah jua merancang dan Allah adalah sebaik – baik perancang .

Surah al Anfaal : Ayat 30

Sebenarnya inilah 3 tribulasi yang akan dihadapi oleh pejuang – pejuang Islam yang menyambung lidah perjuangan Nabi saw di sepanjang zaman .

Muwaajahah Silmiyyah . ( مواجهة سلمية / berdepan secara aman )

Biarpun PAS berdepan dengan sebuah pemerintahan yang kasar dan ganas terhadap perjuangan dan anggotanya , PAS masih konsisten menggunakan pendekatan مواجهة سلمية atau موجّهة بالسلم .

PAS yang mengambil pendekatan politik menyertai pilihanraya selama ini adalah untuk mengekalkan prinsip muwaajahah tersebut .

Sungguhpun ada pemimpin PAS yang ditembak mati oleh pemerintah seperti asy Syahid Ustaz Ibrahim Mahmud dan rakan – rakannya di Memali Kedah …….

Biarpun ada pemimpin PAS diseksa dan dikurung tanpa bicara melalui akta primitive ISA seperti Tuan Hj. Muhammad Sabu , Ustaz Abu Bakar Chik , Tuan Hj. Mahfuz Omar , al Marhum Ustaz Buniamin Yaacob dan lain – lain ....

PAS tetap dengan prinsipnya mendepani pemerintah yang tidak mendaulatkan Islam ini secara aman . PAS meletakkan dirinya di atas Manhaj an Nabawi sebagaimana yang diajar oleh baginda saw. melalui hadisnya yang diriwayatkan oleh at Tabarani:

أَلا إِنَّ رَحَى الإِسْلامِ دَائِرَةٌ فَدُورُوا مع الْكِتَابِ حَيْثُ دَارَ أَلا إِنَّ الْكِتَابَ وَالسُّلْطَانَ سَيَفْتَرِقَانِ فَلا تُفَارِقُوا الْكِتَابَ أَلا إنه سَيَكُونُ عَلَيْكُمْ أُمَرَاءُ يَقْضُونَ لأَنْفُسِهِمْ ما لا يَقْضُونَ لَكُمْ إن عَصَيْتُمُوهُمْ قَتَلُوكُمْ وَإِنْ أَطَعْتُمُوهُمْ أَضَلُّوكُمْ قالوا يا رَسُولَ اللَّهِ كَيْفَ نَصْنَعُ قال كما صَنَعَ أَصْحَابُ عِيسَى بن مَرْيَمَ نُشِرُوا بِالْمَنَاشِيرَ وَحُمِلُوا على الْخَشَبِ مَوْتٌ في طَاعَةِ اللَّهِ خَيْرٌ من حَيَاةٍ في مَعْصِيَةِ اللَّهِ

Ketahuilah , sesungguhnya Islam bergerak dalam satu pusingan , maka berpusinglah bersama al kitab sekira – kira ia berpusing . Ketahuilah sesungguhnya al kitab dan pemerintah akan berpisah maka jangan kamu memisahkan al kitab , ketahuilah sesungguhnya akan berlaku ke atas kamu ( zaman kamu ) , pemimpin yang memutuskan ( sesuatu ketetapan ) untuk kepentingan diri mereka bukan untuk kamu . Jika kamu mengingkari mereka , mereka membunuh kamu dan jika kamu mentaati mereka , mereka menyesatkan kamu . Lalu mereka berkata
Ya Rasulallah , apakah ( sewajarnya ) kami lakukan ? Rasul saw menjawab : ( jadilah ) sebagaimana pengikut Nabi Isa ibnu Maryam as. , mereka dikelar dengan pengelar besi dan mereka disalib di atas palang kayu . Mati dalam mentaati Allah adalah lebih baik daripada hidup mendurhakai Allah swt.

Rujuk Majma’ az Zawaai’d. Juzuk 5 /muka surat 238
Oleh : Ali bin Abi Bakar al Haithami ( w. 807 )
Cetakan Darul Rayyan Lit Turath , Qaherah

PAS Tidak Mencari dan Memulakan Permusuhan .

