Saturday, August 30, 2008
AKADEMI NASYID AKHIR TV9
Kepada semua sahabat dan pencinta industri nasyid , jangan lupa hari ini kita mengundi saudara Azhan Atan ( Finalis Akademi Nasyid ) yang akan membuat persembahan secara langsung dalam pertanding akhir Akademi Nasyid di TV9 pada malam ini .
Beliau juga adalah Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Tanjung Piai , Johor .
Cara mengundi : taip AN - jarak - AZHAN dan hantar ke 33399 .
RAMADHAN KARIIM ....
Madrasah Tarbiyatur Ruuhiyah
Selamat menyambut Bulan penuh kemuliaan dan keberkatan dengan tekad dan azam memulih prestasi ubudiyyah dan taqarrub kita kepada Allah Jalla wa a'la .
Pastinya seorang pejuang perlu memiliki wibawa dalaman berpaksi kejernihan spiritual yang tulus dipersembahkan ke hadhrat Ilahi .
Ramadhan bagi saya adalah siri TAMPAN ( Tamrin Panjang ) bersifat tahunan dianjur oleh Allah swt. untuk mendidik hambanya agar lahir insan muttaqin.
Thursday, August 28, 2008
AL FAATIHAH
Dimaklumkan bahawa sahabat Unit Amal ( akhi Saiful ) yang mengalami kemalangan jalan raya baru - baru ini telah kembali ke rahmatillah jam 8 pagi tadi di Hospital Seberang Jaya.
Jenazah al marhum akan disembahyangkan selepas solat zohor di Masjid Permatang Janggus .
Kepada semua sahabat Unit Amal khas di negeri dan kawasan yang berdekatan dijemput hadhir , Unit Amal disarankan agar memakai uniform Unit Amal sebagai penghormatan dan syiar Unit Amal.
Semoga ruh al Marhum digolongkan dalam kalangan hamba - hamba Allah yang mendapat redha dan rahmat . Al Faatihah .
PAS : DAKWAH DAN SIASAH
Melebarkan Sokongan
Merentasi Semua Kelompok
Serta Segmen Rakyat dan Pengundi
Melebarkan Sokongan
Merentasi Semua Kelompok
Serta Segmen Rakyat dan Pengundi
Tiada siapa yang dapat menafikan bahawa sokongan jitu masyarakat dari pelbagai kaum dan latar belakang terhadap perjuangan yang kita dokong merupakan elemen yang akan membantu untuk kita menang dan perkasa .
Sokongan jitu ini dengan maksud bukan sokongan spontan yang bersifat jalanan dan murahan , tetapi sokongan yang diraih dengan nilai kepercayaan tinggi masyarakat terhadap perjuangan kita .
Saya melihat sokongan seperti ini mesti diperolehi melalui sekurang - kurangnya 4 subjek :
Subjek yang pertama : TAKHTIT YANG MUNAZZAMAH
Iaitu Perancangan yang strategik berasaskan komitmen terhadap sumber perjuangan yang tulen serta hala tuju yang jelas .
Subjek yang kedua : USLUB YANG MUNAASIB
Iaitu approach yang bersesuaian terhadap strategi dan realiti serta efektif terhadap sasaran ( madu'u ) . Jua mengambil pendekatan yang responsif terhadap keperluan jamaah dan tuntutan ummah .
Subjek yang ketiga : DAKWAH YANG SYAMILAH
Iaitu penerangan yang menyeluruh berlandaskan objektif dan matlamat suci perjuangan . Melampaui tembok pemisah yang dibina oleh musuh jega melepasi kejumudan kelompok sendiri .
Subjek yang keempat : SIASAH YANG RAASYIDAH.
Iaitu politik yang memimpin dan menyelamatkan ummah dari cengkaman nafsu liar penguasa toghut dan zalim serta kejam melalui pendekatan yang berhemah dan berhikmah .
Justeru itu saya merasakan sayugianya kita memperkasakan sistem Jalur Lebar dakwah dan siasah parti yang bersifat online , fulltime dan borderless .
Saya juga mempunyai 5 perhatian untuk diteliti oleh kita semua :
Perhatian 1 :
Penerangan atau dakwah kita jangan hanya berlegar dengan skima atau trend pengupasan isu semata - mata sebaliknya kita mahu dakwah atau penerangan yang berjaya membentuk thaqafah ( knowledge ) ahli dan wa'iyah ( kesedaran ) ummah , yang mesti tegak di atas 4 matlamat ( prinsip ) umum dakwah dan siasah kita :
1. Tamkiin Li Deenillah ( Memperteguh Perlaksanaan Agama Allah )
2. Iqaamatud Daulatil Islam . ( Mendirikan Kedaulatan Islam )
3. Ia'adatul Khilafah ( Mengembalikan Khilafah )
4. Tabliighul Islam Linnaasi Kaafah ( Menyampaikan Islam kpd Masyarakat seluruhnya )
Perhatian 2 :
Orientasi perjuangan kita mesti bebas sepenuhnya dari tanggapan atau prinsip songsang yang hanya membawa mesej penerangan atau dakwah kita berhenti di pintu bilik pembuangan undi di hari pilihanraya semata - mata atau dalam erti kata lain , penerangan / dakwah yang hanya untuk memancing undi .
Tasawwur kita mestilah diperbaiki khususnya penerangan / dakwah kita terhadap non muslim bukan bertujuan pancing undi tetapi ianya bersifat jangka panjang untuk mereka kenal dan terima perjuangan kita .
Apa yang kita mahu ialah penerangan atau dakwah yang berjaya meledakkan daya insaf dan sedar dikalangan masyarakat terhadap masuuliyah ( tanggungjawab ) mereka menjadi seorang hamba Allah / khalifah Allah dan akhirnya melayakkan mereka menjadi warga syurga Allah swt . Inilah prinsip penerangan atau dakwah nabi Muhammad saw. Inqaazunnas a'nin Naar ( menyelamatkan manusia dari api neraka .)
Perhatian 3 :
Jangan biarkan unjuran dan kitaran peneranganatau dakwah kita tidak melepasi garis sempadan daerah sendiri. Penerangan / dakwah yang hanya berfungsi dari pintu surau ke pintu masjid , dari pintu markaz ke pintu pusat tarbiyah .
Sedang sasaran ( madu'u ) penerangan / dakwah kita diwakili oleh pelbagai lapisan masyarakat , budaya dan agama malah juga pelbagai latar belakang politik , ekonomi dan sosial . Demikian juga pendekatan dakwah kita jangan hanya di atas platform majlis rasmi tetapi juga di majlis tidak rasmi.
Bertolak dari sini , suka saya tegaskan bahawa kita mesti menguasai modul Dakwah Fardiyyah iaitu dakwah / penerangan yang berasaskan personal contact dengan pendekatan :
Politik Kasih Sayang
Politik Rapat Jurang
Politik Tambat Hati
dan menjadikan kita Duta Penyelamat dan Kasih Sayang . Sementara itu persoalan titik bengek , perbedaan pendapat seperti isu muqaabalah usahlah dijadikan satu hambatan kepada perjuangan kita nan suci ini . Bukankah perjuangan kita sudah matang dan melewati usia emas !
Kata Asy Syeikh Rashid Redha ( dipopularkan oleh Imam al Banna ) :
نتعاون فيما اتفقنا عليه و نعزر بعضنا بعضا فيما اختلفنا فيه
Kita bertolong bantu dalam perkara yang kita sepakati dan kita bertolak ansur dalam perkara yang kita berbeza padanya .
