" Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini "

Thursday, August 02, 2007

Konvensyen Dewan Perwakilan Mahasiswa 1
( DPM – PMRAM ) : Dalam Nostalgia 1995 .

( Lampiran 1 )

Assalamualaikum ! Kedengaran suara memberi salam dari luar rumah dan sepertinya suara itu sangat dikenali , namun yang menghairankan kenapa dia datang dalam waktu yang sebegini ?

Pertengahan Tahun 1995 ( Mei )

Saya tidak ingat dengan tepat detik masa pada waktu itu , tetapi yang pasti ianya agak lewat malam sedang suara yang memberi salam adalah milik seorang sahabat karib yang tempat tinggalnya jauh di Syabiinalkom , mencecah jarak 5 jam perjalanan kereta ke rumah saya di Mandarah Alexandria .

Sebaik sahaja saya membuka pintu , tidak syak lagi apabila Akhi Zahid Yusuf yang juga merupakan sahabat karib saya segera menerpa bagai ada satu perkara besar ingin dihamburkan . Termengah – mengah beliau mungkin kerana mengambil perjalanan yang jauh untuk sampai ke rumah saya .

Saya yang mula menetap di Mandarah Alexandria pada awal 1995 selepas diamanahkan sebagai mandub PMRAM pada waktu itu faham benar akan kepenatan melalui perjalanan yang jauh di bumi Mesir.

Agenda Besar .

Setelah berehat seketika , Akhi Zahid melahirkan suatu yang nyata terbuku dalam dirinya dan kerananyalah beliau meredah masa dan jarak di malam buta .

Din ! kita mesti buat sesuatu untuk mengangkat dan memartabatkan mahasiswa kita di Mesir ini , khasnya yang tinggal di Muhafazah .

( Syebinalkom , Tanta , Damanhur , Iskandariah , Mansurah , Zaqaziq , Dumyat ) .

Malam Itulah bermula segala cambahan pemikiran yang berlangsung hingga ke awal pagi dan tercetus idea ingin menganjurkan Konvensyen DPM 1.

Mengumpul Jentera .

Langkah pertama kami ambil ialah menghubungi seorang lagi sahabat karib yang pasti tidak sempurna segala perancangan kami tanpa penyertaan beliau. Seorang sahabat dinamis dan segar ideanya malah pada pandangan saya beliau merupakan seorang yang agak genius dikalangan kami .

Beliau yang saya maksudkan ialah Akhi Ainul Helmi dari Mansurah . Apabila kami bertiga bergabung , lalu strategi mula digerakkan dengan membentuk team yang lebih mantap .

Kami bergerak ke Damanhur kerana sebahagian besar tenaga yang perlukan untuk menjayakan agenda besar ini berada di sana . Nama – nama seperti Ustaz Mansur Sulaiman ( kini sedang menyiapkan Phdnya di UKM ) , Ustaz Ahmad Adnan Fadhil ( kini Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Perlis ) , Ustaz Ramizu Abdullah ( kini Pensyarah di KIAS Kelantan ) , Ustaz Nik Syaikhan ( kini Mengajar di Perak ) , Ustaz Rosli Othman ( al Marhum – al fatihah ) .

Team ini kemudiannya dilengkapkan lagi dengan pembentukkan jawatankuasa dan potfolio yang lebih luas dan membentuk organisasi yang besar bagi menggerakkan konvensyen melibatkan 7 Muhafazah yang jaraknya sangat jauh antara satu sama lain .

Ustazah Mariam bt Othman ( kini Ketua Dewan Muslimat PAS Perlis ) dan anak buahnya dari Iskandariah serta Ustazah Nasirah bt Yusuf dan anak buahnya dari Mansurah tidak kurang penting memainkan peranan besar dalam pembentukkan team ini.

Road show menjelajah Muhafazah .

Ustaz Ainol Helmi menjadi nadi dalam menyediakan segala dokumen dan frame work kearah menjayakan Konvensyen ini. Beliau selaku setiausaha telah bertindak cemerlang biarpun mengalami pelbagai kesulitan dan berperanan besar sebagai "back up striker" kepada Ustaz Zahid Yusuf selaku Timbalan Pengarah 1 .

( Kalau tidak silap saya Jawatan Pengarah pada waktu itu diamanahkan kepada EXCO PMRAM = Pengerusi Lajnah Muhafazah )

Saya yang diamanahkan sebagai Pengarah Unit Promosi Konvensyen merangka jadual roadshow dan seluruh ajk Induk Konvensyen menyertai roadshow ke seluruh Muhafazah yang mengambil masa lebih kurang sebulan untuk mempromosikan Konvensyen .

