Saturday, September 29, 2007
Percubaan bunuh Naib Yang Dipertua PAS Pandan
Iskandar Abdul Samad
Sat Sep 29, 07 10:03:35 am MYT
Satu laporan polis akan dibuat tentang cubaan membunuh Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Pandan, Suhaimi Ghazali tengah hari semalam (28 September) di hadapan Masjid Nurul Hidayah, Kg. Pandan Dalam, Selangor. Selepas solat Jumaat, Suhaimi yang sedang mengedarkan risalah Ramadan khusus untuk ahli-ahli PAS telah dengan tiba-tiba diserang oleh seorang lelaki.
Lelaki tersebut telah menumbuk beliau beberapa kali. Lelaki itu kemudiannya telah beredar dari tempat itu sambil mengugut Suhaimi supaya meninggalkan kawasan itu dengan segera. Lebih kurang 10 minit kemudian, lelaki tersebut telah kembali dengan sebatang kayu dan terus menyerang dan memukul beliau bertubi-tubi kali sebelum ditahan oleh orang ramai. Akibat erangan itu Suhaimi telah cedera di kepala, tangan dan kaki.
PAS Kawasan Pandan memandang serius akan kejadian ini. Lebih-lebih lagi penyerang tersebut dikenali sebagai seorang AJK Pemuda Umno Cawangan di Kg. Pandan. Beliau juga pernah menyerang dan menumbuk seorang AJK Pemuda PAS Kawasan Pandan beberapa tahun yang lalu.
Oleh itu satu laporan polis akan dibuat di Ibu Pejabat Polis Ampang Jaya, Taman Dagang, Selangor pada hari Sabtu 29 September 2007, jam 11.00 pagi. PAS Kawasan Pandan mahu penyerang yang tidak bertamaddun ini dan yang tidak menghormati bulan Ramadan yang mulia ini dihukum.
* Iskandar Abdul Samad ialah
Yang Dipertua PAS Kawasan Pandan
Bantahan terhadap Memorandum Dewan Pemuda PAS
kepada Kementerian Pengajian Tinggi
Berhubung Isu Kebajikan Pelajar Russia dan India
DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI PENYAYANG
ana mewakili pelajar ISLAM di KIMS, BANGALORE... berita yg nta dapat tentang kami adalah TIDAK BETUL dan TIDAK BENAR SAMA SEKALI..untuk pengetahuan nta, pergaulan disini TIDAKLAH SEBEBAS seperti yg diperkatakan..
kami akui terdapat 4,5 couples, walaubagaimanapun hubungan mereka masih TERBATAS... kami sedang berusaha untuk menasihati mereka untuk meninggalkan perkara tersebut perlahan2...
"Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk."
an-nahl, 125..
Dakwaan yang menganggap kami berbelanja boros itu adalah satu PENIPUAN.. bayangkan kos SEKALI makan nasi goreng sahaja rm 5.. itu belum pun order air minuman...sewa rumah sebulan untuk seorang rm 250.. satu rumah kami kena bayar kepada tuan rumah sebanyak rm 1500..dan lain2 perkara lagi seperti bil internet, elektrik, telefon dan tambang auto @ tut2 ke bandar.. cuba nta fikir dan buat pengiraan secara teliti... secara kasar, kami hanya dapat menyimpan untuk tabungan masa depan lebih kurang rm 700 sebulan
kenyataan pihak kolej tidak menyediakan surau adalah TIDAK BENAR.. pihak kolej telah pun menyediakan surau di kediaman dan kolej.. hanya kesedaran pelajar diperlukan untuk mereka datang mengimarahkan surau.. Dan kami sedaya upaya mengajak rakan2 bersama2 mengimarahkannya... Alhamdulillah, usaha membuahkan hasil..
"Hanya yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Hari kemudian, serta tetap mendirikan shalat, menunaikan zakat dan tidak takut (kepada siapapun) selain kepada Allah, maka merekalah orang-orang yang diharapkan termasuk golongan orang-orang yang mendapat petunjuk"
at-taubah,18
seperkara lagi..tentang masjid terletak jauh dari kolej kami adalah PEMBOHONGAN SEMATA2.. jika berjalan kaki untuk ke masjid hanya memakan masa 10 minit.. kalau kami menaiki auto hanya 3 minit sahaja ke masjid..Jadi, TIADA ALASAN UNTUK KAMI TIDAK PERGI KE MASJID UNTUK SOLAT JUMAAT... ana benar2 musykil, dari mana nta dapat MAKLUMAT yang TIDAK BETUL tentang kami????... tindakan nta y terburu2 dan ENGGAN mendapat kepastian hanyalah memalukan diri nta dan parti nta sendiri...
kami pelajar2 KIMS BERBESAR HATI menerima kedatangan nta ke sini untuk melihat dan mengadili sendiri keadaan kami di sini..kenyataan nta yang tidak berasas merupakan satu tuduhan yang hanya menjatuhkan nama baik kami dan kolej.. justeru itu, kami mengharapkan nta membuat kenyataan MEMOHON MAAF kepada kami SECARA TERBUKA..
moga2 ramadhan kali ini tidak menjadi persengketaan antara kita umat islam...hamba Allah y inginkan kedamaian....
jika nta inginkan kepastian tentang kami, nta bolehlah menghubungi kami di email dibawah:
MAHASISWA!! LAWAN HABIS-HABISAN :
KAMI MEMBELA ANDA!
Penamaan calon bagi Pilihanraya Majlis Perwakilan Pelajar seluruh IPTA tempatan sudah berlangsung pada 26hb September lepas dan pengundian akan dijalankan pada 2hb Oktober 2007.
Namun, tindakan-tindakan yang dilakukan oleh pentadbir-pentadbir universiti, terutamanya di Universiti Malaya (UM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) untuk memastikan kemenangan mutlak parti pro UMNO/BN, iaitu parti Aspirasi nampaknya sudah sampai ke tahap yang cukup menjijikkan dan tidak pernah terpikir oleh kita sebelum ini.
Bayangkan bagaimana di UIAM, parti Aspirasi sepatutnya telah kecundang seawal peringkat penamaan calon lagi disebabkan oleh kegagalan mereka mengemukakan calon-calon pada hari penamaan calon pada 26hb September 2007.
Parti We Unite for Islam (WUFI) sudah memenangi 13 kerusi tanpa bertanding (termasuk dua lagi kerusi yang mana calon Aspirasi telah dibatalkan pencalonan kerana melanggar peraturan kempen) dan hanya memerlukan satu (1) kerusi sahaja lagi untuk mendapat simple majority 14 kerusi dari 27 keseluruhan kerusi yang dipertandingkan bagi membentuk kerajaan (Kabinet Students Representative Council) bagi Sesi 2007/2008.
Namun, atas arahan dari 'tangan-tangan ghaib' yang dipercayai didalangi oleh Kementerian Pengajian Tinggi yang sudah semestinya merupakan arahan langsung dari UMNO, tidak semena-mena, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar UIAM dipaksa untuk mengeluarkan satu notis yang memaklumkan bahawa penamaan calon untuk Pilihanraya kampus UIAM akan diadakan semula pada 1hb Oktober 2007 (Isnin)!!
Lihatlah betapa 'gilanya' UMNO/BN yang berselindung menggunakan topeng KPT dan pentadbir UIAM untuk melaksanakan apa jua cara dan tipu muslihat, semata-mata untuk memastikan mereka dapat menawan kembali kampus UIAM.
Begitu juga di kampus UM, dimana terdapat 16 orang calon Aspirasi tidak layak bertanding disebabkan sudah berada di semester akhir pengajian, sedangkan peraturan pilihanraya UM mensyaratkan bahawa seseorang calon yang hendak bertanding mestilah mempunyai baki pengajian sekurang-kurangnya dua semester.
Kumpulan gabungan mahasiswa yang berlawan dengan Aspirasi mengemukakan bantahan dan sepatutnya Suruhanjaya Pilihanraya UM akan dengan mudah menerima bantahan tersebut dan memmbatalkan pencalonan 16 orang wakil Aspirasi tersebut oleh kerana ianya jelas berlawanan dengan peraturan pilihanraya yang digubal oleh UM sendiri.
Namun, SPR dan Timbalan Naib Canselor (HEP) menjadi begitu 'kecut' untuk membuat keputusan terhadap bantahan tersebut, sebaliknya mereka memberikan isyarat seolah-olah bantahan tersebut telah pun ditolak dan 16 wakil Aspirasi tersebut layak bertanding, walaupun jelas tidak mematuhi peraturan bertulis!
Bayangkan sekiranya parti gabungan mahasiswa yang mengemukakn calon yang tidak layak, saya amat yakin, aspirasi sendiri tidak perlu membuat bantahan. SPR akan awal-awal lagi menolak pencalonan tersebut tanpa perlu kepada bantahan.
Di kampus-kampus lain pula menunjukkan suasana yang hampir sama seperti tahun-tahun yang lepas, iaitulah calon aspirasi bebas berkempen di dalam kampus, bahkan ditaja dan dianjurkan pula majlis kempennya oleh pihak universiti. Sedangkan calon dari kumpulan lain diugut dan dilarang untuk masuk merayu undi di kolej-kolej kediaman dan asrama. Manakala para penyokong dan petugas terus diugut dan ditakut-takutkan.
Nampaknya, pentadbir-pentadbir universiti ini sudah menjadi semakin melampau dan semakin menurut apa sahaja arahan dari UMNO. Bukan lagi rahsia bahawa sebarang bentuk arahan politik dari KPT tidak perlu sangat kepada Menterinya untuk mengeluarkan arahan tersebut, namun cukup dengan panggilan telefon atau mesyuarat yang hanya dihadiri oleh Ahmad Ikmal Ismail, Pegawai Khas Menteri yang kebetulan merupakan Pengerusi Biro Pendidikan Pemuda UMNO.