Kehadhiran PAS hanya untuk membawa Islam ke mercunya dan memastikan tiada fitnah ( penentangan secara terbuka terhadap Islam ) dan perlecehan syariat Ilahi . Ianya berasaskan kepada apa yang difirmankan oleh Allah swt :

و قاتلوهم حتى لا تكون فتنة و يكون الدين لله فان انتهوا فلا عدوان إلا على الظالمين .

Dan perangilah olehmu akan mereka itu ( yang menyengutukan Allah ) sehingga tiada lagi fitnah ( penentangan terbuka terhadap Islam ) dan jadilah ( satu – satunya ) cara hidup milik Allah swt maka jika mereka berhenti , tiada lagi permusuhan kecuali terhadap orang – orang yang zalim .[2]

Surah al Baqarah : Ayat 193

Saksikanlah , bahawa yang dibunuh ialah pemimpin PAS sementara tiada seorang pun pemimpin UMNO & BN dibunuh oleh PAS .

Yang dipenjara ialah pemimpin dan aktivis PAS , sementara tiada seorang pun pemimpin UMNO dan BN dipenjara oleh PAS .

Yang diugut , diancam dan dibuang daerah ialah ahli – ahli PAS dan rakyat yang menyokong PAS sedang tiada seorang pun ahli – ahli UMNO ditindas dan dizalimi oleh PAS .

“ Dosa ” PAS hanya kerana memperjuangkan Islam dan mahu ianya didaulatkan . Sementara UMNO & BN sangat tidak bersetuju dengan apa yang dicadangkan oleh PAS , malah UMNO & BN membangkangnya dengan keras dan ganas .

Sekali lagi PAS mengambil pendekatan Manhaj an Nabawi sebagaimana yang ditegaskan oleh Rasul saw.

أَيُّهَا الناس لَا تَتَمَنَّوْا لِقَاءَ الْعَدُوِّ وَسَألُوا اللَّهَ الْعَافِيَةَ فإذا لَقِيتُمُوهُمْ فَاصْبِرُوا وَاعْلَمُوا أَنَّ الْجَنَّةَ تَحْتَ ظِلَالِ السُّيُوفِ ثُمَّ قال اللهم مُنْزِلَ الْكِتَابِ وَمُجْرِيَ السَّحَابِ وَهَازِمَ الْأَحْزَابِ اهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عليهم

Wahai Manusia , Jangan kamu bercita – cita mencari musuh dan mohonlah kepada Allah akan kesejahteraan , jika kamu bertemu jua ( akan musuh ) maka bersabarlah dan ketahuilah sesungguhnya syurga itu berada dibawah kilatan mata pedang kemudian baginda berdoa :

Ya Allah , tuhan yang menurunkan al kitab , yang memperjalankan awan dan tuhan yang membinasakan tentera ahzab , hancurkanlah mereka ( musuh ) dan berilah kemenangan ke atas kami .

Sohih Bukhari Hadis No. 2804 Juz.3 / muka surat 1082
Cetakan Darul Ibnu Kathir . Beirut

Sohih Muslim Hadis No.1742 Juz 3 / Muka surat 1362
Cetakan Dar Ihya’ Turath al A’rabi. Beirut

UMNO & BN Pembangkang yang Degil .

Bumi ini milik Allah , malah segalanya dibawah kawalan Allah Jalla wa A’la . Selayaknya bumi ini amnya dan tanahair ini khasnya ditadbir dan diselia berasaskan peraturan dan perundangan ( syariat ) Ilahi .

Siapa kita untuk berkata “ tidak !” kepada Allah swt. Lantas PAS sejak awal penubuhannya ( biarpun melalui pelbagai kelemahan dan kekurangan ) terus mencadang supaya hukum Allah ditegakkan sebagaimana firman Allah swt :

و أن احكم بينهم بما انزل الله و لا تتبع اهواءهم و احذرهم ان يفتنوك عن بعض مآ انزل الله اليك فان تولوا فاعلم انما يريد الله ان يصيبهم ببعض ذنوبهم و ان كثيرا من الناس لفاسقون . أفحكم الجاهلية يبغون و من احسن من الله حكما لقوم يوقنون .

