" Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini "

Saturday, February 28, 2009

Episode Sebuah Perjuangan Berpindah


Saya mohon berbanyak maaf kerana Episode Sebuah Perjuangan terpaksa berpindah ke Teratak Barunya atas beberapa masaalah dan sebab yang tidak mampu di atasi

Justeru itu saya sangat memohon kemaafan atas kesulitan ini dan mengharapkan agar sahabat dan semua pengunjung setiap laman ini mengemaskini data masing - masing dengan menukar alamat lama ke alamat baru Episode Sebuah Perjuangan ini . Alamat yang saya maksudkan ialah :


Semoga antum semua dirahmati dan diberkati Allah swt .

Wednesday, February 25, 2009

UMNO : Diabetes yang Kian Parah

Sebelum ini kita telah mendengar bagaimana Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO menyarankan agar Pergerakan Pemuda dan Wanita UMNO dibubarkan demikian juga Putera dan Puteri UMNO demi menyelamatkan UMNO justeru rasuah yang terlalu parah .

Awalnya saya melihat saranan ini agak lucu biarpun saya memang yakin UMNO yang tidak pernah menilai dosa pahala dalam orientasi pentadbiran dan organisasinya itu boleh saja terjebak dalam kancah rasuah yang parah ini .

Namun sebelum ini saya tidak menemui angka yang benar - benar menunjuk tanda aras betapa parahnya rasuah dalaman UMNO yang telah saya sifatkan sebagai penyakit diabetes tahap kronik kini dihidapi oleh UMNO .

269 Calon bertanding : 900 Aduan Rasuah

24 - 28 Mac kelak bakal berlangsung Pemilihan di pelbagai peringkat jawatan dalam parti UMNO . Sehingga November tahun lepas sahaja , Lembaga Disiplin UMNO telah menerima 900 aduan rasuah menjelang pemilihan kepimpinan partinya . Wallahualam , berapa pula kes rasuah yang belum atau tidak diadukan ke Lembaga tersebut .

Lebih memeranjatkan bagaimana laporan yang menyebut salah seorang calon Timbalan Presiden UMNO berdepan dengan 400 aduan rasuah ke atasnya .

Sungguh mereka belum disabitkan bersalah , tetapi jika sampai 400 aduan rasuah atas seorang individu pula dibuat oleh ahli parti sendiri tentu sahaja mencemarkan integriti atau kredebiliti pemimpin yang dicalonkan juga parti UMNO turut dipalit najis .

Kalau aduan itu datang dari pembangkang , katalah itu memang kerja pembangkang mencari kelemahan UMNO . Tetapi jika aduan datang dari ahli sendiri dalam jumlah sebanyak itu , apalagi alasan untuk menyembunyikan kesan luka kudis yang sedang membarah lagi membusuk .

Rasionallah saranan Tengku Ahmad Rithauddeen agar kesemua sayap UMNO itu dibubar [ baca dipotong ] segera demi menyelamatkan UMNO kerana kudis rasuah yang sedang bernanah itu pasti sahaja akan merebak dan memamah hati jantung UMNO seterusnya membunuh UMNO dalam masa yang singkat .

Lebih malang , Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam sidang media selepas mempengerusikan Majlis Ekonomi Negara di Parlimen semalam berkata , Lembaga Disiplin UMNO tidak akan membuka semula kes - kes rasuah melibatkan pemimpin parti yang telah ditutup oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia [ SPRM ] . Alasannya SPRM telah siasat dan tiada bukti atas pertuduhan lalu kes ditutup oleh SPRM .

Tidak hairanlah pada 30 Januari lalu , ahli - ahli UMNO sendiri mengadakan demontrasi di perkarangan Menara Dato' Onn ketika Majlis Tertinggi UMNO sedang bermesyuarat bagi membantah Lembaga Disiplin UMNO dan SPRM . Mereka turut membawa sepanduk yang bernada sinis dan mengutuk SPRM .

"Kami Menolak SPRM , Boleh Belah !" ........ " jangan ambil hak ahli UMNO " ................ " Lembaga Disiplin Sudah Nyanyuk " .... antara sepanduk yang dinaikkan .

UMNO Patut Pecat Tengku Rithauddeen

Jika UMNO telah hilang kepercayaan kepada Pengerusi Lembaga Disiplin mereka sendiri malah Pengerusinya Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen ini sebagai orang tua UMNO telah dianggap nyanyuk , UMNO perlu memecat Tengku Rithauddeen dan menggantikannya dengan orang lain. Bukan sahaja saranan Tengku Riyhauddeen ditempelak kini beliau dianggap nyanyuk .

Lantaran itu , untuk apa lagi UMNO berdolak dalih melainkan segera memecat Tengku Rithauddeen yang banyak menimbulkan keresahan kepada UMNO dan saya mencabar UMNO agar memecatnya demi membuktikan UMNO benar tidak bersalah sebaliknya Tengku Rithauddeen yang mengada - ngadakan cerita serta membesar - besarkan berita .

Benarlah kata Tok Guru Nik Aziz ketika saya menemui beliau di pejabatnya baru - baru ini bahawa UMNO akan musnah dalam tempoh tidak lama memandangkan seriusnya rasuah yang menjalar dan menular dalam segala urat saraf UMNO hari ini .

Lantas pesan Tok Guru : Persiapkan PAS terutama Pemudanya agar bersedia menjadi parti alternatif untuk memimpin ummah setelah keruntuhan UMNO dan BN kelak .

Tuesday, February 24, 2009

Kami dituduh Salah ?

11 dec 2007 , saya bersama berberapa orang pimpinan parti [ Dr. Hatta Ramli , Ustazah Nuridah , Dr. Lo' Lo' ] dan sahabat seperjuangan [ Ustaz Yusuf Embong , Fadhil , Sabri , Aziera , Hashim , Fadilah dan lainnya ] menuju parlimen bagi menyerahkan memorandum kepada yang di Pertua Dewan Rakyat guna membantah usaha kerajaan melanjutkan usia perkhidmatan Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman sebagai Pengerusi SPR pada waktu itu .

Dalam perjalanan saya ke Parlimen , sebelum memasuki perkarangannya saya dan rakan telah ditahan dan ditangkap oleh pihak polis dan kini kami dituduh mengadakan himpunan haram .

Nak masuk Parlimen pun tak boleh , nak serah memorandum pun tak boleh . Kemudian mereka tangkap kita lalu tuduh pula kita mengadakan perhimpunan haram .

Nasib kitalah hari ini berada di bawah pemerintahan UMNO dan BN yang kononnya memperjuangkan demokrasi .

Saudara Zamri [ gambar ] dilantik mewakili saya sebagai peguam bela . Harap sahabat semua dapat doakan kami agar berjaya dalam kes ini yang sedang dibicarakan di Mahkamah .

Sunday, February 22, 2009

Iklim Politik Malaysia Semakin "GANAS"

" Belum lagi jadi Perdana Menteri , politik Malaysia telah kucar kacir , kalau dah jadi Perdana Menteri , hancur Malaysia nih ...."

Begitulah rungutan ramai orang bila ditemui di kedai - kedai kopi . Tanpa selindung mereka melahirkan rasa bimbang . Rata - rata melihat Datuk Najib "pengganas" baru yang mencetus malapetaka dalam iklim politik dan sosial negara hari ini .

Bermula dengan adegan merompak Kerajaan Negeri Perak , satu persatu insiden yang jelas menunjukkan iklim politik Malaysia hari ini kian ganas dan tidak berperikemanusiaan .

Ugutan bunuh ke atas Lim Guan Eng Ketua Menteri Pulau Pinang , ugutan bunuh ke atas Arumugam bekas ADUN Bukit Selambau Kedah , pengedaran foto bogel Elizabeth Wong ADUN Bukit Lanjan Selangor , ugutan bunuh ke atas Yb. Siva Speaker DUN Perak , membeli wakil rakyat , sekatan ceramah , rampasan akhbar Harakah dan Suara Keadilan , mengheret Raja - raja Melayu ke dalam kancah politik dan 1001 tragedi yang menimbulkan keresahan rakyat.

Apa kita nak buat ni ?

Friday, February 20, 2009

Memelihara Ketulenan Perjuangan

Perjuangan tidak hanya berasaskan semangat malah penglibatan kita bersama PAS sebagai sebuah parti politik juga bukan kerana memenuhi tuntutan demokrasi .

Sebaliknya penglibatan [ intima' ] kita adalah berpaksi kepada Iman dan Islam .

Apa yang kita mahu tegakkan ialah Iman dan apa yang kita mahu daulatkan ialah Islam .

Inilah cita - cita murni yang sekali - kali tidak boleh kita benarkan ianya dipengaruhi oleh nafsu dan dikuasai oleh aqal yang terpisah dari wahyu . Justeru cita - cita ini terlalu suci untuk dipengaruhi selain Iman yang tidak berbelah bahagi dan Islam sebagai risalah as samawi .

Malang sungguh apabila perjuangan ini dicampur aduk dengan desahan nafsu yang memburu ruang untuk menyerlah populariti dan publisiti malah membina indentiti diri tanpa memperduli ketulenan manhaj rabbani .

Barangkali kita akan ketemui apa yang diburu biarpun hanya mengatas namakan perjuangan Islam ini . Persoalannya , berbaloikah perjudian itu ?