Si pencacai inilah yang menjadi antara perancang utama yang amat digeruni oleh hampir kesemua Naib Canslor dan Timbalan-Timbalan Naib Canselor IPTA..
Saya ingin ulangi seruan saya kepada parti-parti Barisan Alternatif dan NGO-NGO, kita jangan berselindung lagi. Marilah kita turut serta bergiat secara aktif dalam politik pelajar. Semakin kita mengelak, maka semakin bobrok situasi di dalam kampus dan jangan harap produk kampus tempatan akan berani untuk menyokong kita apabila tamat pengajian kelak.
UMNO/BN yang pengecut itu tidak perlu menunjukkan muka secara langsung disebabkan mereka memakai topeng KPT dan Hal-Ehwal Pelajar. Mari kita 'bakulsampahkan' Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 itu yang telah sekian lama dijadikan bahan ugutan kepada pelajar supaya menjauhi kita, sedangkan UMNO/BN telah 'memperkosanya' sejak dari dulu lagi.
Kepada mahasiswa, lakukan apa sahaja untuk menentang ketidakadilan dan diskriminasi sepanjang pilihanraya kampus sesi ini. Kalau perlu berdemonstrasi, maka berdemonstrasilah dengan penuh berani. Laksanakan kempen secara terbuka. Edarkan risalah-risalah anda secara terbuka. Jika ada yang ditangkap atau didakwa di mahkamah universiti, jangan risau dan takut, kerana kami Pemuda PAS dan PKR akan membela anda.
Yang benar,
ABDULLAH A. KARIM
Exco Dewan Pemuda PAS Pusat/
Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pahang/
Mantan Presiden PMUKM 2001/2002.
Thursday, September 27, 2007
KELUARGA PENUNTUT TERENGGANU MESIR DITINDAS
Oleh : Pencak Tengkolok (kiriman e-mail)
Intro
Keluarga Penuntut Terengganu adalah satu badan kebajikan anak negeri yang diasaskan sejak 1964. KPT telah menempa pelbagai kecemerlangan dari dulu sehinggalah sekarang.Kesatuan mahasiswa Terengganu amat terjalin rapat. Ukhuwwah yang berteraskan ikatan iman dan islam menjadikan hubungan sesama mahasiswa teramat rapat sehinggakan segala perjalanan badan kebajikan anak negeri dapat berjalan dengan lancar.
Setelah Asrama Darul Iman dirasmikan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato Seri Idris Jusuh pada 9 September 2007 lepas, KPT dinafikan haknya untuk menaungi anak-anak Terengganu.Ura-ura dari encik Mat Ropi yang bertegas pada mulanya bahawa KPT akan tetap berada di Asrama Darul Iman amat mengecewakan semua pihak.
Ucapannya tidak lebih mahu menarik pelajar supaya mereka merasakan dirinya menjaga kebajikan semua ahli, termasuk persatuan KPT.Sebenarnya, antara fakta yang perlu diketahui, KPT sebenarnya sebuah badan kebaikan yang berdaftar dibawah Kedutaan Mesir. Walaupun pendaftarannya lewat, akan tetapi pendaftarannya di Kedutaan telah menjamin haknya untuk menaungi anak Terengganu.
KPT perlu mendapat HAKNYA
Kedutaaan Malaysia Kaherah akan menjaga setiap persatuan anak-anak negeri yang bernaung dibawah mereka. Kedutaan sewajarnya, memberikan kata putus terhadap hak KPT terhadap pengiktirafan yang mereka dapat setelah berdaftar pada akhir tahun 2003/2004.
KPT yang mempunyai perlembagaan sebuah persatuan adalah badan yang tidak boleh diganggu gugat oleh mana-mana pihak. Ini adalah satu hak kebebasan menyatakan pandangan dan bebas berpesatuan. Sepertimana yang diperuntukan oleh perlembagaan Malaysia.Encik Mat Ropi sepatutnya mengambil tindakan yang lebih wajar.
Permainan politik murahan UMNO yang mahu menggula-gulakan mahasisa supaya menjadi penyokong kepada Gagasan Islam Hadhari amatlah dikesali.Alam kemahasiswaan tidak sama alam persekolan dahulu. Begitulah juga, pemikiran dan tidakan mahasiswa tidak sama dengan pelajar sekolah menengah.Mahasiswa berhak menyuarakan pandangan mereka dalam semua perkara yang tidak bercanggah dengan norma seorang manusia beraklak.
Pertahankan KPTSekuat mana ribut yang melanda , para ahli KPT perlu dan wajib bersatu dalam menyuarakan hak mereka .Mempertahankan KPT sebagai satunya wadah anak terengganu bukanlah diaanggap sebagai ta'asub , kerana ta'asub bermakna menolong kaum/kelompok sendiri dalam perkara kemungkaran. Adakah KPT melakukan kemungkaran?..
Tentu tidak, hanya kerana politik balas dendam dan hasad dengki maka di perlakukan sebegitu rupa KPT.Bangkitlah ahli-ahli KPT bersatu , rapatkan kembali saf -saf perjuangan. Sepakat kata dalam sebarang tidakan adalah satu jalan penyelesaian dalam berhadap dengan Pegawai HEP ini.
Kesatuan adalah Kemenangan!!
Dewan Pemuda PAS Pusat menerima kunjungan Persatuan Sekerja Dewan Bahasa dan Pustaka di pejabatnya pada 11 September 2007 baru - baru ini pada jam 11 pagi.
Banyak perkara yang disentuh dalam perbincangan dua hala tersebut , khasnya melibatkan isu bahasa melayu dan perjuangannya.
Wednesday, September 26, 2007
Memorandum DPP Pusat ke Majlis Raja - Raja Melayu
"Saya akan mengadap Tuanku Sultan Perak yang merupakan Pengerusi Mesyuarat Majlis Raja-Raja Malaysia dan akan majukan memorandum ini kepada baginda sewaktu pre-council Mesyuarat Majlis Raja-Raja Malaysia nanti."
Demikian janji yang disampaikan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia Engku Tan Sri Dato' Ibrahim Engku Ngah sewaktu bertemu rombongan Pemuda PAS Pusat yang hadir ke pejabat beliau semalam bagi menyampaikan memorandum berkaitan pelantikan Tan Sri Dato' Zaki Tun Azmi yang penuh kontroversi sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan.
Rombongan Pemuda itu diketuai oleh Ketua Pemudanya Salahuddin Ayub, Timbalannya Ustaz Nasruddin Tantawi, Setiausaha Pemuda Sabkly Latif dan beberapa AJK dan pimpinan pemuda yang lain dan turut hadir sama mengiringi Engku Ibrahim ialah Penolong Setiausaha Dato' Sabtu Awab.
Pelantikan Zaki sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan sangat kontroversi dan mendapat perhatian banyak pihak termasuk pengamal undang-undang, kata Salahuddin ketika satu sidang media yang diadakan di ruang legar pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia.
"Lantikan secara terus Zaki yang merupakan seorang peguam menjadi Hakim Mahkamah Persekutuan yang mana mahkamah tertinggi ini mengundang pelbagai persoalan kepada sistem kehakiman negara ini.
"Merujuk kepada amalan biasa pelantikan biasanya dibuat berdasarkan kepada hakim-hakim ini akan melalui proses pelantikan dari Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan seterusnya menjadi Hakim Mahkamah Persekutuan," kata Ahli Parlimen Kubang Kerian itu.
Sebelum ini, beliau telah membawa usul di Parlimen bagi membahaskan pelantikan Zaki Tun Azmi itu namun ditolak Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Ramli Ngah Talib.
Salahuddin berkata beliau pernah menyemak rekod-reokd prosedur pelantikan hakim di negara-negara Komanwel dan tidak pernah berlaku sebagaimana yang terjadi di Malaysia ini, malah dianggap adalah sesuatu yang luar biasa dan memeranjatkan banyak pihak.
Tambahan pula katanya umum mengetahui beliau adalah pemegang jawatan penting dalam Umno, kata Salahuddin dan dikhuatiri pelantikan beliau ini akan mewujudkan 'trend' yang kurang baik dalam amalan kehakiman di negara ini.
"Kita hantar memorandum ini supaya Majlis Raja-raja membincangkan semula pelantikan beliau yang dilihat boleh menjatuhkan kredibiliti dan integriti badan kehakiman di negara ini," katanya kepada para pemberita yang hadir di sidang media itu.
Zaki pernah langgar undang-undang?
Peguam terkemuka, Tan Sri Zaki Azmi menjadi orang pertama yang dilantik terus sebagai hakim Mahkamah Persekutuan, dan tidak mengikuti urutan kebiasaannya di mana seseorang itu terlebih dahulu dilantik menjadi hakim Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.
Zaki mempunyai rekod 'yang masih segar' terlibat dengan perbagai syarikat korporat, firma guaman, parti politik malah juga masih segar dalam melakukan kesalahan secara sedar melanggar undang-undang dalam perkahwinan beliau.
Peguam berusia 62 tahun itu, yang mempunyai kaitan rapat dengan Umno - pernah menjadi penasihat undang-undang parti itu - menerima watikah perlantikannya daripada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Negara 6 September lalu.
Zaki, anak kepada Tun Azmi Mohamed yang menjadi Ketua Hakim Negara dari 1966 hingga 1974, merupakan perunding kepada sebuah firma perundangan terkenal sejak September lalu.
Beliau juga pernah dilantik menganggotai Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis pada 2004. Zaki juga merupakan Penasihat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta Majlis Sukan Negara.