Dan hendaklah kamu berhukum diantara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau mengikut keinginan hawa nafsu mereka dan waspadalah terhadap mereka jangan sampai mereka memperdayakan engkau terhadap sebahagian apa apa yang telah diturunkan Allah kepadamu .

Jika mereka berpaling ( dari hukum yang telah diturunkan oleh Allah ) maka ketahuilah sesungguhnya Allah berkehendak menimpakan musibah kepada kepada mereka disebabkan sebahagian dosa – dosa mereka dan sungguh kebanyakkan manusia adalah orang – orang yang fasiq .

Apakah hukum Jahiliyyah yang mereka kehendaki ? Hukum siapakah yang lebih baik daripada hukum Allah bagi orang – orang yang menyakini ( agamanya ) .

Surah al Maaidah : Ayat 49 - 50

Namun malang 1001 kali malang , ternyata UMNO & BN sangat degil dan merekalah pembangkang yang “ istiqamah ” dengan penentangannya terhadap Islam yang dicadangkan oleh PAS agar didaulatkan atas tanahair ini .

Sebenarnya tidak timbul siapakah yang akan mendaulatkan Islam , tetapi yang penting ialah Islam mesti didaulatkan . Jika UMNO bersedia mendaulatkan Islam dan melaksanakan syariat sebagaimana yang diajar oleh Nabi saw , PAS sangat bersedia untuk bekerjasama demi kedaulatan Islam .

Malang sekali lagi malang seperti slogan mereka , UMNO dulu , kini dan selamanya membangkang cadangan PAS agar Islam didaulatkan . Persoalannya , kalau PAS cadang nak laksanakan hukum Allah , mereka kata itu hukum PAS , hudud PAS atau Islam PAS lalu dimanakah hukum UMNO , hudud UMNO dan Islam UMNO setelah rakyat memberi mereka mandat yang besar dalam pilihanraya umum 2004 yang lalu dan sebelumnya . Kenapa mereka tidak melaksanakan Islam ?

Firman Allah swt :

الذين ان مكناهم في الأرض أقاموا الصلوة و اتوا الزكوة و امروا بالمعروف و نهوا عن المنكر و لله عاقبة الأمور .

Orang – orang yang jika kami berikan kedudukan ( kuasa ) di muka bumi , mereka mendirikan solat , mengeluarkan zakat dan menegakkan yang ma’ruf ( syariat ) serta mencegah kemungkaran dan kepada Allah kembali segala urusan .

Surah Al Hajj : Ayat 41

Saya tidak percaya mandat yang diberi untuk mereka memerintah adalah untuk mereka menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah seperti arak , judi , kelab malam dan segala macam mungkar serta kezaliman . Apa yang rakyat mahu ialah keadilan dan kesejahteraan jua keamanan sedang segalanya itu ada bersama Islam . Laksanakanlah !

PAS Menegur dan Menasihati Pemerintah .

PAS berusaha keras dengan segala keringat , harta , tenaga malah mengorbankan darah dan nyawa untuk menghantar wakilnya ke Parlimen atau Dewan Undangan Negeri , agar PAS boleh bersuara melalui sistem yang ada pada hari ini guna memberi nasihat , tunjuk ajar , bimbingan dan teguran membina kepada kabinet dan jamaah menteri yang memerintah negara ini di tempat dan ruang dimana undang – undang negara digubal .

PAS juga telah menghantar ratusan memorundum sebagai nasihat bertulis kepada pihak kerajaan dan seluruh agensi mereka supaya melakukan pemulihan dan perubahan dalam perkara – perkara yang perlu .

Memorundum yang mengandungi plan bertindak sebagai cadangan dan bimbingan dari PAS untuk menangani gejala sosial telah dihantar oleh PAS kepada pihak berwajib seperti polis , Jabatan Agama , PLKN dan Pihak Berkuasa Tempatan .

