" Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini "

Sunday, April 29, 2007

WARKAH TAZKIRAH BUAT TAN SRI.

Oleh Tuan Guru Hj Nik Abdul Aziz Nik Mat

MENEMUI Tan Sri Khalid Ibrahim dengan segala doa dan limpah kerahmatan dariNya. Tan Sri, Baru agak sebentar Tan Sri cuba untuk berjinak-jinak dengan dunia pembangkang dan Tan Sri sudah dapat merasai pahit gigitannya. Kami sudah puluhan tahun dijeruk dalam tempayan penderaan ini. Cukuplah Allah yang menjadi saksinya.

Usahkan kita nak bercakap soal pembelaan Islam dan umat Islam, membela nasib bangsa Melayu melalui demokrasi sekali pun, kita akan menyaksikan satu laluan berhalang yang teramat sukar.

Apa yang menyayatkan hati lagi ialah ia hampir sah sengaja dilakukan. Ini cukup dapat disaksikan dalam plihan raya kecil di Ijok baru semalam.

Dalam konteks demokrasi, rugi sangatkah jika Dewan Undangan Negeri Selangor memberi ruang kepada minoriti pembangkang? Hatta, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri pernah menegur tentang ‘tidak betulnya’ sesebuah sistem berkerajaan jika kerajaan yang di pilih(?) itu terlampau-lampau kuat.

Tanpa sebuah kerusi pun yang dibenarkan, maka siapa agaknya yang mampu menyemak parti yang membentuk kerajaan itu dari melakukan kesilapan? Beliau seorang tokoh bergelar Tan Sri dan bukan sebarang budak kampung yang biasa.

Dalam hal ini, mungkin sangat bermanafaat kita merenungi maksud ayat Allah SWT mengenai tiga orang Rasul yang dibunuh oleh kerajaan yang zalim kerana mengamalkan sikap enggan menerima nasihat.

Ini kebenaran sejarah dan tercatat sendiri di dalam al-Quran. Ia berbunyi,

“Utusan-utusan itu berkata: kemalangan itu adalah kerana kamu sendiri. Apakah sekadar jika kamu diberi peringatan (kamu bernasib malang)? Sebenarnya kamu adalah kaum yang melampaui batas.

“ (Surah Yasin Ayat 19).

YBhg. Tan Sri,

Pada saya, pilihan raya kecil Ijok sebenarnya semacam kesempatan. Kesempatan itu semacam diatur oleh Allah SWT untuk memberi peluang kepada pemimpin Umno dan seluruh warga pengundi Ijok untuk memperbaiki semula dasar angkuh Selangor yang menolak Islam dan sekali gus doktrin demokrasi berbunyi “pembangkang sifar”.

Tak bolehkah Ijok sekadar dibiarkan kerusinya untuk pembangkang. Maksud saya, bukan diberi percuma sebegitu tetapi dipertandingkan dengan cara yang sihat.

Ini, sampai membawa bala tentera polis dan FRU yang beribu-ribu. Mengugut pengundi di sana sini. Amalan gangsterisme. Ada tertangkapnya dua bas yang disyaki membawa pengundi hantu dari Perlis.

Curahan peruntukan raksasa yang melebihi RM36 juta. Ini demokrasi atau apa? Tak mungkin Umno tak faham betapa semua amalan ini adalah perbuatan kontra demokrasi yang terkutuk dan hina sehina-hina!

Jika saya dibenarkan menggunakan ‘pisau tumpul’ untuk memotong di ketika ini maka saya akan mengatakan yang pemimpin-pemimpin Umnolah yang selama ini bertanggungjawab mengeraskan hati rakyat Malaysia dari menerima kebenaran Allah.

Jika calon KeADILan kita menang sekali pun, apa sangatlah yang kurangnya Selangor itu. Sehabis kuat, Tan Sri Khalid kita akan hanya bertazkirah, menegur dan berpesan-pesanan darihal kebaikan.

Selaku seorang yang berkepakaran di bidang ekonomi dan korporat, tentu sekali penguasaan ilmu Tan Sri adalah aset yang sangat besar untuk dikongsikan oleh Selangor dalam konteks mendengar pandangan kedua dari arah yang sedikit berlainan.

Ini tentu akan mencetus satu proses ‘check and balance’ yang sihat untuk membela nasib orang Melayu, orang Islam, non-Islam dan umat manusia pada amnya.

Cuba pemimpin Umno buat perbandingan sedikit dengan apa yang sedang berlaku di White House hari ini. Lapan calon Demokrat telah sebulat suara mengutuk Presiden Bush berhubung dasar beliau di Iraq.

Ini berikutan daripada kekalahan pihak Republikan di tangan Demokrat yang semakin menyisihkan Bush.

Bahkan, dalam perbahasan kempen pertama disiarkan menerusi televisyen sebelum pemilihan Presiden 4 November 2008, calon Demokrat membidas pentadbiran Bush kerana terus menghantar beribu-ribu askar AS dan membelanjakan berbilion-bilion dolar untuk kempen Perang Iraq yang menuju kegagalan.

Berita ini ada dalam semua akhbar pada 28 April 2007. Nah, kita boleh lihat bagaimana berbeda sekali amalan demokrasi di tempat orang berbanding dengan di tempat kita.

Di peringkat ini, saya tidak perlulah menghukum betapa kunonya kita sebab Tan Sri sendiri, seluruh penduduk Ijok dan rakyat Malaysia pada amnya telah sempat menyaksikan segala adegannya. Ia jelas sebuah demokrasi olok-olok di mana Islam diperolok-olokkan.

Jika mulialah apa yang dilakukan kerajaan Umno di Ijok itu, kenapa tidak dibenarkan mana-mana pasukan pemantau pelaksana demokrasi peringkat dunia untuk menjadi saksi.

Sebenarnya, kita telah tersalah memakaikan lencana dacing yang bersimbolkan keadilan dunia dan demokrasi ke dada pemimpin Umno. Rupanya, mereka cuma berwajah demokrasi tetapi berjiwa ‘komunis’.

Mereka boleh dikatakan hampir kering kontang dari segi nilai iman dan hari pembalasan di akhirat. Itulah Tan Sri; apa yang mungkin saya boleh simpulkan.

Pemimpin Umno perlu ingat bahawa segala yang dilakukan di Ijok itu ada divideokan oleh Allah SWT. Jangan ingat, pihak Special Branch (SB) dan polis rahsia Umno sahaja yang membuat rakaman.

Bahkan, mereka perlu di ingatkan dengan ayat Allah yang bermaksud,

“pada hari di ketika mereka dibangkitkan Allah semuanya, lalu diberitakan Nya, kepada mereka apa yang telah mereka kerjakan. Allah mengumpul (mencatat) amal perbuatan (dan aktiviti) itu, padahal mereka melupakannya. Dan Allah Maha Menyaksikan segala sesuatu.

(Surah Al-Mujadalah Ayat 6).

Tan Sri,

Saya sekadar berpesan kepada Tan Sri. Saya cuma mengambil kesempatan untuk bertazkirah melalui surat terbuka ini untuk dibaca oleh semua. Tahniah jua dari saya di atas keberanian dan ketabahan Tan Sri untuk mengharungi ujian yang getir ini.

Lagi pun, mengikut bacaan, undi di Ijok untuk PKR sudah bertambah sebanyak 471 undi. Syabas saya ucapkan. Sesungguhnya, kerja memikul kebenaran ini adalah satu tugas berat.

Hanya Nabi-Nabi, Rasul-Rasul dan para anbiya’ yang diikuti oleh pejuang-pejuang seperti kita termasuklah seperti Tan Sri yang mampu memikulnya, InsyaAllah. Pantang berundur. Kuatkan semangat. Seorang mukmin adalah seorang yang tidak pernah kenal erti kecewa dan putus asa.

Wallahua’lam.

Monday, April 23, 2007

KENYATAAN MEDIA DEWAN PEMUDA PAS PUSAT
23HB APRIL 2007

ORGANISASI HARAM PANTAU IPTA

Meskipun sesudah didedahkan di dalam media alternatif suatu dokumen berkenaan dengan penubuhan organisasi ‘haram’ Jawatankuasa Pemantau IPTA semasa Pilihanraya Kecil DUN Machap, Kementerian Pengajian Tinggi yang diterajui oleh Mustapa Mohamed masih meneruskan agenda kotor yang sama di Pilihanaraya Kecil DUN Ijok kali ini, iaitulah tindakan tidak bermoral dengan menggunakan jentera Hal Ehwal Pelajar (HEP) untuk mengesan sebarang keterlibatan mahasiswa IPTA untuk membantu Parti Keadilan Rakyat (PKR) di dalam pilihanraya kecil ini dan pada masa yang sama menyusun gerakerja kakitangan IPTA dan mahasiswa pro kerajaan bagi memenangkan calon Barisan Nasional.