Zaki juga pernah menjadi pengerusi jawatankuasa disiplin Umno, setiausaha jawatankuasa pemilihan Umno dan timbalan pengerusi lembaga rayuan disiplin Umno.
Kontroversi perceraian
Bagaimanapun, Zaki melepaskan jawatan tersebut pada 2005 ekoran tercetusnya kontroversi berhubung perceraiannya dengan isterinya keduanya yang berusia 30-an.
Zaki mengahwini Nor Hayati Yahaya, 32, pada bulan Mei 2005 dan mereka berpisah selepas tiga bulan mendirikan rumahtangga.
Pasangan tersebut dikahwinkan oleh seorang kadi dari Thailand di Perlis dan kedua-duanya bersetuju untuk membakar sijil asal perkahwinan mereka bagi menyembunyikan perkara itu daripada pengetahuan isteri pertamanya.
Mereka juga mencapai persetujuan sebelum perkahwinan itu bahawa jika hubungan mereka bermasalah, mereka bersetuju untuk berpisah.
Sejak itu, Zaki mendakwa beliau menerima pelbagai ugutan dari Nor Hayati, termasuk dakwaan meminta RM10 juta daripadanya. Nor Hayati juga didakwa mendesaknya supaya mendaftarkan perkahwinan mereka, jika tidak, Norhayati didakwa mengugut untuk mencemarkan reputasi Zaki
PENINDASAN DI KAMPUS IPTA :
POLITIK ADALAH MOTIFNYA!
Oleh:
ABDULLAH A. KARIM
EXCO DEWAN PEMUDA PAS PUSAT
Ketua Penerangan DPPN Pahang
BEKAS PRESIDEN
PERSATUAN MAHASISWA UKM (PMUKM) 2001/2002
PERSATUAN MAHASISWA UKM (PMUKM) 2001/2002
Insiden-insiden terkini sebagaimana yang dilaporkan di dalam media alternatif berkaitan dengan tindakan ganas pihak berkuasa beberapa IPTA tempatan seperti UPM dan UIA terhadap para mahasiswa yang dipercayai menyokong parti pelajar yang bukan dari kelompok pro-Aspirasi sejak seminggu lepas, bukanlah suatu perkara yang luar biasa setiap kali menjelang pilihanraya, terutama semenjak tahun 2001/2002.
Maka. tidak perlulah Naib Canselor UPM yang bertaraf Profesor Datuk Dr untuk mengeluarkan satu kenyataan bodoh semata-mata untuk menjustifikasikan tindakan para ‘samseng bergaji’ yang terdiri dari pegawai-pegawai keselamatan dan Hal Ehwal Pelajar (HEP) UPM menggeledah dan merampas komputer riba dan lain-lain peralatan peribadi milik seorang pelajar bernama Yee Yang Yang oleh kerana dari kenyataan itu sendiri terbongkar jelas bahawa ianya bermotifkan politik, selain ditambah alasan yang hingga sekarang masih belum dibuktikan, iaitulah kononnya pelajar terbabit menyimpan bahan-bahan pornografi di dalam komputernya.
Di dalam satu kenyataan media bertarikh 17hb September 2007, Naib Canselor UPM menyatakan antara lain bahawa semasa Bahagian Keselamatan UPM menjalankan penggeledahan ke atas bilik yang didiami pelajar terbabit, mereka telah menemui sejumlah risala-risalah yang ‘dicetak oleh persatuan yang tidak berdaftar’, justeru ianya merupakan satu kesalahan di bawah Perkara 12 (1) Kaedah-Kaedah UPM (Tatatertib Pelajar-Pelajar).
Persoalan yang ingin kita ajukan kepada pihak pentadbir dan HEP UPM ialah, apakah dia kandungan risalah-risalah atau bahan cetak yang dijumpai di dalam bilik asrama Yee Yang Yang pada malam 14hb September tersebut dan sekiranya risalah-risalah terbabit diterbitkan oleh ‘persatuan yang tidak berdaftar’, sila namakan persatuan tersebut.
Saya fikir pihak berkuasa UPM telah terperangkap dalam mainan sandiwara politik yang dipentaskannya sendiri. Walaupun mereka cuba memperbesarkan isu bahan-bahan lucah dengan tujuan memperkecil maruah dan kredibiliti pelajar terbabit, namun isu sebenar disini ialah apabila mereka menemui risalah-risalah tersebut di dalam bilik Yee Yang Yang. Dari maklumat sahih yang saya perolehi dari UPM sendiri, risalah yang ditemui di dalam bilik Yee Yang Yang ialah risalah-risalah berkaitan dengan pilihanraya kampus yang dikeluarkan oleh sebuah parti pelajar yang menggelarkan diri mereka sebagai Barisan Mahasiswa Bersatu (BMB).
BMB ini merupakan gabungan beberapa pertubuhan pelajar yang progresif yang terdiri dari berbilang kaum dengan tujuan untuk mencabar parti Aspirasi yang diketahui umum disokong sepenuhnya oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Naib Canselor serta seluruh organ pentadbiran UPM itu sendiri. BMB ini telah ditubuhkan beberapa minggu lalu dan telah memberikan satu impak besar terhadap politik kampus UPM.
Maka, tujuan sebenar operasi penggeledahan itu dilakukan oleh pentadbir UPM yang bersekongkol dengan parti Aspirasi adalah untuk mengesan dan menggertak mana-mana pelajar yang dikesan sebagai aktivis dan penggerak BMB tersebut. Kejadian yang menimpa Yee Yang Yang terbut bukanlah kejadian terpencil. Bahkan pada hari Isnin yang lepas (17hb September) bilik yang diduduki salah seorang pimpinan Persatuan Mahasiswa Islam UPM (PMIUPM) pula yang digeledah.
Cuma kali ini computer peribadi pelajar terbabit tidak pula dirampas. Mungkin mereka lebih berhati-hati selepas tersilap langkap dalam kes Yee Yang Yang. PMIUPM sememangnya diketahui umum sebagai salah satu persatuan pelajar yang ikut serta menubuhkan BMB tersebut. Setelah diamati, alasan bodoh kononnya operasi penggelededahan tersebut dilakukan untuk menyiasat kes kecurian di kampus tersebut selain dari alasan pelajar terbabit menyimpan bahan-bahan lucah, hanya timbul selepas Yee Yang Yang dan kawan-kawannya menghebohkan penganiayaan tersebut di dalam media alternatif, beserta dengan bukti rakaman audio visual yang boleh disaksikan oleh berjuta manusia dari seluruh dunia.
Pimpinan-pimpinan politik dan NGO berbondong-bondong membuat kenyataan mengecam perlakuan UPM ke atas pelajar terbabit. Mungkin akibat terasa bara tekanan yang datang, maka sebagai damage control, Naib Canselor UPM terpaksa mengeluarkan satu kenyataan bertulis untuk menutup bangkai yang busuknya sekampung.
Apa masalah sekiranya Yee Yang Yang dan mana-mana pelajar UPM yang lain bergerak atas platform BMB untuk bertanding dalam pilihanraya kampus? Jika para pelajar pro kerajaan bebas bertanding atas nama parti ASPIRASI, sila Naib Canselor UPM jelaskan prinsip perlembagaan dan demokrasi yang mana yang membenarkan hanya satu parti sahaja dibenarkan untuk bergerak dan parti-parti lain dianggap sebagai ‘pertubuhan haram’?.
Kesalahan Yee Yang Yang yang sebenarnya di mata pentadbir UPM adalah kerana Yee menjadi penggerak kepada BMB yang menjadi lawan kepada ASPIRASI. Maka disini, jelaslah bahawa politiklah yang mejadi motif sebenar.
Sebagaimana yang kita maklumi, sejak sekian lama pilihanraya kampus terutamanya di kampus-kampus utama di Lembah Kelang sentiasa menarik perhatian ramai dan dianggap sebagai medan pertandingan proksi di antara kumpulan pelajar pro kerajaan dan juga pro pembangkang meskipun acapkali dinafikan.
Sejak dari pertengahan tahun 90an hinggalah ke sekitar tahun 2000/2001, pilihanraya di hampir kesemua kampus tanahair dikuasai mutlak oleh para pelajar yang dilabelkan sebagai pro pembangkang. Dalam menghadapi pilihanraya tersebut, kumpulan ‘pro pembangkang’ ini biasanya terdiri dari gabungan Persatuan Mahasiswa Islam (PMI) yang dianggap sebagai persatuan yang paling berpengaruh di kampus-kampus, bersama-sama dengan kumpulan pelajar progresif dari kaum Cina dan India seperti DEMA dan lain-lain.
Selepas peristiwa Reformasi 1998, gabungan ini turut diperkuatkan lagi dengan kemasukan kumpulan pelajar pro ABIM dan JIM hingga menjadikan mereka menang besar di kampus-kampus. Manakala kumpulan pelajar pro UMNO/BN amat tidak popular hingga kalah teruk dan hilang wang pertaruhan. Pilihanraya Umum 1999 dilihat sebagai turning point utama yang menyebabkan kerajaan UMNO/BN mula memikirkan secara serius untuk membunuh terus sebarang potensi suara kritikal yang ada pada generasi muda di kampus.
Pilihanraya Umum ke 10 tersebut menyaksikan buat pertama kali dalam sejarah politik Malaysia, generasi muda melayu yang berpendidikan menolak UMNO/BN. Mujurlah lebih kurang 650,000 orang pengundi muda yang baru mendaftar sebagai pemilih, dinafikan hak mereka untuk mengundi di dalam Pilihanraya tersebut. Jika tidak, bertambah parahlah kekalahan yang dialami oleh UMNO/BN terutamanya di kawasan majoriti Melayu.