Malah saya sendiri beberapa kali menghantar memorundum kepada Menteri Besar , Jabatan Agama Islam , Majlis Agama Islam , Polis , Mufti dan lainnya dalam pelbagai isu yang mengandungi teguran dan nasihat bertulis agar negeri dan negara tercinta ini tidak tersasar jauh dari rahmat Ilahi .

PAS juga menghantar memorundum kepada SUHAKAM sebagai aduan dan cadangan PAS bagaimana menangani isu Hak Asasi Manusia dan juga Hak Kebebasan Bersuara dan Berhimpun dalam negara ini .

Tidak sahaja PAS menegur dan menasihati kerajaan dan agensinya melalui memorundum tersebut tetapi juga PAS mengadakan dialog dan menegur mereka dengan lunak melalui prinsip engagement yang PAS amalkan .

Apa yang menarik , PAS tidak sahaja mendepani kerajaan dan agensinya tetapi PAS juga tampil menegur dan menasihati kuasa besar dunia melalui kedutaan mereka di sini melalui rundingan dan memorundum yang kita serahkan kepada mereka .

Malah kita turut “tunjukkan perasaan” kita , bagaimana terhiris dan terlukanya hati rakyat atau ummah ini terhadap kekejaman dan kezaliman mereka serta penghinaan yang mereka lakukan ke atas Islam dan penganutnya.

PAS turut bersama dalam menyertai majlis debat , dialog dan rundingan dalam apa jua bidang yang diberi ruang kepada PAS untuk bersuara bagi kita memberi pandangan jua nasihat dan tentunya Islam menjadi dasar pandangan dan nasihat kita .

Pendek kata PAS konsisten untuk mendidik dan membimbing serta menegur dan menasihati pemerintah agar mereka tidak menyeleweng daripada tanggungjawab dan amanah mereka .

PAS tidak pernah mengambil pendekatan ganas ( militan ) apatah lagi tindakan yang membawa kepada fitnah perpecahan solidariti ummah . Justeru itu PAS tidak boleh dicabar keabsahannya untuk bergerak sebagai sebuah badan yang sah , selamat dan berwibawa dalam negara ini .

Menganggap PAS sebagai bughah bukan sahaja tidak benar tetapi menunjukkan sikap tidak teliti dalam memahami nas dan istilah bughah .

Benarkah Pemerintah Tidak Boleh di Tegur Secara Terbuka .

Setelah diambil segala langkah yang didedahkan tadi , kedegilan UMNO & BN melenyapkan segalanya .

Betapa terkilannya hati dan hancurnya perasaan menyaksikan UMNO & BN bagaikan berpesta setiap kali menolak cadangan dan nasihat dari PAS . UMNO & BN tidak sahaja menolak cadangan dan nasihat kerana ia datang dari PAS tetapi didorong oleh sikap anti Islam .

Sebagai contoh , kabinet kerajaan UMNO & BN pernah menolak mentah – mentah cadangan dan draf etika berkait dengan industri hiburan yang dikeluarkan oleh JAKIM supaya ianya menurut lunas – lunas Islam .

Fatwa mufti mengenai konsert – konsert dan road show artis yang tentunya tidak menepati tatatertib syara’ juga mengalami nasib yang sama . Bukan sahaja tidak diendahkan fatwa tersebut malah konsert tersebut diperhebat dan diperbanyakkan .[3]

UMNO & BN sering menindas dan menyakiti PAS dengan pelbagai tohmahan melalui media massa yang mereka kuasai dan terus membohongi rakyat dan bersandiwara disebalik sikap hipokrit mereka .

UMNO & BN turut menggunakan polis dan FRU untuk membelasah pemimpin , ahli dan penyokong PAS yang tidak bersenjata .

UMNO & BN juga menggunakan ISA untuk mengurung musuh politiknya secara kejam tanpa peluang membela diri dan menyeksa diri dan keluarga tahanan.

UMNO & BN sering mendakwa bahawa negera ini negara demokrasi tetapi memimpin dan mentadbirnya secara autokrasi .