Dengan menyelewengkan peruntukan dana awam yang diperolehi dari rakyat Malaysia pembayar cukai, jawatankuasa ini menjadikan Kampus UNISEL di Batang Berjuntai sebagai bilik gerakan utamanya. Jawatankuasa Pemantau tersebut kali ini khabarnya diketuai pula oleh Profesor Dr Razali Agus, Timbalan Naib Canselor HEP Universiti Malaya .

Menurut maklumat yang kami perolehi dari KPT sendiri, semua IPTA diarahkan untuk menghantar petugas-petugas mengikut giliran untuk meronda di seluruh kawasan pilihanraya sepanjang masa kempen hingga ke hari pembuangan undi.

Pasukan petugas tersebut dilengkapi dengan peralatan canggih seperti kamera digital, perakam video dan bertugas menaiki kenderaan rasmi IPTA yang mana segala perbelanjaannya termasuk penginapan dan makan minum ditanggung sepenuhnya dengan ‘mencuri’ peruntukan yang sepatutnya digunakan untuk meningkatkan reputasi akademik IPTA Malaysia yang memang jauh tertinggal di belakang.

Modus operandi jawatankuasa ini ialah dengan menjadikan siri-siri ceramah dan kempen serta bilik gerakan pilihanraya Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebagai sasaran utama intipan untuk mencari sekiranya ada pelajar IPTA yang turut serta.

Bahkan sekiranya disyaki ada pelajar yang berada di sekitar pekan, taman perumahan dan kawasan estet dan kampung sekalipun, jawatankuasa ini akan mengekori pergerakan pelajar tersebut, takut-takut mereka merayu undi untuk calon PKR, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Semalam (Ahad 22hb April), sekumpulan lebih kurang 15 orang pelajar progresif dari DEMA dan Youth For Change (Y4C) juga telah diekori, diambil gambar mereka semasa berada di sekitar pekan Ijok dan dipercayai akan diambil tindakan tatatertib oleh pihak universiti masing-masing.

Dewan Pemuda PAS Pusat sekali lagi mendesak Mustapa Mohamed supaya membubarkan segera jawatankuasa ini dengan menutup bilik gerakan dan memanggil semua petugas dari IPTA untuk kembali bertugas seperti biasa di kampus masing-masing.

Mustapa Mohamad juga mesti memberi penjelasan kepada Parlimen tentang hal ini dan mendedahkan berapakah peruntukan wang yang sudah dihabiskan untuk membiayai jawatankuasa ini. Jawatankuasa ini bukan sahaja ‘haram’ dari segi moral, bahkan tindakannya juga bercanggah dengan undang-undang dan juga mencabul peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan hak samarata di sisi undang-undang (equality before the law) dan juga kebebasan berpolitik kepada seluruh warganegara termasuklah pelajar.

Dengan hanya menumpukan intipan kepada pelajar yang menyokong pembangkang dengan mengambil tindakan tatatertib kepada mereka, ianya jelas berlawanan dengan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan disebabkan diskriminasi di dalam melaksanakan undang-undang.

Sedangkan pada masa yang sama jawatankuasa ini, jika berdasarkan dokumen yang telah didedahkan, tidak langsung menjadikan pelajar yang berkempen untuk BN sebagai sasaran. Seksyen 15 (1) Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 jelas memperuntukkan bahawa pelajar universiti dilarang untuk terlibat dengan MANA-MANA PARTI POLITIK samada parti pemerintah mahupun pembangkang.

Dewan Pemuda PAS Pusat juga menyeru kepada para pelajar IPTA yang turun memberikan sokongan dan bantuan kepada PKR di dalam Pilhanraya Kecil DUN Ijok ini dan juga para pelajar yang berhasrat untuk turun membantu Barisan Alternatif (BA) semasa Pilihanraya Umum Ke -12 yang akan datang, supaya jangan gentar dan takut dengan jawatankuasa pemantau ini.

Sekiranya ada di kalangan pelajar yang dikenakan tindakan dengan dihadapkan ke perbicaraan tatatertib universiti, Dewan Pemuda PAS Pusat khususnya dan Pemuda BA amnya berikrar akan serta merta memberikan khidmat guaman untuk membela pelajar terbabit dan seterusnya mengheret pihak pengurusan universiti terbabit dan juga KPT ke Mahkamah Tinggi atas sebab melakukan diskriminasi di dalam melaksanakan undang-undang.

Apa yang berlaku sebelum ini di Universiti Putra Malaysia (UPM) di dalam kes perhimpunan aman pelajar di Bangunan Parlimen untuk menuntut Pilihanaraya Kampus yang bersih dan adil pada tahun 2005, telah menjadi bukti sahih betapa pentadbir IPTA dan TNC HEP yang menjadi perkakas UMNO/BN sebenarnya penakut apabila pelajar mempertahankan haknya melalui saluran undang-undang dengan menggunakan khidmat peguam, dimana akhirnya semua pelajar yang didakwa terlibat dengan perhimpunan tersebut telah dibebaskan dari sebarang pertuduhan.

Percayalah, mereka yang zalim dan menindas, sebenarnya adalah manusia paling pengecut dan penakut apabila keadilan sebenar terserlah!.

Yang benar,

ABDULLAH HAJI ABDUL KARIM
Pengarah
Jabatan Pembangunan Mahasiswa
Dewan Pemuda PAS Pusat

Saturday, April 21, 2007

KENYATAAN MEDIA DPPP

Kes Subashini:
Satu ketidakadilan pada orang Islam, kenapa didiamkan?

Kes Subashini v Saravanan membuka sekali lagi lembaran baru pertembungan bidang kuasa Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil di negara ini.

Secara ringkasnya fakta kes ini adalah seorang wanita Hindu , Subashini Rajasingham telah berkahwin dengan seorang lelaki Hindu bernama Saravanan Thangathoray pada tahun 2001.

Hasil perkahwinan mereka terdapat dua orang anak iaiti Dharvin Joshua berumur 3 tahun dan Sharvind berumur 1 tahun. Saravanan kemudiannya telah memeluk agama Islam dengan nama Islamnya Muhammad Shafi.

Memandangkan isterinya kekal dalam agama Hindu, Muhammad Shafi tidak mempunyai pilihan selain daripada pergi ke Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan untuk mendapatkan perintah pembatalan perkahwinannya dengan isterinya yang masih beragama Hindu.

Menurut undang-undang Islam, perkahwinan Muhammad Shafi adalah dikira terbatal secara automatik apabila beliau memeluk Islam tatkala isterinya enggan masuk Islam dan kekal dalam agama Hindu.

Bagaimanapun di dalam undang-undang yang sedia ada Muhammad Shafi perlu mendapatkan perintah Mahkamah terlebih dahulu bagi membatalkan perkahwinannya dengan bekas isterinya tersebut kerana Seksyen 46 ( 1 ) Akta Undang-Undang Keluarga Islam ( Wilayah Persekutuan ) 1984 memperuntukkan bahawa:

“Jika salah satu pihak kepada sesuatu perkahwinan itu murtad atau memeluk satu kepercayaan lain daripada Islam , maka perbuatan yang demikian tidak boleh dengan sendirinya berkuatkuasa membubarkan perkahwinan itu melainkan dan sehingga disahkan demikian oleh Mahkamah.”

Muhammad Shafie tidak mempunyai pilihan selain daripada pergi ke Mahkamah Syariah kerana meskipun perkahwinannya dengan bekas isterinya dikawal oleh Akta Membaharui Undang-Undang ( Perkahwinan dan Penceraian ) 1976 ( selepas ini dirujuk sebagai Akta tersebut ) ,

Akta tersebut sendiri menghalang Muhammad Shafie untuk memfailkan petisyen penceraian di Mahkamah Tinggi ( Sivil ) kerana berdasarkan seksyen 51 Akta tersebut diperuntukkan:“ Jika satu pihak kepada sesuatu perkahwinan telah masuk Islam maka pihak yang satu lagi yang tidak masuk Islam boleh mempetisyen untuk penceraian.”

Berdasarkan seksyen 51 Akta tersebut adalah jelas Muhammad Shafie dihalang oleh undang –undang sivil sendiri untuk memfailkan petisyen penceraian di Mahkamah Sivil.

Seksyen 51 digubal di atas falsafah bahawa memasuki agama Islam dikira satu kesalahan matrimonial dan yang demikian pihak yang masuk Islam dinafikan haknya untuk mendapatkan remedi di Mahkamah Sivil.

Di dalam kes Pedley v Majlis Agama Islam , Pulau Pinang ( 1990 ) 2 MLJ 307 Y.A Hakim Wan Adnan menyatakan bahawa “ satu perkahwinan bukan Islam tidak dibubarkan apabila satu pihaknya memeluk Islam. Ia hanya memberi alasan kepada satu pihak satu lagi yang tidak masuk Islam untuk memfailkan petisyen penceraian ( di Mahkamah sivil ).