Perhatian 4 :
Realiti penerangan / dakwah kita dewasa ini sedang melintasi zon kelabu iaitu zon demokrasi yang tidak demokratik . Satu zon yang menyaksikan sandiwara negara demokrasi yang sangat jelek dan memualkan kita . Sekalipun cuba dipulih kononnya oleh UMNO dan BN , nyata ia hanya satu lagak untuk mengelirukan rakyat agar terus memberi sokongan kepada mereka .
Lantaran itu , sistem penerangan / dakwah kita mesti peka dan sensitif dalam menghadapi suasana seperti ini . Lajnah Penerangan dan Jabatan Penerangan sewajarnya menjadi organ yang paling sibuk mengendali dan mendepani situasi sebegini .
Bertindak laksana Tariq bin Ziyad yang membakar kapal untuk tidak memungkin mereka berpatah pulang melainkan terus mara membawa panji Islam . Begitu juga Uqbah bin Nafiq yang bermunajat : " Ya Allah , kiranya aku tahu di seberang lautan ini masih ada daratan dan manusia nescaya aku renanginya untuk menjulang bendera Islam di sana " .
Jangan rasa kerdil dan hina untuk membawa risalah Islam ini ke tengah masyarakat biarpun 1001 nista dilemparkan kepada kita . Prinsip kita turun ke medan ialah :
عش كريما أو مت شهيدا
Hidup ( kalau nak hidup ) sebagai orang yang mulia dan Mati ( kalau nak mati ) sebagai orang yang syahid .
CABARAN YANG TERPAKSA DIDEPANI
Kita mesti menggaris strategi dan merencana gerakkerja yang efektif guna mendepani cabaran. Cabaran yang mesti kita depani antaranya ialah :
Cabaran undemokrasi
Cabaran kekeliruan agama yang dicipta
Cabaran Kejahilan Ummah
Cabaran Kelesuan Ulamak
Cabaran Konspirasi Pemerintahan UMNO dan BN dengan agenda jahat mereka untuk menghalang perlaksanaan dan penghayatan Islam dikalangan rakyat.
Perhatian 5 :
Aktiviti penerangan / dakwah kita mesti dipastikan agar tidak bersifat stereo type dan terikat dengan aktiviti tradisi . Saya tidak menafikan keupayaan dan keberkesanan aktiviti tradisi dalam penerangan / dakwah kita seperti ceramah , kuliah dan sebagainya , tetapi wajar kita responsif dengan perkembangan semasa yang memerlukan kita lebih advance dari pihak musuh .
Inilah yang telah dipertegaskan oleh al Marhum Abu Hasan Ali An Nadwi :
الجمع بين القديم الصالح و بالجديد النافع
Integrasi antara warisan tradisi yang soleh dengan penemuan - penemuan baru yang bermanafaat.
Berasaskan kesedaran ini , kita mesti laksanakan beberapa misi penting .
Misi pertama :
Mengkaderkan petugas penerangan / dakwah yang mampu , bukan sahaja sebagai pemidato yang berkaliber tetapi juga mewarisi syakhsiyyah kepimpinan wibawa sehingga berkeupayaan menyahut keperluan penerangan / dakwah masa kini , seperti dialog dan debat intelektual berhadapan dengan semua pihak termasuklah golongan Islam Liberal atau golongan sekular .
Misi Kedua :
Mengaktifkan hubungan dan penerangan ( dakwah ) sehingga ia menjadi hotlink antara kita dengan pelbagai kaum dan agama . Manual pendekatan berkesan mestilah diketahui dan dilaksanakan .
Media seperti Harakah sayugianya pula meneroka satu ruang berita dalam bahasa Mandarin dan Tamil walaupun terhad sebagai langkah permulaan setelah kita mempunyai english section .
Saya juga merasakan perlunya Suruhanjaya ( dalaman ) Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Harakah ditubuh . Bukanlah bertujuan untuk menyiasat penyelewengan kerana saya percaya tiada penyelewengan tetapi maksud saya untuk memberi nafas baru dan meningkatkan prestasi Harakah ( seperti mutu pemberitaan ) termasuk mengkaji keberkesanan sistem edaran Harakah kepada umum .
Sewajarnya kita kena insaf bahawa Harakah adalah Lidah Rasmi Gerakan Islam PAS . Pasti sahaja ia tidak boleh tampil membawa glamour atau publisiti seperti Mastika , Metro dan lainnya dengan hanya melihat kepada bagaimana mahu melariskan jualan.
Saya juga tidak setuju jika Harakah hanya dilihat sebagai akhbar politik yang hanya sarat dengan penjelasan isu tetapi perlu seimbang dalam membawa mesej perjuangan . ( siasah , dakwah dan tarbiah ) Sebagaimana saya juga akan terkilan andainya Harakah ( cetak dan online ) hanya menjadi lidah rasmi kepada tokoh - tokoh tertentu bukannya jamaah .
Wednesday, August 27, 2008
MOHON BANTUAN DAN SUMBANGAN
Seorang anggota Unit Amal Penang ( Saiful ) kemalangan jalanraya tengahari 26.8.08 . Kini sedang dirawat di ICU Hospital Seberang Jaya . Beliau mengalami kecederaan di kepala dan rusuk .
Kemalangan ini berlaku dalam perjalanan untuk beliau bertugas escort Dato' Husam Musa dan Ustaz Ahmad Awang Naib Presiden PAS dalam lawatan atau kempen dalam Pilihanraya Kecil Permatang Pauh beru - baru ini .
Bntuan sangat diperlukan untuk kos rawatan beliau dan juga membantu keluarga beliau . Sebarang bantuan dan sumbangan boleh hubungi bendahari atau mana - mana exco Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang .
Sekian . Yang Menjalankan Tugas
Ustaz Hafiz Nordin
Ketua Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang .
Tuesday, August 26, 2008
Kenyataan Media .
BANTAH KONSERT AVRIL
Dewan Pemuda PAS Pusat mengutuk sekeras – kerasnya tindakan jemaah menteri meluluskan semula konsert Avril Lavigne walaupun sebelumnya Kementerian Kesenian dan Warisan serta PUSPAL telah membatalkan konsert yang akan diadakan pada 29 Ogos ini, malang ia diluluskan kembali apabila diangkat kepada mesyuarat jemaah menteri .
Konsert ini adalah suatu penghinaan kepada negara Malaysia dan umat Islam yang akan menyambut bulan Ramadhan al Mubarak pada bulan september ini.
Dewan Pemuda PAS Pusat sekali lagi mengutuk sekeras-kerasnya jemaah menteri yang membuat keputusan ini. Dimana ia adalah suatu tindakan yang kurang ajar dan biadab terhadap ummat Islam , walaupun Shafie Afdal menyatakan bahawa penganjur hiburan diminta menghormati prosedur permohonan permit selepas ini.
Ini menunjukkan tidak ada sedikit pun rasa hormat dan sensitif jemaah menteri kepada perasaan majoriti umat Islam dan warga pribumi di negara ini. Tarikh 29 Ogos 2008 sekurang – kurang berhadapan dengan suasana penting bagi negara ini khasnya ummat Islam .
Pertama ummat Islam bakal menghadapi bulan ibadah yang penuh kemuliaan dan keberkatan . Sepatutnya ia tidak dicemari oleh konsert seperti ini yang membawa masuk seorang artis simbol seks Avril Lavigne . Pastinya konsert ini akan membawa ummat leka dan lalai malah merosakkan moral dan akhlak mereka .
Kedua , berhadapan pula dengan ulangtahun kemerdekaan negara pada 31 ogos . Lazimnya pihak kerajaan menganjurkan majlis tahlil di seluruh negara dan forum untuk motivasi rakyat khasnya anak – anak muda supaya mewarisi semangat patriotisme . Konsert seperti ini sekali lagi tidak akan membantu motivasi rakyat untuk menjadi rakyat yang baik , bermoral dan berdaya saing , sebaliknya hanya melemahkan moral dan mental mereka sekaligus mengheret mereka tenggelam dibawah gelora nafsu.