Segala tekanan , penderitaan dan kesengsaraan ini hanya dirasai oleh pejuang – pejuang Islam dan kebanyakkan mereka adalah ahli PAS . Apa yang boleh mereka lakukan untuk “menjawab” segala kekejaman dan kezaliman UMNO & BN ?

Allah berfirman :

اذن للذين يقاتلون بأنهم ظلموا و ان الله على نصرهم لقدير .

Diizinkan ( berperang ) bagi orang – orang yang diperangi kerana sesungguhnya mereka dizalimi dan sesungguhnya Allah Maha kuasa menolong mereka .

Surah al Hajj : Ayat 39

Firman Allah swt. lagi :

لا يحب الله الجهر بالسوء من القول الا من ظلم و كان الله سميعا عليما .

Allah tidak suka perkataan buruk ( yang diucapkan ) secara terbuka kecuali oleh mereka yang dizalimi . Allah adalah Tuhan Yang Maha mendengar lagi Maha Mengetahui.

Hukum Mendedahkan Kesalahan Pemimpin

Mendedahkan sesuatu perkara yang betul-betul ada pada seseorang yang tidak disenangi penghebahannya oleh orang tersebut sama ada perkara tersebut adalah perbuatan atau sifat kejadian samalah hukumnya dengan mengumpat.

Hukum asal kepada mengumpat adalah haram kerana dengan mengumpat, aib seseorang muslim itu akan didedahkan kepada orang ramai sedangkan Islam mewajibkan para muslim untuk menyembunyikan aib seseorang.

Namun di dalam beberapa keadaan mengumpat dibenarkan oleh Islam.

Al-Imam Al-Ghazali dan Al-Imam Al-Nawawi[4] mendedahkan kepada kita 6 keadaan perbuatan mengumpat itu dibolehkan oleh Syarak.

Kesimpulannya adalah seperti berikut

1. Orang yang dizalimi membuat aduan kepada pihak pemerintah seperti Khalifah dan hakim ataupun kepada orang yang mempunyai kemampuan berkaitan dengan individu yang menzaliminya agar kezaliman itu akan dibanteras.

2. Perbuatan mengumpat ( mendedahkan ) itu adalah bertujuan untuk membasmi kemungkaran seperti apabila seseorang berkata kepada orang yang mempunyai kemampuan untuk mengubah kemungkaran "Si Fulan melakukan kemungkaran maka cegahlah ia daripada kemungkaran tersebut". Namun hendaklah niat mengumpat atau pendedahan tadi semata-mata kerana ingin mencegah kemungkaran.

3. Meminta fatwa daripada seorang mufti yang mana orang yang bertanya terpaksa menggunakan umpatan bagi menjelaskan masalahnya kepada sang mufti. Contohnya si penanya bertanya "Ayah saya menzalimi saya kerana sebab begini dan begini. Bagaimanakah cara untuk saya mendapatkan hak saya?"

4. Memberikan peringatan kepada para muslim terhadap kejahatan seseorang agar setiap orang dapat menghindari kejahatannya.

5. Apabila seseorang itu menzahirkan kemungkaran yang dilakukannya. Maka ketika itu tidak mengapa seandainya kita menghebahkan kepada masyarakat kejahatan yang dilakukannya kerana dia sendiri telahpun menzahirkan kejahatannya secara terang-terang. Walaubagaimanapun kejahatan yang dibenarkan untuk didedahkan hanyalah perbuatan munkar yang dilakukannya secara terang-terangan. Adapun kejahatan lain yang dilakukannya secara bersembunyi maka haram hukumnya untuk didedahkan kepada masyarakat umum.

6. Mengumpat dengan tujuan mengenali seseorang. Apabila seseorang individu dikenali dengan sesuatu aib yang ada pada dirinya maka kita boleh menggunakan gelarannya yang merupakan aib tersebut atas tujuan untuk mengenali orang tersebut. Namun kebenaran ini dibolehkan dengan syarat si pemilik aib tersebut tidak merasa marah dengan gelaran aib yang disandarkan kepadanya selepas gelaran tersebut dikenali oleh orang ramai.