Meskipun di dalam kes tersebut Kadi Besar memutuskan bahawa perkahwinan di dalam keadaan tersebut akan dibubarkan mengikut undang –undang Islam, Hakim Wan Adnan menyatakan; “ pernyataan Kadi Besar itu tidak akan menjejaskan keadaan Plaintif di dalam pandangan undang-undang peribadinya dan undang-undang sivil negara.”

Kesan ketara seksyen 51 dalam konteks kes ini adalah perkahwinan antara Muhammad Shafie dan Subashini akan terus wujud selagi mana Subashini tidak memfailkan petisyen penceraiannya di Mahkamah Tinggi dan ini mendatangkan satu ketidakadilan kepada pihak yang masuk Islam.

Meskipun di dalam kes ini Muhammad Shafi telah mendapatkan perintah pembubaran perkahwinannya dengan Subashini di Mahkamah Syariah namun ianya tidak berkesan membubarkan perkahwinannya ke atas Subahsini , Ini kerana menurut seksyen 4 atau 8 Akta tersebut perkahwinan tersebut , jika sah hendaklah berterusan sehingga dibubarkan

( a ) dengan kematian salah satu pihak ;

( b ) dengan perintah sesuatu Mahkamah yang mempunyai bidangkuasa yang layak ; atau

( c ) dengan dikri pembatalan yang dibuat oleh sesuatu Mahkamah

“Mahkamah” di dalam seksyen tersebut ditakrifkan sebagai Mahkamah Tinggi atau Hakim Mahkamah Tinggi.

Di dalam kes ini bagaimanapun Subashini telah memfailkan petisyen penceraian di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi membubarkan perkahwinannya dengan Muhammad Shafi . Sebelum petisyen penceraian tersebut didengar, Subahsini telah membuat permohonan bagi mendapatkan perintah injunksi bagi :-

a.Menghalang Muhammad Shafi mengislamkan anak –anak mereka ;

b.Menghalang Muhammad Shafi untuk memulakan atau meneruskan prosiding berhubung dengan perkahwinan mereka dan anak-anak mereka di Mahkamah Syariah.

Mahkamah Tinggi yang mendengar permohonan injunksi tersebut meskipun pada awalnya membenarkan injunksi diberikan secara ex parte telah membatalkan perintah injunksi tersebut atas alasan-alasan berikut :-

a.Injunksi tidak boleh diberikan ke atas apa-apa prosiding di Mahkamah Syariah di bawah seksyen 54
(b) Akta Relif Spesifik 1950 kerana Mahkamah Syariah bukan Mahkamah yang lebih rendah daripada Mahkamah Tinggi;

b.“Subject matter” bagi permohonan injunksi tersebut adalah termasuk dalam perkara yang berkaitan undang-undang Islam maka berdasarkan Perkara 121 ( 1A ) Mahkamah Sivil tidak mempunyai bidangkuasa untuk mendengar permohonan tersebut.

Subashini telah memfailkan rayuannya di Mahkamah Rayuan dan di Mahkamah Rayuan dua orang Hakim ( Hakim Dato’ Suriyadi dan Dato” Hassan Lah ) telah memutuskan menolak rayuan Subashini manakala Hakim Gopal Sri Ram memberikan keputusan yang menentang ( dissenting judgment ).

Keputusan Mahkamah Rayuan khususnya keputusan Hakim Dato’ Hassan Lah telah dikritik secara bertalu-talu oleh pihak bukan Islam dan juga sesetengah orang Islam sendiri kerana Hakim tersebut telah memberikan satu pandangan bahawa Subashini masih mempunyai peluang ( recourse ) untuk pergi ke Mahkamah Rayuan Syariah jika beliau tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah kerana di bawah Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam ( Wilayah Persekutuan )1993 iaitu di bawah seksyen 53 terdapat peruntukkan yang membenarkan Mahkamah Rayuan Syariah untuk menyemak keputusan Mahkamah Tinggi Syariah yang membenarkan permohonan Muhammad Shafie.

Yang Arif Hakim Hasan Lah di dalam penghakimannya menyatakan;

“ I think the wordings in that section ( section 53 ) is wide enough to enable the wife to apply to the Syariah Appeal Court to exercise its supervisory and revisionary powers to make the ruling on the legality of the husband's application and the interim order obtained by the husband on the ground that the Syariah Court had no jurisdiction over the matter as she is not a person professing a religion of Islam. The wife could have done that rather than asking the Civil Court to review the Syariah Court's decisions”.

Kritikan yang dibuat oleh pihak-pihak bukan Islam adalah Mahkamah Syariah tidak layak sama sekali mengadili orang bukan Islam dan cadangan Dato Hasan Lah adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa bidangkuasa Mahkamah Syariah hanya ke atas orang Islam sahaja.

Kritikan tersebut secara jelas mengabaikan atau mengenepikan perkara –perkara berikut :-

a.Cadangan Hassan Lah adalah bagi memberikan ruang untuk Subashini mendapatkan peluang untuk meminta Mahkamah Rayuan Syariah , sekiranya beliau tidak berpuashati , melihat atau menyemak legaliti keputusan Mahkamah Tinggi Syariah.

Dalam melakukan hal tersebut Subashini hanya perlu menulis surat kepada Mahkamah Rayuan Syariah untuk meminta Mahkamah Rayuan Syariah menyemak kembali keputusan Mahkamah Tinggi Syariah yang membenarkan permohonan Muhammad Shafi

b.Tidak langsung membicarakan peruntukkan seksyen 51 Akta Membaharui Undang-Undang ( Perkahwinan dan Penceraian ) 1976 yang menghalang sama sekali Muhammad Shafi memfailkan penceraiannya dan mendapatkan perintah-perintah yang berkaitan ( ancillary orders ) di Mahkamah Sivil yang mana seksyen 51 ini adalah satu diskriminasi yang ketara ke atas orang Islam dan boleh dihujahkan bercanggah dengan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan persamaan di sisi undang-undang ( equality before the law ).

c.Memaksa untuk Muhamad Shafie untuk tunduk dan menyerah diri kepada bidangkuasa Mahkamah Sivil ke apabila Muhammad Shafie dijadikan Responden di dalam petisyen penceraian yang difailkan oleh Subahshini di bawah seksyen 51 Akta Membaharui Undang-Undang ( Perkahwinan dan Penceraian ) 1976 sedangkan berdasarkan seksyen 3 ( 3 ) Akta tersebut secara jelas memperuntukkan bahawa Akta tersebut tidak terpakai kepada orang Islam tetapi enggan mengarahkan Subashini untuk tunduk kepada Mahkamah Syariah bagi mencabar keputusan Mahkamah Syariah.

d.Tidak langsung mengambil kira kritikan Hakim Dato Suriyadi di dalam penghakimannya kepada pihak-pihak yang menjadi pemerhati di dalam kes tersebut seperti Sisters In Islam, Woman's Aids Organization ( WAO ), Woman's Centre for Change ( WCC ), Bar Council dan yang lain yang meskipun diberi peluang untuk mengemukakan hujah mereka telah tidak membuat persiapan yang mencukupi ( ill prepared ) di dalam mengemukakan hujah bagi membantu Mahkamah.

Hakim Dato Suriyadi menyatakan, “ Well-intentionned third parties, championing certain views did not contribute much to the proceeding before us due to their ill preparedness.”

Kesimpulannya kes Subahsini ini merupakan satu lagi plot baru pihak-pihak tertentu memanipulasi keadaan bagi mewujudkan satu rasa tidak puas hati di kalangan bukan Islam khususnya terhadap peranan Mahkamah Syariah dan perlaksaaan undang-undang Islam di negara ini.

Dalam banyak keadaan isu-isu seperti ini disensasikan dengan diputarbelikan atau disembunyikan fakta atau isu yang sebenar. - mks.

Mohamed Hanipa Maidin
Ketua Penerangan,
Dewan Pemuda PAS Pusat.

Wednesday, April 11, 2007

MUFTI PERLIS KEMPEN BN ?

Ustaz ! Mufti Perlis berkempen untuk BN di Machap Melaka ! ... begitulah ayat yang agak memeranjatkan saya dari seorang yang saya pun tidak begitu mengenalinya .

Spontan saya menjawab : " Saya tak percaya ! " . Beliau lantas menunjukkan saya satu gambar bagaimana Dr. Asri bersama beberapa pimpinan UMNO seperti Najib dan Khairy dalam satu majlis.

Setelah saya mengamati gambar yang mungkin diambil dari keratan akhbar , memanglah saya dapati itu gambar Dr. Asri. Tetapi tidak bermakna gambar itu memberi maksud Dr. Asri turun berkempen untuk BN.