Pembatalan konsert sebelum ini, rupanya bukanlah kerana menghormati hari kemerdekaan ke-51 tetapi hanya kerana kelewatan memohon permit. Maruah umat Islam dan rakyat Malaysia seperti dipijak-pijak dan dipermain oleh para jemaah menteri, semata-mata untuk menjaga hati Avril Lavigne.
Dewan Pemuda PAS Pusat mempersoalkan Kerajaan UMNO dan BN , di mana pemimpin-pemimpin UMNO yang kononnya hendak memperjuangkan nasib umat Melayu dan Islam di negara ini. Mana perginya konsep AL-Falah laungan Najib dan Islam Hadhari yang di banggakan oleh Pak Lah?. Apa yang Shafie Afdal buat dalam KEKKWA untuk mempertahankan hak kesenian dan warisan bangsa, atau Shafie telah menyenaraikan budaya kebebasan barat sebagai salah satu budaya warisan bangsa?
Dewan Pemuda PAS Pusat tegas menyatakan sikap bahawa konsert seperti ini mesti dibatalkan segera dan ini adalah amaran keras kepada pihak penganjur agar tidak mencabar sensitiviti ummat Islam . Andai mereka tidak peduli amaran ini , Dewan Pemuda PAS Pusat tidak teragak – agak akan mengerahkan seluruh pemuda Islam agar turun membantah Konsert tersebut daripada terus berlangsung .
Dewan Pemuda PAS Pusat juga menyeru dan mengajak NGO-NGO Islam seperti GPMS, PPIM, PEKIDA, ABIM, JIM, TERAS dan GAMIS turut bersama-sama membantah konsert tersebut. Ini bukan untuk kepentingan politik tetapi melibatkan maruah dan harga diri ummat Islam . Jika begini terus menerus sikap kerajaan UMNO dan BN , mereka bukan sahaja jauh dari rahmat dan berkat Ilahi tetapi insyaallah akan terus dibuang dan dihumban oleh rakyat yang semakin hari semakin jelak dan muak dengan sikap berpura – pura Islam mereka .
Dewan Pemuda PAS Pusat turut menggesa agar seluruh mufti menunjuk sikap dan menyuarakan bantahan mereka terhadap kerajaan yang membenarkan penganjuran pesta maksiat ini agar mereka tidak hanya responsif terhadap isu seperti sumpah saiful bahri tetapi diharap turut menunjuk sikap bagi membersihkan bumi ini dari maksiat dan mungkar .
Yang Menjalankan Tugas
Nasrudin bin Hassan at Tantawi
Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat.
Monday, August 25, 2008
MALAYSIA KEKAL NEGARA SEKULAR :
PRINSIP PAKATAN RAKYAT ?
Saya tidak hairan apabila Lim Guan Eng kembali menegaskan dasar perjuangan partinya DAP, bahawa mereka menentang keras siapa sahaja yang mahu menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Islam sewaktu merasmikan Kongres parti itu baru - baru ini .
Kita sedia maklum sikap DAP dan sikap itulah yang membuatkan DAP memilih untuk keluar dari Barisan Alternatif seketika dahulu .
Malah sewaktu kita bertahalluf dengan PKR membentuk Barisan Rakyat dan Barisan Rakyat menerima persefahaman dengan DAP melalui PKR sebelum dan semasa kita menghadapi pilihanraya umum ke 12 baru - baru ni pun kita sedar bahawa DAP mempunyai sikap dan prinsip sedemikian .
Namun atas prinsip bersama dalam tindakan menetang kezaliman , penyelewengan , rasuah dan segala bagai kemungkaran , kita bersetuju menerima persefahaman dalam mengatur strategi menghadapi Pilihanraya Umum ke 12 seperti melibatkan prinsip satu lawan satu .
Dari sini , kita tidak bertanding ditempat yang ditandingi DAP , malah ada juga rundingan dalam menentukan siapa yang sepatutnya bertanding di satu - satu tempat yang turut melibatkan DAP .
DAP ANTI NEGARA ISLAM
Kita sedar DAP sememangnya anti Negara Islam dan mereka sangat terkesan dengan Islamphobia terutama selepas insiden World Trade Centre . Kita tidak terperanjat atau hairan dengan sikap dan prinsip mereka memandangkan mereka adalah non muslim yang tentunya tidak memahami secara mendalam apakah asas dan matlamat Islam agama suci yang diwahyukan ini .
Dari persefahaman ini , kejayaan ditempa dalam PRU yang lalu . Selepas kemenangan dicapai maka Barisan Rakyat di up grade sebagai Pakatan Rakyat ( PAKATAN ) .
Usia PAKATAN barulah setahun jagung malah tak sampai pun setahun . Dalam usia sebegini, harapnya agar semua pihak saling menghormati setelah menyedari bahawa ideologi antara komponen PAKATAN adalah berlainan arah .
Apalagi yang boleh menjadi sendi kukuh untuk PAKATAN melainkan semangat bermesyuarat dan saling menghormati dasar atau prinsip perjuangan masing - masing .
Tapi saya lihat , sejak awal DAP tak sudah - sudah melemparkan wasangkanya kepada PAS sehingga satu peringkat membawa kepada pertelingkahan antara Karpal Sigh dengan Tok Guru Nik Aziz seketika dulu . Malah dalam blog Lim Kit Siang pun tak mudah juga mereka menyerang peribadi Tok Guru Hj. Hadi sehingga jubah Tok Guru turut dipertikai .
Kemudian keadaan reda seketika dan saya terkagum apabila Lim Guan Eng menyebut bahawa beliau akan menjadikan Khalifah Omar bin Abdul Aziz sebagai Idola dalam kepimpinan beliau . Peringkat awal saya agak terkejut . Faham kah Lim Guan Eng akan apa yang ia ungkapkan ini ?
Saya lihat Lim Guan Eng , Lim Kit Siang dan Karpal Sigh boleh mesra bersama pimpinan PAS dalam majlis - majlis yang mempertemukan mereka . Terbaru ialah semasa penamaan calon dan sessi kempen Pilihanraya kecil Permatang Pauh . Saya gembira melihat perkembangan seperti itu .
Cara mereka menyambut Tok Guru Hj. Hadi dalam majlis ceramah bersama sebelum ini di Pulau Pinang dan kemesraan mereka menerima kehadhiran Tok Guru Nik Aziz di Permatang Pauh baru - baru ini seolah - olah tiada pertikaian malah tiada perbezaan ideologi antara mereka .
Tapi apa yang menghairankan saya ialah apabila Lim Guan Eng sewaktu merasmikan Kongres Kebangsaan DAP bagi kali ke 15 pada 24 ogos yang lalu telah mengeluarkan kenyataan yang sangat mengelirukan malah menggusarkan saya . Saya tidak tahulah orang lain , apakah mereka juga turut gusar dan bimbang . Tetapi saya terasa kegusarannya .
Bukan kerana ucapannya yang ingin menentang usaha untuk menegakkan Negara Islam oleh mana - mana pihak dan bukan juga kerana sikap anti Negara Islam yang kembali mereka luahkan dalam Kongres baru - baru ini . Kerana itu adalah Kongres mereka dan mereka berhak untuk bercakap apa sahaja tanpa kita berhak untuk campur tangan . Yang ini memang saya sedia maklum dan sedia mengambil langkah berhati - hati sejak dulu .