Siang malam bergelut menghadapi ancaman . Saban waktu pula meredah rintangan . Bersama perjuangan ini dengan mengambil pelbagai risiko yang mungkin membinasakan diri , hanya semata - mata untuk menggapai cita - cita peribadi yang berpaksi kepuasan naluri .

Ketulenan Perjuangan

Perjuangan yang disertai ini adalah untuk sebuah kembara mencari kedaulatan buat Islam . Laksana pengembaraan Nabi saw bersama para sahabatnya membelah alam jahiliyyah memacu hijrah membina sebuah daulah . Segala rintangan dan halangan dihadapi dengan tabah . Sengsara dan deritanya didepani dengan sabar . Perit jerih atas segalanya menjadi ibadah yang ditekuni tanpa mengalah .

Malang 1001 kali malang andai perjuangan ini tidak ubah seperti batu loncatan untuk memenuhi cita - cita politik . Mencari pengaruh , jawatan dan gelaran . Sukar kita memelihara ketulenan perjuangan yang didokong ini jika kita gagal membebaskan diri sepenuhnya dari pengaruh nafsu dan kepentingan duniawi .

Ketulenan manhaj perjuangan mesti dipelihara dari anasir yang merosakkannya . Semua anggota jamaah mesti peka dalam menilai antara manhaj perjuangan yang tulen berasaskan sirah perjalanan nabi kita Muhammad saw atau manhaj perjuangan palsu yang meniti di atas jalur kepentingan politik dan peribadi .

Ketulenan manhaj perjuangan dapat dikenal pasti melalui pengambilan skima amal tarbawi yang mantap melalui silibus am tinggalan baginda Rasul saw. dan diperkemas kini oleh ulama' al a'milin al mujahidin yang memimpin ummah .

Satu pencabulan terhadap manhaj perjuangan andai ia dipimpin atau digerakkan oleh individu atau mereka yang bukan sahaja jahil terhadap manhaj perjuangan an nabawi tetapi juga bersikap negatif terhadap amal tarbawi . Lebih malang apabila perjuangan ini dipacu berlandaskan teori politik untuk mencapai matlamat tanpa berteraskan akhlak Islami .

Demi memburu kemenangan dalam pilihanraya sebagai contoh , walaupun tiada siapa menafikan kemenangan itu penting namun sekali - kali kita tidak boleh meminggirkan akhlak Islami dalam percaturan politik .

Tentu sahaja perjuangan Islam tidak sama dengan gerakan nasionalis atau lainya yang tidak memiliki kamus dosa dan pahala dalam teori politik mahupun perjuangan mereka . Justeru itu kita jangan terjebak atau terpedaya dengan cara dan gaya mereka berpolitik .

Politik Islam kaya dengan akhlak , moral dan prinsip yang tidak memungkin ianya di beli apalagi dirasuah lantaran paksinya ialah Iman dan Islam .

Ketulenan manhaj perjuangan jua tidaklah dinilai semata - mata dipentas politik pilihanraya tetapi juga melihat bagaimana kita membuat keputusan jamaah , bagaimana kita memimpin jamaah dan menangani ahli , bagaimana kita beraksi di medan dakwah , bagaimana kita mendepani musuh , bagaimana kita bertahaaluf dan sebagainya .

Pasti sahaja adab dan akhlak berjamaah seperti syura , dengar dan taat , thiqah , istiqamah , wala' , ukhuwwah , ikhlas dan lainnya mewarnai diri , sikap dan aksi kita sebagai seorang pejuang .

Kita adalah Sebuah Gerakan Islam . Ini satu realiti yang mesti direalisasikan terutama kepada mereka yang diamanahkan sebagai pemimpin jamaah walau dimana posisinya . Bahkan apa pun kepentingan yang kita mahu capai dalam strategi berpolitik dan bergerak memimpin perjuangan ini , kita tidak boleh mencairkan nilai atau standard value bagi sebuah gerakan Islam .

Strategi itu benar dan wajar sebagaimana berpolitik itu adalah hak dan amanah perjuangan . Tetapi saya tegaskan sekali lagi , ketulenan manhaj perjuangan mesti dipelihara . Jangan kita abaikan ketulenannya semata - mata mahu melihat strategi kita berjaya dan politik kita menang .

Ingat ! menang tidak bererti benar dan kalah tidak bermakna salah . Justeru itu awas jangan palsukan manhaj perjuangan suci ini .Pemalsuan manhaj perjuangan adalah satu jenayah !

Thursday, February 19, 2009

Perhebatkan Dialog Antara Muslim dan Non Muslim

Islam tegak di atas Burhan [ bukti dan dalil ] ! .... demikian antara ungkapan tegas Tok Guru Hj. Nik Abdul Aziz Nik Mat kepada kami rombongan Dewan Pemuda PAS Pusat di Pejabatnya pagi kelmarin .

Al Mursyidul Am PAS merangkap Menteri Besar Negeri Kelantan ini cukup ramah dan mesra menyambut ketibaan rombongan kami .

Saya memimpin rombongan Dewan Pemuda PAS Pusat dalam misi lawatan kerjanya untuk mengundang sendiri YAB Tuan Guru Datuk Hj. Nik Abdul Aziz Nik Mat bagi merasmikan Penubuhan Kem Akademi Kepimpinan Pemuda DPP Pusat di Kok Lanas Kelantan pada 14 Mac 09 kelak sekaligus melancarkan modul terkini Akademi Kepimpinan Pemuda .

Alhamdulillah jika tiada halangan , insyaallah majlis perasmian tersebut akan berlangsung dengan jayanya pada 14 Mac nanti disamping ucapan oleh beberapa pimpinan PAS Pusat yang akan dinamakan kemudian .

Sewaktu rancak kami berbincang dan saya menjelaskan tujuan kedatangan kami , Tok Guru sempat mengambil kesempatan untuk memberi amanah dan tazkirah kepada kami yang saya kira sangat tinggi nilai malah sangat bermakna buat kami .

Antara yang ditegaskan oleh Tok Guru agar ditangani oleh Dewan Pemuda PAS Pusat khususnya ialah :

1. Memperhebatkan dialog dengan golongan bukan Islam agar Islam difahami dengan baik dan tiada lagi salah faham terhadap agama Islam . Malangnya lebih 50 tahun negara di tadbir oleh UMNO dan BN tetapi mereka tidak berusaha untuk memahamkan Islam kepada golongan non muslim . Bahkan lebih malang , ummat Islam sendiri telah luntur nilai keislaman mereka .

2. Menekankan agar golongan muda dalam PAS ini memperbanyakkan bacaan justeru Islam berkembang dan Ilmu bertambah melalui pembacaan . Paling tidak satu buku untuk satu bulan atau jika tidak mampu juga , [ penuh sinis kata Tok Guru biarlah satu buku untuk satu tahun .]

3. Mengharapkan agar pemimpin muda dalam PAS dapat menggerakkan perjuangan Islam ini dengan lebih gigih merentas agama dan budaya sehingga dilihat PAS sebagai sebuah jamaah besar untuk rakyat bernaung setelah rakyat putus harap dengan UMNO dan BN , sesuai dengan slogan PAS For All .

4. Jadikan kelantan sebagai model pentadbiran yang telus dan bersih termasuklah melahirkan pemimpin yang tidak boleh dibeli dan dirasuah oleh UMNO dan BN . Sambil menceritakan bagaimana terdapat ahli Dewan Undangan Negeri Kelantan yang ditawarkan puluhan juta ringgit untuk melompat parti . Alhamdulillah mereka thabat dengan perjuangan Islam .

5. Jangan gunakan pendekatan menghukum dalam dakwah . " Saya sangat tidak suka sikap kita cepat mengkafirkan seseorang kemudian barulah kalut kita mahu memberi penerangan , Ini tindakan tidak bijak " kata Tok Guru . Terangkan dulu baru jelaskan hukum bukan hukum dulu baru nak bagi penerangan .

6. Pemuda mesti serius untuk lahirkan Tok Guru Muda bagi membawa Islam dengan segala burhannya [ bukti dan dalil ] kepada masyarakat khasnya masyarakat bukan Islam agar mereka dapat memahami Islam dengan baik dan pihak kita juga dapat mempertahankan hujjah dengan baik . " Jangan tonjolkan yang jahil nanti kalah hujjah malu kita " jelas Tok Guru .

Lawatan Kerja Dewan Pemuda PAS Pusat ke Pejabat Menteri Besar Negeri Kelantan turut disertai oleh Saudara Sabki Yusuf selaku Setiausaha DPPP , Yb . Zaki Ibrahim selaku Bendahari DPPP , Saudara Adram Musa EXCO DPPP , Yb. Ustaz Baihaqi Atiqullah EXCO DPPP , Sdr Zuraidin EXCO DPPP , Dr. Rosli Alani EXCO DPPP , Wan Azimin EXCO DPP Negeri Kelantan dan Sdr Hj. Khairil AJK Akademi Kepimpinan Pemuda DPPP .



Persinggahan Seorang Pejuang

Perjalanan pulang dari Kota Bharu hari ini sangatlah memenatkan . Namun alhamdulillah , Hj. Khairil sedia dan setia untuk memandu .

Setelah singgah buat seketika di rumah Akhi Sabky Yusuf [ Jerteh - Padang Luas ] , kami terus meluncur laju ke Paka .