Saya tidak mengetahui bagaimana Dr. Asri boleh berada dalam majlis tersebut dan apa tujuannya. Kemungkinan saya boleh menghubunginya selepas ini. Tetapi hati kecil saya tidak boleh menerima tanggapan sedemikian.

Sekurang - kurangnya beliau adalah seorang yang berilmu dan beliau tahu apa yang beliau lakukan .

Secara umumnya , gambar tersebut memanglah meninggalkan seribu satu persoalan . Tanpa sebarang urusan , tak mungkin Dr. Asri boleh berada dalam satu majlis dengan Najib dan Khairy .

Namun begitu , saya cukup yakin bahawa kehadhiran Dr. Asri bukanlah untuk berkempen bagi pihak BN. Saya juga berharap agar sahabat - sahabat tidak cepat melatah dan membuat tanggapan yang melulu .

Barangkali kedudukan beliau sebagai Mufti yang membawa beliau sampai ke majlis tersebut dan tidak pula menunjukkan beliau membaca doa selamat untuk BN atau sebagainya. Maka tidak adil membuat sebarang spekulasi mengenai Dr. Asri hanya dari gambar seperti itu.

Saya percaya , Dr. Asri akan terus berperanan sebagai seorang yang tidak berpihak kepada mana - mana parti politik dalam keadaan beliau sebagai Mufti Kerajaan Negeri.

Berada dalam majlis UMNO tidak bermakna beliau sudah masuk UMNO atau berkempen bagi pihak UMNO.

Saya berharap agar Dr. Asri lebih berhati - hati dalam meniti hidup sebagai seorang Mufti agar tidak diperalat oleh sesiapa yang mempunyai kepentingan dan agenda yang tidak baik terhadap agama .

Ilmu yang dimiliki oleh beliau insyaallah akan memandu gerak langkahnya dan sebagai seorang sahabat , saya senantiasa berdoa agar beliau terus dipelihara oleh Allah swt. dan kita semua terus dikurniakan kekuatan untuk membina ummah agar menjadi ummah yang berdaulat dan bermaruah bersama kalimah Allah swt.

Buat sahabat semua , renungilah satu firman daripada Allah swt. agar ia dapat memandu cara kita bertindak :

يا يها الذين آمنوا كونوا قوامين لله شهدآء بالقسط و لا يجرمنكم شنئان قوم على ألا تعدلوا اعدلوا هو أقرب للتقوى و اتقوا الله إن الله خبير بما تعملون

Wahai orang - orang yang beriman ! Hendaklah kamu tegak kerana Allah swt. , menjadi saksi dengan adil . Janganlah kamu terpengaruh kerana kebencianmu terhadap sesuatu kaum mendorong kamu berlaku tidak adil . Berlaku adillah kerana adil itu lebih dekat dengan taqwa dan takutlah kepada Allah . Sesungguhnya Allah mengetahui apa yang kamu lakukan.

Surah al - Maaidah : 8

Tuesday, April 10, 2007

IRAN BUKAN KUAT KERANA SYIAH &
KITA LEMAH BUKAN KERANA AHLUS SUNNAH

Tiga hari ( 6 hingga 9 April 07 ) saya berada di bumi Tehran untuk menghadhiri Muktamar Ad – Dauli al – I’syruun Lil Wehdatil Islamiyyah ( 20th International Islamic Unity Conference ) dengan pembentangan 36 kertas kerja oleh para ulama’ sunnah dan syiah , termasuk satu kertas yang dibentang oleh Dato’ Seri Tuan Guru Hj. Abdul Hadi selaku anggota Majlis Taqrib Mazahib di peringkat antarabangsa .

Setelah saya meneliti hujjah , pandangan dan persoalan yang timbul sepanjang muktamar tersebut , dapatlah saya membuat kesimpulan awal bahawa Iran yang kini gah di peringkat antarabangsa dan digeruni oleh Eropah serta dibimbangi oleh barat , bukanlah kerana mereka menganut mazhab syiah .

Syiah adalah satu mazhab yang meletak cara fikir , aqidah , feqah dan segala cabang agama untuk pengikut mereka .

Demikian juga Ahlissunnah wal Jamaah adalah satu mazhab yang meletak cara fikir , aqidah , feqah dan segala cabang agama untuk pengikut mereka .

Persoalannya , kenapa hari ini Iran mencipta nama di peringkat antarabangsa dengan penampilan yang sangat menggerunkan musuh – musuhnya ?

Ramai menanggapi bahawa kehebatan itu adalah kerana mereka syiah , sehingga ada percubaan untuk memasarkan syiah ke pasaran terbuka termasuk ke negara kita bahkan jamaah kita.

Ini adalah tanggapan yang tidak benar !

Iran dan lebih 70% rakyatnya adalah syiah sejak lama dulu , sedang mereka menjadi hebat di persada antarabangsa , menggerunkan barat serta Eropah hanyalah dalam tempoh 30 tahun kebelakangan ini.

Sementara Ahli sunnah wal Jamaah , ulama’ dan para pejuangnya pernah menguasai 2/3 dunia sejak zaman Khulafa’ ar Raasyidin sehinggalah zaman kejatuhan Khilafah Othmaniyyah di Turki. Hanyalah dalam tempoh 100 tahun kebelakangan ini , penganut ahli sunnah wal jamaah dilihat lemah di pentas antarabangsa .

Kenapa Iran Kuat ?

  • Kekuatan Iran bertolak dari keberanian mereka , di atas nama jihad mereka menentang kuasa musyrikin mustakbirin dan tegas melabelkan Amerika sebagai Syaithanul Akbar . Kuasa politik mereka digunakan sepenuhnya untuk membangunkan jiwa insani yang bebas dari pengaruh ideology ciptaan manusia dan budaya hedonisme.

  • Ulama’ mereka sangat menguasai ilmu mua’asir dan tegas mencegah kemungkaran . Mereka tidak membenarkan anasir – anasir yang melalai dan melekakan ummah bertapak kukuh dalam negara mereka .

  • Mereka bangga dengan bahasa dan bangsa mereka. Malah mereka sangat optimis terhadap masa depan negara dan bangsa mereka untuk tampil bersaing di pentas antarabangsa tanpa mereka meninggalkan pegangan hidup mereka.

  • Mereka responsive terhadap perkembangan teknologi dunia dan mereka tidak prejudis terhadap rakyat sendiri untuk bangkit sebagai sebuah kuasa yang mampu bersaing malah mencabar kewibawaan kuasa besar dunia.

Kenapa Kita Lemah ?

Sekali lagi saya tegaskan bahawa kita tidak lemah kerana kita berpegang kepada mazhab Ahlis sunnah wal Jamaah tetapi kerana :

  • Kita tidak melaksanakan tuntutan jihad yang membebaskan ummah dari belenggu ideology ciptaan manusia malah lebih malang apabila negara kita menjadi negara pengkagum Amerika .

  • Budaya hedonisme yang melalai dan melekakan ummah membanjiri negara kita dan menjadikan generasi kita lemah mental dan cemar budaya serta rosak sosial.

  • Negara kita dan pemimpinnya sering bersikap prejudis terhadap bangsa sendiri malah tergamak menggadai dan menjual tanahair sendiri kepada pihak asing.

  • Ulama’ yang lesu dan hanya minat bertelagah dalam soal yang remeh seperti menyapu muka selepas solat dan seumpamanya sementara membiarkan pengaruh ideology modern ciptaan manusia membarah dalam masyarakat.

Benar Firman Allah swt :

و أطيعوا الله و رسوله و لا تنازعوا فتفشلوا و تذهب ريحكم واصبروا ان الله مع الصابرين

“ dan taatilah olehmu akan Allah dan RasulNya , Jangan sekali – kali kamu bertelagah kerana kelak kamu akan celaka dan hilang kekuatan kamu dan bersabarlah sesungguhnya Allah bersama orang – orang yang sabar ”

Surah al – Anfaal : 46

Ini satu reality yang mesti difahami oleh setiap individu dikalangan kita agar tidak menjadi fitnah . Menganggap kita lemah kerana pegangan kita terhadap mazhab ahlis sunnah adalah satu tanggapan yang tidak berasaskan melainkan mereka mempunyai agenda tersembunyi yang sangat mencurigakan.

Anggapan seperti inilah akhirnya membuatkan mereka meninggalkan fahaman ahlis sunnah dan mengimport fahaman syiah . Akhirnya penyebaran fahaman syiah yang sangat asing bagi masyarakat kita , hanya menimbulkan ketegangan dan pertelingkahan terutama dikalangan masyarakat awam.

Ingin saya tekankan di sini , bermula dari tanggapan yang silap akhirnya membawa mereka salah dalam mengambil langkah . Saya mungkin memahami maksud mereka supaya kita boleh menjadi kuat seperti Iran dan dikagumi oleh barat.