Tetapi yang menggusarkan saya ialah apabila Lim Guan Eng menyebut dalam sidang akhbarnya selepas itu , bahawa DAP Komited memegang 4 prinsip yang disepakati komponen PAKATAN iaitu salah satunya mengakui Malaysia akan kekal sebagai sebuah negara sekular .
4 Prinsip yang disepakati ? antaranya ialah mengakui Malaysia akan Kekal sebagai sebuah negara Sekular ?
Persoalan yang timbul dalam kepala saya ialah benarkah ada kesepakatan seperti ini ? kalau benar , siapa pula yang mewakili PAS untuk setuju dengan prinsip seperti itu ? Mengakui Malaysia akan kekal sebagai sebuah negara sekular adalah bertentangan pula dengan dasar dan prinsip perjuangan PAS .
Kalau ada yang berbincang dan bersetuju pula dengan prinsip sedemikian dalam PAKATAN , saya kira ini lebih teruk dari isu muzakarah , sebab jelas ianya bertentangan dengan dasar dan prinsip perjuangan yang kita perjuangkan selama ini . Apa yang pasti jika ada kesepakatan terhadap prinsip seperti itu ( Mengakui Malaysia akan kekal sebagai sebuah negara sekular ) , ianya diluar pengetahuan Dato' Seri Tuan Guru Hj. Abdul Hadi selaku Presiden parti.
Namun saya sangat - sangat berharap agar kenyataan akhbar Lim Guan Eng itu tidak benar dan palsu semata - mata .
PERJUANGAN PAS ADALAH KE ARAH MENEGAKKAN NEGARA ISLAM
Hari ini kenyataan beliau ( Lim Guan Eng ) disiar dalam Sinar Harian dan saya buat kesekian kalinya memberi tabik hormat kepada kekanda saya Yb. Salahudin Ayub selaku Ketua Pemuda PAS Pusat kerana tegas mempertahankan prinsip perjuangan bahawa "... perjuangan PAS adalah berobjektif untuk membentuk sebuah negara Islam "
Menurut Yb. Salahudin bahawa Prinsip PAS tidak pernah berubah dan usaha memperjuangkan sebuah negara Islam yang menjadi pegangan parti tetap berterusan sehinggalah terbentuk sebuah negara Islam .
Sinar Harian turut melaporkan Lim Guan Eng berkata , mana - mana pihak yang mempunyai pandangan berbeza dengan mereka bebas untuk meninggalkan PAKATAN . Kenyataan beliau disaat PAS baru sahaja selesai ( 7 hari ) setelah berhempas pulas mencari kesepakatan suara dikalangan pemimpin dan ahlinya untuk terus memperkukuhkan PAKATAN RAKYAT dalam muktamarnya berakhir 17 ogos yang lalu .
Malah Dato' Seri Presiden tegas dalam ucapan dasarnya menyeru agar PAKATAN diperkukuhkan , demikian pula usul Perkukuhkan Pakatan Rakyat oleh Dewan Pemuda PAS Pusat yang disampaikan oleh sdr Abdullah Karim ( Exco DPPP ) dan disokong padu oleh sdr Khalid Samad dan Tuan Guru Datuk Hj. Nik Abdul Aziz selaku al Mursyidul Am diterima sebulat suara .
Apakah keputusan PAS untuk memperkukuhkan PAKATAN ini tidak sampai ke pengetahuan Lim Guan Eng atau sememangnya sampai tetapi enggan difahami secara jujur oleh beliau ?
Akhirnya , saya juga ingin bertanya kenapa beliau ( Lim Guan Eng ) sukar berlunak dengan PAS setelah PAS mengorbankan segalanya untuk membolehkan tenaga dan perasaan ahli - ahli PAS menerima DAP sebagai rakan dalam PAKATAN . Bukankah Lim Guan Eng sering menyebut bahawa beliau ingin mencontohi kepimpinan Khalifah Omar bin Abdul Aziz ? Bukankan Khalifah Omar bin Abd Aziz itu adalah khalifah Islam yang memerintah sebuah Negara Islam ? atau ada apa dengan ungkapan ingin mencontohi Khalifah Omar ini ?
Sunday, August 24, 2008
Parti Islam Se Malaysia :
Memahami Konsep Al Wala'
Tidak ada satu kalimah dalam bahasa Melayu yang dapat mengungkapkan secara keseluruhan makna wala’. Secara tepatnya kalimah wala’ terangkum di dalamnya beberapa pengertian iaitu :
Memberikan kasih-sayang
Memberi ta’at-setia yang tidak berbelah-bagi
Mengangkat sebagai pemimpin
Menjadikannya sebagai teman-rapat atau sekutu
Memberi kepercayaan
Tempat mencurahkan bantuan dan pertolongan
Memberi ta’at-setia yang tidak berbelah-bagi
Mengangkat sebagai pemimpin
Menjadikannya sebagai teman-rapat atau sekutu
Memberi kepercayaan
Tempat mencurahkan bantuan dan pertolongan
Allah swt. berfirman :
إِنَّمَا وَلِيُّكُمُ اللَّهُ وَ رَسُوْلُهُ وَ الَّذِيْنَ آمَنُوْا الَّذِيْنَ يُقِيْمُوْنَ الصَّلاَةَ وَ يُؤْتُوْنَ الزَّكَاْةَ وَ هُمْ رَاْكِعُوْنَ وَ مَنْ يَتَوَلَّى اللهَ وَ رَسُوْلَهُ وَ الَّذِيْنَ آمَنُوْا فَإِنَّ حِزْبَ
اللهِ هُمُ الْغَاْلِبُوْنَ
“Sesungguhnya orang yang harus kamu berikan wala’ kamu kepada mereka hanyalah Allah, RasulNya dan orang-orang beriman yang mendirikan solat, menunaikan zakat dan mereka tunduk-patuh (kepada hukum-hakam Allah). Dan sesiapa yang memberikan wala’nya kepada Allah, Rasul dan orang-orang beriman, maka sesungguhnya golongan (yang mendokong agama) Allah itulah yang pasti menang”.
(al-Maidah: 55)
Dalam ayat di atas, Allah menegaskan bahawa wala’ dari seorang muslim hanya boleh diberikan kepada tiga golongan iaitu :
Allah
Rasulullah
Mukminin (orang-orang beriman)
Rasulullah
Mukminin (orang-orang beriman)
Namun tidak semua orang yang mengaku beriman harus diberikan wala’ kepada mereka. Ini kerana Allah mengikatnya dengan tiga syarat iaitu :
Yang menunaikan solat
Yang mengeluarkan zakat
Yang tunduk-patuh kepada Syari’at Allah.
Yang mengeluarkan zakat
Yang tunduk-patuh kepada Syari’at Allah.
Dalam suasana hari ini, wala’ kepada orang-orang beriman secara umumnya merangkumi beberapa pengertian :
1. Wala’ kepada kelompok orang-orang beriman iaitu memberi kesetiaan kita kepada ummah mukminin. Contohnya; dalam pertembungan antara kuasa Islam dan kuffar hari ini, jiwa, perasaan dan hati-sanubari kita adalah bersama dengan kelompok beriman walau di mana saja mereka.
2. Wala’ kepada jama’ah atau kelompok orang beriman yang memperjuangkan Islam iaitu dengan menyertai jama’ah tersebut dan menjadi sebahagian dari anggotanya.
3. Menta’ati pemimpin Islam yang menta’ati Allah sama ada pemimpin umum sekelian kaum muslimin (iaitu Khalifah) atau pemimpin jama’ah yang menerajui gerakan Islam.