Sesekali saya terlelap setelah kehabisan modal berbual . Memanglah banyak yang kami bualkan sejak perjalanan semalam menuju Kota Bharu .

Topik perbualan biarpun tidak rasmi tetapi banyak tertumpu kepada persoalan masa depan perjuangan khususnya mengenai pergerakkan pemuda . Sambil berbual , biarpun bersahaja tentulah banyak pula idea yang dapat digarap dan dihasilkan . Tambahan pula , banyak sungguh mutiara kata yang dapat disunting dari perbualan singkat kami bersama Tuan Guru Hj. Nik Abdul Aziz pagi tadi di pejabatnya .

Persinggahan di Paka.

Kesempatan dimanafaatkan sepenuhnya oleh Hj. Khairil lalu mendesak saya agar singgah pula sebentar di Paka untuk memberi sedikit pengisian kepada anak usrahnya . Saya berbesar hati justeru diberi penghormatan dan kepercayaan untuk memberi pengisian , namun memikirkan jasad yang kian kurang upaya terasa berat sekali untuk memenuhi permintaannya .

Oleh kerana sifatnya bukan lagi permintaan tetapi desakan , saya hanya mampu akur lalu singgah solat maghrib di Paka dan selepasnya memberi pengisian kepada anak usrah beliau .

Sebaik saja bertemu mata dan bersalam mesra dengan anggota usrah beliau yang rata - ratanya masih muda belia . Saya jadi naik semangat lantas melupakan kepenatan yang dirasai.

1 jam lebih kurang saya ambil masa memberi pengisian , saya segera pulang tanpa lengah keranan bimbang lewat malam dan ianya membuatkan saya sukar untuk memandu kerana mengantuk . Salah seorang anak usrah mereka menemani saya pulang ke Kuantan . Jazakumullah .

Buat semua anak usrah Hj. Khairil , saya harap mereka tidak lupa apa yang telah saya sampaikan tadi bahawa sebagai anggota jamaah sekurang - kurang kita mestilah bertolak dari 3 nokhtah utama :

1. al Fahm ad Daqiq - Faham yang mendalam berkait Islam yang diperjuangkan
2. al A'amil al mukhlis - Amilin yang ikhlas melaksanakan tugas / tanggungjawab
3. al A'amil al Multazim - Amilin yang komited dan istiqamah terhadap amal Islami .

3 nokhtah itu telah saya huraikan hampir satu jam bagi menegaskan tanggungjawab dan amanah yang mesti digalas oleh seorang pejuang . Mudah - mudahan mereka dapat mewaqafkan diri buat perjuangan ini di saat rata - rata manusia tidak lagi memperdulikan amanah mereka sebagai seorang muslim .

Selamat berjuang !

Monday, February 16, 2009

UMNO Semakin Tertekan

UMNO KIAN TERTEKAN

Tidak sukar untuk mengesan tekanan yang sedang dihadapi oleh UMNO dan BN .

Apabila Harakah dan Suara Keadilan dirampas , ceramah umum tidak benarkan , polis dikerah untuk menangkap pemimpin pembangkang dengan pelbagai alasan di bawah pelbagai akta pula seperti akta hasutan , akta cetak , akta polis dan lain - lain termasuk menggunakan ISA . TV pula menggila dengan laporan dan ulasan sebelah pihak .

Ini bermaksud UMNO dan BN telah kehilangan daya dan kehabisan upaya untuk berdialog dan berdepan secara intelektual berasaskan hujjah dan berpaksi pula kepada kebenaran .

Laksana Namrud a'laihi laknatullah yang pernah menggunakan kekerasan dengan menangkap dan kemudiannya melempar Nabi Allah Ibrahim as. ke dalam unggun api yang besar setelah gagal menimbulkan kekeliruan dan tewas hujjah dengan Nabi Ibrahim as.

Langkah yang sama biasa diambil oleh penguasa - penguasa zalim di sepanjang zaman . Mereka sering menggunakan mantiqul quwwah [ hujjah kekuatan ] berbanding quwwatul mantiq [ kekuatan hujjah ] .

Bayangkan betapa UMNO dan BN yang menguasai media cetak dan elektronik dalam negara malah mampu menyebarkan maklumat kepada hampir 30 juta penduduk dengan begitu pantas masih bertindak bodoh dan liar dengan merampas Harakah dan Suara Keadilan serta menghalang ceramah umum anjuran PAKATAN .

Jika mereka benar - benar kuat dan yakin rakyat bersama mereka sebagaimana yang di dakwa , untuk apa mereka menggunakan kekerasan dan menjadikan polis serta pelbagai institusi bagi melindungi kepentingan mereka . Malainkan sebenarnya UMNO dan BN lemah dan kini dalam keadaan tertekan .

Trauma menghadapi keputusan pilihanraya umum ke 12 yang dialami oleh UMNO dan BN masih belum pulih sepenuhnya . Bahkan ia membuatkan UMNO dan BN mudah hilang pertimbangan dan cepat pula hilang kawalan .

Hasil kajian saintifik , mereka yang belum pulih sepenuhnya dari trauma teruk yang dialami biasanya terdedah kepada perlakuan - perlakuan ganjil malah mampu mendatangkan mudarat kepada dirinya sendiri . Mereka boleh bertindak nekad dan mengganas tanpa sebarang nilai peri kemanusiaan dalam jiwa mereka .

Saya lihat inilah yang sedang dialami oleh UMNO dan BN sebuah parti yang telah mengalami trauma yang teruk dan kini dalam proses pemulihan yang sukar . Tengku Rithaudeen sendiri pernah mencadangkan agar wanita , pemuda , putera dan puteri UMNO di bubarkan demi merawat atau memulihkan UMNO . Jika tidak , UMNO akan binasa .

Labels:

ISU DERHAKA
UMNO Seperti Cacing Kepanasan.

Isu Dato' Seri Ir. Nizar Jamaludin Menteri Besar Perak dieksploitasi sepenuhnya oleh UMNO dan seluruh media pencacainya . Sehingga saya sendiri naik muak untuk mendengar berita terutama Buletin Utama TV 3 .

Sebulan dua ni saya sekeluarga telah beralih ke Astro Awani dan sesekali ke berita Bernama .

Melihat kepada paparan berita di TV 3 yang habis - habisan mengeksploitasi isu derhaka , cukup jijik dan jelas niat jahat apabila mengeluarkan kenyataan - kenyataan yang keterlaluan dan tidak benar .

Memejamkan mata pada isu penderhakaan yang sebenar lalu menuding orang lain yang derhaka . Inilah yang disebut oleh pepatah arab :

ضربني و بكى شتمني و اشتكى

"Dia pukul aku dia yang menangis dan
dia menghina aku dia yang buat report"

Inilah sikap UMNO dalam isu ini . Juga tidak ubah bagaimana seperti cerita perompak yang terperangkap dalam kepongan orang ramai , lalu ia menyorokkan barangan yang dirompak lalu dia turut sama buat - buat sibuk mencari perompak dan berteriak di mana perompak ? di mana perompak ? wal hal dialah perompak .

Hari ini UMNO berteriak penderhaka ! tangkap penderhaka ! ambil tindakan ke atas penderhaka ! seolah mereka hero yang mempertahankan institusi raja - raja Melayu .

Awas ! , melalui pepatah arab di atas dan cerita rakyat yang popular itu , kita boleh menangkap penderhaka yang sebenar . Mudah untuk mengenali mereka melalui tindakan mereka yang keterlaluan .

UMNO seperti cacing kepanasan dalam isu derhaka ini . Mereka lantang dengan teriakan agar penderhakaan di ambil tindakan kononnya merekalah hero dan pahlawan yang mempertahankan raja , sebenarnya ia adalah satu langkah dan sebagai usaha "hero usang" untuk menudung jenayah lama mereka .

Siapa yang boleh melupakan tindakan Tun Mahathir yang telah menelanjangkan institusi raja - raja Melayu sebelum ini . Soal Mahathir mahu membuang imuniti Raja - Raja itu satu hal , yang lebih parah selepas imuniti dipakai ke atas dirinya sehingga ia menjadi Perdana Menteri Kuku Besi yang begitu lama memerintah Malaysia , dia juga telah menelanjangkan maruah dan aib raja - raja melalui media .

Siapa yang telah lupa peristiwa ini ? saya percaya Sultan Johor dan Sultan Pahang tentu sahaja masih ingat apa yang telah dilakukan oleh Tun Mahathir selaku Presiden UMNO , Pengerusi BN dan juga Perdana Menteri pada waktu itu .

Siapa yang telah lupa kepada UMNO Kelantan yang menabalkan sultan di pohon kayu kerana tidak bersetuju dengan Sultan Ismail Yahya Petra di Kelantan . Mereka juga mendedahkan kelemahan dan mendedahkan keaiban sultan di tahap yang memalukan lewat media milik mereka .

Begitu juga pengikut fanatik UMNO Terengganu yang menggelar Sultan Mizan kini Yang Di Pertuan Agong sebagai Binatang dalam konflik perlantikan MB di Terengganu selepas pilihanraya umum yang lalu .

Siapa yang lupa segala peristiwa ini ?

Sebab itulah UMNO seperti cacing kepanasan . Berteriak ke sana ke sini , melalak dalam media tak habis - habis sampai hari ini kononnya mereka nak menangkap penderhaka . Siapa yang menderhaka ?