Tetapi , mestilah terlebih dahulu kita membetulkan tanggapan . Apabila betul tanggapan kita maka insyaallah , kita akan melangkah dengan betul dan benar.

Ahlus sunnah wal Jamaah Manhaj kita .

Kita tidak perlu membawa masuk syiah ke negara ini apatah lagi membawanya masuk ke dalam jamaah kita yang manhaj dan dasar perjuangannya sangat jelas termaktub dalam undang – undang tubuhnya bahawa ia berasaskan pegangan ahlus sunnah wal jamaah.

  • Apa yang perlu kita pastikan ialah menggerakkan ummah dan seluruh anggota jamaah supaya memahami , melaksana dan menghayati tuntutan perjuangan berasaskan jihad fi sabilillah agar seluruhnya bangkit membebaskan diri dari kepongan jahiliyyah modern.

  • Bangkit membebaskan diri dari perhambaan sesama hamba dan tidak lagi menjadi tikus di hadapan kuasa besar dunia. Berani memperjuangkan isu – isu yang melibatkan masa depan ummah biarpun ianya dicabar oleh kuasa mustakbirin.

Segala silibus dan modulnya untuk bergerak dan bangkit sebagai ummatul faadhilah sememangnya telah sedia wujud dalam manhaj ahlis sunnah wal jamaah .

Sebab itu , dalam artikel saya yang lalu , telah saya tekankan agar kita memahami manhaj perjuangan kita , insyaallah kita tidak keliru dalam menangani persoalan ini.

Menyokong Iran bukan bererti syiah .

Tatkala kita meletakkan prinsip politik kita di peringkat antarabangsa dan kita menyokong Iran dalam beberapa perkara dan isu , maka itu tidak bermakna kita menerima syiah dan menghukumkannya sebagai simpati terhadap syiah juga adalah suatu yang tidak wajar.

Mereka dengan mazhab mereka dan kita dengan mazhab kita , namun di sana kita mesti bersikap rasional untuk kita bersama dalam isu yang membawa kepentingan kita bersama sebagai ummat Islam .

Saya di sini bukan bertujuan malah tidak bermaksud berbincang soal syiah itu benar atau salah dan sesat atau tidak . Pun begitu suka saya jelaskan bahawa ulama’ ahlissunnah sendiri berbeza pendapat ( khilaf ) dalam menentukan kedudukan syiah.

Sebahagian mereka ( ulama’ ahlissunnah ) menganggap tidak semua mazhab syiah itu kufur dan sesat. Justeru itulah terlalu ramai ulama’ sunni yang bersetuju agar taqrib mazahib terus dilangsungkan agar tercapai matlamatnya untuk menyatukan ummat .

Antara ulama’ sunni ( sekadar membawa contoh ) yang bercakap soal taqrib ialah Syeikh Mahmud Syaltut rhm. , Imam Hassan al Banna rhm. , Syeikh Jaadul Haq a’li Jaadul Haq rhm. , Syeikh Ahmad Kiftaroo rhm. , Syeikh Dr. Yusuf al Qaradhawi , Syeikh A’li Jumuah , Syeikh Fathi Yakan , Syeikh Mohd Taqiy al Uthmani , Syeikh Mohd Sayyid Tantawi , Syeikh Mohd al Habib bin al Khojah , Syeikh Said Abdul Hafiz al Hajawi , Syeikh Dr. Wahbah az Zuhaili , Syeikh Dr.Mahmud Siyam , Syeikh Taajudin al Hilali Mufti Australia , Syeikh Dr. Ahmad Badruddin Hussun Mufti Am Syria dan ramai lagi .

Maksud saya , andai kufurnya syiah adalah merangkumi semua mazhab dikalangan mereka dan ianya muktamad dengan ijma’ nescaya tidaklah ulama’ – ulama’ sunni ini bercakap soal taqrib secara konsisten .

PAS selalu ke Iran maka PAS itu Syiah !

Inipun satu tanggapan liar yang tidak berasas . Malah lahirnya satu blog yang memfitnah secara terang – terangan bahawa PAS itu syiah menunjukkan bahawa mereka sedang melangsungkan agenda untuk melemahkan sokongan ummah kepada perjuangan Islam yang digerakkan oleh PAS .

PAS mempunyai dasar luar yang jelas untuk membina jaringan ummat Islam antarabangsa. PAS bukan sahaja selalu ke Iran , tetapi juga selalu ke Mesir , selalu Saudi , selalu ke Iraq , selalu ke Syria , selalu ke Turki , selalu ke Algeria , selalu ke Lubnan , selalu ke Pakistan , selalu ke United Kingdom , selalu ke Amerika . Kenapa hanya nampak PAS selalu ke Iran ? biasanya orang bermata juling yang memandang serong begitu .

Alhamdulillah , kali ini saya berkesempatan mengiringi Dato’ Seri Tuan Guru Hj. Abdul Hadi ke Tehran selaku anggota Majlis Taqrib di Peringkat Antarabangsa untuk membentangkan Kertas kerjanya yang bertajuk :ثقافة الوحدة و المسؤلية المتبادلة .

Jelasnya kami tetap sunni . Bahkan yang hadhir kebanyakkannya adalah dikalangan sunni. Namun suatu yang menghairankan saya , biarpun berkali kita menegaskan bahawa PAS adalah sunni , mereka ( yang bukan PAS ) tetap mengatakan kita syiah. Sebenarnya apa yang mereka mahu ? dan apakah agenda mereka disebalik tohmahan bertubi kali itu ?

Sememangnya ada pihak yang cuba memasarkan syiah tetapi alhamdulillah PAS tidak pernah membelinya kerana PAS mempunyai produk “ halal ” sendiri iaitu Ahlis Sunnah wal Jamaah .

Saya akui bahawa PAS komited dengan agenda taqrib atas tujuan untuk membentuk kesatuan ummah yang mantap berhadapan penguasaan kuasa mustakbirin ke atas dunia hari ini. Memang sukar untuk mentaqribkan dua mazhab yang jauh berbeza ini , tetapi atas daya usaha para ulama’ yang ikhlas dari kedua – dua pihak telah banyak kepentingan bersama dapat dipelihara.

Jangan terperangkap dengan Agenda Amerika.

Rata – rata ulama’ dan penganut sunni daripada Iraq yang hadhir ke muktamar tersebut menjelaskan bahawa Amerika sedang melaga – lagakan antara sunni dan syiah di Iraq malah apa yang paling menyedihkan ialah kini berlakunya sunni membunuh sunni kerana salah faham dan khianat . Ini diakui sendiri oleh Ustaz Mahdi A’kif ketika menjelaskan bagaimana peranan Amerika di Iraq.

Ustaz Fathi Yakan turut mendedahkan kepada rombongan kami ketika Tuan Guru menziarahinya di Lubnan , bagaimana perancangan Amerika untuk melagakan sunni dan syiah di Lubnan tetapi alhamdulillah , berasaskan kerjasama dan persefahaman yang baik antara sunnah dan syiah maka di banyak tempat dan keadaan Amerika gagal untuk melangsungkan propaganda jahatnya.

Gerakkan Jihad dan Bangkitkan Ummah.

Kini menjadi tanggungjawab setiap individu dikalangan kita untuk menyedarkan ummah agar menyedari dan memahami siapakah musuh mereka yang sebenarnya.

Ummat Islam yang bermazhab sunnah sering dilabel lemah dan penakut bukan kerana mereka bermazhab sunnah tetapi adalah akibat mereka menerima ideology secular serta tanpa segan silu mereka tergamak ruku’ dan sujud dihadapan Amerika untuk menagih simpati .

Walaupun negara – negara mereka merdeka , tetapi mereka lemah tenaga zahir dan batin tanpa mampu berbuat apa – apa melainkan hanya melihat sayu ummat Islam diratah dan dijarah oleh Amerika dan sekutunya.

OIC yang secara kebetulannya pula Malaysia menjadi pengerusinya juga dilihat sangat tidak bermaya . Lemah segala siku tulangnya membiarkan ummat Islam dijajah dan diperkosa peradaban mereka.

Isu di sini bukan lagi antara sunnah dan syiah , tetapi antara kita dengan pelbagai isme yang kini disogok dan dipaksa dengan pelbagai helah ke atas ummat Islam. Isme yang mencairkan semangat Islam dan ruh jihad di kalangan ummat Islam . Bahkan turut melesukan ulama’ – ulama’ mereka yang hanya mencari makan dan kemewahan dunia dengan mengatasnama diri mereka sebagai ulama’ .

Tidak kurang juga ulama’ – ulama’ yang salah menyasarkan peluru . Menembak syiah bertalu – talu atau berdas – das dengan topic bahaya Syiah , tetapi membiarkan ummah menganut faham secular dan murtad meninggalkan ajaran Islam tanpa satu das pun peluru mengenai mereka.