Sabda Rasulullah s.a.w. :
ثلاثة لا تسأل عنهم: رجل فارق الجماعة وعصى إمامه ومات عاصيا، وأمة أو عبد أبق من سيده فمات، وامرأة غاب عنها زوجها وقد كفاها مؤونة الدنيا تزوجت بعده، فلا تسأل عنهم
“Tiga golongan jangan engkau bertanya tentang mereka (kerana mereka termasuk dalam orang-orang yang bakal musnah) iaitu :
1. Orang yang berpisah dengan jamaah dan menderhakai imamnya ( ketuanya ) serta mati dalam maksiat,
2. Hamba perempuan atau lelaki yang lari dari tuannya lalu menemui kematian
3. Seorang perempuan yang suaminya keluar bermusafir dan telah dicukupinya biaya keduniaannya lalu ia bertabarruj sesudahnya (untuk menarik perhatian lelaki lain).
(Riwayat Imam at-Thabrani, al-Hakim dan al-Baihaqi dari Fadhalah bin ‘Abid r.a.)
Wala' dan Perbezaan Pandangan .
Islam membenarkan berlakunya perbedaan pandangan di dalam perkara yang diizinkan syara' untuk berbeza pandangan . Ringkasnya , di sana telah ijma' ulama' dalam menangani khilaf atau perbedaan pandangan ini dengan beberapa kaedah penyelesaian . Dalam perbedaan pandangan mengenai hukum feqh di sana ada kaedah rajih dan marjuh demikian juga ada kaedah pandangan jumhur dan pandangan syaz .
Kaedah itu dibuat untuk menyelesaikan masaalah ekoran wujudnya perbedaan pandangan dan tentu sahaja pandangan yang Rajih atau pandangan Jumhur lebih diguna pakai dalam menetapkan satu - satu pandangan sebelum diterima dan diamal .
Perbedaan pandangan dalam gerakan Islam yang melibatkan soal strategi dan aktiviti ( kerana soal dasar dan prinsip perjuangan tidak boleh berbeda padanya ) pula mempunyai kaedah tersendiri yang juga telah ditetapkan oleh syara' .
Kaedah yang paling jelas ialah syura . ( أمرهم شورى بينهم ) Apabila Majlis Syura telah menetapkan keputusan maka ia adalah keputusan yang mesti diterima . Demikianlah adab kita berkhilaf . Jika tidak menghormati adab ini , maka khilaf itu kelak akan berlarutan dan mengundang perpecahan yang memusnahkan .
Mungkin keputusan syura tidak menepati kehendak kita , namun kita kena bersabar untuk menerima keputusan syura .
ما ندم من استخارى و ما خاب من استشارى
Tidak menyesal orang yang beristikharah dan tidak rugi orang yang bermesyuarat .
Sebagai contoh yang boleh saya bawa di sini , setelah syura mengumumkan keputusan mereka dalam isu muqabalah tempohari dan dibinding pula dengan penerimaan sebulat suara sidang Muktamar Tahunan PAS kali ke 54 akan usul Dewan Ulama' PAS Pusat supaya menerima keputusan syura , maka saya kira tidak wajar lagi sebarang kenyataan dan pandangan terbuka malah penuh dengan api kekhilafan antara kita .
Kalau kita sebagai anggota parti , langgar adab khilaf ini malah merempuh keputusan yang telah siap dibina oleh Majlis Syura Ulama' , bila soal ini akan selesai dan bila khilaf ini akan tamat ? Sedang kita masih banyak perkara yang perlu kita lakukan .
Tambahan pula saya lihat kenyataan Dato' Seri Presiden sebelum dan semasa muktamar baru - baru ni sangat jelas dan mudah . sekurang - kurang ada 5 point yang penting :
1. Perkukuhkan Pakatan Rakyat dan Kelab Penyokong PAS
2. PAS tidak akan masuk UMNO dan Menolak Tawaran UMNO
3. Muzakarah atau muqabalah akan diteruskan dengan sesiapa sahaja
3. Muzakarah atau muqabalah akan diteruskan dengan sesiapa sahaja
4. Perkasakan Majlis Syura Ulama'
5. PAS untuk Semua
Sewajarnya , selesai muktamar maka selesailah isu ini. Kerana ruh muktamar atau semangat sidangnya biarpun terdahulu dengan pelbagai pandangan yang berbeza , tetapi semuanya telah bersetuju dengan 3 point di atas .
Malangnya saya lihat isu ini masih dihangat dan dipanaskan lagi dengan statement - statement terbuka dalam akhbar. Semacam menzahirkan rasa tidak puas hati terhadap keputusan yang telah di binding oleh Muktamar baru - baru . Lebih malang , kelihatan ada elemen untuk melagakan 2 Tok Guru kita yang sangat dikasihi .
Janganlah buat begitu . Tiada untungnya kita . Marilah kita tamatkan polemik ini dengan tenang , sabar dan berlapang dada .
Sikap saya sedari awal bersama dengan rakan - rakan Dewan Pemuda PAS Pusat ialah mengambil jalan tengah dan hanya berpihak kepada prinsip amal Jamaei berasaskan amal Islami .
Saya sendiri pun sering mempunyai pandangan yang berbeza dengan pihak lain dan tidak bersetuju dengan pihak lain pula , tetapi bila ada keputusan yang dikeluarkan secara rasmi oleh parti , maka kita akur dengan prinsip dengar dan taat kita kepada keputusan yang telah diambil , biarpun hati kita sukar untuk menerimanya .
Berilah peluang pimpinan kita memimpin dengan baik dan kita menjadi pengikutnya yang baik . Kecualilah arahan dan keputusan itu berbentuk maksiat , maka tiada taat kepada makhluk dalam perkara memaksiatkan Allah swt. ( لا طاعة لمخلوق في معصية خالق )
Jelasnya isu ini hanya berkait soal strategi dan masing - masing mempunyai pandangan . Kini keputusan telah ada , maka pandangan yang berbeza itu mesti diurus dengan bijak dan tenang melalui majlis mesyuarat bulanan atau pertemuan 4 mata dengan Dato' Seri Presiden sendiri . Tanganinya dengan mesra dan lapang dada .
Bukan terus menyalakan fitnah . Ingat ! Fitnah adalah suatu yang sedang tidur maka jangan gerakkan ia dari tidur kerana kelak apabila ia bangkit , kesan kemusnahannya akan dirasai oleh semua .
Menerima dan akur keputusan yang telah diputuskan oleh parti itulah wala' yang mesti diberikan . Jauh sekali menganggap pimpinan memperbodohkan ahli dengan keputusan yang telah diambil . Demikian juga mempersoalkan ketelusan pimpinan dan ahli majlis syura yang rata - ratanya terdiri daripada para ulamak yang takutkan Allah .
إنما يخشى الله من عباده العلمؤا
Sesungguhnya yang paling takut kepada Allah ialah dikalangan hambanya al Ulama' .
Surah Faatir : 28
Akhirnya seperti kata Yb. Ketua Pemuda PAS Pusat mengakhiri ucapan Penggulungannya di Muktamar Pemuda PAS Pusat baru - baru ni , ".......enough is enough...."
Tapi , kalau semua pakat dok timbulkan lagi , tak kan saya nak dok diam gitu jer ......
Friday, August 22, 2008
PERJUANGAN
PASCA MUKTAMAR kali ke 54
17 ogos 2008 menyaksi detik perpisahan para pejuang setelah berkumpul hampir 5 hari di bumi Perak yang cukup nostalgis sebagai bumi kelahiran Gerakan Islam ini .