Tiada sepatah keluar perkataan dari Dato' Seri Nizar yang menghina Sultan Perak . Adapun permohonan "sembah derhaka" itu adalah rutin bahasa istana apabila ada perkataan atau permohonan yang berbeza dengan pihak istana . Saya percaya Mufti Perak Dato' Seri Harussani juga biasa menggunbakan perkataan itu .

UMNO tiba - tiba jahil dengan bahasa Istana dan menjadikan itu sebagai bahan jenaka bodoh mereka sepanjang musim ini .

Zaman Tok Nadok mungkin UMNO boleh menguasai pemikiran rakyat dengan propaganda media mereka . Tetapi ini zaman IT , di mana rakyat boleh access maklumat di mana - mana dan mereka banyak pilihan untuk menerima maklumat alternatif .

Saya yakin rakyat tidak mudah terpedaya . Lihat sahaja lah dalam pilihanraya kecil di Kuala Terengganu sebelum ini . Kalau lihat kepada propaganda media mereka khasnya TV 3 , seolah - olah hanya UMNO dan BN yang bertanding di Kuala Terengganu dan mereka boleh menang besar .

Tetapi apabila keputusan pilihanraya diumumkan , ternyata rakyat jelas tidak terpengaruh dengan dakyah atau propaganda jelek UMNO dan BN .

Sebenarnya , lagi kuat UMNO serang guna TV 3 ni , rakyat semakin mual dan loya seolah - olah tidak ada cerita lain dan terlalu ketara sikap berat sebelah mereka . Hanya kenyataan Pak Lah , Tok Najib , Hishamudin , pas tu balik Pak Lah semula , kemudian Tok Najib dan Najib dan Najib pas tu Rosmah keluar sekejap dengan rupa garangnya , pas tu Muhyidin sesekali , pas tu Najib semula ..... aaaaah , nak termuntah !

Kalau lah TV ni harganya 30 sen sebijik .... :(

ILHAM
Institut Latihan Kepimpinan
dan
Pengkaderan Dakwah Islamiyyah .

Alhamdulillah ILHAM cawangan Pahang kini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan .

Akademi Ar Rasyidin yang menjadi penyelaras ILHAM Pahang mengalu - alukan semua peserta yang kini telah berlangsung sessi pengajiannya .

ILHAM yang menawarkan Diploma Pengajian Islam adalah satu program yang sangat baik untuk melahirkan bakal kepimpinan ummah yang mempunyai kefahaman Islam yang jelas , aqidah yang sohih dan syakhsiyah yang solehah .

Harapan saya kelak , Perjuangan Islam yang kita dokong ini akan diwarisi dan dipimpin oleh individu yang mempunyai ilmu dan kefahaman yang mencukupi mengenai Islam yang diperjuangkan .

Sejarah Gerakan Islam di Malaysia , Aqidah Islamiyyah , Pengantar Pengajian Al Quran dan Politik Islam adalah antara modul yang diambil oleh peserta dengan jadual pengajian yang berlangsung pada setiap hari Ahad minggu ketiga , dari jam 8.00 am hingga 7.15 pm . Mereka dibimbing oleh 4 orang Pensyarah yang berkelayakkan dimana 3 daripadanya kini sedang menduduki pengajian peringkat Phd di IPTA .

Semester 1 ini akan berakhir pada bulan April dimana peserta Diploma akan menduduki peperiksaan semester 1 yang akan disediakan oleh ILHAM Pusat .

Sekali saya ucapkan agar semua peserta berjaya dalam pengajian mereka masing - masing . Selamat berjuang .

Sunday, February 15, 2009

AKHLAK
MENGHADAPI PILIHANRAYA

Banyak perkara yang terpaksa saya telan biar pun terlalu pahit . Itulah ungkapan yang mampu saya lafazkan mengimbau pengalaman yang cukup berharga tetapi perit dan sukar .

Sejak menyertai PAS tahun 1985 yang lalu , 2 kali saya telah diberi amanah yang cukup berat . Iaitu menjadi calon dalam pilihanraya . Kali pertama pada tahun 2004 di DUN Ibam dan kali kedua pada tahun 2008 di Parlimen Maran .

Perkara yang paling saya tidak suka ialah menjadi calon pilihanraya . Tetapi setiap kali saya menolaknya setiap kali itu pula saya di desak oleh pimpinan untuk menggalas tanggungjawab ini dengan pelbagai hujjah yang akhir saya tidak mampu untuk menyangkalnya lagi . Akhirnya saya terpaksa patuh dan taat kepada arahan tersebut .

Demi Allah , jika saya diberi pilihan nescaya saya memilih untuk tidak bertanding sebalik saya lebih suka menjadi perancang atau penggerak dalam pilihanraya dan calonnya tentulah orang lain yang saya percaya mereka lebih layak dan sesuai berbanding saya .

Pengalaman menyertai pilihanraya

Pengalaman adalah satu ilmu yang tiada di dalam kitab tetapi menjadi iktibar yang sangat berguna kepada kita dan orang lain yang mahu berkongsi . Saya secara peribadi sangat menghargai pengalaman ini . Pengalaman menyertai pilihanraya sebagai petugas sepenuh masa dengan memegang borang E pada waktu itu [ tahun 1990 dan 1995 ] , sebagai wakil calon pada tahun 1999 dan sebagai calon pada tahun 2004 dan 2008

Dalam ruang umum dan pula terhad di sini , saya hanya akan menukilkan beberapa pengalaman penting untuk dikongsi sekaligus saya mengharapkan agar menjadi iktibar kepada semua khasnya petugas pilihanraya dan calonnya di masa - masa akan datang .

Saya percaya di luar sana masih terlalu ramai mereka yang mempunyai pengalaman luas dalam pilihanraya dengan pelbagai bidang kemahiran atau kepakaran mereka . Ya.... kita pasti sahaja boleh belajar dari mereka untuk kepentingan perjuangan ini . Namun saya bukanlah pakar cuma saya ada sedikit pengalaman suka duka , pahit getir yang boleh dokongsi dan dipelajari bersama .

Pengalaman saya : Akhlak 1 [ menangi hati Pengundi ]

Pilihanraya adalah medan yang disertai oleh PAS untuk menghantar wakil ke DUN atau Parlimen guna membawa mesej perjuangan ke peringkat majlis penggubal undang - undang atau pelaksananya . Justeru itu , adalah menjadi keutamaan kepada jamaah untuk memenangi hati rakyat atau pengundi .

Selain kita mempunyai ahli tegar yang pasti mengundi PAS , di sana kita terpaksa meraih undi dari semua golongan agar mereka juga memberi sokongan atau undi kepada PAS . Cula pasti sahaja menunjukkan bukti bahawa PAS masih belum mampu memenangi pilihanraya sekadar bergantung kepada ahli semata - mata melainkan PAS turut mendapat sokongan dari pelbagai pihak termasuklah golongan atas pagar dan ahli UMNO sendiri .

Realiti ini mestilah diinsafi oleh semua pihak lalu berasaskan keinsafan tersebut kita sewajarnya mengatur langkah bijak untuk mendekati semua jenis pengundi dan pastinya disini , petugas dan calon pilihanraya mestilah kaya budi dan tinggi skill komunikasinya dengan masyarakat .

Ia bukanlah suatu yang mudah . Sementelah pilihanraya mencetus suasana yang cukup sensitif . Banyak faktor pencetus , antaranya kepenatan bertugas pula secara sukarela turut menyumbang kepada ketegangan perasaan ditambah pula pelbagai provokasi dari musuh yang telah menjadi kelaziman dalam musim pilihanraya .

Detik - detik seperti ini kita kena fokus agar dapat meminimakan kelemahan dan kekurangan juga kesilapan . Sebab musuh pastik akan memanafaatkan sepenuhnya kesilapan yang kita lakukan . Sedikit kesilapan erti besar kemungkinan kita akan mengalami kekalahan .

Saya pernah dianggap sombong oleh jentera pilihanraya sendiri dan akhirnya membuatkan jentera berkecil hati malah hambar untuk bekerja ekoran kesilapan yang saya lakukan pada waktu itu . Pengalaman ini tidak mungkin membuatkan saya lupa dan saya pasti akan lebih berhati - hati di masa akan datang .

Kesilapan banyak berlaku dalam komunikasi dan interaksi kita sesama jentera atau dengan masyarakat jika kita tidak berikan perhatian . Mungkin pada waktu ianya berlaku , kita tidak perasan dan merasakan ianya betul atau wajar , tetapi selepas kita mengadakan post mortem ternyata kita dapat mengesan dengan jelas kesilapan yang kita lakukan dan ia mungkin menjadi penyumbang kepada kekalahan . Oleh itu berhati - hatilah !

Pengalaman saya : Akhlak 2 [ penampilan calon ]

Calon antara faktor yang agak besar dalam menentu keputusan pilihanraya . Selain latar belakang , karisma dan karektor calon diambil kira dalam pemilihan calon oleh pihak jamaah , perhatian mesti diberikan kepada penampilan calon semasa memimpin jentera , ahli dan penyokong untuk memenangi pilihanraya .

Calon yang mesra rakyat dan mesra ahli sangat berpotensi untuk menyertai pilihanraya dan memenanginya insyaallah .