Lebih menghairankan saya , mereka menentang syiah berapi – api dalam keadaan hanya beberapa orang sahaja yang terpengaruh dengan syiah di Malaysia , sementara mereka membiarkan pula ( tanpa serangan berapi ) ke atas ideology kuffar yang sedang mengasak ummah di Negara kita , sedang jutaan ummat Islam di negara kita terpengaruh dan menganut ideology – ideology yang menyesatkan ini.

Akhirnya saya menyeru agar semua pihak berperanan menyatukan saf ummat Islam dan meredakan pertelingkahan dalam perkara yang tidak membawa keuntungan kepada kita ummat islam seluruhnya.

Meletak agenda ummah mengatasi agenda peribadi . Kita saling bertolong bantu dalam perkara yang kita boleh dan mampu bersepakat padanya sekalipun sukar. Agar ta’awun dapat meringankan yang berat dan memudahkan yang sukar . Mengelak khilaf sedaya upaya dan sedia berlapang dada serta saling menghormati andai khilaf tercetus jua .

Marilah kita bekerja keras untuk Islam dan membawanya melepasi segala kepongan dan sekatan kuffar mustakbirin sehingga kalimah Allah menjadi kalimah yang paling tinggi dan tiada yang lebih tinggi mengatasinya.

Tempohilah segala jalan sukar dan jauh dengan penuh sabar dan gigih , nescaya kemenangan dan pertolongan Allah menanti kita dihujung cahaya .

Firman Allah swt :

و لينصرن الله من ينصره إن الله لقوى عزيز

…. Nescaya Allah akan memberi pertolongan ( kemenangan ) kepada orang yang menolong agamaNya . Sesungguhnya Allah swt maha Kuat lagi Maha Perkasa .”

Surah al Hajj : 40

Friday, April 06, 2007

DESAK MUFTI PERAK DIPECAT
MANA MUFTI – MUFTI LAIN ?

April Fool

1 April 2007 di saat tamadun barat dan masyarakat yang terpengaruh dengannya berseronok melakukan april fool , menyakat dan mempersenda pihak lain tanpa mempeduli sentiment pihak yang dibuli , Negara dikejutkan dengan resolusi Konvensyen Parti Gerakan yang mendesak supaya Sohibus Samahah Mufti Perak dipecat .

Resolusi mendesak agar Mufti Perak Dato’ Seri Harussani Zakaria dipecat berasaskan tuduhan beliau menyebarkan sms palsu melibatkan isu murtad dan Dato’ Azhar Mansur.

Pertama saya melihat , mutaakhir ini telah lahir satu keberanian dari pihak bukan Islam malah turut lahir dari muslim yang jahil lagi aa’si ( yang bergelumang maksiat ) untuk menghina serta memperlekeh Islam dan ummatnya.

Tidak hairan keluarnya resolusi sebiadab itu di zaman mutaakhir ini. Justeru itu adalah siri percubaan mereka untuk menguji sensitivity ummat Islam dengan melakukan penghinaan dan perlecehan ke atas institusi – institusi penting dan bermaruah dikalangan ummat Islam .

Dari situ , mereka bagaikan terus mengukur tahap kekuatan ummah yang dilihat secara umumnya sedang mengalami gejala susut nilai , surut moral dan luntur aqidah yang kian parah.

Saya sangat yakin , isu di sini bukan penyebaran sms palsu lantaran isu tersebut masih dalam siasatan polis dan kes belum diputuskan , dengan maksud Dato’ Seri Harussani Zakaria belum didapati bersalah . Saya percaya mereka memahami dan mengetahui perkara ini .

Resolusi tersebut jelas bermaksud jahat untuk terus memberi tekanan ke atas ummat Islam dan dilihat bagaikan dendam kesumat yang dilempiaskan kepada Dato Seri Harussani Zakaria setelah melihat potensi Mufti Perak yang konsisten dalam isu murtad .

Benarlah firman Allah swt .

لتجدن أشد الناس عداوة للذين آمنوا اليهود و الذين أشركوا .

Kamu akan dapati , manusia yang paling dahsyat tahap kebencian dan dendamnya terhadap orang – orang yang beriman ialah Yahudi dan mereka yang menyengutukan Allah .

Surah al Maaidah : 82

Kerajaan Pekak

Gerakan menghina Islam dan memperlekeh ummatnya disusun rapi dan terancang. Saat ummat Islam yang semakin jauh dari Al Quran dan Sunnah sebagai pedoman hidup , merupakan kesempatan terbaik mereka untuk terus menekan bertubi kali ke atas Islam dan ummatnya.

Seakan tiada lagi perkara yang membimbangkan mereka untuk terus membuli Islam dan mendera ummatnya . Harapkan kerajaan yang memerintah , ternyata mereka tidak pernah peka terhadap isu yang membabitkan sentiment agama dan ummat Islam. Bukan sahaja mereka tidak peka bahkan pekak kedua telinganya.

Mereka hanya sensitive jika ada sekolah yang terlupa menyanyikan lagu negaraku di perhimpunan mingguan sekolah .

Demi Allah ! saya bersaksi mata dan telinga bahawa Kerajaan UMNO dan BN tidak pernah serius terhadap isu yang melibatkan maruah dan martabat ummah.

Apa yang mereka fakir saban hari dan waktu ialah bagaimana mahu mengekalkan survival kuasa mereka biarpun menggadai maruah agama dan bangsa.

Helah Bermadah .

Sewaktu Mufti Perak lantang melontarkan isu murtad dengan pelbagai angka yang menggerunkan , PAS bersama ummat Islam yang prihatin bangkit menyokong Mufti Perak dan mendesak Kerajaan supaya mengambil tindakan drastic guna menangani gerakan irtidad yang kian marak .

Sehingga sekarang , usahkan menggubal undang – undang untuk melaksanakan hukuman murtad di parlimen yang dikuasai oleh mereka , sepatah kata untuk menyokong pun tidak kedengaran . Sebaliknya mereka pula bertubi – tubi mengambil peranan kumpulan IFC dan Artikel 11 untuk hentam Mufti Perak.

Mempersoalkan angka yang dibawa oleh Mufti Perak dengan menenggelamkan isu murtad yang sepatutnya menjadi focus. Inilah helah bermadah dari UMNO dan BN .

Mufti Perak Bersendirian lagi .

Dalam menghadapi isu resolusi biadap parti GERAKAN , sekali lagi PAS dan ummat Islam prihatin bangkit membantah dan menunjuk perasaan mereka yang jengkel terhadap percubaan demi percubaan memperlekehkan ummat Islam.

Saya hairan dan sangat pelik , dalam situasi begini kemana perginya rakan – rakan mufti yang lain ? Apakah mereka tidak prihatin ? atau mereka juga menganggap Mufti Perak benar – benar bersalah lalu wajar resolusi itu lahir dari parti GERAKAN ?

Semua pihak tahu ,

Pertama : bahawa Dato’ Seri Harussani belum pun disabitkan bersalah dalam isu penyebaran sms palsu itu ( kalau ia benar – benar palsu ).

Kedua : Soal pecat dan lantik mufti ini adalah dibawah kuasa sultan yang memerintah negeri masing – masing tanpa perlu campurtangan dari mana – mana pihak . kalaupun mereka nak menasihati sultan bukan itu caranya .

( dengan mengeluarkan resolusi dalam konvensyen yang kemudiannya diwartakan di dada akhbar kecuali mereka bermaksud mencabar kuasa sultan sebagaimana yang pernah dilakukan oleh UMNO satu masa dulu )

Kemana rakan – rakan Mufti yang lain ?

Dalam isu ini , kita tidak lagi melihat batang tubuh Dato’ Harussani Zakaria tetapi mesti dilihat kepada sentiment yang ditimbulkan terhadap isu ini. Mereka menyerang Dato’ Seri Harussani kerana isu sms yang berkait dengan kes murtad .

Sebab diluar sana terlalu banyak sms palsu yang disebarkan , kenapa tiada satu pun resolusi dari parti GERAKAN ?

Sms palsu mengenai peraduan Akademi Fantasia sehingga ramai yang tertipu, kenapa parti GERAKAN diam membisu dan tidak berGERAK ?

Apabila tiba isu yang melibatkan Dato’ Harussani , memaksa GERAKAN membawa satu resolusi kepada umum agar beliau di pecat . Apakah ini semua kalau tiada niat yang jahat tersembunyi disebalik agenda ?

Soal saya , apakah rakan – rakan sejawat dengan Dato’ Harussani tidak merasai bahang seperti itu ? atau ada mufti yang bertepuk tangan melihat Dato’ Harussani dibantai dan dihentam ?

Kalau kita boleh tegas dalam isu sapu muka selepas solat , membaca qunut di solat subuh , menadah tangan ketika berdoa .