Selepas berhadapan dengan perkembangan yang amat membimbangkan ini, maka UMNO/BN melalui Kementerian Pendidikan dan juga Biro Pendidikan Pemuda UMNO yang pada waktu itu diterajui oleh Dato Dr Adham Baba dengan turut dibantu sepenuhnya oleh Biro Tatanegara (BTN) Jabatan Perdana Menteri, telah memulakan gerak kerja intensif untuk untuk menghapuskan terus pengaruh yang ada pada gerakan pelajar Islam yang mana tindakan ini adalah selaras dengan program induk UMNO/BN pasca Pilihanraya Umum 1999 iaitulah untuk mendapatkan kembali sokongan generasi muda terpelajar walau dengan apa cara sekalipun.
Manifestasi usaha terancang ini bukan sahaja dpat dilihat dengan grand design menguasai politik kampus, tapi termasuklah juga pendekatan lain seperti memperkenalkan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) bagi remaja lepasan SPM dan juga pengwujudan sayap Puteri UMNO.
Di kampus-kampus bermula sekitar tahun 2001/2002, Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) berperanan sepenuhnya untuk menjayakan agenda perdana UMNO/BN ini dan telah digerakkan sebagai jentera utama untuk berhadapan dengan MPP-MPP dan PMI-PMI. Buat pertama kali dalam sejarah pengajian tinggi negara, Timbalan Naib Canselor, Pegawai-pegawai HEP, Pengetua dan Felo-Felo Kolej bertukar menjadi lebih teruk dari Pengerusi JKKK atau pun Ketua Cawangan UMNO!
Mereka tidak lagi berperanan untuk membimbing pelajar dan meningkatkan taraf akademik IPT, tetapi telah berubah menjadi pencacai UMNO/BN untuk bermusuh dengan pemimpin pelajar dalam kedaan gaji dan elaun mereka dibayar oleh wang rakyat tanpa mengira parti. Mesyuarat-mesyuarat HEP yang diatur menjelang setiap kali pilihanraya kampus tidak lagi membincangkan bagaimana untuk meningkatkan prestij IPTA atau bagaimana untuk menyiapkan para graduan yang dapat memenuhi kehendak industri dan pasaran kerja.
Sebaliknya mesyuarat-mesyuarat tersebut sepenuhnya digunakan untuk mencatur strategi bagaimana untuk memenangkan kumpulan pro kerajaan di kampus. Seiring dengan itu, program-program anjuran MPP dan PMI dan persatuan-persatuan yang dikenal pasti dikuasai oleh mereka yang tidak sehaluan dengan dasar kerajaan kebanyakannya disekat. MPP yang seharusnya menjadi badan perwakilan pelajar bagi memperjuangkan kebajikan pelajar telah dihalang dari berperanan,hinggakan smapai ke tahap MPP dihalang untuk bertemu dengan pelajar yang berada di bawah kepimpinannya.
Bahkan yang lebih teruk, Minggu Orientasi digunakan sepenuhnya untuk memburukkan MPP dan PMI-PMI dan parti-parti pembangkang disamping pelajar baru diugut supaya tidak terlibat dengan sebarang kegiatan anjuran PMI yang sekiranya diengkari boleh dikenakan tindakan disiplin di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti.
Usaha jahat pakatan UMNO/BN dan HEP ini mencapai kemuncaknya di dalam Pilihanraya Kampus Sesi 2003/2004 apabila buat pertama kalinya HEP menaja parti politik pelajar yang sah dan berdaftar yang dikenali sebagai Kumpulan Aspirasi di hampir kesemua kampus IPTA bagi bertanding di dalam pilihanraya kampus sesi tersebut. Perbuatan ini jelas menyalahi undang-undang pilihanraya yang digubal oleh HEP sendiri.
Usaha terancang UMNO/BN ini terus disahut oleh media-media utama yang mempopularkan label pro-.aspirasi dan pro pembangkang. Tambah menjijikkan, hanya parti Aspirasi sahaja yang dibenarkan wujud untuk bertanding secara berkumpulan, manakala kumpulan selain dari aspirasi tidak dibenarkan untuk ditubuhkan bahkan jika ada pelajar yang bertanding secara berkumpulan selain dari aspirasi diugut untuk diambil tindakan dan dibatalkan pencalonan mereka!
Di kebanyakan kampus, Timbalan Naib Canselor HEP sendiri yang dilantik sebagai Penaung atau pun Penasihat kepada parti aspirasi ini dan mereka dibenarkan bergerak dan berkempen secara rasmi di seluruh kampus. Padahal pada masa yang sama, Timbalan Naib Canselor HEP di kebanyakan IPTA merupakan Pengerusi kepada Urusetia atau pun Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) yang dilantik bagi mengendalikan perjalan pilihanraya MPP. Begitu juga dengan pegawai-pegawai HEP dan Pengetua-Pengetua Kolej yang turut dilantik sebagai urusetia SPR.
Keadaan ini samalah ibarat Pengerusi Tetap UMNO atau pun Presiden UMNO dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) bagi mengendalikan Pilihanraya Umum yang UMNO/BN turut bertandung! Dalam keadaan calon-calon lain tidak dibenarkan mengadakan kempen terbuka, sudut pidato dan juga menerbitkan risalah propaganda kempen, parti Aspirasi menikmati semua keistimewaan tersebut dengan segala roadshow dan ceramah mereka dijadikan program rasmi kolej-kolej kediaman dengan penghuni-penghuni kolej diwajibkan untuk menghadirinya.
Penerbitan risalah dan buletin kempen mereka juga ditaja sepenuhnya oleh HEP dan dengan mudah mendapat cop kebenaran untuk disebarkan secara meluas di dalam kampus. Risalah kempen dari calon-calon lain dianggap sebagai “risalah haram” dan sesiapa yang memiliki dan mengedarkannya boleh dikenakan tindakan tatatertib.
Perkara inilah yang sedang berlaku di UPM sekarang. Para pelajar terutamnya pelajar-pelajar baru saban malam dikumpulkan pada malam-malam kempen untuk dibrainwash oleh Pengetua-pengetua dan felo-felo kolej kediaman dan diugut berulangkali supaya hanya menyokong calon tajaan universiti (aspirasi) dan tidak mengundi calon-calon yang lain yang dilabel sebagai calon gerakan bawah tanah dan pro pembangkang.
Malahan ugutan yang diberikan sampai ke tahap tukang-tukang ugut ini mendakwa yang undi para pelajar tidak rahsia dan mereka boleh mengetahui siapa yang diundi oleh para pelajar. Jika didapati para pelajar mengundi calon selain dari aspirasi, pelajar tersebut tidak akan dibenarkan untuk menjadi penghuni kolej kediaman tersebut pada semester akan datang.
Di UKM sebagai contoh, pada saat kempen pilihanraya sedang berjalan, pada ketika itulah Unit Perumahan HEP mengeluarkan borang permohonan untuk tinggal di kolej pada semester yang akan datang dimana borang tersebut perlu diisi dengan mendapat tandatangan pengetua–pengetua kolej yang memang hampir kesemuanya adalah penasihat kepada parti Aspirasi di peringkat kolej kediaman.
Ini bertujuan untuk memberi tekanan psikologi kepada pelajar-pelajar untuk hanya mengundi calon-calon Aspirasi. Pada hari pengundian pula, pentadbiran kolej akan mengeluarkan senarai nama calon-calon Aspirasi yang mesti diundi oleh para pelajar dengan cara ditampalkan senarai tersebut di papan tanda rasmi kolej kediaman.
Kempen ugut ini kelihatan begitu berjaya sekali menimbulkan ketakutan dikalangan pelajar. Tidak cukup dengan itu, bilik para pelajar yang disyaki menjadi aktivis kumpulan yang bukan Aspirasi seperti BMB di UPM digeledah dan dicari apa jua bukti untuk mengaitkan pelajar tersebut sebagai terbabit dengan pertubuhan haram dan underground.
Bermula pada tahun 2003 juga, diperkenalkan beberapa peraturan baru yang amat berat sebelah dan amat tidak munasabah serta menjadikan pilihanraya pelajar lebih rendah martabatnya daripada proses memilih pengawas atau pun ketua darjah di sekolah rendah. Peraturan ini pula dari segi implementasinya hanya terpakai kepada calon-calon bukan dari kumpulan aspirasi di samping memberikan banyak advantage kepada calon-calon Aspirasi, antaranya :
1) Rapat umum dan kempen pidato terbuka bagi calon memperkenalkan dirinya dan manifestonya telah diharamkan dan diganti dengan kempen pidato melalui rakaman video yang mana kandungan ucapan calon hendaklah disahkan terlebih dahulu oleh Suruhanjaya Piliahnraya (SPR). Tetapi pada masa yang sama calon-calon Aspirasi dibenarkan berkempen secara terbuka di kolej-kolej kediaman melalui majlis-majlis kempen yang dianjurkan secara rasmi oleh Pengetua-pengetua kolej kediaman.
2) Pusat pembuangan undi yang selama ini diletakkan di fakulti-fakulti dimana dekan-dekan fakulti bertindak selaku pegawai pengurus pilihanraya (returning officer) telah dipindahkan ke kolej-kolej kediaman dibawah seliaan pengetua-pengetua kolej yang berkebetulan turut menjadi penasihat kepada parti aspirasi di peringkat kolej kediaman. Sedangkan tindakan memindahkan pengendaliaan pilihanraya ke kolej kediaman di bawah seliaan pengetua kolej adalah jelas bertentangan dengan Artikel 48 (2)(a) Jadual Pertama, Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971.