Setelah mengalami pengalaman dalam pilihanraya kali pertama , saya cuba mengatasinya pada penyertaan saya kali kedua . Ternyata kesilapan berlaku lagi tetapi dalam keadaan suasana yang berbeza . Walaupun kesilapan itu mungkin bukan kita yang menciptanya tetapi awas ia boleh berlaku dan memerangkap kita .

Apa faktor yang mendorong , boleh kita lihat melalui post mortem . Namun post mortem itu janganlah dibuat berasingan tanpa penglibatan calon itu sendiri , kerana kelak keputusan post mortem itu tidak sempurna dalam beberapa aspek yang lain dan aspek itu ada pada calon yang bertanding .

Kesilapan kedua yang berlaku ke atas saya [ sebagai pengalaman yang cukup mengajar dan mendidik diri ini dan suka saya kongsikan bersama agar tidak berlaku kepada orang lain pada masa yang akan datang ] ialah sewaktu saya ditaklif menjadi ca;lon buat kali yang kedua .

Masih segar dalam ingatan saya . Saat saya terkontang kanting keseorangan diri memikirkan bagaimana mahu saya galas tanggungjawab berat ini , saya didatangi oleh 2 orang sepupu saya yang menawar diri untuk membantu . Saya mengalu - alukan mereka . Mereka mahu membantu saya sebagai pemandu dan pengawal keselamatan .

Sememangnya calon memerlukan pemandu dan pengawal keselamatan . Malangnya kedua - dua sepupu saya ini berwatak gengster . Dengan pakaian ala gengster , cermin mata gelap laksana seorang samseng dan bengis muka seperti berada di medan perang . Saya mula perasan perkara ini pada hari penamaan calon di sebelah petangnya . Kebetulan mereka datang menawarkan diri untuk berkhidmat pada malam penamaan calon .

Saya menyedarinya apabila seorang anggota Nisa' Pusat menegur saya agar menasihati kedua - dua mereka . Namun setelah dinasihati , mereka berdua agak degil dan timbul sedikit pertelagahan antara kami . Sedang saya sibuk dengan aktiviti kempen mereka terus dengan watak mereka dan enggan untuk berubah . Panjanglah ceritanya , tetapi apa yang saya nak quote di sini ialah sangat tidak sesuai seorang calon diiring atau dikawal oleh orang seperti itu dalam musim pilihanraya .

Menakutkan malah menggerunkan pengundi , itulah realitinya . Saya teringat satu insiden yang hampir sama dengan apa yang berlaku ke atas saya , mencetuskan rasa tidak puas hati dikalangan ahli jamaah . Insiden yang berlaku dalam satu ijtima' di Stadium Malawati Selangor [ kalau tidak silap saya ] di mana seorang pimpinan kanan PAS diiring oleh pengawal keselamatan dengan lagak gengster berprofile tinggi memasuki stadium , sedang MB Selangor Tan Sri Khalid pada masa itu kelihatan memasuki stadium seorang diri tanpa pengawal .

Menginsafi pengalaman ini , calon mestilah dikawal keselamatannya kerana risiko dalam musim pilihanraya tidak dapat kita jangka tetapi kita juga mesti ingat pengawal janganlah sampai berwatak gengster kerana ia tidak melambangkan kita mewakili Jamaah Islam .

Pengalaman saya : Akhlak 3 [ Perayu Undi ]

Bermula hari penamaan calon hinggalah hari pembuangan undi , gerakkerja kempen banyak tertumpu kepada aksi perayu undi . Terkadang kita kehilangan imbangan berdepan provokasi musuh . Harus diberi perhatian agar kita tidak terikut rentak musuh .

Sering kita lihat suasana berbalas teriakan dan saling mem"provok" antara satu sama lain . Kadang - kadang mencetus perbalahan yang terpaksa dileraikan oleh polis . Sedikit sebanyak situasi ini turut mencemarkan nama baik jamaah kita sebagai jamaah Islam .

Saya tertarik dengan cara atau pendekatan ustaz Fadhil Noor al Yamani sewaktu mengetuai Kontinjen perayu undi Negeri Pahang dihari pembuangan undi semasa pilihanraya kecil Kuala Terengganu tempohari . Sedari awal Ustaz Fadhil Noor mengajak perayu undi berselawat dan berzikir dan sesekali diselang dengan doa memohon pengundi dilembutkan hati agar mengundi PAS serta laungan takbir yang menggerunkan pengundi "hantu"

Pendekatan ini cukup melunakkan hati pengundi atas pagar bahkan UMNO sendiri terpukau dan sebahagian memuji cara ini berbanding Puteri UMNO yang tidak sudah - sudah dengan aksi manja - gelenyanya berbalas teriakan dan siulan dengan pengundi . Lebih malang ada pula perayu undi kita turut mengikut telatah mereka . Harap hal seperti ini juga tidak lagi berlaku dalam pilihanraya yang akan datang .

Kesimpulannya .

Masih banyak perkara , yang perlu kita belajar dan beri perhatian yang ketara . Cuma apa yang saya sebutkan ini sekadar apa yang saya alami untuk diambil iktibar dalam menentu gaya dan cara . Kita boleh jadi baik dan matang dengan pengalaman kita sendiri walau tidak seberapa . Kita juga sewajarnya tidak takut untuk mengakui lalu belajar dari kesilapan sendiri sekalipun hati kita luka dan mencengkam rasa .

Esok atau lusa , kita meredah masa dengan membawa pengalaman silam untuk terus berjuang dan berjasa . Tidak kira apakah kita dinista atau dipuja , jiwa pejuang mestilah tabah , sabar dan perkasa .

Benarlah kata pujangga , kita tidak punya banyak masa untuk bersahaja sedang ummah memerlukan kita . Ayuh kita tampil bergaya membawa amanah perjuangan dengan kudrat dan nyawa yang masih bersisa . Apakah kesilapan lalu membuat kita hilang bisa ? sehingga sukar kita menahan rasa ?

Yakinlah kita pada Tuhan Yang Maha Esa , Tuhan Yang Maha Pengampun akan hambanya asalkan ia bertaubat dari salah dan dosa . Insyaallah , berbekalkan taqwa kita pasti berjaya .

Saturday, February 14, 2009

RISALAH DAN IKTIBAR
DARI HUNAIN

Saya tidak bermaksud untuk merosakkan mood rakyat umumnya dan para pejuang khasnya apabila membawa risalah dan iktibar dari Hunain buat tatapan umum .

Sebaliknya apa yang saya maksudkan ialah agar kita dapat pertahankan kemenangan serta prestasi cemerlang yang telah dicapai sebelum ini dan suatu yang lebih penting daripada itu ialah untuk memastikan perjuangan kita berada di atas landasannya yang benar .

Menang atau kalah itu adalah persoalan yang kedua . Adapun perkara yang lebih utama ialah keaslian dan ketulenan manhaj perjuangan kita mesti dipertahankan . Kita mahu menang dengan kebenaran manhaj Islam yang kita perjuangkan dan kita rela kalah , asal sahaja manhaj perjuangan Islam yang benar ini tidak digadai .

Hari ini , rata - rata saya lihat mood rakyat untuk menolak BN semakin ketara dan kian jelas lagi berani . Isi hati mereka mula disuarakan walau di hadapan khalayak ramai setelah lama dibiarkan membungkam sebak di dada . Jika dulu mungkin ada rakyat malu silu dan takut segan untuk memprotes atau mengkritik kerajaan UMNO dan BN jua para pemimpinnya yang jelas melakukan penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa .

Lebih hebat saya saksikan keyakinan dan kesungguhan para aktivis PAKATAN untuk menjatuhkan BARISAN terutama setelah tercetusnya tragedi penubuhan kerajaan Haram UMNO dan BN di negeri Perak .

Tentu sahaja tiada taranya iman dan jihad yang dipamerkan oleh ahli - ahli PAS dalam usaha mereka membawa Islam ke tengah masyarakat . Sekali gus memacu dan memimpin kebangkitan rakyat menolak kepimpimpinan dan kerajaan UMNO dan BN , setelah mereka gagal berfungsi sebagai sebuah kerajaan yang tunduk dan akur kepada Allah swt selama mereka diberi peluang oleh Allah swt memerintah negara dan diberi mandat oleh rakyat untuk memimpin .

Namun begitu , semangat sahaja tidak memadai . Mood juga belum cukup . Jumlah dan sokongan ramai pun belum pasti . Kemudahan dan pengaruh yang kita miliki masih tidak menjamin kemenangan . Kerana kita perlukan Allah swt .

Kita perlukan Allah swt dalam apa jua situasi . Menang atau kalah , senang atau mudah dan tenang atau resah . Allah swt penentu kemenangan dan kejayaan perjuangan kita .

Marilah kita renungkan sejenak firman Allah swt :

لقد نصركم الله في مواطن كثيرة و يوم حنين إذ أعجبتكم كثرتكم فلن تغن عنكم شيئا و ضاقت عليكم الأرض بما رحبت ثم توليتم مدبرين ثم أنزل الله سكينته على رسوله و على المؤمنين و أنزل جنودا لم تروها و عذب الذين كفروا و ذلك جزاء الكافرين

Sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan Dalam banyak medan-medan perang dan jua di medan perang Hunain, Iaitu semasa kamu merasa megah Dengan sebab bilangan kamu Yang ramai; maka bilangan Yang ramai itu sekali - kali tidak mendatangkan faedah kepada kamu sedikitpun; dan (semasa kamu merasa) bumi Yang Luas itu menjadi sempit kepada kamu; kemudian kamu berpaling undur melarikan diri.