Kalau kita boleh bertegas dalam isu itu bida’ah dan ini bida’ah , kenapa kita tidak boleh memberi penegasan dalam isu sebegini ?

Saya juga mempunyai banyak perbazaan pendapat dengan Mufti Perak , tetapi apabila beliau menghadapi situasi yang seperti ini , maka saya bangun memberi sokongan dan sokongan ini bukan semata – mata untuk batang tubuh beliau justeru saya tidak memiliki sebarang kepentingan dengan beliau, tetapi sokongan dan dokongan buat ummah seluruhnya yang sedang dihimpit dan diperlekeh.

Bangkitlah Ummah !

Akhirnya saya menyeru agar , seluruh ummah dan para ulama’ jua intelektual Islam agar bangun mempertahankan Islam dan maruah ummah.

Usah lagi kita bertelagah dalam isu yang kecil lagi remeh sedang ada pihak yang cuba untuk melumpuhkan Islam dan ummatnya.

وا اسلاماه !

Tuesday, April 03, 2007

Menangani sebuah Krisis Kefahaman
Terhadap Perjuangan ini.

Krisis Kefahaman.

Kekeliruan dan kecelaruan fikrah yang dialami oleh pemimpin dan anggota sebuah gerakan Islam adalah suatu penyakit yang parah mengakibatkan berlakunya salah faham terhadap perjuangan dan matlamatnya.

Seringkali tindakan yang tidak berasaskan kefahaman yang jelas dan tepat, menghasilkan natijah yang yang salah dan tersasar dari matlamat yang murni.

Lebih malang kiranya salah faham itu membentuk satu manhaj perjuangan yang salah sedang mereka merasakan itu adalah suatu yang benar. Akhirnya mereka berjuang di atas landasan yang salah untuk tujuan yang salah pula.

Apa yang saya ingin tegaskan di sini ialah perlunya kita merungkai krisis kefahaman ini agar kekeliruan dan kecelaruan dapat di atasi dan kembali meletakkan mereka di atas landasan perjuangan yang benar bersama misi dan visi yang tepat. Seterusnya mendapat redho daripada Allah swt.

Saidina Omar al Khattab pernah menegaskan :

تفقهوا قبل أن تسودوا

Fahamilah oleh mu ( akan perkara agama dan urusan kepimpinan/perjuangan ) sebelum kamu dipilih menjadi pemimpin .

من يرد الله به خيرا يفقه في الدين

Barangsiapa yang dikehendaki oleh Allah swt. kebaikan nescaya Ia diberi faham tentang agama .

Riwayat Imam Bukhari dan Muslim

Pertama : Memahami Ghayah .

Ghayah adalah matlamat akhir yang ingin kita capai dalam perjuangan ini. Justeru itu , ghayah atau matlamat akhir kita Allah Jalla wa A’la . Segala yang kita lakukan dalam perjuangan ini tidak boleh bermatlamatkan selain dari Allah azza wa jalla kerana kelak menjadikan kita menyeleweng dari petunjuk Ilahi.

و أن هذا صراطي مستقيما فاتبعوه و لا تتبعوا السبل فتفرق بكم عن سبيله

“ dan sesungguhnya inilah jalanku yang lurus , maka hendaklah kamu mengikutinya dan jangan kamu mengikut jalan – jalan yang lain kerana kelak akan menyelewengkan kamu dari jalan Allah swt.”

Surah al Ana'am : 153

Apabila kita benar – benar memahami bahawa matlamat akhir kita ialah Allah swt. , maka kita akan memiliki jiwa yang optimis terhadap kemenangan Islam yang kita perjuangkan dan hati yang tenang sekalipun berhadapan dengan cabaran yang getir lantaran tawakkal yang kukuh berpaut kepada Allah swt.

Allah swt. sebagai matlamat akhir perjuangan ini meletakkan kita ikhlas dan tajarrud dalam perjuangan demi mencapai nilai dan standard tawajjuh kepada Allah swt.

Saat itu , tidak akan berlaku lagi pergelutan dingin merebut jawatan kerana hubbur riyaasah atau gila jawatan atau berasa resah dan penat sehingga mahu menarik diri dari medan perjuangan yang serba mencabar ini .

Sebaliknya bangga dan puas dengan apa yang dilakukan untuk Islam ini , sekalipun hanya sebagai penampal poster dan pengedar handbill justeru matlamat akhirnya ialah Allah swt. yang pasti memberikan ganjaran bernilai terhadap usaha untuk menegakkan agamanya.

Saya harap semua pemimpin dan anggota jamaah kembali menghayati slogan perjuangan kita yang saya lihat sedikit sebanyak makin diabaikan :

الله غايتنا
Allah Matlamat kita
الرسول قدوتنا
Ar Rasul Ikutan Kita
القرآن دستورنا
Al Quran Perlembagaan Kita
الجهاد سبيلنا
Al Jihad Jalan Perjuangan Kita
الموت في سبيل الله أسمى أماننا.
Mati Syahid di atas Jalan Allah setinggi – tinggi cita – cita Kita .

Kedua : Memahami Hadaf .

Hadaf ialah matlamat semasa atau objektif yang ingin dicapai bersama perjuangan ini. Gagal memahami hadaf atau objektif memungkinkan kita berjuang tanpa sebarang pencapaian atau paling tidak menjadikan kita sukar dan semakin jauh dari destinasi.

Sebagai contoh , antara hadaf yang ingin kita capai ialah tertegaknya daulah islamiyyah di atas tanahair kita.

Mereka yang memahami hadaf atau objektif perjuangan ini akan memastikan dirinya berjuang gigih tanpa lengah dan membazirkan waktu dengan perkara yang tidak mendatang faedah buat diri dan perjuangannya.

Apa yang lebih penting untuk tahqiqul hadaf , kita terlebih dahulu diwajibkan menghayati objektif yang ingin dicapai . Sebagai contoh tadi , Daulah Islamiyyah menjadi salah satu hadaf kita yang ingin dicapai , maka kita dituntut supaya memahami dan menghayati terlebih dahulu nilai dan ruh Daulah Islamiyyah di dalam jiwa dan kehidupan kita.

Al Imam Hasan Hudhaibi pernah menyebut :

أقيموا دولة الإسلام في قلوبكم تقم على أرضكم

Tegakkan Negara Islam dalam diri kamu nescaya ia akan tertegak di atas tanahair kamu

Malang , andainya kita meletakkan Daulah Islamiyyah sebagai objektif perjuangan ini sedang kita bukan sahaja tidak memahami prinsip dan ciri – ciri daulah islamiyyah bahkan tidak menunjukkan syakhsiyyah sebagai seorang pejuang yang berjuang untuk menegakkan syariat Islamiyyah .

Manakan tidak , semangat berkobar – kobar untuk menegakkan Negara Islam tetapi ibadat kita “hancur” , tawakkal kita lemah dan fikrah kita hambar . Tentu sahaja semangat tidak memadai untuk mencapai objektif yang telah kita gariskan .

Begitulah apabila kita turut meletakkan Dakwah Islamiyyah antara objektif kita. Kita mestilah terlebih dahulu menghayati criteria ad daaei atau pendakwah yang berkesan. Bahkan kita sewajibnya menguasai methodology dakwah yang efektif berasaskan maudhu’ dakwah yang tepat dan bersesuaian dengan tahap madu’u .

Bertindak melulu dalam usaha dakwah tanpa memahami dan menghayatinya inilah yang melahirkan pelbagai polemic dan kontraversi . Ada yang menggunakan perkataan kesat dan kasar dalam ucapan atau ceramah , akhirnya menjauhkan madu’u dari perjuangan kita .

Demikian juga sebuah penampilan yang tidak sesuai dengan masyarakat atau audien sehingga menimbulkan rasa jengkel di hati madu’u .

Firman Allah swt :

فبما رحمة من الله لنت لهم ولو كنت فظا غبيظ القلب لانفضوا من حولك

Maka dengan rahmat Allah , engkau ( Muhammad saw ) berlaku lemah lembut terhadap mereka . Sekiranya engkau bersikap keras dan berhati kasar , tentulah mereka menjauhkan diri dari sekitarmu .

Surah Aali Imran : 159

Sebagai pemimpin biarpun di mana jua peringkat kepimpinan kita dan sebagai anggota sekalipun kita hanya ahli biasa , berilah perhatian terhadap persoalan ini. Fahami objektif atau hadaf ini sedalam – dalamnya .

Kita bukan berdakwah dan berceramah untuk mencari publisiti , apalagi laba duniawi . Kita berdakwah untuk membawa mesej perjuangan kita kepada masyarakat agar mereka menerima Islam.

Bertolak dari keinsafan ini , sampaikan Islam dengan penuh penghayatan terhadap kandungan Islam itu sendiri dan jiwailah ia dalam penyampaian kita agar dakwah kita menembusi jiwa madu’u.