3) Proses pengiraan undi tidak lagi dijalankan secara yang telus dimana Counting Agent calon-calon tidak dibenarkan lagi untuk memerikasa kertas undi an mengikuti pengiraan undi dari dekat sebagaimana yang dibenarkan sebelum ini. Di kebanyakan universiti pengiraan undi dijalankan oleh kakitangan-kakitangan kolej dan HEP dengan cara yang tergesa-gesa dan penuh kerahsiaan dan menimbulkan banyak persoalan dari segi ketelusannya.
4) Poster-poster dan banner-banner calon- calon yang bertanding telah diseragamkan bentuk dan saiznya dan diuruskan sepenuhnya oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR).
5) Proses pengisian borang penamaan calon telah diperketatkan prosedurnya dengan calon-calon perlu mendapatkan tandatangan dari Pengetua Kolej dan pegawai-pegawai HEP. Terdapat banyak kes calon-calon bukan aspirasi dinafikan hak untuk mendapatkan tandatangan oleh pegawai-pegawai HEP dan Pengetua Kolej yang sememangnya menjadi penasihat kepada parti Aspirasi.
6) Tempoh kempen telah disingkatkan kepada hanya dua hari setengah sahaja berbanding dengan sekurang-kurangnya 7 hari sebelum ini. Tempoh singkat ini tidak mencukupi bagi calon selain aspirasi. Sedangkan calon-calon aspirasi yang dibantu kempen mereka oleh pentadbir universiti telah mula berkempen sejak dari permulaan semester lagi melalui Minggu Orientasi.
7) Di UIA bermula pada tahun 2005, diperkenalkan prosedur selection before the election yang amat tidak munasabah dimana sesiapa yang berhasrat menjadi calon dikehendaki melepasi ujian personaliti, public speaking dan ujian Bahasa Inggeris.
Selama setahun kempen jahat dan berat sebelah ini berjalan dengan ditambah dengan peraturan gila yang dilaksanakan, maka kesannya kelihatan begitu ketara dalam pilihanrata kampus 2003/2004. Mood politik pelajar semakin menurun bahkan majoriti pelajar IPTA mengundi dalam keadaan takut dan penuh tekanan yang membuatkan mereka tidak dapat membuat pilihan yang bebas.
Memang kalangan pelajar kita masih punya idealisme yang utuh, tapi pada masa yang sama mereka juga harus memikirkan survival diri dan pengajian mereka. Satu undi kepada calon bukan aspirasi, bermakna mereka berdepan dengan risiko disingkirkan dari kolej kediaman atau pun dikenakan tindakan tatatertib.
Dengan keadaan pilihanraya yang dijalankan cukup kotor dan jijik, maka keputusannya awal-awal lagi telah dapat dijangkakan. Buat pertama kali dalam tempoh lapan tahun, kumpulan pelajar progresif tewas teruk di hampir kesemua kampus-kampus yang selama ini menyaksikan kumpulan pro kerajaan begitu sukar untuk menang, kecuali di UM dan di UIA.
Gerakan pelajar Islam dan lain-lain kumpulan pelajar progresif telah disembelih terlebih dahulu pada tahun 2003 sebelum dari PAS dan PKR diganyang dalam Pilihanraya Umum 2004! Situasi penyelewengan dan ketidakadilan dalam proses pengendalian pilihanraya kampus terus berlarutan pada sesi 2004/2005, 2005/2006 dan 2006/2007 yang menyaksikan kumpulan Aspirasi terus berkuasa selama empat sesi berturut-berturut atas segala penipuan dan pencabulan demokrasi yang dikonspirasikan bersama UMNO/BN di luar kampus.
SUHAKAM sendiri pernah menerbitkan suatu laporan bertajuk “ Report on the Allegations of Unfair Practices in relation to University Elections” pada penghujung tahun 2004 dimana laporan tersebut telah memuatkan berbagai senarai laporan 18 salah laku dan penyelewengan yang di dakwa berlaku semasa pilihanraya kampus 2003/2004.
Laporan tersebut juga menyebut bahawa SUHAKAM telah menulis surat kepada 11 buah IPTA untuk mendapatkan penjelasan berhubung dengan salahlaku dan penyelewengan semasa pilihanreaya tersebut, tetapi malangnya, hampir kesemua IPTA terbabit tidak mempedulikan langsung surat yang dihantar oleh SUHAKAM.
Logik yang dapat disimpulkan, sekiranya kesemua 18 salahlaku tersebut adalah tidak benar dan hanya rekaan, maka sudah tentulah kesemua IPTA terbabit akan menafikan sekeras-kerasnya. Ataupun tindakan yang paling bijak ialah membenarkan SUHAKAM memantau sendiri perjalanan pilihanraya kampus bagi sesi-sesi seterusnya.
Tetapi jelaslah bahawa IPTA-IPTA tersebut cuba menyembunyikan sesuatu dan amat takut sekiranya segala bentuk ketidakadilan yang dilakukan semasa mengendalikan pilihanraya kampus diketahui dan didedahkan oleh SUHAKAM. Maka tidak hairanlah, hingga ke pilihanraya kampus yang terbaru yang diadakan pada September tahun lepas, kesemua IPTA di Malaysia secara tegas menghalang SUHAKAM dari menjalankan gerak kerja pemantauan yang sememangnya menjadi salah satu tugasnya yang diperuntukkan oleh undang-undang.
Justeru, insiden malang yang berlaku di UPM dan beberapa kampus IPTA lain menjelang pilihanraya kampus sesi 2007/2008 ini hanyalah penyembungan dan rentetan dari siri-siri penindasan yang dilakukan oleh UMNO/BN dengan memperalatkan para pentadbir IPTA itu sendiri. Jangan diharap Menteri Pengajian Tinggi akan bertindak tegas untuk menghentikan penindasan ini, melainkan ianya medapat restu senyap dari beliau disebabkan jelas ianya menguntungkan politik pemerintah.
Maka apa yang perlu dilakukan oleh kita semua aktivis-aktivis di luar tembok kampus ini adalah untuk kita memperhebatkan tekanan dan desakan kita selain dari menghulurkan sebeberapa banyak bantuan yang boleh kita berikan kepada pelajar-pelajar yang progresif samada dari segi kewangan ataupun bantuan lain seperti khidmat nasihat guaman, strategi dan sebagainya.
Jangan terlalu pedulikan sekatan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 yang menghalang penglibatan pelajar dengan parti politik dan NGO kerana akta ini telah lebih dulu dicabul oleh pemerintah UMNO/BN sejak dari mula ianya diperkenalkan! Kepada pimpinan BA dan NGO, saya merasakan sudah tiba masanya untuk kita bergerak secara terang di dalam kampus, sebagaimana yang dilakukan oleh UMNO/BN.
Yang benar,
ABDULLAH A. KARIM
Bertarikh : 20hb September 2007
"PAS for All":
Pemuda PAS edar kuih bulan
di Rumah Orang Tua Ampang
Oleh : Nyza Ayob ( Hrkh )
Bersesuaian dengan slogan 'PAS For All' yang melangkaui sempadan, kaum dan agama, Lajnah Perpaduan Nasional (LPN) Pemuda PAS PUsat dengan kerjasama Pemuda PAS Selangor buat julung kali, hari ini mengedarkan kuih bulan kepada 50 orang penghuni Rumah Orang Tua Ampang.
Rombongan yang diketuai Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Tantawi dan Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Pemuda Pusat, Khairul Faizi Ahmad Kamil disambut baik oleh penghuni-penghuni yang terdiri daripada warga emas berusia 60 tahun ke atas.
Pada masa yang sama mereka turut mengedarkan buletin 'Rhe Min She She' iaitu buletin berbahasa Cina terbitan LPN.
Ustaz Nasrudin yang ditemui selepas mengedarkan kuih bulan tersebut, menyatakan langkah ini bersesuaian dengan slogan 'PAS For All' yang dilancarkan baru-baru ini, selain membentuk persepsi yang positif masyarakat bukan Islam terhadap perjuangan PAS.
Justeru katanya aktiviti mengedarkan kuih bulan ini akan dijadikan aktiviti tahunan LPN.
Dalam pada itu, jelas Khairul Faizi, sebelum ini, pengedaran kuih bulan dianjurkan oleh LPN PAS Pusat. Manakala tahun ini, LPN Pemuda PAS Pusat, selain mengedarkan di peringkat pusat, mereka juga mengambil inisiatif mngedarkan di peringkat negeri di mana sasaran mereka ialah di pejabat-pejabat akhbar berbahasa Cina.
"Pengedaran kuih bulan ini telah menjadi agenda untuk kita merapatkan hubungan dengan masyarakat Cina," jelasnya.
Sementara itu, Setiausaha Rumah Orang Tua Ampang, Chea Soon Seong menyatakan sukacita dengan kunjungan PAS. Tambahan pula, pemberian kuih bulan memang ditunggu-tunggu oleh kebanyakan warga emas setiap tahun.
"Mereka memang sungguh seronok apabila ada individu atau kumpulan yang menghulurkan kuih bulan untuk mereka. Memperolehi kuih bulan seolah-olah mereka menyambut 'bulan yang sudah tiba', katanya yang mengharapkan kunjungan seperti ini akan diteruskan pada tahun akan datang.
Rumah orang Tua Ampang yang terletak di Jalan Merdeka Kampung Bahru, Ampang telah dibina kira-kira 60 tahun yang lalu atas ihsan orang ramai.
Kebanyakan penghuninya terdiri daripada warga emas yang berusia 60 tahun ke atas, yang tidak mempunyai keluarga serta sanak saudara.
Lawatan Kerja ke Oriental Daily Sdn. Bhd.
Lajnah Perpaduan Nasional Dewan Pemuda PAS Pusat (LPN DPPP) telah mengadakan lawatan muhibbah ke ibu pejabat Oriental Daily Sdn Bhd di Wisma Dang Wangi Kuala Lumpur pada 25 September 2007.