Suasana perpisahan cukup sentimental , terutama salam berpisah dengan sahabat - sahabat lama yang masih kental dan thabat dengan perjuangan suci ini. Kesibukan harian berisi aktiviti rutin sebagai seorang pejuang menjadikan kita sukar membelah sempadan geografi biarpun ia bukanlah terlalu jauh . Muktamar sebegini , selain ia adalah medan bermuhasabah juga menepati jejak kasih antara kita .
Bertemu mata , bersentuh pipi dan bersilang bahu meruntun ukhuwwah fillah antara kita , tentu sahaja menggamit rasa penuh syahdu menginsafi erti persahabatan di pentas perjuangan ini meskipun kita jarang bertemu .
Muktamar adalah himpunan tahunan yang mementaskan kembali nilai ukhuwwah dan persahabatan agar terus mekar tanpa layu dan luput walau dilanda badai perbedaan pandangan dan silang maklumat antara kita .
Semangat juang demi menegakkan agama Allah dan rasa cinta kasih terhadap wadah perjuangan ini membuatkan kita tidak peduli lagi berapa lebar jurang khilaf antara kita , ianya tetap diharungi untuk menggapai kedua tangan agar kembali bersilang penuh makna , mendokong nilai persaudaraan Islam .
Saya sendiri dapat menyaksikan dengan jelas wujudnya jurang perbedaan pandangan yang mungkin bertolak dari berbeza maklumat , tidak sama cara memahami dan berlainan persepsi dalam menanggapi isu yang dihadapi namun saya juga dapat melihat dengan lebih jelas bahawa segala perbezaan itu bertemu di atas nokhtah yang sama iaitu kasih dan sayang kepada wadah perjuangan Islam ini .
Realiti ini membuatkan saya menitis air mata , menginsafi kebesaran Ilahi dan rahmatNya yang cukup unik . Semoga perjuangan ini semakin mantap dan perkasa setelah ia melalui satu proses muhasabah yang telus , berani , ikhlas dan kritikal .
Saya percaya semua anggota jamaah mempunyai perasaan dan sikap yang sama . Tiada makna lagi untuk terus kita bertikaian antara satu sama lain setelah melalui proses muhasabah ini . Malah kita telah pun mengambil kata sepakat untuk terus mendokong kepimpinan ulamak serta memartabatkan majlis Syura Ulamak yang dipengerusikan oleh al Mursyidul Am Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz bin Nik Mat .
Inilah masa kita mengorak langkah penuh satria mendepani apa jua bentuk tribulasi . Noktah Tasbih Kaffarah di hari akhir muktamar adalah merupakan Noktah Bismillah bagi hari mula untuk terus berjuang di sessi ini ( 08/09 ) .
Saya pada awalnya terasa juga ingin berehat seketika . Sejurus pulang dari muktamar , saya terus bergegas ke Kota Bharu untuk bersama keluarga . Dalam kepala muncul pelbagai plan lokasi untuk isterehat sehari dua sebelum kembali aktif bersama aktiviti rutin jamaah ini .
Tetapi apa yang membuatkan saya cukup terharu , pada malam itu hadhir dalam mimpi saya seorang tokoh ulama' yang sangat saya segani . Lengkap berpakaian rasmi seorang ulama' terbilang , beliau menghampiri sedang saya mendekam di tikar sejadah seraya mengusap kepala saya lalu berkata , terima kasih dan bangunlah , banyak lagi kerja jamaah yang belum selesai , siiru a'la barakatillah !
Serentak itu saya tersedar dan jam sudah hampir 5 pagi . Sukar pula saya ingin melelapkan mata selepas itu . Lagi pun waktu subuh sudah hampir dan hati saya tetiba menjadi sayu . Saya menangis semahu - mahunya . Tapi hairannya , saya sendiri tidak pasti benar untuk apa saya menangis , namun hati saya cukup sayu .
Saya seperti tidak puas untuk terus bersama dengan tokoh ulama' terbilang yang sebentar tadi hadhir dalam mimpi saya . Saya terus memanggil memanggil namanya dalam esakan di awal pagi itu . Ayah Chik .... Ayah Chik !
Benar mimpi bukan penentu hukum dan saya bukanlah menetapkan apa - apa hukum dari mimpi tersebut , tetapi saya cukup terharu mengenang beratnya beban amanah yang terpaksa dipikul oleh Ayah Chik , berdepan pula dengan pelbagai mehnah dan ibtila' yang tidak sudah - sudah menerjah kepimpinan beliau .
Ayah Chik ....selagi kedua telapak kakimu melandasi perjuangan suci warisan nabi ini , aku yang kerdil tetap mengerah apa yang terdaya untuk bersama mendokong cita - cita perjuangan ini .
Friday, August 15, 2008
KALAU BERKHILAF
SESAMA AHLI JAMAAH
Sahabat-sahabat yang dikasihi.
MANUSIA ADA RUANG BUAT SALAH DAN SILAP
Kita semua adalah manusia. Manusia ada peluang buat salah dan silap. Gigi dan lidah lagilah tergigit, inikan pula kita dalam sebuah jamaah yang besar. Ahlinya daripada seorang ulamak sehingga kepada seorang jahil.......syarat utama keahliannya ialah Islam. Kalau kafir tak boleh.
Bila jamaah besar, ahlinya pelbagai tahap pemikiran, kerenah dan kedudukan, aktivitinya banyak MAKA pertelagahan mungkin berlaku DAN hampir mustahil tak berlaku perbalahan dan seumpamanya. Sebuah keluarga yang terdiri daripada ibu ayah dan beberapa orang anak boleh tercetus perbalahan, apatah lagi kita jamaah yang ratusan ribu ahlinya.
APA YANG KITA NAK PELIHARA DAN PUPUK?
Oleh itu semua kita samada AHLI dan PEMIMPIN hendaklah sedaya upaya menjaga sebaik-baiknya ..........
1. Ikatan Jamaah
2. Ikatan Iman dan
3. Ikatan Ukhuwwah.
Jagalah ianya lebih daripada menjaga keluarga sendiri. Sentiasalah meletakkan kepentingan jamaah mengatasi kepentingan peribadi. Jauhkan diri dari virus-virus dan kuman-kuman yang merosak dan menjahanamkan jamaah sekaligus membahayakan diri kita sendiri selaku individu dalam jamaah. Sentiasalah mengingati pesanan ALlah dalam surah al-Hujurat yang bermaksud
"Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada ALLAH supaya kamu beroleh rahmat
(Al-Hujurat : 10).
APA SIFAT DAN SIFAT YANG WAJIB ADA DALAM MENJAGA KEUTUHAN JAMAAH DAN UKHUWWAH?
1. Tabayyun bererti mencari kejelasan dan kesohihan maklumat yang diterima.
Jangan mudah menerima berita tanpa ditapis dan diselidiki kesohihannya. Suratkhabar, blog, tv, radio, sms adalah ibarat tong sampah.....jangan main hentam aje. Paling tidak, letakkan status benda-benda tadi adalah "fasiq".
"Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasiq membawa berita maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu."
(al-hujurat:6)
2. ’Adamus Sukhriyyah ertinya tidak memperolok-olokkan.
Janganlah kita merasakan kita sahaja yang pandai, banyak sumbangan dan berkorban; orang lain baru sahaja berada di medan dakwah dan jihad......aku dah lama berjuang. Suka sangat syaitan mendengarnya. Al-Quran mengajar kita,
"Wahai orang-orang yang beriman janganlah satu kaum memperolok-olokkan kaum yang lain (kerana) boleh jadi mereka (yang diperolok-olokkan) lebih baik dari mereka (yang memperolok-olokkan) ."
(al-Hujurat:11).
3. 'Adamul Lamz iaitu tidak mencela orang lain.