Firman Allah swt :

ادع إلى سبيل ربك بالحكمة و الموعظة الحسنة و جادلهم بالتي هى احسن .

Berdakwahlah mengajak manusia kembali kepada tuhanmu dengan hikmah , nasihat yang baik dan debatlah mereka dengan cara yang terbaik.

Surah an Nahl : 125

Ketiga : Memahami Manhaj .

Landasan dan hala tuju perjuangan Islam sewajarnya difahami secara jelas sebagaimana jelasnya Islam itu sendiri sebagai cara hidup yang diwahyukan Ilahi .

Al Quran dan Sunnah mendasari manhaj perjuangan kita . Kita bergerak dan membentuk polisi perjuangan berasaskan wahyu dan sunnah bukan nafsu dan aqal yang terpisah dari wahyu Allah .

Firman Allah swt :

ثم جعلناك على شريعة من الأمر فاتبعها و لا تتبع اهواء الذين لا يعلمون .

Kemudian kami telah meletakkan engkau di atas syariat ( peraturan agama ) , maka ikutlah peraturannya dan janganlah engkau mengikut nafsu mereka yang tidak mengerti.

Surah al Jaathiyah : 18

Secara organisasinya , jamaah kita berperlembagaan dan dipimpin melalui konsep syura. Kita telah menggariskan polisi dan manhaj perjuangan ini serta menurunkannya kepada setiap peringkat jamaah .

Ianya mesti difahami dan dihayati . Pengamatan saya mendapati masih ramai yang kabur mengenainya biarpun mereka telah lama menyertai jamaah . Fenomena ini berlaku kerana mereka menyertai jamaah tanpa memahami dan mendalami manhaj perjuangan.

Sebagai contoh , Jamaah kita mengambil pendekatan Muwaajahah bissilmi sebagai polisi perjuangan kita di Malaysia . Pendekatan ini merumuskan satu jawapan yang akhirnya membawa penyertaan kita dalam persada politik tanahair sekaligus menyertai pilihanraya.

Pihak yang tidak memahami manhaj kita sering menuduh bahawa kita salah dan bercanggah dengan syara’ kerana menyertai pilihanraya dan demokrasi . malangnya ada dikalangan ahli jamaah terpedaya dengan tuduhan tersebut. Ini adalah kerana mereka tidak memahami manhaj perjuangan sendiri .

Ada pemimpin yang turut keliru terhadap manhaj perjuangan mereka sendiri. Ini suatu yang sangat malang , namun ianya satu reality .

Realiti ini berlaku kerana sebahagian mereka tidak menyertai usrah atau liqa’ fikri anjuran jamaah sebagai medan untuk memahami dasar dan manhaj perjuangan. Saya sifatkan mereka yang menyertai jamaah tetapi tidak menyertai usrah sama seperti mereka masuk sekolah tetapi tidak masuk kelasnya.

Biarpun sekolah itu adalah sekolah yang ternama dan tersohor dengan kegemilangannya, tetapi keengganan memasuki kelas hanyak mengekalkan kebodohan dan kejahilan mereka. Tiada apa yang dapat mereka pelajari tanpa memasuki kelas.

Ketidakfahaman terhadap manhaj perjuangan inilah menyaksikan pelbagai aliran yang bercanggah cuba disogok kepada ahli jamaah .

Ada yang cenderung membawa aliran syiah semata – mata kerana tersilau dengan kehebatan Iran , sedang Iran bukan hebat kerana mereka syiah dan kita lemah bukan kerana kita ahli sunnah wal jamaah.

Mereka menjadi kuat kerana kesediaan pemimpin dan rakyat mereka menolak ideology barat dan menggerakkan kebangkitan rakyat mereka di atas nama jihad untuk menentang kuasa besar dunia yang digelar mereka sebagai syaithanul akbar.

Sementara masyarakat kita yang mendakwa diri mereka sebagai ahli sunnah wal jamaah tetapi menganut faham dan ideology barat serta mengikis semangat jihad daripada diri mereka. Ini menjadikan diri mereka lemah dibawah pengaruh barat .

Lantaran itu , membawa masuk fahaman atau aliran syiah ke dalam jamaah ini untuk menjadikannya kuat adalah suatu langkah yang salah dan tidak membawa sebarang faedah . Sebaliknya apa yang penting ialah menyalakan semangat jihad dikalangan ummah dan mendidik mereka agar menolak fahaman dan ideology asing dari terus menguasai minda dan jiwa ummah.

Begitu juga ada pihak yang cuba menyeludup aliran liberal memasuki jamaah untuk mengelirukan ahli dan terdapat juga yang anti ulama’ dengan tanggapan serong bahawa ulama’ tidak pandai dan mampu memimpin serta jahil berorganisasi.

Semuanya adalah terhasil daripada kekeliruan terhadap manhaj perjuangan sendiri .

Keempat : Memahami Bia’h . ( reality )

Kebenaran Islam mestilah disampaikan melalui kaedah dan cara yang benar , pula penampilan dan method yang tepat dan sesuai .

Perkara ini memerlukan kita memahami bia’h atau reality yang dihadapi dengan ijtihad yang tepat supaya Islam dapat sampaikan dengan baik kesetiap hati sanubari masyarakat , sementara dalam masa yang sama kita mestilah memelihara prinsip Islam.

Kita mestilah terbuka tetapi jangan hanyut dalam arus massa sebagaimana kita mestilah berprinsip tetapi jangan jumud dalam berfikir dan bertindak.

Tidak memahami bia’h menyebabkan kita bertindak salah dengan meletakkan suatu yang benar pada tempat yang salah dan masa yang salah pula.

Kajian terhadap tahap keupayaan minda masyarakat dan tuntutan ummah terhadap kehadhiran perjuangan kita serta keperluan jamaah dalam mendepani cabaran masa kini menjadi syarat dan bukti kita memahami bia’h.

Kita tidak boleh syok sendiri dan mementingkan diri serta mencari kepuasan sendiri tanpa memikirkan apakah pendekatan kita sesuai dengan zaman dan method kita diterima masyarakat umum ?

Kelima : Memahami Isti’dad . ( persediaan )

Allah berfirman :

و اعدوا لهم ما استطعتم من قوة و من رباط الخيل ترهبون به عدو الله و عدوكم

Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu akan musuh Allah dan musuh kamu .

Surah al Anfaal : 60

Kita tidak boleh berjuang semborono tanpa persiapan . Sungguhpun perjuangan ini membawa Islam sebagai dasar perjuangannya , kita tidak diajar menyerah kepada taqdir tanpa usaha gigih untuk membawa Islam kembali ke orbitnya yang mengatasi segala ideology yang dicipta oleh manusia.

Persediaan dan persiapan yang akan dilakukan mestilah pula mengambil kira kekuatan yang ada pada musuh dengan tidak lupa untuk menangani kelemahan yang ada pada kita .

Saidina Omar al Khattab menyatakan :

إنما تنقض عرى الإسلام عروة عروة اذا نشأ في الإسلام من لا يعرف الجاهلية

Akan terungkai tambatan Islam serungkai demi serungkai dari leher ummat Islam apabila berleluasa di dalam Islam mereka yang tidak mengetahui sepak terajang jahiliyyah.( musuh )

Persiapan kita mesti mantap terhadap 2 faktor kemenangan .

Faktor pertama ialah Faktor Penentu iaitu Allah Qadhi Rabbul jalil.

Hubungan kita dengan Allah mestilah akrab guna meraih taufiq dan nusrah buat perjuangan yang kita dokong ini justeru ia lah Tuhan yang akan menentukan kemenangan dan kejayaan kita .

Jangan putuskan hubungan antara kita dengan Allah swt. malah jangan biarkan hubungan kita dengan Allah berlangsung dalam keadaan hambar .

يا ايها المزمل قم اليل إلا قليل نصفه او انقص منه قليلا
او زد عليه و رتل القرآن ترتيلا إنا سنلقى عليك قولا ثقيلا

Wahai orang yang sedang berselimut ! bangunlah pada malam hari kecuali sedikit iaitu separuh atau kurang sedikit dari itu atau lebih dari seperdua itu dan bacalah al quran dengan tartil , Sesungguhnya kami akan menurunkan perkataan yang berat kepadamu.

Surah al Muzammil : 1 - 5

Faktor kedua ialah Faktor Membantu .

Kita tidak boleh memandang sebelah mata terhadap factor - factor ini sekalipun ia hanyalah factor yang membantu . Faktor ini tergolong dalam ikhtiar yang diwajibkan oleh syara’ kepada kita .

Faktor ini dalam bentuk dana ekonomi yang kukuh , organisasi dan jentera penggerak yang mantap , anggota yang ramai , pengaruh yang lebar dan sebagainya.