Kemudian Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada RasulNya dan kepada orang-orang Yang beriman, dan Allah menurunkan tentera Yang kamu tidak melihatnya, serta ia menyeksa orang-orang kafir itu (dengan kekalahan Yang membawa kehancuran); dan Yang demikian itu ialah balasan bagi orang-orang Yang kafir.

Surah at Taubah : Ayat : 25 - 26

Risalah dan Iktibar :

Risalahnya :

Peperangan di Hunain sewaktu nabi saw berhadapan dengan Bani Hawazin dan Bani Thaqif , Nabi saw memimpin 12 ribu angkatan tentera Islam . Satu jumlah yang besar dan pertama kali dalam sejarah tamadun Islam , Nabi memimpin tentera seramai itu .

Akhirnya sebahagian ummat Islam pada waktu itu mula berasa yakin untuk capai kemenangan dengan jumlah mereka yang begitu ramai . Lantas mereka mula memandang rendah pada kekuatan musuh dan memandang mudah kepada persiapan dan strategi perang .

Ringkasnya , dipermulaan perang mereka telah mendapat tentangan sengit dari musuh justeru mereka tidak bersedia secukupnya lantaran over confident telah menguasai minda mereka sewaktu mereka menapak masuk ke medan perang . Kesempatan itu digunakan sepenuhnya oleh musuh dan berjaya mengkucar kacirkan tentera ummat Islam diperingkat awalnya sebelum Allah swt menghantar pertolonganNya dan tentera yang tidak kelihatan untuk membantu agama dan rasulNya.

Allah swt telah tegaskan : sekali - kali kekuatan dan ramainya jumlah kamu tidak cukup malah hasil serangan musuh yang bertubi arus menyebabkan kamu merasakan dunia yang sebegini luas menjadi sempit dan kamu lari bertempiaran .

Iktibarnya :

Hari ini kedengaran sayup - sayup dan ianya cukup untuk sampai ke telinga saya bagaimana rasa congkak dan over confident kian menular dalam jiwa pejuang kita . Kita sudah menang di Permatang Pauh dan kita juga sudah menang di Kuala Terengganu maka di Bukit Gantang ni kita pejam sebelah mata pun boleh menang ! .

Kita sudah ramai penyokong . Ahli Kelab penyokong saja telah mencecah angka tidak rasminya 80 ribu . Sementara ahli kita [ PAS ] telah menghampiri satu juta . Belum kita campur lagi dengan anggota PKR dan DAP yang menyokong kita . Kita semakin kuat dan ramai . Kita mesti menang !

Hati - hati dengan emosi ini . Allah swt terlebih dahulu telah menegur para sahabat rhm dan menjadi iktibar kepada kita ummat mutaakhir ini . Betapa jumlah yang ramai saja belum mencukupi begitu jua kekuatan kita belum mampu untuk benar - benar mempertahankan kemenangan .

Apa yang kita perlu , setelah segala usaha gigih kita lakukan ialah Nusrah Allah swt . Jangan over confident sehingga kita pandang rendah pada keupayaan Najib Sparrow and The Gang dalam mencatur perkiraan politik mendepani PAKATAN dalam pilihanraya kelak .

Kesimpulannya :

kekalkan kerendahan diri dan ketinggian budi dalam meniti hari - hari perjuangan ini kelak kita tidak rugi . Pastikan kita tidak sampai menggigit jari menyaksikan segala strategi tidak menjadi .

Jangan kita lupa diri . Dekati pengundi dengan tulus hati nurani yang suci . Didik mereka sehingga mereka reti . Minimakan rasa benci sekalipun dari seteru kita yang hasad dengki . Pertahankan jati diri bersama perjuangan suci ini . Jangan sampai tergadai hanya dengan janji manis yang tidak pasti .

Yakinilah pertolongan Allah swt , namun pertolongan itu perlu dicari bukan sekadar menanti . Andai perjuangan yang kita kenderai ini dipacu seikhlas hati pula kita merintih munajat saban hari mohon diperhati , saya yakin lagi pasti , Allah mesti akan memberi .

Wednesday, February 11, 2009

PEKIDA :
MARILAH BERSAMA
MEMPERJUANGKAN ISLAM

Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiyah Malaysia , begitulah indah dan cantik nama diberi kepada ngo yang dipanggil Pekida ini . Ianya sebuah Ngo yang ditubuhkan sejak awal 80'an lagi . Kalau tidak salah ingatan saya , dulunya Pekida adalah sebuah Ngo yang aktif mengumpul ahli dalam aktiviti - aktiviti kebajikan seperti kenduri kendara , khairat kematian dan seumpamanya .

Sebagai anak peneroka , saya dapat lihat dengan jelas perkembangan Pekida yang cukup popular seketika dulu di kawasan - kawasan seperti Felda dan desa - desa tradisi . Walaupun sedari awal tidaklah nampak penglibatan mereka secara aktif memperjuangkan Islam dan kedaulatannya di negara ini berbanding Parti Islam Se Malaysia PAS atau lain - lain jamaah Islam yang wujud samaada lebih dulu atau seangkatan dengannya .

Namun Pekida dihormati sebagai sebuah organisasi bukan kerajaan yang menaungi orang melayu dan menganjurkan pelbagai aktiviti sihat yang memberi kelebihan kepada masyarakat melayu muslim .

Imej Pekida Tercemar Teruk

Malangnya akhir - akhir ini , imej yang dulunya dilihat baik dan hebat telah dikotori atau dicemari oleh beberapa insiden yang membabitkan perlakuan ahli - ahli Pekida sendiri . Akhirnya kini kedengaran orang berkata Pekida adalah Mafia Melayu , Pekida adalah Kumpulan Gengster Melayu , Pekida adalah Kumpulan Penarik Kereta dan macam - macam lagi yang tidak mencerminkan nama asal Pekida iaitu Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiyah Malaysia .

Mungkin tidak semua ahli pekida terlibat dalam aktiviti - aktiviti yang tidak sihat ini , tetapi sesuatu perlu dilakukan oleh kepimpinan Pekida agar pertubuhan Ngo ini tidak terus dilanda keruntuhan moral dan penyelewengan akhlak .

Saya melihat Pekida sewajarnya tampil sesuci dan seindah nama yang diberi . Bergabung pula dengan Ngo - Ngo lain bagi memperjuangkan Islam dan mempertahankan maruah ummah yang kini dicela dan diperlekeh oleh musuh - musuh Islam di dalam dan luar negara .

Ketika sunnah Rasulullah saw dicabar , syariat dipersenda malah ummat Islam diperkecil , kita tertanya - tanya di mana Pekida dan ahli - ahlinya ?

Pemulihan Imej Pekida

Sebagai sebuah Ngo yang mempunyai ramai ahlinya pula matang usianya , Pekida mestilah tampil dengan wajah Islam yang jelas untuk menjadi perisai kepada ummah . Tidak hanya terhad kepada majlis kenduri kendara atau khairat kematian . Sebaliknya Pekida mestilah agerasif dengan aktiviti kebajikan ummah yang melampaui sempadan ahli sendiri dan lebih penting berdiri sebaris dengan kumpulan - kumpulan Islam seperti PAS atau lainnya untuk memperjuang dan mendaulatkan Islam di atas tanahair tercinta .

Pekida sewajarnya keluar dari imej kumpulan kaki pukul , gengster , mafia dan pelbagai imej yang negatif . Ahli - ahli Pekida mestilah dididik dan diasuh atau ditarbiyyah dengan orientasi aktiviti amal Islami berpaksi kalimah at tauhid Laa Ilaha Illallah bersesuaian dengan nama yang diberi .

Apatah lagi berpijak di atas realiti , betapa ummat melayu hari ini perlu kepada asuhan dan bimbingan yang mendorong mereka mengukuhkan Iman dan Islam mendepani cabaran yang pastinya menggugat aqidah , akhlak dan pemikiran mereka .

Tidak ada gunanya Pekida dibiarkan atau digunakan sebagai platform samseng dan kaki pukul mengumpul pengaruh lalu membina empayar meluaskan kuasa jajahan agar ditakuti dan digeruni oleh lawan . Jika inilah situasinya , ia adalah sangat jelas bercanggah dengan nama indah pertubuhan ini iaitu Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiyah Malaysia .

Aktiviti Kebajikan tidak boleh dibangunkan dengan pengaruh samseng demikian juga Dakwah tentu sahaja tidak akan berjaya melalui empayar kaki pukul .

Saya yakin , kepimpinan Pekida pasti sahaja menafikan bahawa Pekida adalah pertubuhan mafia dan samseng sebagaimana juga saya berkeyakinan penuh bahawa tidak semua ahli Pekida demikian sikap mereka . Namun maksud saya ialah Pekida mesti melakukan sesuatu untuk mengikis imej buruk yang kini bermain di setiap bibir rakyat dalam negara kita .

Saya mengesyorkan agar Pekida memprogramkan pertubuhan malah mewajibkan ahlinya dengan aktiviti - aktiviti amal Islami yang lebih aktif dan terancang seperti operasi Amar Makruf Nahi Mungkar , dakwah mengedar risalah kepada sasaran yang leka dan alpa terhadap Islam , Mendalami ilmu agama dan menyertai bengkel pembinaan syakhsiyah agar lahir sebagai seorang muslim yang bertanggungjawab terhadap agama dan perjuangannya .