Promosi lebih ditumpukan kepada memberi penjelasan mengenai matlamat dan objektif Konvensyen kepada seluruh mahasiswa/I dan kenapa mereka mesti menyertainya.

Serentak itu unit pendaftaran menjadi unit yang paling sibuk dengan menyenarai seluruh nama mahasiswa dari 7 Muhafazah . Check list dibuat dari masa kesemasa dan pendaftaran terus dibuka dengan talian 24 jam .

Lebih 2 minggu sebelum Konvensyen berlangsung , Ajk Induk Konvensyen telah berkampung di Mansurah dan tentunya rumah Ustaz Ainol menjadi ibu pejabat operasi 24 jam .

Alhamdulillah , kami telah menerima pendaftaran yang mengatasi target apabila 100% mahasiswa DPM dari 7 Muhafazah mendaftarkan diri.

Kerja kuat penuh dedikasi dari seluruh jentera induk Konvensyen dan juga seluruh Exco DPM dari seluruh Muhafazah meletakkan Konvesyen DPM 1 mencapai kejayaan gemilang.

Akhawat Mansurah dan Iskandariah

Tidak kurang juga sibuknya untuk persiapan logistic , persegaran dan segala aksesori Konvensyen seperti cenderamata , name tag , gerai , persiapan asas untuk bahan pameran dll berjaya ditangani dengan baik oleh mereka.

Meeting Ajk induk Konvensyen diadakan hampir setiap hari menjelang 2 minggu terakhir Konvensyen bagi memantau dan memastikan setiap unit selesai melaksanakan tugas.

Berita Gempar .

Sehari sebelum berlangsungnya Konvensyen DPM 1 di Mansurah , kami bagai disambar halilintar sejurus mendengar berita pembatalan Konvensyen tersebut setelah kami mengerahkan segala tenaga , masa dan memerah kering idea untuk menjayakan detik bersejarah ini .

Badan Pengurus PMRAM yang membawa berita malang ini turut sugul dan buntu lalu malam itu kami mengadakan meeting tergempar bagaimana mahu menangani situasi ini.

Setelah 2 bulan kami gerakkan jentera meredah musim peperiksaan Duur Mayu pula menelan kos beranggarkan RM 20.000 demi menjayakan Konvensyen bersejarah tentu sahaja sukar untuk menerima pembatalan ini.

Namun apa boleh buat , apabila ia adalah arahan dari pihak keselamatan Mesir dengan alasan keselamatan awam ekoran berlaku satu percubaan bunuh Presiden Husni Mubarak di Adis Ababa beberapa bulan sebelum itu.

Peringkat awal Konvensyen ini mendapat kebenaran dari pihak keselamatan Mesir kerana ia hanyalah melibatkan komuniti student Malaysia di bumi Mesir, namun malang terdapat campur tangan pihak Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah pada waktu itu yang menyebabkan pihak keselamatan Mesir menarik balik kebenaran yang telah diberikan.

Pun begitu , demi tidak melunturkan semangat Mahasiswa pada waktu itu , kami mengambil langkah dengan hanya memaklumkan berita pembatalan itu apabila semua Mahasiswa telah berhimpun di Mansurah pada pagi 4 Julai 1995 .

Nostalgia Konvensyen DPM 1 terus utuh dan mekar dalam ingatan kami dan pastinya ia sangat memories untuk dilupakan setelah kami berjaya membentuk team bekerja yang telah meninggalkan 1001 kenangan pahit dan manis.

Biarpun kami pernah melalui hari – hari sukar dalam membina team ini , alhamdulillah setelah mengalami proses jatuh bangun yang tentunya mematangkan kami semua , maka kini hubungan kami terus mekar dan bersama melibatkan diri dengan gerakan Islam di tanahair bagi meneruskan cita – cita besar yang belum terlaksana .

Tahniah juga kepada semua yang terlibat ( mungkin namanya tidak disebut disini ) terutama Anggota Badan Pengurus PMRAM dan para Penasihatnya.

1 Comments:

Anonymous Anonymous said...

Alahai...pemuda PAS

Parti PAS retorik sahaja sembahyang pun tak ikut sunnah tengok sahaja berbagai2 gaya sembahyangnya sebab itu mereka kata kita perlu dapatkan negara dulu baru perbetulkan yang lain2.Ustaz buatlah buku solat mengikut nabi barulah hebat,semua jemaah pemuda sembahyang serupa dengan Nabi Muhammad SAW.Satu lagi saya mengetahui dari sahabat saya mengikuti kuliah di paltalk geng wahhabi akan buat aqidah mengikut imam syafie,saya yakin sekali ustaz yang paling layak,insyaallah.

5:40 PM

 

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home