Kesimpulan

Hasil daripada 6 keadaan yang dibolehkan mengumpat ini, kita dapati bahawa mendedahkan kezaliman dan kemungkaran yang dilakukan oleh pemerintah UMNO pada hari ini adalah dibenarkan oleh Syarak atas sebab-sebab berikut:

1. Kemungkaran yang dilaksanakan oleh pemimpin UMNO pada hari ini seandainya tidak didedahkan kepada masyarakat, maka masyarakat akan tertipu dengan zahir kebaikan mereka lantas mereka akan memilih UMNO sebagai parti yang memerintah. Namun apabila penyelewengan pemimpin-pemimpin UNMO didedahkan kepada masyarakat, maka ia akan mendorong mereka untuk menggantikan pemimpin-pemimpin lain yang amanah terhadap Islam dan rakyat.

Ini bermakna tindakan mendedahkan kesalahan mereka adalah kerana ingin mengelakkan masyarakat daripada ditimpa oleh kejahatan mereka yang tidak mahu meletakkan Islam sebagai pemutus kepada setiap keputusan negara.

Al-Imam Al Nawawi menyatakan di dalam syarah Sohih Muslim contoh-contoh ghibah dan umpatan yang dibenarkan:

ومنها أن يكون له ولاية لا يقوم بها على وجهها لعدم أهليته أو لفسقه فيذكره لمن له عليه ولاية ليستدل به على حاله فلا يغتر به ويلزم الاستقامة

Maka kalaulah pada zaman Khilafah Islamiah, seseorang rakyat boleh mendedahkan kepada Khalifah keburukan para menteri yang berada dibawahnya yang tidak amanah dengan harapan khalifah dapat menegurnya ataupun menggantikannya dengan menteri yang baru,

maka kita pada hari ini boleh untuk mendedahkan kepada rakyat kezaliman pemerintah dan tidak amanahnya mereka terhadap Allah dan rakyat kerana rakyat berkuasa untuk menjatuhkan pemimpin seperti ini di dalam pilihanraya di bawah sistem demokrasi pada hari ini.

2. Kemungkaran yang dibuat oleh pimpinan UMNO pada hari ini kebanyakannya dibuat secara terang-terangan. Maka ketika itu Islam tidak melarang mana-mana individu untuk mendedahkan kejahatan yang dilakukan secara zahir tersebut kepada rakyat dan orang awam.

Al Iman Al-Ghazali berkata:

وكانوا يقولون ثلاثة لا غيبة لهم الإمام الجائر والمبتدع والمجاهر بفسقه

Maka ini dengan jelas membuktikan bahawa pemerintah yang zalim, mendedahkan kezaliman mereka adalah dibenarkan agar masyarakat dapat selamat daripada kezaliman mereka. Pemerintah yang zalim juga telahpun membuat kezaliman tersebut secara terang-terangan.

Dari konsep kenegaraan pada hari ini, menyelamatkan masyarakat daripada kezaliman pemerintah adalah dengan cara tidak memberikan undian kepada mereka pada musim pilihanraya.

3. Pendedahan kejahatan para pemerintah pada hari kepada masyarakat adalah atas sebab kita ingin meminta bantuan masyarakat untuk mengubah kezaliman pemerintah dengan cara menjatuhkan mereka di dalam sistem demokrasi yang digariskan oleh perlembagaan Malaysia.

Penutup

Walaupun kita dibenarkan mendedahkan kepada rakyat kejahatan dan kezaliman para pemimpin yang zalim, namun keharusan ini hendaklah atas dasar ingin mencegah kemungkaran.

Namun, seandainya kemungkaran yang dilakukan oleh para pemimpin adalah kemungkaran tertutup yang hanya berkait antara dia dan Allah yang tidak melibatkan sebarang kezaliman kepada rakyat , maka haram hukumnya kita mendedahkan kejahatan yang disembunyikan oleh pemimpin tersebut kerana dengan menyebarkan kepada masyarakat umum, ini akan mendedahkan aib seseorang itu. Selagi mana kemungkaran itu tidak dilakukan secara terang-terangan maka kita tidak boleh mendedahkannya kepada masyarakat.