Kepimpinan dan anggota senior Pekida mestilah juga menampilkan qudwah yang soleh . Saya percaya , melalui perwatakan yang indah , imej yang tenang , pertuturan yang sopan , penampilan yang mulia dan kepimpinan yang berkarisma akan banyak membantu Pekida membersihkan imej sekaligus menepati ikrar mereka sesuci nama pertubuhan mereka sendiri .

Saya menyeru agar Pekida turut sama menyertai atau menyokong misi besar Parti Islam Se Malaysia PAS yang mahu mendaulatkan syariat Islam di atas tanahair tercinta ini . Melalui proses pembinaan dan pembentukan Aqidah yang sohih , Fikrah yang syumul dan Akhlak yang soleh .

Kerjasama boleh dibuat bagi melengkapkan pelan pelaksanaan misi dan visi PAS menjulang kalimah Allah swt dengan orientasi Amar Makruf dan nahi Mungkar serta dakwah yang terancang di negara kita ini .

Bayangkan , sewaktu Ngo seperti Yayasan Amal Malaysia , Unit AMAL DPP dan Muslim care turun membantu mangsa musibah seperti banjir besar , tanah runtuh , kebakaran , misi kemanusiaan ke Acheh dan kini ke Gazzah turut sama disertai oleh Ngo yang bernama Pekida ini .

Terus terang saya sebut , Pekida tidak sesuai menyokong apalagi menyertai UMNO dan BN yang sangat tebal semangat perkauman dan semangat menolak perlaksanaan syariat Islam di negara ini . Sedangkan .... apa lagi kalimah yang paling tinggi selain kalimah Laa Ilaha Illallah yang diperjuangkan oleh Pekida terdahulu dan itulah juga yang diperjuangkan oleh PAS sejak ia ditubuhkan tahun 51 .

UMNO dan BN pasti sahaja mengabaikan perkara ini sebaliknya UMNO dan BN kaya dengan pelbagai mungkar dan maksiat malah melindungi dan membajainya . Selayaknya UMNO dan BN tersenarai dalam operasi Nahi Mungkar yang mesti digerakkan oleh Pekida .

Dari segi nama sudah cukup membuatkan Pekida [ Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiyyah Malaysia ] tidak layak untuk duduk sebilik dengan UMNO dan BN . Bahkan suka saya tegaskan bahawa ahli UMNO dan BN selayaknya menjadi sasaran utama dakwah Pekida untuk membimbing mereka melaksanakan tuntutan kalimah tauhid Laa Ilaha Illallah .

Tuesday, February 10, 2009

MENENTANG
SISA RADIOAKTIF
Selamatkan Insan

Masa depan penduduk Beserah Kuantan terancam berikutan sebuah Syarikat Australia kini membina sebuah kilang memproses "rare earth" di Gebeng Kuantan .

Petang tadi secara kebetulan saya bertemu dengan YDP PAS Kawasan Indera Mahkota di Kedai Roti Canai Special Pak Kob Balok Kuantan , beliau kemudiannya memberikan sedikit taklimat berkait dengan isu ini .

Kebetulan pula rumah saya juga berada dalam daerah Beserah . Terasa ngeri juga mengenang musibah yang bakal berlaku angkara kerakusan manusia .

Rare earth adalah sejenis logam berat [ Lathanide ] lazimnya untuk pembuatan produk seperti lampu kalimantang , cakera liut keras dan panel paparan Ipod .

Pemprosesan rare earth menghasilkan air buangan yang dikhuatiri terdedah kepada sisa radioaktif sebanyak 500m3 sejam ( dalam satu hari lebih kurang saiz 3 kolam renang olimpik )

Pendedahan kepada bahan radioaktif akan mengakibatkan penduduk setempat mengalami kanser seperti leukemia , kelahiran baby cacat dan pramatang , keguguran dan seumpamanya . Kejadian seperti ini pernah berlaku di Bukit Merah Perak sekitar tahun 1982 - 1987 . Rujuk : http://sisaradioaktif.blogspot.com/

Masyarakat Kuantan mesti bangkit membantah dan mendesak supaya pihak berwajib membatalkan projek ini yang mana telah jelas mengundang risiko kepada nyawa manusia .

Apakah semata - mata kerana mementingkan projek dan keuntungan maka sanggup mereka memperjudikan nyawa ribuan manusia .

Tentu sahaja perkara ini tidak boleh dibiarkan . Insyaallah , saya percaya satu tindakan telah diambil oleh beberapa pihak prihatin . Tinggal lagi rakyat juga harus prihatin dan segera support tindakan ini .

Boleh juga dapatkan keterangan lanjut di link berikut :

Gambar menunjukkan pesakit Leukemia di Bukit Merah angkara tindak balas radioaktif .

PROMOSI
Laman Web Khas Untuk Nota Feqh Haraki
[ Perjuangan Tanpa Nokhtah ]

Harap baca , faham , hayati , bincang , hadham , link kan dalam laman web anda , jadikan bahan dalam usrah untuk dibahas atau dibincang , copy dan sebarkan .

Jangan biarkan semua hasil karya saya berkait dengan isu dalaman jamaah [ PAS ] melainkan ianya dimanafaatkan semaksimum mungkin . Saya menulisnya berasaskan pengalaman dan sedikit ilmu kurniaan Allah swt berhubung dengan Feqh al Haraki .

Kemungkinan juga apa yang saya tulis ini tidak sesuai atau silap . Saya memerlukan tunjuk ajar dari semua pihak khasnya alim ulamak al a'milin .

Terimalah Ikhlas dari saya , karya yang tidak seberapa :

Monday, February 09, 2009

HARI INI
DALAM SEJARAH HIDUPKU

Sabtu lalu , saya dalam resah mengumpul kekuatan untuk ke Perak . Malangnya badan agak keletihan begitu juga poket yang semakin tenat . Namun bekalan saya masih mencukupi setakat nak sampai ke Kediaman MB Perak . Saya tidak bimbang apa - apa melainkan saya pada waktu itu memerlukan seorang teman untuk memandu .

Kebetulan sahabat - sahabat semua sibuk dengan aktiviti dan program di kawasan masing - masing . Hati saya sejak semalam berada di samping Datuk Seri Nizar di Ipoh .

Program saya yang dijadualkan pagi sabtu di Pejabat Pemuda juga gagal dihadhiri . Mujurlah akhi Zuraidin sedia memahami dan saya amanahkan beliau untuk mempengerusikan mesyuarat AKP tersebut .

Kalau nak ikutkan hati , mahu juga menghadhiri jemputan makan pagi Dr. Shamsuri di Bangi pada jam 8 . Namun gagal juga untuk hadhir. Hari tu berlalu dengan segala kekesalan kerana gagal melunaskan tanggungjawab . Entah mengapa hari tu segalanya tidak menjadi . Hidup diserang rasa bersalah .

Ahad Pagi

Pagi ini saya tidak mampu lagi menahan rasa . Kalau hari ni pun tidak ada juga sesiapa yang sanggup menemani saya memandu , saya berazam akan pergi jua setakat mana yang mampu . Sekurang - kurang saya puas kerana telah berusaha walau tidak tercapai .

Saya mula perasan bagaimana tenaga dan upaya saya mula berkurangan berbanding sewaktu berusia 25 - 30 tahun dulu . Waktu itu , saya mampu memandu seluruh negara berseorangan dan memang masa tu saya suka drive seorang diri ke mana sahaja destinasi program kerana tidak mahu menyusahkan orang lain .

Kadangkala musafir saya untuk mengisi program ke seluruh negara memakan masa berhari - hari . Tentu sahaja menyulitkan sahabat untuk menemani saya sepanjang tempoh itu . Tapi akhir - akhir ini saya cepat rasa penat . Tak mampu lagi memandu jauh melainkan perlu seorang teman yang membantu .

Saya hubungi beberapa sahabat termasuk Akhi Fadhil Shafie , tetapi malang beliau juga mempunyai komitmen terhadap program di kawasan beliau . Saya hubungi Akhi Us. Fadhil Noor , beliau pula sedang mesyuarat di Temerloh . Nampaknya kena kayuh seorang diri lah hari ni .

Alhamdulillah sebaik sahaja saya hendak turun rumah , saya berjaya memujuk Akhi Us. Fadhil Noor dan pembantunya menemani saya ke Perak kebetulannya di sebelah malam ada Pentas Pemuda di Kampung Chenderong Balai berhampairan Teluk Intan .

Saya Kena Tinggal

Sebaik saja selesai ceramah kami pulang . Sekitar jam 4 pagi kami sampai di Petronas Bentong dan saya terjaga dari tidur setelah saya menyedari akhi Zul parking sebelah restoran di Petronas tersebut . Akhi Zul terlebih dahulu ke bilik air .

Saya juga ambil kesempatan untuk ke bilik air , tetapi malang apabila saya kembali ke kereta saya dapati kereta telah tiada . Sah mereka telah tinggalkan saya kerana tidak perasan saya keluar dari kereta ke bilik air .

Kelam kabut juga dinihari tu , sebab saya sebolehnya kena sampai seawal jam 6.40 pagi ke rumah untuk menguruskan anak - anak kecil yang bercuti sementara umminya pula ke sekolah seperti biasa rutinnya.