Surah Hujurat menjelaskan sikap yang patut diambil oleh mukmin mujahid;"Dan janganlah kamu mencela diri sendiri'"
Hujurat:ayat 11.
Mencela sesama muslim mukmin mujahid dalam ayat ini dianggap mencela diri sendiri, sebab pada hakikatnya kaum muslimin dianggap satu kesatuan. Apalagi jika celaan itu adalah masalah status dan standard kebendaan. Allah sendiri menyuruh Rasul dan orang-orang yang mengikutinya untuk bersabar atas segala kekurangan orang-orang mukmin.
Kita mesti sedar kalau kita memperlekehkan pimpinan bermakna kita memperlekehkan diri kita sendiri. Kalau kita mendedahkan keaiban jamaah bererti kita mendedahkan keaiban diri sendiri. Barang diingat bahawa media bukan medan tempat penyelesaian masalah jamaah.
4. Tarku at-Tanabuz yakni meninggalkan panggilan dengan sebutan-sebutan yang tidak baik terhadap sesama mukmin.
"Dan janganlah kamu saling memanggil dengan sebutan-sebutan (yang buruk).
al-Hujurat"
Janganlah memanggil atau menggelarkan sahabat sendiri dengan sebutan yang tidak baik. "Tengoklah ustaz gila tu!" "Wow hebat ustaz bingung tu" "Aku rasa kalau pemimpin umnowi, kita tendang aje".....macam-macam kita dengar di cuping telinga.
Tanabuz dalam bentuk yang paling parah adalah berupa pengkafiran terhadap orang yang beriman.
Sucikan hati mu. Janganlah kebencian, permusuhan kamu terhadap seseorang sekalipun musuhmu menyebabkan kamu tidak berlaku adil. Jangan diikut perasaan marah(ghadab).
5. Ijtinab Kathirun min az-zon iaitu menjauhi kebanyakan prasangka.
"Wahai orang-orang yang beriman jauhilah kebanyakan dari prasangka, karena sebagian prasangka itu dosa.
AL-HUJURAT: 8"
Pada dasarnya seorang muslim harus berbaik sangka terhadap sesamanya, kecuali jika ada bukti yang jelas tentang kesalahan tersebut. Dan sebaliknya, kepada orang kafir dan musuh Islam, kaum muslimin harus menaruh curiga bila mereka bermanis budi. Dalam sejarah perjuangan terlalu banyak berlaku perkara yang tidak diingini akibat sifat Su' Zon(buruk sangka). Lebih-lebih lagi apabila musuh pandai mencampak isu.
Lihat surah an-Nur ayat 11 hingga 16.
Peristiwa yang menimpa Umm al-Mukminin 'Aisyah binti Abu Bakar yang difitnahkan "berbuat jahat" dengan Safwan sahabat Nabi saw. Bayangkan kalau zaman Jamaah Islam di bawah pimpinan RasuluLlah saw boleh berlaku......bagaimana di zaman kita ini.
Oleh sebab itu dua sikap yang mesti ada kepada ahli dan pimpinan Islam ketika DALAM MENGHADAPI ISU DAN PROVOKASI MUSUH ialah:
i. MENGUTAMAKAN HUSNU-ZAN (BERSANGKA BAIK). Salah satu sikap(mawaqif) yang harus kita miliki di dalam mengembangkan AMANAH DAN JIHAD MENEGAKKAN SYARIAT ALlah di bumi ini. BERHUSNUZAN(baik sangka) kepada saudara sejamaah walaupun siapapun dia atau dari kelompok manapun.
ii. MENGUTAMAKAN JAMAAH DAN PERPADUAN.
6. ’Adamu at-Tajassus adalah tidak mencari-cari kesalahan dan aurat orang lain.
Perbuatan ini amat dicela Islam. Setiap cara da'wah ada metodenya masing-masing, yang berusaha semaksima mungkin mendekati cara berda'wah Rasulullah SAW. Allah SWT amat suka bila kita berusaha menutup aib saudara kita sendiri. Kalau cari salah orang, memang jumpa. Salah sendiri walaupun "bapak besar" tak nampak.
7. Ijtinab al-Ghibah iaitu jauhi mengumpat.
Abul Laits Assamarqandi meriwayatkan dengan sanadnya dari Abu Hurairah r.a. berkata Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Tahukah kamu apakah ghibah?"
Jawab sahabat: "Allah s.w.t. dan Rasulullah s.a.w. yang lebih mengetahui." "Ghibah itu jika kau menyebut (membicarakan) hal keadaan saudaramu yang ia tidak suka hal itu disebut atau dibicarakan kepada orang lain, maka itu bererti ghibah padanya." Jawab Rasulullah s.a.w.
Lalu ditanya: "Bagaimana kalau saudaraku betul begitu?" "Jika yang kau sebut itu benar ada padanya. maka itu ghibah tetapi jika tidak betul maka itu buhtan (membuat-buat kepalsuan, pendustaan untuk menjelekkan nama orang)."
jawab Rasulullah s.a.w.
Menyebut: "Baju orang itu pendek atau panjang." itu bererti ghibah.
Abul Laits meriwayatkan dengan sanadnya dari Ibn Abi Najih berkata: "Ada seorang wanita pendek datang kerumah Nabi Muhammad s.a.w. dan ketika telah keluar, Siti Aisyah r.a. berkata: "Alangkah pendeknya orang itu." Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Engkau ghibah." Aisyah r.a. berkata: "Saya tidak menyebut kecuali yang sebenarnya ada padanya." Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Engkau telah menyebut yang paling jelek padanya."
Khulasahnya kita wajib menjaga kesatuan dan perpaduan jamaah dan memelihara ukhuwwah/persaudaraan. BUKTIKAN anda benar-benar mukmin dan ikhlas dalam perjuangan dengan melakukan A, B dan C terhadap sahabat yang bertelagah dengan anda.
A = Memaafkan kesalahan sahabat kita tu.
B=Berdoa kepada ALLAH agar dosanya diampunkan.
C= Doa dan harapkan sahabat itu dalam kebaikan terutamanya dalam doa rabitah(bayangkan mukanya waktu berdoa).
B=Berdoa kepada ALLAH agar dosanya diampunkan.
C= Doa dan harapkan sahabat itu dalam kebaikan terutamanya dalam doa rabitah(bayangkan mukanya waktu berdoa).
Saya yakin, kita mampu melakukannya walaupun tidak mudah. Ayuh kita cari keredhaan ALlah walaupun dalam kemarahan manusia.
PENDIRIAN SAYA
TERHADAP PAKATAN
Hari ini selesai sudah muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat bagi kali yang ke 49 . Masih terasa penat dan letihnya tubuh selepas mengambil perjalanan yang jauh untuk sampai ke Ipoh. Tambahan pula jadual aktiviti rutin menjadikan waktu tidur agak terabai .
Banyak keputusan dicapai melalui muktamar kali ini meskipun ia bukan lah satu deklarasi yang detail dan rasmi .
Antaranya berkait isu muzakarah yang agak panas perbahasannya di kalangan perwakilan . Nyata muzakarah tidak lagi menjadi isu apabila ia telah disepakati oleh semua perwakilan sesuai pula dengan keputusan rasmi PAS Pusat dan Dewan Pemuda , bahawa PAS akan terus bersikap terbuka untuk bermuzakarah atau muqabalah dengan siapa sahaja demi kepentingan agama dan ummahnya .
Dalam masa yang sama kita menegaskan bahawa kita menolak semua tawaran UMNO dan BN malah kita juga membuat penegasan bahawa PAS tidak akan masuk UMNO atau BN selama mana UMNO dan BN masih kekal sebagai parti yang sarat dengan maksiat dan mungkar ( penyelewengan ).