[1] Ini adalah kerana pertembungan PAS & UMNO bukan kerana nafsu merebut kerusi dalam pilihanraya , tetapi melibatkan soal prinsip dan dasar iaitu Islam demi mendaulatkannya di Tanahair ini sementara UMNO membangkang usaha tersebut .

[2] Antara orang – orang yang zalim ialah mereka yang enggan melaksanakan hokum Allah swt sekalipun mereka telah memiliki mandat untuk berkuasa . Ianya berasaskan firman Allah swt : و من لم يحكم بما أنزل الله فأولئك هم الظالمون . . Rujuk Surah al Maaidah : Ayat 45

[3] Saya dengar khabar , Sohibus samahah Mufti Negeri Perlis Dr. Asri Zainal Abidin juga ingin mengeluarkan fatwa berkait industri hiburan ini , jika benar apa yang saya dengar, harapan saya bila keluarnya fatwa itu nanti kerajaan dan kabinet tidak lagi menolak mentah – mentah fatwa tersebut.

[4] Nas Al-Imam Al-Nawawi dalam Syarah Muslim Bab Tahrim al Ghibah , adalah seperti berikut:

قال الإمام النووي في شرح مسلم باب تحريم الغيبة:
"والغيبة ذكر الانسان في غيبته بما يكره واصل البهت أن يقال له الباطل في وجهه وهما حرامان لكن تباح الغيبة لغرض شرعي وذلك لستة أسباب
أحدها التظلم فيجوز للمظلوم أن يتظلم الي السلطان والقاضي وغيرهما ممن له ولاية أو قدرة علي انصافه من ظالمه فيقول ظلمني فلان أو فعل بي كذا
الثاني الاستغاثة على تغيير المنكر ورد العاصي إلى الصواب فيقول لمن يرجو قدرته فلان يعمل كذا فازجره عنه ونحو ذلك
الثالث الاستفتاء بأن يقول للمفتي ظلمني فلان أو أبي أو أخي أو زوجي بكذا فهل له ذلك وما طريقي في الخلاص منه ودفع ظلمه عني
ونحو ذلك فهذا جائز للحاجة والاجود أن يقول في رجل أو زوج أو والد وولد كان من أمره كذا ومع ذلك فالتعيين جائز لحديث هند وقولها أن أبا سفيان رجل شحيح
الرابع تحذير المسلمين من الشر وذلك من وجوه
· منها جرح المجروحين من الرواة والشهود والمصنفين وذلك جائز بالاجماع بل واجب صونا للشريعة · ومنها الاخبار بعيبه عند المشاورة في مواصلته · ومنها اذا رأيت من يشتري شيئا معيبا أو عبدا سارقا أو زانيا أو شاربا أو نحو ذلك تذكره للمشتري اذا لم يعلمه نصيحة لا بقصد الايذاء والافساد · ومنها اذا رأيت متفقها يتردد إلى فاسق أو مبتدع يأخذ عنه علما وخفت عليه ضرره فعليك نصيحته ببيان حاله قاصدا النصيحة · ومنها أن يكون له ولاية لا يقوم بها على وجهها لعدم أهليته أو لفسقه فيذكره لمن له عليه ولاية ليستدل به على حاله فلا يغتر به ويلزم الاستقامة
الخامس أن يكون مجاهرا بفسقه أو بدعته كالخمر ومصادرة الناس وجباية المكوس وتولي الامور الباطلة فيجوز ذكره بما يجاهر به ولا يجوز بغيره الا بسبب آخر
السادس التعريف فاذا كان معروفا بلقب كالاعمش والاعرج والازرق والقصير والاعمى والاقطع ونحوها جاز تعريفه به ويحرم ذكره به تنقصا ولو أمكن التعريف بغيره كان أولى والله اعلم"