Saya cuba untuk meminta bantuan para petugas dan pekerja Petronas untuk menggunakan handphone mereka . Saya mahu segera menghubungi akhi Zul dan Us Fadhil Noor . Dalam kereta tu akhi Fadhilah dari Chini pun ada yang turut sama mengiringi kami ke Perak .

Malangnya pekerja Petronas tiada handphone dan terpaksa saya gunakan public phone . Nak jadi cerita dinihari tu , public phone pula tidak berfungsi . Aduss , susah juga macam ni . Nampak gayanya kena tidur kat Petronas lah saya pagi ni sementara mengharapkan mereka segera menyedari bahawa saya tidak berada di dalam kenderaan .

Saya percaya mereka tidak perasan semuanya tidur . Mungkin Akhi Zul sebagai pemandu tidak menyedari yang saya juga keluar ke bilik air sebab sebelumnya saya juga tidur nyenyak keletihan .

Alhamdulillah . Seperti memahami kesulitan yang saya hadapi ketika itu , tiba - tiba sahaja sahabat saya Hj. Khairil dalam perjalanan Kuala Lumpur ke Paka singgah mengisi minyak di Petronas tersebut . Terkejut juga Hj. Khairil melihat saya termangu - mangu berjubah tanpa kupiah ke hulu ke hilir mencari arah .

Ustaz Din , apahal ni ? Ana kena tinggal lah akhi ! kah .... kah .... ketawa besar Hj. Khairil . Memang lucu pun , Kalau budak kecil munasabah jugak tertinggal begitu . Ya lah ... ini pun memang pengalaman pertama saya . Tidak pernah pula saya kena tinggal begini .

Saya terus menumpang Hj. Khairil untuk mengejar sahabat yang telah setengah jam meninggalkan saya menuju Kuantan .

Macam - macam lah peristiwa yang berlaku meredah masam manis bersama perjuangan ini . Mengenangnya , saya tersenyum sendiri .

AL FAATIHAH

Ahli Parlimen PAS Bukit Gantang al Marhum Ustaz Roslan bin Sharum telah kembali kerahmatillah . Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan digolongkan dalam golongan hambanya yang soleh .

PILIHANRAYA KECIL BAKAL DI ADAKAN
DI PARLIMEN BUKIT GANTANG .

Maha suci Allah ! dalam kekalutan politik Negeri Perak hari ini berikutan tindakan UMNO dan BN yang tidak bermoral sekaligus mencetus kemarahan rakyat apabila tuntutan rakyat yang mahukan pilihanraya kecil diadakan di DUN Changkat Jering dan DUN Behrang di tolak .

Kini Allah Taqdirkan berlakunya Pilihanraya Kecil di Parlimen Bukit Gantang yang di dalamnya terdapat DUN Changkat Jering .

Pilihanraya kecil ini akan diadakan di Parlimen Bukit Gantang dalam tempoh 60 hari ini ekoran kembalinya ke rahmatillah Al Fadhil Ustaz Hj. Roslan Sharum . Al Faatihah .

HAJI ROSLAN B SHAHARUM [ al marhum ]

PENGALAMAN KERJA: PENGARAH SUMBER TENAGA MANUSIA&PENTADBIRAN PKNP. PENSYARAH UPM,OUM &ITM PERAK. PENGAMAL PENGUBATAN SYIFAQ. KELULUSAN: DIPLOMA ISLAMIC STUDY UIA1991 IJAZAH SARJANA MUDA SASTERA,pengkhususan SAINS POLITIK &PSIKOLOGI UKM 1983 MASTER SAINS -PEMBANGUNAN SUMBER MANUSIA UPM 1997. Mempunyai seorang Isteri Bernama Puan Safiah bt Harun dan mempunyai 11 orang anak.

Arumugam a/l Vengatarakoo

Kita juga diletakkan dalam keadaaan berjaga - jaga untuk menghadapi pilihanraya kecil di DUN BUkit Selambau , apabila Arumugam a/l Vengatarakoo, Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Selambau, merangkap EXCO Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman dijangka akan mengosongkan kerusi DUN Bukit Selambau ekoran tidak tahan menghadapi ugutan dan ancaman terhadap dirinya serta keluarganya .

LOMPAT SPRING

Ustaz ! apa hukum melompat ? , Agak terpinga juga saya mendengar soalan yang dikemukakan secara tiba - tiba oleh seorang anak buah sewaktu kami sarapan pagi .

saya tanya kembali sahabat yang mengemukakan persoalan tersebut : " Lompat apa ? lompat bagaimana ?

Alaaa , ustaz nih ! berapa jenis lompat yang dok ada ?

Laaaa , lompat ada banyak jenis tahu . Ada lompat katak [ lompat banyak destinasi lain ] , ada lompat kijang [ ke satu destinasi lain tetapi lompatannya bergaya ] , ada lompat tinggi [destinasi yang sama tetapi lompat untuk menggapai kepentingan diri ] , ada lompat jauh [ ke satu destinasi yang lain melepas emosi ] dan terbaru ni namanya lompat spring [ lompat ke satu destinasi lain tetapi hanya mampu bertahan 10 hari kemudian kembali ke tempat asal ]

Hukum Melompat .

Saya serius lah ustaz ! apa hukum melompat nih ? . lalu segera saya menjawab bahawa hukum lompat ini terbahagi kepada 5 situasi :

Saja - saja nak melompat : hukumnya Harus
Lompat dlm majlis dan menimbulkan rasa kurang senang orang lain : hukumnya Makruh
Lompat ke satu sudut untuk memberi laluan selesa kepada orang lain hukumnya : Sunat
Lompat naik atas kepala orang dan membinasakan orang lain hukumnya : Haram
Lompat kerana ingin menyelamatkan nyawa orang lain hukumnya : Wajib

Adapun dalam politik hari ini , istilah lompat dimaksudkan sebagai pindah parti atau menyeberang untuk menyertai parti lain dan meninggakan parti asalnya . Lompatan politik ini juga ada perlbagai jenis .

Ada lompat katak seperti yang pernah dilakukan oleh Dato' Ibrahim Ali , terbaru sejenis lompatan telah diperkenalkan di persada politik iaitu Lompat Spring seperti yang dilakukan oleh Nasharudin ADUN Bota . Dia lompat masuk PKR dari BN dan 10 hari kemudian dia bingkas lompat kepada BN semula .

Jelas lompat katak dan lompat spring ini tidak menggambarkan pelompatnya mempunyai maruah dan prinsip . Mana prinsipnya kalau asyik menjelajah dan melompat dari satu parti ke satu parti . Sekejap UMNO , sekejap 46 , sekejap UMNO balik , sekejap Bebas , apa yang dia perjuangkan ? apa dasar dan prinsip hidupnya ? nothing !

Mana pula maruah dan prinsip seseorang yang telah melompat ke satu parti kemudian mengisytiharkan sebab membuat lompatan tiba - tiba hanya 10 hari ia melakukan u turn dan bingkas kembali ke parti asal . Apa yang dia cari ? tidak menentu sikapnya ? apa prinsipnya ? dan lebih memalukan ialah di mana maruahnya ?

Ustaz .... syarahan ustaz ni saya masih tak jelas lah ! kenapa ustaz tak direct to point jer ?

Akhi .... kalau kita ni ahli kelab Masjid . Selalu solat berjamaah dan menghadhiri majlis ilmu . Senantiasa bersama rakyat setempat menganjurkan pelbagai aktiviti yang sihat di bawah kelab Masjid tiba - tiba kita nak melompat masuk Kelab Malam , Judi dan Rasuah malah kita mahu menjadi anggotanya yang berdaftar . Boleh ke macam tu ? erk - eh ! Tak boleh lah Ustaz macam tu !

Akhi .... kalau asalnya si pulan ini ahli Kelab Malam , Judi dan Rasuah . Berjoget menari ni memang kerja dia . Meraba punggung pompuan , peluk bahu pompuan dalam kelab , berjudi berjuta ringgit di dalam dan luar negeri , rasuah duit dan rasuah pompuan terlibat dalam skandal seks ... tiba - tiba satu hari dia insaf dan melompat masuk Kelab Masjid dan bertaubat lalu memohon untuk menjadi Ahli Kelab Masjid yang berdaftar . Boleh tak ? , mestilah boleh ustaz , dah orang nak bertaubat . Allah Maha Menerima Taubat .

Hah , kalau dah begitu , tak kan anta tak faham lagi .

Nabi saw pernah bersabda :

إنما الأعمال بالنيات و إنما لكل امرئ ما نوى فمن كانت هجرته إلى الله و رسوله فهجرته إلى الله و رسوله و من كانت هجرته لدنيا يصيبها او امرأة ينكحها فهجرته إلى ما هاجر إليه

Riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim

Setiap tindakan bergantung kepada niat dan seseoarang itu diganjarkan berdasarkan apa yang ia niatkan . Barang siapa yang berhijrah [ melompat ] kerana Allah dan Rasulnya saw. maka ia akan mendapat Redha Allah swt dan Rasulnya saw. dan barangsiapa yang berhijrah [ melompat ] kerana memburu kepentingan duniawi atau kerana memburu perempuan yang ingin dikahwininya , maka hijrahnya itu hanya untuk apa yang ia hijrahkan . sementara Allah swt berlepas tangan daripada dirinya .

Ok ustaz , saya faham .... saya faham ! erm ... faham pun . Kita jumpa semula