Lawatan kerja ini bertujuan untuk menjalinkan perhubungan yang lebih mesra dengan pelbagai media yang ada dalam arus perdana negara.
Beberapa perkara telah dibincangkan semasa pertemuan ini dibuat termasuklah yang berkaitan dengan kerjasama yang boleh dilakukan diantara dua pihak, perkembangan jualan akhbar Oriental Daily dalam pasaran dan sasaran jualan akhbar ini.
Diakhir pertemuan, LPN DPPP telah menyampaikan cenderahati rasmi DPPP, 'Rhe Min She She', beberapa buku terjemahan kitab-kitab tentang Islam dalam bahasa Mandarin dan kuih bulan (Zhong Qiu) kepada Encik Chan Foo Hoong, News Editor Oriental Daily dan disampaikan oleh Timbalan Ketua DPPP, Ust Nasrudin Hassan At-Tantawi.
Khairul Faizi Ahmad Kamil
Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional
Dewan Pemuda PAS Pusat .
SURUHANJAYA MENYIASAT SKANDAL
PITA VIDEO V.K. LINGAM :
SATU LANGKAH POSITIF,
NAMUN KOMPOSISI AHLI DIRAGUI
Bagi pihak Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang, saya ingin memberi sedikit pandangan berhubung dengan pengumuman yang dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri hari ini (25hb September), bahawa kerajaan telah bersetuju menubuhkan suruhanjaya untuk menyiasat rakaman video perbualan diantara peguam Dato V.K Lingam dengan seorang hakim kanan yang dipercayai Ketua Hakim Negara.
Pada hemat saya, penubuhan suruhanjaya ini sedikit sebanyak dapat dilihat sebagai respon positif kerajaan terhadap sentimen sebenar rakyat Malaysia yang amat terkejut dengan pendedahan rakaman perbualan tersebut. Namun, ianya masih menimbulkan keraguan terhadap motif penubuhannya oleh kerana :
1) Ianya bukanlah satu suruhanjaya siasatan diraja yang dibentuk atas titah dan perkenan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu sebagaimana suruhanjaya-suruhanjaya diraja yang lain yang pernah dibentuk sebelum ini seperti dalam kes Dato Seri Anwar Ibrahim dipukul di dalam lokap.
Suruhanjaya yang diumumkan hari ini adalah jelas hanya ditubuhkan oleh badan Eksekutif, yang mana kerajaan sendiri (melalui nama-nama yang disebut di dalam perbualan tersebut) turut merupakan pihak yang terlibat. Situasi ini menunjukkan bahawa suruhanjaya ini bukan suruhanjaya bebas. Bagaimana suruhanjaya ini nanti dapat menyiasat secara adil dan benar-benar berkecuali?
2) Oleh kerana ianya ditubuhkan oleh kerajaan, sudah tentu ahli-ahli suruhanjaya ini bertanggungan dan answerable kepada kerajaan (khususnya kabinet). Seharusnya, jika pun suruhanjaya ini bukan suruhanjaya diraja, ianya perlu bertanggungjawab kepada Parlimen dan bukannya kepada eksekutif bagi menunjukkan keberkecualiaan dan transparensi.
3) Komposisi ahli panelnya turut menimbulkan persoalan jika dilihat dari segi latar belakang masing-masing, kecualilah Dato Mahadev Shankar. Saya merasakan Pengerusi suruhanjaya tersebut, Tan Sri Mohamed Noor bukanlah orang yang layak dan sesuai untuk mengetuai suatu suruhanjaya yang begitu mustahak demi mempertahankan wibawa badan kehakiman negara ini.
Ini adalah kerana peranan yang beliau mainkan semasa Krisis Kehakiman 1988 yang membawa kepada pemecatan Ketua Hakim Negara ketika itu, Tun Salleh Abbas. Pada masa itu Tan Sri Haidar merupakan Ketua Pendaftar Mahkamah Agung dan pada tarikh 2hb Julai 1988, beliau terlibat secara langsung mengarahkan supaya pintu bilik mahkamah dikunci, cop meterai rasmi Mahkamah Agung disembunyikan dan semua kakitangan mahkamah dilarang dari memberikan bantuan kepada mana-mana hakim Mahkamah Agung sekiranya mereka berhasrat untuk bersidang bagi memutuskan permohonan Tun Salleh untuk mendapatkan perintah tegahan kepada Tribunal dari menyerahkan laporan mereka kepada Yang Dipertuan Agong (untuk maklumat lanjut sila baca buku yang ditulis oleh Tun Salleh Abbas, May Day for Justice).
Bagaimana seorang yang masih terpalit dengan dakwaan keterlibatan dalam menghancurkan badan kehakiman boleh dilantik mengetuai satu suruhanjaya yang begitu penting? Tan Sri Lee Lam Thye juga tidak sesuai untuk terlibat di dalam suruhanjaya ini memandangkan program PLKN yang berada di bawah pengendaliannya pun turut terlibat dengan pelbagai masalah yang hingga ke tahap mengorbankan nyawa mereka yang tidak berdosa.
Inilah antara kebimbangan dan keraguan awal yang ingin saya lontarkan berkaitan dengan penubuhan suruhanjaya ini. Setakat ini, masih belum dikeluarkan lagi apakah terma-terma rujukan (terms of reference) secara spesifik berkaitan dengan bidang tugas suruhanjaya ini. Namun, yang penting suruhanjaya ini perlu amanah dalam melaksanakan tugasnya serta bebas dari cengkaman sesiapa. Kita tidak mahu, sebagai contoh, suruhanjaya ini nanti hanya menyiasat siapa yang mula-mula mendedahkan rakaman perbualan tersebut hingga ianya jatuh ke tangan Dato Seri Anwar Ibrahim. Tetapi yang perlu disiasat ialah kandungan perbualan tersebut.
Yang benar,
ABDULLAH A. KARIM
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang.
Tuesday, September 25, 2007
HEP TAK LAYAK JADI SPR PILIHANRAYA KAMPUS
BENARKAN SUHAKAM JADI PEMANTAU
Dewan Pemuda PAS Pusat ( DPP Pusat ) melahirkan rasa keperihatinan yang mendalam terhadap situasi politik kampus yang dicabuli habis-habisan oleh agen - agen kerajaan UMNO -Barisan Nasional khususnya menjelang pemilihan Majlis Perwakilan Mahasiswa ( MPM ) di seluruh negara bermula dengan pembubaran MPM sessi 2006/07 pada 24 september 2007.
Siri - siri ugutan dan ancaman kepada mahasiswa kumpulan "pro-mahasiswa" berlaku secara terancang dan konsisten seperti terbaru yang berlaku di UPM dan UM ibarat sebagai permulaan kepada skrip konspirasi untuk melanyak "standard" pilihanraya kampus sehingga tahap yang paling bawah.
Kami melihat kelangsungan tradisi campurtangan yang langsung dan serius daripada pihak Kementerian Pengajian Tinggi ( KPT ) berterusan pada tahun ini dengan menghantar staf - staf khusus dengan misi memenangkan kumpulan ASPIRASI dalam pilihanraya kampus yang akan datang.
Ternyata KPT dibawah Dato' Mustafa Mohamad langsung tidak berminat untuk melihat para mahasiswa menunaikan hak mereka untuk memilih dan dipilih dalam pilihanraya kampus yang akan datang secara bebas dan adil .
Kami melihat Bahagian Hal Ehwal Pelajar ( BHEP ) yang ditugaskan sebagai SPR bagi pilihanraya kampus langsung tidak mempunyai kredebiliti untuk mengendalikan pilihanraya kampus.
Para pegawai tertinggi HEP terbukti telah diprogramkan sebagai salah satu faktor memenangkan kumpulan ASPIRASI melalui siri pertemuan dengan Menteri dan Setiausaha Parlimen KPT dan dihadhiri wakil tetap daripada UMNO.
Bahkan berdasar laporan -laporan pilihanraya kampus yang lepas , para pegawai HEP secara terang - terangan membuli kelompok mahasiswa bukan ASPIRASI dengan pelbagai sekatan yang tidak demokratik.
Kami menganggap perubahan tempoh berkempen dari 3 hari kepada 6 hari seperti yang diumumkan hanyalah sandiwara untuk menutup kepincangan dan ketempangan perjalanan pilihanraya kampus kali ini.
Apalah makna sekiranya tempoh kempen dipanjangkan tetapi ruang untuk semua calon yang berkempen secara bebas kepada semua calon yang bertanding disekat secara terpilih.
Adalah sangat malang jika rangking universiti - universiti tempatan menjunam diperingkat antarabangsa, BHEP terus merendahkan daya fikir dan gerak tindak mahasiswa dengan menghadkan kebebasan politik mahasiswa secara total .
Justeru itu , kami menuntut agar Jawatan Kuasa bebas pemantauan pilihanraya kampus ditubuhkan terdiri daripada wakil Persatuan Kakitangan Akademik Universiti ( PKAU ) untuk memantau perjalanan pilihanraya kampus yang akan datang.
DPPP juga menuntut agar pihak SUHAKAM dibenarkan untuk mengawasi perjalanan pilihanraya kampus pada kali ini bagi memastikan wujudnya sedikit unsur "semak dan imbang" dalam perlaksanaan pilihanraya kampus di seluruh negara .
Hj. Nasrudin bin Hj. Hassan at Tantawi
Timbalan Ketua DPP Pusat .
DEWAN PEMUDA PUSAT KE PBB
Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) meminta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melihat insiden pada 8 September 2007 di Batu Burok, Kuala Terengganu, Terengganu sebagai satu penyalahgunaan kuasa dan telah melanggari hak asasi manusia.
Untuk makluman pada malam tersebut diadakan majlis penerangan anjuran Gabungan Tuntutan Pilihanraya Bersih & Adil (BERSIH).