PAKATAN : PENDIRIAN SAYA .
Beberapa penegasan tersebut sekali gus meletakkan hubungan PAS bersama parti komponen PAKATAN terus utuh . Dewan Pemuda PAS Pusat juga telah membuat komitmen untuk terus bersama PAKATAN berasaskan prinsip Tahalluf Siasi .
Inilah juga pendirian saya . Namun saya sangat bersetuju dengan kenyataan Dato' Seri Presiden Tuan Guru Hj. Abdul Hadi bahawa komitmen ini bukan sahaja diperkukuhkan dengan aqad untuk bersama dan bekerjasama mengharungi serta memikul tanggungjawab perjuangan ini tetapi juga dikemaskini dengan lafaz ta'lik " Jika terbentuk Kerajaan PAKATAN dan Islam tidak berada ditempat yang selayaknya sebagai agama yang diwahyu Allah swt maka PAS menarik diri "
Taklik ini bermaksud jika kerajaan PAKATAN benar - benar dibentuk setelah berjaya meruntuhkan kerajaan UMNO dan BN . Ertinya jika kerajaan itu tidak dapat dibentuk maka batallah taklik tersebut.
Taklik ini jua mengambil kira soal kedudukan Islam dalam kerajaan PAKATAN. Jika Islam terjamin dalam kerajaan PAKATAN malah memimpin atau menerajui PAKATAN sesuai dengan "sifat Islam yang memimpin" maka batallah taklik tersebut .
LAFAZ TAKLIK
Taklik ini adalah bertujuan untuk memperkukuh atau memperteguh kedudukan PAS dalam PAKATAN agar ia benar - benar dapat berfungsi dan berperanan sebagai parti anggota sekali gus memimpin PAKATAN dengan asas yang diwahyukan Ilahi .
Taklik adalah urusan dalaman PAS untuk meletakkan PAS menepati syarat dan prinsip dalam bertahalluf . Ertinya ia sekali - kali tidak bermaksud mempersoalkan kredebiliti keanggotaan parti komponen PAKATAN yang lain .
Hanya untuk menjadi garis sempadan dalam penglibatan agar semua pihak tahu dan sedar batas serta kedudukan masing - masing . Mengisytiharkannya pula adalah satu kejujuran dalam meletak diri bersama tahalluf ini.
Saya percaya rakan - rakan dari parti Keadilan mahupun DAP boleh memahami realiti ini . Harapnya tiadalah pihak yang mengadu domba.
Apabila sang suami selesai aqad nikahnya lalu membaca lafaz taklik , itu tidak bermakna suami tidak menyintai isterinya dan bukanlah pula bermaksud sang suami mahu memisah diri dan membubarkan nikahnya yang baru sahaja diijab qabul dalam satu majlis aqad yang sah . Nikahnya sah dan kasih sayangnya mekar sehinggalah berlaku sebagaimana lafaz takliknya , barulah nikahnya bubar atau jatuh talaknya.
Begitulah realiti PAS bersama parti anggota PAKATAN yang lain . Taklik yang dilafazkan oleh Dato' Seri Presiden PAS bukanlah bermaksud membawa PAS keluar dari PAKATAN dan tidak pula bermaksud PAS mengkhianati anggota PAKATAN yang lain . Sebaliknya kerjasama atau tahalluf antara anggota PAKATAN terus berlangsung sehinggalah berlaku sebagaimana lafaz takliknya barulah tahalluf itu batal dan bubar .
Inilah persoalan yang ingin saya tekankan dalam muktamar pemuda semalam , tetapi memandang masa penggulungan agak terbatas , maka saya mengambil kesempatan disini untuk mempertegaskan pendirian saya .
Saya benar - benar mengharap muktamar pemuda semalam boleh menyelesaikan banyak perkara terutama melalui ucaptama Ketua Dewan Pemuda yang sangat baik dan mantap .
Insyaallah , selepas ini Dewan Pemuda PAS negeri dan kawasan akan terus diskusikan ucaptama tersebut diperingkat masing - masing dan dapat merealisasikan dalam gerakkerja di semua peringkat .
MUKTAMAR
DEWAN PEMUDA PAS PUSAT KALI KE 49
Persembahan Tarian Naga di hadapan Pembarisan dan Tabik Hormat Saff Kepimpinan Dewan Pemuda PAS Pusat bersama Timbalan Presiden PAS Ustaz Nasharudin Mat Isa .
Persembahan Gendang Tradisi India
Beramah mesra bersama bekas - bekas Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat . Turut hadhir ialah Ustaz Abu Bakar Chik , Tuan Hj. Mahfuz Omar dan Hj. Roslin Abdul Rahman bekas Bendahari PAS Pusat . Kelihatan di dalam gambar ialah wakil gerakan Islam Filipina.
Ustaz Ismi bersama Muraqibul Am Ikhwanul Muslimin Jordan Dr. Hammam Said yang turut menjadi tetamu kehormat Muktamar Pemuda PAS Pusat kali ini . Turut hadhir ialah wakil - wakil gerakan Islam Maldive , Bangsa Moro dan Mynmar
Sahabat seperjuangan Ustaz Azman Syafawi , ustaz Kamal Saari dan Khairil Faizi
Khusyu' menghayati lagu rasmi PAS menjelang majlis Perasmian Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat kali ke 49
Lagu Negaraku turut di kumandangkan sebagai rasa hormat kepada negara dengan penuh semangat patriotisme .
Turut hadhir ialah Dato' Seri Ir. Nizar Jamaludin Menteri Besar Perak , Saudara Shamsul Iskandar Ketua Angkatan Muda Keadilan dan Ustaz Ahmad Awang sebagai Naib Presiden PAS.
Berada di atas pentas bukanlah bermakna kami lebih hebat dari yang berada di bawah . Nyata perjuangan sukar ini memerlukan semua pihak bergandingan mantap menuju matlamat perjuangan .
Sebahagian perwakilan dan pemerhati yang tekun dan istiqamah mendokong cita - cita perjuangan .
Kepimpinan adalah satu amanah yang wajib ditunai bukan jawawatan yang dibanggai.
Anugerah diberi kepada yang layak dan berjasa kepada perjuangan . Ianya bukanlah ganjaran tetapi sebagai motivasi agar terus mara dan maju dengan prestasi hebat dan pencapaian terbaik .
Khairi Faizi terus hebat dan lincah bersama Kelab Penyokong PAS . Kelihatan rakan - rakan Kelab Penyokong PAS bersama dalam muktamar kali ini .
Hero UITM Luqman sempat mengambil ruang untuk bertemu Yb. Ketua Pemuda bagi meluahkan pandangan dan suara warga UITM . Pemuda senantiasa mengambil pendekatan terbuka untuk mendengar dan berbincang dengan siapa sahaja serta berlapang dada dalam menerima teguran .
Doa wehdah yang dipimpin oleh Ustaz Riduan Mohd Nor terus bergema bersama semangat para pemimpin pemuda dan perwakilan jua tidak ketinggalan pemerhati bagi membesarkan Allah swt dan menancap izzah perjuangan yang tidak lagi berbelah bahagi .
Sejurus selesai bermuktamar dan seharian bermuhasabah , kami saling bersalaman dan berpelukan tanda sehati sejiwa meredah badai .
Teruskan perjuangan dan pulanglah dengan kesedaran dan semangat yang tinggi menerjah halangan dan menongkah arus ke arah menegakkan syariat di bumi Ilahi .
Sibuk melayan peminat yang mahukan tandatangan sebagai cenderahati di atas buku terbaru Feqhul Haraki "PERJUANGAN" yang dilancarkan semalam sempena majlis perasmian muktamar pemuda.