Malangnya pihak Polis telah bertindak secara tidak profesional dan mengikut prosuder dalam menyuraikan para hadirin bersempena majlis penerangan tersebut dengan melepaskan pancutan air dan gas pemedih mata serta menangkap orang awam tanpa memberikan amaran.
Lagi yang lebih malang sekali apabila Polis menembak menggunakan peluru hidup ke arah orang awam yang tanpa bersenjata.
Dalam insiden tersebut dua orang telah ditembak oleh Polis yang tidak beruniform, Polis tersebut juga tidak memperkenalkan indentiti mereka. Dua orang awam tersebut adalah Suwandi Abdul Ghani, 37 tahun, yang menembusi paru-parunya, dan seorang lagi, Muhamad Azman Aziz, 21 tahun, telah terkena pada lehernya.
Suwandi telah dipindahkan ke Hospital Kubang Kerian (dari Hospital Kuala Terengganu) untuk menerima rawatan lanjut.
Bagi kami tindakan Polis menggunakan peluru hidup sangat keterlaluan, kejam, tidak berperikemanusiaan, dan tidak profesional sama sekali.
Dalam pengetahuan kami, seseorang anggota polis tidak boleh sama sekali mengacukan pistol kepada orang ramai dengan niat untuk menakut-nakutkan tanpa ada apa-apa tujuan. Lebih-lebih lagi menembak secara membabi buta. Kami juga yakin bahawa Polis harus memperkenalkan diri mereka bagi tujuan pencegahan.
Bagi kami juga, tindakan tersebut tidak wajar kerana Polis berkenaan sepatutnya melepaskan tembakan amaran terlebih dahulu ke bahagian atas. Sekiranya masih terancam, Polis boleh menembak sasarannya di bahagian bawah (bawah paras pinggang).
Namun apa yang berlaku Polis berkenaan menembak tepat ke arah dada mangsa tanpa memberi apa-apa amaran. Bahkan saksi memberitahu bahawa Polis berkenaan sebelum dari itu mengejar sekumpulan orang ramai dengan pistolnya di tangan.
Kami berpendapat tindakan pasukan keselamatan (Polis, FRU dan Cawangan Khas) pada malam 8 September 2007 serta melanggar hak asasi manusia dan satu tindakan penyalahgunaan kuasa oleh pihak Keselamatan serta telah melanggar Piagam PBB.
Kami yakin bahawa isu keselamatan menjadi isu paling penting dunia, dan apabila pihak yang berkuasa telah dan terbukti menyalahgunakan kuasa mereka. Kami melihat jika keadaan ini berluasa, makin tempanglah keselamatan dan kehidupan manusia seluruhnya.
Jika Polis di Malaysia seperti yang telah berlaku di Batu Buruk ini adalah sebagai kebenaran bagi mana-mana penguasa untuk membenarkan perkara tersebut. Polis juga pada malam tersebut telah melanggar kawalan senjata dan pelucutan senjata oleh Piagam PBB.
Kami yakin PBB bertanggungjawab kepada pemeliharaan keamanan dan keselamatan antara negara-negara perlu melihat suasana ini amat membahaya. Justeru kami memohon PBB untuk mengambil tindakan-tindakan berikut:-
1. Meminta supaya Majlis Keselamatan PBB membincang dan merunding insiden tersebut.
2. Meminta Majlis Keselamatan melalui satu resolusi keselamatan untuk menjaga kepentingan hak asasi manusia.
3. Meminta agar PBB memberikan amaran keras terhadap penyalahgunaan kuasa oleh pihak berkuasa berkenaan.
Sekian aduan dan desakan kami,
YB. SALAHUDDIN AYUB
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat
Saturday, September 22, 2007
KEWAJIPAN MENGUNDI
MENGIKUT HUKUM SYARA’
MENGIKUT HUKUM SYARA’
Semalam ada sahabat menghubungi saya bertanyakan hukum mengundi dan menyertai pilihanraya . Di bawah saya perturunkan satu catatan ringkas dari Tuan Guru Hj. Harun Taib .
Menegakkan Pemerintahan Islam
Pemerintahan Islam itu berbentuk khilafah atau Imaratul Mukminin ataupun al Imamah al ‘Uzma. Ia merupakan sebuah pemerintahan yang berteraskan kepada syariat Islamiyyah sama ada pada perlembagaannya, undang-undangnya, ekonominya dan lain-lainnya. Ia ditakrifkan oleh Al Mawardi, Abu Yu’la, Ibnu Khaldun dan lain-lain dengan maksud :
“mengalang ganti kenabian dalam urusan menjaga agama dan mentadbirkan dunia dengannya”.
Pengertian ini dibuat berdasarkan kata-kata Abu Bakar Al Siddiq r.a. sesudah wafatnya Rasulullah s.a.w. maksudnya:
“Muhammad sudah wafat, maka agama ini sudah pasti memerlukan orang yang mengurusnya”.
Kata-kata ini terus mendapat sokongan dan persetujuan padu dari kalangan para sahabat yang menghadiri perhimpunan Saqifah Bani Sa’adah yang berakhir dengan pencalonan beliau (Abu Bakar) sebagai khalifah menggantikan Rasulullah s.a.w.
Hukum Menegakkan Pemerintahan Islam
Ramai di kalangan ‘alim ulama’ yang bercakap tentang perkara ini, yang biasa didengari ialah seperti Al Imam Al Mawardi, Abu Yu;la, Ibnu Khaldun, (faqih Siasi), Imam Al Haramain Al Juwaini, (Faqih Ijtima’ie), Imam Al Ghazali, (Faqih Tasawwuf) dan lain-lain lagi. Sebagai contoh kita ambil sahaja kata-kata al Faqih al Ma’ruf Ibnu Hazam Al Andalusi:
“Para ulama’ daripada Ahlu Sunnah wal Jamaah, Al Murji’ah, As Syiah dan Khawarij bersatu pendapat dalam mengatakan bahawa menegakkan Pemerintahan Islam itu adalah wajib, maka seluruh umat berkewajipan melakukan taat kepada Imam yang adil yang menegakkan ke atas mereka hukum hakam Allah, yang mentadbir dan memerintah mereka dengan syariat Allah yang dibawa oleh junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Namun begitu terdapat satu puak daripada Al Khawarij yang bergelar Al Najdat mengatakan bahawa tidak wajibnya menegekkan kerajaan yang serupa itu. Walau bagaimanapun mereka sudah tidak wujud lagi dewasa ini.
Pendapat mereka ditolak oleh Ijma’ mereka yang telah disebutkan itu, lebih-lebih lagi apabila kita dapati Al-Quran dan Al-Sunnah turut menyatakan wajibnya menegakkan pemerintahan yang serupa itu.
Wajibnya menegakkan Pemerintahan Islam itu berdasarkan Syara’ dan berdasarkan ‘Aqal
Kita telah menyatakan bahawa menegakkan pemerintahan Islam itu wajib. Apakah wajibnya itu berdasarkan syara’ atau berdasarkan ‘aqal atau kedua-duanya sekali?
Al Mawardi, Abu Yu’la, Ibnu Hazam dan Ibnu Khaldun menyatakan bahawa syara’ dan ‘aqal sama-sama mewajibkan kita menegakkan pemerintahan Islam. Hal ini berdasarkan Al-Quran, Al-sunnah, Al-Ijma dan ‘aqal (logik). Antara lain Firman Allah Ta’ala:
Ayat ini menfardhukan kepada kita mentaati Allah, Rasul dan Ulu Al Amri yang memerintah kita. Rasulullah s.a.w. antara lainnya ada bersabda:
Selain dari Al-Quran dan Al-Sunnah, para sahabat dan tabi’in telah sebulat suara mengatakan wajibnya menegakkan pemerintahan yang serupa itu (Pemerintahan Islam).
Dari segi logiknya pula, manusia itu tidak boleh hidup dalam keadaan porak peranda tanpa tanzim, maka setiap tanzim perlu kepada pihak yang berkuasa, maka yang berkuasa di dalam sesebuah negara ialah pemerintah. Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya:
“Jika tiga orang berada dalam pelayaran maka hendaklah mereka melantik seorang ketua”.
Hadis ini menunjukkan bahawa nabi mewajibkan perlantikan ketua dalam kumpulan yang kecil, maka apatah lagi kumpulan yang lebih besar dan tersebar.
Cara-cara Menegakkan Pemerintahan Islam
Sebelum itu, kita telah menyatakan bahawa Pemerintahan Islam itu berbentuk khilafah. Pembentukan dilakukan melalui perlantikan pemimpin tertinggi iaitu khalifah dan khalifah pula akan melantik pembantu-pembantunya sama ada jemaah menteri, ahli syura dan lain-lain.
Dalam keadaan biasa, perlantikan khalifah itu berlaku melalui tiga peringkat pencalonan, penapisan calon dan pungutan suara rakyat yang berhak bersuara. Ia dikenali dengan Bai’ah Ammah.
Hal ini dipetik dari peristiwa perlantikan Saidina Abu Bakar Al Siddiq, di mana beliau dicalonkan dan disahkan pencalonannya di dalam perhimpunan Saqifah Bani Saidah, kemudian selepas itu dilakukan ‘baiah 'ammah’ di masjid Al Nabawi.
Baiah 'ammah itu kadangkala dipanggil pungutan suara ramai, kadangkala digelar dengan nama Al Syahadah iaitu para saksi yang juga dipanggil pengundi memberikan penyaksiannya bahawa calon itu adalah layak memiliki syarat-syarat yang dikehendaki oleh Islam.
Kewajipan Ummah di dalam Menegakkan Pemerintahan Islam
Sama ada persetujuan kepada pencalonan yang kita sebutkan di atas dibuat atas nama ‘Baiah Ammah’ atau ‘Al Syahadah’ maka setiap umat Islam yang aqil baligh wajiblah menyertainya. Atas nama baiah ianya wajib kerana bersandarkan sabda Rasulullah s.a.w. yang maksudnya:
“Sesiapa yang mati dan tidak pernah melakukan baiah nescaya matinya itu dalam keadaan jahiliyyah”.
Antara maksud lafaz baiah itu ialah:
“Aku memberi baiah kepad kamu dengan syarat kamu menegakkan kepada kami Kitab Allah dan Sunnah Rasulnya”.
Adapun atas nama Al Syahadah, ianya diwajibkan bersandarkan kepada antara lainnya Firman Allah Ta’ala, maksudnya:
“Dan hendaklah kamu persaksikan dua orang yang adil dari kalangan kamu”. (At Talaq:2)
Firman Allah lagi, maksudnya:
“Dan hendaklah menegakkan syahadah semata-mata kerana Allah”. (At-Talaq:2)
Firman Allah Ta’ala lagi, maksudnya:
“Dan janganlah kamu menyembunyikan syahadah dan sesiapa yang menyembunyikannya maka sesungguhnya berdosalah hatinya”. (Al-Baqarah: 283)
Oleh kerana itu para pengundi haruslah mempunyai syarat-syarat yang ada pada saksi, antara lainnya bersifat adil. Mereka memberikan persetujuan kepada seseorang calon itu hanya berdasarkan kelayakan peribadi dan matlamat pencalonan seperti mana hadith Rasulullah s.a.w. yang maksudnya:
“Aku memberi baiah kepada kamu dengan syarat kamu menegakkan kepada kami Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya”.
Mendaftar Diri Sebagai Pemilih
Sayugia diingatkan bahawa menegakkan pemerintahan Islam di Malaysia memerlukan kepada proses mendapat suara majoriti di dalam dewan rakyat atau dewan negeri. Untuk mendapat suara majoriti di dewan rakyat atau dewan undangan negeri mestilah memenangi kerusi terbanyak di dalam dewan-dewan tersebut.
Untuk memenangi kerusi-kerusi yang dipertandingkan di dalam pilihanraya mestilah mempunyai pengundi yang ramai (majority). Undi yang serupa itu tidak akan diperolehi kecuali para pencinta Islam layak menjadi pengundi.
Mereka tidak akan layak mengundi (mengikut peraturan yang ada) kecuali mereka didaftarkan sebagai pemilih. Oleh kerana itu dan berdasarkan kepada fakta-fakta yang telah kita bentangkan di atas dan berdasarkan kaedah fiqh:
“Sesuatu yang wajib tidak sempurna melainkan dengannya maka ia menjadi wajib”.
Maka dengan itu mendaftarkan diri sebagai pengundi di dalam negara Malaysia ini adalah menjadi wajib mengikut hukum syara’.
Kesimpulan dan Penutup
Semua mengetahui bahawa melaksanakan hukum syara’ itu adalah wajib. Ia tidak boleh dilaksanakan kecuali wujudnya kerajaan Islam. Maka mewujudkan kerajaan Islam adalah wajib.
Dalam konteks Malaysia hari ini, proses menegakkan kerajaan Islam dibenarkan oleh undang-undang adalah melalui pilihanraya, maka menyertai pilihanraya untuk tujuan tersebut adalah wajib. Seseorang itu tidak mengundi di dalam pilihanraya kecuali dia adalah seorang yang layak dan berdaftar sebagai pemilih secara sah. Maka mendaftarkan diri sebagai pemilih adalah wajib.
“Sesuatu yang wajib tidak sempurna melainkan dengannya akan ia menjadi wajib”.
Sunday, September 16, 2007
APALAH ERTI KEMERDEKAAN .......
Kemeriahan sambutan 50 tahun negara merdeka dengan pelbagai acara dan aktiviti yang menelan kos ratusan juta ringgit termasuk upacara membakar bunga api dilihat terlalu kejam dan tidak berhati perut apabila ia hanya dinikmati oleh segolongan sementara segolongan yang lain pula terus menderita dan sengsara memperjuangkan nasib hidup di bumi merdeka.
Penemuan dalam satu siri ziarah dan dakwah yang saya sertai bersama pimpinan PAS kawasan Kuantan kelmarin ( 15 september 2007 ) telah membuktikan apa yang saya tegas di atas.
( Saya sertakan gambarnya disini untuk dihayati dan dikongsi bersama penderitaannya oleh kita semua. )
Seorang nenek yang kini berusia 80 tahun , pula mengalami masaalah pendengaran dan penglihatan yang serius malah sukar untuk bergerak kerana tidak lagi berupaya untuk berdiri .
Beliau bagaikan tersangkar dalam pondok buruk ini dengan segala keuzuran serius yang beliau alami adalah bermula sejak 8 tahun yang lalu.
Beliau hanya mengesot dan meraba dengan tangan serta menghidu bau dalam hampir setiap tindakannya untuk ia berbuat sesuatu seperti mencari air , kain dan seumpamanya.
Makanannya pula mengharapkan ihsan dari orang kampung kalau - kalau ada yang menghantar makanan. Sungguh hati saya tersentuh . Kenapalah dibiarkan nenek yang tidak berupaya ini tersangkar dalam dunia sempit penuh kegelapan sedang diluar sana sungguh meriah dengan bermandikan cahaya bunga api yang dinyalakan dengan kos jutaan ringgit.
Kerajaan sepatutnya mengambil tanggungjawab . Wakil rakyat yang menerima peruntukan ratusan ribu ringgit untuk pembangunan setempat di dalam DUN mereka , sewajarnya memberikan perhatian serius dalam perkara ini .
Tambahan pula , pondok nenek ini terletak di Kampung Ubai dengan maksud tidaklah terlalu jauh dengan bandar Kuantan dan juga tidak jauh dari Bandar Diraja Pekan .
Kalau pihak kerajaan sangat perihatin terhadap pembinaan padang golf , taman rekreasi , tempat - tempat pelancungan untuk memberi keselesaan melampau kepada orang asing , kenapa mesti dianaktirikan rakyat sendiri. Kenapa mesti rakyat sendiri didera dan diseksa sekejam itu ?
Orang ramai atau PAS sendiri yang bukan kerajaan mungkin hanya mampu menghulurkan bantuan yang tidak menentu kalanya dengan segala keterbatasan yang ada pada mereka .
Tetapi kerajaan memiliki segala keupayaan , sarana dan kemampuan untuk menaik taraf kehidupan rakyat dan menjamin keselesaan serta kesejahteraan mereka.
Kenapa tidak wang 90 ribu ringgit yang digunakan untuk membayar beberapa buah lagu yang dinyanyikan oleh Siti Nurhaliza dalam satu majlis pesta air di Kuantan suatu ketika dulu tidak digunakan membina sebuah rumah dan pra sarana mudah kegunaan nenek ini yang saya kira tidak melebihi kos RM 10 ribu.
Persoalannya , setelah ahli keluarganya sendiri gagal dan tidak mampu membiayai dan menjaga nenek ini , maka ia menjadi tanggungjawab kerajaan .
Sepanjang jaulah saya bersama program ziarah dan dakwah ini , saya dapati bukan satu kes seumpama nenek ini tetapi dalam tempoh 3 jam program itu saya menemui sekurang - kurang 3 kes yang hampir sama .
Bagaimana kalau kerajaan yang telah diberi mandat oleh rakyat berkuasa dan memerintah sejak 50 tahun yang lau , adalah tidak munasabah mereka tidak menemui kes seumpama ini untuk mereka tangani dengan penuh kasih sayang .
Apakah , mereka menunggu hadhirnya Karam Sing Walia membuat liputan di kampung tersebut dengan segala hamburan peribahasanya , barulah kerajaan mahu bertindak ?
Wednesday, September 12, 2007
MEMORANDUM KEPADA KETUA POLIS NEGARA
MEMORANDUMPARTI ISLAM SE MALAYSIA (PAS)
318A, Jalan Raja Laut,
50350 Kuala Lumpur
Tel: 03-26925000
Faks: 03-26938399
Kepada :
YBhg. Tan Sri Musa Hassan
Ketua Polis Negara
Bukit Aman, Kuala Lumpur
Daripada :
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat
Tarikh : 12 September 2007
BANTAHAN TERHADAP TRAGEDI DI BATU BUROK,
KUALA TERENGGANU 8 SEPTEMBER, 2007
KUALA TERENGGANU 8 SEPTEMBER, 2007
PARTI ISLAM SEMALAYSIA (PAS)
No. Pendaftaran 733 (Penang)
318A, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur
Tel: 03-26925000
Faks: 03-26921199
MEMORANDUM
Bantahan terhadap Tragedi di Batu Burok, Kuala Terengganu,8 September, 2007
PAS selaku salah satu anggota Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil atau BERSIH memandang serius kejadian di atas ekoran majlis perhimpunan aman anjuran BERSIH pada malam kejadian.
PAS menuntut sebuah Suruhanjaya Di Raja segera dibentuk untuk menyiasat dan mengenal-pasti punca-punca yang mengakibatkan tragedi ini termasuklah tindakan seorang anggota polis melepaskan tembakan ke arah orang awam sehingga tercedera.
Dewan Pemuda PAS Pusat dengan ini mengambil inisiatif menyerahkan memorandum ini kepada YBhg Tan Sri Musa Hassan selaku Ketua Polis Negara dengan harapan agar pihak polis turut memberikan perhatian serius terhadap isu ini.
12 SEPTEMBER 2007
SALAHUDDIN AYUB KETUA DEWAN PEMUDA PAS PUSAT